BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Teladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teladan. Papar semua catatan

Isnin, Disember 10, 2018

Konsep Rezeki

Konsep Rezeki. - Amiene Rev

1. Kunci mendapatkan rezeki adalah usaha.

2. Tidak ada makhluk yang mampu menghalang rezeki seseorang jika seseorang itu berusaha.

3. Jika seseorang sangka mereka boleh menyekat rezeki seseorang dia silap sama sekali, kerana Tuhan akan menyalurkan rezeki itu melalui usaha yang lain.

4. Orang yang menyekat rezeki orang lain cuma mendapat dosa dan kerugian besar kerana rezeki orang lain sama sekali tidak dapat disekat.

5. Teruskan berusaha untuk mendapat rezekimu kerana tidak ada sesiapa pun mampu menghalang rezeki yang telah dijanjikan Tuhan kepadamu. Cuma cepat atau lambat, bergantung kepada cara kamu berusaha.

6. Janji Tuhan adalah janji yang paling berkuasa di alam semesta, tidak ada satu kuasa pun mampu memusnahkan janji Tuhan kepadamu.

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikan disimpan Allah Ta'ala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezki di dunia berhubung dengan taatnya".

(Riwayat Muslim)

Galakan mencari rezeki yang halal

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

 “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”

(Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)

Daripada Abu Zar r.a , Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t mengasihi hambaNya Mukmin yang berusaha (mempunyai pekerjaaan)".

(Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Daripada Abu Zar r.a Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya Allah s.w.t suka melihat hambaNya berusaha dengan berpenat lelah mencari rezeki yang halal".

(Hadith Riwayat al-Dailami)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang sentiasa beristigfar Allah akan memberikan pelepasan daripada setiap kesusahannya, memberikannya jalan penyelesaian kepada setiap kesempitannya dan Dia akan memberikannya rezeki dari punca-punca yang dia tidak pernah menyangkannya."

(Riwayat Abu Dawud, al-Nasa'i, Ibn Majah dan lain-lain)

Selasa, Mei 22, 2012

Keburukan Ketawa - Punca Hati Degil

Banyak ketawa bazir masa, dorong hati jadi degil
Disediakan oleh Berita Harian

Gurauan keterlaluan dilarang kerana syaitan sentiasa cari ruang ketika manusia terleka

ISLAM mengajar umatnya berpijak di bumi nyata dan mengetepikan segala khayalan yang merugikan. Mereka dianjurkan berinteraksi dan menganggap manusia sebagai manusia biasa, bukan malaikat yang sentiasa berzikir serta bertasbih sepanjang masa. Oleh itu, sudah pasti segala pertuturan mereka bukanlah semata-mata zikir atau sepanjang masa mendengar al-Quran, diam bertafakur dan beriktikaf di masjid. Sebagai manusia, segala-galanya akan bersalut kegembiraan dan gelak tawa seperti mana mereka memerlukan makanan dan minuman. Baginda SAW adalah rujukan dalam kehidupan kerana Baginda memperbanyakkan solat sehingga bengkak kakinya. Baginda suka kepada makanan yang sihat, sentiasa mengukir senyuman, bergurau bersama kanak-kanak dan sesiapa saja tanpa mengira darjat atau keturunan mereka.

Abu Hurairah menyapa Baginda SAW lalu berkata: “Engkau bergurau wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya wahai sahabatku akan tetapi semuanya dalam ucapan yang benar semata-mata.”

Ini menunjukkan gurauan adalah diharuskan tetapi apa yang kita lihat hari ini jauh daripada kebenaran malah terkadang sehingga mengaib dan menghina orang lain serta mencipta bibit permusuhan antara sesama manusia.

Gurauan yang sampai ke peringkat menghina sesuatu kaum lain adalah tidak dibenarkan dalam Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum lain kerana mungkin mereka adalah lebih baik dari kamu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 11)

Gelak tawa dan gurau senda diharuskan Islam selama mana ia tidak menyinggung perasaan orang lain. Malah ia dianggap penyeri dalam kehidupan bagi menceriakan suasana yang dingin dan membosankan.

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya hati akan merasa jemu dan bosan seperti mana badan merasa letih dan lesu, oleh itu rehatkanlah mereka dengan hikmah dan kebijaksanaan. Berikanlah ruang untuknya bagi mengembalikan keceriaan.” (Halal dan Haram dalam Islam – DrYusuf Qardhawi)

Diceritakan olah Malik Bin Dinar, ramai ilmuwan terdahulu, apabila telah lama membicarakan mengenai ilmiah dan pendengar menjadi jemu, maka di selang dengan cerita sampingan yang melucukan supaya telinga dan hati mendapat tenaga semula.

Ulama A’ta Bin Yasar menangis ketika berbicara bersama sahabatnya dan terkadang beliau menangis dan berkata: “Sesekali begini dan sesekali begitu.” Begitu juga apa yang berlaku kepada tabiin bernama Said Bin Jubair ketika berbicara bersama murid-muridnya.

