BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Filem Barat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem Barat. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 24, 2018

Ulasan Filem Down A Dark Hall (2018)


Down A Dark Hall bermula dengan kisah seorang gadis remaja yang panas baran dan menimbulkan banyak masalah di sekolahnya. Kemudian, datang seorang profesor menjemput pelajar tersebut berpindah ke sebuah sekolah swasta di Blackwood, dengan jaminan untuk mampu meningkatkan potensi para pelajarnya untuk menjadi seorang genius. Tanpa disedari, mereka semua adalah mangsa, tubuh badan mereka menjadi tumpangan bagi roh-roh tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang yang berbeza untuk menyempurnakan karya dan hasil kerja mereka yang belum siap kerana semua tokoh tersebut meninggal dunia dalam usia yang masih muda.

Tidak seperti kebanyakan filem seram, filem ini bermula dengan drama dan kisah yang sangat biasa, tanpa unsur-unsur untuk membayangkan keseramannya. Boleh dikatakan ia satu genre baru dan boleh dikatakan tahun ini kita menyaksikan karyawan-karyawan Barat banyak bereksperimen untuk menayangkan filem genre baru. Filem genre baru yang diangkat dari novel-novel klasik.

Permulaan cerita boleh membuatkan seseorang itu tertidur dan tertanya-tanya adakah ini filem seram atau pun bukan, sehinggalah sedikit demi sedikit, watak-watak mula menemui sesuatu yang pelik dan kecurigaan mereka meningkat. Sampai ke satu tahap, bermula dari sekadar usikan atau ketakutan, ia bertukar menjadi pelik, jelik, tidak siuman dan akhirnya keganasan pun bermula.

Ia bukan tentang keseraman yang biasa penonton lihat, ia adalah keseraman tentang perubahan tingkah laku watak-watak, peningkatan bakat secara mendadak dan cara pengisahannya sekali-sekala ia mengingatkan saya tentang manga Junji Ito (doktor gigi yang bertukar profesion menjadi pelukis manga).

Filem ini menyampaikan mesej tentang anak-anak yang terbiar, tanpa didikan sempurna daripada ibu bapa, kemudian mereka membesar menjadi remaja memberontak dan hal ini disentuh dalam babak-babak akhir filem ini. Sentuhan akhir yang dramatik adalah penamat bagi kisah watak utama dalam filem ini yang saya jangka akan mengundang percampuran antara maklum balas positif dengan maklum balas negatif daripada para penonton.

Rabu, Ogos 22, 2018

Ulasan Filem Mile 22 (2018)


Mile 22 adalah filem pertempuran dan aksi melibatkan beberapa buah negara. Mark Wahlberg dibantu oleh Lauren Cohann dan John Malkovich mengharungi satu misi yang sangat berbahaya untuk memindahkan Iko Uwais dari negaranya ke Amerika.

Filem ini penuh dengan aksi tembak-menembak, babak pertempuran tangan dan perkataan kesat. Sedikit dialog dalam Bahasa Indonesia diselitkan untuk menggambarkan situasi yang sedang berlangsung di Indonesia ini.

Ia adalah filem aksi dengan jalan cerita yang boleh dianggap mudah untuk dijangka kesudahannya sebelum penutupnya diputar untuk menimbulkan satu kejutan buat watak-watak utama. Sebenarnya sudah ada beberapa pembayang sudah diberikan untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku pada akhir cerita, dan ini bergantung kepada penonton itu sendiri untuk menjangka kesudahannya.

Filem Mile 22 adalah tentang aksi, kesetiaan kepada negara, sanggup mengorbankan masa depan diri sendiri demi bangsa dan negara. Ia tidak mengandungi banyak konflik yang mencabar minda, ia sebuah filem dengan jalan cerita yang sangat ringkas dengan dentam-dentum tembakan, bom, pembunuhan berdarah, pelanggaran kereta, curi dan bertukar kereta, kata-kata kesat dan kemudian satu kejutan tentang identiti sebenar salah seorang wataknya.


Sabtu, Ogos 18, 2018

Ulasan Filem Christopher Robin (2018)

Christopher Robin adalah sebuah filem tentang Christopher Robin yang sudah dewasa tetapi masih mengingati kawan-kawan ajaibnya semasa zaman kanak-kanak di Hutan 100 Ekar. Ketika Christopher Robin sedang bergelut dengan satu masalah besar yang melibatkan masa depan ramai pekerja di bawah seliaannya, dan ditindas oleh majikannya, Winnie The Pooh muncul membawa semula Christopher Robin kembali ke dunia yang penuh dengan kenangan persahabatan.

Christopher Robin sudah dewasa dan sibuk dengan kerjaya perlahan-lahan menerima kembali dunia lamanya, dan kali ini ia turut melibatkan lebih ramai orang di dunia nyata termasuk ahli-ahli keluarganya.

Christopher Robin adalah sebuah filem dramatik yang menyentuh emosi. Ia memerihalkan tentang harapan untuk mengekalkan persahabatan. Filem ini sedikit sebanyak mengingatkan saya tentang filem The Bridge To Terabithia yang juga menceritakan tentang persahabatan. Kedua-duanya menyentuh emosi.

Watak-watak patung yang merupakan kawan-kawan Christopher Robin semasa zaman kanak-kanak banyak menimbulkan unsur komedi yang mencuit hati penonton, dan pada masa yang sama ia adalah sebuah filem yang mampu menyebabkan sesetengah orang mengalir air mata kegembiraan, terharu dan simpati.

Ulasan Filem The Darkest Mind


The Darkest Mind memang kelihatan menarik dengen efek khas dan permainan emosi antara hubungan ibu bapa dengan anak, persaudaraan, setiakawan dan cinta tiga segi, tetapi pengisahannya melibatkan banyak unsur kitar semula daripada filem-filem yang sebelumnya termasuk X-Men dan Wolverine. Boleh dikatakan filem The Darkest Mind dalah filem tentang persoalan, apa akan jadi jika Profesor Charles Xavier dalam filem X-Men adalah seorang gadis muda dengan kuasa yang lebih kurang sama. Boleh membaca fikiran, telepati, memukau, menguasai minda dan mengawal badan orang lain.

Filem ini mengisahkan tentang dunia di mana kebanyakan kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah mati kerana wabak misteri. Mereka yang terselamat pula ditakuti kerana dianugerahkan dengan kuasa luar biasa. Kuasa-kuasa itu dikategorikan kepada beberapa peringkat atau kelas. Kelas paling selamat ialah Hijau di mana kanak-kanak dan remaja dalam kategori ini akan memiliki kepintaran luar biasa. Kelas Biru adalah untuk kanak-kanak dan remaja yang memiliki kuasa telekinesis, dan mereka boleh menggerakkan objek dengan minda. Kelas Kuning atau Emas pula adalah untuk mereka yang boleh mengaktifkan kuasa elektrik. Kelas Oren pula untuk mereka yang boleh mengawal minda, kuasa telepati dan ini sangat mirip dengan watak Profesor X dalam X-Men. Kelas terakhir ialah Merah. Kanak-kanak dan remaja kelas Merah sangat ditakuti kerana berupaya menghasilkan api. Ruby Daly yang berkuasa hampir sama seperti Profesor X, akan menjadi tokoh utama yang membela nasib kanak-kanak dan remaja.

Biarpun dalam filem itu, Merah digambarkan sebagai kelas yang paling ditakuti tetapi kuasa yang paling merbahaya adalah kuasa dari kelas Oren. Kanak-kanak dan remaja dalam kelas Oren akan dibunuh terus jika dikesan kerana keupayaan mereka untuk menguasai minda orang lain termasuk mengubah memori, pukau dan lain-lain yang boleh menjadikan musuh kepada kawan atau hamba mereka. Filem ini akan membuatkan kuasa yang dimiliki oleh Profesor X sebagai kuasa yang paling menarik dan berkuasa. Ini menunjukkan kenapa Profesor X merupakan salah satu mutan terkuat dalam filem X-Men. Pendapat yang sama meletakkan Oren sebagai peringkat paling bahaya.

Biarpun kanak-kanak dan remaja lain masing-masing memiliki kuasa luar biasa tetapi di dalam filem ini mereka digambarkan sebagai tidak suka menggunakan kuasa luar biasa mereka. Kebanyakannya masih menggunakan senjata api. Disebabkan hal ini, filem adaptasi The Darkest Mind kelihatan banyak kelemahan. Ada perkara yang sepatutnya boleh menjadi tidak boleh, ada banyak perkara dikembangkan atau diperihalkan lagi tetapi sumbernya kurang, menjadikan filem ini suatu teka-teki atau misteri, penuh dengan pertanyaan yang tidak terjawab. Penonton akhirnya perlu mengandaikan diri jawapannya atau jika mereka sekadar menonton untuk hiburan, maka mereka mungkin boleh berpuas hati dengan filem ini yang mengandungi unsur kesan khas, kuasa luar biasa dan sedikit humor.

The Darkest Mind tetap menghiburkan walaupun ia bukan kisah segar. Filem adaptasi novel ini turut menyinggungkan perasaan penulis novelnya apabila watak Charles atau Chubs yang sepatutnya berada dalam kelas Biru ditukar menjadi kelas Hijau. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat novelnya apabila menonton filem ini. Namun ada juga pembaca novel yang suka dengan perubahan kelas tersebut kerana Chubs terlalu pintar untuk berada dalam kategori kelas Biru dan lebih sesuai berada dalam kelas Hijau.


Ahad, Ogos 12, 2018

Ulasan Filem The Meg (2018)


Megalodon adalah haiwan prasejarah, mamalia laut yang sangat besar. Rahangnya sangat kuat sehingga mampu menggigit seekor ikan paus sehingga terputus dua. Dalam filem The Meg, haiwan raksasa ini mengganas selepas manusia menceroboh habitatnya. The Meg yang terkepung di dasar lautan dalamyang dipisahkan dengan lapisan sejuk, berjaya mencari jalan keluar selepas kapal selam ciptaan manusia sendiri yang menyebabkan lapisan itu bocor seketika.

