BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 16, 2012

Sajak-sajak Kemerdekaan Kutipan Dari Berita Minggu

Sajak-sajak Kemerdekaan

NOTA: Sajak-sajak ini dipetik sepenuhnya daripada Berita Minggu. Semua sajak-sajak ini bertemakan kemerdekaan. Penulis-penulisnya menggambarkan kemerdekaan menerusi sajak-sajak ini. Mari kita menghayati sajak-sajak kemerdekaan ini sempena dengan bulan kemerdekaan kita.


SAJAK KEMERDEKAAN: DI PENTAS KEBEBASAN

Kamu membakar hutan bandar
kedai dan kereta disambar api kemarahan semarak darah generasi abad dua
puluh satu
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.
Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.
Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.
Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.
Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.

KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur


31 OGOS, 1957
Engkau tarikh keramat
kami terlepas daripada belenggu
akan kami kenang sampai bila-bila.

ISMAIL RESTU
Kg. Bujang, Kedah.



SAJAK KEMERDEKAAN: 31 OGOS TIBA LAGI

Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.

Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.

Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.


SAJAK KEMERDEKAAN: KETAATAN DAN KEBERANIAN

Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan

menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.

Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

NAFISA
Marang, Terengganu


PUISI KEMERDEKAAN: HUJAN MERDEKA

Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.

Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.

Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.

ZULKIFLI MOHD TOP
Universiti Malaya


SAJAK KEMERDEKAAN: MENYAMBUT MERDEKA
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

ZAINAL ABIDIN AHMAD
BTP
012-285XXXX


SAJAK KEMERDEKAAN: POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA

Anak merdeka alaf baru!
antara bunga mimpi dan tragedi
dalam membina generasi globalisasi
bukanlah semudah mencipta
cerita kosong di kedai kopi
atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.
Anak merdeka alaf baru!
tanamlah, semailah, bajailah
anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
demi generasi dan agama
mentafsir wawasan membina jati diri
meraih akar dalam tunjang diri
menegak pepohon yang merendangkan
dedaun semangat.
Anak merdeka alaf baru
siramkanlah falsafah minda
jangan biarkan kering dan mati
kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
kerana pokok bangsa itu
adalah kita yang merdeka.

AMYLIA HUSSAIN
Jambatan Merdeka, Sg. Petani

Sabtu, Oktober 10, 2009

SAJAK: Ini Tulisan Rindu

Sajak: Ini Tulisan Rindu
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Ini tulisan rindu
rindu ini bukan emosi
rindu ini bukan nafsu
ini tulisan rindu
rindu ini terhadap ilmu
rindu ini terhadap sumbu
terangi aku dalam kegelapan
jangan padam
terus!
terus terangi malam ini
kerana esok aku mahu hidup lagi
kerana esok aku mahu ke hadapan lagi
kerana esok aku mahu menjejaki
kekasihku masa saat dan detik
supaya rindu aku
terhadap cita-cita aku
tertulis di dunia realiti

Selasa, Oktober 06, 2009

Sajak: Playboy dan Buaya

Playboy dan Buaya
Penulis Sajak: Amiene Rev (C) 2009

Playboy
ada orang suka
ada orang benci

Playboy
lelaki buaya
tetapi juga jenama baju
yang popular
logo arnab bertelinga tegak
tajam seperti daun
segak
berjenama

Playboy
Buaya
bukan dua perkara serupa

ada juga buaya hidup di sungai
di laut masin
di muara
di daratan

Playboy manakah
jadi pilihan hatimu
memikat jiwa ragamu
duhai wanita dungu
dungu oleh nafsu
oleh materialistik
oleh kemurahan dan kemaruahan
hilang hapus
apa pun tidak ada

Sengketa
bergaduh
gadis itu gadis ini
Playboy jadi rebutan

Playboy tetap akan jadi tua
Playboy tetap akan reput dan koyak
Playboy tetap tampil dengan desain baru
corak baru
warna baru
harga baru
diskaun

Kenapa mesti rebut Playboy?
Bukankah baju cap buaya boleh dipakai
menutup aurat
berbau kedai
tetap cantik bergaya dipandang mata?

