BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 27, 2012

Kes Teman Wanita Dibakar - Dani Tiger Ditahan

Susulan Kes Teman Wanita Dibakar, Dani Tiger Kini Ditahan
Susulan daripada kes Nurul Firzanah yang dibakar oleh kekasihnya menyebabkan mangsa terbakar 25 peratus di muka, dada dan tangan yang kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur , pada hari ini pihak polis telah menahan lelaki yang disyaki membakar teman wanitanya di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju pada awal pagi 13 Ogos lalu.

Suspek ditahan dengan seorang wanita dan kedua-dua ditahan reman lima hari bermula hari ini kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Sebelum ini, pihak polis telah  memburu Mohd Amir Mohd Anuar, 18, dari Taman Keramat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

BERITA SEBELUMNYA:

KUALA LUMPUR: “Mama tolong kak ngah. Kak ngah sakit. Kak ngah kena bakar,” rintih seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika menghubungi ibu angkatnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang keluar bersama teman lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.

Bapa mangsa, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, anaknya, Nurul Firzanah yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu pergi ke rumah ibu angkatnya dan selepas tiba di sana, dengan kebenaran ibu angkatnya itu dia keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.

Menurut Mat Zaki, mereka yang sudah mengenali teman lelaki mangsa dan keluarganya tidak berasa syak untuk membenarkan mereka keluar bersama.

Bagaimanapun, katanya, jam 3 pagi, dia menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memberitahu Nurul Firzanah dibakar berdekatan Flat Wangsa Sari di kawasan terbabit.

Khamis, Mei 24, 2012

CADANGAN USAHA SAMA LANGGANAN (IPO) FACEBOOK - BENTUK PENIPUAN BARU DI INTERNET!

KUALA LUMPUR – Jika anda ditawarkan akses eksklusif kepada langganan saham IPO Facebook, besar kemungkinan ia satu penipuan, kata Symantec.

Symantec Security Response baru-baru ini mengesan 419 mesej penipuan yang menawarkan “CADANGAN USAHA SAMA LANGGANAN (IPO) FACEBOOK”.

Penggunaan semua huruf besar merupakan contoh biasa 419 penipuan itu, katanya.

Ia didakwa dihantar oleh sebuah firma kewangan di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Bentuk sebenar penipuan itu tidak jelas. Penipuan itu menyebut pinjaman wang menerusi terma “mudah” dan murah hati untuk membeli saham-saham Facebook dan menjualnya semula kepada syarikat pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pembelian asal.

Symantec berkata, petunjuk jelas ia merupakan penipuan ialah berdasarkan alamat untuk membalas e-mel.

“Ia merupakan alamat yang agak amatur yang menggunakan e-mel berasaskan web percuma yang biasa.

“Syarikat yang sah sudah pasti akan menggunakan alamat e-mel domain sendiri dan bukan alamat berasaskan web percuma,” katanya.

Alamat e-mel dan nama pada tajuk “daripada” mesej itu juga berbeza daripada alamat e-mel dan nama yang digunakan dalam isi mesej.

Berdasarkan kedudukan profil tinggi IPO ini, Symantec menjangkakan golongan penipu akan mengambil kesempatan dan menggunakan cara yang sama yang mereka lakukan pada berita dan acara sebelum ini. – BERNAMA

Khamis, Mei 05, 2011

Penipuan Panggilan Telefon Kad Bank

AWAS sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka adalah wakil Bank Negara Malaysia atau bank-bank tempatan yang meminta 16 digit nombor kad bank. Malah, orang ramai juga diminta berwaspada sekiranya dihubungi oleh sindiket yang sama, kononnya memaklumkan bahawa kad bank mereka sedang digunakan oleh individu lain.

Ini kerana semua panggilan itu adalah helah sindiket penipuan tersebut yang ingin mencuri wang simpanan anda.

Sindiket itu sebelum ini dikesan menghubungi mangsa dengan pelbagai alasan untuk mengetahui nombor kad bank.

Malah, ada di antara mangsa terkejut setelah dimaklumkan bahawa terdapat individu sedang menggunakan kad bank mereka dan meminta supaya penggunaan itu disekat serta merta.

