BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Ibu Bapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibu Bapa. Papar semua catatan

Jumaat, April 08, 2016

Kenapa Anak Anda Bermasalah?

PERINGATAN UNTUK IBU BAPA: KENAPA ANAK ANDA BERMASALAH?

1. Jika anak anda suka menipu, maka itu adalah salah ibu bapa kerana bertindak balas melampau terhadap anak anda sebelum ini apabila mereka melakukan kesalahan.

2. Jika anak anda kurang keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri, ini kerana anda lebih kerap menasihati mereka berbanding memberi galakan atau motivasi kepada mereka.

3. Jika anak anda mudah dibuli, tidak pandai membela diri mereka, ini kerana sejak dari kecil anda telah mendisiplinkan mereka di depan orang ramai.

4. Jika anda membeli semua benda untuk anak anda tetapi anak anda masih mengambil atau mencuri barang daripada orang lain, ini kerana anda tidak memberi peluang kepada anak anda memilih barang yang mereka inginkan.

5. Jika anak anda seorang penakut, ini kerana anda kerap menolong mereka terlalu cepat. Anda sepatutnya memberikan mereka peluang meneroka sesuatu halangan, memahaminya sendiri.

6. Jika anak anda kuat cemburu atau berhasad dengki, kemungkinan besar kerana sikap anda sendiri yang suka membanding-bandingkan anak anda dengan orang lain.

7. Jika anak anda seorang yang cepat marah, kemungkinan besar disebabkan sikap anda yang tidak suka memberi penghargaan kepada mereka, lalu mereka bertindak melakukan masalah untuk menarik perhatian anda.

8. Jika anak anda tidak tahu menghormati orang lain, sebabnya mungkin disebabkan anda selalu memberi arahan kepada mereka tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak yang tidak mendapat layanan 'perasaan', 'hormat' atau 'penghargaan' daripada ibu bapa mereka cenderung untuk menjadi seorang yang tidak tahu menghormati orang lain.

9. Jika anak anda suka berahsia, ini mungkin disebabkan sikap anda yang terlalu suka bercerita atau menyebarkan cerita tentang anak anda. Adakalanya anda tidak sedar, sikap anda yang suka bermegah-megah tentang anak anda akan mencetuskan kebimbangan terhadap anak anda. Dia risau dia mungkin menjadi mangsa buli akibat cemburu dan hasad dengki, hilang kawan dan sebagainya.

10. Jika anak anda seorang yang biadab atau kasar, anda patut cermin diri anda sendiri dan persekitaran tempat tinggal anda. Anak anda belajar menjadi biadab dan kasar menerusi ibu bapanya, adik beradiknya atau orang-orang yang tinggal berdekatan dengannya; jiran terdekat anda.

Sabtu, Februari 16, 2013

Kisah Scarlett, Si Ibu Kucing Yang Menyentuh Hati

Kisah Scarlett, Si Ibu Kucing Yang Menyentuh Hati
Kisah si kucing yang bernama Scarlett, yang sebelumnya merupakan kucing jalanan menunjukkan kasih tidak berbelah bagi terhadap anak-anaknya. Walaupun kisah ini telah lama berlaku dan Scarlett telahpun tiada lagi. Ini adalah kisah seekor ibukucing yang sanggup meredah api demi menyelamatkan anak-anaknya. Berikut adalah gambar-gambar Scarlett dan anak-anaknya, pemilik Scarlett, dan orang-orang yang merawatnya.







Kejadian Kebakaran

Scarlett dianggarkan berusia 9 bulan ketika kejadian berlaku. Melahirkan 5 ekor anak-anak yang comel di salah sebuah bangunan terbiar di Brooklyn, New York pada tahun 1996. Pada 30 Mac, bangunan tersebut terbakar atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Bomba telah dihubungi untuk memadam kebakaran tersebut dari merebak ke bangunan berhampiran.

Ketika api mula berjaya dikawal, salah seorang ahli bomba, David Giannelli terdengar bunyi suara kucing yang halus berdekatan dengan bangunan yang runtuh. David terpandang Scarlett yang terbaring bersama 2 ekor anak kucing berpelukan. Manakala 3 ekor lagi dijumpai di seberang jalan kawasan tersebut.