Bagaimanapun, gurauan yang keterlaluan dilarang sama sekali kerana syaitan sentiasa mencari ruang ketika manusia terleka. Baginda SAW melarang gelak tawa dan gurauan yang keterlaluan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya banyak ketawa itu akan mematikan hati dan jika bersantai untuk satu ketika dan ketawa, ia adalah umpama garam yang menyedapkan makanan.” (Alhadis)

Hari ini, lawak jenaka dianggap satu seni yang dipentaskan malah menjadi pendapatan sesetengah pihak bagi menyambung kehidupan. Mereka menjadikan program lawak sebagai darah daging dan sentiasa memikirkan bagaimana mencipta sesuatu untuk diketawakan.

Malah, ada yang berbangga dipanggil Raja Lawak. Hadis menyebut, Baginda Nabi SAW mengingatkan kita berhati-hati supaya apa yang dibicarakan tidak terpalit dengan pendustaan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Celakalah mereka yang berbicara untuk diketawakan orang ramai sedangkan apa yang dibicarakan adalah dusta semata-mata.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Saidina Umar mengingatkan semua pekerjanya supaya tidak keterlaluan dalam gurau senda yang boleh mencalarkan maruah dan menyakitkan hati orang lain. Ali menyebut, Baginda SAW bersabda: “Bersenda yang keterlaluan adalah dorongan nafsu dan akan mendapat bantuan daripada syaitan.”

Imam Nawawi menukilkan: “Gurau senda dan lawak jenaka yang dilarang adalah gurauan yang berpanjangan serta boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT kerana ia mendorong kepada kedegilan hati dan pembaziran masa. Boleh mewarisi kedengkian dan mengurangkan penghormatan orang lain. Jika apa yang disendakan itu bebas daripada perkara di atas, maka ia diharuskan dan sunnah yang diharuskan serta ia bersifat suatu waktu saja.” (Al-Azkar Lil Imam Nawawi)

Sahabat bernama Hanzalah ketika berbicara bersama Abu Bakar mengatakan Baginda SAW telah banyak menceritakan kepada kita mengenai syurga dan neraka, tetapi apabila pulang ke rumah aku bersenda dengan anak dan keluarga seolah-olah aku lupa apa yang diceritakan Baginda SAW.

Abu Bakar menjawab: Aku juga demikian. Lalu mereka bergegas ke rumah Baginda SAW dan Hanzalah menyapa Baginda SAW lalu berkata: Aku telah munafik wahai Rasulullah. Setelah diceritakan apa yang berlaku, Baginda SAW menjawab dengan maksud: Wahai Hanzalah, demi diriku di bawah kekuasaan-Nya, jika kamu sentiasa mengingatinya (Allah) nescaya kamu akan ditemani para Malaikat, tetap wahai Hanzalah, gurauan adalah suatu waktu saja dan tidak menjadi kesalahan.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW juga pernah menghadapi peristiwa lucu di mana Baginda pernah berkata kepada Suhaib: “Apakah kamu memakan kurma sedangkan kamu sakit mata? Lalu jawab Suhaib: Tidak wahai Rasulullah, aku hanya makan sebelah saja.” Baginda SAW tersenyum sehingga terserlah gusinya. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Baginda juga pernah bergurau apabila didatangi seorang tua dengan menyebut: “Sesungguhnya syurga tidak akan dihuni oleh orang tua. Maka berlalulah orang itu dalam keadaan sedih apabila mendengar ucapan Baginda SAW. Baginda SAW bersabda: Khabarkanlah padanya bahawa dia akan masuk syurga tetapi dalam usia yang sangat remaja. Baginda membacakan firman Allah SWT: “Kami ciptakan mereka di sana (syurga) dalam keadaan muda remaja yang sebaya umurnya untuk golongan kanan saja.” (Surah Al-Waqiah, 34-35)

Kehidupan ini mestilah diceriakan dengan pelbagai suasana seperti gurau senda dan lawak jenaka. Jenaka yang tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak adalah diharuskan. Gelak ketawa juga boleh dijadikan satu cara terapi yang menyihatkan. Ia dinamakan ‘Laughter Yoga’.

Sasterawan Perancis, Victor Borge berkata, ketawa akan lebih mendekatkan jurang antara dua insan dan seorang karyawan Denmark berkata, mereka yang dapat memberi ruang ketawa pada orang lain adalah orang yang amat bertuah.

Jumaat, September 11, 2009

Ruginya Orang Yang Berhasad Dengki dan Menghasut Serta Menceritakan Keburukan Orang Lain

Salah satu tanda-tanda orang yang berhasad dengki ialah suka membuka keburukan orang lain dan menyebarkannya secara nyata. Orang yang menganiaya orang lain (mencari dan membuka keburukan orang yang didengkinya) sukar mendapat keampunan, dan mudah sekali dimasukkan ke dalam neraka. Mencerita keburukan orang lain adalah termasuk dalam perbuatan menghasut.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

CONTOH SITUASI DI ATAS: Minah Kepoh, suka menceritakan keburukan Sarah. Tidak cukup dengan itu, dia mencari-cari pula bukti untuk membuktikan keburukan Sarah.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."


