BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Kisah Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Seram. Papar semua catatan

Selasa, Mei 29, 2012

KISAH BENAR: Jalan Bukit Lengkok - Batu Nisan Panjang dan Lembaga Wanita Berambut Panjang

Langkah-langkah Untuk Menghadapi Gangguan Berhantu 
Di Jalan Bukit Lengkok
Petua oleh Amiene Rev (C) 2012

Sememangnya apabila kita menyebut hantu, pasti ramai jugalah yang berasa takut dengan lembaga-lembaga hantu ini. Hantu selalunya muncul dalam gaya yang seram, misteri, dingin, tidak mesra dan pelik serta lain dari yang lain. Hal ini menyebabkan ramai manusia berasa takut atau gerun dengan hantu.

Hakikatnya hantu bukanlah sesuatu yang merbahaya, kecuali jika hantu itu berjaya menyebabkan panik atau kejutan besar atau ketakutan yang melampau dalam diri seseorang manusia, maka barulah kebahayaan akan timbul. Contohnya jika tiba-tiba ada seekor kambing melintas jalan, dan pada ketika itu pemandu memandu laju, maka pastilah pemandu itu terkejut melihat kambing di tengah jalan dan mungkin ada yang memusingkan stereng atau mungkin juga terus melanggar kambing itu.

Begitu juga dengan hantu. Ada beberapa cara supaya anda dapat memberanikan diri dengan hantu. Perkara paling asas ialah, kenali hantu dan sikap hantu terhadap manusia. Jalan Bukit Lengkok barangkali merupakan satu tempat latihan untuk menghilangkan rasa takut kepada hantu dan juga merupakan satu cara untuk memberanikan diri untuk berjalan di sekitar kawasan berhantu. Berikut adalah petua dan langkah-langkah untuk menghadapi gangguan hantu di jalan yang berhantu:

Pertama: Tetapkan di dalam hati bahawa anda dan hantu sama-sama wujud di dunia ini tetapi dalam dimensi yang berbeza. Oleh itu, seperti manusia, hantu juga ada kehidupan sendiri yang tidak boleh diganggu. Apabila anda bertemu hantu, anggap sahaja anda bertemu dengan manusia yang lain.

Kedua: Apabila anda ternampak hantu, terima hakikat bahawa hantu itu sememangnya berupa seram, berperwatakan misteri, kelihatan seperti seorang psiko, dan kurang adab. Kurang adab kerana sering memunculkan diri di dalam kenderaan atau membonceng motorsikal orang tanpa meminta izin daripada pemandu kenderaan.

Ketiga: Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Oleh itu, kita harus faham bahawa hantu ini juga adalah jin, dan jika mereka dengan secara kurang ajarnya memunculkan diri di dalam kereta, maka anda juga boleh memulangkan paku buah keras kepada hantu ini dengan tidak melayan mereka.

Keempat: Barangkali hantu ini sedar bahawa mereka tidak boleh dilanggar sebab itu mereka berani duduk di tengah jalan. Jika anda melalui jalan berhantu ini, pandulah perlahan-lahan supaya anda dapat membezakan antara hantu dengan kambing yang sebenar atau perempuan yang sebenar. Tetapi manusia yang normal tidak akan mencari nahas dengan berdiri di tengah jalan, oleh itu jika anda ternampak makhluk yang berupa pelik, yakni hantu, pandu terus sahaja sebab kereta anda tidak akan mencederakan hantu. Hantu hidup dalam dimensi yang berbeza dengan dunia manusia.

Kelima: Kalau kita sudah tahu hantu itu suka mengacau orang di jalan-jalan, maka itu bermaksud hantu itu bosan atau ada mesej tertentu yang mahu disampaikan kepada kita. Oleh itu jika kita bukan seorang yang penyibuk, baca sahajalah ayat-ayat Al-Quran supaya hantu itu tidak mengganggu kita.

Keenam: Kita juga boleh buat tidak tahu sahaja hantu itu ada atau tidak, sebab jika kita sibuk, tentu kita tidak akan ada masa untuk bermain-main takut dengan hantu. Oleh itu, teruskan perjalanan seperti biasa sampai selamat tiba ke destinasi.