Scarlett dipercayai membawa anak-anaknya seekor demi seekor keluar dari bangunan tersebut dalam keadaan panas dan asap tebal. Scarlett berada dalam keadaan agak parah dengan matanya luka, telinga terbakar, tapak kaki melecur dan badannya berasap, dalam cubaan menyelamat anak-anaknya dari kebakaran. Bulunya juga mempunyai banyak kesan hangus terbakar. Dapatkah anda bayangkan bagaimana keadaannya ketika itu menggonggong anak seekor demi seekor keluar masuk bangunan? Demi kasihnya terhadap anak-anaknya yang baru berusia beberapa minggu.

David memasukkan Scarlett dan anak-anaknya ke dalam kotak. Scarlett dalam keadaan matanya yang luka dan kabur menghidu anak-anaknya seekor demi seekor bagi memastikan mereka semua masih hidup dan ada bersamanya sebelum jatuh pengsan.

Kasih seekor ibu kucing

Kredit:
http://www.purr-n-fur.org.uk/famous/scarlett.html
http://www.twotuttles.com/scarlet.html

Ahad, Februari 05, 2012

Panggilan Telefon Jauh Lebih Baik Berbanding SMS

Ibu bapa dan anak digalakkan untuk saling membuat panggilan telefon berbanding hanya menggunakan SMS. Ini kerana panggilan suara bukan sahaja menyentuh hati ahli-ahli keluarga, malah menyentuh deria-deria lain yang membantu menghilangkan tekanan. Nada suara mampu menyentuh jiwa anak dengan lebih tepat berbanding teks yang mungkin boleh disalah tafsir sehingga menimbulkan masalah lain.

MADISON: Satu kajian terbaru mengesahkan pemerhatian yang dilakukan sejak sekian lama iaitu kata-kata ringkas seorang ibu mampu memberi ketenangan kepada anak remaja mereka berbanding sekadar menghantar pesanan ringkas (SMS), kata satu kajian di Amerika.

Kajian mendapati seseorang yang menghantar pesanan ringkas (SMS) dengan harapan meredakan tekanan yang dialaminya, tidak akan memperoleh apa yang diingini. Sebaliknya tekanan akan bertambah dua kali ganda. Pakar antropologi Universiti Wisconsin-Madison berkata, kajian sebelum ini mengesahkan bahawa percakapan seorang anak melalui telefon atau berbual secara berhadapan dengan ibunya merangsang tindak balas hormon yang dapat meredakan tekanan berbanding hanya menghantar SMS. “Kajian menunjukkan kadar hormon cortisol yang dikaitkan dengan tekanan atau emosi tertekan berkurangan, manakala hormon oxytocin yang merangsang rasa gembira semakin meningkat, ketika seorang anak bercakap atau berbual dengan ibunya melalui telefon,” katanya.

Beliau berkata, dalam kajian terbaru itu, seramai 64 remaja berusia antara 7 hingga 12 tahun ditanya cara menyelesaikan masalah matematik di hadapan tiga orang dewasa yang tidak dikenali, suatu keadaan yang mencetuskan rasa tertekan.

Penyelidik mengukur perubahan kadar oxytocin dan cortisol selepas remaja perempuan yang tertekan dibenarkan membuat pilihan sama ada untuk menghubungi ibu mereka melalui telefon, berbual secara berhadapan atau menghantar pesanan ringkas.

“Kami mendapati paras hormon cortisol remaja yang menghantar pesanan ringkas kepada ibu mereka meningkat pada kadar tinggi berbanding mereka yang bercakap dengan ibu bapa melalui telefon atau secara berhadapan.

“Mereka didapati lebih tertekan dan ujian kami menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda paras hormon cortisol. Jelas, SMS yang dihantar tidak membantu memberi mententeramkan seorang,” katanya. – Agensi

Ahad, Julai 03, 2011

Program Motivasi Alihan Pelajar - Mendisiplinkan anak perlu ketegasan

Mendisiplinkan anak perlu ketegasan
Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Sumber: HMETRO

ANAK cemerlang sama ada dalam pelajaran, kokurikulum dan sukan adalah mereka yang disiplin. Ramai ibu bapa gagal mendisiplinkan anak mereka dan tidak sedar pentingnya perkara itu. Mendisiplinkan anak memerlukan ketegasan, komitmen dan kebiasaan ibu bapa sendiri. Apabila kita tegas dan anak tahu yang kita serius, mereka akan akur dan berusaha mematuhinya. Usah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul sedang diri sendiri tidak betul.