Sedikit elemen Fast & Furious disuntik ke dalam babak-babak aksi dalam filem ini, perlumbaan antara Megalodon dengan manusia. Ramai orang suka menonton filem raksasa ganas. Barisan pelakon mahal yang membintangi filem ini menaikkan lagi daya tarikan filem The Meg ini.

Mesej yang disampaikan dalam filem ini adalah tentang manusia sebagai hidupan yang suka melakukan aktiviti teroka dan musnah (discovery and destroy). Berbaloikah manusia mencipta teknologi yang canggih untuk meneroka alam sekitar dan kemudian memusnahkannya kerana ancaman yang dihadapi selepas pertembungan dengan penghuni habitat tersebut?

Ahad, Ogos 05, 2018

Ulasan Filem The Spy Who Dumped Me (2018)


The Spy Who Dumped Me barangkali alternatif untuk filem The First Purge sekiranya anda tidak sempat membeli tiket pada hari tersebut. Ia sebuah filem aksi berdarah tetapi pada masa yang sama mengandungi unsur komedi yang boleh buat anda ketawa di sepanjang cerita. Barangkali boleh disamakan dengan filem Kingsman.

Dua orang wanita secara tidak sedar menjadi orang penting dalam perebutan antara beberapa pihak yang ingin merebut sebuah pemacu data yang disembunyikan di dalam trofi. Ada data penting di dalam trofi tersebut yang boleh menyebabkan keselamatan orang ramai terancam.

Disebabkan satu misi yang diarahkan oleh teman lelakinya, kedua-duanya semakin terjebak dan menjadi buruan beberapa pembunuh upahan. Maka bermulalah sebuah filem aksi dengan dua orang wanita menjadi hero.

Dilabelkan sebagai filem 18 tahun ke atas kerana unsur-unsur lucah yang ketara, yang disampaikan sebagai satu bentuk komedi di sepanjang cerita. Ya benar, ini filem lawak lucah dan lawak berdarah. Kate McKinnon, pernah beberapa kali menjadi pemenang anugerah pelakon komedi sememangnya berjaya mencuit hati para penonton.

Jika seorang pemenang anugerah komedi berlakon dalam filem komedi aksi, filem itu tentu filem yang menarik dan mencuit hati.

Sabtu, Ogos 04, 2018

Ulasan Filem The First Purge (2018)


The First Purge adalah satu lagi filem genre pembasmian dalam siri Purge. Filem tentang idealogi mengurangkan populasi manusia dengan cara membenarkan manusia membunuh sesama mereka. The Purge dianggap sebagai satu cara membasmi masalah pengangguran, kemiskinan dan kebuluran di dunia. Dalam filem The Purge, Amerika menjadikan pembasmian manusia ini sebagai satu budaya, satu aktiviti tahunan di mana manusia di satu-satu lokasi dibenarkan membunuh secara bebas dengan kelas-kelas senjata tertentu selama 12 jam.

Filem The First Purge berjaya menarik ramai penonton ke panggung. Biarpun dikategorikan sebagai filem 18 tahun ke atas, tempat duduk sentiasa hampir penuh. Apakah yang menyebabkan manusia berminat menyaksikan The First Purge? Sudah tentu kerana idea gilanya.

Berbanding filem-filem The Purge yang sebelumnya, The First Purge paling menarik perhatian saya apabila watak Raja Dadah menjadi wira masyarakat, pada ketika pemimpin mula menjadi syaitan. Persaudaraan antara Raja Dadah, Dmitri dengan pengikut-pengikutnya, dipaparkan dengan jelas dalam cerita ini.

Watak Skeletor tenggelam sebagai villain. Pertarungan sebenar adalah antara Dmitri dengan arch-villain, seseorang yang ditugaskan untuk melakukan provokasi secara senyap bagi menggalakkan semua penduduk yang terlibat sebagai peserta untuk melakukan pembasmian.

Sebuah filem yang menarik, dengan babak-babak di mana pada mulanya ada orang yang tidak percaya bahawa manusia sanggup membunuh tanpa sebab, bertukar menjadi huru-hara. Adakah anda sanggup membunuh jika anda diberikan peluang untuk membunuh sesiapa sahaja selama 12 jam? Itulah tarikan dalam filem-filem francais The Purge.

Ulasan Filem Siberia 2018


Keanu Reeves adalah salah seorang penerbit bagi filem Siberia. Kisah seorang pedagang berlian yang terjebak dengan dunia penjenayahan yang serba gelap. Filem ini boleh dikategorikan sebagai filem thriller romantik dengan pengakhirnya yang tragis. Saya jangkakan ramai penonton tidak menyukai bagaimana filem ini berakhir tetapi bagi mereka yang pro tentang hak-hak seorang isteri, barangkali inilah antara pengakhiran yang paling disukai.

Filem Siberia yang juga dilakonkan oleh Keanu Reeves, mengandungi unsur lucah yang agak ketara. Daripada seorang pedagang berlian, selepas terperangkap dengan penipuan dan pengkhianatan, sempat pula menjalinkan hubungan dengan seorang gadis Russia bernama Katya. Lucas membawa masuk budaya kuning dari Amerika ke Russia. Anehnya, adik-beradik lelaki Katya, yang bersifat terbuka, dapat menerima kehadiran Lucas biarpun Lucas tanpa sengaja, menyakiti hati Katya. Dialog popular Lucas terhadap Katya, "Adakah kamu sudah mula membenci saya sekarang?"

Ternyata Lucas sudah bersedia untuk dibenci. Namun Katya tidak membenci Lucas. Adik-beradik Katya sanggup memaafkan Lucas. Kedegilan Katya telah menjebakkan dirinya dalam dunia gelap pasaran berlian yang dilalui oleh Lucas. Adegan lucah bermula lagi, diselit dengan penyesalan dan perasaan tersinggung. Lucas menyesal membawa Katya ke St. Peterburg.

Sifat Lucas yang bukan seorang suami yang setia kepada yang satu, dibalas pada penghujung cerita dengan satu babak mengejut. Apakah babak yang mengejut tersebut? Ia membuatkan penonton rasa kecewa, melihat mata Lucas terbeliak besar di penghujung cerita sebelum skrin gelap dengan tulisan putih memaparkan kredit, menandakan cerita sudah berakhir.

Filem Siberia, biarpun menjadikan Keanu Reeves sebagai bintangnya, tetapi ia tidak setanding dari segi aksi dengan filem John Wick. Pada permulaan cerita, barangkali ada penonton yang mengharapkan ada aksi atau kehandalan yang akan dipaparkan oleh watak Lucas, tetapi ternyata Lucas sekadar seorang manusia biasa yang lemah dan tidak begitu pandai bertempur. Kehebatan Lucas cuma pada wajahnya yang tampan dan mampu menarik perhatian wanita untuk jatuh hati dengannya, setia dengannya dan kekal setia biarpun disakiti.

Filem Siberia dianggap sebagai sebuah filem yang lemah tentang tujuan pengisahannya. Tidak ada kemahuan atau matlamat yang kuat. Apa yang dapat dilihat dalam filem ini secara kesimpulannya adalah tentang seorang pedagang berlian yang bermain kayu tiga, terjerat dengan janji-janji beberapa kumpulan penjenayah dan berakhir dengan musibah yang mengejutkan tetapi dirasakan bagus bagi sesetengah pihak. Padam muka kamu, Lucas!

Ulasan Filem The Cured 2018


The Cured adalah filem drama seram, tentang seorang adik ipar yang menyimpan rasa bersalah terhadap kakak iparnya. Atas dasar kepercayaan keluarga akan dapat menerimanya kerana apa yang dilakukan terhadap suami kakak iparnya berlaku dalam keadaan di mana dia tidak dapat mengawal dirinya, Senan (watak utama) memberanikan diri untuk kembali ke rumah, selepas berjaya dipulihkan daripada sejenis penyakit yang menyebabkan penghidapnya menjadi kanibal ganas, seperti zombi.

Masyarakta dunia ternyata tidak dapat menerima kehadiran golongan The Cured, kerana dendam atas apa yang dilakukan mereka terhadap ahli-ahli keluarga mereka. Komuniti The Cured yang rasa tersisih mula merusuh, membentuk satu kumpulan pengganas dan memberontak.

The Cured barangkali adalah satu lagi genre baru yang dilihat dalam filem-filem Barat selain Hotel Artemis. Genre tentang golongan bekas zombi yang berjaya dipulihkan yang ingin membela nasib mereka daripada kecaman dan penindasan masyarakat manusia yang normal.

Filem The Cured juga tidak sesuai untuk pesakit jantung, kerana unsur-unsur mengejut dalam keheningan jalan ceritanya yang penuh sayu. Ia sesekali membuatkan anda rasa tenang atau termenung, dan sesaat kemudian kejutan yang boleh menggegarkan jantung melanda. Filem The Cured boleh dikategorikan sebagai filem drama seram thriller, kerana unsur-unsur penjenayahan, pengganas dan juga unsur-unsur seram.

The Cured sarat dengan penyesalan dan kesedihan. Ia bermula dengan kesedihan dan ia juga berakhir dengan kesedihan. Disebabkan jalan ceritanya yang sebegitu, seperti tagline 'The Cure Is Just The Beginning', ada kemungkinan filem ini ada sekuelnya, seperti filem 28 Days Later, 28 Weeks Later dan seumpamanya.


Ahad, Julai 29, 2018

Ulasan Filem Hotel Artemis (2018)


Hotel Artemis sebenarnya adalah sebuah hospital untuk penjenayah, dibiayai oleh seorang raja gangster yang menjadikannya sebagai satu bentuk pelaburan. Hotel Artemis ada peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Hotel Artemis bukan sebarangan hotel, ia tempat perlindungan untuk penjenayah-penjenayah yang telah membayar yuran keahliannya.

