BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Buaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buaya. Papar semua catatan

Jumaat, September 06, 2013

Kisah Manusia Yang Menjadi Buaya

Di Bunohan, ada banyak kisah berkenaan manusia menjadi buaya. Buaya menjadi manusia, jarang-jarang. Ada pun, kisah manusia yang bertukar menjadi buaya ini, adalah kerana amalan ilmu hitam. Ilmu yang tidak diterima langit, dan setiap pengamalnya akan menerima azab dan seksa di akhirat kelak.

Salah satu kisah cinta unik mengenai manusia yang menjadi buaya, salah satunya adalah kerana mahu mengekalkan cinta terhadap pasangannya. Si pengamal ilmu hitam enggan berpisah dengan pasangannya, boleh jadi kekasihnya, suaminya atau isterinya. Buaya jadian ini juga akan melindungi anak cucunya daripada sebarang ancaman. Adalah tidak dapat dipastikan sama ada buaya jadian ini mampu menyelamatkan umat manusia daripada ancaman bom nuklear atau fitnah Dajjal.

Kisah buaya, sering berkait rapat dengan sungai atau paya. Jarang ada kisah buaya di tasik atau di padang golf. Namun ada kisah buaya yang menarik pernah berlaku di Malaysia seperti di Tasik Puchong dan Padang Golf A Famosa di Melaka.

Kisah buaya yang paling terkenal selalunya berasal dari Sarawak. Nama gelaran yang sering dilekatkan dengan nama buaya biasanya 'Bujang'.  Sesetengahnya berkait rapat dengan kepahlawanan. Pahlawan mati menjelma menjadi buaya. Ada juga satu kisah di mana dua beradik kembar, satunya manusia dan satunya buaya juga datang dari satu etnik yang ada di Sabah.

Aku pernah membaca satu kisah buaya, tentang dua beradik yang menjadi pemimpin. Si abang seorang pemimpin yang terbilang dan adil, manakala adiknya sering berlaku zalim kepada pengikut-pengkutnya. Satu hari si abang memerangkap si adik lalu mengurungnya di dalam satu keranda yang cantik. Si adik akhirnya menjelma menjadi buaya. Kedua-dua beradik ini masih ada seorang adik perempuan. Si adik yang telah menjelma menjadi buaya menetapkan satu hari khusus untuk menemui adik perempuannya yang dirinduinya. Namun salah seorang pengikut si abang telah tersalah kira bilangan hari lalu mengatur satu upacara sehari lebih awal dan mendatangkan marah kepada si adik yang telah menjelma menjadi buaya. Selepas itu, si adik berdendam dengan manusia yang memungkiri janji, lalu berjanji akan memakan mana-mana manusia yang mengganggu hidupnya.

Kisah manusia menjadi buaya selalunya berakhir dengan tragis. Kehidupan buaya itu sendiri kita lihat seolah-olah penuh dengan kesunyian dan keseraman. Hidup sebagai buaya sudah pasti membosankan, bagi setiap manusia yang ada cita-cita dan matlamat. Hidup tanpa matlamat, umpama hidup seperti buaya. Lebih tepat lagi, seorang manusia yang degil, panas baran dan pendiam jika ia hidup tanpa matlamat, maka kehidupannya adalah sama sahaja seperti seekor buaya.

Khamis, Ogos 23, 2012

Budak Tewaskan Buaya Dengan Mencucuk Mata Buaya Ketika Kaki Digigit Buaya

Buaya Air Masin Sepanjang 2 atau 3 Meter Gigit Peha Budak Tewas Dicucuk Atau Ditumbuk Matanya
Kedua-dua petikan berita ini menerangkan mengenai bagaimana tingkah laku buaya air masin semasa menggigit mangsanya. Buaya memburu mangsa secara senyap-senyap. Mangsa yang leka akan tewas, mangsa yang peka akan terselamat sekiranya buaya itu kecil dan tidak cekap. Budak itu juga digigit di dua tempat iaitu pertama di Pantai Pasir Panjang dan Pasir Pasir Pandak. Buaya di Pantai Pasir Panjang sepanjang 2 meter, manakala di Pasir Pandak pula sepanjang 3 meter. Sungguh aneh laporan kedua-dua berita ini.