Berikut beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam mendisiplinkan anak:
  • Pastikan mereka tiba awal ke sekolah. Sikap tidak kisah ibu bapa, akhirnya anak didenda pengawas. Ini pasti mengganggu emosi anak dan menyebabkan mereka ponteng kerana takut atau malu masuk ke sekolah.
  • Jejaki anak anda selepas sekolah. Kebanyakan sekolah harian, waktu persekolahan tamat tengah hari sedangkan ibu bapa bekerja hingga jam 5 petang.
  • Dalam masa beberapa jam tanpa kawalan itu, anak boleh lakukan pelbagai perkara. Sesekali lakukan pemeriksaan mengejut dengan balik ke rumah awal untuk pastikan aktiviti anak. Jejaki di mana mereka dan siapa kawan mereka.
  • Pastikan mereka hadir di sekolah, kelas tuisyen dan kelas agama. Sibukkan diri anak selepas waktu persekolahan dengan menghantar mereka ke kelas tuisyen dan kelas agama.
  • Ini membolehkan kita tahu di mana mereka. Periksa dengan guru tuisyen dan agama sama ada anak kita hadir atau tidak. Jangan percaya bulat-bulat cakap anak.
  • Semak beg dan laci anak. Sesekali cuba semak beg dan laci anak dan tengok apa di dalamnya. Mereka mungkin menyimpan video lucah atau rokok.
  • Pastikan mereka siapkan tugasan dan kerja sekolah. Namanya pun bersekolah jadi pasti ada kerja rumah.
  • Jangan terlalu percaya apabila anak berkata tiada kerja rumah. Lama-kelamaan anak terbiasa dengan tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini membuatkan mereka tidak faham apa yang dipelajari dan keputusan peperiksaan merosot.
  • Aturkan masa belajar dan masa rehat. Didik mereka konsep pengurusan masa. Mereka perlu tahu waktu belajar, main, menonton TV, Internet, beribadah dan santai.
  • Latih anak dirikan solat di awal waktu. Disiplin anak bermula dengan bagaimana mereka mengerjakan solat.
  • Jika suruhan Allah dilewatkan dan diabaikan, sukar mereka mematuhi suruhan manusia. Biasanya anak memberatkan akan kepentingan solat ini. Lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.
  • Dalam mendisiplinkan anak, ibu bapa perlu adil antara seorang anak dengan yang lain. Jangan anak A perlu berada di rumah sebelum jam 6 petang tetapi anak B, dia balik jam 7 malam, kita masih mendiamkan diri. Ini mungkin menyebabkan anak protes.
  • Dalam mendisiplinkan anak, keseragaman arahan dan peraturan antara ibu dan bapa penting. Ibu kata masuk tidur jam 10 malam, tetapi si ayah suruh jam 11 malam. Mana satu anak nak ikut? Akhirnya mereka ikut masa mereka sendiri.
Anak yang bermotivasi akan lebih mudah untuk berdisiplin, contohnya yang mengikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang dianjurkan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd. Mereka mampu mengurus diri dan mengatur masa dengan sendiri kerana didedahkan kepentingan disiplin sepanjang program motivasi itu. Selepas program dua hari, ibu bapa akan mendapati anak-anak mereka lebih mudah dibentuk, bersemangat dan mempunyai kesedaran diri dan disiplin tinggi. Ibu bapa boleh masukkan anak-anak mereka ke program Motivasi Alihan Pelajar pada Julai ini di Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut, hubungi 05-3134622, 016-5580619, 03-22734622, 016-5580719; atau layari http://www.laman-map.com.

Rabu, Mei 04, 2011

Teknologi Maklumat Berisiko Terhadap Pembesaran Kanak-kanak

PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang pesat menyebabkan pelbagai perkara disebarkan dengan lebih cepat lalu memberi kesan kepada pembesaran kanak-kanak. Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi.

Ibu Bapa Mesti Ada Ilmu Dan Pengetahuan Asas

bu bapa harus mempunyai ilmu dan pengetahuan asas untuk membolehkan mereka mengesan kemungkinan berlakunya kecacatan pada anak-anak ketika masih di peringkat awal. - PM

Dengan adanya ilmu, ibu bapa juga boleh mengambil tindakan pencegahan yang perlu untuk mengelak kecacatan di kalangan kanak-kanak menjejaskan potensi dan kebolehan mereka.

Daripada segi tindakan pencegahan, ibu bapa mesti faham faktor-faktor yang membawa risiko tinggi yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kecacatan.

"Contoh punca besar yang sering dipandang ringan ialah bila anak-anak demam panas, ada ibu bapa yang tidak mengambil tindakan untuk menurunkan suhu badan mereka, terapinya cukup mudah iaitu dengan meletakkan ais di dahi mereka sudah memadai.

