BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Parodi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parodi. Papar semua catatan

Jumaat, November 26, 2010

Definisi Parodi dan Contoh Filem Parodi


Definisi dan Maksud Parodi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010

Parodi (parody, send-up atau spoof) adalah satu ulangan, lakonan semula berdasarkan satu-satu karya asal atau watak asal, penulisan asal, subjek asal, gaya asal atau apa-apa sahaja berkenaan karya asal tersebut dengan tujuan humor, menimbulkan rasa lucu, satira, sindiran, ejekan dan mempersendakan karya asal. Parodi adalah satu karya biadab yang selalunya dapat diterima oleh kebanyakan penonton dan pengkarya asal sama ada secara sedar dan tidak sedar.


Mud & Sand (1922) Filem Parodi Terawal berdasarkan filem Blood & Sand

Parodi boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti di dalam muzik, teks, animasi, lakonan filem dan dialog. Dalam menghasilkan karya parodi, seseorang pengkarya perlu bijak membezakan antara satira dengan menghina. Pendek kata, parodi mungkin satu bentuk karya yang biadab, namun biadabnya terletak pada subjek, idea atau hasil ciptaan karyawan lain, namun bukannya menyerang atau mempersendakan karyawan tersebut.

Pendek kata, parodi adalah satu karya mempersendakan subjek di dalam karya, dan bukannya menghina peribadi atau kerjaya karyawan tersebut.

Contoh filem parodi yang paling popular setakat ini ialah Scary Movie. yang judulnya berdasarkan filem Scream. Filem ini mempersendakan watak-watak baik dan watak antagonis dalam filem I Know What You Did Last Summer dan beberapa filem seram dan tidak seram yang lain seperti Halloween, The Sixth Sense, .The Matrix, The Blair Witch Project, The Exorcist, The Shining dan banyak lagi. Filem ini telah dilanjutkan sehingga ke Scary Movie 4. Setiap siri mengadunkan parodi berdasarkan pelbagai filem. Begitu juga dengan filem Enchanted, yang mempersendakan watak-watak dan jalan cerita dalam kisah dongeng rakyat.

Malah, unsur-unsur parodi juga boleh dilihat menerusi filem Shrek, Toy Story 2, Megaman dan Magika (filem Malaysia). Pendek kata, unsur yang dimanipulasikan dalam filem parodi ialah karya dan subjek di dalam karya, bukannya karyawan tersebut.

Rujukan: http://en.wikipedia.org

Ahad, Oktober 21, 2007

Trilema Seorang Penulis

Dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penulis. Ada tiga perkara yang yang menyebabkan aku sering bermain tarik tali dalam dunia penulisan. Ketiga-tiga perkara ini berkaitan dengan soal darah, cita-cita dan berkat.

Antara darah, cita-cita dan berkat, di manakah destinasi terakhir yang menjadi pilihan? Lalu aku pun mengembara, dan terus mengembara, dengan berbekalkan buah tangan dari hulu dan Ramento.

Semasa di hilir, aku mencipta sejenis kuih yang dipanggil buah tangan dari hilir. Lalu terciptalah Kuih Bailir. Namun, penemuan ini langsung tidak penting. Jadi aku mengembara lagi.

Mengembara dan terus mengembara, hinggalah pada suatu hari aku bertemu dengan seorang nenek tua bernama Moyang Enon. Kata Moyang Enon, "Tulislah dan nescaya tulisanmu akan seperti angin yang menjadi nafas manusia, dan seperti cahaya matahari, rembulan dan bintang yang sentiasa menerangi siang dan malam."

"Kalau mendung macam mana?" Sepantas itu juga aku bertanya. Kemudian aku mengembara lagi. Mengembara dan terus mengembara. Dalam pengembaraan ini pelbagai manusia yang telah ketemui. Nagastua, Irani, Neefal dan ramai lagi.

Namun satu lagi penemuan terpenting berlaku. Aku bertemu dengan pari-pari yang dipanggil Samira. Maka kerana aku ini orang yang jenis tidak suka berhutang budi, maka aku pasti akan membalas budi.

Suatu hari, aku menerima satu antologi dari langit. Mesejnya kutafsirkan begini, tidak ada kaptiva mento yang harus dipatuhi. Lalui kehidupan dengan krestivas fristo, maka misterapisco akan lahir, menjelma dalam tamadun ini.

Percaya! Percaya! Aku mengangguk sambil menyindir...

Kau harus percaya, jika tidak...

Bila agaknya semua orang mahu balik ke kampus? Aku sudah bosan menunggu dan menulis entri-entri bebas seperti ini. Harap-harap hari ini ada kedai makan yang buka, atau aku harus mengembara ke luar kampus sekali lagi.


"Jika tidak ada musim bunga, maka kita harus mencarinya." - Arwah Monyet Gunung Salji (menerusi Tajima Shinji).

