BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Pengangkutan Awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengangkutan Awam. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 17, 2012

Monorel Rosak Lagi - Penumpang Terkandas Lagi

Isu kerosakan monorel yang menyebabkan ramai penumpang terkandas sekitar 12 Ogos 2012 berulang lagi. Namun kali ini pihak pengurusan monorel telah pun mengambil langkah berjaga-jaga dan bertindak lebih cepat berbanding dulu. Jika dulu, sekitar 1 jam diperlukan untuk menyelamatkan semua penumpang yang terperangkap di dalam monorel di Brickfields, kini rasanya tidak ada lagi kes penumpang hamil pengsan kerana kekurangan oksigen. Nampaknya pihak pengurusan monorel wajib memeriksa setiap monorel yang didapati rosak atau dirasakan perlu pemeriksaan rapi bagi menjaga imej pengangkutan awam di negara ini. Monorel merupakan salah satu pengangkutan awam yang banyak digunakan oleh penduduk setempat dan juga pelancong asing. Kerosakan monorel akibat pengurusan yang tidak baik akan memberi imej buruk kepada negara. Pelancong asing akan menjaja cerita pengalaman pahit mereka ini apabila mereka pulang ke negara masing-masing.

Berikut adalah petikan berita berkaitan dengan kes-kes kerosakan monorel yang telah berlaku di Kuala Lumpur, iaitu pada 12 Ogos 2012 dan pada 17 Ogos 2012.

Monorel Rosak, 200 Penumpang Terkandas
17 OGOS 2012

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel dari stesen Imbi ke Bukit Bintang tergendala hampir sejam pagi ini apabila sebuah tren mengalami kerosakan kecil, menyebabkan kira-kira 200 penumpang terkandas.

Jurucakap KL Star Rail, Azhar Ghazali, berkata bagaimanapun kejadian pada jam 8.35 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang.

Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada pemandu monorel pada jam 8.45 pagi dan tren penyelamat dihantar ke lokasi bagi memindahkan penumpang secara "tren-ke-tren" di mana kesemua mereka berjaya dipindahkan 10 minit selepas itu.

"Operasi tidak membabitkan pihak luar. Semua penumpang selamat dan ketika kejadian, enjin, pendingin hawa dan lampu monorel berfungsi seperti biasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan disambung semula 30 minit kemudian dan punca kejadian masih disiasat.

"Bagi syarikat pengendali KL Star Rail, saya memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan tersebut," katanya. - BERNAMA


183 Penumpang Terperangkap 1 Jam Dalam Monorel Rosak
12 OGOS 2012


Kelihatan pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan skylift untuk menyelamatkan beberapa penumpang yang terkandas dalam monorel di Brickfields petang ini.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

“Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

“Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah ‘train-to-train evacuation’ untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan,” katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah ‘traction Control’ yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

“Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai,” katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

“Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi,” katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

“Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.

“Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku,” katanya. – BERNAMA

Jumaat, Oktober 19, 2007

Kontroversi Pemandu Teksi dengan Pelajar Universiti

Jika tadi aku menyatakan mahu memberi anugerah terhadap skrip filem Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness, sekarang aku mahu menyatakan perasaan (seolah-olah memberi anugerah) kepada seorang pemandu teksi dari Kota Kinabalu.

Kisahnya begini. Seorang pemandu teksi membawa seorang penumpang ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Penumpang tersebut perlu menaiki kapal terbang yang dijangka bertolak pada pukul 6.35 pagi dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang. Sayangnya, penumpang tersebut disekat daripada menaiki kapal terbang kerana dia tidak mampu membayar baki RM150 (seratus lima puluh ringgit) untuk lebihan berat bagasi sebanyak 10 kilogram.

Pemandu teksi tersebut membuat keputusan meminjamkan wang sebanyak RM150 kepada penumpang tersebut supaya penumpang tersebut dapat menaiki bas. Alangkah bagusnya pemandu teksi seperti ini. Pemandu teksi yang berjiwa perwira ini bernama Lasius atau Aloysius. Kisah benar ini berlaku sekitar bulan 10 tahun 2007.

Ada satu lagi kisah pemandu teksi yang baik hati di Johor. Namanya En. Sauli. Suatu ketika seorang pelajar universiti (bukan aku), mahu menaiki bas tetapi belum menempah tiket. Maka En. Sauli menempah tiket untuknya dengan menggunakan duitnya sendiri. Malangnya si pelajar ini yang sikapnya tidak tetap pendirian telah menyusahkan pemandu teksi ini. Pelajar tersebut tidak jadi menaiki bas, dan si pemandu teksi terpaksa membayar nilai harga untuk tiket tersebut.

Kebaikan pemandu-pemandu teksi seperti ini walau bagaimana pun sedikit sebanyak telah dicemari oleh sikap segelintir pemandu teksi yang mementingkan diri sendiri dan keluarga sendiri. Harga tambang teksi yang diletakkan sesuka hati menyebabkan timbulnya rasa kurang percaya di kalangan pelajar dan orang lain terhadap mereka.

Contohnya, harga untuk destinasi yang sama dari A ke B, didapati berlainan mengikut pemandu teksi. Beza harga sekitar RM1 ke RM2. Ada yang kata RM5 dan ada yang kata RM6. Sebaliknya, apabila mengikut meter teksi, harga tambang cuma sekitar RM3.80. Namun meter cuma hiasan bagi majoriti pemandu teksi. Nilai RM5 boleh diterima oleh kebanyakan pelajar, tetapi RM6 itu dianggap sebagai satu ketidakjujuran dan ketidakikhlasan dalam memberi perkhidmatan.

Apabila kisah ini dikemukakan kepada beberapa pemandu teksi yang pro-RM5, mereka kata, kalau ada pemandu teksi yang meminta lebih daripada nilai itu, maka penumpang tidak perlu bayar. Ada juga penumpang yang berdebat dengan pemandu teksi di dalam teksi sebelum pemandu teksi akhirnya menekan pedal, memecut laju meninggalkan penumpang.

Dalam kebanyakan kes, bagi penumpang yang berpengalaman, mereka selalunya menang berdebat. Belitan lidah pemandu teksi yang meminta tambang teksi berlebihan selalunya lemah. Hujah mereka cuma lebih kepada ekspresi suara dan emosi yang dibuat-buat yang semestinya tidak dapat mengalahkan pengalaman penumpang yang biasa menaiki teksi. Namun ada juga penumpang yang kurang berkeyakinan tertindas jua.

Nilai tambang yang berbeza harga menimbulkan persoalan. Petang tadi, semasa hendak pulang ke kampus, aku terdengar suara-suara tidak puas hati seorang pemandu teksi terhadap sekumpulan pelajar universiti. Halnya berkaitan dengan soal tambang juga. Aku tidak tahu bila agaknya masalah harga tambang jujur dan khianat ini akan berakhir. Sebab itu, aku lebih suka berjalan kaki atau menaiki bas sahaja untuk keluar dari kampus.

Namun kepada Lasius AKA Aloysius dan En. Sauli, aku berharap dua orang ini dimurahkan rezeki. Kejujuran anda sebagai pemandu teksi sepatutnya menjadi teladan kepada pemandu-pemandu teksi yang lain.


"Memandu dan menumpang teksi adakalanya ibarat berjudi. Kita tidak tahu berapa kita perlu bayar untuk ke satu-satu destinasi." - Amiene Rev