Isnin, Mac 09, 2015
Petikan NOVEL GERBANG FANTASIA 2015
SEDUTAN Novel GERBANG FANTASIA (AKAN BERADA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KL, APRIL 2015) - Terbitan K Publishing (anak syarikat Cerdik Publication).
Ditulis oleh Amiene Rev pada Mac 09, 2015
Label: Cerdik Publication, Gerbang Fantasia, K Publishing, Karya Amiene Rev, Novel Fantasi Sains Fiksyen, Novel Remaja, Novelis Amiene Rev, Sains Fiksyen
Rabu, Disember 14, 2011
Watak Kucing Jutawan Dalam Novel Amiene Rev Jadi Kenyataan
Ditulis oleh Amiene Rev pada Disember 14, 2011
Label: Kucing Jutawan, Novelis Amiene Rev
Selasa, Ogos 30, 2011
NOST 3 - Sayap Gabriel - Novelis Amiene Rev
Satu lagi karya Novelis Maya, Amiene Rev,
Flügel Von Gabriel kini boleh ditemui di
Silveron Market, Ireland & Germany.
Ditulis oleh Amiene Rev pada Ogos 30, 2011
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, Mei 05, 2011
Legasi Tidak Pernah Tamat - Amiene Rev
Sebuah karya Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2009-2011
Ini adalah permulaan. Permulaan bagi satu perjuangan. Nirwana dari pantai kepetangan. Seruan angkasa telah menyeru pahlawan-pahlawan dari Skyhope, turun dengan kuda-kuda putih, menuruni langit, menderap di atas angin, menjejakkan kaki ke bumi. Beratus-ratus pahlawan berkuda putih turun menjejaki bumi. Bumi yang terkenal dengan noda. Bumi yang masih ada perkataan simpati dan cinta. Bumi yang masih gah dengan impian dan cita-cita.
Lord Spektus, dari Barat Tiwiya, berdiri di barisan depan, mengetuai pahlawan-pahlawan Skyhope. Kuda putih tunggangnya kelihatan gagah berani, dengan mata biru berkilau, melangkah beberapa derap ke depan.
"Sekarang, di mana kau, empunya mimpi. Mimpimu kini jadi nyata. Beta telah datang ke alammu," Lord Spektus tersenyum sinis.
Hembusan badai petang menerbangkan debu-debu ringan. Dari celah-celah barisan pahlawan Skyhope, muncul seorang gadis berjubah labuh, bermantel putih, Actura namanya, dengan bibir bergincu hitam dan alis putih, menggerakkan kudanya ke sisi Lord Spektus.
"Legendaris, aku mendengar degup jantungnya dari sini."
NOST 3 - LEGENDARIS - SKYHOPE
Sebuah karya Amiene Rev 2011
Ditulis oleh Amiene Rev pada Mei 05, 2011
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, Oktober 28, 2010
NOST 2 - Tribunal Pemburu Mimpi
Sadis dan kejam. Setiap permulaan akan ada penamatan. Bayangannya semakin dapat kugenggam. Biar jauh, dalam kegelapan hitam lusuh, aku terus memburunya sehingga dia kepenatan, rebah dan tersungkur. Ketika itu aku menyedari, seperti mana-mana makhluk, dia cuma separa dewa, tidak mampu menjadi pencipta. Dia tewas lantaran terlalu yakin, dan menjadi abu dalam tinggalan zaman.Ditulis oleh Amiene Rev pada Oktober 28, 2010
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, September 10, 2009
Cetak Buku Secara Online - Penerbitan Buku Semakin Mudah
Oleh ADHAM SHADAN
Sumber: www.kosmo.com.my
Menerusi teknologi POD, pengguna atau individu tidak perlu lagi pergi ke tempat percetakan. Ini kerana semuanya boleh dilunaskan di hujung jari.
BUKU berjudul Games We Used to Make and Play yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar mengimbau nostalgia permainan zaman kanak-kanak yang telah dilupakan. Ia juga dilihat menjadi epitome atau contoh kepada satu solusi penerbitan terkini.
Buku terbitan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) itu dilancarkan di institut tersebut di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ia diterbitkan berasaskan teknologi yang unik dan menarik, Cetak Atas Permintaan atau Print on Demand (POD).
Berlainan proses percetakan buku biasa, teknologi POD membolehkan penerbitan sesebuah buku dilakukan berasaskan permintaan dari semasa ke semasa. Kalau sesebuah syarikat penerbitan itu biasa mencetak pada volum atau kuantiti yang amat banyak sekali gus, tetapi menerusi POD, pengguna atau individu dapat mencetak buku mengikut bilangan yang diingini pada masa itu.
