BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Filem Tempatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem Tempatan. Papar semua catatan

Khamis, Disember 05, 2019

Ejen Ali: The Movie - Misi Neo 2019 - Ulasan Filem Animasi

Ulasan Filem Ejen Ali The Movie 2019
Pengulas: Amiene Rev (C) 2019

Filem animasi tempatan kini bertambah baik. Jalan cerita, aksi sudah setanding filem antarabangsa. Nilai-nilai Malaysia masih terserlah biarpun kisah yang disampaikan adalah berkaitan dengan teknologi yang mendahului zaman, latar belakang tempat yang langsung tidak wujud di negara Malaysia.

Siri animasi televisyen Ejen Ali sudah beberapa tahun bersiaran di skrin televisyen tempatan, juga boleh ditonton menerusi Youtube.

Siri animasi Ejen Ali bermula dengan kisah seorang kanak-kanak bernama Ali yang secara tidak sengaja terguna IRIS. Disebabkan IRIS cuma boleh berfungsi kepada sesiapa yang sudah disetkan DNA buat pertama kali iaitu Ali, secara tidak langsung Ali menjadi aset kepada sebuah pertubuhan rahsia yang dipanggil MATA.

IRIS merupakan alat berteknologi tinggi ciptaan Aliyah, ibu Ali yang telah meninggal dunia semasa mempertahankan Cyberaya. Teknologi IRIS berjaya difahami oleh salah seorang ejen MATA, yang juga merupakan saintis pintar, sehingga lahirlah versi terbaru IRIS yang dipanggil IRIS NEO.

IRIS NEO dianggap lebih canggih berbanding IRIS milik Ejen Ali, di mana ia mampu menangani masalah Override yang membuatkan penggunanya hilang kawalan diri. Adakah benar IRIS NEO lebih berguna berbanding IRIS? Filem Ejen Ali membongkar jawapan ini.

Sejak wujudnya IRIS NEO, Ejen Ali dianggap sebagai beban dalam pertubuhan MATA oleh kebanyakan ejen yang di antaranya juga merupakan rakan sepasukan Ali. Pada masa yang sama, Ali bertembung dengan bekas sahabat seperjuangan ibunya, lalu Ali pun berubah haluan, daripada Ejen Mata kepada wira penduduk pinggiran. Adakah haluan baru yang menjadikan Ali sebagai Wira Pinggiran ini membawa kebaikan kepada Ali?

Ali mula sedar, selama ini, ibunya telah menolongnya secara senyap-senyap biarpun ibunya telah meninggal dunia. Kisah yang menemukan Ali dengan ibunya di dalam alam lain yang boleh diakses melalui IRIS sangat menyentuh hati.

Keikhlasan Aliyah berjuang untuk warga Pinggiran digambarkan dengan jelas, dan kekuatan ini menyebabkan filem Ejen Ali The Movie ini sebagai sebuah filem animasi tempatan yang sangat berjaya. Mesej yang disampaikan memang meninggalkan bekas yang mendalam ke dalam diri penonton. Sebuah karya adiwira yang wajar dicontohi.

Filem Ejen Ali bukan hanya memaparkan aksi dan visual yang sangat menarik, juga bijak menyampaikan nasihat dan motivasi kepada para penonton.

Satu soalan yang perlu anda tanya pada diri anda sendiri, adakah anda sekarang memiliki jiwa seperti Dato' Othman atau ibu Ali, Aliyah? Adakah anda mahu berubah menjadi seorang perwira? Apa yang sanggup anda korbankan untuk menjadi seorang perwira?

Penamatan filem Ejen Ali The Movie juga merupakan satu Easter Egg untuk siri animasi Ejen Ali yang seterusnya. Apakah yang berlaku di pengakhiran cerita ini? Adakah Ejen Ali akan memiliki IRIS NEO, atau terus menggunakan IRIS milik ibunya, atau dilarang daripada menggunakan kedua-duanya?

Saksikan Ejen Ali The Movie untuk menemui jawapannya.

Ahad, Oktober 13, 2019

Ulasan Filem GERAN - Padat dengan aksi dan hikmah



Filem Geran sebuah filem aksi yang hebat. Jalan ceritanya mudah difahami, aksi-aksinya logik dan boleh diterima akal kerana semuanya adalah aksi silat sebenar dan dilakonkan oleh ahli-ahli silat Gayong yang sebenar.

Sehingga ulasan ini ditulis, Geran sudah pun menduduki carta TOP 5 filem paling banyak ditonton di Panggung Wayang GSC, membuktikan kehebatan aksi silat Melayu mampu menarik penonton untuk ke panggung wayang.

Filem ini juga menguji kerjasama antara ahli-ahli silat apabila kebanyakan mereka berlakon tanpa bayaran, demi membantu menyiapkan filem yang bermodal kecil ini. Jelas sekali, kata-kata sebuah karya kerdil Areel Abu Bakar ini mempunyai maksud yang tepat.

Berbekalkan model yang kecil, pelakon sukarelawan dan kepercayaan antara ahli-ahli silat, filem Geran tetap muncul sebagai sebuah filem yang berkualiti, mempunyai visual yang menarik dan mampu memukau pandangan.

Pemandangan Gurun Kedah, mempunyai makna tertentu kepada ahli-ahli Pusaka Gayong, di mana di sini, ramai tenaga pengajar PSSPGM dilahirkan.

Filem Geran dimulakan dengan pesan yang bermakna, dihiasi dengan aksi. Aksi dalam filem ini semakin lama semakin meningkat kehebatannya, semakin tangkas, semakin berat pukulannya, semakin menarik perhatian penonton. Masa sekitar 110 minit berlalu pantas dek terpesona dengan aksi silat sebenar dalam filem ini. Filem ini tidak menggunakan khidmat pelagak ngeri, kerana pesilat-pesilat sendiri pakar dalam melakukan lagak ngeri dan aksi.

Hero filem ini, seorang yang merendah diri, bertindak jika perlu, dengan kebijaksanaan akal, mengamalkan adab seorang pesilat. Koharullah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab memegang watak utama, sebagai Ali, dalam filem ini. Apabila tindakan seorang hamba Allah itu menepati syariah, maka walaupun dizalimi dan ditindas, tetap masih mampu menegakkan keadilan. Hero patuh kepada orang tuanya, bertindak dalam batas dan keredhaan.

Fad Anuar, memegang watak Mat Arip, adik bongsu dalam keluarga Pak Nayan. Anak yang sering dimanjakan akan memberi masalah kepada keluarga. Walaupun tahu bersilat, tetapi jika jalan kehidupan yang diamalkan bercanggah dengan peradaban Melayu, peradaban silat yang sebenarnya patuh syariah, maka berlakulah pelbagai hal yang tidak baik.

Bayangkan bagaimana seorang kakak, seorang gadis ayu (Feiyna Taj) mampu berubah menjadi srikandi yang bergerak pantas dan tangkas, mempertahankan diri dan menjatuhkan musuh-musuhnya apabila diserang. Ketiga-tiga beradik mahir bersilat, memantapkan lagi jalan cerita silat ini.

Filem Geran menyedarkan masyarakat tentang bagaimana lintah darat memperdayakan masyarakat kita supaya tidak mampu membayar hutang, lalu dijerat supaya menjualkan tanah pusaka. 

Laungan "Pusaka Kita, Maruah Kita" memiliki mesej yang tepat. Jika tanah  seseorang itu tergadai kerana tidak mampu membayar hutang, itu menunjukkan betapa seseorang itu tidak pandai mengurus kewangan. Biar apa sekali pun cabaran, jangan dijual tanah pusaka kita.

