BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Pandangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pandangan. Papar semua catatan

Rabu, Januari 02, 2013

Remaja Generasi Google Mati Otak - Hilang Kreativiti dan Kemahiran Praktikal

Remaja Generasi Google Mati Otak - Hilang Kreativiti dan Kemahiran Praktikal
Persepsi Amiene Rev

Berita yang dibaca pagi ini menunjukkan bahawa risiko teknologi seperti yang ditakuti oleh Albert Einstein, sememangya akan berlaku. Mungkin ramai di kalangan orang dewasa di Malaysia turut telah lama menyedari, betapa bahayanya teknologi apabila teknologi mula mempengaruhi gaya hidup manusia.

Teknologi maklumat dan komputer telah mempengaruhi kehidupan anak-anak remaja dan kanak-kanak pada hari ini, dan rata-rata mereka tidak memiliki kebolehan dan kemahiran untuk menggunakan tangan mereka untuk mencipta sesuatu yang baru.

Obesiti, merupakan satu masalah yang semakin meningkat. Kebanyakan remaja menghabiskan masa melayan gajet. Banyak masa diluangkan untuk 'menguruskan' gajet mereka. Tidak kira di rumah, atau pun di luar rumah. Dunia teknologi maklumat dan komputer menghasilkan ramai remaja yang pasif dan tidak pandai bergaul dengan masyarakat sekitar.

Luahan hati dalaman mereka lebih kuat. Mereka takut untuk menyuarakan sesuatu, tetapi mereka tidak takut dan malah tidak menapis dahulu dengan otak mereka, apa yang mereka mahu luahkan di internet. Jika dahulu, seorang dewasa, remaja atau kanak-kanak akan mengeluh seorang diri, mencarut atau memaki-hamun seorang diri, namun sekarang mereka telah terbiasa menaip semua itu di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Sikap seperti di atas, lama-lama menyebabkan terhakisnya nilai-nilai akhlak, rasa malu dan segan untuk berbuat perkara tidak sopan atau biadab. Golongan wanita pula cenderung melampiaskan nafsu seks mereka menerusi internet dengan memaparkan gambar-gambar yang memaparkan bentuk tubuh badan atau bahagian-bahagian sulit di badan mereka seperti buah dada, punggung, pusat, rambut dan lain-lain kepada umum. Satu bentuk kepuasan naluri seks muncul apabila mereka berjaya berbuat demikian.

Ketika orang Barat mengatakan golongan muda obses internet bakal mati otak, kita di sini sebenarnya telah lama melihat obses internet itu bakal melahirkan golongan yang mati hati. Mereka hilang panduan agama biarpun semua itu boleh dicari menerusi Google atau lain-lain enjin carian sumber di internet. Panduan sudah di depan mata, maklumat sudah di hujung jari tetapi mereka tetap tidak dapat mencari kebenaran. Itulah yang dipanggil buta otak dan buta hati.

Berikut adalah laporan daripada Agensi menerusi Berita Harian, mengenai bahaya obses internet terhadap pemikiran dan masa depan tamadun manusia:

Golongan muda obses internet bakal 'mati otak'
Disediakan oleh Berita Harian


London: Seorang pereka cipta terkenal United Kingdom memberi amaran bahawa 'generasi Google' yang bergantung dengan internet untuk semua perkara berkemungkinan 'mati otak.'

Trevor Baylis yang memperkenalkan radio permainan berkata, kanak-kanak kehilangan kreativiti dan kemahiran praktikal akibat menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin.

Pencipta berusia 75 tahun dari barat daya London di Twickenham berkata, beliau bimbang generasi pencipta akan datang bakal hilang kerana golongan muda sering gagal membuat apa saja dengan tangan mereka, lapor akhbar Daily Mail.

Mereka seharusnya menggunakan komputer ketika perlu, namun terlalu ramai orang bermain dengan komputer pada hari ini yang menghabiskan masa duduk di sana. Mereka terlalu bergantung dengan pencarian Google. Ramai kanak-kanak secara tidak langsung akan mati otak," Trevor Baylis, Pereka cipta

Katanya, kanak-kanak bakal menemui semula kemahiran penting jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti ‘Meccano’ iaitu sistem pembinaan model.

Perlu belajar kemahiran
“Kanak-kanak perlu diajar kemahiran dan bukan terlalu bergantung dengan telefon bimbit atau komputer.

“Mereka seharusnya menggunakan komputer ketika perlu, namun terlalu ramai orang bermain dengan komputer pada hari ini yang menghabiskan masa duduk di sana.

“Mereka terlalu bergantung dengan pencarian Google. Ramai kanak-kanak secara tidak langsung akan mati otak jika mereka terlalu bergantung dengan internet kerana mereka tidak berupaya melakukan sesuatu dengan cara lama,” kata Baylis. - Agensi

Rabu, Februari 08, 2012

Fahaman Hedonisme: Lambakan Pertandingan Hiburan Antara Punca Utama Pelajar Sekolah Tidak Minat Masuk Aliran Matematik dan Sains

FAHAMAN HEDONISME:
Lambakan Pertandingan Hiburan Antara Punca Utama Pelajar Sekolah Tidak Minat Masuk Aliran Matematik dan Sains
Penulis: Amiene Rev (C) 2012

Saya masih ingat kata-kata pensyarah saya. Semasa beliau berada di Amerika Syarikat, ternyata pelajar-pelajar di Amerika Syarikat lebih cenderung ke arah bidang hiburan dan muzik. Kelas-kelas kuliah bagi bidang Matematik, Sains dan Kejuruteraan pada masa itu ternyata didominasi oleh pelajar-pelajar dari Asia. Kini budaya dan fahaman hedonisme mula menular di Malaysia. Rata-rata muda-mudi di negara ini berpendapat, tidak perlu belajar Matematik dan Sains untuk hidup senang. Cuma perlu tahu menyanyi, berlawak dan menghiburkan orang, sudah boleh jadi kaya. Janji perlu kreatif dan tahu kehendak masyarakat, maka semua penghibur pun boleh hidup senang. Cuba lihat ganjaran dan hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang pertandinganh hiburan, semuanya bernilai lebih daripada empat digit, malah ada yang mencecah ke angka juta. Pengaruh pertandingan hiburan sebagai pencetus fahaman hedonisme di Malaysia memang kuat, sehingga ramai orang mula menyertai pertandingan berunsur hiburan. Tidak kira penganggur, pelajar universiti, golongan bekerja, suri rumah, malahan nenek turut beraksi di gelanggang pertandingan hiburan. Pertandingan berunsur hiburan seperti nyanyian kini dianggap sebagai pencetus inspirasi untuk berjuang. Berjuang dalam bidang hiburan, untuk meraih kesenangan atau kepuasan dalam kehidupan, atau kedua-duanya sekali.

Hedonisme menguasai pemikiran masyarakat Malaysia kini. Setiap bulan, setiap minggu, ada saja program-program berunsur hedonis. Bukan sahaja di pasaraya, kompleks membeli belah, malah juga di pentas universiti, sekolah dan juga tadika. Perkembangan fahaman hedonisme di Malaysia menyebabkan Matematik dan Sains yang menjadi teras pembangunan teknologi negara dianggap tidak lagi penting. Buat apa memenatkan otak, menebalkan kaca mata, menggugurkan helaian rambut untuk mempelajari konsep Sains dan Matematik yang menyakitkan otak kiri, jika dengan menyanyi sahaja pun sudah boleh jadi kaya, sudah boleh jadi popular, sudah boleh mengumpul peminat dan menjadi pusat tarikan.

Sokongan media massa dan elektronik terhadap perkembangan pemikiran hedonisme ternyata positif. Kerjasama dan sokongan antara media dan hedonisme bagaikan isi dengan kuku, saling lengkap-melengkapi, saling memberi keuntungan bagi kedua-dua pihak. Pihak media untung dengan menjual cerita tentang bintang-bintang hiburan, manakala rancangan-rancangan hiburan untung besar kerana dipromosikan oleh pihak media. Duit dan keuntungan mengalir masuk ke simpanan kedua-dua pihak, makin kaya, makin mewah, makin senang, maka makin hebat persembahan yang dapat dibuat.

Akhirnya, keyakinan sesetengah rakyat Malaysia mengenai betapa untungnya jika boleh menyanyi, bermain muzik berbanding betapa pentingnya Sains dan Matematik. Jika mahu menyambung pengajian dalam bidang Sains dan Matematik di universiti, mesti ada wang yang banyak, tetapi jika mahu masuk pertandingan hiburan atau akademi hiburan seperti rancangan realiti, pasti ada sponsor, tambahan lagi sudah boleh cepat popular, mengumpul peminat, dan lagi dapat duit yang banyak jika menang. Kemudian laku dalam industri hiburan, boleh jadi bintang filem, boleh jadi duta, dan boleh dijemput untuk menyaksikan konsert atau persembahan rancangan teleivisyen atau rancangan realiti tertentu secara percuma. Malah disanjung oleh para peminat, bagaikan dewa yang disembah manusia!

Bagaimana fahaman hedonisme berjaya menarik minat masyarakat kita? Pertama, menerusi rancangan realiti yang jelas memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama melibatkan diri, merasai dan mengalami sendiri keseronokan, kemanisan dan kenangan dalam dunia hiburan. Tidak kira sama ada sebagai peserta, atau penyokong, kesemua individu yang terlibat akan mendapat sentuhan emosi, kepuasan, perasaan berjuang, kesedihan, keseronokan, dan pelbagai jenis perasaan lagi yang menyebabkan mereka rasa begitu mesra dengan hiburan. Apa lagi dengan ganjaran-ganjaran lumayan sama ada berbentuk fizikal seperti wang tunai, kereta mewah, rumah banglo, unit kondominium atau berbentuk moral seperti populariti, disanjungi, diminati dan diangkat sebagai orang penting, menyebabkan betapa mudahnya fahaman hedonisme menyerap masuk ke lubuk jiwa rakyat Malaysia. Hedonisme dilihat sebagai satu bentuk pelarian daripada kesusahan mencapai kejayaan menerusi ilmu Sains dan Matematik yang dianggap abstrak dan mencabar imaginasi manusia. Hedonisme dianggap sebagai satu bentuk pujukan untuk setiap manusia yang gagal dalam menguasai Matematik dan Sains, serta satu cara untuk hidup senang dengan cara yang lebih mesra terhadap jeritan emosi dan kepuasan hidup, menjadi raja dan dihargai dari satu sudut yang luar biasa.

