BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Pengguna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengguna. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 01, 2012

Ikan Tuna Amerika Syarikat Mengandungi Unsur Radioaktif

Ikan tuna AS ada unsur radioaktif
Disediakan oleh Berita Harian


WASHINGTON: Ikan tuna sirip biru yang ditangkap di perairan Amerika Syarikat didapati mengandungi bahan radioaktif dari loji nuklear Fukushima.

Penyelidik mendapati isotop radioaktif itu berada pada ‘tahap pertengahan’ dalam 15 tuna sirip biru yang ditangkap di perairan San Diego, California pada Ogos 2011. Kajian terbaru mengenai penemuan itu disiarkan dalam talian oleh jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS). Penyelidik berkata, tahap radioaktif meningkat itu tidak menjejaskan kesihatan umum kerana ia lebih rendah daripada tahap keselamatan Jepun dan isotop semula jadi lain.

Kajian ditulis oleh Daniel Madigan dari Universiti Stanford, California dan Zofia Baumann serta Nicholas Fisher dari Universiti Stony Brook, New York.

Kajian mendapati tahap radioaktif cesium-134 dan cesium-137 yang tinggi sedikit dalam 15 ikan tuna itu berbanding tuna sirip biru yang ditangkap di perairan sama sebelum bencana nuklear Fukushima dan pada tuna sirip kuning di timur Pasifik, ditangkap sebelum dan selepas bencana di Fukushima.

Kajian itu menunjukkan bukti sahih bahawa ikan terbabit membawa bahan radioaktif loji Fukushima merentasi lautan ketika perpindahan mereka.

“Penemuan ini menunjukkan bahawa tuna sirip biru Pasifik boleh memindahkan radioaktif dari satu kawasan di Jepun ke tempat lain yang lebih jauh dan menunjukkan haiwan yang berpindah penting sebagai satu alat pengangkutan,” katanya.

Penyelidik menekankan, isotop cesium tidak membahayakan kesihatan umum terutama ia membawa kadar radiasi jauh lebih rendah berbanding potassium-40, unsur isotop semula jadi yang ditemui dalam semua spesies ikan.

Gempa magnitud 9 menyebabkan tsunami pada 11 Mac 2011 membunuh beribu-ribu penduduk dan melumpuhkan sistem penyejukan loji Fukushima. – AFP

Isnin, Mei 21, 2012

Musuh iPhone - iCloud Mampu Ceroboh Maklumat Sulit Pengguna iPhone

Pemilik iPhone berisiko

MOSCOW 20 Mei - Pemilik iPhone yang menggunakan perkhidmatan perisian iCloud yang dianggarkan berjumlah 125 juta orang berhadapan risiko maklumat peribadi mereka diceroboh.

Ini kerana, perisian pengintip yang diberi nama ''Pemecah Kata Laluan Telefon'' didapati boleh mengesan aktiviti pemilik telefon pintar itu tanpa perlu menggunakan akses fizikal.

Perisian itu didapati boleh memuat turun semua data daripada perkhidmatan iCloud, Apple yang menjadi sokongan kepada gambar, teks mesej, emel, kalendar temu janji, senarai panggilan dan laman web yang dilayari serta nombor telefon.

Sekiranya seseorang yang mempunyai perisian pengintip itu berada berhampiran dengan pemilik iPhone yang menggunakan perkhidmatan iCloud, dia dengan mudah boleh mengakses telefon pintar itu tanpa disedari pemiliknya.

Ketua Eksekutif ElcomSoft, Vladimir Katalov berkata, Pemecah Kata Laluan Telefon dalam kata lain merupakan alternatif untuk mendapatkan akses kepada kandungan perlatan iOS.

''Dengan penama dan kata laluan Apple yang sah, pihak berkuasa seperti polis bukan sahaja boleh mendapatkan sokongan daripada peralatan yang 'dicuri' malah mengakses maklumat semasa telefon itu masih berada di tangan suspek,'' katanya.

Majoriti pengguna iPhone dan iPad menggunakan perkhidmatan iCloud sebagai sokongan kepada data, aplikasi dan media.

Selain, memuat turun data dengan iCloud, perisian itu juga boleh mengesan kedudukan pengguna iPhone itu.