Selain hal-hal keduniaan, filem Geran tidak lupa menyentuh jiwa penonton dengan dakwah. Tidak semua perkara di dunia ini mampu kita selesaikan dengan kudrat dan pemikiran manusia, maka kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Tuhan agar diberikan kemenangan.

Konsep silat Melayu, menjunjung agama, ilmunya patuh syariah agama. Filem Geran adalah filem warisan budaya bangsa kita. Apabila sesebuah filem itu dibikin oleh orang-orang silat yang sememang jiwanya jiwa seorang pesilat, maka terhasillah sebuah filem yang penuh bermaruah.

Tahaniah Geran!

Sudah 25 tahun saya menjadi anggota Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, dan saya bersyukur melihat perkembangan silat di negara ini. Perjuangan orang-orang silat mesti diteruskan, supaya silat akan dapat terus memberi manfaatnya kepada agama, bangsa dan negara.





Sabtu, September 08, 2018

Formula Filem Menguntungkan VS Formula Filem Berisiko Tidak Untung


Salah satu cabaran bagi penerbit filem tempatan ialah bagaimana menarik penonton ke panggung. Filem yang berjaya menerima anugerah atau memenangi hadiah filem terbaik tidak semestinya akan berjaya menarik penonton di panggung wayang. Ada cara untuk penerbit filem kekal bertahan dalam industri perfileman. Banyak filem yang tidak menang anugerah, tetapi kutipan tiketnya jauh mengatasi filem-filem yang menang anugerah.

Kebanyakan filem tempatan mengalami masalah kurang promosi. Promosi adakalanya cuba berlegar-legar di komuniti artis, penerbit dan pengkarya sahaja. Ini menyebabkan banyak karya tempatan tidak disedari kewujudannya. Golongan ini sebenarnya golongan minoriti, dan jika mereka menonton, jumlah mereka cuma sedikit berbanding bilangan sebenar rakyat Malaysia yang sudah mampu menonton. filem. Sebagai contoh, katakan jumlah artis di Malaysia ialah sekitar 9,000 orang sahaja, maka sudah pasti kutipan filem ialah sekitar 180,000 ringgit sahaja. Dibandingkan dengan modal yang berjuta-juta, sudah pasti tidak ada keuntungan.
Filem yang ditayangkan di panggung biasanya memiliki durasi sekitar 120 minit. Bukan kerja mudah untuk mengimbangi antara pengisian mesej berkualiti dengan pengisian yang menghiburkan. Jika dilihat di sekolah-sekolah pun, apabila pengajaran dan pembelajaran cuba memberatkan unsur hiburan, didapati masa untuk pengisian ilmu semakin hilang. Lebih banyak masa untuk aktiviti hiburan berbanding masa untuk menyampaikan ilmu. Belum dicampur dengan penat lelah seorang guru untuk menghasilkan rancangan pengajaran.
Kebanyakan orang Malaysia sendiri bukan jenis yang sanggup mengeluarkan duit ke panggung jika sesuatu itu tidak diyakini dapat menghiburkan mereka. Cuma golongan karyawan yang merupakan golongan minoriti berbanding seluruh rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi penonton filem itu di panggung. Pada ketika ini ternyata kehendak majoriti orang Malaysia terhadap hiburan mengatasi keperluan mereka terhadap pengisian ilmu dan kesedaran tentang isu semasa.
Filem Munafik 2 bijak menyelitkan unsur-unsur tentang hadis dan Al-Quran sebagai pengajaran di samping aksi dan drama yang dicetuskan. Filem francais Zombi Kampung Pisang juga menyuntik persoalan tentang isu-isu semasa dalam beberapa babak filemnya, tetapi lebih ringan untuk mudah dihadam oleh para penonton. Berapa banyak unsur ilmiah atau persoalan isu semasa yang dapat mereka selitkan di dalam filem tersebut?
Dukun meletup di panggung selepas beberapa tahun menanam benih tanda tanya. Ternyata genre seram merupakan elemen hiburan yang paling disukai penonton. Kesedaran ini juga merupakan faktor kenapa sesetengah panggung mula menggunakan teknologi seperti 4D, 5D dan sebagainya. Pemilik panggung wayang sedar penonton akan lebih terhibur apabila mereka berjaya ditakut-takutkan. Penggunaan kerusi yang boleh bergegar, memberi kejutan seiring dengan jalan cerita dianggap sebagai satu unsur hiburan setanding dengan rollercoaster di taman tema.
Hiburan yang berkesan dianggap sebagai jaminan kejayaan untuk menarik pelanggan atau penonton. Didapati filem dan taman tema memegang prinsip yang sama untuk terus hidup, hiburan berasaskan unsur yang dapat menimbulkan rasa panik dan seram.
Kesedihan mendatangkan kemurungan. Rakyat Malaysia sudah berada dalam keadaan stres jadi mereka tidak suka filem sedih. Mereka tidak suka berlama-lama di suatu tempat berkongsi kesedihan yang menyebabkan mereka murung. Oleh itu dalam situasi sekarang, filem drama, filem serius dan filem yang boleh menimbulkan rasa murung bukanlah filem terbaik untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia. Kita mungkin pernah dengar penonton yang keluar panggung berkata, "Aku sudah stres, tengok filem ni serius, sedih semacam lagi stres aku dibuatnya. Rugi duit aku!"
Baca sahaja status rakyat Malaysia di laman-laman sosial, kebanyakannya adalah luahan perasaan stres, sedih, kecewa, bimbang dan murung. Secara logiknya, orang yang sedang stres takkan mahu memberi tekanan dan menambah kemurungan ke dalam diri mereka. Mereka mahu buang tekanan itu. Mereka mahu sesuatu yang melapangkan dada mereka daripada perasaan sedih, murung, tertekan dan sebagainya.
Panik, seram dan mendebarkan akan mencetuskan perasaan terhibur. Mereka tidak stres kerana mereka tahu itu semua lakonan dan fiksyen semata-mata. Mereka tahu semua itu dibuat-buat, oleh itu mereka akan rasa selamat. Rakyat Malaysia tidak ada masalah dengan hantu, malah jika mereka melihat hantu, mereka suka untuk merakamnya dan diviralkan di status mereka. Suatu keseronokan jika dapat melihat hantu yang sebenar sehingga hantu pun sudah menyerah diri dengan manusia. Jika zaman dahulu manusia lari apabila nampak hantu, sekarang manusia akan merakam hantu tersebut dan mengejar untuk merakamnya jika ia lari. Dunia sudah berubah. Barangkali dunia sudah gila.
Filem hiburan yang dapat memainkan perasaan panik, takut, terkejut, melapangkan dada dan membuatkan penonton lupa tentang stres mereka, akan berjaya di panggung.
Mungkin sesebuah penerbitan boleh menggunakan formula 9 filem hiburan berkesan : 1 filem serius supaya dapat bertahan dalam industri perfileman dengan bahagia. Selepas berjaya menghasilkan 9 filem menguntungkan, mereka boleh korbankan sedikit untuk mengambil risiko menerbit 1 filem serius yang padat dengan isi dan ilmu yang biasanya akan gagal menarik ramai penonton di Malaysia.

Rabu, Ogos 01, 2018

Ulasan Filem PULANG (2018)


Pulang adalah sebuah filem Kabir Bhatia. Pengarah filem yang pernah menghidupkan drama Kekasihku Seru dan Nur Kasih, dua drama bersiri yang sangat popular. Nur Kasih menjadi drama paling cemerlang dalam sejarah Malaysia apabila berjaya menarik tontonan tertinggi. Filem Nur Kasih yang ditayangkan 8 tahun kemudian turut mencatat kejayaan yang sama.