Sedar
sedarlah
bukan hanya Playboy
atau buaya
atau cicak

Pyan Habib tetap rock!
Achoo! Achoo!

Sajak: Zaman Ini Kita Bermain Meriam Kabaid

Zaman Ini Kita Bermain Meriam Kabaid
Penulis Sajak: Amiene Rev (C) 2009

Zaman ini kita bermain meriam kabaid
kita gegar satu dunia
satu ceruk kampung
satu jiwa
trauma
sakit hati
bengang
marah tersedar dari tidur yang lena
mimpi indah terburai isi perutnya
tumpah ke realiti
marah
kecewa
putus asa

Hentikan!
Hentikan!

Zaman ini kita tetap bermain meriam kabaid
Ron 97 lebih tinggi sulfurnya
harga makin tinggi
teknologi
mencabar harga
kebanggaan
Malaysia
kini

Tidak ada lagi Mat Trang Tang Tang
Tidak ada lagi bunyi bingitan eksos
meletup memecahkan kesabaran jiran tetangga
tidak ada lagi
zaman itu
lupus
terus

Zaman ini
kita bermain meriam
kabaid
kita gegarkan dunia
bila jari putus
bila mata buta
bila mulut sumbing
kesal
trauma
umpama mengukus nasi
di dalam air berbancuhkan kabaid

Zaman ini kita bermain meriam kabaid
kita bagi gegar satu kampung
satu dunia
duit melayang
dosa kita dapat

Rabu, September 09, 2009

PUISI: Bicara Tentang Pengalaman - Sebuah Sajak Oleh Amiene Rev

Bicara Tentang Pengalaman
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Pengalaman itu kebenaran
kita hayatinya lalu bermakna
kita dustai ia lalu sampah
kita sampah
pengalaman tetap jadi pengalaman
tak rapuh oleh kerana dusta

Adakalanya kita rasa kita mampu
selagi kita belum cuba melakukannya
namun kebenarannya cuma dapat kita hayati
selepas kita mencuba

Pengalaman hidup itu kita temui
dalam kejujuran dan keberanian
Jati watak kita

Barangkali, unsur penting untuk seseorang itu berlumba
mengejar masa depan
ialah masa
dan himpunan pengalaman
kejayaan dan kegagalan lalu

Selasa, September 08, 2009

PUISI: Di Mana Ertinya Kebahagiaan? - Sebuah Sajak Oleh Amiene Rev

Di Mana Ertinya Kebahagiaan?
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Tertulisnya kata-kata ini
dengan lidah hati
dan pena

Wang yang banyak tidak bermakna
tanpa kebahagiaan
apa gunanya pandai mencari kekayaan
tetapi tidak mampu menjejaki kebahagiaan

Air mata membenihi jalan depan hidupku
namun akhirnya pokok kebahagiaan tumbuh subur

Jiwa ini sering digulai kesedihan
namun ketabahan tetap merimbun
jiwa ini semakin gagah

Kecederaan hati
kulunturkan
lalu hilang nyeri
kegembiraan kembali

Apabila kesedihan melanda
perilaku ini cenderung kosong
air mata mengisi kesedihan
api mengiringi kemarahan

Kehidupan ini
umpama seorang pemikir
bijaksana
cuma bijaksana

Perasaanku
bukan apa-apa
sekadar dilukai
sekadar disenangi
menenangkan yang resah
memujuk yang bersedih
tidak pernah biasa
melainkan ia kebal
daripada segala derita

Tragedi kehidupan
tidak pantas berakhir
namun permulaannya
adalah satu penantian
hasilnya tidak diduga
tidak diminta

Rabu, Julai 09, 2008

Lupakah Media Kepada Asmawi dan Sharlinie?


Sudah Lupakah Media?
Puisi oleh Amiene Rev (C) 2008

Sumber asal:
http://dukeamienerev.blogspot.com



Hai akhbar-akhbar
Hai media-media
Hai blogger-blogger

Sudahkah kalian lupa kepada
anak-anak kecil yang hilang?