Berikutan itu, si penipu yang membuat panggilan akan menyebut 12 digit pertama kad bank mangsa untuk memberi keyakinan bahawa mereka adalah wakil bank.

Kemudian panggilan kedua akan dilakukan oleh sindiket itu untuk meminta mangsa memberikan 4 digit terakhir kad bank.

Dengan memperoleh empat digit terakhir itu sindiket berkenaan berupaya memindahkan wang simpanan dari akuan mangsa ke dalam akaun mereka.

Pemindahan wang itu dipercayai dilakukan menggunakan rangkaian Internet.

Mengikut laporan yang pernah didedahkan akhbar tempatan sebelum ini, terdapat mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit akibat ditipu sindiket itu.

Oleh itu, bagi anda yang mendapat panggilan sama seperti di atas diharap mendapatkan nasihat dari bank-bank berdekatan terlebih dahulu bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Rabu, Mei 04, 2011

Perompak Berkeliaran Di Lavender Heights Senawang

Penduduk taman perumahan Lavender Heights, Senawang dekat sini, dinasihatkan supaya berwaspada dengan kehadiran individu yang tidak dikenali terutamanya pada waktu siang. Wujud kumpulan tertentu yang menjadikan rumah kosong tanpa penghuni sebagai sasaran merompak dan pecah masuk.

Pembantu rumah yang kadangkala tinggal bersendirian bersama anak-anak dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar dan membenarkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah.

Penduduk di taman perumahan itu mengambil sikap berjaga-jaga dan segera menghubungi pihak polis jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

Berikutan banyak kerja pembinaan termasuk pengubahsuaian rumah di taman berkenaan, pemantauan juga perlu dibuat ke atas pekerja asing yang keluar masuk ke kawasan ini.

Rumah kosong, pagar yang bocor, kawasan tadahan hujan yang penuh dengan semak samun serta kealpaan penduduk, dikhuatiri menjadi pilihan terbaik kepada penjenayah untuk melakukan pecah masuk di rumah tanpa penghuni.

Dalam kejadian semalam, sebuah rumah di Fasa 1 di sini telah dipecah masuk perompak menyebabkan beberapa barangan elektrik, barang kemas dan wang tunai lesap akibat dikebas penyamun ketika penghuninya balik ke kampung pada hujung minggu.

Jumaat, Oktober 15, 2010

Private Call Penipuan Kad Kredit Menerusi Telefon

Penipuan Kad Kredit Menerusi Telefon - Private Call

Sekiranya ada pemanggil yang menelefon anda dan meminta apa-apa nombor atau maklumat berkenaan Kad Kredit anda, maka anda haruslah berhati-hati. Mereka tahu jenis kad kredit yang anda gunakan, mereka tahu nombor depan kad kredit anda, mereka tahu tarikh luput kad kredit anda, dan mereka juga tahu nama penuh anda. Mereka menggunakan semua maklumat ini untuk membuatkan anda percaya bahawa mereka adalah daripada pihak yang betul.

Berhati-hati, anda mungkin tertipu. Kini panggilan telefon secara private semakin berleluasa di Malaysia. Pusat-pusat panggilan telefon antarabangsa ini sebenarnya berdekatan dengan tempat tinggal anda. Bahaya bukan? Penjenayah berada di sekitar anda.

Berikut adalah senarai laman web atau blog yang diharapkan dapat membantu memberi gambaran kepada anda mengenai penipuan kad kredit menerusi panggilan telefon.

Khamis, Disember 10, 2009

Penagih Punca Ragut - Antara Kambing Dan Peragut

Kambing yang sedia kita tahu adalah binatang yang tidak berdosa. Kambing tidak meragut beg tangan wanita. Kambing tidak menagih dadah. Manusia? Ada manusia yang ketagih dadah. Ada manusia yang meragut beg tangan wanita dan nenek tua. Terkutuk sungguh manusia itu. Jadi, siapakah yang lebih mulia? Kambing yang tidak berdosa atau manusia yang meragut beg tangan wanita? Bagaimana pula dengan kambing yang ego seperti yang diceritakan oleh kartunis Bawang dalam majalah Ujang sekitar awal tahun 2000 dahulu? Sesungguhnya isu ragut kini telah menjadi satu isu negara. Peragut-peragut kini semakin dajal menimbulkan kecelakaan di jalan raya dan di laluan pejalan kaki. Di mana-mana. Peragut. Di situ. Peragut. Di sana. Peragut. Di padang, kambing meragut rumput.