Rancangan realiti hiburan biasanya akan menampilkan harapan peserta, dengan latar belakang yang miskin, datang dari keluarga yang tidak bernasib baik, terabai, tetapi mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang seni, lalu mereka ini mencuba nasib, meraih simpati sama ada dengan sengaja atau pun tidak, dengan kisah sedih masa lampau, lalu berjaya menitiskan air mata simpat ribuan rakyat Malaysia. Dari satu sudut yang lain, perjuangan mereka, kesungguhan mereka untuk mengubah nasib hidup mereka berjaya memikat hati ratusan ribu rakyat Malaysia untuk bersimpati dan menjadikan mereka sebagai inspirasi, orang yang berjaya mengubah nasib. Terasnya, hedonisme. Terasnya budaya berhibur. Jika tidak pandai Sains dan Matematik, tidak dapat masuk ke universiti pun tidak apa asalkan memiliki kesungguhan untuk menjadi penghibur yang baik.

Apa yang dapat saya saksikan kini, bagaimana akibatnya apabila budaya hedonisme dibiarkan berleluasa, maka manusia kini tertarik pada dua perkara. Pertama, hiburan, dan yang kedua, wang. Menyedari betapa kroniknya minat pelajar kini terhadap Sains dan Matematik, maka ada organisasi yang mencadangkan agar setiap pelajar yang mengambil jurusan Sains dan Matematik diberikan elaun sebagai ganjaran. Budaya memberi ganjaran kini terpaksa ditegaskan, lantaran sukarnya untuk mewujudkan kesedaran para pelajar terhadap kepentingan Matematik dan Sains dalam kehidupan dan masa depan manusia. Sesetengah pelajar tidak lagi nampak betapa pentingnya Matematik dan Sains dalam membantu meneruskan kelangsungan tamadun manusia, kini, mereka lebih tertarik terhadap jaminan kesenangan hidup yang boleh diperolehi jauh lebih mudah melalui hiburan, khususnya pertandingan berunsurkan hiburan seperti rancangan realiti dan pertandingan nyanyian.

Bersediakah kita, rakyat Malaysia, berusaha untuk memerangi budaya dan fahaman hedonisme yang menular di Malaysia? Bagaimana masa depan Malaysia, sekitar 10 tahun lagi? Negara kita memerlukan ramai jurutera dan saintis untuk meneruskan kelangsungan tamadun rakyat Malaysia. Membangkitkan semula semangat cintakan Sains dan Matematik demi memajukan tamadun bangsa Malaysia adalah usaha yang amat penting. Mari kita semai semula rasa prihatin dan tanggungjawab rakyat Malaysia terhadap pentingnya menguasai ilmu Matematik dan Sains.

Isnin, Februari 06, 2012

Pelajar Ponteng Diarah Baca Al-Quran - Langkah Bijak!

Al-Quran merupakan pengubat jiwa. Orang ramai tidak penat beratur membeli tiket wayang, berdiri di konsert kemaksiatan dan menganjur perhimpunan haram. Namun, apabila disuruh membaca Al-Quran, pasti mereka akan cepat-cepat menolak. Begitulah kuatnya syaitan merasuki hati nurani manusia seperti ini. Saya memuji tindakan mengarahkan pelajar ponteng diarah membaca Al-Quran. Semoga tindakan ini dapat menyucikan semula hati nurani para pelajar yang kian sesat dengan pengaruh dan budaya dari luar negara.

28 pelajar ponteng sekolah di Kota Bharu diarah baca Al-Quran
KOTA BHARU: Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Bharu, yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran. Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot di sini, untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus. Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

"Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hussin berkata pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut. Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya.

Katanya terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu. Beliau berkata operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. -- BERNAMA

Ahad, Februari 05, 2012

Karyawan Sebagai Aset Pembangunan Ekonomi Negara

Tulisan menggabungkan pendapat ringkas Amiene Rev berkenaan kepentingan karya dan juga sebagai maklum balas menyokong tulisan Nisah Haron mengenai artikelnya yang berjudul "Sastera Lahirkan Mercu Tanda Pelancongan".

Sastera selama ini dianggap mempunyai peranan besar dalam membangunkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai jati diri sebagai warganegara Malaysia. Namun, peranan sastera sebenarnya jauh lebih hebat daripada itu. Jika diperhatikan sejak bertahun-tahun dahulu, sastera dan pelbagai bentuk karya yang lain telah lama menyokong ke arah wujudnya industri pelancongan, dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Taman Tema Disney atau Disneyland merupakan salah satu kejayaan besar dalam industri pelancongan.

Drama bersiri dari Korea, "Winter Sonata" yang merupakan pembukaan bagi 'demam drama Korea' beberapa tahun lalu turut membuka ruang bagi industri pelancongan di Korea untuk mewujudkan pakej pelancongan Winter Sonata. Menerusi pakej pelancongan khas itu, para peminat setia drama Winter Sonata kini mampu menghayati perasaan dan suasana di dalam drama tersebut menerusi pakej pelancongan Winter Sonata.

Suatu ketika dahulu, filem Finding Nemo telah mencetuskan fenomena baru apabila beribu-ribu peminat filem tersebut telah membeli dan memelihara ikan clown fish, dan juga beberapa ikan lain yang dijadikan sebagai watak utama dalam filem itu. Jelas di sini, bagaimana karyawan dapat membantu melariskan jualan satu-satu benda hanya menerusi karya.

Filem Ombak Rindu adalah hasil daripada novel popular Ombak Rindu. Kejayaan novel ini membantu memberi keuntungan besar kepada penerbit filem Ombak Rindu. Disebabkan filem Ombak Rindu mempunyai kualiti yang berjaya memikat penonton, hasilnya karya dalam bentuk filem itu turut membantu melariskan semula novel Ombak Rindu yang sudah diterbitkan bertahun-tahun dahulu. Ini adalah satu bentuk di mana dua bentuk karya, saling sokong-menyokong antara satu sama lain.

Jika orang-orang dari industri penulisan, industri perfileman dan industri pelancongan saling bekerjasama untuk menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian pembaca atau penonton untuk pergi ke satu-satu tempat, maka secara tidak langsung kerjasama ini boleh dianggap sebagai salah satu jasa besar terhadap penduduk setempat. Jika sebelum ini orang tidak kenal Kampung Gantong dan Pulau Belitung, sekarang menerusi novel dan filem Laskar Pelangi, dunia sudah mula buka mata.

Seorang penulis blog atau blogger juga boleh dianggap seorang karyawan. Peranan blogger dalam membantu meningkatkan ekonomi setempat menerusi tulisan-tulisan mereka juga tidak boleh dinafikan. Kerana itu kita lihat wujudnya kini pelbagai saluran iklan tempatan khusus untuk memanfaatkan hasil tulisan penulis-penulis blog sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan atau melariskan satu-satu produk seperti Google Adsense, Nuffnangs dan Innity. Tulisan positif blogger tentang sesuatu filem, novel atau apa-apa produk boleh membantu melariskan produk-produk tersebut.

Blogger mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan meningkatkan pendapatan harian penduduk setempat, bukan sekadar menghangatkan dunia hiburan dan politik semata-mata. Begitu besar sumbangan dunia penulisan dan karyawan dalam membantu memajukan negara. Bukan lagi sekadar aspek kemanusiaan, tetapi juga dari sudut material. Blogger boleh jadi seorang wira yang membantu masyarakat, dan boleh saja menjadi seorang pemusnah menerusi kritikan yang berat sebelah.

Jumaat, Disember 09, 2011

ILMU UNTUNG RUGI FILEM BAJET RENDAH DAN FILEM BAJET BESAR

FORMULA AMIENE REV: STRATEGI PENERBITAN FILEM: 
Untung Rugi Filem Bajet Besar dan Filem Bajet Kecil

Ulasan perbandingan beberapa buah filem bajet kecil dan filem bajet besar dari aspek untung ruginya:

FILEM: Penunggu Istana
KATEGORI: SERAM   
MODAL: 0.60 juta
TARIKH TAYANG: 21.04.2011
KUTIPAN: 0.89 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 39
Ulasan Amiene Rev: Filem ini saya anggap berjaya mengaut keuntungan, walaupun bajet kecil, tetapi untungnya tetap ada. Tajuk dan jalan cerita filem ini dikaitkan dengan cerita sebenar yang pernah menjadi bualan pihak tertentu.

FILEM: Sumpahan Puaka
KATEGORI: SERAM / KELUARGA / MISTERI   
MODAL: 0.46 juta   
TARIKH TAYANG: 20.10.2011   
KUTIPAN: 0.31 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 42
Ulasan Amiene Rev: Filem ini gagal mengaut keuntungan. Mungkin sekiranya penerbit meningkatkan lagi promosi, keuntungan boleh dicapai.

FILEM: HAQ
KATEGORI: AKSI   
MODAL: 2.50juta   
TARIKH TAYANG: 27.01.2011   
KUTIPAN: 0.80 juta
BILANGAN PANGGUNG: 50
Ulasan Amiene Rev: Filem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat. Kegagalan filem ini mungkin kerana kurang promosi. Saya juga tidak tahu filem HAQ ini filem apa, tetapi kerana saya menyokong filem-filem tempatan, maka saya pun pergi menonton filem ini. Promosi tampak perkara penting dalam mempromosikan filem.


FILEM: Hikayat Merong Mahawangsa
KATEGORI: SEJARAH / AKSI / PEPERANGAN   
MODAL: 6.82 juta   
TARIKH TAYANG: 10.03.2011   
KUTIPAN: 6.50 juta   
BILANGAN PANGGUNG: 67
Ulasan Amiene Rev: Kutipan untuk filem ini amat memberangsangkan tetapi filem ini masih belum untung sepenuhnya di Malaysia. Filem ini tidak menggandingkan pelakon-pelakon hebat dan terkenal. Pelakon terkenal yang masih lekat pada ingatan saya dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa ini cuma Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, Ummi Nazeera dan Jehan Miskin. Gandingan pelakon dalam filem ini bersifat rencah, kerana ada pelakon yang banyak muncul bersama watak utama (pelakon hebat) tetapi lakonannya agak kaku (masih boleh diperbaiki sebenarnya). Namun, KRU Studios bijak menganggar keuntungan filem ini di Malaysia dan mengambil langkah bijak dengan mempromosikan filem ini di luar negara. Kita ambil contoh, filem TWILIGHT - BREAKING DAWN juga pasti akan rugi jika dipaparkan di satu negara kecil seperti Malaysia, malah berada di tangga kutipan yang lebih rendah berbanding filem Ombak Rindu karya tempatan. Filem yang bersifat antarabangsa akan menjamin pulangan balik yang menguntungkan sekiranya strateginya betul.

  
FILEM: 2 Alam
KATEGORI: DRAMA
MODAL: 1.51 juta
TARIKH TAYANG: 18.11.2010
KUTIPAN: 0.44 juta
BILANGAN PANGGUNG: 83
Ulasan Amiene Rev: Filem ini sememangnya mendapat promosi yang luar biasa hebatnya dalam sejarah promosi filem di Malaysia. sebaliknya filem ini gagal teruk di pasaran. Sebelum ini, kita (saya) anggap promosi sebagai satu perkara penting dalam memastikan kutipan tinggi bagi satu-satu filem. Malah filem ini juga telah menepati beberapa teori pemasaran seperti meningkatkan pasaran dengan memperbanyakkan bilangan panggung. Jadi, apakah silapnya filem ini sehingga gagal di pasaran? Dikatakan, filem 2 Alam ini diiringi dengan promosi berbentuk provokasi tidak langsung dari pihak penerbitnya yang menyebabkan filem ini hilang popularitinya. Malah ada pembaca surat khabar yang menganggap iklan filem 2 Alam ini di surat khabar sebagai satu bentuk provokasi tidak langsung kepada pengarah-pengarah filem senior, walaupun ini pasti bukan niat sebenar penerbit. 