Ketujuh: Kita juga berpeluang mengadakan lawatan ke tempat-tempat seram atau berhantu. Kita harus faham, roh orang yang mati tidak akan menjadi hantu. Hantu ini sebenarnya adalah lakonan jin. Jin menyamar sebagai hantu. Roh orang yang mati telah naik ke langit tetapi jin-jin yang nakal ini dengan biadabnya telah menyamar menjadi hantu. Atau mungkin ada jin yang kurang perhatian ibu bapa dan oleh itu jin ini mencari manusia supaya mereka mendapat perhatian. Oleh itu, jalan-jalan berhantu ini juga adalah peluang untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan pelancongan ke tempat-tempat berhantu dan dalam pada masa yang sama menyebabkan hantu-hantu berasa kewujudannya dihargai. Apabila ternampak lembaga hantu ini, jemputlah para pelancong supaya melambaikan tangan dengan gembira kepada hantu-hantu ini.sebagai tanda memberi perhatian kepada hantu-hantu ini. Hantu-hantu ini mungkin akan berasa bahagia kerana kewujudannya kini telah dihargai.

Menurut kepercayaan saya hantu itu bukan roh manusia yang telah mati tetapi sebaliknya adalah penyamaran jin-jin yang kebetulan melihat peristiwa tersebut. Tulisan di atas ini ditulis berdasarkan kisah di bawah ini:


KISAH BENAR: Misteri Lembaga Wanita Dalam Kereta Wartawan Sinar

KULIM – “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui Jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

“Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya. (Sinar Harian)

Ahad, Jun 12, 2011

Kisah Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Aksi Penonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku

Kisah seram di lebuh raya Karak kini semakin hangat dibicarakan selepas munculnya Filem Karak. Filem Karak membicarakan tentang 'urban legend' atau kisah-kisah seram yang meremangkan bulu roma dan dikatakan benar-benar berlaku dan menjadi topik perbualan orang ramai sehingga kini. Entri ini mengandungi dua bahagian judul iaitu:
  • Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
  • Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak

Hantu Budak Sekolah Sesat Cari Ibu Di Lebuh Raya Karak
Penulis: Amiene Rev

Sesiapa yang pernah menonton Momok The Movie - Jangan Panggil Aku, dan Karak - Jalan Puaka mungkin akan mengetahui serba sedikit mengenai apa yang ingin saya bicarakan dalam tulisan saya kali ini

Dalam Filem Momok The Movie, terdapat enam peristiwa aneh melibatkan makhluk halus atau gangguan hantu puaka di sepanjang perjalanan mereka. Pertama, hantu budak yang mampu berlari laju mengejar kereta mereka. Kedua, kereta Volkswagen kuning tanpa pemandu. Ketiga, Gerai Bunian di tepi jalan. Keempat, puntianak penghaus darah yang menyamar sebagai gadis cantik. Kelima, misteri panggilan daripada arwah kawan mereka. Keenam, misteri kewujudan lelaki pelik yang dikenali sebagai Abang Long yang menumpang kenderaan mereka sepanjang malam, yang turut mengenali makhluk-makhluk halus dan pontianak yang ditemui mereka.

Dalam Filem Karak pula, terdapat beberapa jenis hantu yang dipamerkan. Antaranya ialah hantu misteri yang memakan suami orang, perempuan tua yang boleh terbang, hantu budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku dan perempuan cantik yang kepalanya boleh tercabut serta Volkswagen kuning yang tidak putus-putus muncul dan memintas kereta watak-watak utama filem Karak.

Hantu Budak Sesat Cari Emak dan Hantu Budak Sekolah Buta Mata yang menghalang jalan ada persamaan dari fungsi gangguannya. Kedua-dua hantu ini mengganggu pengguna jalan raya. Dalam filem Momok The Movie, hantu ini membiarkan dirinya dilanggar pemandu kenderaan dan kemudian pemandu yang prihatin akan menyiasat apa yang dilanggar. Budak ini kemudiannya memunculkan dirinya dan kelihatan amat misteri dan seram.

Dalam filem Karak pula, budak sekolah yang buta matanya dicucuk paku berdiri di tengah jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu kenderaan terbabas semata-mata terkejut dan mahu mengelakkan diri dari melanggar budak tersebut. Kawasan tempat budak sekolah bermata buta dicucuk paku itu diwartakan sebagai kawasan angin lintang. Nampaknya selepas ini, mungkin ada pemandu kenderaan yang menggunakan lebuh raya Karak atau mana-mana lebuh raya akan berasa takut dengan kawasan yang ada ditandakan sebagai kawasan angin lintang. Ini adalah satu lagi versi hantu budak sesat cari emak di Lebuh Raya Karak.