Satu-satunya cara untuk melindungi pemilik iPhone adalah sama ada untuk tidak melakukan sokongan terhadap telefon itu atau menyimpan data sokongan peribadi di dalam komputer sendiri menggunakan iTunes. - AGENSI

Sabtu, Oktober 15, 2011

Harga Barang Naik - Banjir Besar Di Thailand Jadi Alasan Pemborong

Kajian mendapati harga barang-barang mula naik selepas Belanjawan 2012 diumumkan. Malah ada juga harga barangan tertentu seperti daging lembu dan sebagainya yang tidak ada kena-mengena dengan banjir besar di Thailand dinaikkan. Ternyata, pemborong-pemborong  cuba mengaut dosa lebih dengan membebankan rakyat jelata yang bekerja sendiri dan bergaji kecil dengan memperalatkan bencana yang menitiskan air mata beratus-ratus ribu rakyat Thailand dan kegembiraan kakitangan kerajaan menikmati kenaikan gaji untuk kepentingan diri mereka sendiri. Semoga Persatuan PENGGUNA mengambil serius tindakan para pemborong yang nyata membebankan golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

Tahniah kepada para peniaga di KOTA BHARU kerana menurut laporan, harga barangan di Kota Bharu kekal pada harga yang lama walaupun Kelantan berdekatan dengan Thailand. Sudah jelas di sini, bagaimana para pemborong di negeri-negeri lain cuba menambahkan dosa ke dalam titik peluh mereka dengan menganiayai rakyat jelata.

Harga barang keperluan harian naik - TINJAUAN di Pasar Besar Melaka Sentral, Peringgit mendapati harga daging lembu segar dijual pada harga RM20 sekilogram berbanding harga lama RM19.

Pemborong beri alasan cuaca tak menentu, banjir besar di Thailand

KUALA LUMPUR: Harga rata-rata barangan keperluan harian di seluruh negara terutama daging pejal tempatan dan cili merah selain sayuran tertentu meningkat dengan peniaga memberikan alasan terpaksa mengikut harga ditetapkan pemborong yang mendakwa ia berpunca cuaca tidak menentu serta banjir besar di Thailand. Tinjauan di Pasar Selayang dan Chow Kit mendapati harga daging lembu tempatan dijual RM22 sekilogram (kg), salad antara RM6.50 hingga RM7 1kg, tomato RM5 berbanding RM3 minggu lalu dan santan asli RM9, tetapi harga sesetengah barangan seperti ayam, ikan dan bawang menurun. Di MELAKA, tinjauan di Pasar Besar Melaka mendapati harga daging lembu, ikan kembung dan ikan merah naik antara RM1 hingga RM4 manakala cili merah sehingga RM18 berbanding RM10 sebelum Bajet 2012. Daging lembu segar dijual RM20 1kg berbanding RM19 harga lama.

Harga hasil laut termasuk ikan kembung pada RM12 berbanding RM10 sebelum ini dan ikan merah sehingga RM24 berbanding RM20, tapi harga ayam turun kepada RM8.30 sejak dua hari lalu berbanding RM8.70 sebelum itu, manakala cili padi akar (hijau) melambung RM13 berbanding RM7.

Di SHAH ALAM, peniaga sayur, Suhaimi Mahat, 53, berkata cuaca tidak menentu sejak dua minggu lalu menyebabkan harga cili merah naik kepada RM18, manakala sayur berdaun sebelum ini dijual RM2 meningkat kepada RM4.

Di KUALA TERENGGANU, harga sayur dan daging terus melambung sejak sebulan lalu dan semakin naik selepas pembentangan Bajet 2012, antaranya sawi kini RM4.50 berbanding RM2.50 hingga RM3 sebulan lalu, cili besar RM14 berbanding RM7, cili kecil RM12 dan daging naik kepada RM20 berbanding RM18.

Di KUCHING, ayam proses sebelum ini RM7.50 kini dijual antara RM8.50 hingga RM9 malah difahamkan di Kapit yang terletak di tengah Sarawak, ia dijual sehingga RM11.50 dan bawang merah pula yang sebelum ini dijual RM6 1kg naik RM1.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Roslee Hamid, berkata secara keseluruhannya tiada kenaikan ketara harga barangan keperluan di Sabah khususnya di ibu negeri, tetapi pihaknya ada menerima aduan kenaikan harga ayam di Kota Belud dan Papar.

Tinjauan di Pasar Besar Kota Kinabalu mendapati daging tempatan dijual RM22 1kg manakala ayam super RM9.50 dan ayam dada serta paha RM10. Kobis pula dijual RM2.50 manakala cili merah antara RM8 hingga RM9 dan bawang merah RM6.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan di pasar @Mart mendapati harga barangan basah termasuk ikan dan ayam serta sayur-sayuran naik ketara terutama cili merah dijual sehingga RM19.90 1kg berbanding Sekitar RM5 sebelum Bajet 2012 dengan alasan musim tengkujuh dan banjir di Thailand.