FAKTA DARI BERITA KOSMO:
Mangsa: Pelajar berusia 14 tahun
Pemangsa: Buaya sepanjang 2 meter
Cara Menewaskan Pemangsa: Cucuk mata dan tendang badan buaya. 
Lokasi: Pantai Pasir Panjang
Masa: Awal pagi

Tumpas bila mata dicucuk
Sumber: KOSMO

Austin Chin mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING – Tindakan berani seorang remaja menendang kepala dan mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangannya berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi korban reptilia ganas itu ketika dia mandi-manda bersama rakan di pantai Pasir Panjang dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Ashley Austin Chin, 14, bersama lima rakan bermandi-manda selepas selesai memancing sebelum kaki kanannya tiba-tiba disambar buaya serta mengheretnya ke dalam air.

Panik diheret dan bergelut kira-kira tiga minit dengan reptilia sepanjang dua meter itu, Ashley terus menjerit dan meronta-ronta.

Dia akhirnya sempat menendang kepala Sang Bedal sebelum reptilia itu cuba pula menerkam kaki kirinya.

“Pada mulanya saya ingat kawan saya bermain dan menarik kaki saya, namun selepas saya berpusing ke belakang, saya ternampak seekor buaya.

“Saya sempat berpusing dua kali dalam air walaupun kaki masih dalam mulut buaya dan tendang kepala sambil mencucuk mata buaya itu dengan jari tangan hinggalah kaki saya dilepaskannya,” ceritanya kepada Kosmo! ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.

FAKTA DARI BERITA HARIAN METRO:
Mangsa: Pelajar berusia 14 tahun
Pemangsa: Buaya sepanjang 3 meter
Cara Menewaskan Pemangsa: Tumbuk mata dan tendang badan buaya.
Masa: Pagi
Lokasi: Pantai Pasir Pandak

Buaya ‘ngap’ paha budak
Sumber HMETRO


SAKIT...Ashley Austin dirawat di HUS menunjukkan kesan luka di kaki dan betis, semalam.

KUCHING: “Mulanya, saya menyangka rakan bergurau dengan menarik paha, namun sebaik menoleh, saya melihat mereka berdiri agak jauh daripada saya.
“Saya kemudian mengesyaki ada yang tak kena lalu terus meraba lalu terkejut apabila merasai sesuatu benda berkulit keras menggigit kedua-dua paha saya,” kata Ashley Austin Chin, 14, yang terselamat biarpun dibaham buaya air masin di pantai Pasir Pandak, dekat sini, pagi semalam.

Berikutan itu, katanya, dia memberanikan diri dengan menumbuk mata serta badan buaya yang sepanjang lebih tiga meter itu untuk melepaskan gigitannya.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu mengalami luka di kedua-dua paha.

Sebelum kejadian, Austin berkata, dia bersama lima rakan pergi ke pantai berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya ini untuk mandi sempena cuti sambutan Aidilfitri, kira-kira jam 7 pagi.

Selepas hampir setengah jam menghabiskan masa dengan mandi, dia tiba-tiba terasa sesuatu cuba menggigit pahanya.

“Ketika itu, saya langsung tidak terfikir digigit buaya kerana pantai berkenaan sering dikunjungi orang ramai, terutama setiap hujung minggu.

“Malah, ketika kedua-dua paha saya dibaham, saya masih mampu mengelak dan cuba menepis. Apabila gigitannya semakin kuat, barulah saya segera melawan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Austin berkata, dia menggunakan seluruh kudrat untuk menumbuk mata buaya itu.

“Hanya itu cara terakhir dan kudrat yang saya ada. Mungkin tumbukan tepat pada mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitannya dan kesempatan itu juga saya gunakan untuk menendang badannya,” katanya.

Austin bersyukur kerana terselamat daripada maut, namun menyesal kerana sebelum kejadian, ibu memang tidak membenarkan dia mandi di situ kerana bimbangkan keselamatannya.

“Saya tidak mengendahkan larangan itu, sebaliknya menuruti ajakan rakan yang merancang untuk mandi-manda di pantai berkenaan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.