BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Filem Animasi 3D. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem Animasi 3D. Papar semua catatan

Khamis, Disember 05, 2019

Ejen Ali: The Movie - Misi Neo 2019 - Ulasan Filem Animasi

Ulasan Filem Ejen Ali The Movie 2019
Pengulas: Amiene Rev (C) 2019

Filem animasi tempatan kini bertambah baik. Jalan cerita, aksi sudah setanding filem antarabangsa. Nilai-nilai Malaysia masih terserlah biarpun kisah yang disampaikan adalah berkaitan dengan teknologi yang mendahului zaman, latar belakang tempat yang langsung tidak wujud di negara Malaysia.

Siri animasi televisyen Ejen Ali sudah beberapa tahun bersiaran di skrin televisyen tempatan, juga boleh ditonton menerusi Youtube.

Siri animasi Ejen Ali bermula dengan kisah seorang kanak-kanak bernama Ali yang secara tidak sengaja terguna IRIS. Disebabkan IRIS cuma boleh berfungsi kepada sesiapa yang sudah disetkan DNA buat pertama kali iaitu Ali, secara tidak langsung Ali menjadi aset kepada sebuah pertubuhan rahsia yang dipanggil MATA.

IRIS merupakan alat berteknologi tinggi ciptaan Aliyah, ibu Ali yang telah meninggal dunia semasa mempertahankan Cyberaya. Teknologi IRIS berjaya difahami oleh salah seorang ejen MATA, yang juga merupakan saintis pintar, sehingga lahirlah versi terbaru IRIS yang dipanggil IRIS NEO.

IRIS NEO dianggap lebih canggih berbanding IRIS milik Ejen Ali, di mana ia mampu menangani masalah Override yang membuatkan penggunanya hilang kawalan diri. Adakah benar IRIS NEO lebih berguna berbanding IRIS? Filem Ejen Ali membongkar jawapan ini.

Sejak wujudnya IRIS NEO, Ejen Ali dianggap sebagai beban dalam pertubuhan MATA oleh kebanyakan ejen yang di antaranya juga merupakan rakan sepasukan Ali. Pada masa yang sama, Ali bertembung dengan bekas sahabat seperjuangan ibunya, lalu Ali pun berubah haluan, daripada Ejen Mata kepada wira penduduk pinggiran. Adakah haluan baru yang menjadikan Ali sebagai Wira Pinggiran ini membawa kebaikan kepada Ali?

Ali mula sedar, selama ini, ibunya telah menolongnya secara senyap-senyap biarpun ibunya telah meninggal dunia. Kisah yang menemukan Ali dengan ibunya di dalam alam lain yang boleh diakses melalui IRIS sangat menyentuh hati.

Keikhlasan Aliyah berjuang untuk warga Pinggiran digambarkan dengan jelas, dan kekuatan ini menyebabkan filem Ejen Ali The Movie ini sebagai sebuah filem animasi tempatan yang sangat berjaya. Mesej yang disampaikan memang meninggalkan bekas yang mendalam ke dalam diri penonton. Sebuah karya adiwira yang wajar dicontohi.

Filem Ejen Ali bukan hanya memaparkan aksi dan visual yang sangat menarik, juga bijak menyampaikan nasihat dan motivasi kepada para penonton.

Satu soalan yang perlu anda tanya pada diri anda sendiri, adakah anda sekarang memiliki jiwa seperti Dato' Othman atau ibu Ali, Aliyah? Adakah anda mahu berubah menjadi seorang perwira? Apa yang sanggup anda korbankan untuk menjadi seorang perwira?

Penamatan filem Ejen Ali The Movie juga merupakan satu Easter Egg untuk siri animasi Ejen Ali yang seterusnya. Apakah yang berlaku di pengakhiran cerita ini? Adakah Ejen Ali akan memiliki IRIS NEO, atau terus menggunakan IRIS milik ibunya, atau dilarang daripada menggunakan kedua-duanya?

Saksikan Ejen Ali The Movie untuk menemui jawapannya.