Karya Kabir Bhatia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sinematografi yang sangat indah. Setiap babak memaparkan permainan kamera. Keindahan pantai, perkampungan nelayan dan lautan dipaparkan dengan sangat cantik dan menarik.

Kemudian, muncul para pelakon yang terpilih, dengan lakonan dan dialog yang penuh menyentuh emosi. Itulah apa yang sering dijangkakan daripada karya filem Kabir Bhatia.

Misteri. Ini antara elemen yang pasti. Jawapan disimpan dan dipendam, mencetuskan konflik sebelum akhirnya diurai pada detik yang sesuai. Kenapa Othman tidak mahu pulang selepas sekian lama belayar? Persoalan ini dimainkan sepanjang kisah, dan pembongkarannya menceritakan tentang dosa, salah faham dan penderhakaan yang mungkin langsung tidak dijangka oleh penonton. Siapakah yang menderhaka? Siapakah yang salah faham? Siapakah yang merahsiakan sesuatu?

Setiakawan, persaudaraan, kekeluargaan adalah antara elemen penting dalam setiap karya Kabir Bhatia. Kali ini dua manusia berbeza keturunan, Cina dan Melayu, ditemukan dengan takdir yang akhirnya menjadi kunci yang membuka peluang untuk menyatukan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut tetapi adakah takdir membenarkannya?

Aksi. Babak pergelutan antara Othman dengan askar Jepun, dengan kelasi-kelasi asing di atas kapal dan bencana di lautan adalah antara elemen cemas yang cuba diadun dengan sinematografi bagi mempamerkan visual terindah.

Kesedihan, kesayuan dan jalan cerita yang mengharukan. Sebelumnya perlu diketahui bahawa filem ini adalah berlandaskan kisah benar sebuah keluarga nelayan Melayu. Isteri dan anak yang ditinggalkan suaminya selepas si suami bekerja di atas sebuah kapal, belayar mengelilingi dunia. Dapatkah si isteri menemui semula suaminya?

Filem Pulang memaparkan kelemahan manusia dalam pelbagai sisi kehidupan, biar sekuat mana pun cinta, sekuat mana pun kemahuan dan sekuat mana pun keazaman. Sudah naik pangkat, sudah naik gaji tetapi tidak mahu pulang?

Othman mampu pulang setiap kali ditimpa bencana tetapi kali ini, selepas jauh belayar dia tidak pulang-pulang. Menyedihkan. Ini adalah karya kisah benar, kesedihan yang dikongsikan oleh sebuah keluarga terhadap berjuta-juta keluarga yang lain. Ketika ulasan ini ditulis, barangkali filem Pulang sudah mencatat kutipan tiket sekitar tujuh angka. Filem ini mempunyai potensi ke arah itu. Sebuah karya yang cantik visual dan indah emosinya.





Selasa, September 06, 2016

Ulasan Filem PEKAK - PEKAK Movie Review

Ulasan Filem Pekak (Minor Spoiler Alert)
Pengulas: Amiene Rev (C) 2016

Pekak adalah nama sebuah filem, yang baru muncul sekitar beberapa hari pada bulan September 2016. Filem ini menampilkan bakat-bakat muda yang berpengalaman. Pelakon utama filem Pekak, Zahiril Adzim, memegang watak Uda, seorang pemuda cacat pendengaran yang terjebak dalam dosa pengedaran dadah. Cintanya bermula selepas berkenalan dengan Dara (lakonan Sharifah Amani) di mana Uda mula terjebak dalam konflik peribadi. Adakah usahanya mengedar dadah untuk mengumpul wang bagi pembedahan koklea akan berjaya?

Sinematografi bagi filem Pekak tampak indah, biarpun latar belakangnya cuma sekitar kawasan flat berkos rendah, kawasan semak dan landasan keretapi. Seni abstrak dan grafitti meningkatkan lagi keindahan filem.

Watak-watak dalam filem Pekak digarap dengan elemen sinis dan kejutan. Seorang pekak yang kelihatan tidak berdosa, rupa-rupanya pengedar dadah. Seorang anak dara yang pandai mengajar membaca Al-Quran, rupanya syaitan penghasut dan perosak anak gadis. Gejala sosial yang dipaparkan memang mengejutkan jantung, apatah lagi seorang pengedar dadah dijadikan hero dalam filem ini.

Pekak ada pengajaran. Setelah babak-babak yang menggegarkan jantung dipaparkan, Pekak memukul rentak kemanusiaan dengan memaparkan penamatan hukum karma. Setiap perbuatan jahat, setiap dosa biarpun atas niat untuk kebaikan diri, akan berakhir dengan pembalasan yang sewajarnya.

Pengajaran dalam filem Pekak, biarpun dimesejkan secara kesan-akibat, tetap mampu mengacau jiwa penonton betapa ruginya manusia yang berkawan dengan manusia yang negatif. Berkawan dengan orang-orang yang biadab akan memakan diri. Sekali terjebak bergaul dengan orang-orang yang sukakan dunia terlaknat, maka sukar untuk keluar atau melarikan diri. Bayang-bayang kejahatan akan sentiasa memburu sesiapa sahaja yang pernah masuk ke dunia gelap itu. Tidak ada belas ihsan, biarpun untuk seorang pekak.

Sejak akhir-akhir ini jarang-jarang saya melihat karya tempatan yang bermutu di skrin perak, justeru pada hari ini saya berniat mengarkibkan ulasan saya mengenai filem berjudul Pekak ini di sini. Tahniah kepada semua kru penerbitan filem dan para pelakonnya. Mantapkan lagi karya filem tempatan.

Selasa, Disember 10, 2013

Nur Hamidah Najib - Sekarang Sudah Dewasa

Nur Hamidah Najib adalah nama bayi berusia 18 bulan yang terselamat dalam kejadian keruntuhan kondominium Highland Tower pada Disember 1993. Peristiwa keruntuhan bangunan kondominium merupakan salah satu tragedi besar yang sehingga kini masih menghantui ramai rakyat Malaysia. Populariti Highland Tower masih belum padam sehingga kini, bahkan sebuah filem berjudu Highland Tower juga telah dihasilkan dan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat filem di Malaysia. Terdapat pelbagai isu dan kontroversi telah dilaporkan seperti histeria, rasukan dan sebagainya semasa penayangan filem Highland Tower tersebut di Malaysia.

Adakah Nur Hamidah Najib, bayi berusia 18 bulan akan terjejas apabila dikaitkan dengan kisah Highland Tower ini? Saya tidak pasti. Adakah Nur Hamidah Najib masih ingat apa yang berlaku pada ketika usianya sekitar 1 tahun 6 bulan? Saya juga tidak pasti. Apakah perasaan warga Highland Tower yang masih hidup dengan penayangan filem Highland Tower? Mungkin boleh menimbulkan nostalgia buat mereka. Tragedi Highland Tower, boleh diibaratkan seperti tragedi kapal Titanic yang menarik perhatian ramai orang untuk menontonnya. Kisah tragedi seperti ini yang melibatkan ramai orang, sememangnya tidak pernah tidak berjaya menarik perhatian orang ramai.

PELUKIS pelan tiada kelayakan. Pendedahan bekas presiden PAM kejutkan rakyat Malaysia.

Sebelum 1964: Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.

1964: Jabatan Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian. Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.

1974: Pembinaan bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat High Land Properties Sdn Bhd.

1978: Blok 1 Kondominium telah disiapkan dan diberi Certifi cate of Fitness (CF) oleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.

1981: Bangunan Blok 2 telah disiapkan dan diberi CF oleh Majlis Daerah Gombak dan telah mula diduduki penghuni.

1986: Bangunan Blok 3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG. Ia telah mula diduduki penghuni.