Dari mula hingga awal, berlatarkan tahun 2028, filem Hotel Artemis ini mengisahkan tentang kewujudan Hotel Artemis sejak 22 tahun lepas. Hotel Artemis dimulakan dengan kehadiran seorang jururawat yang bertugas sehingga kini (tahun semasa di dalam filem tersebut). Hotel Artemis membangun sebagai sebuah hospital untuk penjenayah yang berjaya, dengan benih dendam yang hanya bercambah 22 tahun kemudian.

Watak utama, Jean Thomas, dilakonkan oleh Jodie Foster, yang merupakan pelakon wanita yang sangat berpengalaman, dan dibantu oleh Everest, lakonan bekas ahli gusti Dave Bautista yang semakin menonjol wataknya menerusi filem-filem Marvel sebagai Drax. Jean Thomas adalah seorang wirawati dalam dunia perubatan, adalah bekas doktor. Pada mulanya beliau bertugas memberi perkhidmatan perubatan secara percuma kepada orang miskin sehinggalah anaknya ditemui mati di tepi laut, dikatakan terlebih mengambil dadah. Jean bertukar menjadi seorang yang murung dan pemabuk sehingga lesen perubatannya ditarik balik.

Tanpa masa depan, Jean ditemui dan dibentuk semula oleh Niagaria yang juga dikenali sebagai The Wolf King, yang merupakan ketua kumpulan penjenayah yang sangat kaya dan berkuasa sebagai jururawat penjenayah. Jika dunia orang baik tidak lagi menghargai bakat Jean sebagai doktor, maka biarlah Jean merawat penjenayah sahaja. Menolong orang dalam kesakitan adalah cita-cita suci Jean Thomas. Selama 22 tahun, Jean Thomas sentiasa menghidupkan harinya dengan lagu dan kata-kata positif.

Pada suatu hari Rabu, ketika California dilanda bencana rusuhan dan pertempuran, Jean Thomas tetap mengatakan ia adalah hari Rabu yang biasa. Bilangan penjenayah yang tercedera kerana mengambil kesempatan merompak meningkat. Hari Rabu tersebut mungkin bukan lagi hari Rabu yang biasa.

Apabila staf hotel melanggar peraturan, pelanggan hotel melanggar peraturan, pemilik hotel juga melanggar peraturan, maka Hotel Artemis menjadi huru-hara. Filem Artemis Hotel ini mempamerkan kehebatan Hotel Artemis sebagai sebuah kubu yang kuat untuk melindungi penjenayah tetapi kerana sifat penjenayah itu sendiri yang suka melanggar peraturan, akhirnya menenggelamkan kegemilangan Hotel Artemis.

Apakah yang akan dilakukan oleh Jean Thomas apabila mengetahui tentang pembunuh anaknya? Apakah niat-niat tersembunyi yang ada di kalangan tetamu-tetamu di Hotel Artemis? Jodie Foster menghidupkan watak Jean Thomas dengan baik.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah filem penuh dengan aksi berdarah dan babak pembedahan. Ramai orang akan mati dibunuh termasuk pihak polis. Suasana suram di Hotel Artemis menjadikan cuaca yang cerah itu suatu perkara yang mustahil melainkan ingatan imbas kembali Jean Thomas terhadap anaknya yang telah meninggal dunia.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah karya asli dengan tema sebegini, tema tentang hotel yang menjadi tempat perlindungan dan perubatan bagi para penjenayah dengan keahlian dan peraturan-peraturan tertentu. Filem lain yang mempunyai unsur penciptaan seperti Hotel Artemis, adalah Hotel Continental dalam filem John Wick.

Ada kemungkinan konsep Hotel Artemis dalam filem ini boleh dikembangkan lagi, mewujudkan sekuel atau prekuel, atau francais bagi filem-filem berkonsepkan pusat perlindungan dan perubatan bagi penjenayah.

Ulasan Filem BILLIONAIRE BOYS CLUB (2018)


Filem drama berdasarkan kisah benar Billionaire Boys Club mengingatkan kita tentang The Wolf of Wall Street yang diharamkan tayangannya di Malaysia kerana unsur-unsur bahasa kesat, lucah dan aksi bogel yang keterlaluan. Berbeza dengan The Wolf of Wall Street, Billionaire Boys Club tidak mengandungi unsur-unsur tidak senonoh yang ketara.

Ia adalah satu filem berdasarkan kisah benar yang menarik tentang sekumpulan anak muda yang cuba mencari kekayaan dengan idea yang dianggap mustahil. Watak utamanya Joe Hunt, bergabung idea dengan Dean Karney untuk mewujudkan satu skim cepat kaya yang kelihatan sangat menyakinkan. Kita mungkin pernah dengar tentang Skim Ponzi atau Permainan Ponzi. Skim ini menjadikan pelabur-pelabur sebagai mangsa, dan duit yang diperolehi daripada mangsa-mangsa terkemudian dijadikan sebagai umpan, dibayar sebagai keuntungan untuk pelabur-pelabur terawal. Selagi penipuan dapat diteruskan, selagi itu mangsa berkemungkinan gagal menghidu penipuan.

Jenayah senyap yang bermula di Beverly Hills, dengan mangsa-mangsa terawal terdiri daripada rakan-rakan dan kenalan yang terdekat. Joe Hunt dan rakannya Dean Karney terperangkap apabila mereka menjadi mangsa penipuan oleh seorang yang lebih berpengalaman dalam bidang con artist.

Billionaire Boys Club didasarkan daripada kisah benar, maka ini mungkin menjadi punca kegagalan penulis skrip untuk melakarkan kisah dengan lebih menarik. Watak Joe Hunt tenggelam dengan kebangkitan watak Dean Karney, tidak ada unsur yang begitu menyentuh emosi penonton biarpun filem ini dikelaskan sebagai filem drama.

Penonton tidak boleh begitu mengharap untuk melihat babak-babak yang mengalirkan air mata, biarpun jalan ceritanya sepatutnya mampu menimbulkan kesan sebegitu terhadap penonton. Filem Billionaire Boys Club sekadar bercerita secara neutral, memaparkan apa yang berlaku tanpa meninggalkan kesan terhadap penonton.

Filem Billionaire Boys Club biarpun gagal memberi kesan yang mendalam terhadap penonton tetapi tetap dapat menyampai mesejnya kepada penonton supaya berhati-hati dengan skim cepat kaya yang telah banyak memperdayakan ramai mangsa di seluruh dunia.

Ulasan Filem Mission Impossible – Fallout (2018)


Filem Mission: Impossible – Fallout yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Ethan Hunt, yang bekerja di bawah IMF, sekali lagi muncul dengan pelbagai aksi yang mustahil dari segi logik akal tetapi diwaraskan dengan pelbagai penyelesaian yang kreatif. Musuh akan kelihatan sentiasa diperbodohkan biar betapa bijak pun mereka menipu penonton.

Disebabkan filem aksi Mission: Impossible – Fallout ini memerlukan protagonisnya menyelesaikan masalah secara di luar kotak pemikiran yang biasa, maka dengan berfikir secara di luar kotak, maka setiap plot atau jalan ceritanya sudah dapat diramalkan. Siapakah John Lark, apakah Hunt akan bertindak mengikut arahan antagonis dan sebagainya, semuanya sudah dapat dibaca. Filem Mission: Impossible – Fallout menggunakan plot yang bodoh dan jalan ceritanya juga serba mustahil tetapi hero seperti biasa mampu menangani hukum fizik dengan baik untuk melepasi cabaran dan rintangan.

Ethan Hunt memang orang yang bertuah, sentiasa sahaja bernasib baik dalam berdepan dengan sebarang masalah. Konsep kuasa luar biasa Ethan Hunt mirip John McClane lakonan Bruce Willis dalam Die Hard atau Domino dalam Deadpool 2, sentiasa dapat terlepas daripada maut biar pun berdepan dengan pelbagai risiko bahaya.

Disebabkan watak hero Ethan Hunt dalam filem Mission: Impossible – Fallout akan sentiasa bernasib baik, maka Christopher McQuarrie sudah pasti bertindak bijak dengan menulis dan mengarahkan jalan cerita Mission: Impossible – Fallout dalam bentuk separa komedi. Komedi merupakan taktik baru yang dibudayakan dalam filem-filem Barat sebagai cara menutup 'loop hole' atau kelemahan dalam merangka jalan ceritanya. Nampaknya, dunia semakin dilanda krisis karya-karya berkualiti.

Filem Mission: Impossible – Fallout biarpun adalah sebuah filem aksi yang memiliki unsur komedi, turut diadun dengan kesedihan, kematian dan keperwiraan. Watak Ethan Hunt diulas menerusi dialog watak-watak yang lain sebagai seseorang yang tidak sanggup memilih kehidupan yang bahagia jika beliau mengetahui masih ada bahaya atau orang lain yang akan ditimpa kesusahan.

Ethan Hunt tidak akan mengorbankan satu orang demi menyelamatkan berjuta-juta orang yang lain. Ethan Hunt akan memikirkan cara untuk menyelamat semua orang. Ini sifat perwira yang menjadikan cerita ini sebagai sebuah cerita yang menarik untuk ditonton.


Isnin, Julai 16, 2018

Ulasan Filem Escape Plan 2 - Hades (2018)


Filem Escape Plan 2 - Hades tidak lagi memaparkan Stallone sebagai watak utama. Walau bagaimana pun ego Stallone seperti kebanyakan filemnya tetap wujud. Dalam Escape Plan 2 - Hades ini, seorang hero yang kelihatan tewas pada mulanya tetapi bangkit semula dengan kejutan dan perancangan rapi yang dipersiapkan secara diam-diam untuk memerangkap lawan atau musuhnya.

