BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Budaya Hedonis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Budaya Hedonis. Papar semua catatan

Rabu, Februari 08, 2012

Fahaman Hedonisme: Lambakan Pertandingan Hiburan Antara Punca Utama Pelajar Sekolah Tidak Minat Masuk Aliran Matematik dan Sains

FAHAMAN HEDONISME:
Lambakan Pertandingan Hiburan Antara Punca Utama Pelajar Sekolah Tidak Minat Masuk Aliran Matematik dan Sains
Penulis: Amiene Rev (C) 2012

Saya masih ingat kata-kata pensyarah saya. Semasa beliau berada di Amerika Syarikat, ternyata pelajar-pelajar di Amerika Syarikat lebih cenderung ke arah bidang hiburan dan muzik. Kelas-kelas kuliah bagi bidang Matematik, Sains dan Kejuruteraan pada masa itu ternyata didominasi oleh pelajar-pelajar dari Asia. Kini budaya dan fahaman hedonisme mula menular di Malaysia. Rata-rata muda-mudi di negara ini berpendapat, tidak perlu belajar Matematik dan Sains untuk hidup senang. Cuma perlu tahu menyanyi, berlawak dan menghiburkan orang, sudah boleh jadi kaya. Janji perlu kreatif dan tahu kehendak masyarakat, maka semua penghibur pun boleh hidup senang. Cuba lihat ganjaran dan hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang pertandinganh hiburan, semuanya bernilai lebih daripada empat digit, malah ada yang mencecah ke angka juta. Pengaruh pertandingan hiburan sebagai pencetus fahaman hedonisme di Malaysia memang kuat, sehingga ramai orang mula menyertai pertandingan berunsur hiburan. Tidak kira penganggur, pelajar universiti, golongan bekerja, suri rumah, malahan nenek turut beraksi di gelanggang pertandingan hiburan. Pertandingan berunsur hiburan seperti nyanyian kini dianggap sebagai pencetus inspirasi untuk berjuang. Berjuang dalam bidang hiburan, untuk meraih kesenangan atau kepuasan dalam kehidupan, atau kedua-duanya sekali.

Hedonisme menguasai pemikiran masyarakat Malaysia kini. Setiap bulan, setiap minggu, ada saja program-program berunsur hedonis. Bukan sahaja di pasaraya, kompleks membeli belah, malah juga di pentas universiti, sekolah dan juga tadika. Perkembangan fahaman hedonisme di Malaysia menyebabkan Matematik dan Sains yang menjadi teras pembangunan teknologi negara dianggap tidak lagi penting. Buat apa memenatkan otak, menebalkan kaca mata, menggugurkan helaian rambut untuk mempelajari konsep Sains dan Matematik yang menyakitkan otak kiri, jika dengan menyanyi sahaja pun sudah boleh jadi kaya, sudah boleh jadi popular, sudah boleh mengumpul peminat dan menjadi pusat tarikan.

Sokongan media massa dan elektronik terhadap perkembangan pemikiran hedonisme ternyata positif. Kerjasama dan sokongan antara media dan hedonisme bagaikan isi dengan kuku, saling lengkap-melengkapi, saling memberi keuntungan bagi kedua-dua pihak. Pihak media untung dengan menjual cerita tentang bintang-bintang hiburan, manakala rancangan-rancangan hiburan untung besar kerana dipromosikan oleh pihak media. Duit dan keuntungan mengalir masuk ke simpanan kedua-dua pihak, makin kaya, makin mewah, makin senang, maka makin hebat persembahan yang dapat dibuat.

Akhirnya, keyakinan sesetengah rakyat Malaysia mengenai betapa untungnya jika boleh menyanyi, bermain muzik berbanding betapa pentingnya Sains dan Matematik. Jika mahu menyambung pengajian dalam bidang Sains dan Matematik di universiti, mesti ada wang yang banyak, tetapi jika mahu masuk pertandingan hiburan atau akademi hiburan seperti rancangan realiti, pasti ada sponsor, tambahan lagi sudah boleh cepat popular, mengumpul peminat, dan lagi dapat duit yang banyak jika menang. Kemudian laku dalam industri hiburan, boleh jadi bintang filem, boleh jadi duta, dan boleh dijemput untuk menyaksikan konsert atau persembahan rancangan teleivisyen atau rancangan realiti tertentu secara percuma. Malah disanjung oleh para peminat, bagaikan dewa yang disembah manusia!

Bagaimana fahaman hedonisme berjaya menarik minat masyarakat kita? Pertama, menerusi rancangan realiti yang jelas memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama melibatkan diri, merasai dan mengalami sendiri keseronokan, kemanisan dan kenangan dalam dunia hiburan. Tidak kira sama ada sebagai peserta, atau penyokong, kesemua individu yang terlibat akan mendapat sentuhan emosi, kepuasan, perasaan berjuang, kesedihan, keseronokan, dan pelbagai jenis perasaan lagi yang menyebabkan mereka rasa begitu mesra dengan hiburan. Apa lagi dengan ganjaran-ganjaran lumayan sama ada berbentuk fizikal seperti wang tunai, kereta mewah, rumah banglo, unit kondominium atau berbentuk moral seperti populariti, disanjungi, diminati dan diangkat sebagai orang penting, menyebabkan betapa mudahnya fahaman hedonisme menyerap masuk ke lubuk jiwa rakyat Malaysia. Hedonisme dilihat sebagai satu bentuk pelarian daripada kesusahan mencapai kejayaan menerusi ilmu Sains dan Matematik yang dianggap abstrak dan mencabar imaginasi manusia. Hedonisme dianggap sebagai satu bentuk pujukan untuk setiap manusia yang gagal dalam menguasai Matematik dan Sains, serta satu cara untuk hidup senang dengan cara yang lebih mesra terhadap jeritan emosi dan kepuasan hidup, menjadi raja dan dihargai dari satu sudut yang luar biasa.