Sabtu, Oktober 20, 2007

Kau Atau Aku Sedang Main Tarik Tali - Tarik Tali

Semua orang tahu, kau dan aku, masing-masing punya rasa, rasa ego. Masing-masing main tarik tali. Kau dan aku, sama saja, masih menunggu siapa mulakan dulu. Kemudian aku berasa bosan, lalu aku menarik tali dalam pertandingan tarik tali, ada faedahnya. Aku memenangi pertandingan tarik tali tersebut. Kau datang bertepuk tangan. Aku senyum, senyuman aku pahit dan kelat.

"Biar saja aku terus terang kepadamu," kata Elyanak. Dia nampaknya sudah semput, selepas berlari beratus-ratus tapak sulaiman, kerana mahu mengejar aku

"Jadi siapa yang mahu mulakan dulu?" Soal Faisal Mahir. "Kasih diciptakan untuk kita, manusia."

"Apabila bersamamu, debaran jantungku, mengalirkan darah cinta. Berilah kucupan sayang kepadaku, biar kasih itu tercipta." Tutur Elyanak.

"Maaf, kita bukan muhrim." Balas Faisal Mahir. Ternyata, kata-kata itu telah mematikan impian Elyanak.

Wisel ditiup. Air yang dijerang sudah masak. Pak Hassan mengambil cerek yang dijerangnya tadi lalu mencurahkan ke dalam dua cawan plastik mi segera.

"Anak-anak berdua di sana, kembalilah, kembalilah ke warung pak cik ini! Sejuk hati pak cik apabila perut kalian berdua kekenyangan dengan mi segera masakan pak cik ni." Kedua-dua belah tangan Pak Hassan masing-masing memegang secawan plastik mi segera.

"Aduh!" Tangan Pak Hassan melecur.

"Pak Hassan!!!" Faisal Mahir dan Elyanak segera berlari mendapatkan Pak Hassan. Elyanak tiba-tiba tersungkur ke tanah, tapi dia bingkas bangun dengan wajah yang comot. Kedua-dua orang muda itu berasa cemas melihat kecederaan Pak Hassan.

"Pak Hassan tak apa-apa. Makanlah. Makanlah mi segera ini." Elyanak berlinangan air mata. Dia berasa terharu dengan kasih sayang Pak Hassan. Faisal Mahir segera mendapatkan cawan-cawan mi segera lalu meletakkan di atas meja.

"Itadakimasu!" Ketika Pak Hassan, Faisal Mahir dan Elyanak menjamu selera, aku pula sedang berfikir, berfikir mahu makan apa pada malam ini. Kampus masih lagi agak sunyi. Masih ramai lagi yang belum pulang.

"Aku... aku terkenangkan Ramen." Tiba-tiba aku berbisik sendirian.

Isnin, April 23, 2007

PARODI: Zombi Kampung Pisang

PENGUNDI ZOMBI
Penulis: Amiene Rev (C) 2007

"Kau belum lagi mendaftar sebagai pengundi, Salman? Kenapa kau buat begitu?" Tiba-tiba Razak bertanya. Mukanya kelihatan serius.

"Untuk apa? Aku tidak mengenali seorang pun calon yang bertanding untuk pilihan raya kali ini." Jelas Salman. Dia berdiri membelakangi Razak. Tidak mahu bertentang mata. Jelas menunjukkan dia tidak berminat dalam hal-hal berkaitan dengan politik.

"Itu tanggungjawab engkau, Salman!" Tegas sekali suara Razak.

"Tanggungjawab? Cuba engkau jawab persoalan aku ini, patutkah kita mengundi orang yang tidak kita kenal?" Salman membalas dengan suara keras.

"Bagaimana kita tahu orang itu baik atau tidak? Rajin atau tidak? Amanah atau tidak? Mereka tidak berkempen dengan cara yang betul!"


Benar kata-kata Salman itu, fikir Razak di dalam hatinya. Pilihan raya sudah semakin hampir. Poster-poster "Undilah Saya" semakin giat ditampal di Kampung Pisang. Namun, tidak ada satu pun keterangan atau biodata yang jelas mengenai calon-calon yang bertanding.

Razak juga tidak kenal walau seorang pun calon-calon tersebut. Tidak tahu apakah jasa yang pernah diperbuat mereka, latar belakang pendidikan mereka, kerjaya mereka atau asal-usul mereka. Sepatutnya calon-calon perlu menghebahkan mengenai latar belakang mereka, aktiviti-aktiviti mereka, pandangan dan idea-idea mereka berkaitan usaha mereka sebelum ini. Ini tidak, mereka sibuk memburuk-burukkan calon-calon lain.

Lebih teruk, ada calon yang bertanding secara kotor, membawa masuk pengundi-pengundi hantu.

"Apa pun, engkau mahu ambil upah menampal poster atau tidak? Che Wan minta aku mengajak engkau. Upahnya lumayan juga." Razak mengendurkan ton suaranya.

"Boleh juga." Salman bersetuju. Soal duit, tidak perlu berfikir panjang, sebab itu ada manusia yang sanggup menjadi hantu. Hantu yang turun mengundi. Otak mereka sudah dimakan zombi, barangkali.