"Tetapi kerana tidak sedar dan tiada pengetahuan bahawa demam panas dengan suhu yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan pada kanak-kanak, jadi dalam banyak kes tindakan mudah seperti ini pun tidak dilakukan oleh ibu bapa," katanya.

Jumaat, Ogos 27, 2010

Doa Ibu - Bayi Mati Hidup Semula Selepas 2 Jam Dipeluk Ibunya

Doa Ibu - Bayi Mati Hidup Semula Selepas 2 Jam Dipeluk Ibunya
Sumber: Kosmo!

SYDNEY - Seorang bayi lelaki pramatang yang telah disahkan meninggal dunia di Australia hidup kembali selepas dia dipeluk oleh ibunya selama dua jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian pada Mac lalu yang disifatkan sebagai keajaiban Tuhan, doktor-doktor memberitahu, bayi berkenaan yang diberi nama Jamie Ogg, tidak berpeluang untuk hidup setelah dia dilahirkan pada minggu ke-27 dengan berat badannya hanya 600 gram di sebuah hospital di sini.

Bagaimanapun, kembar Jamie iaitu Emily berjaya diselamatkan selepas dia diberikan bantuan pernafasan selama 20 minit.

Doktor kemudian menyerahkan Jamie yang disahkan telah meninggal dunia kepada ibunya Kate dan pasangannya David untuk penghormatan terakhir.

Sedih dan sukar menerima hakikat bahawa anaknya telah mati, Kate meletakkan Jamie di atas dadanya dan mengusap-usap anakya sambil menceritakan mengenai apa yang mereka ingin lakukan bersama jika dia dapat membesar bersama adik kembarnya, Emily.

Selepas dua jam dipeluk, tubuh Jamie kembali hangat dan dia mula menunjukkan tanda-tanda bernafas.

Kate kemudian memberikannya susu dengan menggunakan jari.

"Saya berasa sangat sedih apabila doktor memberitahu dia tidak dapat diselamatkan. Tanpa berfikir panjang saya terus memeluknya. Dia kemudian mula bernafas dan membuka mata. Sungguh ajaib," kata Kate.

Seorang doktor yang dipanggil untuk memeriksa Jamie mengesahkan bahawa bayi itu hidup, tetapi tidak dapat menerangkan bagaimana fenomena itu berlaku. - Agensi

Khamis, Julai 05, 2007

Petikan Artikel yang menarik

Konflik bakat, minat dan pilihan ibu bapa

SEORANG pelajar aliran sains bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Namun ibu bapanya terlalu menginginkannya kelak menjadi seorang jurutera. Pelajar ini, Ahmad, menjadi serba salah antara ingin menjadi seorang jurutera dan menjadi seorang peguam.

Menjadi seorang peguam adalah minatnya sejak kecil dan menjadi seorang jurutera adalah harapan ayahnya sejak lama.

Akhirnya dia terpaksa memilih jurusan kejuruteraan yang kurang diminatinya. Keputusan SPMnya yang baik telah membantunya memasuki bidang berkenaan.

Tahun pertama dia berasa payah untuk mengikuti program kejuruteraan tersebut. Purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang diperolehnya tidak begitu baik. Di hujung semester kedua gred yang diperoleh semakin merosot. Ia masih boleh meneruskan pengajiannya kerana grednya masih berada di paras 2.0.

Tahun kedua semester pertama, dia terasa serba salah antara kekal dengan bidang yang ada atau bertukar ke bidang lain. Mengenangkan harapan orang tuanya, dia kekal dalam bidang kejuruteraan. Kekal dalam bidang kejuruteraan bermakna berdepan dengan pencapaian yang lebih merosot. Ternyata ia benar.

Semester pertama tahun kedua pencapaiannya berada di bawah PNGK 2.0 dan dia diminta meninggalkan universiti. Akhirnya dia gagal untuk meneruskan pengajian dan memohon ke universiti swasta untuk kursus yang diminatinya.

Analisis

KISAH ini menjadi pengajaran untuk semua. Memilih bidang kursus seharusnya berdasarkan kepada bakat dan minat di samping kelulusan yang ada.

Para pelajar kadang kala terdesak untuk memilih atas kemahuan ibu bapa. Ibu bapa mempunyai impian sendiri terhadap anak-anaknya. Tidak salah ibu bapa memberi pandangan dan campur tangan dalam urusan memilih bidang. Yang bakal belajar ialah pelajar itu sendiri.

Sekiranya bidang pengajian tidak selari dengan minat serta bakat anaknya ia bakal menimbulkan masalah. Banyak kes seperti ini membawa kepada kegagalan para pelajar.

