BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Jurnal Pengembaraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jurnal Pengembaraan. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 05, 2008

Jurnal Pengembaraan - Amiene Rev di Plymouth

PLYMOUTH: Suhu sekitar 10 darjah celcius atau mungkin kurang daripada itu, memang betul-betul menjadikan darah seperti mahu dingin membeku. Setiap hembusan nafas mengewap dengan pantas. Aku dan Sam tiba agak lambat daripada masa yang dijangkakan. Kami akan berjalan-jalan dulu mencari buah tangan, sebelum berangkat ke rumah Ann dan keluarganya. Sambil kaki menjejak salji, aku mendiamkan kedua-dua belah telapak tanganku di dalam poket baju tebalku.

"Sam, ada tempat-tempat yang menarik di sini?"

"Saya bawa kamu ke Homepark. George Michael pernah datang ke situ."

"Benar?"

Homepark tidak begitu jauh dari Stesen Keretapi Plymouth. Aku dan Sam melalui Central Park, sebelum sampai ke Homepark.

Di Plymouth ini terdapat Theatre Royal Plymouth. Mungkin, aku Sam dan Ann akan ke sana. Aku bernasib baik kerana memiliki kawan seperti Sam dan Ann. Mereka banyak membantu sepanjang aku berada di tanah Inggeris ini.

Ingin sahaja aku bercerita apa yang aku bualkan dengan Sam di dalam keretapi tadi, tetapi isunya pasti sangat sensitif kerana berkaitan dengan Malaysia. Aku banyak memberi jawapan umum berbanding jawapan spesifik. Aku mahu Samantha datang sendiri ke Malaysia pada suatu hari nanti, supaya aku tidak berasa serba salah pada kemudian hari untuk setiap jawapan yang kuhidangkan kepadanya.

Namun, sekarang adalah masa untuk beberapa orang sahabat bersatu kembali. Aku mahu melupakan Malaysia untuk seketika. Lupakan segala urusan dan peristiwa yang pernah aku lalui di negara itu.

Botol kaca berisi surat yang diberikan oleh Caleb telah tersimpan di dalam kotak kecil. Botol kaca itu amat tebal dan berpenutup gabus, Caleb mahu aku melontarnya ke laut. Permintaan anak kecil itu pasti akan terlaksana, sebelum aku menjejakkan kaki aku kembali ke Edinburgh.

Aku tidak mahu kembali sebagai waris kepada salah sebuah keluarga bangsawan di sini, kerana aku ingin menghayati perasaan menjadi seorang rakyat Malaysia yang seolah-olah tidak berasal dari sini.

Satu kehidupan baru, satu perjalanan yang masih segar dengan kuntum-kuntum bunga mawar dan tulip.

Khamis, Disember 04, 2008

Jurnal Pengembaraan: Amiene Rev di Cheshire Siri 2

CHESHIRE: Masih terngiang-ngiang suara Caleb semasa di Chester Railway Station. Dia memberikan aku satu botol kecil berisi surat. Aku mengambil botol tersebut dan merenungnya untuk seketika. "Ini untuk apa?"

"Apabila kamu sampai di pinggir pantai, bolehkah kamu campakkan botol ini ke laut?"

"Untuk siapa?"

"Saya harap surat ini akan sampai kepada Orang Pulau."

Caleb begitu terpengaruh dengan kisah Oak Island Money Pit. Ia adalah satu legenda. Kisahnya bermula dengan seorang tukang besi yang ingin menyelamatkan seekor lembu peliharaannya, yang kemudian menemui harta karun yang disembunyikan oleh lanun. Terdapat banyak versi kisah legenda harta karun ini. Saya tidak tahu bagaimana pula Orang Pulau yang wujud dalam imaginasi Caleb, boleh berkaitan dengan legenda Pulau Oak.

"Berikan kakak satu pelukan," Samantha memeluk adiknya, Caleb.

"Kamu juga," Caleb turut memeluk aku.

Dan begitulah aku dan Sam meninggalkan Cheshire. Kenangan di Cheshire tidak akan mati begitu sahaja. Aku berangkat ke Plymouth. Aku harap Ann tidak tertunggu-tunggu.

Rabu, Disember 03, 2008

Jurnal Pengembaraan: Amiene Rev di Cheshire

CHESHIRE: Petang itu salji dingin turun dari langit. Aku berjalan-jalan seketika menikmati kedinginan waktu petang. Pagi tadi aku mengunjungi seorang kenalan di Hospital Wellington dan esok pagi aku harus ke Benenden School. Puteri Anne dalam ingatan.

"Di negara kamu ada salji?" Sam bertanya kepadaku.

"Tidak ada, negara saya panas. Hujan lebat pada November dan Disember."

"Bagaimana kamu menyambut Krismas?"

"Tidak, saya tidak sambut Krismas. Saya Muslim."

"Muhammadenisme?"

Aku terdiam. Agama Islam dikenali sebagai Agama Muhammad.

"Tidak, ia Islam," aku menjawab pendek-pendek sahaja. Cuaca dingin, otak terasa beku.

"Kita menuju ke Plymouth esok?" Aku terus bertanya. Mengelak persoalan agama. Status aku sebagai seorang pendatang sahaja. Aku mahu cepat-cepat ke Plymouth untuk bertemu dengan Ann.

"Kita akan pergi dengan keretapi."

"Salji tidak menghalang?"

"Jangan risau tentang itu. Saya tidak selesa dengan perjalanan kereta. Jalan lebih licin pada musim-musim sebegini. Tangan juga tidak selesa memandu."

Aku datang ke Cheshire dengan keretapi, aku meninggalkan Cheshire juga dengan keretapi.