Gambar menunjukkan seekor kambing yang tidak berdosa
sedang meragut rumput.


Keterangan gambar: Betapa tidak berdosanya kambing ini meragut rumput. Betapa bahagianya kambing ini meragut rumput. Kenapa peragut tidak meragut rumput? Kenapa? Mari kita renung-renungkan fakta di bawah ini:
Penagih dadah yang semakin bertambah dengan lima penagih baru dikesan setiap hari menjadi punca kes ragut sehingga meragut nyawa, sukar dibendung.

Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, 70% kes ragut di Malaysia dilakukan oleh penagih dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyatakan selagi ada penagih dadah, selagi itu akan ada jenayah ragut.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zainal Abidin Kamarudin semalam memerintahkan seorang tertuduh kes ragut membaca dengan suara kuat laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kematian seorang mangsa ragut, Abdul Rahman Mohd. Khadla’din.

Sumber: Utusan Malaysia
Isu peragut di jalanan semakin kuat kedengaran. Bukan lagi laungan strategi politik untuk mengalihkan isu-isu berkenaan pengaruh individu dalam pilihan raya. Isu ragut kini isu nasional. Penagih dadah perlukan duit. Penagih dadah dipandang serong. Penagih dadah sukar mencari kerja. Kadangkala ada penagih dadah yang malas mencari kerja. Ada juga penagih dadah yang pernah bekerja tetapi dibuang kerja. Oleh kerana masyarakat tidak menerima lagi kebanyakan pekerja yang didapati positif menagih dadah, maka penagih dadah menjadi penganggur yang tidak terhormat, dan seterusnya hidup dengan menagih dadah. Saya, bersimpati besar, dengan golongan seperti ini.

Atas dasar itu, adalah elok sekiranya para penagih dadah pergi mengubati diri di Pusat Serenti atau di mana-mana pusat pemulihan dadah. Nescaya, mereka tidak perlu lagi meragut beg tangan orang lain semata-mata untuk mendapatkan wang yang tidak halal bagi memenuhi nafsu ketagihan mereka terhadap dadah.

Dadah merosakkan akal. Apabila saraf otak telah rosak, maka pemikiran pun tidak lagi waras. Lalok. Memalukan. Mengaibkan. Dadah musuh durjana. Dekati dadah membawa padah. Semasa di sekolah dahulu, kerap kali guru lukisan memberi tugasan melukis poster berkenaan anti-dadah. Di sekolah juga ada Kelab Anti-Dadah. Malah Mawi juga ada melaungkan kata-kata "Belia Benci Dadah!" semasa di pentas Akademi Fantasia dahulu.

Setiap hari, bilangan penagih dadah bertambah sebanyak lima orang. Sebulan ada lebih kurang tiga puluh hari. Maka, 150 orang penagih dadah dihasilkan secara tidak sengaja dalam masa satu bulan. Penagih dadah tidak dilahirkan menerusi hubungan seks. Bak kata, bukan salah ibu mengandung. Penagih dadah dilahirkan menerusi pengaruh kawan, setiap hari, setiap bulan, setiap tahun. Setahun ada 12 bulan. 12 darab dengan 150 sudah menjadi 1800 orang penagih dadah. Itulah yang jadi kalau tidak mahu dengar nasihat ibu bapa. Emak dan ayah pesan jangan bergaul dengan orang yang bukan-bukan, degil. Sekarang sudah terpengaruh dengan dadah, apa nak jadi?