Kisah Asal Usul Hantu Budak Sesat Cari Emak di Lebuh Raya Karak
Diceritakan Semula Oleh: Amiene Rev (C) 2011

Pada suatu malam, ada seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Selalunya ramai orang memilih untuk mengguna lebuh raya Karak pada waktu malam kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya dan juga bahang panas matahari.

Namun, lelaki ini yang begitu suci pemikirannya daripada kisah-kisah hantu di lebuh raya Karak terlalu penat pada malam itu, lalu memilih untuk berhenti memandu dan tidur di dalam kereta di tepi jalan. Silap besar! Itulah yang berlaku. Mungkin Uncle Seeker boleh menggunakan idea ini untuk mengesan kewujudan entiti dan bukti kewujudan hantu di Lebuh Raya Karak.

Baru sahaja beberapa minit dia terlelap, dia kembali dikejutkan dengan bunyi ketukan tingkap dari luar. Rupa-rupanya ada seorang budak lelaki yang merenungnya tanpa berkelip-kelip dan bertanya kepadanya di mana ibunya.

Pemandu itu masih mempunyai naluri yang kuat. Nalurinya kuat mengatakan dia harus menghidupkan enjin kereta dan memecut laju dan jangan mempedulikan budak misteri itu. Pemandu itu pun terus meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipecut laju. Dari cermin belakang keretanya, dia melihat budak itu masih mengejar dengan laju walaupun pada ketika itu kereta pemandu itu sedang bergerak pada kelajuan melebihi had laju nasional. Budak itu masih lagi mampu mengekori keretanya dan sempat lagi bersaing sebelah menyebelah dengan pemandu kereta itu. Budak itu terus bertanya dan bertanya jika pemandu itu tahu di mana ibunya.

Kemudian sebuah kereta polis peronda pun muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah hantu budak sesat cari ibu itu menghilangkan diri. Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun menceritakan segala-galanya kepada pegawai polis. Pegawai polis memberitahu lelaki tersebut:

Pada suatu ketika dahulu, ada kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta tersebut tidak memaki tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak tersebut telah tercampak keluar dari keretanya. Manakala budak tersebut kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.

Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun bertanya bila peristiwa itu berlaku. Pegawai polis itu memberitahu, lama sudah.

Lelaki itu berasa pelik kenapa budak itu tidak membesar. Polis itu pun memberitahu, kalau dah namanya hantu, seratus tahun lagi pun macam itulah rupanya.

Begitulah kisah hantu budak sesat cari emak di lebuh raya Kuala Lumpur. Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu yang duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu. Benar atau tidak kisah ini, wallahualam.

Lampiran arkib sumber artikel dan kajian terdahulu berkenaan Lebuh Raya Karak:

Selasa, Disember 07, 2010

Kisah Hantu Asrama - Merokok Di Belakang Blok - Temubual 5

Kali ini, Amiene Rev dijemput untuk menemubual beberapa orang pelajar di sebuah sekolah asrama yang lain pula bagi mengesan sama ada wujudnya persamaan antara satu kisah dengan satu kisah yang lain berkenaan gangguan hantu di sekolah tersebut. Temubual ini telah diringkaskan.

Amiene Rev: Sudah berapa lama adik-adik semua bersekolah di sini?

Pelajar 1: Baru setahun.

Pelajar 2: Sama. (Pelajar ini menemani rakannya)

Amiene Rev: Ada tak apa-apa kisah yang berkaitan dengan histeria di sekolah ini?

Pelajar 1: Ada.

Amiene Rev: Bila kejadian histeria tersebut berlaku?

Pelajar 1: Banyak kali. Dalam bulan lepas.

Amiene Rev: Masa tu ada tak peperiksaan atau ujian?

Pelajar 1: Ada. Adakan? (bertanya kepada rakannya)

Pelajar 2: (Angguk)

Amiene Rev: Apa punca histeria itu berlaku?

Pelajar 1: Budak tu nampak hantu.

Pelajar 2: Lembaga hitam.

Amiene Rev: Di mana dan bila?

Pelajar 1: Malam-malam. Banyak tempat.

Pelajar 2: Kelas prep.

Amiene Rev: Apa hantu tu buat?