Ada juga penonton yang mengatakan mereka berasakan kualiti dan jalan cerita filem 2 Alam ini tidak sehebat yang digembar-gemburkan. Pada pandangan penonton, filem ini telah dikhabarkan sebagai sebuah filem hebat, tetapi realiti sebenarnya dianggap penonton sebagai tidak sampai ke tahap itu. Mungkin kerana faktor ini, ramai penonton berasa seolah-olah telah ditipu dan diperlekehkan tentang daya fikir mereka tentang satu-satu produk filem, dan akhirnya menyebabkan banyak cerita negatif tentang filem ini tersebar. Saya pasti penerbit 2 Alam tidak berniat untuk membohongi penonton, dan semangat penerbit filem 2 Alam ini sememangnya hebat.

Moral yang dapat saya perolehi daripada kes filem 2 Alam ini ialah, jika mahu filem laku di pasaran, jauhi provokasi, hormati penerbit senior. Penerbit senior juga tidak berani mensasarkan 40 juta walaupun tahun pengalaman mereka dalam dunia penerbitan filem jauh lebih lama berbanding penerbit filem 2 Alam. Teknik promosi yang luar biasa hebat akan musnah sekiranya terdapat kontradiksi anggapan di kalangan pembeli tiket dengan apa yang cuba digambarkan.

FAKTA UNTUK FILEM NASI LEMAK 2.0 KURANG JELAS KERANA MAKLUMAT FILEM INI TIDAK DIPAPARKAN DI LAMAN WEB FINAS.

FILEM: Nasi Lemak 2.0
KATEGORI: Komedi
MODAL: bajer rendah (tidak dinyatakan)
TARIKH TAYANG: 8 September 2011
KUTIPAN: 7 juta (berdasarkan laporan berita)
BILANGAN PANGGUNG: 60-70

Ulasan Amiene Rev: Kontroversi lebih bagus berbanding provokasi. Berbeza dengan filem 2 Alam yang mencetuskan provokasi, filem Nasi Lemak 2.0 pula diiringi kontroversi penerbitnya yang lama. Penerbit filem ini, Namawee, sebenarnya secara tidak langsung telah mencipta dua persepsi berbeza tentang dirinya. Pertama, segolongan orang menganggap beliau sebagai seorang yang biadab. Kedua, segolongan orang telah melihat dirinya sebagai wira yang berani bersuara demi keadilan. Berbeza dengan penerbit filem 2 Alam, Namawee dilihat sebagai seorang pejuang. 

Filem Nasi Lemak 2.0 sebenarnya tidak mempunyai promosi yang hebat, tetapi kontroversi yang mengekori Namawee secara tidak langsung telah memancing para pemburu kontroversi dan cerita sensasi untuk mengenali filem Nasi Lemak 2.0. Keberanian Namawee untuk menerbitkan filem Nasi Lemak 2.0, di samping kesungguhannya untuk menemui Perdana Menteri bagi memohon kelulusan agar filem ini ditayangkan kerana filem ini bertemakan 1 Malaysia telah menyentuh hati ramai orang. Berbeza dengan penerbit filem 2 Alam, Namawee dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai apa-apa tetapi berhati waja. Sifat seorang pejuang yang ada dalam diri Namawee ini menyebabkan filem Nasi Lemak 2.0 laku di pasaran. 

Namawee dan penerbit filem Nasi Lemak 2.0 juga bijak menganggar keuntungan filem ini, beliau cuba membawa filem ini keluar dari kelompok pasaran filem Malaysia, dan menayangkannya di luar negara, Australia. Kerana Namawee bijak menganggar senario paling merugikan yang bakal dihadapi dan bagaimana mengatasi senario tersebut, Namawee berjaya menyelamatkan filem Nasi Lemak 2.0. Perbezaan jelas antara Nasi Lemak 2.0 dengan 2 Alam ialah faktor keyakinan. Penerbit filem 2 Alam terlebih yakin, dan dilihat tidak memikirkan senario apa akan berlaku jika filem 2 Alam rugi, dan bagaimana untuk menyelamatkan kutipan filem 2 Alam, manakala filem Nasi Lemak 2.0 yang lahir dalam keadaan penerbitnya memiliki risiko untuk rugi, telah memikirkan jalan selamat untuk menyelamatkan kutipan filem ini dan mengaut keuntungan. Filem Nasi Lemak 2.0 juga dijadualkan untuk ditayangkan di beberapa buah negara lain pada bulan Disember, iaitu di Taiwan dan Singapura.

KEHEBATAN FILEM NASI LEMAK 2.0
Filem Nasi Lemak 2.0 diterbit dan ditayangkan pada tahun yang sama. Perkara seperti ini jarang-jarang berlaku kerana kebanyakan filem perlu menunggu giliran sebelum ditayangkan. Namawee boleh dianggap sebagai wira dalam dunia perfileman, dia bangkit dari kontroversi dan persepsi negatif sesetengah rakyat Malaysia dan berjaya menjual filemnya dengan jayanya. Namawee adalah graduan universiti dari luar negara dalam bidang media. Strategi Namawee boleh dicontohi dan dirujuk oleh penerbit-penerbit filem yang lain.

FORMULA FILEM NASI LEMAK 2.0
YANG DILIHAT
Kontroversi (bukan provokasi) jadi sumber percuma promosi. Orang suka melihat sesuatu yang buruk, jadi apa salahnya kita tampal iklan promosi di tempat yang buruk itu. Jadi apabila orang tercari-cari sesuatu yang buruk dan kontroversi itu, mereka melihat ada iklan promosi pula di situ.

Gabungan 1 Malaysia dan barisan pelakon pelbagai kaum. Kontroversi Namawee sebelum ini telah mengheret ramai kaum untuk secara tidak langsung terlibat dalam promosi filem ini. Tambahan pula filem ini berjaya memuatkan pelakon-pelakon 1 Malaysia yang terkenal sejak filem arahan arwah Yasmin Ahmad dahulu seperti Adibah Noor dan Afdlin Shauki, filem ini tampil mesra pelbagai kaum.

Keperwiraan dan pengaruh Namawee. Namawee dilihat sebagai seorang yang biadab apabila bersuara, tetapi suaranya mewakili keadilan untuk kaum, masyarakat dan rakyat. Namawee mengutarakan persoalan-persoalan yang nyata memihak kepada masyarakat. Ini membantu meningkatkan pengaruh Namawee. Orang ramai datang mencari Namawee kerana kontroversi, kemudian Namawee berjaya mengubah mereka yang datang itu kepada penyokongnya menerusi kehebatan dan pengaruhnya. Namawee mungkin mampu menjadi seorang ahli politik, dan dia berjaya mendapat peminatnya yang tersendiri.

Kata-kata Namawee mungkin biadab, tetapi mesejnya bermakna. Ramai orang datang mahu menonton filem Namawee kerana mahu mendengar apa yang Namawee ingin sampaikan. Lihat saja pada lirik lagu tarian India tetapi berbahasa Cina dalam filem Nasi Lemak 2.0, dari situ kita dapat lihat betapa bijaknya graduan universiti bidang media ini menyusun langkah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Dalam komedi, ada intipati.

Strategi pemasaran. Namawee dan pihak penerbit filem Nasi Lemak 2.0 tahu filem ini mempunyai risiko untuk gagal di pasaran Malaysia, maka beliau mengambil langkah bijak bersama pihak penerbit filem ini untuk memasarkan filem ini ke beberapa negara selain Malaysia.

APA YANG DAPAT SAYA RUMUSKAN HASIL DARI KAJIAN RINGKAS SAYA TENTANG UNTUNG RUGI FILEM-FILEM BAJET BESAR DAN BAJET RENDAH SEPERTI BERIKUT:
  • Filem bajet rendah boleh berjaya jika ada promosi.
  • Tema seram biasanya berjaya untuk filem bajet rendah.
  • Promosi boleh ditampal pada cerita kontroversi supaya apabila orang cari cerita kontroversi, tetapi mendapat cerita promosi. Bak kata, cerita kontroversi yang dicari, promosi yang didapati.
  • Kontroversi membuka peluang promosi, manakala provokasi membuka pintu kritikan.
  • Keyakinan melampau memakan diri, perlu ada rasa bimbang tentang risiko kerugian filem dan cari cara untuk menghadapi kerugian tersebut.
  • Strategi pemasaran perlu.
Strategi Pemasaran Perlu Ada
Caranya ialah dengan membawa keluar filem atau karya itu dari kelompok tempatan ke kelompok luar kerana pemikiran dan budaya penduduk berbeza mengikut geografi. Jika di sini, penerbit dicerca dan diboikot, mungkin di negara lain adalah sebaliknya.

Sebagai contoh, jika belanja bikin filem ialah 1,000,000 juta, dan promosi serta kos pemasaran ialah 50,0000 dan kutipannya cuma 200,000, penerbit mesti cari jalan supaya berapa banyak tapak untuk tayangkan filem atau pasarkan filem tersebut untuk membolehkan pulangan modal berlaku.

Kos filem ialah 1,000,000 + 5(50,000) = 1,250,000 manakala kutipan untuk filem ialah 5 x 200,000 = 1,000,000 maka mesti pastikan kutipan melebihi kos bikin filem + kos (promosi + pemasaran) supaya ada untung. Dalam kes ini cuba lihat kalau:

Kutipan untuk filem 10 x 200,000 = 2,000,000 manakala kos bikin, promosi dan pemasaran filem ialah 1,000,000 + 10(50,000) = 1,500,000

KEUNTUNGAN: Jumlah Kutipan - Jumlah Kos = 2,000,000 - 1,500,000 = 500,000

Apabila ditingkatkan keluasan pasaran dan promosi pada kadar yang munasabah, maka senario balik modal boleh berlaku.

Begitulah pandangan dan ilmu tentang strategi yang dapat saya wujudkan tentang bagaimana penerbit filem mampu menyelamatkan filem mereka dari segi kutipan filem. Jangan sekadar bertaruh nasib, tetapi mesti ada strategi menyelamat kutipan dan keuntungan untuk satu-satu filem. Usaha ini pasti menjadi kenangan manis buat pihak penerbitan filem itu sendiri, selain mampu meningkatkan pengaruh yang tidak disangka.