Isnin, Julai 23, 2018

Ulasan Filem HOTEL TRANSYLVANIA 3: SUMMER VACATION (2018)


Filem animasi Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation adalah satu lagi francais filem Hotel Transylvania yang sarat dengan lawak slapstick. Seperti biasa filem ini memanfaatkan adegan aniaya, derita atau kesakitan sebagai satu bentuk lawak, boleh dikategorikan sebagai filem lawak kasar yang kadangkala tidak disukai oleh sesetengah orang.

Biarpun begitu, filem Hotel Transylvania 3- A Monster Vacation ini masih memuatkan mesej yang baik, tentang bagaimana raksasa dan manusia boleh hidup berkongsi dunia dengan aman damai. Pun begitu, mesej ini juga merupakan mesej yang dibawa menerusi filem terdahulu. Manusia bercinta dengan keluarga pontianak masih menjadi tajuk dalam cerita ini.

Keluarga Van Helsing terkenal sebagai keluarga pemburu pontianak dan segala jenis makhluk supernatural yang dianggap sebagai membawa ancaman kepada manusia. Ericka yang berketurunan Van Helsing telah diamanahkan untuk meneruskan legasi dengan memerangkap dan membunuh Dracula. Dua keluarga yang berseteru selama beratus-ratus tahun akhirnya disatukan menerusi cinta pandang pertama yang dipanggil 'zing' dalam istilah raksasa.

Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation mempunyai visual yang menarik, dengan gabungan warna yang cantik. Lontaran-lontaran dialog oleh aktor-aktor suara juga menghidupkan lagi suasana dalam filem ini.

Secara jujurnya, filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation tidak mampu menandingi The Incredibles 2 dari segi plot, konflik dan aksi. Namun jika dibandingkan dengan filem-filem Hotel Transylvania 1 dan 2, boleh dikatakan filem ini adalah yang terbaik dari aspek visual dan kesan khasnya.

Filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation akan bermula dengan lawak yang tidak berhenti-henti, dan sesetengah lawak tersebut boleh mengeletek hati penonton. Sesetengahnya pula agak keterlaluan dan mungkin sukar diterima sebagai bahan gelak.

Mitos tentang Kota Atlantis yang tenggelam serta raksasa Leviathan dijadikan sebagai penyeri dan bahan lawak, diperalatkan oleh keluarga Van Helsing sebagai senjata utama untuk menghapuskan semua raksasa.

Abraham Van Helsing juga digambarkan sebagai seorang yang lemah, tidak bijak dan mudah dijerat dan ditewaskan dengan mudah oleh Dracula. Watak antagonis yang sangat cuai, lemah dan mengecewakan dihasilkan bagi mengimbangi kedudukan filem ini sebagai sebuah filem tontonan keluarga.

Tidak ada hukum fizik yang logik di dalam filem ini. Apa lagi yang boleh anda harapkan daripada sebuah filem kartun animasi 3 dimensi? Filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation adalah sebuah filem animasil dengan visual menarik dan konflik mudah yang diselesaikan dengan cinta pandang pertama dan kebaikan hati yang mudah memaafkan serta mengakui kesilapan diri.


Ahad, Julai 01, 2018

Ulasan Filem Incredibles 2 (2018)


Filem Animasi Incredibles 2 mempunyai plot yang menarik, watak Helen atau Elasticgirl dikembangkan dengan bijak. Kuasa Elasticgirl dimainkan dengan sangat kreatif dan bijaksana. Pada awal cerita, Incredibles mengisahkan tentang Violet, anak gadis keluarga adiwira Incredibles, yang mengalami masalah percintaan sebelum si suami, Bob memegang tanggungjawab penuh sebagai ibu bapa, menjaga ketiga-tiga orang anaknya. Dash yang masih kanak-kanak menyinggung perasaan Bob dalam Matematik yang semakin sukar peringkat pembelajarannya. Jack-Jack, anak yang bongsu dan masih bayi pula mula mampu menggunakan pelbagai kuasa adiwira dan terlampau aktif berkeliaran di serata rumah. Ini menambahkan tekanan buat si bapa.

