BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Persahabatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persahabatan. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 20, 2012

Ciri-Ciri Sahabat Yang Baik Menurut Islam

CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK

Mempunyai Akhlak Yang Baik
Sahabat yang baik sudah pasti memiliki akhlah yang baik. Orang yang berakhlak baik adalah orang yang baik, justeru apabila kita bersahabat dengannya maka kita telah memiliki sahabat yang baik.

Menutup Keburukan Sahabat
Sahabat yang baik tidak akan memceritakan keburukan kita kepada orang lain. Jika dia pernah memburuk-burukkan kita maka dia bukanlah sahabat yang baik. Bagaimaan seseorang itu layak digelar sahabat jika dia sanggup memburuk-burukkan kita?

Menghebah Kebaikan Sahabat
Seorang sahabat yang baik akan sentiasa menghebahkan perkara baik yang kita lakukan. Jika dia mendiamkan diri sahaja, ada kemungkinan kita ini bukan sahabatnya, tetapi pesaingnya. Dia mendiamkan kebaikan yang kita lakukan agar kita tidak jadi berpengaruh, disokong oleh orang lain atau mendapat keuntungan atau populariti. Apakah orang seperti ini layak digelar sahabat?

Mengalah Untuk Mengelak Sengketa
Sahabat yang baik akan mengalah dan akan mendengar pendapat kita untuk diteliti. Sahabat yang baik juga akan menggunakan pendekatan rohani seperti berdoa ke atas diri kita agar diberi petunjuk apabila berlaku sesuatu perselisihan pendapat.

Memberi Dorongan Kepada Sahabat Agar Berjaya Di Dunia Dan Di Akhirat
Sahabat yang baik adalah orang yang ingin melihat masa depan kita cerah. Sahabat yang baik suka melihat kebahagiaan hidup kita. Sahabat yang baik sangat-sangat berharap agar kita berjaya dalam hidup sebagai seorang yang cemerlang.

Sejuk Hati Bila Mendengar Namanya
Sahabat yang baik adalah orang mempunyai makna yang hebat kepada diri kita.

Bila Mendengar Kata-katanya Ketaatan Kita Kepada Allah Bertambah
Sahabat yang baik apabila mengeluarkan sesuatu percakapan adalah kerana Allah, lalu setiap perkataannya akan menyebabkan kita sentiasa mengingati Allah, dalam apa jua keadaan.

Sentiasa Berdoa Dan Memaafkan Sahabat
Sahabat yang baik akan sentiasa berdoa dan memaafkan kita demi menjaga hubungan persahabatan sesama Islam.

Akan Mempertahankan Maruah Sahabat Bila Ada Yang Cuba Memburukkannya

Sahabat yang baik akan menepis segala kata-kata buruk ke atas diri kita biarpun keburukan itu benar. Ini kerana dia berpendapat biarlah Allah sahaja yang mengetahuinya dan bukan manusia lain. Ini memudahkan kita bertaubat jika kita ada melakukan dosa-dosa tertentu.

Selasa, Oktober 19, 2010

Membantu kawan ketika kesempitan

Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 5
Penulis: Amiene Rev

ketika kesusahan melanda
siapa lagi
yang lebih menyayangiku
selain-Mu?

Isnin, Oktober 18, 2010

Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar

Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubadah Ibn As-Samit berkata: Rasulullah SAW mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu daripada tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah.
(Hadis riwayat Muslim)


Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 4
Penulis: Amiene Rev

jika semalam aku tersesat
hari ini pimpinlah aku
rinduku pada kebenaran
dengan Nur-Mu

Ahad, Oktober 17, 2010

Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya

Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya.”

Sabda Baginda lagi : “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud).

Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 3
Penulis: Amiene Rev

kelmarin
aku menunggu
hari ini aku
mendapat

Sabtu, Oktober 16, 2010

Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman

Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman
Sabda Baginda bermaksud: “Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 2
Penulis: Amiene Rev

di mana Engkau, Ilahi
aku cukup rindu
akan nur cahaya-Mu
berikan aku
jalan-Mu yang lurus
itu

Jumaat, Oktober 15, 2010

Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan

Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 1
Penulis: Amiene Rev

rindu
cukup rindu
sudah tidak ada gunanya
pasrah mencukupi
cari redha Ilahi

Rabu, Januari 21, 2009

Koleksi Hadis dan Ayat Quran Berkaitan Dengan Kawan, Persahabatan dan Persaudaraan Menurut Islam

Persahabatan Menurut Al Hadis dan Al Quran
Susunan: Amiene Rev

Kawan, persahabatan dan persaudaraan mempunyai makna yang menjunjung prinsip kehidupan. Saya telah menyusun beberapa hadis dan ayat-ayat Al Quran berkaitan dengan persahabatan untuk dijadikan rujukan.