Ahad, November 20, 2011

Rancangan Sekolah 9 Jam Dibatalkan - Tidak Dapat Membantu Menyelesaikan Permasalahan Guru Yang Belum Selesai

Sejak dari awal lagi saya telah menjangkakan rancangan sekolah 9 jam Johor akan dibatalkan. Ini berikutan bilangan pelajar di beberapa buah sekolah adalah terlalu ramai sehingga memerlukan dua sesi pembelajaran. Apabila melibatkan dua sesi pembelajaran, maka beberapa perkara seperti tempat belajar dan masalah kepadatan guru di bilik guru juga menjadi satu masalah. Keselesaan bekerja akan berkurangan kerana meja guru dikongsi oleh guru sesi pagi dan juga guru sesi petang.

Sekolah 9 jam boleh menyebabkan kerja-kerja guru yang memerlukan banyak masa untuk disiapkan bukan dalam tempoh bekerja rasmi terjejas. Berdasarkan pandangan kebanyakan guru, khususnya guru-guru di bandar, terdapat beberapa kerja guru yang akan tertangguh kerana mereka perlu masuk ke bilik darjah atau tingkatan untuk mengajar. Begitu juga pada waktu ujian atau peperiksaan dijalankan, kerja-kerja guru didapati tertangguh kerana semasa peperiksaan dan ujian dijalankan, mereka tidak boleh melakukan apa-apa kerja lain selain mengawasi pelajar yang sedang menduduki ujian atau peperiksaan. Dalam erti kata lain, sekiranya guru tersebut ada banyak kerja yang belum selesai, maka mengawasi ujian atau peperiksaan boleh mewujudkan kebimbangan ke atas diri mereka.

Jika waktu persekolahan dilanjutkan ke 9 jam, ramai guru memerlukan 'time slip' kerana mereka perlu keluar pada waktu bekerja. Ini kerana ada barang-barang yang perlu dibeli, difotostat bagi menyiapkan bahan-bahan mengajar. Sesetengah guru masih tetap datang ke sekolah pada waktu petang atau malam untuk menyiapkan kerja mereka biarpun pada ketika ini waktu persekolahan cuma berlangsung sekitar jam 7.15 pagi hingga 1.10 petang di kebanyakan tempat. Bagi sesetengah orang atau mungkin guru sendiri, mungkin ada yang menyangka tugas-tugas guru di sekolah yang kurang murid adalah sedikit. Ini sama sekali tidak benar. Contohnya di sebuah sekolah madrasah di Malaysia, dilaporkan setiap guru perlu memikul sekurang-kurangnya 10 tugas atau jawatan penting atau rasmi. Sedangkan 5 jawatan pun sudah berat apatah lagi apabila 10 jawatan. Ini kerana bilangan guru di seklah tersebut adalah sedikit kerana bilangan pelajar pun tidak ramai.

Kerja-kerja guru terbahagi kepada beberapa skop. Tiga skop utama tugas guru di sekolah melibatkan Hal Ehwal Murid (HEM), Akademik dan Ko-Kurikulum. Setiap bidang ini akan dipertanggungjawabkan kepada tiga Penolong Kanan di mana masing-masing akan memikul tanggungjawab sebagai Penolong Kanan Pentadbiran/Akademik, Penolong Kanan HEM, dan Penolong Kanan Ko-Kurikulum.

Dalam skop HEM misalnya guru-guru akan terlibat dalam pengurusan disiplin, pengurusan data disiplin, pengurusan kehadiran pelajar, pengurusan borang ponteng, pengurusan kebajikan pelajar, pengurusan zakat, pengurusan PIBG, pengurusan pembinaan Insan, pengurusan perabot, pengurusan bilik darjah, pengurusan sistem elektrik, pengurusan kantin, pengurusan program pelajar, keselamatan pelajar, keselamatan lalu lintas di hadapan sekolah, pengurusan tingkatan, pengurusan Sistem Maklumat Murid dan sebagainya. Bilangan pelajar yang perlu diuruskan adalah daripada satu kelas hingga ke beberapa kelas, tingkatan atau keseluruhan sekolah. Ini bermaksud guru-guru di setiap sekolah perlu menguruskan beratus-ratus sehingga beribu-ribu orang pelajar sehari. Ada kerja dalam skop HEM tidak mampu diselesaikan pada waktu bekerja rasmi, terutamanya keceriaan kelas. Masalah lebih ketara bagi sekolah dua sesi. Ini kerana waktu P&P tidak boleh digunakan untuk aktiviti bukan akademik. Kerja-kerja HEM ini biasanya dilakukan apabila guru-guru tidak ada kelas P&P. Apabila mereka masuk ke kelas pula, selalunya mental dan emosi mereka akan tercabar oleh tingkah laku pelajar hari ini, dan kemudian apabila mereka keluar kelas, pelbagai masalah baru akan mengiringi mereka ke meja kerja mereka.

Dalam skop Akademik pula, kerja-kerja guru melibatkan pengurusan analisis, ujian penilaian dan peperiksaan, kerja-kerja kursus, pengurusan panatia mata pelajaran, pengurusan modul, pengurusan bahan bantu mengajar, pengurusan alatan bantu mengajar, pengurusan jadual waktu, pengurusan kelas dan bidang kecenderungan pelajar, pengurusan soalan ujian dan peperiksaan, pengurusan rancangan mengajar, pengurusan bilangan soalan dan jenis soalan untuk satu-satu topik, bengkel akademik, kelas tambahan dan sebagainya.Kerja-kerja seperti menanda buku latihan, ujian, peperiksaan, memasukkan markah ke SAPS, merancang dan menggubah bahan bantu mengajar, menfotostat dokumen (biasanya guru-guru mata pelajaran akan menggunakan duit gaji guru sendiri untuk diberikan kepada ratusan pelajar), tidak mampu dilaksanakan semasa waktu persekolahan. 

Kerja-kerja menanda buku juga biasanya akan memakan masa berjam-jam sehari dan kebanyakan guru mempunyai citarasa atau gaya kerja yang berbeza untuk menyelesaikan tugas ini. Ada guru yang boleh duduk di sekolah sambil menikmati gangguan kerja-kerja lain di tempat kerja, ada guru yang lebih selesa untuk menyiapkan kerja-kerja menanda di rumah, di perpustakaan awam atau ada juga guru-guru yang selesa mencari tempat-tempat yang mendamaikan fikiran kerana mereka tahu otak mereka pasti akan diserabutkan dengan pelbagai karenah murid semasa menjawab soalan latihan atau soalan peperiksaan yang diberikan. Kerja-kerja menanda juga tidak boleh dibuat sambil lewa atau pejam mata atau sambil berbual-bual kerana mereka perlu meneliti langkah demi langkah, soalan demi soalan bagi setiap jawapan pelajar. Kebiasaannya seorang guru akan mengambil masa sekitar 10 ke 15 minit bagi sebuah buku pelajar. Purata pelajar di dalam sebuah kelas boleh jadi antara 30 hingga ke 50 orang. Secara purata 40 orang x 12 minit = 480 minit = 8 jam bagi satu kelas dan sebuah buku. Kebiasaannya seorang guru akan memegang sekitar 4-8 kelas. Ini bermaksud untuk satu buku sahaja, seorang guru memerlukan sekitar 32 jam hingga 64 jam. Namun begitu, secara kebiasannya, tiga buah buku diperuntukkan untuk setiap subjek. Ini bermaksud seorang guru memerlukan sekitar 96 jam hingga 192 jam seminggu untuk kerja-kerja menanda buku sahaja. Ini belum dicampur lagi dengan pengurusan-pengurusan kerja yang lain. Disebabkan terlalu banyak kerja pengurusan di mana jika otak guru adalah umpama otot lengan, sudah pasti lengan itu akan menjadi sangat sasa dan gagah kerana terlalu banyak kerja yang dibuat. Kerana kepenatan yang melampau ini, maka wajarlah guru diberi masa untuk berehat dan diselang-selikan dengan waktu bekerja mereka yang tidak rasmi.

Dalam skop Ko-kurikulum pula guru-guru akan terlibat dengan pengurusan kelab, persatuan, rumah sukan, sukan dan permainan. Bagi setiap organisasi yang dipegang oleh guru, guru perlu menguruskan kewangan, pelan perancangan strategik aktiviti-aktiviti sepanjang tahun, pengurusan sijil, pengurusan atlet sukan, pengurusan peralatan sukan, pengurusan latihan sukan, dokumen-dokumen dalam dan luar untuk urusan sukan, keselamatan pelajar, disiplin pelajar semasa sukan, penganjuran latihan, perkhemahan, kem kepimpinan dan lain-lain. Satu perkara yang paling mencabar dalam bidang ko-kurikulum ini ialah belanjawan untuk satu-satu aktiviti, peruntukan masa dan kepadatan jadual. Hal ini menyebabkan aktiviti ko-kurikulum perlu dibuat pada hari atau masa bukan persekolahan. Pengurusan ko-kurikulum boleh melibatkan sehingga beratus-ratus orang pelajar bagi seorang guru.

Pandangan luar dan pemikiran luar yang cetek mungkin hanya melihat guru sebagai satu entiti yang mengajar di dalam kelas, kemudian menutup mata menanda buku latihan. Ini sama sekali tidak benar. Guru perlu menguruskan beratus-ratus ke beribu-ribu masalah yang dilakukan oleh beratus-ratus ke beribu-ribu orang pelajar. Pelajar bukan binatang ternakan, kereta atau mesin kilang. Mereka ada benda hidup yang boleh berfikir, mempunyai perasaan dan tidak matang. Pelajar bukan pekerja yang makan gaji, mereka juga datang dari latar belakang keluarga yang pelbagai. Kebanjiran pendatang asing ke negara ini sememangnya telah didakwa menjadi punca penularan pelbagai gejala sosial dan budaya negatif yang turut mempengaruhi pelajar-pelajar tempatan. Ini adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Guru-guru tidak boleh mengawal pelajar-pelajar mereka di rumah. Itu sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa pelajar tersebut. Guru-guru berdepan dengan masalah ini setiap hari, menyebabkan selain daripada tugas-tugas rasmi mereka, mereka juga dibebankan dengan tugas-tugas yang tidak sepatutnya ada - menyelesaikan masalah yang timbul kerana ketidakseimbangan penyelesaian beban tanggungjawab antara guru dan ibu bapa. Ini kerana di Malaysia ini belum wujud undang-undang yang jelas untuk ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dalam usaha mendidik anak-anak mereka sehingga mendatangkan masalah di sekolah. Ini kerana ibu bapa tersebut sendiri terpaksa berhempas pulas bekerja sehingga tidak dapat memberikan komitmen kepada pihak sekolah. Ini adalah antara masalah yang diceritakan oleh guru-guru, iaitu masalah yang sering berlaku.