Sejak aktiviti adiwira diharamkan, kebanyakan adiwira menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa. Seorang hartawan yang bijak bersosial berpasukan dengan saudara perempuannya yang pintar dalam merekacipta peralatan teknologi, merancang strategi untuk membuka mata masyarakat tentang kepentingan adiwira, meneruskan legasi bapa mereka yang dibunuh oleh penjenayah. Konflik bermula dari sini, menyelit dalam diam menyembunyikan jawapan bagi misteri dan teka-teki untuk dibongkarkan oleh Helen. Brad Bird ternyata pintar mengatur plot.

Kedua-dua beradik hartawan bekerjasama dengan Elasticgirl untuk membina semula reputasi adiwira dan kepercayaan masyarakat. Mereka berjaya, tetapi pada masa yang sama seseorang merancang untuk menggunakan kepercayaan pemimpin masyarakat terhadap adiwira sebagai jerat untuk menjatuhkan terus adiwira dan menggagalkan impian legasi mendiang bapa hartawan tersebut. Brad Bird selaku pengarah dan penulis cerita ini, berjaya mewujudkan sekuel yang menarik. Ketangkasan dan aksi Elasticgirl dalam filem animasi ini dijangka mampu mencipta peminat-peminat tegar terhadap watak srikandi tersebut. Jika Alice dan Lara Croft memiliki peminatnya sendiri, begitu juga potensi daya tarikan yang dimiliki oleh watak Helen ini.

Incredible 2 adalah filem animasi aksi adiwira yang menarik dan seronok untuk ditonton. Ia berjaya menarik pesona penonton terhadap watak adiwiranya, aksi yang mendebarkan, selain simpati terhadap si bapa dan gelagat adiwira comel yang mencuit hati.

Jumaat, November 16, 2012

War Of The World Goliath

 War Of The World: Goliath
Angkat Darjat orang Melayu Menerusi Watak Raja Iskandar Shah
Persepsi Amiene Rev (C) 2012

Filem War of The World: Goliath ini mengangkat darjah orang-orang Melayu sehingga sama taraf dengan bangsa-bangsa terbaik dunia. Menerusi filem War of The World: Goliath ini juga, elemen perpaduan diketengahkan.

Filem War of The World: Goliath memperlihatkan watak Raja Iskandar Shah (suara oleh Tony Eusoff) sebagai seorang putera Melayu yang kuat pegangan agama, beradab sopan, taat setia, berani, bijaksana, tegas, berpengetahuan tinggi, tenang dan berdisiplin dan jauh mengatasi mana-mana tentera ARES.

Ada beberapa babak yang menarik untuk watak Raja Iskandar Shah dalam ARES ini. Pertama, ketika rakan-rakan sepasukan yang bukan Islam mengajak keluar minum pada waktu malam, Raja Iskandar Shah diperlihatkan sebagai seorang yang menjaga hukum-hakam agama. Ketika rakan-rakannya meminum bir di dalam gelas belasr, dia minum teh atau kopi di dalam cawan.

Kedua, Raja Iskandar Shah, putera Melayu, digambarkan sebagai seorang yang memiliki kualiti emosi yang tinggi. Beliau menjawab balik kenyataan seorang askar Irish yang berbentuk hasutan atau provokasi dengan menunjukkan ketinggian tahap ilmunya sehingga askar Irish tersebut terdiam.

Ketiga, Raja Iskandar Shah juga digambarkan sebagai seorang yang menjaga solatnya. Beliau digambarkan bersolat di dalam kawasan kanopi simpanan Tripod, iaitu sut mecha berkaki tiga.

Keempat, Raja Iskandar Shah digambarkan sebagai seorang yang taat setia. Beliau akan patuh pada arahan yang diberikan oleh kapten atau ketua pasukannya.

Kelima, Raja Iskandar Shah juga digambar sebagai seorang yang berani dan handal bertarung. Beliau menewaskan makhluk asing yang besar dan tinggi dengan menggunakan keris.

