BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Karak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karak. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 15, 2012

Gambar Jalan Karak Berhantu - Tempat Keras - Gangguan Makhluk Halus


Gambar Jalan Karak Berhantu - Tempat Keras

Laluan dari Karak ke Melaka melalui jalan pintas, iaitu jalan lama menuju ke Bahau. Banyak selekoh tajam berkembar. Jalan diselubungi kabus tebal dan gangguan makhluk halus. Pelbagai cerita misteri, seram dan pelik diceritakan orang berkenaan tempat ini.

Ahad, Jun 12, 2011

Kisah Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Aksi Penonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku

Kisah seram di lebuh raya Karak kini semakin hangat dibicarakan selepas munculnya Filem Karak. Filem Karak membicarakan tentang 'urban legend' atau kisah-kisah seram yang meremangkan bulu roma dan dikatakan benar-benar berlaku dan menjadi topik perbualan orang ramai sehingga kini. Entri ini mengandungi dua bahagian judul iaitu:
  • Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
  • Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
Penulis: Amiene Rev

Sesiapa yang pernah menonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku, dan Karak - Jalan Puaka mungkin akan mengetahui serba sedikit mengenai apa yang ingin saya bicarakan dalam tulisan saya kali ini

Dalam Filem Momok The Movie, terdapat enam peristiwa aneh melibatkan makhluk halus atau gangguan hantu puaka di sepanjang perjalanan mereka. Pertama, hantu budak yang mampu berlari laju mengejar kereta mereka. Kedua, kereta Volkswagen kuning tanpa pemandu. Ketiga, Gerai Bunian di tepi jalan. Keempat, puntianak penghaus darah yang menyamar sebagai gadis cantik. Kelima, misteri panggilan daripada arwah kawan mereka. Keenam, misteri kewujudan lelaki pelik yang dikenali sebagai Abang Long yang menumpang kenderaan mereka sepanjang malam, yang turut mengenali makhluk-makhluk halus dan pontianak yang ditemui mereka.

Dalam Filem Karak pula, terdapat beberapa jenis hantu yang dipamerkan. Antaranya ialah hantu misteri yang memakan suami orang, perempuan tua yang boleh terbang, hantu budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku dan perempuan cantik yang kepalanya boleh tercabut serta Volkswagen kuning yang tidak putus-putus muncul dan memintas kereta watak-watak utama filem Karak.

Hantu Budak Sesat Cari Emak dan Hantu Budak Sekolah Buta Mata yang menghalang jalan ada persamaan dari fungsi gangguannya. Kedua-dua hantu ini mengganggu pengguna jalan raya. Dalam filem Momok The Movie, hantu ini membiarkan dirinya dilanggar pemandu kenderaan dan kemudian pemandu yang prihatin akan menyiasat apa yang dilanggar. Budak ini kemudiannya memunculkan dirinya dan kelihatan amat misteri dan seram.

Dalam filem Karak pula, budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku berdiri di tengah jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu kenderaan terbabas semata-mata terkejut dan mahu mengelakkan diri dari melanggar budak tersebut. Kawasan tempat budak sekolah bermata buta dicucuk paku itu diwartakan sebagai kawasan angin lintang. Nampaknya selepas ini, mungkin ada pemandu kenderaan yang menggunakan lebuh raya Karak atau mana-mana lebuh raya akan berasa takut dengan kawasan yang ada ditandakan sebagai kawasan angin lintang. Ini adalah satu lagi versi hantu budak sesat cari emak di Lebuh Raya Karak.


Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak
Diceritakan Semula Oleh: Amiene Rev (C) 2011

Pada suatu malam, ada seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Selalunya ramai orang memilih untuk mengguna lebuh raya Karak pada waktu malam kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya dan juga bahang panas matahari.

Namun, lelaki ini yang begitu suci pemikirannya daripada kisah-kisah hantu di lebuh raya Karak terlalu penat pada malam itu, lalu memilih untuk berhenti memandu dan tidur di dalam kereta di tepi jalan. Silap besar! Itulah yang berlaku. Mungkin Uncle Seeker boleh menggunakan idea ini untuk mengesan kewujudan entiti dan bukti kewujudan hantu di Lebuh Raya Karak.

Baru sahaja beberapa minit dia terlelap, dia kembali dikejutkan dengan bunyi ketukan tingkap dari luar. Rupa-rupanya ada seorang budak lelaki yang merenungnya tanpa berkelip-kelip dan bertanya kepadanya di mana ibunya.