Peniaga ikan, Sapri Ali Junaidi, 25, berkata harga ikan kembung naik RM7.50 1kg berbanding RM4.50 sebelumnya manakala harga sotong meningkat kepada RM14 berbanding RM7, manakala sayur-sayuran meningkat dua hingga tiga kali ganda, antaranya sawi RM4.50 1kg berbanding RM2.50 sebelumnya dan cili merah sehingga RM19.90.

Di SEREMBAN, peniaga di Pasar Awam Rasah Jaya, mengakui terpaksa menaikkan harga beberapa barangan disebabkan pemborong menjual lebih mahal. Pada 7 Oktober lalu, kembung hitam dijual RM10 1kg manakala semalam harganya meningkat RM13, kobis bulat tempatan RM4 (RM5), cili merah Kulai RM14 (RM18) dan tomato RM3.50 (RM5).

Di GEORGETOWN, harga daging tempatan dan sayur di kebanyakan pasar dan kedai runcit di Pulau Pinang meningkat satu hingga dua kali ganda selepas Bajet 2012 dibentangkan. Tinjauan di Pasar Chowrasta mendapati harga cili merah naik kepada RM16 1kg berbanding RM8 sebelum ini.

Di KUANTAN, Unit Pemantau Harga, Pejabat KPDNKK negeri mendapati harga ayam standard RM9.50 1kg berbanding RM8.50 sebelum bajet, manakala cili merah naik daripada RM17 kepada RM20 dan tomato RM6 berbanding RM3. sayuran lain seperti kacang panjang, buncis, sawi, salad, kailan dan petola turut mengalami kenaikan harga 10 hingga 50 sen.

Di KOTA BHARU, tinjauan di Pasar Tani Wakaf Che Yeh mendapati barangan keperluan utama seperti daging, ayam serta barangan dapur kekal pada harga lama. Penjual daging, Ahmad Noh, 45, berkata daging dijual RM18 1kg tanpa sebarang kenaikan sejak Aidilfitri lalu, manakala ayam RM7.80 daripada antara RM8.20 hingga RM8.30 minggu lalu.


Di IPOH, tinjauan di Pasar Besar Ipoh mendapati kenaikan harga cili merah agak mendadak sehingga hampir sekali ganda berbanding minggu lalu daripada RM8 1kg kepada RM15, manakala cili padi daripada RM8 kepada RM12 dan cili hijau daripada RM6 kepada RM10 1kg. - Disediakan oleh Berita Harian

Sabtu, Oktober 01, 2011

Harga Telur Ayam Naik 2 Sen

Harga telur ayam bagi semua gred dinaikkan sebanyak dua sen sebiji di seluruh Semenanjung mulai semalam atas alasan kekurangan bekalan. Pengerusi Unit Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Yap Hoong Chai ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia menjadikan peningkatan RM2 untuk setiap 30 biji telur dari peringkat ladang, borong serta runcit.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Ayam Tidak Disembelih Dijual Di Johor?

Hari ini aku terbaca di salah satu media mengenai ayam tidak disembelih dengan sempurna di jual di pasaran Johor. Hal ini menunjukkan betapa sikap sambil lewa segelintir umat Islam yang bekerja di bahagian penyembelihan ayam. Pihak majikan harus lebih bertegas dalam soal ini, dengan mencari pekerja-pekerja yang lebih mengutamakan soal kepentingan agama dan kerja sebagai satu ibadat. Apakah keuntungan yang dikejar oleh penyembelih-penyembelih ayam?

Sembelihan
(C) Amiene Rev 2011

ayam disembelih begitu saja
tanpa rasa hormat
tanpa rasa segan
kepada Pemberi Rezeki

Kerana wang semata-mata
hilang punca berkat
bahang neraka kebal di badan
akhirat menjadi teka-teki

Isnin, Ogos 15, 2011

Barang Kawalan Sempena Musim Perayaan - Bawang

Bawang Disenaraikan Di Bawah Barang Kawalan

BERA: Bawang besar dan kecil serta bawang putih telah dimasukkan dalam senarai barangan kawalan sempena musim hari raya ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan barangan di bawah kawalan sempena musim perayaan kepada 20 jenis.

Barang dan item kawalan tersebut ialah daging tempatan, daging import, telur (gred A, B dan C), ayam hidup, ayam standard, ayam gred super, daging kerbau tempatan, daging kerbau import, kubis bulat import, cili merah, tomato, kelapa parut, kacang tanah import, ikan sardin dan kentang.

Tahun lalu, sebanyak 17 jenis barangan telah disenaraikan sebagai barangan kawalan sempena musim perayaan dan tahun ini jumlah tersebut telah ditambah sebanyak tiga lagi, ujar Ismail.