Merujuk kepada kes Ahmad tadi, ia akan membawa kepada tekanan perasaan kerana dua perkara. Pertamanya, Ahmad berasa tertekan dengan keputusan peperiksaannya yang rendah sedangkan keluarganya mengharapkannya menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Keduanya, Ahmad akan bertambah keliru dan tidak bersemangat untuk belajar kerana kurang berminat dengan jurusan kejuruteraan dan hal ini menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri dalam dirinya.

Biasanya para remaja yang memilih bidang yang diminati dan mempunyai kelulusan yang cukup di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia akan lebih yakin dengan apa yang dibuatnya. Jika ibu bapa campur tangan tanpa memahami minat dan bakatnya, dikhuatiri anaknya akan memberontak dari dalaman. Kadangkala, anak-anak serba-salah antara memilih cita-cita sendiri dan mengikut kemahuan ibu bapa.

Tips peranan remaja

1. Remaja haruslah mendapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Dalam erti kata lain, membuat sedikit homework untuk memilih bidang yang sesuai untuknya.

Misalnya, dalam kes Ahmad, beliau boleh menghubungi atau mengunjungi individu-individu atau pihak seperti:

* Dekan atau pensyarah di universiti/ kolej di dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang. Ahmad boleh bertanyakan bidang kursus, masa depan kedua-dua bidang tersebut dan membandingkan dengan kelulusan serta minat dan bakatnya.

* Pelajar-pelajar universiti di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Jika tiada saudara terdekat, rakan-rakan yang mempunyai saudara yang belajar di IPT juga boleh dijadikan rujukan.

* Maklumat daripada bahan bacaan seperti majalah, internet dan buku motivasi boleh membantu seseorang dalam membuat keputusan.

Apabila langkah mengumpulkan maklumat ini telah diambil, pelajar akan lebih yakin dengan pilihannya.

Ini juga antara lain boleh menyelesaikan kekeliruan yang timbul di dalam dirinya. Pepatah ada mengatakan, ‘semakin anda keliru dengan sesuatu, semakin itulah anda patut berusaha mencari jawapannya.’

Sekiranya remaja tersebut beragama, sebaik-baiknya remaja tersebut memohon kepada Tuhan supaya diberi petunjuk yang benar.

2. Remaja tidak perlu berasa serba salah dan harus bersedia berterus terang dengan cara yang baik dan bijaksana. Ini supaya ibu bapa tidak memaksanya mengambil bidang yang tidak diminatinya.

Di dalam kes Ahmad, beliau boleh menunjukkan maklumat yang telah dikumpul tadi kepada orang tuanya dan berbincang secara matang dan rasional tentang hala tuju hidupnya.

3. Jika hasrat meneruskan bidang yang dipilih mendapat restu ibu bapa, pelajar tersebut haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa bidang yang dipilihnya itu bukan sahaja membawa kebaikan untuk diri dan keluarganya, malah membantu menyumbang kepada masyarakat.

Peranan ibu bapa

1. Ibu bapa harus menghargai dan menghormati minat dan bakat anak-anak. Anak-anak harus dirundingi dan ibu bapa harus bertindak sebagai penasihat. Mereka perlu membekalkan maklumat yang cukup mengenai bidang yang ingin dipilih.

2. Apabila nasihat yang betul diberikan, pilihan membuat keputusan sepatutnya diserah kepada anak-anak.

3 Pilihan bidang berasaskan minat dan bakat disertai dengan kelulusan yang baik dan sesuai boleh mendorong anak-anak lebih berjaya dalam bidang pengajiannya. Menjayakan cita-cita sendiri berasaskan bakat, minat dan kelulusan yang sesuai boleh menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Kesimpulan

Para remaja yang berada di persimpangan memilih hala tuju hidup harus mengambil sikap proaktif dengan mencari sebanyak maklumat tentang pilihan yang ada. Perbincangan secara berhemah harus diadakan dengan ibu bapa agar mereka memahami minat dan bakat anak mereka.

Sesuatu pekerjaan yang datang besama minat yang mendalam pasti membuahkan hasil yang lebih baik daripada melakukan pekerjaan yang tidak disertai dengan minat.

Oleh itu, para remaja harus bijak untuk membuat keputusan mengenai hala tuju hidupnya dan pada masa yang sama, memperoleh restu daripada ibu bapa yang tercinta.

* MOHD. FARID MD. ALIAS ialah graduan Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

sumber: www.utusan.com.my