Berita hari ini
penuh ditabur fitnah dan dusta

Berita hari ini
sarat dengan kontroversi dan keaiban

Berita hari esok
adakah tidak ada lagi keprihatinan
kepada rakyat dan anak-anak kecil?

Berita hari esok
adakah tidak ada lagi harapan
dan kepercayaan kepada modal insan negara?

Hai akhbar-akhbar
Hai media-media
Hai blogger-blogger

Sudahkah kalian lupa kepada
anak-anak kecil yang hilang?

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Jumaat, Jun 20, 2008

Demokrasi: Air Dilawan Dengan Minyak


Demokrasi:

Air Dilawan Dengan Minyak
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Air dan minyak
mustahil bercampur

Aku tidak suka politik
Politik sungguh kotor

Air pembersih
membasuh segala kotoran
Minyak si yang degil
melekat, mengotori pakaian

Air dan minyak sama-sama cair
dan janji-janji turut cair
kerana minyak sudah melawan air
dan minyak dan air mustahil bercampur

Rakyat umpama kain putih
dan air melembabkannya
dan minyak mengotorinya

Air dan minyak mustahil bercampur
Apabila air dilawan dengan minyak
terbukti politik itu sungguh kotor

Politik itu sungguh kotor.

Sabtu, Mac 08, 2008

Puisi Orang Mengundi

Undi Undo
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Nota Penulis Puisi:
Sesetengah perilaku yang digambarkan

di dalam puisi ini tidak sesuai untuk
dicontohi
oleh pengundi-pengundi
yang berusia
22 tahun dan ke atas.



Ketika orang menanam padi,
saya, menanam keladi
Ketika orang memangkah undi,
saya, merosakkan undi.

Orang membaca Harry Potter,
saya membaca Now and Later.
Orang seronok melihat poster,
saya seronok melihat toaster.

Semangat berkempen kian semarak
Ramai penyokong berjalan berarak
Calon BN atau BA nak atau tidak?
Saya tetap pangkah calon PUNDAK.

Ha! Ha! Ha! Ha!

NOTA KAKI:
Entri ini tidak ada kena mengena
dengan sesiapa pun, sama ada yang masih
hidup atau pun yang telah meninggal dunia.

("Aku bagaimana?", tanya Djin.)
("Anda juga tidak terlibat.")

Sabtu, Mac 01, 2008

Puisi 29 Februari

29 Februari
Penulis: Amiene Rev (C) 2007

Pada tarikh ini,
lebih tujuh ratus pergi syahid
kerana air bah di Mozambique

Pada tarikh ini,
Lahirnya ramai seniman,
ahli-ahli sukan dan sasterawan
berotak kanan

Pada tarikh ini,
Republik Islam terbentuk
di Pakistan

Pada tarikh ini,
Jerman kembali memiliki
Heligoland

Pada tarikh ini,
Isnin dan Rabu
sentiasa terpilih
juga Jumaat


Pada tarikh ini,
29 Februari,
cukup berharga
bagi insan-insan yang
menunggu setiap empat tahun
untuk menyambut hari lahir.

Sedangkan aku,
pernahkah menyambut
hari lahirku sendiri,
biarpun aku tidak dilahirkan
pada 29 atau 30 Februari.


Fakta:
  1. Pada tahun 1712, terdapat dua hari lompat iaitu 29 dan 30 Februari.
  2. Bumi memerlukan 365 dan ¼ hari untuk melengkapkan satu putaran (satu tahun) mengelilingi matahari.
  3. 29 Februari merupakan hari yang ke-60 bagi setiap tahun lompat mengikut kalendar Gregorian.
  4. Mereka yang lahir pada 29 Februari biasanya menjadikan tarikh 28 Februari atau 1 Mac sebagai hari untuk menyambut hari lahir.

Sumber rujukan:
  1. www.brainyhistory.com
  2. en.wikipedia.org
  3. hem.fyristorg.com
  4. www.timeanddate.com