Antara perkara yang boleh diambil tindakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan ibu bapa mengambil berat atau memberi komitmen kepada pihak sekolah ialah menerusi undang-undang yang berkaitan dengan penglibatan guru dalam aktiviti yang diadakan oleh pihak sekolah, serta kelonggaran syarikat bagi ibu bapa memenuhi komitmen ini. Contohnya ibu bapa yang gagal menghadirkan diri pada Hari Terbuka atau Mesyuarat Agung PIBG boleh dikenakan tindakan. Hari Terbuka sangat penting kerana pada hari tersebut, pelbagai masalah pelajar akan dibincangkan secara khusus, manakala Mesyuarat Agung PIBG pula penting bagi membincangkan masalah di sekolah yang berkaitan dengan para pelajar yang perlu diketahui oleh ibu bapa. Ada sekolah yang menghadapi masalah besar, di mana apabila Mesyuarat Agung PIBG dilaksanakan, kehadiran ibu bapa adalah jauh lebih sedikit berbanding jumlah guru. Ini menyebabkan beberapa masalah atau suara ibu bapa tidak dapat dikutip dan dibincangkan secara menyeluruh. Sebaliknya apabila kerajaan mengumumkan untuk memberi RM100 kepada setiap pelajar, berduyun-duyun ibu bapa, malah yang tidak pernah hadir selama ini pun boleh hadir ke sekolah, malah ada pula yang sanggup hadir secara berasingan, ibu dan bapa untuk menuntut wang RM100. Dari sini dapat dilihat betapa jika kerajaan menguatkuasakan arahan wajib bagi ibu bapa untuk hadir pada hari-hari penting seperti Hari Terbuka atau Mesyuarat Agung PIBG, maka pelbagai masalah akan dapat diselesaikan. Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas ke atas ibu bapa yang tidak hadir ke sekolah apabila anak mereka melakukan kesalahan disiplin atau akademik. Begitu juga bagi ibu bapa yang tidak memantau kegiatan anak mereka selepas waktu sekolah atau waktu malam. Waktu yang sepatutnya digunakan oleh para pelajar untuk berehat atau menyiapkan kerja-kerja akademik dijadikan waktu untuk berhibur atau membuang masa untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Sehingga kini, masih ramai pihak yang cuma mempersoalkan tentang gaji guru dan masa bekerja guru. Mereka tidak pernah mengambil tahu atau mungkin tutup mata apabila diceritakan tentang tugas-tugas sebenar seorang guru. Mereka tidak tahu bahawa ada jurutera yang kembali menjadi jurutera selepas mencuba menjadi guru kerana beban tugas guru sememangnya jauh lebih berat dari seorang jurutera. Malah kerja-kerja guru kontrak atau guru-guru yang tidak ada ikhtisas pendidikan sebenarnya jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan kerja guru sebenar. Jika ditanya apakah profesion yang cabarannya setanding dengan guru, maka profesion tersebut adalah doktor. Guru dan doktor sama-sama menghadapi tekanan yang hebat. Ini kerana sebarang kerja yang melibatkan pengurusan manusia secara langsung akan melibatkan pelbagai kewujudan masalah yang serba kreatif.

Jika ibu bapa boleh hadir untuk mengambil RM100, maka kenapa tidak ibu bapa tersebut boleh hadir semasa Hari Terbuka atau Mesyuarat Agung PIBG sekolah? Kerajaan perlu mengeluarkan perintah supaya semua majikan di Malaysia memberi cuti khas kepada ibu bapa yang bekerja supaya dapat hadir pada hari terbuka sekolah. Ini mungkin membantu menyelesaikan sedikit masalah komitmen ibu bapa.

Masalah guru tidak dapat diselesaikan dengan penambahan masa kerja selama 9 jam. Ini kerana selamai ini guru-guru sudah lama bekerja di luar waktu persekolahan, dari pagi, petang hingga ke larut malam. Tugas guru memang sangat istimewa, mereka bekerja di pejabat dan di luar waktu pejabat. Ini kerana konsep tugas dan kerja guru adalah mirip ibu bapa. Jika ibu bapa sekadar memberi anak mereka makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya, guru-guru pula jauh lebih dari itu, mereka bukan sahaja mengeluarkan duit gaji mereka sendiri untuk memenuhi keperluan pembelajaran atau pembinaan insan satu-satu pelajar, malah mereka juga menggunakan setiap hari mereka untuk mendidik dan menjaga anak-anak. Tidak kiralah anak mereka atau anak orang lain.

Seimbas lalu perbandingan tugas guru dan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak

IBU BAPA
  • Bekerja mencari duit untuk anak dan diri sendiri
  • Menyediakan tempat berlindung untuk anak-anak
  • Menyediakan makanan untuk anak-anak
  • Menyediakan pakaian anak-anak
  • Meluangkan masa bersama-sama anak-anak pada masa lapang
  • Menjaga keselamatan anak-anak ketika mereka di rumah
  • Mengeluarkan duit untuk makan minum anak setiap bulan
  • BEKERJA ATAU MENGURUSKAN SKOP KERJA MENGIKUT PROFESION MASING-MASING.

Itu sahaja tugas ibu bapa sebenarnya dan tugas ini harus dilakukan setiap hari. Ditolak dengan masa tidur, maka pendedahan ibu bapa terhadap anak-anak adalah jauh lebih sedikit berbanding masa yang diluangkan guru-guru bersama anak-anak mereka. Dalam erti kata lain, guru-guru sebenarnya telah meluangkan masa untuk menjaga anak-anak orang lain. Perlu diingatkan guru-guru juga ada yang menjadi ibu bapa. Bayangkanlah!

GURU DAN SEKOLAH
  • Bekerja untuk keuntungan dan masa depan anak-anak orang lain dan juga untuk diri sendiri
  • Menjaga dan menguruskan disiplin tingkah laku anak-anak orang, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menjaga dan menguruskan hal-hal kehadiran dan kebajikan anak-anak orang, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Mengajar pelbagai konsep mata pelajaran kepada anak-anak orang, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menanda dan menyemak buku-buku kerja para pelajar (pada hakikatnya walaupun pelajar sudah pulang ke rumah, sebenarnya guru-guru masih 'menjaga' atau memantau anak-anak orang lain secara hitam putih). yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menggunakan duit gaji sendiri untuk bahan-bahan pengajaran, keceriaan kelas, dan kebajikan pelajar. Jumlahnya kadangkala melebihi RM300 sebulan.yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Merancang dan menyediakan bahan-bahan pengajaran (boleh jadi persediaanya memerlukan dari sehari sehingga ke beberapa hari) yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menjaga, mencungkil bakat dan melatih anak-anak orang dalam bidang sukan, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menjaga keselamatan pelajar di kelas, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Memastikan anak-anak mendapat didikan agama dan menunaikan tanggungjawab terhadap agama, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • Menguruskan penglibatan anak-anak orang dalam kelab dan persatuan
  • Melatih anak-anak orang supaya menjadi pemimpin, boleh bekerjasama, boleh berpasukan dan berbakti kepada nusa dan negara menerusi kelab dan persatuan, yang untungnya tentulah ibu bapa
  • MELAKUKAN KERJA-KERJA PENGURUSAN ATAU KERJA DI LUAR SKOP MENGAJAR TETAPI MASIH DI BAWAH PROFESION SEORANG GURU (guru pun ada kerja lain juga yang perlu dibuat. Siapa yang berkawan dengan guru mesti tahu apa lagi kerja guru di sekolah seperti yang disebutkan di bawah ini (memandangkan terlalu banyak, maka setakat ini sahajalah penulisan saya):
    • Dalam skop HEM misalnya guru-guru akan terlibat dalam pengurusan disiplin, pengurusan data disiplin, pengurusan kehadiran pelajar, pengurusan borang ponteng, pengurusan kebajikan pelajar, pengurusan zakat, pengurusan PIBG, pengurusan pembinaan Insan, pengurusan perabot, pengurusan bilik darjah, pengurusan sistem elektrik, pengurusan kantin, pengurusan program pelajar, keselamatan pelajar, keselamatan lalu lintas di hadapan sekolah, pengurusan tingkatan, pengurusan Sistem Maklumat Murid dan sebagainya. Bilangan pelajar yang perlu diuruskan adalah daripada satu kelas hingga ke beberapa kelas, tingkatan atau keseluruhan sekolah. Ini bermaksud guru-guru di setiap sekolah perlu menguruskan beratus-ratus sehingga beribu-ribu orang pelajar sehari. Ada kerja dalam skop HEM tidak mampu diselesaikan pada waktu bekerja rasmi, terutamanya keceriaan kelas. Masalah lebih ketara bagi sekolah dua sesi. Ini kerana waktu P&P tidak boleh digunakan untuk aktiviti bukan akademik. Kerja-kerja HEM ini biasanya dilakukan apabila guru-guru tidak ada kelas P&P. Apabila mereka masuk ke kelas pula, selalunya mental dan emosi mereka akan tercabar oleh tingkah laku pelajar hari ini, dan kemudian apabila mereka keluar kelas, pelbagai masalah baru akan mengiringi mereka ke meja kerja mereka.

      Dalam skop Akademik pula, kerja-kerja guru melibatkan pengurusan analisis, ujian penilaian dan peperiksaan, kerja-kerja kursus, pengurusan panatia mata pelajaran, pengurusan modul, pengurusan bahan bantu mengajar, pengurusan alatan bantu mengajar, pengurusan jadual waktu, pengurusan kelas dan bidang kecenderungan pelajar, pengurusan soalan ujian dan peperiksaan, pengurusan rancangan mengajar, pengurusan bilangan soalan dan jenis soalan untuk satu-satu topik, bengkel akademik, kelas tambahan dan sebagainya.Kerja-kerja seperti menanda buku latihan, ujian, peperiksaan, memasukkan markah ke SAPS, merancang dan menggubah bahan bantu mengajar, menfotostat dokumen (biasanya guru-guru mata pelajaran akan menggunakan duit gaji guru sendiri untuk diberikan kepada ratusan pelajar), tidak mampu dilaksanakan semasa waktu persekolahan.

      Kerja-kerja menanda buku juga biasanya akan memakan masa berjam-jam sehari dan kebanyakan guru mempunyai citarasa atau gaya kerja yang berbeza untuk menyelesaikan tugas ini. Ada guru yang boleh duduk di sekolah sambil menikmati gangguan kerja-kerja lain di tempat kerja, ada guru yang lebih selesa untuk menyiapkan kerja-kerja menanda di rumah, di perpustakaan awam atau ada juga guru-guru yang selesa mencari tempat-tempat yang mendamaikan fikiran kerana mereka tahu otak mereka pasti akan diserabutkan dengan pelbagai karenah murid semasa menjawab soalan latihan atau soalan peperiksaan yang diberikan. Kerja-kerja menanda juga tidak boleh dibuat sambil lewa atau pejam mata atau sambil berbual-bual kerana mereka perlu meneliti langkah demi langkah, soalan demi soalan bagi setiap jawapan pelajar. Kebiasaannya seorang guru akan mengambil masa sekitar 10 ke 15 minit bagi sebuah buku pelajar. Purata pelajar di dalam sebuah kelas boleh jadi antara 30 hingga ke 50 orang. Secara purata 40 orang x 12 minit = 480 minit = 8 jam bagi satu kelas dan sebuah buku. Kebiasaannya seorang guru akan memegang sekitar 4-8 kelas. Ini bermaksud untuk satu buku sahaja, seorang guru memerlukan sekitar 32 jam hingga 64 jam. Namun begitu, secara kebiasannya, tiga buah buku diperuntukkan untuk setiap subjek. Ini bermaksud seorang guru memerlukan sekitar 96 jam hingga 192 jam seminggu untuk kerja-kerja menanda buku sahaja. Ini belum dicampur lagi dengan pengurusan-pengurusan kerja yang lain. Disebabkan terlalu banyak kerja pengurusan di mana jika otak guru adalah umpama otot lengan, sudah pasti lengan itu akan menjadi sangat sasa dan gagah kerana terlalu banyak kerja yang dibuat. Kerana kepenatan yang melampau ini, maka wajarlah guru diberi masa untuk berehat dan diselang-selikan dengan waktu bekerja mereka yang tidak rasmi.

