HydroFuel - Hydrogen Fuel Cell Technology dan Tamadun Bandaraya Berasaskan Pengangkutan Sungai dan Laut
BANDARAYA LAUT MALAYSIA?
Pandangan Masa Depan Amiene Rev:
Apabila Teknologi Hidrogen Menguasai Enjin Kenderaan
Tamadun Manusia Akan Berkembang Di Sungai dan Di Laut
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
Sekarang ini saya sedang bercuti panjang di Kelantan. Abang saya beritahu saya supaya ke Melaka untuk jadi pensyarah di Melaka, tetapi saya hendak belajar kereta dahulu. Kebetulan kawan baik satu sekolah saya dulu pun ada di sana, pensyarah juga.
Sudah lama sangat saya tak memandu kereta, lesen sudah ada, tetapi sudah lupa adat-adat 'clutch' dan 'gear' membawa kereta. Kelmarin saya memandu kereta untuk kali pertama. Alhamdulillah, lega sebab sudah boleh memandu di jalan raya. Ayah saya yang sudah berpencen, bertindak sebagai guru memandu.
Ayah saya garang semasa mengajar. Dia bukan guru sekolah. Emak saya lagi garang dan tegas. Namun sebab ini juga kami adik beradik selalu cemerlang di alam pekerjaan, selalu juga dapat anugerah. Berkat ketegasan ibu dan ayah.
Saya berminat dengan Toyota Avanza. Kereta ini biarpun dijemur di tengah panas, masih kekal sejuk di dalamnya. Cuba perhatikan rekabentuk kereta Toyota Avanza, sumber cahaya yang bertindak sebagai penyalur haba disekat oleh bumbung kereta ini. Pendek kata, Toyota Avanza merupakan pilihan paling utama sekiranya tidak ada model lain yang setanding dengannya.
Namun, isu minyak naik harga sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada diri saya. Saya belajar kereta dalam keadaan isu minyak naik harga sedang menguasai dunia. Oleh itu saya mula berminat untuk mencari maklumat berkaitan dengan teknologi penjimatan minyak. Sebelum ini saya ada membicarakan mengenai minyak hijau atau green oil, tetapi sekarang saya mendapati ada satu lagi teknologi yang dikenali sebagai hydrofuel.
Apakah hydrofuel ini? Sebagai orang yang agak asing dengan dunia pemanduan kereta seperti saya ini, yang selalu berjalan kaki sehingga berjuta-juta kilometer (mengikut fakta yang dibuat oleh pelajar dari fakulti kejuruteraan elektrik dan mekanikal), saya agak daif dalam soal-soal kereta.
Saya mendapati hydrofuel ialah singkatan kepada hydrogen fuel cell. Gabungan teknologi bahan api berasaskan gas hidrogen dan minyak, merupakan salah satu penyelesaian utama terhadap masalah bahan api di dunia. Sekiranya teknologi enjin hidrogen menguasai dunia, mungkin orang putih yang tertentu di Amerika tidak lagi tertarik dengan minyak Pak Arab. Bagaimana pula dengan kerajaan Brunei? Entahlah.
Di Malaysia terdapat sebuah laman web bagi sesiapa yang ingin mendalami teknologi hydrofuel ini. Sila ke www.hydrofuel.com.my
Secara logiknya saya memikirkan, teknologi hidrogen yang berasaskan air ini pasti boleh menyebabkan pengangkutan air semakin mendapat tempat di Malaysia. Saya bayangkan Sungai Gombak maju dengan pengangkutan ala-ala LRT. Saya bayangkan orang ramai pergi ke Tesco di Bawah Lembah, Kelantan menggunakan pengangkutan air. Saya bayangkan Sungai Rejang, Sungai Pahang membangun dengan pesatnya.
Pelabuhan-pelabuhan dan pasar raya mungkin akan membangun dengan pesat di pinggir sungai. Wah! Sungai Golok pula bagaimana ya? Sumber bahan api percuma berasaskan air memungkinkan tidak ada lagi pencemaran air sungai dan pencemaran air laut. Kapal-kapal pedagang tidak perlu lagi berhenti semata-mata untuk mengisi minyak. Air laut sebagai sumber bahan api semula jadi boleh diambil di mana-mana sahaja.
Alangkah hebatnya jika bahan api air diperluaskan di Malaysia. Negara kita, Malaysia memiliki banyak sungai. Jika benarlah teknologi hidrogen ini diperluaskan, saya rasa Sungai Amazon pun akan maju. Ikan Piranha pun mungkin boleh tumpang gembira sekaki, mana tahu ada orang terjatuh ke dalam sungai? Manusia sering melakukan kesilapan, jadi tidak mustahil apabila pengangkutan sungai bertambah maju, maka kemalangan di sungai juga akan bertambah.
Ambulan sungai akan diwujudkan, seterusnya memungkinkan kewujudan hospital di tepi sungai. Hospital Tun Aminah di Johor berdekatan dengan pinggir laut. Mungkin akan ada teknologi berkaitan di sana. Tambak Johor bukan lagi laluan utama pelancong dari Malaysia dan Singapura. Sistem kastam dan polis marin akan diperketatkan lagi.
Pekerjaan baru iaitu polis trafik sungai dan laut akan berkuat kuasa. Model-model kenderaan air semakin menguasai sungai dan laut. Mungkin akan ada pengangkutan ekspres seperti Ekspres Duyung, Ekspres Ombak, Ekspres Pesisir dan sebagainya.
Restoran, rumah sungai dan kapal-kapal dan bangunan-bangunan di tengah sungai dan laut akan semakin banyak. Orang ramai tentu akan suka makan makanan laut di tengah laut. Mungkin akan ada platform di tengah Laut China Selatan yang bergelora. Kapal-kapal ekspress atau kenderaan-kenderaan air yang dalam perjalanan Semenanjung Malaysia-Sabah Sarawak akan berhenti rehat di beberapa tempat di tengah Laut China Selatan sebelum sampai ke destinasi.
Revolusi bahan api menggunakan hidrogen, dan air akan mengubah tamadun dunia. Sungai dan laut sekali lagi membuktikan peranannya dalam memusatkan populasi manusia di satu-satu tempat.
Malaysia tentu perlu memperbanyakkan lagi teknologi kejuruteraan marin dan yang seangkatan dengannya. Bidang-bidang berkaitan dengan akuamarin dan sebagainya akan menjadi usul utama. Isu-isu berkaitan dengan hidupan laut juga akan kerap kedengaran.
Pasti pada masa depan, ini bukan lagi suatu mimpi. Mungkinkah?
|