1 Julai 1992: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap projek tersebut.

1993: MPAJ telah memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.

November 1993: Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni.

11 Disember 1993: Pangsapuri Blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh pada 1.35 petang. 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn membantu mencari.

Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sukarelawan PBSMM datang lebih awal. Pasukan penyelamat ternampak sebatang kayu terjuih keluar dan bergoyang.

Pembantu rumah seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22, dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan, diselamatkan.

Nakajima Shizue, 50, wanita rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12
tengah malam. Dr Shahrum Abdul Wahid dari HKL menyatakan Nakajima mengalami pendarahan dalam yang teruk.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai menteri Kabinet datang melawat.

12 Disember 1993: Penghuni Blok 2 dan 3 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang diarah mengosongkan rumah mereka kerana tidak selamat. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu. Helikopter Nuri dan Alouette milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan udara.

13 Disember 1993: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi. Mereka dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan.

Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

15 Disember 1993: Pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dalam runtuhan itu. Antara yang dijumpai lengan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang.

Empat mayat reput itu dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan. Pasukan penyelamat memutuskan untuk menggunakan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan.

16 Disember 1993: Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar daripada HKL.

17 Disember 1993: Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan penyelamat supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan.

18 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak.

19 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui tiga mayat iaitu satu mayat wanita reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga, lelaki jam 10.15 malam.

20 Disember 1993: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan pangsapuri Highland Towers. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, sembilan bahagian badan dan 10 cebisan anggota iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan. Dr Nik Ramlan Nik Hassan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Teknikal Menyiasat Tragedi Highland Towers.

Kondominium itu dimiliki dan dimajukan oleh Highland Properties Sdn Bhd. menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Towers.

14 Oktober 1997: Bekas presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong, memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Towers yang runtuh tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat. Beliau menyatakan pelukis pelan itu, Wong Tin Sang, hanya mempunyai kelayakan untuk mendirikan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak lebih dua tingkat.

14 November 1997: Koroner Mohd Radhi Abas dari Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan tragedi Highland Towers bukan disebabkan sebarang unsur
jenayah dan bencana alam, tetapi adalah satu kejadian nahas dan kecederaan berganda yang menimpa mereka selepas pangsapuri terbabit runtuh.

Saman dikemukakan oleh 73 pemilik blok dua dan tiga pangsapuri Highland Towers dan perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk James Foong.

Saman terhadap pemaju dan sembilan lain bagi kerugian yang dialami antara RM31 juta hingga RM35 juta. Kumpulan itu menyaman Highland Properties Sdn Bhd, pelukis pelan Wong Tin Sang, jurutera Wong Yuen Kean, Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ), Arab-Malaysian Finance Berhad, Developments Sdn Bhd dan Metroplux Sdn Bhd..

Selasa, Disember 06, 2011

Ombak Rindu Yang Sangat Menyentuh Hati

Ombak Rindu - Filem Drama Mengasyikkan
Ulasan Oleh Amiene Rev

Para pelakon: Aaron Aziz (Hariz), Maya Karin (Izzah), Lisa Surihani (Mila Amylia)

Saya pasti peminat-peminat setia dan tegar novel Ombak Rindu pasti sudah menonton filem Ombak Rindu. Walaupun mereka sudah tahu jalan ceritanya, namun apa yang mereka ingin lihat ialah bagaimana imaginasi mereka tentang Izzah dan Hariz direalisasikan ke dalam bentuk visual, bentuk video atau filem. Tulisan saya ini mengandungi jalan cerita filem Ombak Rindu dari mula sehingga tamat, namun sebagai seorang pemerhati filem, saya tidak pernah menganggap pendedahan jalan cerita ini sebagai spoiler. Ini kerana sebagai pemerhati filem, saya menikmati sesuatu filem itu bukan kerana mahukan kejutan kerana  tidak tahu jalan ceritanya, tetapi kerana hasil pembikinan filem tersebut dari segi lakonan, dialog, visual dan runut bunyi untuk menyampaikan jalan cerita. Saya mendapat keseronokan menonton filem kerana seni dan tekniknya, bukan kerana terhibur. Oleh itu kepada mana-mana pembaca yang tidak mahu 'spoiler' maka mungkin tulisan saya ini tidak begitu sesuai untuk anda. Namun bagi pembaca novel Ombak Rindu, saya sedia maklum, mereka sudah tahu jalan ceritanya. Jalan cerita awalnya mungkin tidak sama dengan sinopsis Ombak Rindu versi novel.

Naskah novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari, sememangnya sebuah karya yang mampu mengusik jiwa. Dalam novel Ombak Rindu, emak saudara Izzah digambarkan sebagai seorang antagonis, namun di dalam filem Ombak Rindu, emak saudara Izzah digambarkan sebagai seorang yang baik. Izzah, merupakan seorang gadis, seorang ustazah, seorang anak yatim piatu bernama Izzah yang sering dizalimi oleh pakciknya, telah dijual ke sebuah pusat pelacuran. Daripada seorang ustazah bertudung menutup aurat, Izzah telah dibawa ke jalan hina. Pada malam pertama Izzah dinodai, adalah detik pertemuannya dengan lelaki yang bernama Hariz, yang kemudiannya telah menyelamat Izzah dari dunia pelacuran dan menjadikan Izzah sebagai perempuan simpanan. Izzah walau bagaimana pun enggan menjalinkan hubungan sulit dengan Hariz melainkan secara halal.

Hariz menyedari bahawa Izzah sememangnya bukan perempuan murahan yang hina, yang sanggup menjual dan membenarkan mana-mana lelaki menyentuh badannya. Hariz juga sedar Izzah seorang yang kuat pegangan agamanya. Oleh itu, Hariz telah membawa Izzah bernikah di Siam, dan kemudian barulah mereka berdua dapat bersama sebagai pasangan suami isteri.

Hariz yang memiliki sifat yang ganas sebenarnya memiliki hati yang baik. Lama-kelamaan cinta Hariz terhadap Izzah mula muncul, dan untuk selama dua tahun, mereka berdua dapat mengecapi kehidupan yang bahagia. Kemudian,  kehadiran Mila Amylia yang merupakan kekasih lama Hariz, telah menggugat cinta antara Hariz dan Izzah. Tanpa mengetahui bahawa Izzah adalah perempuan yang dicintai oleh Hariz, Mila Amylia telah menjadi kawan baik Izzah, dan pada masa yang sama telah menjadikan Izzah sebagai tempat meluahkan perasaan sedihnya kerana Hariz tidak mencintainya. Izzah merahsiakan kisah dirinya sebagai isteri pertama Hariz daripada pengetahuan Mila Amylia, dan menanggung derita sendiri.

Namun kisah cinta Izzah dan Hariz akhirnya terbongkar juga. Mila Amylia tidak mampu menyalahkan Izzah, kerana sebelum ini, Hariz pernah memberitahu hasratnya untuk tidak mahu berkahwin dengan Mila, dan telah memberitahu Mila bahawa dia sudah memiliki wanita lain di hatinya. Namun kedegilan Mila untuk melangsungkan perkahwinan dengan Hariz, ditambah lagi dengan sokongan ibu bapa Hariz, menyebabkan Hariz tidak ada pilihan selain berkahwin dengan Mila. Malah Hariz juga selama ini tidak pernah mencintai Mila, Mila cuma seorang gadis yang mahu dijodohkan kepadanya sebagai tanda ikatan dua keluarga yang masing-masing mewakil satu syarikat gergasi yang besar. Malah, tujuan perkahwinan Hariz dan Mila sebenanya adalah bertujuan untuk mengukuhkan perniagaan ibu bapa Hariz dan Mila.