Khamis, Julai 28, 2011

Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum

Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum

PUTRAJAYA – Semua minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai kandungan alkohol kurang satu peratus adalah harus diminum.

Perkara itu diputuskan dalam muzakarah khas, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diadakan dari 14 Julai hingga 16 Julai lalu bagi membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan.

Mesyuarat itu juga memutuskan minuman ringan yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol itu terjadi secara sampingan ketika proses membuat makanan dan minuman adalah tidak najis dan harus dimakan atau diminum.

Keputusan itu disiarkan portal rasmi jawatankuasa terbabit.

Ia dicapai selepas jawatankuasa menerima taklimat, pembentangan dan penjelasan oleh pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta berdasarkan keputusan yang dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

“Semua makanan dan minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol bagi tujuan penstabilan adalah harus digunakan dengan syarat ia tidak dihasilkan daripada proses pembuatan arak.

“Selain itu, kuantiti alkohol dalam produk akhir itu juga mestilah tidak memabukkan dan mengandungi kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Johor (JAJ) mendedahkan ada produk minuman yang terkenal dari Arab yang mengandungi kandungan alkohol 0.5 peratus, iaitu melebihi had yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, hingga mencetuskan isu mengenai ‘bir halal’.

Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghantar sampel empat jenama berlainan minuman berkarbonat diimport dari beberapa negara Asia Barat bagi menjalani ujian terperinci di Jabatan Kimia susulan kekeliruan pengguna Islam terhadap kandungannya.

Difahamkan keputusan mengenai status minuman berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, muzakarah sama turut memutuskan minuman ringan dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling dalah haram diminum.

Sumber: BERITA HARIAN 22 Julai 2011

Rabu, Julai 27, 2011

Minuman Malta Barbican Bukan Arak

Minuman Malta Barbican Bukan Arak

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan minuman malta berperisa buah-buahan jenama Barbican dibolehkan untuk diminum umat Islam di negara ini.

Keputusan tersebut diperoleh menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada pengedar minuman berkenaan selepas jawatankuasa itu bersidang pada 16 hingga 18 Jun lalu.

Kandungan surat tersebut menyatakan, minuman ringan malta seperti Barbican dan sebagainya yang diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak dan alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak dan dengan kadar yang sedikit.

Jadi, minuman itu didapati tidak memabukkan dan dibolehkan meminumnya bersesuaian dengan keputusan muzakarah sebelum ini.

Menurut surat itu lagi, muzakarah juga menasihatkan pihak pengeluar minuman tersebut tidak menggunakan label, jenama dan sebagainya yang boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna khususnya umat Islam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan minuman tersebut menimbulkan isu kerana mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.

Jumaat, Julai 15, 2011

Senarai Badan Islam Yang Diiktiraf JAKIM 2011

Senarai Badan Islam Yang Diiktiraf JAKIM 2011

Sebenarnya amat penting bagi semua pengguna Islam untuk mengetahui badan-badan Islam yang diiktiraf di seluruh negara. Ini dapat mengelakkan pengguna merasa ragu-ragu untuk membeli barangan atau memasuki premis-premis tertentu ketika berada di luar negara. Pengetahuan mengenai logo-logo badan Islam yang diiktiraf di luar negara juga penting agar pengguna tidak keliru. JAKIM juga turut menghantar pegawai-pegawai yang bertugas di setiap badan Islam tersebut. Berikut merupakan senarai badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM di luar negara.

APAKAH BADAN PENSIJILAN DAN LOGO HALAL LAIN YANG DIIKTIRAF OLEH JAKIM DI DALAM DAN LUAR NEGARA?

Dalam negeri:

JAKIM mengiktiraf pensijilan halal yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)/Jabatan Agama Negeri (JAIN).

Luar negara:

Terdapat 52 badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM di luar negara. Maklumat badan dan logo tersebut boleh dicapai melalui portal halal di www.halal.gov.my atau risalah senarai badan pensijilan halal luar negara dari Bahagian Hab Halal, JAKIM.

http://www.halal.gov.my/

Khamis, Julai 14, 2011

Rakyat Malaysia Utamakan Harga Murah

Rakyat Malaysia Gemar Cari Harga Murah

KUALA LUMPUR: Pembeli Malaysia adalah pembeli kedua paling gemar mencari harga paling murah di Asia Pasifik, selepas pembeli Vietnam, menurut Kaji Selidik Trend Pembeli terbaharu oleh Nielsen.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat maklumat dan pengukur global itu berkata, 86 peratus daripada pembeli itu membeli kerana kempen promosi, dua daripada 10 gemar berpindah dari kedai ke kedai berasaskan tawaran promosi terbaik dan 65 peratus akan mencari barang-barang yang dijual mengikut promosi.

