Roof Garden - Model Atap Rumput - Bumbung dan Taman - Green Roof

Di luar rumah pula adalah hutan yang tebal dan terdapat pelbagai binatang yang aneh termasuk burung merak. "Eouuwk! Eouwk!" Suara burung merak itu sungguh menyeramkan.

Jadi saya bercadang memasang langsir di luar rumah. Jenis dan kualitinya mestilah tidak mudah diterbangkan angin, kalis air, mampu menebat haba dan radiasi cahaya, dan tidak pula terlalu berat. Saya perlu berhati-hati dalam memilih bahan pemberat langsir supaya pemberat itu tidak mengetuk cermin kaca tingkap bilik saya.

Rekaan ini masih lagi dalam eksperimen. Nampaknya, sejak pulang dari Avicennia Institute of Excellence Learning, saya mula berasa bosan kerana tidak ada eksperimen yang boleh dibuat lagi. Oleh itu, bilik dan persekitaran luar rumah saya akan menjadi tajuk kajian saya. Adakah perbuatan saya ini akan diizinkan oleh ibu dan ayah saya?

Saya perlu memastikan berat bahan-bahan yang digunakan untuk mencipta atap rumput di rumah saya tidak membebankan struktur binaan rumah yang asal. Juga, menyediakan ruang dan kedalaman tanah yang secukupnya iaitu sekitar 10cm ke 20cm. Tapi saya anggarkan 15cm sudah mencukupi sebab saya bercadang mahu menanam rumput sahaja.
Lapisan penapis air atau water proofing element perlu dipasang pada dasar rekaan atap rumput ini. Saya bercadang menanam rumput yang jenis mudah subur, tidak perlukan penjagaan rapi dan boleh menyerap haba dan air hujan dengan baik. Saya sedang meneliti apakah jenis objek kasar dan pejal yang sesuai untuk dilambakkan di bahagian dasar tapak atap rumput atau roof garden saya ini. Ini bagi mewujudkan pengudaraan. Seramik merupakan asas bahan itu nanti. Saya tidak pasti idea menggunakan aluminium foil adalah suatu pilihan yang bijak.
Cuba bayangkan jika model atap rumput atau bumbung taman digunakan di seluruh negara. Apakah yang akan berlaku? Tentu kita akan dapat mengurangkan risiko banjir kilat, menambahkan kandungan oksigen di dalam udara, menyejukkan persekitaran.
Saya berharap di Malaysia ini akan ada Persatuan Bumbung Taman dan Atap Rumput. Mungkin rakyat kita akan dapat menimba ilmu pengetahuan berkaitan atap bumbung ini. Saya, Amiene Rev, berhasrat menjadi seorang pencinta alam sekitar, oleh itu saya sangat berasa bersyukur sekiranya idea mewujudkan atap bumbung ini diluluskan oleh ayah saya.
|