Datin Sufiah yang mengetahui kehadiran Izzah yang telah menyebabkan Hariz tidak mahu berkahwin dengan Mila, telah memfitnah Izzah dan menyebabkan Hariz untuk seketika, membenci Izzah. Namun, Hariz dikejutkan oleh satu berita benar, bahawa beliau sebenarnya bukan anak kandung Datin Sufiah. Malah, Hariz juga akhirnya mengetahui bahawa Datin Sufiah telah memfitnah Izzah. Hariz kembali mendapatkan Izzah.

Di kampung, selepas berpisah dengan Hariz, Izzah meneruskan pekerjaannya sebagai seorang ustazah. Hariz yang telah menyesal, kembali mendapatkan Izzah. Pada masa yang sama, Mila Amylia mengekori Hariz dan bersemuka secara baik dengan Izzah. Mila sedar bahawa dia yang telah merampas Hariz dari Izzah. Mila tidak mahu terus hidup bermadu. Mila meminta secara baik kepada Hariz untuk menceraikannya. Akhirnya, Mila dan Hariz hidup bahagia bersama. Mila pula telah berjaya menjadi seorang pelakon terkenah yang memenangi banyak anugerah.

Filem Ombak Rindu dibintangi oleh ramai pelakon hebat. Maya Karin, Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Malah barisan pelakon pembantunya juga hebat-hebat belaka. Zaidi Omar, Blon Palare, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan dan Julia Ziegler juga dikenali sebagai pelakon drama yang hebat. Kemunculan gandingan pelakon hebat, ditambah lagi dengan skrip yang diolah daripada sebuah novel popular, menghasilkan sebuah karya hebat.

Watak Izzah yang dilakonkan oleh Maya Karin memiliki kekuatan. Filem Ombak Rindu mengingatkan saya kepada drama Nur Kasih, di mana terdapatnya watak perempuan beriman, dan lelaki yang ganas tetapi memiliki kemuliaan dalam hatinya. Formula ini telah bertahun-tahun membantu menghasilkan karya yang digemari di pasaran. Namun Ombak Rindu muncul jauh lebih awal berbanding berbanding Nur Kasih. Malah, Ombak Rindu kini diulang cetak untuk kali ke 19. Ternyata Ombak Rindu bukan sebarangan karya, ia merupakan sebuah karya yang dicintai dan disanjung. Ada segelintir pembaca yang mengakui novel ini telah hilang dari simpanan mereka (sama ada dipinjam oleh orang lain dan tidak dipulang-pulang sampai kini), dan mereka mahu membelinya semula. Ini menunjukkan karya Ombak Rindu ini merupakan sebuah karya yang berpengaruh.
Sebuah novel yang hebat, mesti disokong oleh gandingan para pelakon yang hebat, supaya filemnya mampu setanding dengan karya asalnya. Sebab jika filem yang terkemudian dilahirkan itu gagal menandingi karya asalnya, maka para peminat setia novel tersebut pasti akan mengkritik filem itu habis-habisan. Mana-mana pengarah atau penerbit filem yang gagal memahami kenyataan ini, sekiranya mereka menghasilkan filem dengan cara paksa atau tidak sensitif, maka karya yang terkemudian itu akan binasa di pasaran layar perak.

Sebuah filem hebat yang dihasilkan dari karya hebat, tetapi tanpa pelakon yang hebat, akan musnah. Ketelitian penerbit dan pengarah filem Ombak Rindu dalam memilih pelakon, akhirnya telah menjamin keselamatan filem ini daripada kemusnahan, Ucapan tahniah, harus diberikan kepada kedua-duanya.

Sesekali ada juga kecacatan dari aspek fokus visual, di mana ada sesetengah watak utama kelihatan kabur, seolah-olah tersalah titik fokusnya. Saya tidak pasti sama ada ini disengajakan atau tidak, namun sejujurnya saya menyatakan, hal ini, salah fokus, sedikit sebanyak ada mengganggu penghayatan, tetapi kesalahannya adalah agak kecil.

Filem Ombak Rindu mengusik jiwa saya sepanjang perjalanan ceritanya. Lagu tema, biarpun diulang-ulang tetapi itulah jiwa filem ini. Sebuah filem sukar dihayati sepenuh hati jika lagu temanya tidak asli. Geseran violin menambahkan lagi kesayuan dalam filem ini. Ombak dan pemandangan indah, serta visual yang menarik menghidupkan filem ini dari aspek seni. Filem Ombak Rindu muncul sebagai satu lagi karya seni yang seronok untuk dihayati.

Fakta Filem Ombak Rindu

Pengarah : Osman Ali
Penerbit : Sharad Sharan
Pengarang : Fauziah Ashari
Suntingan : Affandi Jamaludin
Mula tayangan : 1 Disember 2011
Negara : Bendera Malaysia Malaysia
Bahasa : Bahasa Melayu
Perbelanjaan : RM 1.56 juta

Watak utama
Aaron Aziz sebagai Hariz
Maya Karin sebagai Izzah
Lisa Surihani sebagai Mila Amylia
Bront Palarae sebagai Mail

Watak pembantu
Julia Ziegler sebagai Wafiah
Azizah Mahzan sebagai Datuk Sufiah
Zaidi Omar sebagai Pak Dollah
Normah Damanhuri sebagai Mak Jah

Sabtu, November 26, 2011

Misteri Jalan Lama - Sinopsis dan Ulasan

 POSTER FILEM MISTERI JALAN LAMA

Moral Dalam Filem Misteri Jalan Lama
Dalam Filem Misteri Jalan Lama, dua adik beradik kembali berdamai setelah 15 tahun berpisah. Indra yang pada mulanya sangat benci pada bapanya, berubah hati selepas menemui satu folio atau buku skrap yang mengandungi segala artikel tentang dirinya. Dalam erti kata lain, biarpun sudah 15 tahun Indra melarikan diri dari rumah, ayahnya masih tetap mencari berita tentang dirinya. Indra kembali berbaik dengan Ilya dan cuba menunaikan hajat bapanya yang terakhir.

Afdlin Pegang Watak Jahat
Apakah perkara yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama?  Perkara pertama yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah apabila Afdlin Shauki memegang watak jahat dan tidak menunjukkan wajah sebenarnya melainkan bertopeng, kostum dan solekan yang langsung tidak menunjukkan rupa sebenarnya. 

Rock 2 Filem Terakhir Lakonan Que Haidar?
Perkara yang kedua yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah kemunculan semula Que Haidar selepas lama tidak berlakon. Que Haidar sebenarnya sudah mengumumkan persaraannya dalam bidang lakonan. Filem terakhir lakonannya ialah Rock 2 arahan Mamat Khalid.

Kenapa Que Haidar Tidak Mahu Promosi Filem Misteri Jalan Lama?
Perkara ketiga yang menarik tentang filem Misteri Jalan Lama ialah filem Misteri Jalan Lama sebenarnya sudah terperap sejak dua tahun lalu. Que Haidar juga dikatakan tidak berminat untuk mempromosikan filem Misteri Jalan Lama ini kerana ada satu babak yang tidak disenangi oleh Que Haidar.

Babak Seks Dalam Filem Misteri Jalan Lama Tidak Menyenangkan Penonton
Di dalam filem Misteri Jalan Lama ini terdapat satu adegan babak seks yang bertapis pada malam perkahwinan Ilya dan Sara di perkampungan Niyan. Pada mulanya ramai penonton berpendapat bahawa Ilya telah berzina dengan Sara, gadis Niyan, dengan dialog berbentuk sindiran yang keluar dari mulut Ilya "Semua orang kampung kat sini macam ni ke?" merujuk kepada perbuatan zina tanpa segan silu yang bakal dilakukan oleh Ilya dan Sara. Namun, selepas itu, ketika Ilya pergi bertemu Ratu Dewata untuk meminta maaf atas keterlanjurannya berzina dengan Sara, barulah Ilya sedar bahawa dia telah pun melalui majlis perkahwinan dengan Sara pada malam majlis kenduri yang diadakan oleh orang Niyan. Rupa-rupanya malam tersebut ialah malam perkahwinan antara Sara dengan Ilya.