TEKNOLOGI percetakan POD direalisasikan dengan penubuhan laman web untuk pengguna membuat permintaan cetakan dan pusat percetakan digital.
Disebabkan POD bersifat kesegeraan atau permintaan tanpa tentu masa, teknologi POD diperkukuh dengan konsep permintaan berasaskan laman web. Menerusi laman web itu, pengguna boleh memasukkan permintaan untuk cetakan permulaan dan cetakan tambahan pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Laman web tersebut kemudiannya akan dihubungkan ke pusat percetakan digital yang dilengkapi dengan prasarana berteknologi tinggi yang mampu melaksanakan percetakan POD. Pusat percetakan digital itu, kemudiannya akan mencetak berdasarkan butiran spesifikasi yang diminta oleh individu.
Menerusi laman web
Menerusi teknologi POD, pengguna atau individu tidak perlu lagi pergi ke tempat percetakan, sebaliknya semuanya boleh dilunaskan di hujung jari. Hanya masukkan butiran cetakan yang dikehendaki di laman web dan tunggu antara satu hingga dua hari, buku-buku pun siap dicetak.
Buku Games We Used to Make and Play dicetak di pusat percetakan digital POD, Odyssey Centre. Selain mencetak buku secara POD, Odyssey Centre yang terletak di dalam bangunan MIM turut menawarkan percetakan POD bagi risalah, poster, kalendar, poskad dan kad nama.
PENGGUNA boleh memuat naik karya yang ingin dicetak atau dibukukan di laman web www.onlineodc.com
Pusat itu dilengkapi dengan pencetak berteknologi tinggi Pro C900, keluaran syarikat pengeluar produk dan solusi pengurusan dokumen, Ricoh. Buku Games We Used to Make and Play itu diterbitkan atas usaha sama antara MIM dan Ricoh.
"Teknologi POD membolehkan para pengguna mencetak atau menerbitkan apa dan berapa helaian yang kita perlukan sahaja," kata Pengarah Urusan Ricoh Malaysia Sdn. Bhd., Lim Eng Weng pada sidang media selepas pelancaran buku Games We Used to Make and Play. Ia telah dirasmikan oleh Presiden MIM, Tun Mohammed Hanif Omar. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIM, Dr. Wilson Tay dan Pengurus Pemasaran Odyssey Centre, Lim Hui Ghee.
"Berbanding menerbitkan buku menerusi syarikat-syarikat cetakan atau penerbitan biasa, pengguna mungkin perlu terikat dengan paras volum cetakan yang ditentukan oleh syarikat-syarikat berkenaan.
"Adakalanya, kami hanya ingin mencetak buku pada kadar yang terhad. Dengan adanya perkhidmatan ini, boleh dikatakan semua orang kini mampu memiliki atau menerbitkan buku sendiri," jelasnya.
Elak pembaziran
Tambahnya lagi, POD menerima permintaan untuk mencetak dari sebuah buku hingga 1,000 salinan buku. Kos sebuah buku adalah sama tidak kira berapa banyak salinan cetakan yang diminta. Ini kerana POD berasaskan percetakan digital. Tanpa pencetak digital, POD tidak mungkin dapat direalisasikan. Ia mengguna pakai tetapan teknikal yang lazimnya lebih pantas daripada percetakan letterpress dan offset.
"POD juga banyak faedahnya kerana ia dapat mengelak inventori buku yang besar dalam simpanan stok dan lebih penting lagi, ia dapat mengurangkan pembaziran kertas," kata Eng Weng.
Menurut seorang sumber dari Odyssey Centre, untuk menggunakan khidmat POD di Odyssey Centre, pengguna hanya perlu memasuki laman web www.onlineodc.com dan berdaftar dengan laman web tersebut. Sebaik sahaja pendaftaran dilakukan, pengguna akan menerima satu e-mel pengesahan.
Langkah seterusnya adalah pengguna dikehendaki memuat naik fail mengandungi karya mereka yang hendak dicetak atau dibukukan dan pilih spesifikasi yang dikehendaki seperti saiz kertas, jenis kemasan dan cara penjilidan.
Kemudian, sistem akan mengira kosnya secara automatik berdasarkan spesifikasi yang telah dipilih pengguna dan pengguna boleh melihat harga yang tertera. Harganya bergantung kepada saiz kertas, halaman warna atau tidak berwarna.
Selepas itu, pengguna akan diminta untuk melakukan pembayaran secara talian. Akhir sekali, pentadbir akan menghubungi pelanggan apabila tugasan selesai.
"Apabila pengguna ingin menambah cetakan, masuk kembali ke laman web berkenaan dan buat permintaan.