      Dalam skop Ko-kurikulum pula guru-guru akan terlibat dengan pengurusan kelab, persatuan, rumah sukan, sukan dan permainan. Bagi setiap organisasi yang dipegang oleh guru, guru perlu menguruskan kewangan, pelan perancangan strategik aktiviti-aktiviti sepanjang tahun, pengurusan sijil, pengurusan atlet sukan, pengurusan peralatan sukan, pengurusan latihan sukan, dokumen-dokumen dalam dan luar untuk urusan sukan, keselamatan pelajar, disiplin pelajar semasa sukan, penganjuran latihan, perkhemahan, kem kepimpinan dan lain-lain. Satu perkara yang paling mencabar dalam bidang ko-kurikulum ini ialah belanjawan untuk satu-satu aktiviti, peruntukan masa dan kepadatan jadual. Hal ini menyebabkan aktiviti ko-kurikulum perlu dibuat pada hari atau masa bukan persekolahan. Pengurusan ko-kurikulum boleh melibatkan sehingga beratus-ratus orang pelajar bagi seorang guru.
Jadi, setelah membandingkan tanggungjawab antara ibu bapa dengan guru, siapakah yang lebih mencabar? Berhentilah berhasad dengki dengan guru-guru.

Rabu, November 16, 2011

Anti-Islam, Perkauman dan Bahasa SMS

Kelibat anti-Islam dan perkauman semakin jelas dan berani kini. Di kebanyakan tempat, generasi hari ini jelas lebih suka bergaul mengikut kaum mereka sendiri. Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia hilang tempat dalam jiwa generasi muda. Generasi muda hari ini rata-rata seronok menggunakan bahasa SMS yang dianggap kreatif. Perjuangan sasterawan, wartawan, guru-guru, kakitangan kerajaan, aktivis bahasa semakin dilupakan. Anak-anak muda lebih tertarik dengan dunia hiburan. Budaya yang dipanggil 'slacker' yang membawa maksud remaja masa kini yang tidak peduli dengan isu-isu penting di dunia, dan cuma bernafsu terhadap hiburan semata-mata, individualistik, dan cuma memikirkan keseronokan dan kepuasan diri sendiri sahaja, kini menular bagaikan ular-ular berbisa yang bersedia memagut dan melumpuhkan bangsa. Bangsa Malaysia pada kemudian hari akan menjadi mangsa budaya individualistik jika tidak ada langkah pencegahan segera dibuat dengan peka dan jelas.

Di mana-mana tempat, di tempat awam, di sekolah, di kawasan perumahan, manusia membuang sampah di merata-rata tempat. Pada hari ini, sukar untuk ditemui seorang remaja yang berhati mulia, mengutip sampah yang dilihat ke dalam tong sampah. Sebilangan besar golongan remaja hari ini rata-rata lebih tertarik untuk bergurau senda sesama mereka biarpun mengetahui ada sampah sekaki dua jaraknya dari tempat mereka bercengkerama. Inilah pelapis bangsa Malaysia pada akan datang. Tidak ada apa pun yang boleh dibanggakan dengan sikap anak-anak muda seperti ini. Kekecewaan tersebar, provokasi mekar. Terang-terang agama Islam dihina, dan kebersihan separuh daripada iman dipersenda-senda secara tidak langsung. Berduyun-duyun anak-anak remaja belasan tahun menjauhi masjid, melangkahkan kaki ke sekolah, pada ketika azan solat Jumaat dilaungkan. Tidak ada seorang pun lelaki Islam dewasa yang mahu menegur anak-anak ini. Budak-budak berusia 18 tahun masih dianggap kanak-kanak, dimanjakan, dibiar berpelukan, dibiar meluahkan apa sahaja dosa dalam bentuk perbuatan fizikal.

Berapa orang anak remaja pada hari ini yang mampu merenung dosa yang bersepah-sepah di sekeliling mereka? Berapa orang anak remaja pada hari ini yang peka, yang sensitif, yang ada rasa kecewa dan mahu berjuang untuk memulihkan kembali budaya bangsa mereka? Tidak ada. Tidak ada seorang pun yang kelihatan pada masa kini. Pincang sudah objektif kehidupan. Gugur sudah semangat jati diri dalam diri anak-anak bangsa. Inilah kekecewaan yang nyata, apabila membincangkan mengenai sikap warganegara Malaysia pada hari ini.

SEMUANYA BERSALAH JIKA TIDAK AMBIL KISAH! SEMUANYA BUTA TULI JIKA TIDAK ADA SEORANG PUN YANG AMBIL PEDULI.

Jika kamu seorang pembaca blog ini, dan kamu membaca tulisan ini. Renungkan kembali bagaimana kamu boleh membantu mengubah pemikiran masyarakat Malaysia, supaya bersatu memulihkan kembali budaya Timur yang asli.

Yang benar,
Amiene Rev


Kementerian diminta siasat guru anti Islam
SUMBER: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin meminta Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan pelajar sebuah sekolah mengenai tindakan beberapa guru yang didakwa bersikap perkauman dan anti Islam.

Ahli Parlimen Bebas itu mendakwa menerima lebih 20 aduan daripada pelajar termasuk pelajar beragama Islam dan Kristian yang tidak puas hati dengan tindakan beberapa guru bukan Melayu yang juga penyokong dan petugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor. “Saya tidak bercadang menyebut nama secara terbuka di dalam dewan ini, saya akan serah nama kepada menteri kerana aduan yang dibuat sangat serius. “Guru berkenaan mengutuk agama Islam dengan mengatakan Islam sebagai agama palsu, al-Quran ditulis oleh manusia, selain membangkitkan peristiwa 13 Mei berlaku kerana tindakan orang Melayu, sebaliknya orang Cina hanya mempertahankan diri serta menyatakan sepatutnya orang Cina menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat, malam tadi.

Sabtu, Januari 02, 2010

Perpustakaan Dalam Pusat Beli Belah

Sebelum ini, pusat membeli belah pernah dilabelkan sebagai tempat anak-anak muda membuang masa dengan melepak dan berjalan-jalan tanpa tujuan yang wajar. Kemunculan kedai-kedai buku walau bagaimana pun telah sedikit sebanyak mengubah nilai sesebuah pusat membeli belah daripada sekadar tempat melepak kepada tempat untuk mendapatkan bahan-bahan berilmu.

Wujudnya perpustakaan di pusat membeli belah pasti memberi sesuatu yang baru kepada lot-lot pusat membeli belah di sekitarnya. Golongan pelajar khususnya pelajar sekolah, kolej dan IPT berpeluang mencuba suasana pembelajaran yang baru. Mereka mungkin boleh menjadikan perpustakaan di pasar raya terbabit sebagai lokasi belajar secara berkumpulan yang baru. Dijangkakan kemudahan seperti ini akan meningkatkan lagi peluang pendapatan bagi para peniaga di dalam pusat membeli-belah tersebut.
Menyedari penyediaan perkhidmatan itu mampu memberi nilai tambah kepada pengunjung, pihak pengurusan Pusat Membeli-belah AEON Jusco Seberang Perai City di Bandar Perda, Bukit Mertajam tampil bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP).

Pusat beli-belah adalah sebuah lokasi yang paling ramai dikunjungi masyarakat pelbagai peringkat usia dan latar belakang tanpa mengira waktu. Kerjasama kedua-dua pihak terbabit dimeterai pada 22 Ogos 2008 apabila sebuah perpustakaan mini beroperasi di AEON Jusco.

Dikenali sebagai Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco, ia disediakan secara percuma oleh pengurusan AEON Jusco Seberang Perai City - PPAPP dengan koleksi hampir 4,000 naskhah bahan bacaan, lebih 300 bahan media termasuk CD-Rom, kaset dan video serta hampir 350 majalah di setiap rak kawasan berkeluasan 398 meter persegi.

Setelah lebih setahun dibuka, jumlah pengunjungnya melebihi 150 orang pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah termasuklah ketika menjelang musim peperiksaan. - Sumber: kosmo.com.my
Walau bagaimana pun, adalah diharapkan agar pihak perpustakaan di pasar raya merekodkan senarai log penggunaan perpustakaan oleh pelajar, pas masuk dan juga penggunaan CCTV bagi tujuan keselamatan, khususnya bagi pelajar-pelajar sekolah. Dengan adanya sistem rekod pelajar dan CCTV, sekurang-kurangnya ibu bapa boleh mengesahkan kehadiran pelajar-pelajar mereka di perpustakaan. Ini dikhuatiri kemudahan perpustakaan seperti ini akan disalahgunakan sebagai perisai atau medium untuk tujuan lain oleh para pelajar.

Khamis, Disember 10, 2009

Kerajaan Malaysia Belanja RM30 Sehari Untuk Seorang Pendatang Tanpa Izin

Alangkah bagusnya jika nilai RM30.2 juta itu digunakan kerajaan untuk menampung keperluan pembangunan moral generasi muda rakyat Malaysia yang rata-rata masih cenderung untuk merugikan duit kerajaan. Kos yang digunakan untuk menanggung perbelanjaan sehari bagi seorang Pati pula ialah RM30. Baik sungguh kerajaan Malaysia. Betapa pemurahnya kerajaan Malaysia. Syabas! Syabas! RM30 atau nilai tiga puluh ringgit untuk seorang pendatang tanpa izin bukan satu nilai kecil. Sebulan, sudah RM900.

Berdasarkan nilai mata wang Malaysia pada hari ini, nilai perbelanjaan untuk makan minum yang biasa bagi seorang rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di sekitar bandar-bandar besar adalah seperti berikut:
Sarapan Pagi = RM4
Makan Tengah Hari = RM6
Makan Malam = RM6
Secara purata, untuk makan minum, kos perbelanjaan makanan harian individu ialah RM16. Kos ini meliputi sepinggan lengkap hidangan untuk satu-satu waktu dan minuman. Sudah pasti, bukan air paip. Kos RM16 ini meliputi sebarang air berperisa.