Watak utama adalah Shu, yang merupakan salah seorang anggota dalam kumpulan Breslin. Kumpulan Breslin ini percaya bahawa algoritma komputer dalam merancang dan meramal hasil keputusan sebagai satu pendapat ahli pasukan. Ya, komputer adalah anggota pasukan dalam filem Escape Plan 2 - Hades. Salah seorang rakan sepasukan tidak percaya tentang komputer dan mula bertindak sendiri. Konsep yang sama dalam filem Expendables yang juga merupakan salah sebuah filem Stallone. Di situ kita boleh nampak identiti dan corak filem-filem Stallone. Seorang aktor tua yang memegang watak seorang mentor dan mempunyai mentee-mentee atau pelapis yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon muda yang memberontak, degil atau suka melawan sehingga menjerat diri sendiri atau menimbulkan masalah. Kemudian mentor akan bergabung tenaga dengan sahabat atau rakan-rakan seperjuangan yang senior untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti kelapa tua yang makin tua makin berminyak. Pengalaman dan usia menewaskan orang muda yang masih mentah.

Shu dan sepupunya dijerat dan dibawa ke sebuah penjara serba canggih bernama Hades yang dikawal oleh komputer. Breslin akan menentang idealoginya sendiri. Komputer yang dianggap mampu memberi jawapan tepat berbanding ego manusia kini menjadi lawan kepada Breslin dan anak-anak buahnya. Breslin seperti biasa suka bertindak dari dalam ke luar.

Mengapa Hades? Hades adalah nama bagi salah satu dewa terkuat, adinda Zeus yang menguasai alam kematian. Hades menguasai orang mati. Manusia akan hilang dan takkan kembali ke dunia. Dikatakan tidak ada seorang pun mampu melarikan diri dari penjara Hades. Musuh di sebalik tabir yang membangunkan Hades dalam filem Escape Plan 2 ini mempunyai kaitan dengan filem Escape Plan yang pertama.

Breslin akan membongkarkan rahsia kekebalan Hades dan seperti biasa, Breslin akan mencabar musuhnya pada akhir cerita, memberi mimpi ngeri di siang hari kepada orang-orang yang memberi masalah kepadanya. Ini ego yang biasa kita lihat dalam kebanyakan filem Stallone.

Adakah filem Breslin menarik? Bagi orang-orang yang suka berfikir, filem Escape Plan 2 - Hades mungkin boleh membuatkan mereka terjaga sepanjang masa tetapi bagi yang tidak begitu menyukai konsep filem Escape Plan ini, mereka mungkin akan rasa bosan.

Hero dan rakan-rakannya akan dibelasah teruk oleh pihak musuh sebelum bangkit semula dengan kejutan adalah apa yang para penonton akan saksikan dalam filem ini. Ini adalah filem aksi P18 yang dipenuhi dengan babak membelasah orang, dibelasah, dibunuh dan dizalimi.

Jika anda meminati filem-filem lakonan Stallone dan kata-kata semangat, filem Stallone yang berjudul Escape Plan 2 - Hades ini juga seperti biasa ada mengajar anda tentang cara-cara menyelesaikan masalah dalam kehidupan dan menghadapi cabaran. Sekurang-kurangnya filem ini memiliki sesuatu untuk disampaikan. Kata-kata hikmah yang boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada anda untuk mengharungi cabaran kehidupan.

Filem Escape Plan 2 - Hades adalah sebuah filem yang memanfaatkan kata-kata hikmah yang berkait rapat dengan seni mempertahankan diri dan meneruskan perjuangan menghadapi cabaran. Ketika kita berdepan dengan situasi yang tidak ada rutin, tidak ada pola, tidak ada sokongan atau orang yang boleh kita percayai, maka bertabahlah kerana pasti akan ada Pelan B. Apakah itu Pelan B? Ia adalah pelan yang sangat berguna dan jawapannya akan ditemui dalam filem Escape Plan 2 - Hades.

Ulasan Filem Skyscraper (2018)


Dalam filem Skyscraper ini, Dwayne Johnson memegang watak Will Sawyer, seorang bekas FBI yang telah kudung kakinya tetapi hikmah di sebaliknya, dia bertemu isteri, mendapat dua orang anak dan hubungan keluarga yang bahagia. Skyscraper adalah kisah seorang suami dan seorang ayah yang menjadi wira dan topik yang digunakan oleh filem Skyscraper ini bukan lagi topik baru dalam filem-filem Hollywood. Kita boleh namakan pelbagai tajuk yang menggunakan tema yang serupa dengan filem Skyscraper ini. Die Hard dan Fast & Furious pernah adalah contoh terbaik. Will Sawyer seperti dalam dianggap sebagai bersubahat dengan penjahat secara paksa kerana keluarganya dijadikan tebusan sebelum dia berjaya memerangkap semula penjahat dan menyelamatkan keluarganya. Jadi jika bercakap tentang plot, filem Skyscraper cuma sebuah filem kitar semula plot yang boleh dianggap popular dan diminati penonton.

Adakah filem Skyscraper menarik? Lakonan Dwayne Johnson dalam filem ini memang antara punca tarikan utama filem ini. Perwatakan aktor yang pernah mengagumkan ramai peminatnya menerusi nyanyiannya dalam filem animasi Moana memang dinanti-nantikan oleh para penonton Skyscraper. Dwayne Johnson memang seorang pelakon yang berpengaruh. Bekas bintang ahli gusti yang tidak gentar menghiburkan ribuan penonton pada kurun yang lepas, mempersonakan para peminatnya dengan pelbagai bakat dan sifat terbukanya dalam membintangi pelbagai genre filem. Salah seorang pelakon terkaya di dunia.

Apa lagi ulasan yang boleh membuatkan filem Skyscraper menarik? Keberanian seorang bapa dan seorang suami untuk menyelamatkan ahli keluarganya dengan mengharungi satu demi satu cabaran yang pada bila-bila masa sahaja boleh mencabut nyawanya biarpun dengan tiga anggota badan. Sebelah lagi, anggota badannya, iaitu kaki palsu juga banyak memberi faedah dalam cerita ini. Sebagai seorang bapa dan suami, sanggupkah anda melawan kepungan polis, memanjat bangunan yang beratus-ratus meter tinggi dan melompat dari langit dengan sebelah kaki palsu, merempuh api dan menggunakan kudrat kekuatan untuk bersedia mengorbankan diri pada bila-bila masa demi keluarga anda? Para penonton dan anggota polis sendiri bertukar dari lawan menjadi penyokong, selepas mereka mula menyedari keikhlasan dan kesucian hati Will Sawyer berjuang demi keluarganya.

Kebakaran rumah akan mampu memberi jawapan tentang siapa atau apa yang tuan rumah paling sayang adalah persoalan yang dibangkitkan dalam filem ini. Dwayne Johnson bijak memilik filem untuk dilakonkan. Kebanyakan filem lakonannya adalah filem aksi untuk keluarga. Disebabkan corak pemilihan filem yang dibuat oleh Dwayne Johnson telah jelas kelihatan, kita tahu apabila ada Dwayne Johnson dalam sesebuah filem PG13 maka kita juga tahu jenis hiburan dan hala tuju filem tersebut. Kesemua filem Dwayne Johnson berakhir dengan kegembiraan. Ia filem keluarga dan hiburan untuk ahli keluarga, tidak ada sebab untuk menjadikan filem itu berakhir dengan kesedihan. Orang baik akan menang menentang orang jahat.

Jumaat, Julai 06, 2018

Ulasan Filem Ant-Man and The Wasp


Filem Ant-Man and The Wasp adalah salah satu filem dalam rangkaian filem Adiwira Marvel seperti Avenger yang berkait-kait antara satu sama lain. Dari segi aksi, dialog dan jalan cerita, tidak dinafikan filem ini mempunyai tarikannya yang mampu menghiburkan penonton.

Biarpun begitu menarik, jalan ceritanya adalah biasa dilihat dalam kebanyakan filem. Watak utama yang menghadapi masalah dengan pihak berkuasa, terpaksa membantu orang dengan secara senyap-senyap, memiliki anak perempuan yang memahami, rakan-rakan setiawan yang sanggup berkorban melibatkan diri dalam risiko berdepan masalah dengan pihak berkuasa. Watak hero yang sanggup memaafkan dan menaruh belas kepada pihak lawan atau anti-hero, atau antagonis.

Siapakah musuh dalam cerita ini? Mungkin ketamakan seorang pedagang gelap yang menjual barang-barang teknologi atau seorang gadis yang terdesak untuk menyelamatkan nyawanya sendiri dengan merompak rakan-rakan kepada hero? Mungkin juga pihak FBI yang sentiasa memberi ancaman terhadap usaha hero dan rakan-rakannya untuk menyelesaikan misi menyelamat mereka. 

Kisah-kisah dalam Ant-Man and The Wasp boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama Scott yang perlu bertahan untuk tidak keluar dari rumahnya kerana masih di dalam pengawasan pihak berkuasa namun baki tiga hari itu sangat mencabar apabila Hope meminta bantuannya dan untuk membantu Hope, Scott perlu melanggar syarat-syarat yang boleh menyebabkan dia dipenjara selama 20 tahun. Kedua, kisah Hope dan ayahnya yang ingin menyelamatkan ibunya dari alam kuantum tetapi menghadapi halangan daripada Ghost dan juga Sonny, seorang pedagang gelap yang ingin merampas dan melelong makmal berteknologi canggih mereka. Ketiga, kisah seorang profesor yang dipecat oleh Dr. Hank Pym, iaitu Bill Foster yang ingin menyelamatkan nyawa Ghost tetapi mereka perlu merampas makmal Dr. Hank Pym. Pada masa yang sama Sonny bekerjasama dengan seorang  pegawai FBI untuk menangkap Hope dan Dr. Hank Pym.

Persoalan kepada kisah-kisah di atas adalah seperti berikut. Pertama, berjayakah Scott atau Ant-Man membantu Dr. Hank dan Hope menyelamatkan ibu mereka tanpa dikesan oleh pihak FBI? Kedua, berjayakah Dr. Hank dan Hope menyelamatkan Janet selepas diganggu oleh Sonny, Ghost dan pihak FBI? Ketiga, berjayakah Bill Foster menyelamatkan nyawa Ghost yang terancam kerana bencana kuantum? Inilah tiga plot utama yang memberi nafas kepada filem Ant-Man and The Wasp ini.