Pemandu itu masih mempunyai naluri yang kuat. Nalurinya kuat mengatakan dia harus menghidupkan enjin kereta dan memecut laju dan jangan mempedulikan budak misteri itu. Pemandu itu pun terus meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipecut laju. Dari cermin belakang keretanya, dia melihat budak itu masih mengejar dengan laju walaupun pada ketika itu kereta pemandu itu sedang bergerak pada kelajuan melebihi had laju nasional. Budak itu masih lagi mampu mengekori keretanya dan sempat lagi bersaing sebelah menyebelah dengan pemandu kereta itu. Budak itu terus bertanya dan bertanya jika pemandu itu tahu di mana ibunya.

Kemudian sebuah kereta polis peronda pun muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah hantu budak sesat cari ibu itu menghilangkan diri. Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun menceritakan segala-galanya kepada pegawai polis. Pegawai polis memberitahu lelaki tersebut:

Pada suatu ketika dahulu, ada kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta tersebut tidak memaki tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak tersebut telah tercampak keluar dari keretanya. Manakala budak tersebut kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.

Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun bertanya bila peristiwa itu berlaku. Pegawai polis itu memberitahu, lama sudah.

Lelaki itu berasa pelik kenapa budak itu tidak membesar. Polis itu pun memberitahu, kalau dah namanya hantu, seratus tahun lagi pun macam itulah rupanya.

Begitulah kisah hantu budak sesat cari emak di lebuh raya Kuala Lumpur. Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu yang duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu. Benar atau tidak kisah ini, wallahualam.

Lampiran arkib sumber artikel dan kajian terdahulu berkenaan Lebuh Raya Karak:

Puntianak Hempap But Kereta di Lebuh Raya Karak

Puntianak Hempap But Kereta di Lebuh Raya Karak
PETIKAN DARI KOSMO!

ULASAN AMIENE REV TENTANG
KISAH PONTIANAK atau PUNTIANAK
HEMPAP BUT KERETA

PERISTIWA DIANGGARKAN BERLAKU SELEPAS PUKUL 1.30 PAGI
Dalam kes ini puntianak terbabit tidak menunjukkan rupanya kepada mangsa-mangsanya yang berada di dalam kereta, puntianak tersebut menunggu waktu yang sesuai untuk menunjukkan rupanya.

Ketika manusia-manusia di dalam kereta itu membuka pintu dan hendak keluar, ketika itulah puntianak itu membuat kiraan yang dirasakan tepat untuk menunjukkan rupa fizikalnya dan mungkin menyerang mangsa. Namun tindak balas cekap salah seorang rakan yang ternampak rupa sebenar puntianak menerusi cermin pandangan belakang menyelamatkan kawan-kawannya.

Sikap kawan-kawannya juga yang cekap bertindak mematuhi arahan rakan-rakannya juga telah menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa puntianak. Berfikir pantas dalam keadaan genting seperti ini, telah menyelamatkan keadaan.


RUJUKAN : PETIKAN DARI KOSMO!

SEKIRANYA ingin memandu ke Pantai Timur, Lebuh Raya Karak ialah laluan utama yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna jalan raya.

Sejak pembukaannya pada tahun 1977, laluan sepanjang 60 kilometer (km) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang ini memiliki koleksi kisah misteri.

Sungguhpun penulis belum pernah berdepan dengan kejadian aneh ketika menggunakan laluan berbukit itu, namun daripada cerita yang disampaikan oleh beberapa kenalan dan pengguna, Lebuh Raya Karak sudah cukup untuk meremangkan bulu tengkuk.

Seorang kenalan, Mohd. Saifullah Adli Hamzah, 32, mendakwa, dia pernah berada dalam situasi menyeramkan ketika melalui laluan berkenaan.

“Kejadian ini berlaku lima tahun lepas. Ketika itu saya dan tiga rakan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Tanah Merah, Kelantan.

“Perjalanan dimulakan sekitar pukul 1.30 pagi dari Shah Alam. Kami bergerak lewat kerana ada rakan-rakan yang bekerja syif petang.” katanya yang juga merupakan pegawai pasukan beruniform.

“Selepas melalui Bentong, jalan mulai sunyi. Ketika kereta menaiki bukit, saya terdengar seperti ada benda terjatuh menghempap bahagian belakang kereta.

“Hadi turut mendengar bunyi yang sama. Bila saya lihat cermin pandang belakang, saya tidak nampak apa-apa.

“Memandangkan keadaan ketika itu sunyi dan gelap, saya teruskan juga pemanduan,” ujarnya yang membuka tingkap sepanjang perjalanan kerana mahu merokok selain menikmati udara sejuk hutan.

Laluan berliku dan berbukit memaksa Saifullah berhati-hati ketika meningkatkan kelajuan untuk memintas beberapa lori besar.

Ketika itu, dia mula merasakan keretanya berat namun dia tidak fikir yang bukan-bukan. Mungkin juga tekanan berat itu disebabkan kereta transmisi automatik yang dipandunya.