Keenam, Raja Iskandar Shah digambarkan sebagai seorang yang mempunyai kepercayaan terhadap ketentuan Qada dan Qadar yang tinggi dan menyokong kekurangan watak utama iaitu Eric Wells. Watak Raja Iskandar Shah ini memang menarik perhatian sehingga mampu berdiri sama hebat dengan watak-watak utama yang lain dilakon-suarakan oleh beberapa pelakon dari filem-filem terkenal seperti Adrian Paul, Peter Wingfield, Elizabeth Gracen dan Jim Byrnes from Highlander, Adam Baldwin, Mark Sheppard (Battlestar Galactica), Matt Letscher (Mask Of Zorro), Beau Billingslea (Star Trek 2).

Sabtu, Disember 03, 2011

Arthur Christmas - Ulasan Filem


Ulasan Filem Arthur Christmas
Pengulas: Amiene Rev (C) 2011

Arthur Christmas mengisahkan ahli-ahli keluarga Santa yang menguruskan pemberian hadiah Hari Krismas kepada kanak-kanak Kristian di seluruh dunia. Santa Malcom, yang merupakan Santa terkini, sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai Santa selepas misi yang ke-70 berhasrat untuk meneruskan tugasnya sebagai Santa, dan menyebabkan anaknya Steve berkecil hati. Hubungan anak-beranak Santa menjadi agak dingin, sebelum kesemua ahli keluarga Santa dikejutkan dengan satu kesilapan, di mana hadiah untuk seorang daripada 2 bilion budak, iaitu Gwen, seorang kanak-kanak perempuan, yang tinggal di England, tercicir. Arthur, yang merupakan anak kedua Santa Malcom, yang bertugas menguruskan maklum balas surat daripada kanak-kanak kepada Santa Claus, bertegas mahu supaya hadiah untuk Gwen dihantar. Ini kerana Arthur sudah berjanji akan menunaikan hajat kanak-kanak tersebut, dan sentiasa menulis sesuatu yang positif tentang Santa seperti Santa sentiasa menepati janji, Santa pasti akan menghantarkan hadiah dan sebagainya.

Arthur kemudian dibantu oleh datuknya, yang juga merupakan bekas Santa, serta seekor rusa dan seorang Elf, yang dikenali sebagai Bryony yang merupakan Elf dari Batalion Pembungkusan Hadiah. Perjalanan mereka menempuh pelbagai cabaran, termasuk tersesat ke Afrika, dan diserang oleh jet pejuang yang menganggap mereka sebagai makhluk asing.

Terdapat beberapa inovasi dan perubahan menarik dalam filem Arthur Christmas ini. Pertama, menerusi filem Arthur Christmas, penonton didedahkan bahawa Santa sebenarnya bukan seorang. Begitu juga pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh Gwen menerusi suratnya kepada Santa sebenarnya merupakan persoalan yang mencetuskan idea inovasi dalam Santa.

Adalah mustahil bagi Santa yang berperut buncit untuk masuk menerusi serombong asap yang kecil, oleh itu dalam filem ini, Santa digambarkan sebagai seorang pemimpin yang mengetuai beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu orang Elf, yang setiap seorangnya mempunyai kepakaran setanding seorang ninja, dan setanding seorang perisik, dan dilengkapi dengan teknologi serba canggih.

Selain itu juga, memandangkan pertambahan bilangan kanak-kanak setiap tahun semakin ramai, Santa tidak lagi mampu menghantar hadiah secara tradisional. Oleh itu terdapat beratus-ratus Elf yang akan membantu Santa untuk menghantar hadiah. Santa juga akan turut serta dalam misi menghantar hadiah.

Begitu juga cerita ajaib tentang Santa membawa beribu-ribu hadiah di dalam guni telah ditukar kepada Santa membawa hadiah yang disusun secara sistematik di dalam kapal angkasa yang mampu bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi. Santa dan setiap pembantunya juga dilengkapi dengan gajet dan peralatan canggih. Kapal angkasa Santa juga mampu mempunyai mod penyamaran dan boleh menyamar sebagai langit malam yang dipenuhi bintang bersinar.