Tidak ada sesuatu yang kelihatan baru dalam filem Ant-Man and The Wasp, tetapi ia adalah tetap sebuah filem yang boleh ditonton dan tidak merugikan wang membeli tiket. Ada beberapa kelemahan dalam cerita ini seperti jika Scott mendakwa dia kepenatan dan terpaksa tidur selama tiga hari selepas menjadi gergasi tetapi kali ini selepas beberapa kali menjadi gegasi dia masih kelihatan bertenaga. Mungkin ada penjelasan dari segi saintifik atau fiksyen-saintifik oleh para peminat tegar filem ini nanti untuk menyokong perbezaan fakta visual tersebut.

Jangan terkejut jika The Wasp kelihatan lebih handal berbanding Ant-Man disebabkan latar belakang The Wasp itu sendiri yang lebih rapat dengan situasi kehidupan adiwira berbanding Ant-Man yang merupakan mangsa bidang terjun dalam profesion adiwira.

Bagi pengikut-pengikut filem adiwira Marvel, anda akan didedahkan dengan jawapan kenapa Ant-Man tidak dapat membantu Avengers dan sekutunya yang lain dalam memerangi tindakan berasaskan falsafah perjuangan Thanos dalam filem Infinity War.

Jalan cerita Ant-Man adalah mudah dihadam dan plotnya memang ditulis dengan mudah. Namun plot yang mudah biasanya memerlukan keringat dan kreativiti yang tinggi untuk dijadikan skrip filem yang mampu menarik penonton ke panggung. Aksi-aksi pertempuran dan kesan khas yang menarik akan membuatkan para penonton terhibur selain aksi komedi yang sekali-sekala menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Ya, itu adalah kecenderungan yang menjadi tabiat dalam kebanyakan filem Marvel di mana aksi komedi merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah. Komedi, aksi lucu boleh mendatangkan situasi tidak terjangka yang menyebabkan gangguan tumpuan dan menyelamatkan keadaan.

Ahad, Julai 01, 2018

Ulasan Filem Incredibles 2 (2018)


Filem Animasi Incredibles 2 mempunyai plot yang menarik, watak Helen atau Elasticgirl dikembangkan dengan bijak. Kuasa Elasticgirl dimainkan dengan sangat kreatif dan bijaksana. Pada awal cerita, Incredibles mengisahkan tentang Violet, anak gadis keluarga adiwira Incredibles, yang mengalami masalah percintaan sebelum si suami, Bob memegang tanggungjawab penuh sebagai ibu bapa, menjaga ketiga-tiga orang anaknya. Dash yang masih kanak-kanak menyinggung perasaan Bob dalam Matematik yang semakin sukar peringkat pembelajarannya. Jack-Jack, anak yang bongsu dan masih bayi pula mula mampu menggunakan pelbagai kuasa adiwira dan terlampau aktif berkeliaran di serata rumah. Ini menambahkan tekanan buat si bapa.

Sejak aktiviti adiwira diharamkan, kebanyakan adiwira menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa. Seorang hartawan yang bijak bersosial berpasukan dengan saudara perempuannya yang pintar dalam merekacipta peralatan teknologi, merancang strategi untuk membuka mata masyarakat tentang kepentingan adiwira, meneruskan legasi bapa mereka yang dibunuh oleh penjenayah. Konflik bermula dari sini, menyelit dalam diam menyembunyikan jawapan bagi misteri dan teka-teki untuk dibongkarkan oleh Helen. Brad Bird ternyata pintar mengatur plot.

Kedua-dua beradik hartawan bekerjasama dengan Elasticgirl untuk membina semula reputasi adiwira dan kepercayaan masyarakat. Mereka berjaya, tetapi pada masa yang sama seseorang merancang untuk menggunakan kepercayaan pemimpin masyarakat terhadap adiwira sebagai jerat untuk menjatuhkan terus adiwira dan menggagalkan impian legasi mendiang bapa hartawan tersebut. Brad Bird selaku pengarah dan penulis cerita ini, berjaya mewujudkan sekuel yang menarik. Ketangkasan dan aksi Elasticgirl dalam filem animasi ini dijangka mampu mencipta peminat-peminat tegar terhadap watak srikandi tersebut. Jika Alice dan Lara Croft memiliki peminatnya sendiri, begitu juga potensi daya tarikan yang dimiliki oleh watak Helen ini.

Incredible 2 adalah filem animasi aksi adiwira yang menarik dan seronok untuk ditonton. Ia berjaya menarik pesona penonton terhadap watak adiwiranya, aksi yang mendebarkan, selain simpati terhadap si bapa dan gelagat adiwira comel yang mencuit hati.

Jumaat, Jun 29, 2018

Ulasan Filem Sicario: Day of the Soldado


Apabila Amerika diserang, Amerika melatah. Lalu Pentagon bertindak membalas dendam, mengatur taktik dalam diam. Musuh dikesan, mereka mula mencari jalan untuk menghapuskan musuh. Musuh berada di negara jiran, Amerika harus berjaga-jaga kerana lebih 52 juta rakyat mereka berada di negara tersebut. Sekali lagi Amerika bermain kotor, begitu asyik karyawan Barat mengkritik kerajaan mereka secara terbuka.

Amerika mula merancang melaga-lagakan musuh dengan musuh yang lain, menjadi batu api dalam diam. Menculik puteri seorang maharaja kartel di Mexico, dan membiarkan kes berkenaan menjadi punca tercetusnya peperangan antara kartel. Seorang pembunuh upahan sedar dia mungkin menjadi mangsa kambing hitam. Langkah bijak diambil, mengatur seorang pemuda yang kelihatan mentah sebagai kunci penyelamat nyawa pada kemudian hari.

Saya pernah menonton Sicario yang pertama, dan saya sukakan jalan ceritanya yang gelap dan penuh dengan kelicikan. Dalam dunia di mana undang-undang dimanipulasikan oleh politik, watak-watak utama perlu bijak mencari jalan keluar daripada jerat dan perangkap makan tuan yang dirancang oleh para pengatur kehidupan. Sicario 2 mengulangi kesan kegelapan tersebut.

Cuma yang mahir dengan seni tembakan, mampu bermain dengan muslihat nyawa. Yang hidup kelihatan mati, kemudian bangkit semula dengan anak didik yang baru. Kawan boleh menjadi lawan, tuan boleh mengkhianati dan yang diupah boleh ditelan atau dibuang begitu sahaja. Watak-watak utama perlu bijak mengatur perkataan, menjangkakan senario paling buruk yang bakal dihadapi untuk terus hidup.

Sicario 2 adalah filem aksi pertempuran berkaitan dengan sediakan payung sebelum hujan. Dendam boleh dibalas dengan budi, segala-galanya adalah di luar jangkaan. Kepentingan dan prospektus harus dinilai dengan teliti, tidak ada keputusan boleh dibuat secara mentah, atau ajal menanti dengan mudah.

Filem aksi Sicario 2 sesuai untuk mereka yang suka berfikir, dengan pemutaran plot yang senang difahami. Dalam aksi masih ada pengajaran yang boleh diserap secara logik, tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan karma, sesetengahnya memerlukan rasional dan mengutamakan pelaburan dalam kehidupan. Mari berbincang tentang masa depan, kemudian barulah mengatur perancangan.

Khamis, Oktober 01, 2015

Ulasan Berdasarkan Mesej Daripada Filem The Martian

Saya berpeluang menonton filem The Martian pada 30 September 2015 yang lalu, dan saya dapati filem ini sangat menarik. Bagaimana seorang angkasawan menggunakan pengetahuannya sebagai ahli botani dan juga beberapa cabang ilmu yang lain untuk bertahan dan terus hidup di Marikh sehingga pada akhirnya dia diselamatkan oleh rakan-rakan angkasawan yang lain.

1 OKTOBER 2015: Melihat filem The Martian, saya terfikir. Negara-negara seperti Jepun, Russia, Amerika dan China sudah mula berfikir untuk menakluk planet tandus dan membina penempatan di sana. Jika mereka mampu membina penempatan di sana, maka bumi ini bukan apa-apa bagi mereka.

Jika suatu negara itu berniat jahat, boleh sahaja melepaskan virus, atau menunggu musim kemarau untuk membakar hutan, meningkatkan kadar jerebu sehingga tahap maut sehingga rakyat di satu-satu kawasan jatuh sakit dan maut, atau memutuskan bekalan air bersih sehingga satu-satu kawasan menjadi bertoksik sehingga mati semua tanaman. Rakyat di negara sasaran menjadi mangsa, kerajaan terpaksa mengabdikan diri memohon bantuan dan pertolongan, lalu dengan mudah negara itu dijajah. Dengan teknologi yang ada, kuasa besar memurnikan balik negara yang tandus itu, sehingga wujudnya penempatan baru. Terlalu mudah bukan?

Sedangkan orang kita di negara ini masih terus bertelagah sesama sendiri, tidak memikirkan soal bekerjasama untuk memajukan negara dari aspek sikap dan teknologi. Bangsa Melayu kita cuma sejemput di bumi ini, bila-bila masa boleh dihapuskan dengan strategi dan teknologi. Mereka tidak perlu menghantar jet pejuang atau kapal tentera, cukup dengan secara teknikal untuk menghapuskan rakyat, sehingga kosong atau musnah negara itu. Kemudian, bertahun-tahun kemudian, mereka datang membina penempatan di negara yang musnah ini. Dan saki-baki rakyat yang masih ada, sama ada menjadi hamba atau gelandangan di negara sendiri. Semudah itu.

Pada ketika ini, kebolehan berdikari dengan ilmu dan sikap bekerjasama menentukan survival sesuatu bangsa di sesebuah negara. Kebanyakan negara maju sudah maju lebih 100 tahun ke hadapan, bukan sekadar dalam aspek teknologi tetapi juga cara berfikir dan sikap. Berapa ramai anak muda generasi sekarang yang mampu berdikari? Apabila kita memberikan soalan K-BAT? Berapa ramai yang dapat menyelesaikannya dengan cemerlang? Secara jujur, kebolehan menyelesaikan masalah di kalangan generasi muda, sangat membimbangkan.

Budaya hedonis semakin berleluasa. Tidak ramai anak muda dapat bertahan untuk memberi tumpuan dan berfikir dalam situasi yang sukar atau membosankan. Mereka mengharapkan suntikan keseronokan atau hiburan dalam setiap benda yang dibuat. Mereka mahu sesuatu itu menarik, baru mereka mahu belajar. Mereka tidak lagi mahu meneroka sendiri. Daya keprihatinan, simpati dan empati semakin lemah.

Pada saat ini, sistem pendidikan dilihat terlalu terdesak untuk menarik perhatian generasi muda untuk minat belajar. Sesetengahnya melangkau batas prinsip apa itu tujuan belajar? Tujuan belajar untuk menjadi manusia yang berguna. Doktor yang bertanggungjawab tidak akan mengatakan seseorang pesakit itu sihat, jika dia benar-benar sakit. Apabila aras soalan dianggap lebih sukar, gred diubah. Ibu bapa berpuas hati. Tanpa disedari, kita mengheret generasi muda ke satu perangkap. Kita juga hilang fokus, tidak lagi mengenal apa erti pembelajaran yang sebenar.

Belajar pada asasnya untuk menjadi seseorang itu manusia yang berguna, faham apa tujuan hidup, apa peranannya dalam masyarakat; tanggungjawab sebagai manusia. Kita belajar bukan untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi untuk menjadi seseorang yang berguna sepanjang kehidupannya sehinggalah ia mati.

Ada segelintir orang, beranggapan, berguna itu apabila dia dapat berjuang untuk bangsanya. Selepas mati, apakah bangsa itu akan berguna? Perjuangan seseorang itu dianggap selesai 100% selepas dia mencapai kejayaan di akhirat. Kehidupan ini barangkali cuma 0.0000000000001 peratus sahaja daripada kehidupan sebenar. Kita mungkin hidup 100 tahun di dunia, dan kemudian kekal abadi di akhirat. Namun, ramai antara kita, bertungkus-lumus berjuang untuk 0.0000000001 peratus itu (atau mungkin jauh lebih kecil nilainya). 0.00000000001 peratus, adakah itu markah yang hendak kita capai? Sedangkan kita sendiri selalu anggap 40 peratus itu baru lulus dalam peperiksaan.

Secara tidak sedar, kita banyak menghabiskan perbelanjaan untuk peralatan atau teknologi yang tidak begitu berkesan atau berguna. Kebanyakan sekolah tidak begitu memerlukannya. Pada masa yang sama, kita kurang perbelanjaan untuk aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Terlalu banyak undang-undang yang didapati memanjakan anak-anak. Terlalu melindungi, sehingga anak-anak menjadi lemah. Lemah daya berfikir, tidak mampu berdikari, lemas dalam pujukan hedonisme, mudah terpengaruh dengan tarikan daripada pihak luar dan hilang jati diri.

Di dunia ini, mana pernah akan wujud keadilan. Apa yang ada, cuma perjuangan dan ujian. Pada masa kini, tidak ada seorang pun yang maksum. Tidak ada seorang pun yang dapat markah penuh, namun jika kita silap pilih perjuangan, sehebat mana pun kita, markah kita tetap lebih kecil daripada satu peratus. Jika ikut gred peperiksaan yang kita tetapkan, kita telah gagal, apabila kita lupa lebih sembilan puluh peratus (mungkin lebih tinggi) lagi adalah bahagian akhirat.

Kita selalu lupa. Sebab manusia memang mudah lupa.

Sabtu, Disember 29, 2012

Les Miserables - Selamat Hari Bapa

SINOPSIS DAN ULASAN FILEM LES MISERABLES
Dari aspek pandangan Amiene Rev

Filem Les Miserables boleh dianggap sebuah filem muzikal yang mengharukan jiwa. Kisahnya mengenai Jean Valjean yang melarikan diri dari hukuman parol, dan diselamatkan oleh seorang paderi tua. Jean Valjean mencuri barangan perak paderi tersebut dan kemudian ditangkap oleh pihak polis. Ketika pihak polis mengheret Jean Valjean ke rumah paderi tersebut untuk melaporkan mengenai kecurian, paderi tersebut pula bertindak menyelamatkan Jean Valjean dengan mengatakan bahawa barangan perak itu adalah diberikan oleh paderi itu sendiri.

Peristiwa ini menyebabkan Jean Valjean mula kembali mengenali erti kasih sayang. Jean Valjean telah ditangkap gara-gara mencuri secubit roti untuk diberikan kepada anak saudaranya yang nazak kerana kebuluran. Dia dipaksa menjadi hamba abdi selama 19 tahun dan sejak itu dia mula menjadi seorang pendendam. Namun, peristiwa yang berlaku di rumah paderi itu mula menyebabkan Jean Valjean bertaubat dan menjadi seorang yang sangat mulia. Beliau nekad untuk melarikan diri dari parol, dan membawa identiti baru sebagai Tuan Madeleine. Javert, seorang pegawai polis, memburunya sehingga bertahun-tahun.

Dengan barangan perak dan kegigihannya membangunkan sebuah kilang, Jean Valjean berjaya membekalkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan menjadi seorang yang sangat kaya-raya. Lapan tahun kemudian, Javert telah berjaya mengesan Jean Valjean. Pada hari dia menemui kembali Jean Valjean, berlaku satu peristiwa di mana salah seorang pekerja Jean Valjean dikesan memiliki anak haram. Wanita yang bernama Fantine itu akhirnya dibuang kerja oleh mandur Jean Valjean. Jean Valjean yang ketika itu sedang gelisah kerana terpaksa berhadapan dengan Javert tidak menyedari satu kezaliman telah berlaku.

Fantine dibuang kerja tanpa pengetahuannya, dan terpaksa menjadi pelacur demi menyara kehidupan anak perempuannya, Cosette. Dia didera dan hidup dalam kesakitan sepanjang menjadi pelacur.

Padau suatu hari, keluar berita bahawa seseorang yang dikenalpasti sebagai Jean Valjean telah ditangkap. Tuan Madeleine pada mulanya berasa gembira kerana merasakan dirinya telah terselamat dengan penangkapan yang salah itu,  namun dia akhirnya berasa bersalah. Tuan Madeleine pun pergi ke mahkamah dan mengaku dirinya sebagai Jean Valjean sebenar tetapi hakim tidak mempercayainya. Tuan Madeleine terselamat, tetapi Javert mula curiga.

Pada suatu hari, ketika berlaku satu pergaduhan di mana Fantine akhirnya teruk dipukul oleh seorang lelaki hidung belang, datang pegawai polis, Javert untuk menahannya. Tuan Madeleine yang ada ketika itu akhirnya mengenali Fantine sebagai bekas pekerjanya. Tuan Madeleine berasa bersalah kerana kecuaiannya menyebabkan dia terlepas pandang penganiayaan yang telah berlaku ke atas Fantine. Dia berjanji akan menyelamatkan Cosette dan menjaganya. Fantine meninggal dunia di hospital.

Tuan Madeleine mula mencari Cosette. Pada masa yang sama dia menjadi buruan Javert. T uan Madeleine berjaya menemui Cosette yang terbiar di tengah malam di sekitar kawasan hutan. Cosette telah diabaikan oleh penjaganya, iaitu sepasang suami isteri yang sangat tamak dan keji. Pasangan suami isteri ini memiliki anak bernama Eponine yang sangat disayangi mereka. Tuan Madeleine membayar 1500 Francs kepada pasangan suami isteri itu, iaitu jumlah yang diminta oleh si suami, Thénardier, untuk membebaskan Cosette.

10 tahun berlalu, Cosette membesar sebagai gadis cantik yang bersopan-santun, anak angkat Tuan Madeleine. Ketika ini, muncul watak baru yang bernama Marius, seorang pemuda yang telah dibuang oleh keluarganya kerana berpakat dengan para pemberontak untuk menggulingkan kerajaan.

Suatu hari, seorang anak bangsawan Marius terjumpa dan jatuh hati terhadap Cosette pada pandangan pertama. Hal ini menyebabkan Eponine yang berjiwa murni berasa kecewa. Biarpun kecewa kerana cintanya terhadap Marius tidak berbalas, Eponine tetap menunaikan permintaan Marius untuk mempertemukan Marius dengan Cosette. Eponine kecewa, lalu menyamar sebagai lelaki dan berjuang bersama pihak pemberontak yang disertai Marius untuk menggulingkan kerajaan Perancis pada ketika itu.

Sementara itu, Thénardier telah memberitahu Javert mengenai tempat persembunyian Tuan Madeleine dan anaknya Cosette, dengan cara mengekori Eponine dan Marius secara senyap-senyap. Tuan Madeleine dan Cosette terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kediaman yang lain. Menetap di situ, untuk sementara.

Peperangan berlaku. Javert menyusup masuk dan menyamar sebagai  tentera pemberontak. Namun Gavroche, seorang budak lelaki yang bijak, berjaya mengesan identiti Javert sebagai anjing kerajaan yang menyamar, lalu Javert pun ditangkap. Namun, angkara Javert, pihak pemberontak sedikit telah terlalai kerana tertipu dengan kata-kata Javert bahawa pihak tentera tidak akan datang menyerang secara terus sebaliknya akan menunggu pihak pemberontak kelaparan. Pertempuran yang berlaku akhirnya mengorbankan ramai pejuang pemberontak, termasuk Eponine. Marius berasa sedih, dan mula menyesal dan kecewa kerana pernah melukai hati Eponine secara tidak sengaja. Eponine meninggal dunia dalam keadaan yang tersenyum, kerana berjaya melindungi Marius daripada ditembak. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Eponine menyerahkan surat Cosette yang ditemuinya di pagar rumah Tuan Madeleine kepada Marius. Eponine tidak sampai hati menyerahkan surat itu pada awalnya kerana khuatir akan mengganggu semangat juang Marius semasa peperangan.