Ayat Al Quran Mengenai Persahabatan: Sahabat Pada Hari Kiamat

(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67)

Hadis Persahabatan: Memilih Kawan
"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)


Ayat Al Quran Berkenaan Persahabatan: Orang Zalim Yang Menggigit Jari
"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia. (Al-Furqan: 27-29)


Hadis Persahabatan: Tukang Besi dan Penjual Minyak Wangi
"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Jangkitan Orang Durjana
"Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat." (Al-Mustadrak ala al Sahihain)


Hadis Mengenai Persahabatan: Orang Mukmin
"Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mukmin." [Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Jamuan Orang Bertakwa
"Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa." (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Cermin
"Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya" (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Ikatan Setiakawan Kerana Allah
"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)


Hadis Persahabatan: Memanfaatkan Kelebihan Diri Untuk Menolong Orang Yang Tidak Ada Kelebihan Tersebut
"Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan." (Riwayat Muslim)


Hadis Persahabatan: Rasa Sayang
“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Doa Untuk Sahabat
Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan:
عن عمر رضي اللهم عنهم قال استأذنت النبي صلى اللهم عليه وسلم في العمرة فأذن لي وقال لا تنسنا يا أخي من دعائك فقال كلمة ما يسرني أن لي بها الدنيا

Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendoakan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut. (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Bermanis Muka
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي ذر قال قال لي النبي صلى اللهم عليه وسلم لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق

“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat” Riwayat Muslim)


Hadis Persaudaraan: Dua Muslim Berjabat Tangan
Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن البراء قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يفترقا

“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (Riwayat Abu Daud)


Hadis Persahabatan: Sering Ziarah-Menziarahi
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)” (Riwayat Ahmad)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Kelahiran Anak
بورك لك بالموهوب وشكرت الواهب ورزقك بره وبلغ أشده

“Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.” (Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Perjalanan Jauh
الحمد لله الذي سلمك وجمع الشمل بك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta telah memuliakan anda dengan perjalanan tersebut.” (Diriwayatkan daripada Para Leluhur Silam; Salaf)


Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Medan Perjuangan Atau Jihad
الحمد لله الذي نصرك وأعزك وأكرمك

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kemuliaan dan pengorbanan.” (Riwayat Muslim, Nas’I daripada A’isya)


Hadis Persahabatan - Ucapan Untuk Saudara - Pulang Dari Menunaikan Haji
تقبل الله حجك وغفر ذنبك وأخلف نفقتك

“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan.” (Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar)


Hadis Persahabatan: Memberikan Hadiah
عليك بالهدايا فإنها تورث المودة وتذهب الضغائن

Ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas r.a.; Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Kerapkanlah memberi hadiah kerana ia boleh meneguhkan kasih sayang dan menghilangkan persanggitan hati.” (Riwayat Thabrani)

Dalam hadith yang lain Baginda bersabda:
تهادوا تحابوا

“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih.” (Riwayat Malik)


Hadis Berkenaan Persaudaraan Dalam Islam: Tujuh Hak Seorang Muslim Daripada Muslim Yang Lain.
Rasulullah s.a.w. menerangkan:
للمؤمن على المؤمن سبعة حقوق واجبة من الله وجل، الإجلال له في عينه، والود له في صدره، والمواساة له في ماله، وأن يحرم غيبته، وأن يعوده في مرضه، وأن يشيع جنازته، وأن لا يقول فيه بعد موته إلا خيرا عز


“Tiap orang MuKmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain:
  1. iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan,
  2. menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya,
  3. menghulurkan simpati dengan harta sendiri,
  4. mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya,
  5. menziarahinya ketika sakit,
  6. mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan
  7. tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”
(Riwayat Ibnu Babawaih)