Antara nikmat-nikmat yang dapat dinikmati ole manusia termasuklah kekayaan, populariti, pangkat, kebahagiaan, kesihatan, fizikal yang menarik, bakat dan kebolehan luar biasa dalam satu-satu perkara.


Orang atau Wartawan Yang Mendedahkan Keburukan Orang Lain Adalah Penghasut

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"


Pekerjaan wartawan berisiko besar untuk membawa seseorang wartawan itu ke neraka. Ini kerana ada beberapa cabang kewartawanan yang melibatkan gosip, menceritakan tentang perkara-perkara yang melibatkan keaiban orang lain yang boleh menjadikan punca seseorang wartawan atau pemberita itu terjerumus ke neraka dengan mudahnya. Adalah sungguh menjelekkan apabila seseorang manusia itu mencari makan dengan upah membuka keaiban atau mendedahkan keburukan orang lain.

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasut orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasut terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Jadi, daripada kita menceritakan atau mendedahkan keburukan orang lain, lebih baik jika secara sulit atau peribadi menemui orang itu untuk menegur atau menasihatinya.

Sabda junjungan Agung kita semua umat Islam Baginda Rasulullah s.a.w: Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat.

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya daripada Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagaimana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah daripada Abbad bin Ishaq daripada Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorang pun iaitu:
  • Buruk sangka
  • Hasad dengki
  • Takut sial kerana sesuatu
Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut daripada sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Biadab Terhadap Allah
Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Jika kamu mendengar suara burung maka bacalah: "Allahumma la thoira illa thairuka walaa ilaha ghoiruka walaa haula walaa quwwata illa billahi." (Yang bermaksud): "Ya Allah, tidak ada burung kecuali burungMu dan tidak ada kebaikan kecuali daripadaMu dan tiada Tuhan kecuali Engkau dan tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah." Dan teruskan maksudmu, maka tidak akan ada sesuatu yang berbahaya bagimu. Bi idz nillah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jangan benci membenci dan jangan hasut menghasut dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya: "Hai anak, hati-hatilah daripada hasut, dengki kerana ia akan nyata kepada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata kepada musuhmu."

Abul Laits berkata: "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasut, sebab penghasut itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasut iaitu:
  • Risau hati yang tak putus-putus
  • Bala yang tidak berpahala
  • Tercela yang tidak baik
  • Dimurka Allah S.W.T
  • Tertutup padanya pintu taufiq

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Yang Memusuhi Nikmat Allah
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata: "Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasut menghasut." Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:
  • Pemerintah kerana zalim
  • Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)
  • Kepala desa kerana sombong
  • Pedagang kerana kianat
  • Orang dusun kerana kebodohan
  • Ahli ilmu kerana hasut
Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasut satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasut menghasut antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi): "Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi." (Yang bermaksud): "Ataukah mereka hasut pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."

Hasut dan Iri Hati - Dosa Pertama Di Langit
Seorang cendekiawan berkata: "Awaslah dari hasut (iri hati) sebab hasut itu pertama-tama dosa di langit dan juga pertama dosa yang terjadi di bumi. Iblis laknatullah diperintah sujud pada Nabi Adam a.s. akan tetapi oleh kerana ia irihati (hasut) sehingga menolak perintah Allah s.w.t. dan dia dikutuk oleh Allah s.w.t. dan juga Qabil membunuh Habil kerana irihati, hasut sebagaimana tersebut didalam ayat (yang berbunyi: "Watlu alaihim naba'abnai Adama bilhaqqi idz qorrabaa qurbana, qaala la aqtulannaka qaala innama yataqabbalullahu minal muttaqien." (Yang bermaksud): "Bacakanlah berita kedua putera Adam ketika sama-sama mengajukan korbannya, maka diterima yang satu dan ditolak yang lain, lalu ia berkata: "Saya akan membunuh engkau." Jawabnya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa."

Al-Ahnaf bin Qays berkata: "Orang hasut tidak dapat senang dan orang bakhil tidak berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang kianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).

Seorang hakiem (cendekiawan) berkata: "Belum pernah saya melihat seseorang zalim menyerupai orang yang dianiaya daripada penghasut."

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasut orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasut terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:
  • Orang yang makan haram
  • Orang yang suka membicarakan kejelekkan orang
  • Siapa yang di dalam hatinya ada hasut iri hati terhadap kaum muslimin
Ibn Syihab (Azzubri) dari Salim dari ayahnya (Ibn Umar) r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidak boleh seorang hasut kecuali dalam dua macam iaitu:

Seorang yang diberikan Allah s.w.t. kepandaian dalam Al-Quran maka digunakan siang malam (diamalkan)
Seseorang yang diberikan Allah s.w.t. kekayaan maka ia bersedekah siang malam.