Katanya, rakyat Malaysia juga merupakan pembeli paling sensitif di segi harga di Asia Tenggara.

“Sebanyak 13 peratus dari pembeli di pasaraya besar dan pasar raya di Malaysia menyatakan mereka tahu kesemua harga barang yang mereka beli secara tetap.

Sebanyak 55 peratus mengetahui harga kebanyakan barang-barang berkenaan dan mereka akan perasan sebarang perubahan harga,” katanya.

Daripada 12 negara yang dilakukan kaji selidik di Asia Pasifik, India mencatatkan jumlah pembeli paling sensitif pada perubahan harga.

Sumber: Bernama

Rabu, Julai 13, 2011

Tiada Kopitiam Halal Di Selangor – JAKIM

Tiada Kopitiam Halal Di Selangor – JAKIM

SERDANG – Tidak ada satu pun daripada kira-kira 180 buah premis kopitiam di Selangor mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus atau 18 premis kopitiam sahaja dari negeri itu yang memohon pensijilan halal daripada JAIS dan Jakim.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis kopitiam di Selangor.

“Selangor belum ada kopitiam yang dapat sijil halal daripada JAIS walaupun kita ada buat pengumuman supaya mereka (pengusaha kopitiam) memohon untuk mendapatkannya.

“Sehingga kini, permohonannya ada tapi kurang iaitu kurang daripada 10 peratus sahaja yang memohon sijil halal daripada JAIS atau Jakim,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar kesedaran dan kepenggunaan halal Negeri Selangor di sini semalam.

Sumber: Kosmo

Rabu, Jun 29, 2011

Harga Ayam Naik RM1 Sekilo - Harga Ikan Turut Naik

Harga Ikan dikatakan naik sehingga sekali ganda berpunca daripada perubahan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ini berterusan, harga ikan dijangka tidak akan turun dalam masa dua minggu yang terdekat ini, begitulah komen para peniaga ikan ketika dihubungi baru-baru ini.

Apakah pula faktor kenaikan harga ayam di pasaran? Adakah berpunca daripada musim perayaan yang semakin hampir?

Harga Ayam Naik RM1 Sekilo, Harga Ikan Turut Naik

KUALA LUMPUR: Sejak dua minggu lalu, kebanyakan peniaga bahan keperluan di beberapa pasar mendakwa berlaku kenaikan harga terutama barangan mentah di pasar khususnya ikan dan ayam.

Tinjauan ke Pasar Chow Kit mendapati, harga ayam meningkat 50 sen hingga RM1 sekilogram yang dijual pada harga RM8 atau RM8.50 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram sebelum ini.

Malah, lebih mengejutkan harga ikan kembung yang dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat sehingga 100 peratus iaitu pada harga RM12 sekilogram sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Ali Mahmud, 28, berkata, kenaikan harga berlaku sejak dua minggu lalu dengan kenaikan 20 sen hingga RM6 menyebabkan peniaga menerima pelbagai rungutan daripada pembeli.

“Kami menerima barangan daripada pemborong. Jika mereka menaikkan harga kami terpaksa menjual pada harga tinggi walaupun kadang-kadang keuntungan sedikit.

“Peniaga dalam dilema kerana setiap hari terpaksa menerima rungutan daripada pembeli jika berlaku keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menaikkan harga ayam sesuka hati kerana sedia maklum bahan mentah berkenaan barangan kawalan.

Peniaga ikan yang mahu dikenali Hairi, 29, berkata minggu ini menyaksikan kenaikan beberapa jenis ikan seperti kembung, kerisi dan selar sehingga dua kali ganda daripada harga sebelum ini.

“Kekurangan bekalan ikan terutama kembung akibat keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan harganya naik mendadak dan ini kali kedua harga ikan naik.

“Kami tidak dapat menjangka harganya akan turun dalam masa terdekat kerana tidak menunjukkan ia akan kembali normal dan bergantung keadaan semasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Ahad, Januari 30, 2011

Beli Beg Plastik Setiap Sabtu

Jabatan Penerangan Malaysia
KPDNKK menjelaskan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikenakan kepada pengguna setiap Sabtu di seluruh negara adalah sempena Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik anjuran kementerian itu. Wang hasil pembelian beg plastik oleh pengguna itu akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan terpilih dibawah program "Tanggungjawab Sosial Korporat" & juga bagi pelaksanaan program-program berkaitan pemeliharaan alam sekitar.