BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Keselamatan Jalan Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keselamatan Jalan Raya. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 15, 2011

JPJ: TIDAK ADA Sekatan Jalan - PULANG BERHARI RAYA!

SELAMA INI aku sering mendengar aduan daripada para pemandu jalan raya. Apabila mahu pulang berhari raya, pasti tempoh perjalanan akan menjadi lebih lama, berikutan kerana adanya sekatan jalan raya oleh pihak penguasa jalan raya.

"Jalan raya jem sebab polis trafik buat roadblock," komen seorang rakan.

Namun kini, satu berita baik mungkin menyenangkan hati ramai pemandu. Pihak JPJ kini tidak lagi melakukan sekatan trafik, sebaliknya akan menyaman mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan menerusi rakaman gambar. Rujuk berita terdahulu:
Besar harapan aku pada hari raya ini, tidak ada pengguna jalan raya yang melampau batas semasa memandu sehingga menyusahkan orang lain pula.
Balik Raya : JPJ Tak Akan Adakan Sekatan Jalan
MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengadakan sebarang sekatan jalan raya sepanjang musim raya ini bagi memastikan kelancaran trafik.

Bagaimanapun ini tidak bermakna, penguatkuasaan tidak akan diadakan kerana para pegawai JPJ akan tetap merakamkan gambar kenderaan yang memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pemandu yang melanggari peraturan dan had laju akan tetap disaman oleh JPJ menerusi rakaman gambar yang dibuat.

Menurut beliau, kaedah ini telah pun dikuatkuasakan tahun lalu dan ramai pemandu yang terkejut apabila ditunjukkan gambar-gambar tersebut.

"Sebenarnya, ini adalah salah satu bentuk pencegahan kerana orang akan mendapati turun naik ke pejabat JPJ untuk disoal siasat dan disaman adalah satu kerja yang menyusahkan," ujarnya.

Beliau juga menyeru orang ramai agar turut memainkan peranan dengan merakamkan gambar pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan mengirimkan gambar tersebut kepada JPJ.

Rabu, Jun 29, 2011

Punca Kemalangan Jalan Raya

Cara-cara untuk mengelakkan kemalangan jalan raya ialah dengan menenangkan diri semasa memandu kenderaan. Memberi lampu isyarat kiri atau kanan sebelum hendak membelok. Tunggu satu saat atau tinjau kiri dan kanan sebelum menekan pedal minyak ketika lampu sudah hijau bagi memastikan tidak ada kenderaan terlajak lampu merah melintas dari kiri atau kanan jalan. Apa kata kita baca petikan artikel di bawah ini.

Apakah Punca Kemalangan Jalan Raya?
Fikiran Kusut Antara Punca Kemalangan Ke Tempat Kerja

SEPANG, 28 Jun (Bernama) — Fikiran kusut, mengejar kad perakam waktu atau tergesa-gesa ke tempat kerja dikatakan antara punca kemalangan semasa pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu pagi antaranya kerana fikiran kusut memikirkan pelbagai tanggungjawab untuk dilaksanakan hari itu, mengejar kad perakam waktu atau lambat bertolak dari rumah,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau melancarkan Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Kebangsaan 2011.

Beliau berkata jumlah kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja meningkat 38 peratus dengan 22,036 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 20,810 kes pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 63 pekerja meninggal setiap bulan kerana kemalangan semasa berulang-alik ke tempat kerja, katanya.

Maznah turut berkata kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 80 peratus mangsa kemalangan adalah pekerja lelaki yang melibatkan pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata Perkeso mengeluarkan RM1.8 bilion pampasan kepada pekerja yang mengalami kemalangan sewaktu di tempat kerja atau pun sewaktu berulang-alik ke tempat kerja berbanding RM1.3 bilion pada tahun 2009.

Sasaran pengurangan sebanyak 30 peratus kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja diharap dapat dicapai tahun ini sempena kempen yang dilancarkan yang bermula hari ini, katanya.

“Saya harap kempen ini akan dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran betapa tingginya risiko berulang-alik ke tempat kerja. Ia tertumpu kepada 100 majikan yang pekerjanya paling tinggi terlibat kemalangan ke tempat kerja,” katanya.

Maznah berkata kempen juga akan tertumpu kepada kawasan kemalangan berisiko tinggi di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Ipoh.

Sumber: BERNAMA

Sabtu, Disember 06, 2008

PETUA-PETUA KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA MUSIM CUTI SEKOLAH

KENYATAAN AKHBAR: PETUA-PETUA KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA MUSIM CUTI SEKOLAH

28 NOVEMBER 2008: Bersempena dengan musim cuti persekolahan dan perayaan Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang tiba, pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia (JKJR) ingin mengingatkan dan menasihatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa serta mengamalkan pemanduan berhemah ketika di jalan raya.

Peningkatan kadar jumlah trafik pasti berlaku kerana para ibu bapa mengambil peluang membawa anak-anak dan keluarga pergi bersiar-siar atau bercuti sempena musim cuti persekolahan ini.

Dalam pada itu para ibubapa dinasihatkan agar tidak membenarkan anak-anak mereka yang belum layak dan belum memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu kereta atau menunggang motosikal demi melindungi keselamatan orang tersayang dan mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mereka.

Amalan memandu kereta dan menunggang motosikal tanpa lesen adalah menjadi satu kesalahan serius disisi undang-undang, iaitu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, di bawah seksyen 26(1) tiada seorang pun boleh memandu sesuatu kenderaan di sesuatu jalan melainkan jika dia adalah pemegang sesuatu lesen memandu yang membenarkannya memandu sesuatu kenderaan motor dan seksyen 26(2) mana-mana orang yang melanggar subseksyen(1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Maka adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa agar sentiasa mengawasi dan memastikan keselamatan keluarga dan anak-anak ketika berada di jalan raya, iaitu jika memandu kereta pastikan mereka memakai tali keledar depan dan belakang, jika menunggang motosikal pastikan mereka menggunakan topi keledar dengan kemas dan betul serta jika melintas pimpinlah tangan anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka.

Sebagai langkah-langkah keselamatan di jalan raya para pemandu haruslah membudayakan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalulintas serta sentiasa mengamalkan 8 petua keselamatan jalan raya bagi memastikan setiap perjalanan selamat sampai ke destinasi.

8 Petua Keselamatan Jalan Raya ialah :

1. Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah pengaruh alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
2. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.
3. Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
4. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.
5. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain terlalu rapat sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
6. Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.
7. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.
8. Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

Kempen advokasi keselamatan jalan raya di Plaza Tol LDP(LITRAK), Hentian Sebelah Puchong Selatan pada hari ini yang diketuai oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama rakan kongsi telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak pengendali Lebuhraya Damansara Puchong, LITRAK serta wakil-wakil Persatuan dan Kelab Motosikal bagi tujuan mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya terutamanya bagi pemakaian tali keledar belakang yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2009 dan golongan berisiko tinggi iaitu para penunggang dan pembonceng motosikal.

Semoga kempen advokasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama rakan kongsinya ini mampu meningkatkan kefahaman dan kesedaran para pengguna jalan raya kearah usaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara kita.

Sumber:
PETUA-PETUA KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA MUSIM CUTI SEKOLAH
Laman Web Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia