BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Malam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malam. Papar semua catatan

Selasa, Februari 19, 2008

Mimpi Aneh - Semoga Tidak Berlaku

Malam tadi berlaku suatu mimpi yang aneh. Maka hari ini aku mengorbankan masa untuk membuka blog dari laman web blogger yang sudah terjejas fungsinya akibat sekatan server di tempat aku, untuk mencatatkan mimpi ini.

Aku tidak pasti sama ada mimpi ini adalah reaksi daripada manuskrip seorang penulis yang pernah aku teliti, atau mungkin berkaitan dengan perkara lain. Apa pun perkara di dalam mimpi ini, sama ada memiliki maksud tersurat, atau tersirat, atau sekadar mimpi.

Dalam mimpi itu aku melihat rusuhan. Terdapat satu bangsa lain di negara ini memulakan rusuhan. Membunuh orang awam. Kemudian bangsa utama di negara ini mula melibatkan diri. Konflik berdarah terus berlaku. Semakin ramai orang terlibat. Semakin ramai bangsa yang membunuh dan dibunuh. Tidak kira usia muda atau tua.

Sehingga satu masa... kedamaian dicapai.

Sabtu, Oktober 27, 2007

Bermimpi Tentang Hantu, Tentang Super Hero

Malam tadi mimpinya sangat aneh. Aku berada di sebuah rumah besar seakan-akan pusat membeli belah. Dalam mimpi itu, aku bermimpi setiap kali aku hendak tidur, akan terdengar suara orang membuat persiapan hari raya, yang meriah tetapi seram. Kontradiksi yang kurang menyenangkan.

Setiap kali itu juga aku bangun, dan turun daripada rumah besar, yang diperbuat daripada kayu itu, untuk memastikan sama ada aku bermimpi atau pun tidak. Benar, wujud hantu!

Kemudian, aku bermimpi suatu perkara yang lebih menggemparkan. Aku bermimpi aku mewakili sekumpulan elit yang aneh. Dalam mimpi itu, aku perlu merampas sesuatu daripada satu kumpulan yang lain. Kumpulan yang satu lagi ini berpecah-pecah untuk menyukarkan kami merampas barang tersebut. Barang tersebut berupa satu kepingan kulit yang tertera satu simbol misteri. Kami berpecah, dan mengejar mereka semahu-mahunya.

Lebih unik, apabila setiap ahli kumpulan kami mampu mengubah rupa, dan menggunakan senjata yang unik. Aku menggunakan tiga mod yang berbeza, dan memburu pihak musuh sehingga ke luar bangunan yang tinggi, melompat dari satu bangunan ke satu bangunan dengan kuasa roket yang memancarkan cahaya ungu dan biru. Di tanganku terdapat senjata berupa kuku tajam yang panjang seperti watak hero Wolverine dalam X-Men. Kuku ini terhasil daripada sinar seakan-akan laser. Juga terdapat satu mod yang bersenjata yang lain, iaitu mampu memancarkan laser beam tetapi banyak menggunakan tenaga.

Aku memilih mod yang barangkali merupakan mod senjata yang terakhir iaitu sepasang tangan yang mampu menyerap tenaga daripada pihak musuh. Menggunakan mod ini, aku berjaya merampas 4 kepingan kulit yang tertera simbol misteri. Rakan-rakan sepasukan yang lain juga berjaya menyelesaikan tugas mereka. Musuh-musuh dibunuh semasa proses mendapatkan simbol misteri itu, cuma seorang sahaja yang dibiarkan hidup. Dia, musuh yang terakhir ini tidak melawan, dan menyerahkan saja simbol tersebut.

Kemudian kami pulang ke kubu. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini. Suasana futuristik dengan pancaran cahaya biru dan hijau. Misi selesai.


Dalam mimpi itu aku mengulas ketiga-tiga mod senjata yang digunakan:

  1. Mod bersenjata dengan senjata pencakar daripada cahaya laser seakan-akan wolverine. Terdapat sepasang roket bersifat jump-air atau speed booster yang berfungsi untuk membolehkan pengguna memecut laju ke hadapan atau melonjak ke udara. Aku menggunakan mod ini untuk mengejar salah seorang musuh, melompat dan menjejak/memanjat bangunan tinggi.
  2. Mod bersenjata dengan senjata seakan-akan laser beam. Pancaran laser ini seolah-olah hidup dan mampu mencari sasaran seperti seekor ular. Suit bersayap besi seolah-olah sayap jet yang digunakan pula bersifat membolehkan aku terbang di udara dengan bebas untuk menjejaki musuh. Pancaran laser ini mempunyai dua fungsi, memusnah dan menyerap kuasa musuh. Penggunaannya perlu strategik, sebab pengguna harus tahu bila masa yang sesuai untuk menyerap kuasa musuh untuk memastikan kuasa senjata ini tidak habis. Ini adalah kelemahan senjata yang amat berkuasa ini.
  3. Mod dengan sepasang tangan yang mampu menyerap kuasa musuh. Apabila dalam mod ini, aku mampu bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi untuk mengejar musuh. Mod ini merupakan mod terakhir yang aku gunakan untuk menyelesaikan misi.


Musuh-musuh pula kelihatan agak biasa. Aku tidak pasti sama ada pasukan kami terlalu kuat atau pihak musuh yang terlalu lemah. Aku juga tidak tahu apa motif merampas kepingan kulit dengan simbol misteri itu. Apa pun yang berlaku, misi itu berjaya diselesaikan.

Namun musuh yang terakhir itu ada memberitahu sesuatu kepada kumpulan kami. Menyebabkan dia tidak dibunuh. Barangkali, itu adalah klu untuk satu jawapan penting yang aku mahukan. Maklumat yang diberitahu musuh itu, akan menjadi rahsia.

Sabtu, September 15, 2007

Melayang-layang Dalam Lucid Dream, Susah bangun tidur kerana Paralysis Dream

Sungguh seronok hidup ini, jika salah satu lumrah manusia ialah berkeupayaan untuk terbang. Aku tidak pasti, ini kali ke berapa aku bermimpi, boleh terbang melayang-layang dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Terbang dengan pantas dan bebas.

Mimpi melayang-layang dengan kawalan diri ini sudah menjadi permainan mimpi sejak dahulu lagi, sudah berbelas-belas tahun lamanya.

Apa yang menarik mengenai keupayaan terbang di dalam mimpi ini, ialah aku berupaya terbang hampir dalam kesemua mimpi yang dialami. Mimpi-mimpi ini pula seolah-olah benar, dan kebanyakan masalah yang wujud di dalam mimpi, dapat diselesaikan, seolah-olah aku mengawal mimpi.

Pernah juga beberapa ketika, aku mengalami keadaan tanpa mimpi, tidur malam yang sentiasa gelap tanpa bayangan atau imaginasi. Juga pernah juga aku mengubahsuai mimpi yang menyeramkan menjadi mimpi yang baik-baik.

Pendek kata, mimpi boleh dikawal sekiranya kita mahu. Mimpi yang boleh dikawal dan diubah ini pula dipanggil lucid dream. Aku tidak pasti pula istilah dalam Bahasa Melayu.

Antara laman web yang banyak membincangkan mengenai lucid dream ini ialah laman web www.lucidity.com atau klik di sini.

Ada beberapa jenis mimpi yang tidak dapat dikawal. Bagi aku, mimpi yang seperti ini, mempunyai maksud atau berita tertentu, yang kemudiannya menjadi kenyataan pada kemudian hari. Antara mimpi-mimpi ini, termasuklah kematian kawan-kawanku, dan juga peristiwa tsunami yang berlaku beberapa tahun lepas. Mimpi-mimpi ini tidak dapat kuubah.

Pernahkah antara kita yang berasa susah hendak bangkit, terasa berat badan, tengkuk atau tangan apabila hendak diangkat. Keadaan ini dipanggil sebagai sleep paralysis. Kadangkala, ada juga sesetengah orang beranggapan ini sebagai kes ditindih jin. Tolong, jin tindih saya!

Masalah untuk mengatasi kes ditindih jin ada diceritakan di laman web wikihow.com atau klik di sini.

Apa pun, bagi aku, mimpi berkeupayaan untuk terbang ini adalah lambang kebebasan.

Isnin, Julai 02, 2007

Malam Seram Angin Bersiul

Di sekolah ini, pelajar yang bersekolah rendah, bersekolah menengah, dan juga, yang sepatutnya di tingkatan enam atas belajar sebumbung. Pada malam harinya, suatu ketika, angin bertiup dengan sangat kencang sehingga menumbangkan pasu-pasu bunga. Bunyi angin ribut kedengaran sungguh kuat, seperti desiran air laut di pantai dan juga, di lautan.

Malam itu aku terdengar suara orang bersiul. Pintu dihempas beberapa kali. Daun-daun tingkap membebel dan meracau-racau. Adakah ini siulan semangat badai pada malam hari?

Katak-katak hijau bersaiz besar dan kembung badannya mula berbunyi. Menyambut kedatangan semangat badai.

Kruak... Kruak... Kruak...

Semangat badai terus bersiul.

Wisel.... wisel.... wisel...