Rata-rata pendatang tanpa izin terdiri daripada golongan yang tidak bersekolah, tidak tamat bersekolah dan kurang berjaya dalam pelajaran. Barangkali mereka hidup miskin hingga tidak mampu menyara yuran sekolah atau sememangnya mereka malas belajar semasa di sekolah. Melihatkan pada jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing sama ada yang datang dengan izin atau pun secara haram, satu rumusan dapat dibuat di sini bahawa pendatang asing ini berpelajaran rendah dan mungkin merupakan pelajar bermasalah semasa di sekolah.

Pendek kata, duit kerajaan Malaysia habis begitu sahaja untuk dibelanjakan secara percuma kepada warga asing yang bermasalah ini. Datang ke Malaysia mendatangkan masalah. Tidak tahu melintas jalan, merompak, mencuri, lanun, membunuh, tidak berpuasa di bulan Ramadhan, berambut panjang dan melepak di merata tempat, memotong barisan semasa beratur menaiki bas awam dan sebagainya. Semua ini, adalah kisah benar sama ada dibaca di dalam akhbar atau dilihat di depan mata.

Apa yang dapat disimpulkan di atas, kalau seseorang itu malas belajar, maka mereka akan menyusahkan kerajaan, dan menyusahkan orang ramai. Kerajaan Malaysia sangat baik kerana tidak menghantar golongan muda di Malaysia yang bermasalah ini ke negara-negara jiran untuk bekerja.

Kerajaan Malaysia belanja RM30 sehari untuk seorang pendatang tanpa izin. Namun ada media-media di negara jiran begitu agresif menghentam Malaysia. Sedar atau tidak di sini, kerajaan siapa lebih teruk? Rakyat negara siapa lebih teruk? Apa pun, pendatang tanpa izin berhak untuk hidup dan memperbaiki gaya kehidupan mereka. Tetapi apa gunanya jika mereka dapat menyara hidup tapi masih membuat onar di negara orang! Apa yang kerajaan negara mereka lakukan selama ini? Ternyata kerajaan negara mereka lebih teruk berbanding kerajaan Malaysia? Media-media di negara mereka buta sehingga sanggup mengutuk Malaysia. Buka matalah media-media asing yang kuat mengutuk kerajaan Malaysia selama ini. Rakyat di negara mereka jauh lebih teruk, kerajaan mereka jauh lebih teruk dan tidaklah begitu bertanggungjawab sehingga menimbulkan masalah kepada negara Malaysia dan rakyat Malaysia. Kalau betul kerajaan Malaysia teruk, kenapa rakyat di negara mereka lebih tertarik untuk datang ke negara ini? Ada yang sanggup tukar kerakyatan pula. Negara siapa lebih teruk? Kenapa rakyat mereka lari ke negara ini? Jawablah sendiri.

Negara Malaysia banyak bersabar kerana dibuli dan dianiayai oleh negara-negara lain yang tertentu. Semoga negara Malaysia akan terus aman makmur dan mampu menghadapi cabaran dengan lebih baik dan bahagia. Semoga Malaysia dijauhi daripada sebarang bencana alam dan wabak penyakit. Amin.

CEBISAN KATA-KATA: Ramai lagi pesakit kronik di Malaysia yang boleh mendapat manfaat daripada nilai RM30.2 juta itu. Tidak lupa juga anak-anak yatim dan ibu tunggal di Malaysia. Masih ada rakyat Malaysia yang terpaksa tinggal di dalam rumah buruk tanpa bekalan air dan elektrik. Teringat kisah seorang ibu tunggal (warga Malaysia) yang tabah menyara tujuh orang anak di sebuah rumah buruk tanpa sebarang bekalan air dan elektrik. Golongan seperti ini lebih layak menerima RM30 sehari berbanding pendatang tanpa izin yang banyak menyusahkan negara. RM30 juta... RM30 juta...
KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM30.2 juta untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara asal mereka bagi tempoh 2007 hingga 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata jumlah itu digunakan untuk menampung kos pengusiran seramai 154,729 orang Pati.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM30 sehari bagi seorang Pati yang ditahan di Depot Imigresen.

"Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan adalah meliputi kos harian dan kos rawatan sahaja. Kos ini tidak termasuk kos perubatan.

"Manakala, kos bagi urusan pengusiran Pati ke negara asing iaitu udara, laut dan darat pula adalah di bawah tanggungjawab kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) di Parlimen di sini mengenai kos pengendalian Pati yang ditahan dan siapa yang menanggung kos pengembalian ke negara asal mereka.

Mohsin Fadzli juga mahu tahu bilangan Pati yang telah ditahan untuk tahun 2006-2008 mengikut pusat-pusat tahanan dan tempoh seseorang itu ditahan.

Abu Seman berkata, jumlah keseluruhan bilangan Pati yang ditahan di Depot Imigresen seluruh negara bagi tempoh tersebut ialah seramai 248,939 orang.

Beliau berkata, sebelum seseorang Pati itu dihukum dan kemudian diusir ke negara asal, mereka akan ditahan di Depot Tahanan Sementara.

Katanya, Pati yang ditahan adalah tertakluk kepada urusan pemeriksaan, identifikasi, siasatan dan dakwaan oleh pegawai-pegawai imigresen.

"Setelah Pati tersebut disiasat dan dikenakan hukuman (dipenjarakan atau dikompaun atau kedua-duanya sekali), Pati berkaitan kemudiannya akan diusir ke negara asal mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata tempoh penahanan seseorang Pati ditahan turut bergantung kepada beberapa faktor lain seperti dokumen perjalanan Pati, tiket kapal terbang dan pengesahan oleh pihak kedutaan. - Bernama

Penagih Punca Ragut - Antara Kambing Dan Peragut

Kambing yang sedia kita tahu adalah binatang yang tidak berdosa. Kambing tidak meragut beg tangan wanita. Kambing tidak menagih dadah. Manusia? Ada manusia yang ketagih dadah. Ada manusia yang meragut beg tangan wanita dan nenek tua. Terkutuk sungguh manusia itu. Jadi, siapakah yang lebih mulia? Kambing yang tidak berdosa atau manusia yang meragut beg tangan wanita? Bagaimana pula dengan kambing yang ego seperti yang diceritakan oleh kartunis Bawang dalam majalah Ujang sekitar awal tahun 2000 dahulu? Sesungguhnya isu ragut kini telah menjadi satu isu negara. Peragut-peragut kini semakin dajal menimbulkan kecelakaan di jalan raya dan di laluan pejalan kaki. Di mana-mana. Peragut. Di situ. Peragut. Di sana. Peragut. Di padang, kambing meragut rumput.

Gambar menunjukkan seekor kambing yang tidak berdosa
sedang meragut rumput.


Keterangan gambar: Betapa tidak berdosanya kambing ini meragut rumput. Betapa bahagianya kambing ini meragut rumput. Kenapa peragut tidak meragut rumput? Kenapa? Mari kita renung-renungkan fakta di bawah ini:
Penagih dadah yang semakin bertambah dengan lima penagih baru dikesan setiap hari menjadi punca kes ragut sehingga meragut nyawa, sukar dibendung.

Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, 70% kes ragut di Malaysia dilakukan oleh penagih dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyatakan selagi ada penagih dadah, selagi itu akan ada jenayah ragut.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zainal Abidin Kamarudin semalam memerintahkan seorang tertuduh kes ragut membaca dengan suara kuat laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kematian seorang mangsa ragut, Abdul Rahman Mohd. Khadla’din.

Sumber: Utusan Malaysia
Isu peragut di jalanan semakin kuat kedengaran. Bukan lagi laungan strategi politik untuk mengalihkan isu-isu berkenaan pengaruh individu dalam pilihan raya. Isu ragut kini isu nasional. Penagih dadah perlukan duit. Penagih dadah dipandang serong. Penagih dadah sukar mencari kerja. Kadangkala ada penagih dadah yang malas mencari kerja. Ada juga penagih dadah yang pernah bekerja tetapi dibuang kerja. Oleh kerana masyarakat tidak menerima lagi kebanyakan pekerja yang didapati positif menagih dadah, maka penagih dadah menjadi penganggur yang tidak terhormat, dan seterusnya hidup dengan menagih dadah. Saya, bersimpati besar, dengan golongan seperti ini.

Atas dasar itu, adalah elok sekiranya para penagih dadah pergi mengubati diri di Pusat Serenti atau di mana-mana pusat pemulihan dadah. Nescaya, mereka tidak perlu lagi meragut beg tangan orang lain semata-mata untuk mendapatkan wang yang tidak halal bagi memenuhi nafsu ketagihan mereka terhadap dadah.

Dadah merosakkan akal. Apabila saraf otak telah rosak, maka pemikiran pun tidak lagi waras. Lalok. Memalukan. Mengaibkan. Dadah musuh durjana. Dekati dadah membawa padah. Semasa di sekolah dahulu, kerap kali guru lukisan memberi tugasan melukis poster berkenaan anti-dadah. Di sekolah juga ada Kelab Anti-Dadah. Malah Mawi juga ada melaungkan kata-kata "Belia Benci Dadah!" semasa di pentas Akademi Fantasia dahulu.

Setiap hari, bilangan penagih dadah bertambah sebanyak lima orang. Sebulan ada lebih kurang tiga puluh hari. Maka, 150 orang penagih dadah dihasilkan secara tidak sengaja dalam masa satu bulan. Penagih dadah tidak dilahirkan menerusi hubungan seks. Bak kata, bukan salah ibu mengandung. Penagih dadah dilahirkan menerusi pengaruh kawan, setiap hari, setiap bulan, setiap tahun. Setahun ada 12 bulan. 12 darab dengan 150 sudah menjadi 1800 orang penagih dadah. Itulah yang jadi kalau tidak mahu dengar nasihat ibu bapa. Emak dan ayah pesan jangan bergaul dengan orang yang bukan-bukan, degil. Sekarang sudah terpengaruh dengan dadah, apa nak jadi?

Kos untuk memulihkan penagih dadah akan meningkat. Katakan 1800 orang dadah setiap tahun berjaya ditangkap dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah atau ke pusat Serenti. Berapa banyak perbelanjaan dibazirkan untuk memulihkan penagih dadah? Ada pula penagih dadah yang setelah dilepaskan keluar dari pusat-pusat pemulihan, mereka kembali menagih dadah kerana bergaul dengan kawan-kawan lama. Apa boleh buat, kawan-kawan mereka yang masih terlepas di luar sana sudah rosak akal fikirannya. Dadah telah merosakkan saraf otak yang menjadi tunjang penjana idea dan pemikiran logik lagi bernas. Dadah menjadikan fantasi menjadi semakin hebat sehingga mampu menakluki realiti.

