BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Thailand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Thailand. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 24, 2011

Banjir Bangkok Diramal Sebulan, Sebulan Tanpa Pelancong

Selama sebulan ini, kemungkinan besar Bangkok tidak akan menerima kunjungan pelancong. Bangkok yang terkenal sebagai sebuah kota raya yang penuh dengan pelbagai kemungkaran, telah ditimpa bala. Kebanyakan filem memaparkan tentang gejala sosial Bangkok, dan kini Bangkok betul-betul seolah-olah telah terkena sumpah. Malah dalam salah sebuah filem The Hang Over 2, pernah dinyatakan satu istilah yang dipanggil "Mangsa Bangkok" di mana terdapat banyak kes orang tempatan atau pelancong asing yang datang ke Bangkok dan hilang tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa Bangkok. Benar atau tidak, begitulah tahap bahaya yang dikaitkan dengan Bangkok. Dunia politik dan pemikiran para pemimpin di Bangkok seperti keanak-anakan, sehingga rakyat menjadi mangsa. Seperti kebanyakan negara, kesemua cerita buruk tentang Bangkok itu tidak semestinya menyebabkan kita mesti percaya bahawa tidak ada perkara yang baik tentang Bangkok. Masih ada kebaikan yang tersembunyi di Bangkok, dan barangkali kebaikan ini tidak didedahkan dengan berkesan.

Banjir Bangkok diramal sebulan
Yingluck selia gerakan kawal bencana alam

BANGKOK: Perdana menteri Thailand semalam memberi amaran bahawa negara itu akan dilanda banjir sekurang-kurangnya sebulan lagi, sambil meminta penduduk terutama di ibu negara, Bangkok bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan paras air lebih tinggi. Pihak berkuasa melancarkan usaha untuk menyalurkan air banjir dari tengah ibu kota itu ke laut menerusi terusan di bandar raya terbabit, yang sudah menyaksikan kenaikan air hingga paras pinggang di beberapa bahagian di utara pinggir Bangkok. Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, yang menggunakan satu undang-undang bencana bagi mengawal penuh keadaan kecemasan itu memberitahu penduduk Bangkok supaya mengalihkan barangan mereka ke tempat lebih tinggi sekurang-kurangnya satu meter. “Bangkok perlu membuka semua pintu penghalang banjir untuk membenarkan pengaliran keluar air,” kata Yingluck. “Jadi ketika hujung minggu yang panjang ini penduduk perlu mengalihkan barangan mereka, kereta dan barangan berharga lain ke tempat sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi.” “Ada pengaliran air dalam jumlah yang besar dari utara dan kita tidak dapat menghalangnya secara berkesan tetapi boleh memperlahankan pengalirannya kerana penghalang yang ada bersifat sementara,” katanya melalui ucapan mingguan kepada seluruh negara yang disiarkan melalui televisyen. “Ia adalah satu keadaan yang amat serius kerana menjejaskan nyawa dan harta benda penduduk,” kata Yingluck di mana kerajaan beliau yang berusia dua bulan berusaha untuk menangani bencana kemanusiaan itu. Hujan lebat selama tiga bulan menyebabkan sekurang-kurangnya 256 orang terbunuh di Thailand dan memusnahkan kediaman serta kehidupan sembilan juta penduduk kebanyakan adalah di utara dan tengah negara itu. Yingluck berkata kira-kira 113,000 penduduk diarahkan berpindah ke penempatan sementara, sambil menambah ketika beberapa kawasan di negara itu menyaksikan air mulai surut, banjir yang menghala ke ibu negara tidak dapat dihalang. Secara keseluruhan banjir akan berterusan selama empat hingga enam minggu, katanya. Di Bangkok yang menempatkan 12 juta penduduk dilaporkan menyimpan bekalan makanan dan air minuman, manakala orang ramai meletakkan beratus-ratus kenderaan mereka di atas jambatan atau jalan lebih tinggi. Puluhan ribu askar dan polis ditempatkan untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan. Pembangkang menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan mengawal penduduk dan melindungi banjir tetapi menolak tindakan itu. – AFP

Ahad, Oktober 23, 2011

Malaysia hulur bantuan US$1 juta kepada Thailand

Jika dahulu Jepun, kini giliran Thailand pula dilanda banjir besar. Namun, sikap keprihatinan Kerajaan Malaysia terserlah menerusi bantuan kemanusian bernilai RM3.12 juta kepada Thailand. Semoga bantuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. 