Adakah Persamaan Antara Filem Misteri Jalan Lama dengan Filem Libas?
Memandangkan penggunaan CGI dalam filem Misteri Jalan Lama ialah teknologi sekitar dua tahun lalu, maka kelemahan teknik CGI yang kurang realistik, khususnya bahtera terbang yang mendarat di jalan raya, dan beberapa lagi kesan khas yang lain adalah setara dengan teknik CGI dalam filem Cicakman 2. Ini bukan satu masalah besar, namun babak Que Haidar terbang ke langit kelihatan agak kelakar kerana walaupun tidak ada tali, Que Haidar seolah-olah diangkat oleh sesuatu dalam keadaan tidak bersedia atau ragu-ragu.

Begitu juga kostum yang dipakai oleh Que Haidar menyebabkan penonton ketawa kerana babak-babak ini mengingatkan para penonton pada filem Power Ranger. Lakonan yang hebat dengan kesan khas janaan komputer yang kurang realistik menyebabkan saya teirngatkan filem Libas. Lakonan Rosyam Nor dalam filem Libas memang hebat, tetapi kesan khasnya kurang memuaskan. 

Babak beberapa orang halus tanpa wajah yang ketawa terbahak-bahak semasa menonton filem seram di sebuah gerai misteri juga tidak memuaskan. Kenapa mesti wajah mereka dikaburkan seperti ditapis?

Namun begitu, cuba imbas kembali watak beruang yang tidak realistik dalam Papadom. Adakah kostum beruang tersebut mencacatkan jalan cerita Papadom? Bagi yang serius tentang teknik CGI atau realistik dalam filem, pasti itu akan menjadi satu kritikan berat. Namun, hakikatnya filem-filem Afdlin Shauki tampak lebih mengutamakan mesej dan lakonan watak untuk menyampaikan mesej berbanding kesan khas, kostum dan sebagainya. Pedulikan tentang CGI, hayati mesej filem Misteri Jalan Lama. Layan!

Penamat Filem Penuh Persoalan
Filem Misteri Jalan Lama ditamatkan dengan pemergian Que Haidar atau Ilya bersama orang-orangnya untuk membuat persiapan bagi menghadapi serangan daripada orang-orang Harak pada kemudian hari. Sementara itu, Hans Isaac atau Indra pula berjalan kaki kerana keretanya telah dirampas oleh Botak sebagai bayaran hutangnya kerana kalah judi semasa Indra berjudi dengan Botak. Persoalan yang timbul ialah adakah Filem Misteri Jalan Lama ada sambungannya? Bagaimanakah kesudahan perang antara Ilya dan Harak? Adakah Indra betul-betul bebas dari cengkaman botak? Bagaimana pula dengan majlis pengkebumian ayah Indra? Adakah Indra akan menghadiri majlis tersebut? Adakah Que Haidar akan berlakon dalam sambungan filem Misteri Jalan Lama sekiranya ada sambungannya?

Kesimpulan yang dapat saya buat ialah Filem Misteri Jalan Lama sememangnya filem yang benar-benar misteri. Saksikan lakonan hebat Que Haidar, Hans Isaac, Vanidah Imran, Afdlin Shauki dan ramai lagi dalam filem Misteri Jalan Lama di panggung, dan jangkalah sendiri jawapan bagi setiap persoalan dalam filem ini.

Sinopsis: 
Sebuah kisah yang menakjubkan tentang dua dunia berbeza, namun berlandaskan kasih sayang. Dua beradik, Indra dan Ilya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian ayah mereka, Iskandar. Indra adalah anak kandung Iskandar yang menjadi pelumba kereta profesional, tetapi kuat berjudi dan seringkali meminjam daripada ah long. Hidupnya kini diburu gangster. Manakala Ilya pula adalah anak angkat Iskandar yang diberikan oleh ‘seseorang’ ketika Iskandar melalui sebatang jalan lama 25 tahun dahulu. Ilya seorang anak yang baik, yang banyak membantu Iskandar membina kerjayanya. Iskandar juga sangat sayangkan Ilya. Ini jugalah yang menjadi punca ketidakpuasan hati Indra, lalu membawa diri jauh daripada keluarga. Pada hari kematian Iskandar, buat pertama kalinya selepas 15 tahun, Indra ke pejabat ayahnya untuk mengambil surat wasiat yang ditinggalkan untuknya. Indra diminta membawa Ilya pulang, kerana Ilya tidak tahu memandu. Ketika di lebuhraya, Indra dikejar oleh gangster. Lalu Indra mengambil keputusan menggunakan jalan lama. Ketika melalui jalan lama, tidak semena-mena mereka memasuki ‘dunia lain’. Pelbagai peristiwa pelik dialami mereka sepanjang berada di dunia tersebut. Daripada diganggu oleh makhluk mengerikan hinggalah kepada sesuatu yang mengasyikkan. Apakah akan terjadi kepada mereka berdua ? siapakah sebenarnya sebenarnya mereka ? Apakah yang terdapat di jalan lama tersebut ?

Misteri Jalan Lama 
Pengarah : Afdlin Shauki 
Syarikat Penerbit : Tayangan Unggul Sdn. Bhd. 
Bahasa : Bahasa Melayu 
Kategori : Filem Cereka 
Genre : Keluarga, Drama Klasifikasi : U - Untuk tontonan umum 
Tarikh Tayangan : 24 November 2011 
Audio : Surround Sound Format : 35mm 

Penulis: 
Afdlin Shauki : (Cerita Asal) 
Afdlin Shauki : (Lakon layar) 
Afdlin Shauki : (Scriptwriter) 

Lakonan: 
Que Haidar : Ilya (Pelakon Utama) 
Hans Isaac : Indra (Pelakon Utama) 
Datuk Ahmad Tamimi Siregar : Iskandar (Pelakon Utama) 
Vanidah Imran : Old Lady / Queen Devata (Pelakon Pembantu) 
Sabrina Mohammed Hassan : Sara ( Isteri Indra ) (Pelakon Pembantu) 
Namron : Botak (Pelakon Pembantu) 
Adam Corrie : Zak (Pelakon Pembantu) 
Sobri Anuar : Zaidi (Pelakon Pembantu) 
Afdlin Shauki : Harak (Pelakon Pembantu) 
Nasir Bilal Khan : Old Man / King Dewata (Pelakon Pembantu) 
Yalal Chin : Pemilik Gerai (Pelakon Pembantu)
Liyana Jasmay : Awek Botak (Pelakon Pembantu) 
Sufian Mohamed : (Pelakon Pembantu) 

Krew: 
Helmi Yusof : (Pengarah Fotografi) 
Pacai : (Muzik)
Azlan Suhaimi : (Jurukamera) 
Ahmad Reedzuan Rahmad : (Gaffer) 

Penerbit: 
Gayatri Su-Lin : (Penerbit Eksekutif) 
Noraini Ridzuan : (Penerbit Bersama)

Ahad, November 13, 2011

Alamak Toyol - Legasi Raja Lawak dan Geng Bas Sekolah

ALAMAK TOYOL adalah nama bagi sebuah filem arahan Bob Hashim yang juga pengarah filem box office Ngangkung. Angah Raja Lawak atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, dan Along Cham (Raja Lawak juga) merupakan dua bintang utama filem ini selain seekor toyol yang dilakonkan oleh Muhammad Afiq Izzuddin yang juga merupakan watak antagonis dalam Geng Bas Sekolah versi baru. Hamid Gurkha juga turut beraksi sebagai Pak Umar yang terbeli toyol hijau murah yang tak tahu mencuri dalam filem ini sebelum menjualnya kepada Angah dan Along. Dalam filem ini, watak toyol hijau digambarkan sebagai toyol yang paling murah dan tolol kerana tidak tahu mencuri. Ini berbeza dengan Toyol 8 Juta yang mampu mencuri dengan selamba di rumah orang kaya sebelum memandu kereta mewah pacuan empat roda.