Abul Laits berkata: "Yakni rajin sesungguh-sungguhnya ingin meniru perbuatan itu dalam ilmu dan kekayaannya, maka ini adalah baik. Maka jika ia ingin berubah orang yang baik itu maka ia jahat kerana Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Wala tatamannau maa fadhdhalallhu ba'dhakum ala ba'dhin." (Yang bermaksud): "Jangan menginginkan apa yang diberikan Allah sebagai kurnia kepada setengahmu atas yang lain."

Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): " Was'alullaha min fadh lihi." (Yang bermaksud): "Kami sendiri minta kepada Allah dari kurniaNya."

Maka kewajipan tiap muslim membersihkan daripada hasut sebab hasut itu menentang hukum Allah s.w.t. dan ketentuan kurnia yang diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba yang diredhai-Nya.

Al-alaa' bin Abdurrahman daripada ayahnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kewajipan seorang muslim terhadap sesama muslim?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Hak kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam iaitu:
  • Jika bertemu harus diberi salam
  • Jika mengundang harus didatangi
  • Jika diminta nasihat harus ditunjukkan yang benar (dinasihati)
  • Jika bersin dan mebaca Alhamdulillah harus didoakan dengan berdoa Yarhamukallah
  • Jika sakit harus diziarah
  • Jika mati harus dihantar jenazahnya
Abul Laits meriwayatkan dengan sanandnya daripada Anas bin Malik r.a. berkata: "Saya telah menjadi pelayan Nabi Muhammad s.a.w. sejak berumur lapan tahun dan pertama yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaku: "Ya Anas, tetapkan wudukmu untuk sembahyang supaya dicinta oleh Malaikat yang menjagamu, dan ditambah umurmu. Ya Anas, mandilah daripada janabat dan sempurnakan di dalam mandi itu sebab di bawah tiap helai rambut ada janabat."

Saya bertanya: "Bagaimana menyempurnakannya?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Puaskan sampai ke dalam rambut-rambutmu dan bersihkan benar kulitmu, supaya engkau keluar dari tempat mandi sudah diampunkan dosa-dosamu. Ya Anas, jangan engkau tinggalkan sembahyang dhuha sebab itu sembahyangnya orang-orang awwaabiin (yang taubat kembali kepada Allah s.w.t.) dan perbanyakkan sembahyang malam dan siang sebab selama engkau sembahyang maka Malaikat mendoakan untukmu. Hai Anas, jika engkau berdiri sembahyang maka tegakkan dirimu di hadapan Allah s.w.t. dan jika rukuk maka letakkan kedua tapak tangan di lututmu dan renggangkan jari-jarimu dan renggangkan kedua lenganmu dari pinggangmu, dan bila bangun dari rukuk maka tegakkan sehingga kembali semua anggota di tempatnya, dan jika sujud maka letakkan wajahmu di tanah dan jangan sebagai burung yang mencucuk makanan dan jangan kau hamparkan kedua-dua lenganmu sebagaimana pelanduk, dan jika duduk di antara dua sujud maka jangan sebagaimana duduk anjing dan letakkan kedua bokongmu di antara dua kaki dan letakkan bahagian atas tapak kaki di tanah sebab Allah s.w.t. tidak melihat sembahyang yang tidak sempurna rukuk sujudnya. Dan jika dapat engkau tetap berwuduk siang malam maka kerjakanlah, sebab jika tiba mati kepadamu engkau sedang berwuduk, maka engkau tidak luput dari mati syahid. Hai Anas, jika engkau masuk ke rumahmu maka berilah salam kepada keluargamu, supaya banyak berkat rumahmu dan jika engkau keluar untuk hajat maka beria salam pada tiap muslim yang bertemu kepadamu supaya masuk manisnya iman dalam hatimu, dan kila terkena dosa ketika keluar maka akan kembali sudah diampunkan dosamu. Hai Anas, jangan sampai pada waktu siang dan malam engkau mendendam dengki kepada seorang muslim sebab itu daripada ajaranku maka siapa yang mengikuti ajaranku bererti cinta kepadaku dan siapa yang cinta kepadaku maka ia bersamaku di syurga. Hai Anas, jika engkau melakukan dan mengingati wasiatku ini, maka tidak ada sesuatu yang lebih suka daripada maut sebab di situlah istirehatmu."

Di dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini dinyatakan bahawa membersihkan hati daripada dengki dan hasut kepada seseorang muslim termasuk Sunnaturrasul yang menjadi tanda cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi siapa yang melakukannya, bahkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. siyurga. Maka wajib tiap muslim membersihkan hatinya daripada rasa dengki dan hasut sebab termasuk amal yang utama.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas r.a. berkata: "Ketika kami di masjid bersama Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ""Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua-dua kasutnya dengan tangan kirinya."

Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dan sesudah memberi salam ia duduk bersama kami. Kemudian pada esok harinya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula dan masuk kembali orang itu seperti keadaan kelmarin dan hari ketiga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, juga sama seperti hari pertama dan kedua, dan ketika orang itu bangun untuk kembali diikuti oleh Abudullah bin Amr Al-ash dn berkata kepada orang itu: "Telah terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan masuk ke rumah selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam di rumahmu selama itu?"

Jawabnya: "Baiklah." Anas berkata: "Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam di rumah orang itu dan ternyata bahawa orang itu tidak bangun malam, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk dan tidak puasa sunat.

Demikian saya perhatikan kelakuannya sampai tiga hari tiga malam, tidak lebih dari itu dan hanya saja ia tidak berkata-kata kecuali yang baik-baik. Dan setelah tiga malam saya merasa bahawa ia tidak mempunyai amal yang berlebihan dan saya kata kepadanya: "Sebenarnya antara aku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda di dalam tiga majlis: "Akan tiba kepadamu seorang ahli syurga." tiba-tiba engkau datang dan kerana itu saya ingin mengetahui amalmu, maka saya berusaha bermalam di rumahmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan, maka apa yang kiranya menyebabkan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian?"

Jawabnya: "Tidak lain melainkan apa yang sudah engkau lihat itu."

Maka pergilah aku, tetapi lalu dipanggil olehnya dan berkata: "Amalku tidak lebih melainkan apa yang engkau saksikan itu, cuma saja saya tidak iri hati atau dengki kepada seseorang muslim terhadap segala yang ia dapat."

Maka saya katakan: "Inilah yang menyampaikan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian itu dan itulah yang tidak dapat kami lakukan."

Seorang cendekiawan berkata: "Orang hasut telah menentang Allah s.w.t. dengan lima hal iaitu:
  • Kerana ia membenci nikmat Allah s.w.t. terhadap orang lain
  • Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah ia berkata: "Mengapa Engkau membagi begini?"
  • Ia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.
  • Dia menghina waliyullah sebab ia ingin tercabut nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya
  • Dia membantu kepada iblis laknatullah
Orang yang hasut tidak memperolehi dalam pergaulan kecuali hina dan kerendahan dan daripada Malaikat kecuali laknat (kutukan) dan benci, dan jika sendirian hanya kerisauan dan duka dan ketika nazak (sakartul maut) hanya kesukaran, keberatan dan ketakutan dan pada hari kiamat kecuali malu dan seksa, kemudian dalam neraka tempat bakarannya."

Oleh itu janganlah anda ada rasa dengki atau iri hati terhadap kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan, populariti, pangkat, kemewahan, kecantikan rupa paras, bakat dan kebolehan luar biasa yang ada pada diri orang lain.

Khamis, Januari 03, 2008

Tips Menghadapi Penulis Sombong - Antara Racun Pembunuh Dan Penawar Mustajab

Dalam dunia ini, manusia yang popular selalu akan dimangsai media dan orang awam. Sudah terbukti, manusia secara kebiasaannya akan cuba untuk mendekati manusia-manusia yang popular. Pembawaannya, perwatakannya dan kata-katanya pasti menjadi tumpuan.

Saya belum popular dalam dunia penulisan. Pernah juga suatu ketika dahulu apabila karya-karya saya disiarkan di dalam majalah, datang kawan-kawan saya yang mahu menumpang populariti tersebut. Kenapa tak letak nama kursus kita sekali? Kenapa tak letak nama saya sekali? Perbuatan jelik ini saya 'terima' dengan senyuman pahit. Nampaknya mereka berkawan dengan saya, cuma kerana populariti saya. Mereka menumpang, tetapi tidak mahu berusaha.

Bagi saya, sekiranya saya mendekati seseorang yang popular atau berjaya, adalah kerana saya ingin menuntut ilmu daripadanya. Hubungan ini antara seorang yang ingin belajar dengan seorang yang telah berjaya atau berpengalaman. Saya tidak suka berkawan dengan seseorang itu kerana dia popular. Saya berkawan dengan seseorang itu kerana ada ilmu yang boleh dipelajari.

Begitu juga, saya lebih suka apabila manusia mendekati saya sebagai manusia yang serba kekurangan, seorang manusia biasa, dan bukan seorang penulis. Saya benci apabila orang berkata, "Amiene tu seorang penyajak, dia kawan saya." Sedangkan dia tidak pernah menyokong atau meminati apa-apa perkara berkaitan dengan bidang penulisan. Orang luar yang cuma menumpang populariti seseorang. Tidak cukup dengan itu, dia lontarkan pula puji-pujian, padahal kalau minta dia sebutkan apa-apa karya yang pernah saya tulis, dia tidak pernah ambil tahu. Sikap seperti ini sungguh menjijikkan.