Marius pun meminta Gavroche untuk membalas surat itu. Surat itu sampai ke tangan Tuan Madeleine. Sebaik-baik membaca surat itu, sedarlah Tuan Madeleine bahawa tanggungjawabnya terhadap Cosette akan berakhir tidak lama lagi. Cosette akan bersuami, dan tanggungjawab menjaga Cosette akan beralih tangan. Cosette tidak perlu lagi hidup dalam pelarian. Tuan Madeleine mengetahui inilah peluangnya untuk membebaskan Cosette dari bayang-bayang pemburuan Javert. Javert hanya menghendaki Tuan Madeleine. 

Tuan Madeleine pun menyertai pihak pemberontak. Di situlah Tuan Madeleine bertemu semula dengan Javert yang telah ditahan. Tuan Madeleine walau bagaipun tidak mengambil peluang itu untuk membunuh Javert, sebaliknya membebaskan Javert. Javert menyatakan pendiriannya bahawa Tuan Madeleine tetap akan diburunya sebagai banduan yang melarikan diri dari parol. Tuan Madeleine berkata, bahawa suatu hari nanti dia akan menyerah diri juga, dan dia tidak akan menyalahkan Javert yang hanya jujur melaksanakan tanggungjawabnya sebagai polis. Javert akhirnya berjaya melarikan diri.

Pertempuran masih terus berlaku. Hujan yang turun menyebabkan serbuk belerang untuk senjata api menjadi basah. Gavroche memberanikan diri untuk berdepan dengan tentera kerajaan untuk mengambil senjata dan serbuk belerang dari mayat-mayat tentera kerajaan yang bergelimpangan di medan perang. Walaupun ditembak berulang kali, Gavroche terus berusaha mendapatkan serbuk belerang sehinggalah dia akhirnya terkorban. Pengorbanan besar oleh seorang anak kecil.

Keadaan para pemberontak makin terdesak apabila pihak tentera kerajaan berjaya membedil kubu mereka dengan meriam. Semangat para pejuang pemberontak mulai luntur. Tentera kerajaan berjaya menembusi kubu pemberontak. Marius tercedera, namun berjaya diselamatkan oleh Tuan Madeleine. Dalam perjalanan melarikan diri menerusi terowong najis, Tuan Madeleine terserempak dengan Thénardier. Thénardier lalu merampas cincin Marius sebagai bayaran untuk maklumat jalan keluar dari terowong najis itu. Tuan Madeleine meneruskan perjalanannya dan akhirnya terserempak pula dengan Javert d pintu keluar terowong itu.

Tuan Madeleine merayu kepada Javert agar memberi peluang kepadanya untuk menyelamatkan Marius. Selepas menghantar Marius ke hospital, Tuan Madeleine berjanji akan menyerah diri kepada Javert. Ini kerana baginya, sudah tidak ada masalah untuk menyerah diri kerana Cosette akan dijaga oleh Marius. Javert mula serba salah dan akhirnya melepaskan Tuan Madeleine atau Jean Valjean itu. Terbelenggu oleh tanggungjawabnya sebagai polis dan penguatkuasa undang-undang, serta rasa bersalah kerana mengkhianati undang-undang, Javert akhirnya membunuh diri dalam keadaan yang sangat tragis.

Selepas sembuh, Marius kembali ke tempat lamanya dan menangis teresak-esak, meratapi pemergian rakan-rakan seperjuangannya. Marius sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh terselamat. Dia tidak tahu kewujudan Jean Valjean sebagai penyelamatnya. Kemudian, Jean Valjean menemukan semula Cosette dengan Marius. Menjelang hari perkahwinan Cosette dengan Jean Valjean, Tuan Madeleine pun menghilangkan diri selepas menceritakan kisah lampaunya. Jean Valjean meminta Marius supaya jangan membongkar identitinya yang sebenar kerana dikhuatiri akan mengecewakan Cosette. Tuan Madeleine pun menghilangkan diri. Cosette berasa sangat sedih.

Pada hari perkahwinan Thénardier dan isterinya menyamar sebagai bangsawan dan menceroboh masuk ke majlis perkahwinan Marius dan Cosette, lalu bertindak sebagai penyeluk saku. Marius berjaya mengesan kedua-duanya lalu membelasah Thénardier. Marius mendapati cincin kepunyaannya ada di jari Thénardier lalu bertanya bagaimana Thénardier mendapatkan cincin tersebut. Pengakuan Thénardier membongkar rahsia bahawa Jean Valjeanlah orang yang menyelamatkan Marius semasa dia hampir mati seterusnya menjawab jawapan yang lahir dari gerak hati Marius. Marius sebelum ini tidak tahu siapa yang telah membawanya ke hospital.

Marius berasa begitu berdosa kerana telah membiarkan Jean Valjean terpisah dengan anak angkatnya, Cosette. Marius lalu mengajak Cosette mencari Jean Valjean. Menerusi maklumat daripada Thénardier, Jean Valjean telah menghabiskan masanya di biara. Jean Valjean menghabiskan sisa hidupnya di situ. Dosanya terhadap Fantine, pekerjanya yang teraniaya kerana kecuaiannya dianggap telah tertebus selepas kejayaannya membesarkan Cosette sehingga mendapat suami seorang bangsawan.

Pada saat-saat menjelang ajalnya, Cosette datang berlari-lari memanggil Jean Valjean. Marius juga hadir. Jean Valjean berasa bersyukur dan terharu kerana dapat melihat Cosette buat kali terakhir. Jean Valjean menghembuskan nafasnya yang terakhir di biara itu.

Les Miserables merupakan sebuah cerita yang sangat mengharukan. Walaupun panggungnya kecil, tetap penuh dengan penonton. Ceritanya menyebabkan ramai penonton menangis di panggung. Kedengaran sedu sedan para penonton pada babak-babak tertentu.

Namun pengarah filem bijak meredakan keadaan. Pada pengakhiran cerita selepas kematian Jean Valjean, satu babak yang memaparkan semangat juang barisan watak-watak sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, dimainkan. Watak-watak yang ada termasuklah Eponine, rakan-rakan seperjuangan Marius dan juga Fantine dan Jean Valjean. Watak-watak ini tersenyum sambil mengibarkan bendera Perancis di depan bangunan pentadbiran kerajaan. Filem ini ditamatkan dengan senyuman Fantine dan Jean Valjean.

Jika pengarah filem tidak berbuat demikian, mungkin ramai penonton akan keluar panggung dengan air mata yang masih mengalir. Saya keluar panggung dengan keadaan yang agak murung, murung kerana Samsung Champ tamat perkhidmatannya hari ini, dan Sony Xperia Go mula bersiap-sedia untuk menabur bakti.

Kisah ini merupakan kisah seorang majikan, seorang bapa angkat yang sangat mulia. Sebuah cerita yang mampu mengusik jiwa para penonton. Sarat dengan pengajaran dan teladan.


Jumaat, Februari 10, 2012

War Horse - Ulasan Filem

Ulasan Filem: War Horse
"Filem Drama Terbaik" - Amiene Rev
Pengulas: Amiene Rev (C) 2012

Jika anda pernah menonton filem Water For Elephants (2011), We Bought A Zoo (2011), Running Free - One Paw (1994), anda mungkin akan suka dengan filem War Horse. Filem Running Free pula mengisahkan seekor wolverine yang mempunyai satu tapak kaki berwarna putih yang diselamatkan oleh Garrett semasa kecil, dan kemudiannya terlepas dan tersesat ke dunia haiwan liar dan terpaksa berhempas-pulas untuk hidup sebelum berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan dunia haiwan liar. Jika filem Running Free dibantu oleh suara latar yang membantu penonton untuk memahami jalan ceritanya, filem War Horse pula mampu berdiri dengan sendirinya, menerusi tingkah laku kuda yang bernama Joey sendiri. Tidak ada naratif, tetapi sinematografi yang indah serta runut bunyi yang menyentuh hati.

Setelah menonton filem War Horse yang menyentuh hati ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah filem Artificial Intelligent. Kedua-dua filem arahan Steven Spielberg ini, iaitu War Horse dan A.I: Artificial Intelligent, di mana ia mengisahkan pertemuan, perpisahan dan pertemuan kembali. Filem War Horse adalah berdasarkan novel kanak-kanak yang berjudul War Horse, hasil garapan Michael Morpurgo dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1982 di United Kingdom. Kualiti filem ini amat baik. Ini adalah sebuah filem yang bakal merangkul anugerah untuk tahun ini.

Filem yang menjadikan Zaman Perang Dunia Pertama sebagai latar ini mengisahkan watak haiwan, khususnya kuda sebagai watak utama, selalunya akan disertakan dengan pemandangan yang cantik. Filem War Horse walau bagaimana pun, bukan sahaja memanfaatkan pemandangan yang cantik, tetapi turut disertakan dengan sinematografi yang menarik. Penggunaan Hukum Ketiga (Rule Of The Third) digunakan secara meluas dalam filem ini, sesuai dengan objek tunggal dan latar belakang senada.

Filem War Horse banyak bermain dengan suasana senja. Warna jingga sememangnya mempunyai kuasa yang kuat dalam menyentuh hati manusia. Warna jingga mampu menimbulkan rasa tenang, sayu, sepi dan damai. Warna jingga, coklat dan rumput yang menghijau, serta pakaian watak-watak yang kebanyakannya harmoni dengan warna-warna di dalam filem menjadikan visual di dalam filem ini tampak menarik dan menenangkan.

Kebanyakan babak dalam filem War Horse bergerak perlahan, tetapi disaratkan dengan dialog-dialog yang menarik. Muzik di dalam filem War Horse juga memainkan peranan penting dalam membantu penonton untuk menitiskan air mata. Gabungan jalan cerita yang penuh dengan semangat perjuangan untuk hidup, persahabatan, kesetiaan, kasih sayang, belas kasihan dan keikhlasan dengan runut bunyi John William menghasilkan suasana yang cukup dramatik.

Joey melalui satu peristiwa ke satu peristiwa, dari satu pihak ke satu pihak, hinggalah pada akhirnya Joey belajar melompat dan melepaskan diri dari cengkaman perang.