Pelajar 1: Dia merayau-rayau.

Amiene Rev: Bagaimana rupa hantu tu?

Pelajar 1: Macam bayang-bayang. Orangnya tak nampak tapi nampak bayang-bayang.

Amiene Rev: Boleh jelaskan rupa bayang-bayang tu?

Pelajar 2: Warna hitam. Macam bayang-bayang orang, tapi orangnya tak ada.

Amiene Rev: Pelajar-pelajar yang nampak ada ambil apa-apa tindakan?

Pelajar 2: Dia marah-marah dekat bayang-bayang tu. Ada yang jerit "Hoi!"

Amiene Rev: Siapa pelajar tersebut.

Pelajar 2: Senior.

Amiene Rev: Bila kejadian tu berlaku. Boleh ingat dengan lebih spesifik?

Pelajar 2: Dalam sebulan lepas. Masa tu dalam dorm. Lepas kelas prep. Saya dengan senior nampak benda tu rayau-rayau. Dekat koridor sampai belakang blok.

Amiene Rev: Ada tak sumber lampu, atau apa-apa lampu yang menyala masa bayang-bayang tu berkeliaran.

Pelajar 2: Ada.

Amiene Rev: Di sekolah ni ada tak pelajar yang lepas kelas prep, pergi rayau mana-mana?

Pelajar 2: Ada.

Amiene Rev: Dia orang merayau dekat belakang blok?

Pelajar 2: Ya.

Amiene Rev: Waktu hantu tu lalu? Atau sebelum?

Pelajar 2: Sebelum. Dia orang ponteng kelas prep.

Amiene Rev: Dia orang tak takut dengan hantu?

Pelajar 2: Tak. Tapi dia orang pesan dekat budak-budak junior, jangan pergi belakang blok.

Amiene Rev: Ada tak jumpa apa-apa belakang blok. Macam puntung rokok?

Pelajar 1: Ada.

Pelajar 2: (Menarik-narik tangan Pelajar 1).

Amiene Rev: Ada tak kes jumpa rokok di sekolah ni masa spot check?

Pelajar 1: Ada.

KESIMPULAN: Berdasarkan keterangan beberapa orang pelajar yang lain lagi, didapati cerita-cerita hantu yang dibuat di sekolah ini ada kaitan dengan taktik pelajar-pelajar tertentu untuk menyembunyikan kegiatan ponteng kelas prep dan merokok di belakang blok. Namun, kemudiannya cerita itu telah diceritakan semula dan dianggap benar atau mungkin telah menimbulkan rasa gerun di kalangan mereka. Pendek kata, walaupun mereka tahu cerita hantu tersebut pada asalnya direka-reka, namun cerita hantu tersebut telah mempengaruhi minda para pelajar di asrama tersebut.

Isnin, Disember 06, 2010

Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama - Temubual 1-4

Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama 1:
"Nak Balik ke? Haa... Dah Tau Dah."
Temubual Amiene Rev dengan Warga Asrama

Kisah-kisah hantu di asrama memang banyak di dengar. Kali ini, Amiene Rev menerima aduan daripada sekumpulan manusia yang meminta Amiene Rev menyiasat kewujudan hantu di sebuah sekolah di satu negeri yang dirahsiakan. Menurut pengadu menerusi e-mel yang dikirimkan kepadaku, dia takut hendak belajar di sekolah itu lagi, tetapi kewujudan hantu tersebut dikatakan rekaan pelajar semata-mata. Sebagai anggota pengkaji peristiwa mistik dan paranormal, Amiene Rev pun bergegas ke tempat kejadian.

TEMUBUAL 1: MOHON MESIN BASUH AUTOMATIK UNTUK ELAK DIGANGGU HANTU
NOTA: Temubual Amiene Rev Dengan Pelajar Di Sekolah Asrama Berhantu. Temubual ini telah diringkaskan.

Amiene Rev: Saudarikah yang menghantar e-mel kepada saya mengenai sesuatu yang mengganggu pelajar-pelajar di asrama ini, tempoh hari?

Pelajar 1: Sebenarnya ini cerita kawan saya, saya takutlah.

Amiene Rev: Bagaimana ceritanya?

Pelajar 1: Ada kawan saya tengah basuh baju dalam bilik air, lepas tu dia jumpa hantu tak ada kaki dalam bilik air.

Amiene Rev: Lepas itu apa yang terjadi?