Saya cukup benci dengan puji-pujian. Dahulu saya cukup marah apabila orang memuji saya dan kebiasaannya saya akan memarahi orang yang memuji saya. Kemudian, saya perlahan-lahan berfikir secara rasional, kenapa perlu marah apabila ada orang memuji saya. Barangkali mereka benar-benar terhibur dengan sajak-sajak saya. Barangkali dia betul-betul suka dengan cerpen-cerpen saya. Barangkali dia benar-benar kagum dengan hasil lukisan tangan dan seni digital saya. Barangkali dia benar-benar tidak dapat untuk menyaingi kepantasan dan kehebatan saya dalam arena sukan.

Dalam kamus hidup saya tidak pernah ada perkataan sempurna. Setiap masa saya mengejar kesempurnaan yang tidak pernah wujud bagi manusia seperti saya. Oleh itu yang paling saya suka ialah pendapat orang ramai, pendapat yang boleh membantu untuk meningkatkan lagi kebolehan saya.

Bagi saya kritikan tanpa tunjuk ajar adalah sampah. Jika tahu mengkritik, maka mesti tahu mencari sebabnya. Kritikan mesti disertakan dengan sebab-sebab dan cara-cara penyelesaian atau sekurang-kurangnya cadangan yang relevan. Saya menghindari perbuatan borak di internet sebab saya rasakan itu tidak berguna. Namun apabila berborak saya lebih suka bercakap mengenai perkara-perkara yang bermakna. Ada masalah dan penyelesaian. Kaunseling. Selain dari itu, jika ada orang mengajak saya bercakap sesuatu yang tidak bermakna, saya lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris. Tujuan saya, adalah untuk meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Inggeris. Berkomunikasi untuk kaunseling, berkomunkasi untuk penyelesaian masalah, berkomunikasi untuk mengambil berat, berkomunikasi untuk meningkatkan kemahiran, berkomunikasi untuk belajar dan sebagainya.

Jika ada sesiapa yang pernah berkenalan dengan saya di ruang internet, pasti akan melalui salah satu jenis komunikasi di atas. Selalunya dengan golongan yang lebih muda, saya akan menggunakan pendekatan berkomunikasi untuk mengambil berat. Sesuatu yang merisaukan saya mengenai mereka, seperti masalah pembelajaran, masalah cita-cita, masalah peribadi dan sebagainya. Pernah satu ketika saya terlibat dalam sesi diskusi masalah peribadi untuk tiga orang remaja, pada masa yang hampir serentak. Dua daripada mereka menghubungi saya secara peribadi dan seorang lagi pula melontarkan pertanyaan secara umum dan mahukan jawapan daripada sesiapa yang boleh membantu. Kerana tertarik dengan masalah yang diutarakannya, maka saya menghubunginya. Hasilnya, ketiga-tiga orang itu berjaya melalui perbincangan yang menarik. Inilah cara saya berkomunikasi. Saya tidak suka perkara bercakap perkara yang sia-sia. Jika ada masalah, luahan perasaan dan sebagainya, selalunya saya akan mendengar dan berbincang dengan mereka. Saya tidak memberikan penyelesaian, saya biar orang yang bermasalah itu memutuskan keputusannya.

Pendirian saya, setiap keputusan hanya boleh dibuat apabila ada fakta, pengalaman dan pengetahuan yang relevan. Saya cuma memberikan panduan yang saya ketahui, saya pelajari sepanjang hidup saya yang lalu, dan merekalah yang memutuskan, jalan mana yang mereka hendak ikuti. Terlalu banyak rahsia yang telah saya simpan setakat ini. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi peluang kepada saya untuk menghadapi masalah seperti ini.

Dengan tujuan yang sama, saya menghubungi penulis-penulis dan pengkarya di alam maya. Matlamat saya untuk menimba ilmu. Saya jenis mudah mesra walaupun secara penglihatan kasarnya, orang akan menganggap saya sebagai seorang yang pendiam atau dingin. Saya jenis yang sukar menunjukkan kemesraan tetapi tidak ramai yang dapat menjangka dalam keadaan seperti itu saya sering mengambil berat hal-hal persekitaran saya, kawan-kawan saya. Mereka juga barangkali tidak tahu saya melakukan sesuatu untuk mereka dalam diam-diam. Ini tabiat saya. Mungkin kerana sikap ini jugalah saya dapati ramai orang mudah terpikat dengan saya. Mereka selalu berkata saya ini bagaikan adik, bagaikan abang, bagaikan anak mereka. Dan tanpa disedari wujud hubungan kekeluargaan yang tidak sah. Apabila saya terpaksa meninggalkan mereka, mereka akan berlinangan air mata. Saya sukar untuk menunjukkan perasaan sebenar saya. Saya selalu rasa saya berlaku zalim kerana tidak menunjukkan rasa sayang saya kepada mereka, namun saya bagai tidak percaya apabila mendapati perasaan itu sampai kepada mereka. Benarlah, persahabatan atau kasih sayang itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasai. Saya memanggilnya sebagai
inner friendship.