Itu adalah antara inovasi dalam filem Arthur Christmas. Bagaimana pula dengan watak-wataknya? Watak Arthur sebenarnya amat menjengkelkan. Selain daripada hati nurani yang ikhlas, watak Arthur sememangnya cukup membuatkan saya berasa meluat. Keghairahan Arthur untuk memastikan usaha penghantaran hadiah berjalan dengan sempurna ditenggelami oleh sikap biadab Arthur yang menceroboh masuk ke bilik operasi, memijak dan menyakiti beberapa orang Elf seolah-olah mereka tidak wujud dan hanya patung mainan (walaupun Arthur mungkin tidak sedar) cukup membuatkan saya berasa meluat.

Sepanjang perjalanan cerita ini, watak Arthur yang paling menjengkelkan. Arthur digambarkan sebagai seorang yang kurang berhati-hati, cuai, leka, tidak ada keyakinan diri, berani bercakap tetapi penakut. Namun, personaliti Arthur berubah sedikit-demi sedikit semasa dalam perjalanan bersama datuknya, untuk menghantar hadiah Hari Krismas ke rumah Gwen.

Dan, dengan tidak disangka-sangka, rasa meluat saya kepada Arthur digantikan dengan rasa tersentuh hati apabila melihat babak di mana demi menjaga nama baik Santa, Arthur bertegas mahu menghantar hadiah kepada Gwen. Arthur juga mempunyai satu sifat mulia, di mana beliau akan berasa bimbang dan sedih apabila memikirkan jika Gwen bangun pada pagi Krismas dan mendapati hadiah yang dihajatinya tidak ada. Babak imbasan, dan kata-kata antara datuk Santa, Arthur dan beberapa watak yang lain, serta usaha mereka untuk menghantar hadiah, sungguh menyentuh hati.

Apabila satu hadiah Krismas untuk seorang kanak-kanak tercicir, keempat-empat Santa; si datuk, si ayah, si abang, si adik dan isteri Santa berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan penghantaran hadiah. Inilah babak yang paling menyentuh hati dalam filem Arthur Christmas. Bak kata, tidak ada seorang pun yang sempurna, oleh itu setiap orang pasti ada cara untuk menyempurnakan satu-satu masalah yang dihadapi.

Satu lagi perkara yang menyentuh hati dalam filem Arthur Christmas ini ialah watak-watak Elf khususnya Bryony. Elf digambarkan sebagai makhluk kerdil yang jujur dan comel, ikhlas dan sangat setia kepada Santa. Mereka mempunyai komitmen terhadap manusia, dan sangat dipercayai. Walaupun Bryony sangat bijak, jauh lebih pandai dan berpengalaman berbanding Arthur, Bryony tetap merendah diri dan sentiasa sedia membantu dan akan meminta izin terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa berkenaan operasi penghantaran hadiah. Bryony seorang yang sangat mahu menyempurnakan objektif Santa, iaitu memastikan proses awal hingga akhir pemberian hadiah kepada kanak-kanak di seluruh dunia berjalan dengan lancar.

Cerita Arthur Christmas sememangnya sebuah karya kreatif dan inovatif. Sebuah cerita yang menyentuh hati dan sesuai ditonton seisi keluarga.


Pelakon Suara (Voice Actor) dan Watak yang dipegangnya
  • James McAvoy as Arthur, good-natured but clumsy younger son of Santa and Mrs. Santa.
  • Hugh Laurie as Steve, Santa and Mrs. Santa's eldest son and Arthur's cool and incredibly capable, but commonly arrogant older brother.
  • Jim Broadbent as Santa, the guy in charge at the North Pole, Mrs. Santa's husband and Steve and Arthur's father.
  • Bill Nighy as Grandsanta, Santa's 136 years old cranky father, who hates the modern world and grandfather of Steve and Arthur.
  • Imelda Staunton as Mrs. Santa, Santa's dedicated wife and Steve and Arthur's mother.
  • Ashley Jensen as Bryony, elf from the Giftwrap Battalion.
  • Will Sasso as American James
  • Ramona Marquez as Gwen, the girl whose present Arthur must deliver.
  • Iain McKee as Thomas Jack
  • Joan Cusack as Mission Control Elf
  • Robbie Coltrane as Old Doom-Laden Scottish Elf
  • Michael Palin as Ernie Clicke
  • Dominic West as Field Sargent Elf
  • Andy Serkis as General Elf
  • Miggie Donahue as Pedro