Pelajar 1: Kawan saya itu larilah.

Amiene Rev: Lari macam itu saja?

Pelajar 1: Tak, sebelum tu, hantu tu suruh dia kutip berus. Lepas tu baru dia lari. Tapi bila nak kutip berus tulah baru kawan saya sedar yang hantu tu tak ada kaki. Hantu tu sempat tanya, dah nak balik dah? Tapi kawan saya lari macam itu saja. Hantu tu pun cakap "Ha... dah tau dah"

Amiene Rev: Berus tu siapa yang punya?

Pelajar 1: Hantu tu yang punya. Lepas tu sekarang, kita orang harap sangat-sangatlah kalau pihak asrama sediakan mesin basuh. Kalau boleh yang automatik.

TEMUBUAL 2: TAKUT BELAJAR DI STUDY ROOM KERANA DIGANGGU HANTU STUDY ROOM
Temubual yang kedua ini, melibatkan pelajar yang lain pula di sekolah yang sama. Untuk memastikan kesahihan cerita sebelum melakukan siasatan lanjutan dengan memanggil pakar-pakar perunding hantu, aku perlu melakukan pengesahan terlebih dahulu supaya tidak menyusahkan individu-individu yang hendak dipanggil nanti. Manalah tahu jika cerita hantu asrama yang diceritakan ini sekadar rekaan semata-mata?

Amiene Rev: Sudah lamakah cerita hantu di asrama sekolah ini tersebar?

Pelajar 2: Lama jugalah. Sejak dari tingkatan 1 sampai sekarang, saya selalu dengar cerita fasal hantu-hantu yang kacau budak-budak ni.

Amiene Rev: Di mana hantu tu selalu ganggu pelajar?

Pelajar 2: Selalunya di bilik belajar. Study room. Sesiapa yang rajin sangat belajar di bilik belajar tu sampai larut malam mesti kena. Dah ramai dah yang kena.

Amiene Rev: Berapa ramai?

Pelajar 2: Ramai.

Amiene Rev: Cerita mereka sama?

Pelajar 2: A'ah. Hantu tu pura-pura pen jatuh. Lepas tu dia suruh pelajar tu kutip.

Amiene Rev: Rupa hantu tu macam mana?

Pelajar 2: Macam orang. Dia menyamar jadi pelajar lain.

Amiene Rev: Agak-agak tahu tak siapa nama rupa pelajar yang hantu tu samarkan?

Pelajar 2: Ramai. Tapi selalunya macam kawan baik pelajar tulah.

Amiene Rev: Apa ciri-ciri fizikal rupa hantu tu semasa dia menyamar jadi pelajar?

Pelajar 2: Hantu tu tak ada kaki. Dia suruh ambil pen, lepas tu masa nak ambil pen, tengok kaki pelajar tu tak ada. Terus pelajar tu cabut lari.

Amiene Rev: Hantu tu ada kejar pelajar tu tak?

Pelajar 2: Tak. Dia tanya saja, dah nak balik dah? Lepas tu hantu tu cakap, "Ha... dah tau dah."

Amiene Rev: Apa tindakan para pelajar bila dah tau ada hantu di bilik belajar tu?

Pelajar 2: Kita orang dah jarang pergi belajar kat study room. Takutlah.


TEMUBUAL 3: HANTU MENGIRA BERAPA ORANG PELAJAR DAH TIDUR DI ASRAMA
Kedua-dua pelajar yang ditemubual menunjukkan ada persamaan dalam kisah gangguan hantu. Apa pun sama ada cerita ini disebarkan menerusi kawan-kawan yang kemudiannya diingati atau dihafal oleh pelajar-pelajar di sekolah itu tidaklah dapat disahkan. Oleh itu, Amiene Rev meneruskan temubualnya dengan pelajar yang lain. Ternyata, hasilnya kali ini berbeza.

Amiene Rev: Saudara mengakui pernah diganggu hantu?

Pelajar 3: Betullah tu. Takutlah!

Amiene Rev: Di mana hantu itu mengganggu saudara?

Pelajar 3: Di bilik asrama kita orang. Seram!

Amiene Rev: Bagaimana saudara tahu yang mengganggu itu ialah hantu?

Pelajar 3: Masa tu saya dan tiga orang kawan saya ada dalam bilik. Kawan saya semua dah tidur. Saya belum.

Amiene Rev: Apa hantu tu buat?