Malaysia hulur bantuan US$1 juta kepada Thailand 
2011/10/22 SERDANG: Kerajaan Malaysia bersetuju menghulurkan bantuan kemanusiaan sebanyak US$1 juta (kira-kira RM3.12 juta) kepada Thailand yang kini dilanda banjir besar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sambil melahirkan rasa sedih dan simpati, Muhyiddin berharap sumbangan kemanusiaan itu sedikit sebanyak mengurangkan kesusahan dan kesengsaraan yang dialami rakyat negara itu. "Kita rasa sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku di Thailand. Kita lihat banjir yang besar hampir dengan sebahagian daripada bandar raya Bangkok dan kawasan-kawasan sekitar Ayutthaya tenggelam dan rakyat mereka berpindah ke kawasan-kawasan yang tinggi. Kita lihat semua ini. "Sebab itu di peringkat awal di Kabinet semalam kita putuskan (untuk hulurkan) bantuan itu walaupun tak diminta," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada majlis 'Penerangan Perdana Nurani Rakyat Sayangi Selangor bersama Timbalan Perdana Menteri' di sini hari ini. Muhyiddin mengakui malapetaka yang melanda di Thailand tentunya memberi kesan kepada bekalan bahan makanan seperti beras dan gula dan kenaikan harga barangan bukan saja akan berlaku di negara ini bahkan juga negara lain yang mengimport bekalan makanan. "Bukan Malaysia saja tetapi negara lain yang berdagang dengan Thailand juga akan menghadapi masalah harga barang yang lebih tinggi atau bekalan barang yang tak mencukupi. Kita lihat apa yang berlaku (kelak)," katanya. - BERNAMA

Sabtu, Oktober 15, 2011

Penduduk Thailand Keliru Berita Ancaman Banjir Benar Atau Tidak

Pihak kerajaan Thailand seharusnya mengambil tindakan tegas dengan mewartakan mengenai banjir besar dan arahan berpindah secara jelas. Malah ada antara penduduk di Thailand dilanda bencana kerana mereka tidak faham isi kandungan arahan kerajaan yang tidak ditulis dalam Bahasa Inggeris. Dalam kes ini, kuasa sebenar untuk menyampaikan berita tentang tahap bahaya banjir di Bangkok ialah jabatan yang dikhususkan. Disebabkan terlalu banyak mulut yang mahu menjadi tukang lapor keadaan banjir kepada rakyat Thailand, maka mesej-mesej yang berbeza-berbeza ini akhirnya mendatangkan kerugian kepada rakyat Thailand sendiri. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Thailand pada ketika ini masih dalam keadaan kucar-kacir serta tidak memiliki sistem yang kemas dan boleh dipercayai untuk mentadbir rakyat jelata. Demi kebaikan rakyat Thailand, pihak pentadbiran Thailand seharusnya memperbaiki kelemahan sistem menghadapi krisis bencana seperti ini.

Banjir terburuk kian menghampiri Bangkok - Mesej berbeza ancaman bencana kelirukan penduduk

BANGKOK: Sembilan juta penduduk di tengah kota Bangkok takut dan keliru selepas menerima mesej bercampur baur daripada pihak berkuasa khususnya sama ada banjir terburuk dalam sejarah Thailand akan memecahkan benteng penebat di ibu kota metropolitan terletak di kawasan rendah itu. Laporan terbaru menyatakan, paras air Sungai Chao Phraya meningkat kepada 2.13 meter, melepasi rekod tahun lalu 2.10 meter manakala 230 lebuh raya, kebanyakannya di wilayah utara dan Dataran Tengah, tidak boleh dilalui kerana banjir. Kerajaan Thailand memberi jaminan kepada penduduk bahawa ibu kota ini akan terselamat daripada banjir yang menenggelami keseluruhan bandar di seluruh Dataran Tengah selain memusnahkan sawah padi dan menutup beratus-ratus kilang.

Ia berasaskan keyakinan kota itu terletak di balik tembok banjir kukuh yang diperkuatkan sejak beberapa hari lalu.

“Saya menegaskan banjir hanya akan menjejaskan kawasan luar Bangkok dan tidak akan masuk ke kawasan lain,” kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu memberi amaran banjir mencapai tahap krisis dan air yang mengalir dari utara mungkin bercampur dengan hujan dan air pasang dalam beberapa hari lagi menyebabkan bah melanda Bangkok.

Ada pihak lain mengatakan aliran air mungkin amat kuat dan tiada apa dapat dilakukan untuk menahan kota itu tenggelam.