"Jika pengguna membuat permintaan menerusi web, proses biasanya mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk selesai. Ini kerana, untuk penjilidan sempurna sahaja, mengambil masa setengah hari untuk menunggu ia kering," kata sumber itu.
Mengenai bilangan maksimum muka surat sebuah buku, ia bergantung kepada jenis penjilidan yang dipilih pengguna. Apa pun, kapasiti fail yang dimuat naik mestilah kurang daripada 10 megabait.
Ditanya bagaimana sambutan yang diterima oleh Odyssey Centre yang baru beroperasi sejak Januari lalu, sumber berkata, secara umumnya sambutan percetakan adalah bagus.
"Bagaimanapun, kami masih berusaha mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran mereka tentang proses dan konsep ini," katanya.
Ditulis oleh Amiene Rev pada September 10, 2009
Label: Novelis Amiene Rev, Penerbitan, Percetakan, POD
Ahad, September 06, 2009
AKAN DATANG: MUTASIS - Sebuah Karya Novelis Amiene Rev
Proses pemeraman novel kian tamat. Diam-diam ubi berisi. Sebuah lagi novel 'underground' hasil tulisan Novelis Amiene Rev bakal dilahirkan. Transisi masa depan dan masa silam, menghubungkan kehidupan kini dan sebelumnya. Dimensi karya tidak pernah ada pengakhiran, setiap satu pintu membuka satu pintu yang lain, dan sinar terus memburu kegelapan.
Ditulis oleh Amiene Rev pada September 06, 2009
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, September 03, 2009
AKAN DATANG: MANJI - Tragedi Mengejar Impian - Sebuah Karya Novelis Amiene Rev

Ditulis oleh Amiene Rev pada September 03, 2009
Label: Novelis Amiene Rev
Ahad, Ogos 23, 2009
Akan Datang: NOST - Pemburu Memori: Salah Satu Siri Dalam Koleksi Saga Amiene Rev
Amiene Rev akan muncul dengan sebuah lagi karya underground yang berjudul NOST - Pemburu Memori. Salah satu sekuel dalam Novel Saga Amiene Rev yang berjudul LEGENDARIS. Jangan sesekali mengaitkan aku dengan kehidupanmu atau kelak aku akan berupaya memburu memori silammu, mengubah nostalgia lalu. Ketika itu kau akan menyedari apa itu erti kesunyian dan apa itu erti kesedihan.Ingatanku terhadap mu tidak pernah berakhir
Sehingga terbuai-buai di dalam mimpi
Aku ingin membuka tabir memori itu kembali
Supaya masa lalu dan kini dapat bercantum
dengan hadirnya kamu
Isi dan penuhi masa silamku
dengan kenangan kini
Mustahil! Mustahil! Mustahil!
Perlahan-lahan aku akan meragut ingatanmu
menghapuskan semua kenanganmu
menghilangkan segala nostalgiamu
Dengan itu aku akan terus hidup
Kekal abadi dalam ingatan setiap manusia
dan juga engkau
Ditulis oleh Amiene Rev pada Ogos 23, 2009
Label: Novelis Amiene Rev
Jumaat, Ogos 07, 2009
Kenapa Saya Peram Novel Saya?
Dalam tempoh 'peram novel', saya akan mengabaikan novel yang telah ditulis untuk beberapa minggu atau bulan. Selepas habis tempoh 'peram novel', barulah saya akan membelek semula manuskrip novel tersebut.
Ketika itu, saya dapat menilai tahap keseronokan membaca novel yang saya tulis. Adakah novel tersebut sedap dibaca, atau memualkan? Adakah novel tersebut dapat memberi perasaan santai kepada pembaca, atau membebankan pemikiran pembaca? Adakah novel tersebut segar atau idea-ideanya sudah basi?
Saya akan dapat menilai novel yang telah saya tulis selepas melakukan proses 'peram novel'. Pentingkah penilaian ini? Harap-harapnya begitulah sebab kita tidak tahu selera pembaca.
Seelok-eloknya apabila kita bertanya kepada orang lain atau peminat novel tentang novel apakah yang mereka suka beli dan baca, jangan pula kita dedahkan diri kita sebagai penulis. Seboleh-bolehnya kita merisik. Dengan ini, kita akan dapat mengetahui pendapat yang lebih jujur dan ikhlas tanpa adanya unsur-unsur untuk menyedapkan hati kita.
Oleh itu, sebarang komen yang diterima pada entri ini tidak akan dinilai sebagai pendapat yang dikehendaki. Kita mesti cari sendiri pendapat-pendapat tersebut di luar sana.