Joey digambarkan sebagai seekor kuda perwira, yang sanggup mengorbankan dirinya demi keselamatan kuda-kuda lain, dan akhirnya Joey menjadi faktor perdamaian antara dua buah negara yang sedang berperang, iaitu England dan Jerman.

Lakonan kuda yang bernama Joey ini memang menarik, kerana kuda ini seolah-olah berjaya menghayati situasi yang ada. Tahniah buat pelatih Joey kerana berjaya membantu Joey mewujudkan tingkah laku yang tepat dengan situasi di dalam satu-satu babak filem War Horse. Joey, si kuda kecil, seolah-olah mampu menghayati lakonannya, seolah-olah berupaya membaca skrip filem ini.

Sinopsis Filem War Horse
Sebelum para pembaca membaca sinopsis ini, perlu saya jelaskan bahawa saya bukan jenis menonton filem kerana berhibur, tetapi sebaliknya mengkaji jalan cerita, moral dan budaya dalam satu-satu karya. Saya tidak begitu peduli tentang hiburan dalam filem. Saya utamakan kualiti dan resepi dalam sesuatu filem. Saya tidak kisah jika saya terlebih dahulu sudah tahu tentang jalan cerita satu-satu filem, tetapi mungkin ada orang yang tidak suka mengetahui jalan cerita lebih awal kerana mahukan kejutan dan rasa terhibur dengan kejutan semasa menonton filem. Oleh itu, jika anda dari jenis yang sukakan kejutan tentang filem, anda tidak digalakkan membaca sinopsis ini. Sinopsis di bawah ini adalah berguna untuk diri saya dan mungkin juga kepada sesiapa yang berminat untuk melihat pandangan saya mengenai filem War Horse ini.

Filem War Horse mengisahkan Joey, seekor kuda kecil yang dibeli oleh Ted Narracott (lakonan Peter Mullan), yang bagaikan kerasukan, tertarik dengan kuda tersebut. Kuda tersebut akhirnya menjadi teman baik anaknya, Albert Narracott (lakonan Jeremy Irvine).

Demi membantu ayahnya menyelesaikan hutang sewa tanah yang mereka duduki, Albert dan Joey berusaha gigih untuk membangunkan ladang mereka. Namun, hujan lebat telah membinasakan tanaman mereka.

Tidak lama kemudian, peperangan antara England dan Jerman tercetus. Ted Narracott menjual Joey kepada seorang pegawai tentera, Kapten Nicholls (lakonan Tom Hiddleston). Albert berasa sangat sedih, namun Kapten Nicholls berjanji akan memulangkan semula kuda Albert, Joey selepas tamat peperangan.

Di kem tentera, Joey berkenalan dengan seekor kuda padi berwarna hitam yang angkuh, bernama Topthorn. Kedua-dua kuda ini saling bersaing, seperti kedua-dua tuan mereka. Joey berjaya mengalahkan Topthorn walaupun saiz badannya lebih kecil berbanding Topthorn. Ini kerana pengalaman Joey sebagai kuda pembajak menjadikannya lebih kuat berbanding kuda-kuda yang lain.

Joey tidak lama berada dalam pasukan tentera England apabila Kapten Nicholls terkorban dalam satu pertempuran. Joey dan Topthorn diselamatkan oleh dua adik-beradik berusia belasan tahun yang bertugas di bahagian perubatan tentera Jerman. Hubungan Joey dan Topthorn bersama kedua-dua adik-beradik ini juga tidak lama, selepas kedua-dua adik-beradik ini ditembak mati kerana cuba melarikan diri dari peperangan.

Joey dan Topthorn ditemui pula oleh seorang gadis biadab bernama Emelie (lakonan Celine Buckens) yang tinggal bersama datuknya (Neil Arestrup). Datuk Emelie amat menyayangi cucunya yang berstatus anak yatim piatu.Emelie cuba mengajar Joey cara-cara untuk melompat, tetapi Joey masih belum pandai melompat.

Tidak lama kemudian Joey dan Topthorn dirampas semula oleh pasukan tentera Jerman untuk dijadikan kuda pengangkut senjata berat. Hubungan Joey dan Topthorn semakin rapat. Topthorn terkorban kerana kecederaan teruk pada lututnya, dan Joey sempat mengiringi pemergian Topthorn.

Sejurus selepas itu, Joey dikejar oleh sebuah kereta kebal. Joey terperangkap, di satu sudut yang dipenuhi pagar berduri. Akhirnya Joey berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke atas pagar kereta kebal. Kemudian Joey memecut selaju-lajunya melarikan diri dari medan peperangan, melompat dari satu kubu ke satu kubu, merentasi tanah berlumpur tanpa mempedulikan pagar-pagar dawai berduri yang terlekat pada badannya.

Babak Menarik Dalam Filem War Horse
Semakin lama semakin banyak dawai berduri yang terlekat pada tubuh Joey. Joey akhirnya rebah di medan peperangan. Tidak lama kemudian, seorang tentera England bernama Colin dan seorang tentera Jerman bernama Peter menyabung nyawa untuk merentangi medan perang bagi menyelamatkan Joey. Colin melambaikan bendera putih, kedua-dua pihak tentera menangguhkan pertempuran. Colin dan Peter sama-sama berusaha untuk menyelamatkan Joey.

Pada pandangan saya, inilah babak yang paling menarik dalam filem War Horse. Dua tentera dari dua negara yang sedang berperang, bekerjasama menyelamatkan Joey, saling bertanya khabar, dan saling bertukar-tukar cerita tentang negara masing-masing. Keadaan ini menunjukkan kepada kita bahawa seperti Joey, kedua-dua tentera ini juga berperang kerana nasib, bukan kerana adanya perasaan saling benci-membenci, tetapi kerana kesetiaan kepada negara masing-masing.

Selepas menyelamatkan Joey, kedua-dua tentera bersepakat untuk menggunakan duit syiling bagi menentukan siapa yang layak memiliki Joey. Colin dari England menang. Kedua-dua tentera tersebut berjanji akan saling kunjung-mengunjungi ke kampung halaman masing-masing selepas tamat peperangan. Pada ketika ini, peperangan bagaikan tidak ada ertinya lagi.

Colin membawa pulang Joey ke kem tentera. Di sana merupakan detik pertemuan antara Colin dan Albert. Colin meminta pegawai perubatan tentera agar mengubati Joey, tetapi Joey didapati telah cedera teruk. Seorang pegawai tentera yang berpangkat meminta agar Joey ditembak mati. Berita mengejutkan ini tersebar pantas di kem tentera England.

Ketika ini mata Albert masih sedang dirawat selepas terkena gas beracun tentera Jerman. Sebaik-baik sahaja Albert mengetahui ada seekor kuda dibawa masuk ke kem, gerak hati Albert kuat mengatakan bahawa kuda itu adalah Joey. Albert memanggil Joey dengan cara yang telah diajarkannya kepada Joey. Joey terdengar dan menunjukkan reaksi. Usaha untuk menamatkan nyawa Joey tertangguh.

Albert lalu muncul dengan matanya yang dibalut dengan kain untuk mendekati Joey sambil memanggil Joey dengan teknik siulan orang India Merah. Semua orang terpegun melihat kejayaan Albert. Albert semakin yakin kuda yang berlumuran lumpur itu adalah Joey.

Pegawai perubatan tidak mahu percaya pada sebarang keajaiban, namun Albert dengan matanya yang tertutup lalu menyatakan ciri-ciri fizikal Joey; mempunyai empat pasang kaki stokin putih dan terdapat satu jalur putih pada dahinya. Para pegawai lalu mencuci keempat-empat kaki Joey, ternyata Albert benar. Pegawai perubatan masih tidak yakin, lalu mengelap dahi Joey, dan dalam keadaan masih terkejut, beliau kini percaya bahawa kuda itu ialah Joey, kepunyaan Albert Narracott. Pegawai perubatan itu berjanji akan merawat kuda itu sebaik mungkin.

Tidak lama kemudian peperangan ditamatkan. Pihak berkuasa menegaskan bahawa semua harta rampasan perang mesti dilelong. Joey bakal dilelong kerana dianggap sebagai rampasan perang. Para tentera mahu menyelamatkan Joey dari dilelong, lalu mereka semua mengumpul wang untuk diberikan kepada Albert, supaya Joey dapat kembali kepada Albert.

Semasa lelongan, datuk Emelie tampil ke hadapan dan menewaskan semua pembida Joey termasuk Albert. Joey diserahkan kepada datuk Emelie. Albert merayu kepada datuk Emelie untuk memulangkan Joey, namun datuk Emelie tidak mahu kerana baginya Joey begitu bermakna buat Emelie. Joey tahu siapa tuannya yang sebenar, Joey memberontak, melepaskan diri dari datuk Emelie dan kembali kepada Joey.
Datuk Emelie tersentak. Ternyata tanggapannya terhadap Albert salah. Pada mulanya dia menyangka bahawa Joey adalah milik Albert semata-mata selepas ditemui di medan peperangan, tetapi panji anugerah milik ayah Albert yang dijadikan Albert sebagai tangkal penyelamat nyawa Joey yang disimpan oleh datuk Emelie menjadi bukti bahawa Joey adalah kepunyaan Albert. Datuk Emelie mengalah dengan sukarela.

Albert menunggang Joey pada waktu senja, pulang ke kampung halaman. Ibu bapa Albert terpegun melihat kembalinya Joey ke kampung halaman. Cerita ini tamat dengan Joey memandang pemandangan yang jauh, pada waktu senja. Kuda yang memegang watak Joey ini memang telah melakonkan wataknya dengan amat baik. Tahniah kepada pelatih Joey.

Filem War Horse sarat dengan nilai-nilai murni. Ini adalah filem genre drama terbaik. Dialog-dialognya bersih daripada carutan dan maki-hamun. Jalan ceritanya sarat dengan inspirasi dan motivasi, serta teladan yang boleh dicontohi. Sebuah filem yang amat menyentuh hati dengan penamatan yang menggembirakan.