Inilah yang selalu kawan-kawan saya katakan pada diri saya. Seorang yang tidak suka dikenali, tetapi cuma mahu namanya sahaja dikenali. Seseorang yang tidak suka menonjolkan diri, tetapi cuma mahu suaranya, pendapatnya sahaja didengari. Inilah saya, Amiene Rev.

Pun begitu, apabila mereka mahu bersahabat dengan saya, maka bersahabatlah dengan ikhlas. Bersahabat kerana saya adalah diri saya. Bukan kerana populariti saya. Saya tidak pernah suka memegang apa-apa jawatan penting yang menunjukkan kuasa dan kemegahan. Namun kadangkala saya terpaksa kerana tidak ada jalan lain untuk menjayakan sesuatu perkara. Apabila orang mahu mencalonkan saya sebagai Yang Berhormat di kampus, saya menolak biarpun ramai yang berpandangan bahawa saya mudah mendapat sokongan daripada pelajar berbangsa Cina dan India di kampus. Pun begitu, saya tetap tidak suka berpolitik. Saya melibatkan diri dalam organisasi kerana ada matlamat yang saya perlu capai. Matlamat yang akan memudahkan orang ramai, menjaga kebajikan orang awam dan orang susah. Itu sahaja. Saya tidak senang melihat kesusahan orang lain. Hati saya sentiasa bertanya, kenapa orang susah dibiarkan susah, dan orang senang dan popular kebanyakannya menyombongkan diri?

Ramai yang tersalah anggap saya ini seorang wakil pelajar apabila membuat sesuatu perkara yang sangat besar. Tidak, saya bukan wakil pelajar. Saya cuma menyumbang kebolehan terpendam saya supaya dapat membantu orang ramai kerana saya lihat tidak ada seorang pun wakil pelajar yang berbuat demikian. Saya juga tidak sangka populariti saya mengatasi wakil-wakil pelajar yang rasmi. Saya bukannya mahu bersaing dengan mereka, saya cuma Amiene Rev yang melakukan perkara yang saya rasakan benar dan patut dilakukan. Alhamdulillah, segala-galanya berhasil. Ada sesuatu yang dapat saya pelajari.

Kadangkala saya kecewa dengan sikap sesetengah penulis yang dahulunya berbudi bahasa, kini sudah pandai menggunakan kata-kata kesat. Kalau dulu dia selalu menjenguk-jenguk ke blog untuk bertegur sapa, kini dia sudah mula menyombongkan diri. Bak kata, sudah popular, sudah kaya dengan royalti, maka segala masalah orang lain dianggap remeh-temeh. Leceh. Dahulu, bukan main dengan sokongan moralnya, dengan kata-kata semangatnya, dengan merendah dirinya. Sekarang ada yang berani dengan lontaran menghina, kata-kata keras dan sindiran.

Dunia begitu mudah berubah bukan? Atau, manusiakah yang berubah? Atau ketika itu dia sedang datang bulan? Jika wanita, itu boleh mendatangkan rasa logik, tetapi jika lelaki apa pula ceritanya?

Adakah saya juga begitu apabila sudah benar-benar popular nanti? Dalam hati saya ketika ini cuma ada beberapa orang yang saya sanjung. Kak Aina Emir, Puan Ainon, Bibi AminBakish, En. Martias dan lain-lain yang dikenali menerusi internet, juga beberapa orang lagi yang sahabat yang pernah saya temui di dunia nyata. Pelbagai bangsa dan agama. Apabila saya menyatakan hasrat untuk meningkatkan kemahiran Berbahasa Inggeris, dia dengan sukarela datang menawarkan diri untuk membantu saya. Ada juga kawan yang setiap tahun tidak lupa bertanya khabar dan memberi semangat terhadap diri saya. Alhamdulillah, dunia ini memang tidak sunyi dengan kata-kata mereka.

Kata-kata semangat, dan kritikan membina (tunjur ajar). Dua perkara inilah yang saya perlukan dalam hidup saya. Bukan puji-pujian yang memabukkan, seperti racun yang berbisa. Bukan juga kritikan atau kutukan yang tidak berguna seperti sampah.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang setia membantu. Kadang-kadang kita lemah dan tidak ada sesiapa tahu masalah kita. Kalau kita berdiam diri, maka kita akan sentiasa rasa kita akan dalam kesunyian, maka kita perlu mencari teman-teman yang dapat memberi tunjuk ajar dan panduan supaya kita tahu dalam dunia ini akan sentiasa ada orang yang menyayangi kita, memberi perhatian kepada diri kita dan dapat membimbing kita.

Jangan mudah berkata, dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun yang mahu mengambil tahu hal aku. Jika kita tidak luahkan kesunyian kita, masalah kita kepada sesiapa, maka bagaimana kita begitu mudah mengesahkan bahawa di dunia ini, kita cuma bertemankan kesunyian?