Mesej berbeza daripada sesetengah agensi, jabatan dan pihak berkuasa membawa kekeliruan, kadangkala ia berlaku dalam sidang media sama.

Ia ditambah dengan kesilapan pengumuman kelmarin mengatakan banjir memecahkan satu tembok utama, menyebabkan seorang menteri mengarahkan penduduk di satu kawasan segera dipindahkan.

Kerajaan kemudian memohon maaf atas kesilapan itu mengatakan arahan dibatalkan kerana kerosakan itu disalah tafsir.

Maklumat bertentangan itu menyebabkan ramai penduduk di ibu kota ini menggaru kepala dan tertanya-tanya sama ada tempat mereka benar-benar terancam dan bagaimana cara segera pindah.

Ada penduduk membeli bekalan tambahan air minuman, beras, mi segera, ubat dan keperluan lain, menyebabkan kekurangan bekalan di sesetengah kawasan.

Yang lain memindahkan kereta ke tempat lebih tinggi di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah di bandar ini.

Bangunan di kebanyakan tempat di ibu kota menyimpan beg pasir, sementara yang lain membina pelindung daripada simen dan blok simen berlubang. Petugas sistem kereta api bawah tanah bandar itu bergegas memasang penghadang banjir keluli.

“Secara terus terang, saya benar-benar tidak tahu apa akan terjadi kepada Bangkok,” kata Kuealapat Atsawasiramanee, 26, yang tinggal satu kilometer dari Sungai Chao Phraya.

“Sama ada ia akan banjir atau tidak, saya tidak pasti. Ada banyak maklumat dan berita di luar sana dan saya tidak tahu mana satu untuk dipercayai.”

“Jika terjadinya banjir, kerajaan perlu mengatakannya. Jangan melindungi kebenaran kerana ia hanya akan menyebabkan lebih banyak huru-hara.”

Kekeliruan itu tidak terhad di Bangkok. Sebuah organisasi perdagangan Jepun semalam menyelar kerajaan kerana mendakwa gagal menyediakan maklumat sebenar dan tepat mengenai situasi di wilayah tengah Ayutthaya, yang menyebabkan beratus-ratus kilang musnah.

Seiya Sukegawa dari Organisasi Perdagangan Luaran Jepun (JETRO) Thailand berkata, banyak maklumat kerajaan sebelum air banjir menenggelami kawasan itu sudah lewat, bertentangan atau sukar difahami kerana ia tidak dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.

“Syarikat Jepun tidak tahu apa yang berlaku atau maklumat mana benar atau salah. Mereka menerima amaran namun tidak cukup maklumat dan tidak cukup masa untuk membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, lebih 300 kilang milik Jepun, termasuk pembuat elektronik dan bahagian pembekal automotif, rosak atau musnah akibat banjir.

Sukegawa juga mengadu, kerajaan Thailand tidak melakukan apa-apa untuk membantu syarikat dan kilang mereka dari segi menyelamatkan peralatan dan teknologi yang tidak rosak. – AP

Khamis, Oktober 13, 2011

Thailand Dilanda Banjir - Bekalan Beras Masih Mencukupi

Sekarang sudah mula kedengaran orang ramai bercerita tentang bekalan beras yang mungkin tidak mencukupi di pasaran Malaysia. Rakyat Malaysia kini cenderung untuk saling menasihati antara satu sama lain supaya memberi stok beras yang mencukupi. Sebaliknya, berita terbaru dari Menteri Pertanian mengatakan bahawa orang ramai tidak perlu panik  Barangkali kutu beras akan suka dengan pertambahan kediaman baru di negara ini sekiranya stok beras yang disimpan terlalu banyak sehingga tersimpan begitu lama. Apakah nanti akan terjadi, bak peribahasa baru "Kerana takutkan bekalan banjir, kutu beras berpesta beras."

Rakyat jangan panik beli beras

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dengan masalah kekurangan bekalan beras dari Thailand ekoran banjir besar yang melanda negara itu ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah menyediakan stok beras secukupnya untuk rakyat di negara ini dan memberi jaminan tidak akan timbul masalah kekurangan bahan itu.

Menurutnya, bekalan beras mencukupi kerana perjanjian hadapan yang ditandatangani dengan Thailand sebanyak 307,000 tan metrik setahun dan negara itu sudah menyediakan stok bekalan seperti yang dijanjikan.

“Separuh daripada bekalan sudah berada di dalam negara dan selebihnya berada di tempat yang selamat di Bangkok dan tidak terlibat dengan banjir serta akan dibawa masuk dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Harta Intelek Herba di sini semalam.