Pelajar 3: Hantu tu cakap, "Katil satu dah tidur, katil dua dah tidur, katil tiga dah tidur... katil empat belum tidur lagi." Lepas tu hantu tu mengilai kuat-kuat.

Amiene Rev: Hantu tu ada di mana?

Pelajar 3: Dekat atas almari atau celah siling dekat langsir. Tak pastilah! Takut!

Amiene Rev: Almari tu berada di mana? Dekat dengan tingkap?

Pelajar 3: Ya. Lepas tu saya tak duduk asrama lagi dah. Lagi sanggup berulang dari rumah ke sekolah. Tak jauh pun. Naik bas saja.

Amiene Rev: Suara hantu tu suara lelaki ke suara perempuan? Ada nampak tak hantu tu?

Pelajar 3: Suara hantu tu macam lelaki, tetapi kepit-kepit macam perempuan. Macam pondan pun ada. Tapi biasalah suara hantu memang macam tu.

Amiene Rev: Ada kemungkinan tak, ada pelajar nakal di luar bilik asrama?

Pelajar 3: Tak pastilah pula.

RUMUSAN: Berdasarkan keterangan Pelajar 3 di atas, ada kemungkinan hantu yang dimaksudkan oleh beliau itu adalah hantu yang dibuat-buat. Mungkin ada pelajar lelaki lain dari bilik asrama yang lain yang mengusik beliau.

TEMUBUAL 4: HANTU MENYAMAR KAWAN, TEMANKAN PELAJAR PERGI KE TANDAS
Temubual yang keempat ini menyaksikan perkaitan antara hantu dari bilik asrama ke tandas. Nampaknya bilik asrama dan tandas merupakan dua lokasi popular untuk cerita-cerita hantu di asrama dikaryakan.

Amiene Rev: Cuba ceritakan bagaimana kisah kawan anda itu disakat hantu.

Pelajar 4: Masa tu kawan saya ada lagi di sekolah ni. Dia hendak pergi tandas seorang diri, memang takutlah. Jadi dia ajak kawan saya seorang lagi.

Amiene Rev: Masa tu saudara tingkatan berapa?

Pelajar 4: Masa tu tingkatan 2.

Amiene Rev: OK. Baiklah, undang-undang apabila pergi ke tandas pada waktu malam. Hendaklah berteman dan membawa lampu suluh. Pastikan, tinggalkan nota atau pesanan kalau pergi ke tandas.

Pelajar 4: Betul. Betul. Masa kita orang pergi kem pun, kem komandan selalu cakap macam tu. Jangan berani pergi tandas seorang diri malam-malam. Tempat tu keras!

Amiene Rev: Teruskan dengan cerita tadi.

Pelajar 4: Kawan saya ni pun ajaklah seorang lagi kawan kami. Mudah saja kawan saya tu bangun. Memang dua-dua mengantuk. Jadi tak perasan sangatlah rupa masing-masing. Bila keluar dari tandas, kawan saya yang tolong teman tadi dah hilang. Dia panggil-panggil tapi tak ada orang jawab. Dengar bunyi air, "Tik! Tik! Tik!" saja. Dia rasa seram sejuk, terus lari balik. Tup, tup, tengok kawan dia tengah syok tidur atas katil.

Amiene Rev: Lepas tu apa dia buat?

Pelajar 4: Dia tanya kenapa kawan saya yang seorang lagi ni tinggalkan dia. Kawan dia cakap, "Jangan mengarutlah, aku mengantuk ni. Mana ada aku ikut kau tadi." Lepas tu kawan saya pun seram.

Amiene Rev: Kemudian apa jadi?

Pelajar 4: Kawan saya tu tidur balik. Tarik selimut. Lepas tu dia tak berani pergi tandas malam-malam lagi. Kalau dia nak buang air, dia buang air sebelum pukul 10 malam. Selamat.

Amiene Rev: Sebab itulah, peraturan pada waktu malam, kalau hendak tidur, pergi ke tandas dulu. Kalau nak tidur pula jangan lambat-lambat. Basuh kaki sebelum tidur.

KESIMPULAN: Kisah gangguan hantu di asrama tersebut sehingga kini belum dapat disahihkan. Apa pun berdasarkan sejarah pembinaan sekolah tersebut, ternyata sekolah tersebut dikatakan dibina di atas kawasan yang agak keras pada dahulu kala.