Orang tidak akan tahu kita ada masalah jika kita tidak memberitahu mereka. Kebanyakan orang menunggu sehingga masalah itu meletup (memberontak dan sebagainya), baru hendak mencari penawar. Ini tindakan silap. Jika kita bermasalah, maka carilah orang yang boleh dipercayai untuk membantu.

Begitu juga dengan tekanan. Menulis blog dianggap sebagai suatu terapi. Kita menulis blog, dan melihat orang ramai mengunjungi blog kita, memberi kata-kata semangat kepada kita. Pun begitu, bagaimana pula dengan blog yang penuh dengan luahan emosi tetapi tidak ada satu pun komen kata-kata semangat yang tersangkut? Aduhai, saudara-saudaraku, berusaha itu satu perbuatan yang mulia. Ada usaha yang mudah, ada pula yang perlu mengharungi pelbagai rintangan. Ada orang yang rezekinya mudah, ada pula orang yang rezekinya susah.

Ada orang yang jalan hidupnya mudah. Dia bebas mengatur hidupnya sendiri tanpa ada paksaan atau terikat dengan orang lain. Ada orang yang ibu bapanya bertimbang rasa, ada pula yang ibu bapanya mengongkong, dan lebih teruk, mendera. Ada orang yang dapat apa yang mudah dia mahukan, ada pula yang susah benar hendak memperolehi apa yang dia suka. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan hidup manusia sentiasa unik. Apabila seseorang yang popular atau telah berjaya itu melupakan faktor-faktor ini, maka lahirlah perkataan sombong yang mencacatkan personaliti dirinya. Jangan ingat orang yang yang kaya itu sentiasa bahagia, dan jangan pula ingat orang yang tidak ada kelulusan universiti itu bernasib malang. Kadangkala yang sedang belajar di universiti itu lebih menderita. Kadangkala yang lebih miskin itu pula yang lebih bahagia. Dunia ini aneh?

Semoga rakan-rakan yang bermasalah, apabila membaca teks ini, ketahuilah, anda tidak kesunyian.

Saya Amiene Rev,
juga bergelar Savage Wind (Badai Liar),
akan sentiasa membisikkan kata-kata semangat kepada anda.
Ketika anda kesunyian,
ketika anda di dalam kesedihan,
maka dengarlah suara angin,
rasailah sentuhan badai...
saya sentiasa mendengar suara kesunyianmu.
Dan anda tidak sunyi.
Teruskan perjuanganmu...
dan lihatlah di langit,
maka anda akan merasai,
ada Sesuatu Yang Sangat Berkuasa,
sedang memerhatikan diri anda dengan penuh kasih sayang,
penuh pengampunan...

Itulah Dia...
Tuhan anda, dan Tuhan saya...

Khamis, Julai 26, 2007

Syurga Tetap Di Bawah Tapak Kaki Ibu

Saya masih ingat satu kisah di Tanah Arab, mengenai seorang anak yang ingin pergi melanjutkan pelajaran di sebuah negeri yang jauh, tetapi tidak mendapat restu ibunya. Si anak walau bagaimana pun tetap berdegil dan tidak mengendahkan larangan ibunya yang sudah tua.

Pada suatu ketika, si anak itu sedang tekun mendalami ilmu agama di sebuah masjid, datanglah seorang pencuri berlari menyusup ke dalam masjid itu. Kebetulan mereka berpakaian hampir serupa. Si pencuri itu kemudiannya berlari keluar dari masjid itu mengikut arah yang lain.

Tiba-tiba datang sekumpulan orang, pengejar-pengejar pencuri, lalu menemui anak itu di dalam masjid. Anak itu ditangkap, dipotong kedua belah tangan dan kakinya, lantaran dituduh sebagai pencuri dan perompak.

Akhirnya, para penghukum tersedar mereka telah tersilap orang. Nasi sudah menjadi bubur, anak itu akhirnya dibawa pulang ke rumahnya. Ketika itu ibu tua yang sudah rabun matanya tidak lagi dapat mengenali si anak kerana rupanya seperti mengemis.

Si ibu menghulurkan sekeping roti untuk si anak yang disangkanya pengemis. Si anak yang masih mengecam ibunya lantas memanggil ibunya. Lalu, gentarlah hati si ibu melihat anaknya yang sudah menjadi cacat sedemikian rupa.

Si anak yang masih menderita kesakitan meminta ampun kepada ibunya, lalu dengan hati yang sedih, luka dan derita, si ibu mengampunkan si anaknya.

Lantaran tidak sanggup melihat si anak menanggung derita, serta memikirkan kesusahan yang bakal dihadapi, si ibu berdoa kepada Tuhan agar penderitaan mereka berdua ditamatkan. Lalu dicabut nyawa kedua-duanya.

Moral: Walau pun kita berniat untuk melakukan sesuatu perkara kebaikan, restu ibu itu tetap penting. Jika si ibu tidak redha, maka pasti kita akan ditimpa kecelakaan atau keaiban. Semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Amin.