Jalan cerita ALAMAK TOYOL tidak sama seperti konsep filem komedi basi yang sebelumnya terkenal dengan lawak memperbodoh-bodohkan penonton. Filem ALAMAK TOYOL tampil dengan cadangan idea kreatif iaitu, jika selama ini kita tahu toyol pandai mencuri, bagaimana pula jika kita buat cerita tentang toyol yang tidak pandai mencuri sehingga memeningkan kepala tuannya. Dalam filem ALAMAK TOYOL ini, watak toyol bukan digambarkan sebagai hamba atau jin suruhan, tetapi digambarkan sebagai mempunyai hubungan rapat seperti saudara kandung dengan tuan-tuannya. Angah telah menganggap si Toyol Hijau seperti adik kandungnya walaupun dia tahu toyol itu adalah 'setan'. Toyol dalam filem ALAMAK TOYOL juga tidak menakutkan walaupun toyol ini mempunyai kebolehan untuk membunuh. Toyol Hijau ini bersifat manja dan suka bermain-main.

Jadi, sebenarnya bagaimana Angah dan Along boleh terambil Toyol sebagai adik angkat mereka? Kisahnya bermula dengan Pak Umar lakonan Hamid Gurkha yang pergi membeli Toyol Hijau yang murah daripada seorang bomoh penyimpan toyol. Terdapat banyak koleksi toyol, ada yang gemuk, perkasa dan kurus. Ada yang berharga sehingga 8 juta. Toyol 8 Juta dikatakan sebagai milik David Teo sebelum David Teo menjadi kaya-raya. Ini adalah unsur parodi dalam filem ALAMAK TOYOL.

Oleh kerana tidak tahan dengan Toyol yang tidak pandai mencuri, Pak Umar pun mengembara ke seluruh bandaraya untuk mencari orang yang mahu menerima toyol tersebut. Secara tidak sengaja, Pak Umar telah cuba disamun oleh Angah dan Along. Pak Umar pun menawarkan Toyol kepada Angah dan Along. Apabila Angah dan Along enggan menerima Toyol, Pak Umar pun mengekori Angah dan Along sehinggalah pada akhirnya Angah dan Along menerima Toyol tersebut.

Cerita ALAMAK TOYOL menerima tepukan daripada para penonton di panggung wayang, barangkali kerana keberanian Muhammad Afiq Izzuddin melakonkan watak toyol dan juga kejayaan Angah dan Along membawa watak mereka sebagai peragut, penyamun dan perompak yang sering bernasib malang. Berdasarkan kepada respon para penonton terhadap filem ALAMAK TOYOL di panggung, saya percaya filem ALAMAK TOYOL mampu menjadi sebuah filem box office juga. Tahniah kepada semua krew penerbitan dan para pelakon filem ALAMAK TOYOL.

Isnin, Oktober 31, 2011

Filem Nasi Lemak 2.0

FAKTA FILEM NASI LEMAK 2.0
  • Fred Chong, Prodigee Media Entertainment, penerbit filem Nasi Lemak 2.0.
  • Namawee, Pengarah yang juga pelakon utama Filem Nasi Lemak 2.0.
  • Filem Nasi Lemak 2.0 yang ditayang di panggung wayang sekitar bulan September lalu berjaya mengutip sekitar 7 juta ringgit
  • Dalam keadaan pasaran filem tempatan yang tidak menentu, tiba-tiba filem terbabit mendapat sambutan cukup hebat daripada peminat. Ada sesetengah filem tempatan, hendak capai RM1 juta kutipan tiket pun susah bukan main lagi. Nasi Lemak 2.0 pula, walaupun tidak pernah menduduki carta pertama filem pecah panggung, tetap memungut laba yang tinggi. Jadi, pasti ada sesuatu yang menarik mengenai filem Cina yang turut memuatkan dialog dalam bahasa Melayu dan Tamil ini.
  • Kekuatannya banyak terletak kepada gabungan karakter dan elemen budaya pelbagai kaum di negara ini. Walaupun ia filem berbahasa Cina, namun ada watak Melayu dan India juga di dalamnya. Jadi, semua orang boleh berasa dekat dengan paparan yang diberi.
  • Namewee, Karen Kong, Dennis Lau, Ho Yuhang, Pete Teo dan Kenny & Chee, filem ini turut mengundang pelakon Melayu dan India seperti Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nur Fathia, Datuk David Arumugam, Reshmonu dan Nadine Ann Thomas. Memang 1Malaysia sangat bentuknya.
  • Bukan saja penonton Cina, tetapi peminat filem daripada bangsa lain juga khabarnya berebut-rebut menonton Nasil Lemak 2.0.