Kos untuk memulihkan penagih dadah akan meningkat. Katakan 1800 orang dadah setiap tahun berjaya ditangkap dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah atau ke pusat Serenti. Berapa banyak perbelanjaan dibazirkan untuk memulihkan penagih dadah? Ada pula penagih dadah yang setelah dilepaskan keluar dari pusat-pusat pemulihan, mereka kembali menagih dadah kerana bergaul dengan kawan-kawan lama. Apa boleh buat, kawan-kawan mereka yang masih terlepas di luar sana sudah rosak akal fikirannya. Dadah telah merosakkan saraf otak yang menjadi tunjang penjana idea dan pemikiran logik lagi bernas. Dadah menjadikan fantasi menjadi semakin hebat sehingga mampu menakluki realiti.

Penagih dadah meragut beg tangan orang lain kerana ketagihan dadah. Di Malaysia tidak ada akademi dadah. Jadi, sudah pasti penagih dadah ini menjadi penagih dadah bukan kerana undian rakyat Malaysia. Penagih dadah ini menjadi peangih dadah kerana pengaruh kawan. Ini berbalik semula kepada kepentingan mengajar adab kepada manusia. Apa pun gejala yang berlaku di negara ini, semuanya mestilah berbalik kepada soal moral dan perikemanusiaan. Soal mengenang budi dan jasa. Soal menghormati orang lain. Jika anak menghormati ibu bapa, jika anak tahu mengenang budi dan jasa ibu bapa, maka pastilah si anak itu akan mendengar cakap ibu bapa. Ibu bapa kata jangan bergaul dengan budak menagih dadah, maka anak yang tahu mengenang budi pasti akan akur. Bagaimana pula kalau ayah atau ibu pun penagih dadah? Si anak sebagai seorang yang dilahirkan oleh ibu, perlu membalas jasa kesusahan ibu mengandung dan keperitan ibu melahirkan anak dengan membawa ibu bapanya kembali ke jalan yang benar.

Sabtu, Ogos 30, 2008

6 Panduan Harus Diikuti Berkenaan Cari Kawan Di Internet, Chatroom dan Laman Web Sosial


Tips Hubungan Sosial Di Internet
Panduan Menghindari Mangsa Jenayah Internet
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Internet seperti laman web sosial dan bilik sembang atau chatroom adalah sebuah tempat yang terbaik untuk bertukar-tukar pandangan, mencari pengetahuan dan berita terbaru, tetapi pada masa yang sama boleh mendatangkan keburukan sekiranya pengguna tidak berhati-hati dalam mencari kawan. Berikut adalah sedikit petua untuk para pengguna internet mengenai cara-cara mencari kawan di internet.


1. Jangan memberikan nama penuh, fakta peribadi atau identiti asli.

Memberikan informasi berkaitan maklumat peribadi kepada orang yang belum anda kenal di internet sebenarnya cukup bahaya. Sekiranya anda fikir dengan mengucapkan salam perkenalan itu membawa maksud anda boleh mendedahkan segala-galanya tentang diri anda terhadap seorang kenalan di internet, anda tersilap langkah dan kemungkinan berisiko untuk menjadi mangsa untuk dianiayai.

Dalam dunia internet terdapat ramai pemangsa atau pemburu orang-orang dengan ciri-ciri tertentu, dan lebih teruk mereka memiliki komuniti atau kumpulan sendiri di alam siber untuk memudahkan mereka mencari mangsa. Mereka ini mungkin terdiri daripada penagih seks, pengamal ajaran sesat, scammer, pengugut atau peminat fanatik yang akan cuba sedaya upaya untuk mengenali dan mendekati anda, sebelum melunaskan niat jahat mereka. Berhati-hatilah.


2. Sekiranya perlu berurusan, maka adakan pertemuan di tempat ramai orang.

Mungkin ada di kalangan anda yang merupakan seorang peniaga atau ahli perniagaan yang memerlukan anda bertemu dengan pelanggan atau prospek anda. Dalam kes ini anda perlu berhati-hati supaya tidak mengadakan pertemuan di tempat-tempat yang sunyi. Sekiranya prospek atau orang yang akan anda temui itu menukar tempat pertemuannya ke tempat yang sunyi, maka awas, kerana anda mungkin sedang masuk ke dalam perangkapnya.