Ditulis oleh Amiene Rev pada Ogos 07, 2009
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, Ogos 06, 2009
Siap Pun Sebuah Novel
Bagaimana agaknya perasaan seorang penulis apabila berjaya menyiapkan sebuah novel. Saya tidak peduli apa pun tentang perasaan. Sebab menulis novel bukan berkenaan perasaan atau emosi, tetapi apabila kita rasa hendak menulis novel, tulis sahajalah.
Ini kerana novel ialah sebuah karya syok global. Syok global membawa maksud kita adalah pemancing dan pembaca adalah ikan. Nama pena saya bermula dengan huruf M.
Ditulis oleh Amiene Rev pada Ogos 06, 2009
Label: Novelis Amiene Rev
Khamis, Mac 19, 2009
Minat Menulis Novel Sudah Balik
Dahulu memang saya cukup tidak selesa dengan keadaaan panas dan hingar-bingar. Bilik tempat saya menjalankan aktiviti penulisan selama ini memang mudah berwap seperti sauna. Saya tidak pernah pergi ke sauna untuk mandi wap tetapi berdasarkan pengamatan saya mengenai keadaan bilik sauna di sebuah negara Arab, maka saya dapati bilik saya ini memang sesuai dijadikan bilik sauna.
Wap-wap akan terperap di dalam bilik. Di luar bilik saya terdapat tumbuhan-tumbuhan keladi gergasi yang menghalang peredaran angin. Jika hendak mengeluarkan wap-wap air yang terperap dalam bilik ini, maka saya perlu menggunakan kipas besar untuk memudahkan pengaliran udara keluar dan masuk.
Sejak beberapa hari ini saya suka menghabiskan masa terluang di tempat tertentu. Dari situ, perlahan-lahan saya dapati kesediaan saya untuk menulis sudah kembali. Saya memang tidak boleh tahan dengan suhu panas di dalam bilik saya. Mata seolah-olah kering dan kelopak mata hampir melekat pada biji mata. Rambut dan kepala panas sehingga menyebabkan darah-darah di kepala seakan-akan sudah kering. Penglihatan menjadi lemah dan salur-salur darah di dalam mata menjadi sangat panas. Biji mata seolah-olah baru lepas direndam di dalam air panas. Air mata tidak mampu mengalir biarpun mata terasa pedih.
Pada malam hari pula musang-musang akan menari-nari di atas bumbung. Musang bersaiz besar yang datang dari hutan bersebelahan. Tidak boleh dikatakan baik kerana salah seekor daripada musang ini telah membaham seekor ayam di rumah saya.
Saya akan kembali menulis. Yakin pada diri. Tidak ada sesiapa pun yang sempurna. Walaupun karya saya ini bukan sesuatu yang sempurna atau yang terbaik, tetapi saya yakin dengan hasil penulisan saya. Jika di dunia perfileman ada filem yang dihasilkan sebagai filem popular dan ada juga filem 'cult'. Dunia penulisan juga begitu.
Saya menulis untuk kelompok tertentu, jadi saya tidak peduli sangat sama ada karya saya ini laris atau pun tidak. Laris atau tidak bukan lagi faktor saya. Sebab kalau pemasaran yang dibuat serba tak kena, karya yang bagus juga akan terperap di stor dan tidak dapat diulangcetak. Saya adalah seorang penulis novel yang percaya kepada karya saya kerana ada mesej dan ada jalan cerita yang saya yakini sudah memiliki tempat dalam pasaran. Segala-galanya bergantung kepada bagaimana strategi jualan.
Tugas saya sebagai penulis, ialah menyuarakan apa yang saya perjuangkan dan apa yang saya percaya dan dokong sebagai prinsip saya sebagai seorang karyawan. Perjuangkan ini dulu. Selepas siap menulis baru fikirkan soal rekabentuk dan lain-lain. Fokus pada matlamat. Alam pekerjaan mengajar saya erti keutamaan dalam tugasan.
Ya! Menulis sekarang!
Ditulis oleh Amiene Rev pada Mac 19, 2009
Label: Catatan Peribadi, Novelis Amiene Rev
Khamis, September 25, 2008
KONSEP REKABENTUK: NOVEL WIRAWAN
Sebuah Novel Karya Novelis Amiene Rev
"Dendam berselirat menghuni segenap urat impian. Milikku mesti dikembalikan. Sehingga ke penghujung dunia; nafasku, degup jantungku tidak akan berhenti mengalirkan darah hasad. Putera sakti mesti kuhapuskan; hati nuraninya bisa memadamkan api dendamku, dengan nur misteri yang meragut kegelapan hatiku. Hati ini, hati seorang penakluk, tidak boleh alah dengan kedamaian."Ditulis oleh Amiene Rev pada September 25, 2008
Label: Novelis Amiene Rev, Wirawan