Sabtu, Oktober 22, 2011

Sinopsis KLIP 3GP - Kutipan KLIP 3GP memberangsangkan

SINOPSIS KLIP 3GP Eddie pada usia hanya sekitar 20-an sudah merasa kejayaan urusan perniagaannya di Internet. Dia seorang jejaka yang memiliki segalanya – tampan, menikmati kehidupan mewah dan juga teman wanita sekeliling pinggang. Tanpa diketahui sesiapa, Eddie sebenarnya meraih keuntungan daripada perniagaan yang membeli dan menjual klip-klip pornografi dan sensasi di Internet. Maya Akhtar pula adalah seorang jurnalis yang komited terhadap kerjayanya. Malangnya, dia telah jatuh mangsa kepada ugutan Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka. Lebih mengejutkan lagi, perbuatan Sunny ini disokong oleh isterinya sendiri Rita, kerana inilah cara mereka membuat duit, dengan memperdaya wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut mangsa kemudian. Suria, Mina dan Zakiah adalah tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu berubah menjadi suatu peristiwa yang menyeramkan apabila mendapati diri mereka diburu oleh satu makhluk yang mengerikan. Sandra adalah seorang gadis sekolah yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri. Lebih dari itu, Sandra satu hari telahdiperkosa beramai-ramai oleh satu geng motosikal yang dianggotai Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Acara perkosaan ini telah dirakamkan oleh geng ini melalui kamera telefon bimbit Jefri. Dalam filem 3GP, kehidupan watak-watak berbeza ini akhirnya bersulaman dan berkait melalui pembocoran klip-klip 3gp mereka kepada masyarakat Internet –dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik. Kutipan KLIP 3GP memberangsangkan sumber: hmetro.com.my SEJAK mula ditayangkan di pawagam pada 13 Oktober lalu, filem sensasi KLIP 3GP mencatat kutipan hampir RM1 juta untuk tempoh seminggu. Filem arahan Aidilfitri Mohd Yunus ini dijangka terus menerima sambutan peminat yang masih belum menyaksikannya. Jumlah ini dianggap agak baik dan memberangsangkan kerana menampilkan ramai muka baru serta karya pengarah baru melalui Skim Layar Baru yang diperkenalkan Primeworks Studios Sdn Bhd bagi mengetengahkan karyawan seni berbakat. Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, filem yang dikategorikan dalam bajet rendah ini mencatat kutipan boleh dibanggakan dan satu permulaan yang baik. “Skim khas ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pengkarya muda mempertaruhkan karya unik mereka. Walaupun wujud beberapa kontroversi membabitkan filem ini, namun perlu saya tekankan di sini bahawa kontroversi itu bukan di kalangan pihak produksi. “Kami tidak pernah mengharapkan kontroversi. Pada kami kontroversi yang tidak benar bukan satu cara untuk mempromosikan filem,” katanya. Tambahnya, filem ini bukan sekadar ingin menghiburkan, sebaliknya sarat dengan mesej dan pengajaran tersendiri. Menariknya, ia masalah sosial yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat. “Apa yang kami paparkan adalah realiti sebenar dan kejadian yang ada di sekeliling kita. Mahu atau tidak, itu adalah virus dan masalah yang melanda masyarakat kita sekarang. Justeru, kami cuba tampilkan konsep itu dalam penceritaan lebih realistik supaya penonton dapat memahami dan menerima mesej yang cuba disampaikan. “Saya bersyukur kerana semua pelakon memberikan lakonan terbaik serta mengikut garis panduan skrip yang kami inginkan. Melihat keseluruhan babak dan plot ceritanya, saya percaya ia sesuatu yang berlainan berbanding filem lain,” katanya. Katanya, mungkin ada segelintir pihak yang menganggap filem ini cuba mempertaruhkan babak seks keterlaluan. Ada pula mempersoalkan mengenai ‘tagline’ filem itu - Ganas, Gerun & Ghairah. Bagaimanapun kata Tengku Iesta, ‘tagline’ berkenaan sekadar gimik semata-mata. “Jika diikutkan, filem ini tidak menampilkan aksi di luar batasan kerana ia berdasarkan ekspresi lakonan dan mimik wajah saja. Filem ini juga melepasi kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) 100 peratus yakni tanpa ada potongan. “Malah berdasarkan pemerhatian kami, walaupun filem ini dikatakan mencetuskan kontroversi, ia mendapat maklum balas positif daripada penonton kerana temanya sangat relevan dengan kepincangan masyarakat masa kini. “Bagi yang belum menonton Klip 3GP, jangan lepaskan peluang menontonnya yang kini masuk minggu kedua tayangan,” katanya. KLIP 3GP mengisahkan kegiatan remaja dan anak muda yang menyalahgunakan kecanggihan rakaman video pada telefon bimbit. Ada yang menjadi mangsa rogol dan tidak ketinggalan kes peras ugut untuk mendapatkan wang. Selain itu, ada pihak yang menjual rakaman video entiti yang dianggap sebagai hantu dan makhluk halus. Filem ini menampilkan lakonan membanggakan daripada anggota One Nation Emcees, Sabhi Sadhi, Adeline Tsen, Fikhree Bakar, Faralyna Idris dan Zahiril Adzim.

Selasa, Jun 14, 2011

PEKIDA - Datuk Yusof Haslam - Filem KL Gangster - Filem Kongsi - David Teo

Kisah antara PEKIDA dengan Dato Yusof Haslam Penerbit Filem KL Gangster,
dan David Teo Penerbit Filem Kongsi 2011.


Watak-watak dalam KL Gangster

Datuk Yusof Haslam - Pekida Tak Perlu Ugut SUMBER: Harian Metro Online

KUALA LUMPUR: “Kenapa saya perlu minta maaf sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata pengarah dan produser terkenal, Datuk Yusof Haslam berhubung tuntutan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) yang memberi masa tujuh hari kepadanya untuk memohon maaf selepas mendakwa filem KL Gangster seolah-olah menggambarkan Pekida sebagai sebuah kumpulan samseng.

Pengarah Urusan Skop Production Sdn Bhd itu berkata, sebagai orang lama dalam dunia perfileman, beliau tahu apa yang boleh dan tidak dalam sesebuah filem, malah KL Gangster sudah dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum ditayangkan di pawagam.

“Saya berusia 57 tahun dan sangat lama dalam bidang ini. Sudah puluhan drama dan filem berbentuk kepolisan serta jenayah kami terbitkan, kami sentiasa berhati-hati memantau semua sudut produksi supaya tidak menyentuh sensitiviti atau menyinggung mana-mana pihak.

“Saya tidak tahu apa motif mereka (Pekida) sehingga boleh memberi tempoh kepada saya memohon maaf. Bagaimana kita mahu memartabatkan industri perfileman kalau perkara begini berlaku,” katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan/Putrajaya/Labuan, Datuk Roslan Dahaman mendesak penerbit filem KL Gangster dan Kongsi memohon maaf kerana mendakwa filem berkenaan menggunakan empat perkataan sinonim dengan pertubuhan itu iaitu ayahanda, abang long, kak long dan abang kawasan, seolah-olah mengaitkan Pekida sebagai kumpulan gengster.

Salah satu babak di dalam Filem Kongsi

Pekida Minta David Teo, Yusof Haslam Mohon Maaf

Sumber: mStar Online

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Roslan Dahaman memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua penerbit filem Kongsidan KL Gangster untuk meminta maaf secara terbuka.

Kedua-dua penerbit itu ialah Datuk Yusof Haslam dari Skop Production yang menerbitkan KL Gangster dan David Teo dari Metrowelth Movie Productions (Kongsi).

Katanya, jika kedua-dua penerbit filem tersebut enggan berbuat demikian mereka akan membawa perkara berkenaan kepada pihak atasan termasuk ke Parlimen.

"Isu kedua-dua filem ini telah menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Kami memberi masa selama tujuh hari untuk kedua-dua penerbit itu meminta maaf secara terbuka.

Ahli Pekida berkunjung ke pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia bagi membantah filem Kongsi dan KL Gengster.

"Mereka yang menimbulkan perkara ini dan sepatutnya bertanggungjawab. Kami hanya meminta mereka meminta maaf secara terbuka atas kesilapan tersebut," ujarnya pada sidang di pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), di sini, Jumaat.

Majlis sidang media tersebut diadakan berikutan isu penggunaan dialog dan pekara-pekara lain dalam filem tersebut telah menyentuh perjuangan Pekida.

Tambah Roslan, pihaknya tidak mahu perkara berkenaan berulang kembali sehingga menjadi ikutan kepada penerbit filem tempatan dalam menghasilkan karya masing-masing.

"Saya tidak mahu apa yang dihasilkan dalam dua filem itu menjadi trend penerbit lain apabila mereka mmenghasilkan filem seumpama itu," tuturnya.

Dalam pada itu, Pengerusi LPFM, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata penapisan terhadap filem berkenaan dibuat mengikut garis agensi itu.

"Pihak kami membuat tapisan mengikut empat garis panduan utama iaitu mengambil kira soal keselamatan, kententeraman awam, sensitiviti agama dan tatasusila masyarakat.

"Kedua-dua filem tersebut melepasi keempat-empat tapisan tersebut dan selepas dinilai seramai 70 ahli panel LPFM," katanya.

Bagaimanapun Hussain berkata pihaknya meminta maaf dan mengaku kesilapan mereka melepaskan kedua-dua filem tersebut.

"Saya dan ahli panel yang menilai filem ini tidak arif tentang sensitiviti yang berkaitan dengan apa-apa juga pertubuhan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

"Kami berjanji selepas ini pemantauan lebih ketat akan dilakukan terutamanya melibatkan sensitiviti segelintir pihak," jelasnya.

Katanya, dia akan membuka peluang kepada ahli Pekida untuk menjadi ahli panel bagi filem-filem akan datang sekiranya ia menjurus kepada pertubuhan tersebut.