Tidak semua orang yang kelihatan baik dan boleh dipercayai di internet benar-benar baik di dunia nyata. Seelok-eloknya elakkan pertemuan tanpa sebab atau pertemuan kerana mahu menjalinkan hubungan semata-mata kerana ini adalah salah laku yang boleh membawa anda ke kancah kegelapan.

Jangan mudah terpedaya dengan hubungan internet sehingga merancang pertemuan di dunia nyata kerana nafsu atau cinta internet, kerana kelak anda mungkin menyesal apabila mendapati orang yang anda bayang-bayangkan selama ini tidak menepati ciri-ciri yang anda kehendaki. Lebih teruk, anda bukan sahaja melukakan hati orang-orang tertentu, bahkan melukakan hati anda sendiri kerana tindakan yang tidak kukuh yang telah anda ambil.


3. Berhati-hati dengan profil yang memaparkan personaliti atau ciri fizikal yang terlalu sempurna.

Ramai pengguna internet yang menggunakan laman web sosial seperti Friendster, MySpace dan sebagainya bertujuan untuk mencari teman baru atau pasangan hidup. Mungkin ada antara anda yang menemui profil personaliti yang sangat menarik. Bentuk fizikal yang amat menarik dan sikap yang sangat romantis atau menarik hati.

Dalam dunia sekarang, bukan sahaja terdapat orang yang pandai memujuk rayu, malah mengumpan dengan fakta-fakta peribadi dan fizikal yang sempurna sebagai promosi mudah untuk memerangkap mangsanya.


4. Sekiranya anda sudah berkahwin, elakkan menjalin sebarang hubungan rapat; mesra, teman bergurau atau intim di internet.

Sekiranya anda sudah berkahwin, elakkan diri anda daripada mencari teman untuk bermesra di internet. Luangkan masa bersama teman hidup anda. Walau pun anda bertegas, "hanya kawan" tetapi tindakan anda itu akan mengundang rasa cemburu apabila ada masa yang sepatutnya anda luangkan untuk teman hidup anda tetapi dihabiskan dengan bersenda gurau atau berbual perkara-perkara yang tidak menjamin masa depan atau ekonomi keluarga atau bidang pekerjaan anda.


5. Gunakan bahasa diri seperti seorang yang sudah berkahwin atau membahasakan diri seseorang itu agar dia sentiasa sedar bahawa dia sudah berkahwin.

Kadangkala ada antara kita atau kenalan kita di internet yang sudah berkahwin tetapi masih mahu menggunakan nama gelaran yang tertentu. Seelok-eloknya bagi yang sudah berkahwin terus membahasakan diri atau menggalakkan kenalannya menggunakan nama panggilan terhormat, Tuan atau Puan.

Dan sekiranya anda tahu bahawa kenalan anda itu sudah berkahwin, maka bahasakan dirinya sebagai Puan atau Tuan supaya dia sedar bahawa dia sudah berkahwin. Namun sebaik-baiknya, elakkan diri daripada berbincang perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.


6. Jika anda sudah bertunang, berkahwin atau sudah memiliki pasangan, elakkan daripada mendaftar di mana-mana laman web sosial tanpa sebarang sebab yang khusus.

Sekiranya anda bukan bermatlamatkan perniagaan, promosi atau apa-apa pekerjaan yang melibatkan internet, maka elakkan diri daripada mendaftar di mana-mana laman web sosial dan sebagainya.

Begitu mudah internet boleh mendatangkan fitnah. Contohnya apabila seseorang mengirimkan kata-kata cinta yang mungkin bermaksud gurauan kepada anda, dan kemudian dibaca oleh orang lain, maka fitnah boleh berlaku.

Jika anda sudah memiliki teman hidup di dunia nyata, kenapa harus mencari-cari teman yang lain lagi. Untuk tujuan ALUMNI atau sebagainya mungkin boleh tetapi biarlah secara terhormat, iaitu perbincangan mesti merujuk kepada perkara-perkara reunion atau urusan pekerjaan atau perniagaan sahaja.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com