Malam itu sungguh gelap dan hitam. Sehitam dakwat Pen Parker. Malam gelap tanpa bintang. Suasana hening. Kelihatan beberapa orang anak muda sedang sibuk menampal poster.

Tiba-tiba kedengaran bunyi berpuluh-puluh tapak kaki. Bunyi ini dari jalan besar. Berderap-derap.

"Kawad apakah itu?" Bisik Salman.

"Oh, lebih baik kau diam. Jangan menegur mereka." Che Wan cepat-cepat menyampuk. Razak kelihatan gugup.

"Kenapa?" Salman bertanya lagi.

"Mereka adalah zombi. Zombi yang diundang untuk mengundi bagi salah seorang calon yang bertanding untuk pilihan raya kali ini. Mereka diberi upah dapat makan otak manusia secara percuma!"

"Whooaa! Wooo! Wargg!! Awooo!" Kedengaran suara-suara garau zombie berbicara. Zombi-zombi itu berjalan seperti manusia yang sedang mabuk alkohol. Mereka kelihatan agak bodoh, tetapi ganas dan menakutkan.

"Jangan tegur!" Razak sudah menggigil.

Ketiga-tiga anak muda itu menyembunyikan poster. Mereka tahu, zombi-zombi telah diarahkan untuk memakan otak penampal-penampal poster yang mewakil saingan pelanggan mereka.

"Jangan pandang belakang..." Zombi-zombi itu terus berarak. Menuju ke balai raya di Kampung Pisang. Salman, Razak dan Che Wan sedar, ada beberapa biji mata zombi sedang merenung ke arah mereka, dan sekeping poster yang tercicir di atas tanah...

Ahad, April 22, 2007

PARODI: PRIMEVAL

SUARA HATI GUSTAVE
Penulis: Amiene Rev (C) 2007

Saya seekor buaya yang ganas. Orang memanggil saya, Gustave. Anda tahu kenapa saya menjadi ganas? Anda sangka, saya menjadi ganas kerana saya adalah buaya mutasi? Tidak betul.

Anda tahu saya tidak bersalah. Saya adalah seekor buaya. Saya makan daging manusia. Manusia bunuh manusia. Buaya tidak bunuh buaya. Buaya bunuh manusia untuk dimakan. Manusia bunuh manusia kerana kuasa, kerana tamak, kerana dendam! Saya buaya, saya tidak berakal. Saya adalah wakil yang dilantik untuk menghukum manusia!

Kenapa, tiba-tiba saya memburu manusia? Kerana pada suatu hari, ketika saya masih kecil, saya melihat manusia membunuh manusia. Kemudian mayat manusia itu dicampak ke sungai. Sejak itu, saya mula merasai kelazatan daging manusia. Sayang sekali, mayat itu tidak direncah dengan kicap atau garam. Jika tidak, tentu lebih lazat.

Sungai tempat tinggal saya menjadi merah kerana darah manusia. Semuanya angkara manusia. Oleh itu saya mahu makan manusia. Saya telah membunuh lebih 300 orang. Saya tidak bersalah, kerana saya tidak berakal...

Anda tentu tahu, saya masih belum dapat dibunuh. Saya masih berkeliaran di sungai tersebut. Anda mahu datang bunuh saya? Datanglah, saya berasa sungguh seronok bermain kejar mengejar dengan manusia yang bernama Steven Johnson itu. Dia sungguh kelakar!

Juga seorang budak bernama Jojo. Sayalah yang membunuh ahli keluarganya. Dia ingin pergi ke Amerika kerana katanya Afrika tidak dapat memberikan kebahagiaan kepada dirinya! Saya masih ingat betapa bodohnya Jojo, masuk ke dalam sangkar jerat. Manusia ingat saya tidak tahu itu adalah jerat. Saya ada pengalaman. Banyak pengalaman.

Oh, tiba-tiba saya terbau sesuatu yang wangi. Ini bau minyak wangi. Oh, tidak! Tidak! Ada orang jatuh dari bangunan! Tidak! Tidak! Semua manusia takutkan saya.

"Berhenti!" Tiba-tiba Encik Michael Katleman memanggil saya. "Balik, mandi!"

"Baik, Tuan Pengarah."

Oh, nampaknya saya harus balik terlebih dahulu. Tuan Pengarah sudah marah. Nanti gaji saya dipotong. Namun ingatlah para pembaca sekalian, saya adalah Gustave, buaya yang pernah membunuh 300 orang.


NOTA: Primeval adalah sebuah filem pengembaraan seram yang ditayangkan pada tahun 2007. Ditulis oleh John D. Brancato dan Michael Ferris. Sebuah filem arahan Michael Katleman. Filem ini dibuat berdasarkan kisah benar, mengenai Gustave, seekor buaya seberat 907 kilogram dan sepanjang 6 meter, yang tinggal di Tasik Tanganyika, Burundi.

ULASAN AMIENE REV: Parodi untuk filem ini baru hendak bermula. Ini cuma pengenalan, belum dapat dibuat parodi.