Namun, sebaik dia melepasi sebuah lori balak, pemandu tersebut menyalakan lampu besar berulang kali.

“Hadi menyuruh saya memecut supaya tidak terus terganggu dengan nyalaan lampu tinggi lori terbabit.

“Peliknya selepas itu ada dua tiga kenderaan yang memintas saya turut menyalakan lampu tinggi, malah ada yang membunyikan hon. Kata saya kepada Hadi, mungkin mereka hendak beritahu sesuatu,” katanya yang terus mengejutkan dua lagi rakannya yang sedang tidur.

Memikirkan kemungkinan sesuatu berlaku terhadap keretanya, Saifullah ambil keputusan berhenti di bahu jalan untuk melihat-lihat jika ada yang tidak kena.

“Sebaik saja saya dan Hadi buka pintu untuk keluar, Malik yang kebetulan memalingkan muka ke cermin belakang menjerit meminta saya meneruskan perjalanan.

“Allahuakhbar! Pul, kau jangan keluar! Kita blah... kita blah!” jerit Malik dengan muka panik sambil menepuk-nepuk belakang kerusi supaya kami segera beredar dari kawasan tersebut.

Puntianak

Tanpa fikir panjang, pintu kereta ditutup dan Saifullah menekan pedal minyak semahunya. Malik menekup muka, Azizi pula menenangkannya.

Tingkap yang sebelum itu dibiarkan terbuka pantas ditutup.

Hadi bertanya, apa yang mereka nampak dan kenapa ketakutan sampai begitu sekali.

“Aku rasa aku nampak puntianak. Dia tengah baring terlentang atas but kereta kau tapi muka dia menghadap kita.

“Masa aku toleh ke belakang tadi, mata aku betul-betul nampak matanya,” kata Saifullah ketika menceritakan detik cemas dia dan rakan-rakannya disapa makhluk halus di Lebuh Raya Karak.

Selepas mendengar pengakuan rakannya, Saifullah cuba memberanikan diri untuk melihat ke cermin pandang belakang namun tiada apa yang kelihatan. Hadi pula cuba pandang ke belakang menerusi cermin sisi.

“Pul, betullah. Aku nampak ada ‘benda’ dekat belakang,” kata Hadi. Mendengarkan katanya, kami semua tidak putus membaca kalimah al-Quran. Hadi pula beberapa kali mengalunkan azan dalam tempoh 15 minit,” ujar Saifullah.

Apabila keadaan menjadi tenang, baru empat sekawan ini faham mengapa lori dan kereta yang memintas mereka menyalakan lampu besar.

“Mungkin mereka nak beritahu kita pasal lembaga tersebut, tetapi kita yang tak faham. Mujur juga mereka masih boleh mengawal kenderaan kerana panik dan takut melampau juga boleh mengundang kemalangan,” jelasnya yang sehingga kini mengelak untuk melalui Lebuh Raya Karak pada waktu malam.

Tidak menolak kewujudan entiti di laluan berkenaan, ramai yang berpendapat kawasan di sepanjang lebuh raya tersebut memang keras.

Menerusi carian di beberapa blog yang memaparkan cerita seram, sudah ramai yang disakat oleh makhluk halus terutamanya jika menggunakannya pada waktu malam.

Ada yang mengaitkan gangguan-gangguan tersebut terjadi ekoran kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di situ. Ada juga yang berpendapat, kawasan tersebut memang ‘keras’ kerana ia adalah tapak asal perkuburan lama.

Minta nombor

Seorang pengguna laluan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, gangguan-gangguan tersebut adalah tanda marah roh-roh yang meninggal dunia di situ.

“Kemungkinan besar roh-roh itu marah dengan pengendali trak penunda. Saya sudah beberapa kali melihat kemalangan ngeri di lebuh raya ini.

“Bila ada kemalangan saja, trak penunda akan datang. Kalau mereka angkut kereta rosak saja tak mengapa, tapi kebanyakan buat bisnes di situ.

“Mereka perah limau dan tabur garam pada kawasan berdarah sebab mahu puja roh untuk dapatkan nombor ekor.

“Dalam kepercayaan orang Cina, perbuatan itu hanya akan menambah sakit pada si mati.

“Mungkin bukan semua buat begitu, tapi saya percaya, ada yang buat sebab itu roh tak tenteram dan kacau orang lain,” katanya yang berulang alik ke Pasir Puteh, Kelantan, sebulan sekali melalui lebuh raya berkenaan.

Biarpun ada berpuluh versi kisah seram di sepanjang Lebuh Raya Karak, laluan yang merentas negeri Pahang itu masih tetap menjadi pilihan terutamanya kepada anak-anak Pantai Timur yang mencari rezeki di ibu kota.