Penagih dadah meragut beg tangan orang lain kerana ketagihan dadah. Di Malaysia tidak ada akademi dadah. Jadi, sudah pasti penagih dadah ini menjadi penagih dadah bukan kerana undian rakyat Malaysia. Penagih dadah ini menjadi peangih dadah kerana pengaruh kawan. Ini berbalik semula kepada kepentingan mengajar adab kepada manusia. Apa pun gejala yang berlaku di negara ini, semuanya mestilah berbalik kepada soal moral dan perikemanusiaan. Soal mengenang budi dan jasa. Soal menghormati orang lain. Jika anak menghormati ibu bapa, jika anak tahu mengenang budi dan jasa ibu bapa, maka pastilah si anak itu akan mendengar cakap ibu bapa. Ibu bapa kata jangan bergaul dengan budak menagih dadah, maka anak yang tahu mengenang budi pasti akan akur. Bagaimana pula kalau ayah atau ibu pun penagih dadah? Si anak sebagai seorang yang dilahirkan oleh ibu, perlu membalas jasa kesusahan ibu mengandung dan keperitan ibu melahirkan anak dengan membawa ibu bapanya kembali ke jalan yang benar.

Ahad, Oktober 11, 2009

Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa

Pandangan Amiene Rev Terhadap Isu RON92 dan RON95
Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa???
Kenapa budak sekarang semakin mengada-ngada?


Semasa di universiti, saya tidak memiliki sebarang kenderaan. Saya cuma menggunakan kaki. Peliknya, mahasiswa yang berkenderaan datang lebih lambat berbanding saya. Malah, mahasiswa yang berkenderaan juga ada yang masuk lewat ke kelas kuliah. Kuliah sudah bermula sekitar 5 minit, mereka baru terkedek-kedek masuk ke dewan kuliah.

Apabila ada mahasiswa mengatakan isu ketiadaan RON92 boleh mencacatkan pencapaian mereka, maka saya berasa sangat pelik. Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan mahasiswa kita tidak fleksibel. Perspektif saya terhadap isu yang dibangkitkan kini, mahasiswa generasi lama tampak lebih berdaya saing dalam hal begini, manakala mahasiswa sekarang amat lemah, rapuh, manja dan tidak pandai berdikari.

Telefon bimbit, laptop, iPod dan banyak lagi barangan mewah mampu dimiliki rata-rata mahasiswa kini. Saya pernah melalui zaman mahasiswa, dan saya dapati kebanyakan mahasiswa manja terdiri daripada mahasiswa yang memiliki kenderaan. Malah ada seorang mahasiswa mengatakan rasa kagumnya kepada saya kerana mampu melalui kehidupan dengan tenang di universiti tanpa kenderaan, dan datang awal atau tepat pada masanya ke kelas kuliah atau pertemuan pelajar. Kata mahasiswa itu lagi, kalau tak ada kenderaan di kampus ini, dia rasa tidak boleh hidup. Saya tersenyum pahit mendengar ulasan mahasiswa tersebut. Kenapa tak boleh hidup? Kenapa? Saya boleh. Kuncinya terletak pada pengurusan masa dan kewangan.

Tidak adakah kemudahan bas di universiti? Bagaimana pula dengan sistem pengangkutan lingkaran kampus di kolej atau di asrama? Kenapa mahasiswa tidak mahu duduk di asrama? Adakah kerana tidak mahu terkongkong? Bagaimana pula dengan soal disiplin dan pengurusan masa?

Saya juga pernah bergelar mahasiswa dan mendapat ijazah. Saya melalui zaman mahasiswa saya tanpa sebarang pengangkutan. Pengurusan masa adalah perkara yang penting. Cuma orang manja sahaja tidak pandai menguruskan masa.

Saya sedang menanti kehadiran hidrofuel. Saya berharap dunia kini akan semakin sejuk dan pencemaran udara semakin berkurangan. Jika RON95 lebih mesra alam berbanding RON92, maka seeloknya RON95 menggantikan RON92.

Semasa di universiti, saya pernah melihat mahasiswa yang membuang sampah di merata-rata tempat dan sehingga kini saya tertanya-tanya, kenapa kebanyakan mahasiswa pada masa ini kurang mengambil berat soal isu alam sekitar. Vandalisme, biadab dan manja.

Apabila ada mahasiswa yang membantah soal pemberhentian RON92, maka saya cuma katakan satu perkara sahaja. Mereka tidak fleksibel. Barangkali mereka tidak pernah melalui zaman seperti senior-senior mereka, berpeluh-peluh untuk menghadiri study group, kuliah atau perbincangan tugasan. Saya sendiri dahulunya adalah mahasiswa yang telah berjalan berjuta-juta kilometer, (menurut kajian yang dijalankan oleh sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Elektrikal dan Robotik). Saya tidak pernah merungut, saya tidak pernah menyusahkan orang, dan saya juga tidak pernah meminta-minta. Berat badan saya sentiasa 'fit' dan saya rasa setiap kali ke kelas kuliah, saya dapat bersenam, berjalan kaki ke kelas kuliah. Saya juga lebih tabah mengharungi panas terik matahari apabila pulang ke kuliah. Pengurusan masa yang bijak menjadikan saya lebih tenang menghadapi hari-hari saya bergelar mahasiswa.

Saya lebih mengutamakan isu alam sekitar berbanding isu RON92 untuk mahasiswa. RON95 lebih mesra alam, justeru eloklah RON92 yang kurang mesra alam dimansuhkan. Mahasiswa harus diajar berdikari. Saya sudah muak melihat sifat manja dan biadab sesetengah mahasiswa di universiti. Saya rasa tanpa kenderaan pun mereka masih boleh hidup. Pandai-pandailah berjimat cermat jika mahu menggunakan motosikal atau kereta.

Saya menyokong keputusan kerajaan memberhentikan RON92, melainkan ada bukti-bukti saintifik yang mengatakan RON92 lebih mesra alam berbanding RON95. Mahasiswa perlu mengubah sikap manja mereka, dan belajar mengurus masa dan kewangan dengan lebih bijak tanpa mengarah-arah orang yang lebih tua untuk mengikut pemikiran mereka. Cuba berdikari dahulu, jangan cepat merungut. Saya pun pernah melalui zaman mahasiswa, tanpa kenderaan dan penuh cabaran dan tekanan. Kenapa saya boleh berjaya dan kenapa anda tidak boleh? Jangan mengada-ngada. Cuba dahulu sebelum merungut itu dan ini. Baru lalui satu cabaran berat, sudah mahu merungut. Saya kecewa dengan sikap sebilangan besar mahasiswa sekarang.

RUJUKAN BERITA 1:
HARIAN METRO: Suara MPP: Pemberhentian RON92 sukarkan hidup mahasiswa

KEPUTUSAN kerajaan memberhentikan RON92 bakal merumitkan lagi keadaan dan mengasak kehidupan. Ini kerana kebiasaannya mereka yang menggunakan kenderaan ringan adalah dari golongan pendapatan rendah.

Pemberhentian itu turut memberi beban kepada golongan pelajar dan mahasiswa sehingga mencacatkan peningkatan penggunaan kenderaan di kampus.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, berkata daripada tinjauan rambang mendapati nisbah kepenggunaan kenderaan adalah 1:4:5 iaitu seorang berkereta, empat orang bermotor, dan bakinya menggunakan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, dengan nisbah itu, kira-kira 50 peratus mahasiswa tahun akhir bakal terjejas dengan penyelarasan terbaru harga minyak ini dan tidak mustahil ia akan memberi kesan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia.

"Keadaan ini pasti menyukarkan mahasiswa yang terpaksa berhadapan kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan keperluan pembelajaran yang semakin meningkat.

"Walaupun ia resam kehidupan mahasiswa, faktor kewangan memainkan peranan besar merencatkan pencapaian mereka," katanya.

Katanya, tidak dapat dinafikan, tekanan menjadikan kita lebih kreatif dan inovatif tetapi tekanan yang terlalu menekan juga tidak baik dalam hal ini.

"Justeru, saya menyeru tindakan menghentikan pengeluaran RON92 itu dikaji semula di samping penstrukturan semula penjualannya di tempat-tempat yang strategik khususnya di pinggir kota.

"Saya mencadangkan kuota penjualan yang lebih kompetetif dirumus untuk menguntungkan ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, pengusaha stesen minyak dan pengguna.

"Ini penting bagi memastikan tidak ada pihak yang ditindas seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi yang mapan," katanya.

Qassim berkata, amalan berkongsi kenderaan di kalangan masyarakat perlu disemarakkan supaya ia dapat meringankan beban peruntukan subsidi petrol yang menjangkau RM500 juta setahun.

"Amalan itu turut mengurangkan beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

"Perkongsian kenderaan dapat menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat," katanya.


BERITA RUJUKAN 2:
New RON95 Will Replace RON92 At All BHPetrol's 300 Over Stations

PETALING JAYA, Aug 6 (Bernama) -- BHPetrol will make available RON95 fuel at all its over 300 petrol stations nationwide starting Sept 1.

Named "infiniti95", it will be priced at RM1.75 per litre. It will replace its RON92 fuel, said managing director Tan Kim Thiam to reporters at the launch of the new fuel Thursday.

"RON92 will be replaced by RON95 in accordance with the government policy," he said. The government had asked oil companies to come up with environment-friendly fuel to preserve the environment from air pollution.

The new petrol is also called "double performance fuel" as it cleans and protects engines while giving extra mileage and power.

Tan said Infiniti95 will offer unparallel performance with its 800ppm additives which is twice the manufacturer's recommended minimum treat rate.

"This will allow Malaysians to try out our new fuel. We are confident they will feel the difference," he said.

Tan said the new fuel has been engineered to enhance performance by using a specially-formulated additive package from one of the world's leading chemical company in Germany.

He also said BHPetrol plans to open 12 new petrol stations annually. So far, six have been opened.

-- BERNAMA

Selasa, Oktober 06, 2009

Bencana Ribut Taufan 222 dan Malaysia

Kata seorang alim, negara kita Malaysia belum ditimpa bencana alam yang buruk seperti lain-lain negara jiran, sebab rakyat di negara kita tidak menentang pemimpin negara secara radikal. Ini bermaksud rakyat kita belum derhaka dengan pemimpin. Selepas kematian Noordin Mat Top, barulah Indonesia ditimpa bencana.

Rakyat di negara kita menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan secara aman. Biarpun rakyat teruk dibelasah orang-orang bawahan pemimpin, rakyat kita tidak melawan seteruk rakyat di negara jiran. Sebab itu, menurut orang alim itu, negara kita masih aman daripada sebarang bencana.

Walaupun maksiat berleluasa di negara kita, namun kerana sikap tidak derhaka kepada pemimpin menyebabkan rakyat kita terselamat daripada bencana alam. Memang benar ada pemimpin yang menyeleweng di negara kita, namun, itu urusan pemimpin tersebut dengan Tuhan.

Kita sebagai rakyat sudah menegur pemimpin-pemimpin tersebut, tanpa bertindak menderhakai pemimpin-pemimpin kita. Namun kini terpulanglah kepada para pemimpin untuk memilih yang baik daripada yang buruk.