BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label KWSP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KWSP. Papar semua catatan

Rabu, November 28, 2012

KWSP Hadkan Caruman Maksimum Sukarela RM60,000 Setahun

KWSP hadkan caruman maksimum sukarela
28/11/2012 4:10pm


KUALA LUMPUR — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengenakan had maksimum RM60,000 setahun kepada semua caruman sukarela termasuk caruman di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, mulai 1 Januari.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli yang mencarum secara sukarela ini boleh mencarum serendah RM50 sebulan.

"Caruman sukarela dalam konteks KWSP merujuk kepada caruman diterima daripada golongan bekerja sendiri, pemilik tunggal perniagaan, rakan kongsi atau mereka yang tiada pendapatan tetap bulanan termasuk suri rumah,” katanya.

Menurut beliau, caruman boleh dibayar secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(1) untuk caruman sukarela dan Borang KWSP 6A(2) bagi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia.

"Kedua-dua borang tersebut boleh didapati di cawangan KWSP yang terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my,” katanya.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP berdekatan. — BERNAMA

Selasa, November 27, 2012

Dasar keluar caruman KWSP kekal

KWSP belum naikkan usia had pengeluaran caruman
Kuala Lumpur: Dasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan semua simpanan saraan pada umur 55 tahun kekal buat masa ini.

Selaras usia persaraan baru

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata pelbagai cadangan untuk menaikkan umur bagi pengeluaran penuh sebelum ini adalah selaras dengan pelaksanaan umur persaraan minimum pada usia 60 tahun.

“Ini adalah selepas Akta Umur Persaraan Minimum 2012 sudah diluluskan Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu dan dibentangkan di Dewan Negara pada 16 Julai lalu.

“Oleh kerana Skim KWSP adalah suatu skim simpanan untuk persaraan pekerja, maka saya kira wajar pengeluaran caruman selaras dengan umur persaraan 60 tahun kerana tujuannya untuk memastikan ahli mempunyai lebih banyak simpanan untuk perbelanjaan dan tanggungan sara hidup apabila tidak bekerja,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu).

Idris ingin mengetahui sama ada kerajaan akan melaksanakan peraturan pengeluaran KWSP keseluruhan pada usia 60 tahun berbanding usia persaraan 55 tahun dan apakah rasional kerajaan memperkenalkan usia pengeluaran pada usia 60 tahun.