Rancangan realiti hiburan biasanya akan menampilkan harapan peserta, dengan latar belakang yang miskin, datang dari keluarga yang tidak bernasib baik, terabai, tetapi mempunyai bakat dan kesungguhan dalam bidang seni, lalu mereka ini mencuba nasib, meraih simpati sama ada dengan sengaja atau pun tidak, dengan kisah sedih masa lampau, lalu berjaya menitiskan air mata simpat ribuan rakyat Malaysia. Dari satu sudut yang lain, perjuangan mereka, kesungguhan mereka untuk mengubah nasib hidup mereka berjaya memikat hati ratusan ribu rakyat Malaysia untuk bersimpati dan menjadikan mereka sebagai inspirasi, orang yang berjaya mengubah nasib. Terasnya, hedonisme. Terasnya budaya berhibur. Jika tidak pandai Sains dan Matematik, tidak dapat masuk ke universiti pun tidak apa asalkan memiliki kesungguhan untuk menjadi penghibur yang baik.

Apa yang dapat saya saksikan kini, bagaimana akibatnya apabila budaya hedonisme dibiarkan berleluasa, maka manusia kini tertarik pada dua perkara. Pertama, hiburan, dan yang kedua, wang. Menyedari betapa kroniknya minat pelajar kini terhadap Sains dan Matematik, maka ada organisasi yang mencadangkan agar setiap pelajar yang mengambil jurusan Sains dan Matematik diberikan elaun sebagai ganjaran. Budaya memberi ganjaran kini terpaksa ditegaskan, lantaran sukarnya untuk mewujudkan kesedaran para pelajar terhadap kepentingan Matematik dan Sains dalam kehidupan dan masa depan manusia. Sesetengah pelajar tidak lagi nampak betapa pentingnya Matematik dan Sains dalam membantu meneruskan kelangsungan tamadun manusia, kini, mereka lebih tertarik terhadap jaminan kesenangan hidup yang boleh diperolehi jauh lebih mudah melalui hiburan, khususnya pertandingan berunsurkan hiburan seperti rancangan realiti dan pertandingan nyanyian.

Bersediakah kita, rakyat Malaysia, berusaha untuk memerangi budaya dan fahaman hedonisme yang menular di Malaysia? Bagaimana masa depan Malaysia, sekitar 10 tahun lagi? Negara kita memerlukan ramai jurutera dan saintis untuk meneruskan kelangsungan tamadun rakyat Malaysia. Membangkitkan semula semangat cintakan Sains dan Matematik demi memajukan tamadun bangsa Malaysia adalah usaha yang amat penting. Mari kita semai semula rasa prihatin dan tanggungjawab rakyat Malaysia terhadap pentingnya menguasai ilmu Matematik dan Sains.

Selasa, September 01, 2009

Budaya Hedonis Di Malaysia - Lebih Berbahaya Berbanding Wabak H1N1

Budaya Hedonis Menjajah Generasi Muda:
Kemerdekaan Disambut Dengan Jiwa Yang Dijajah
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Negara kita sudah merdeka melebihi separuh abad kini. Generasi muda hari ini barangkali tidak akan dapat memahami pengorbanan orang-orang dahulu. Perjuangan sudah bertukar menjadi permainan. Berjuang kini sudah bertukar menjadi berhibur. Perspektif anak-anak muda Malaysia pada hari ini terhadap konsep perjuangan, secara umumnya lebih kepada berjuang mengutamakan kepentingan sendiri.
Melaunglah kerajaan, melaunglah
Bahaya! Bahaya! Bahaya!
Angkara hedonisme menguasai diri
anak-anak muda mana mungkin
takutkan H1N1
fikiran sudah singkat
lebih singkat daripada usia manusia
hedonisme lebih berbahaya
lebih kuat meracuni manusia
meniduri minda generasi muda
Saya tidak pasti, berapa ramai anak muda pada hari ini, ada meluangkan masa untuk merenung dan berfikir secara mendalam mengenai anak-anak bangsa mereka. Bilangan remaja atau belia yang mampu untuk berfikir terhadap masalah bangsa dan isu kebajikan dan pembangunan bangsa semakin kurang. Bilangan remaja berkesedaran terhadap kemanusiaan dan kebajikan sangat kurang. Jika saya sebagai seorang mentor, saya suka mencari mentee-mentee sebegini. Jika saya sebagai seorang guru, saya suka mencari dan rapat dengan anak-anak murid yang mampu berfikir seperti ini. Jika saya seorang bapa, maka sudah pasti saya akan mewajibkan anak-anak saya untuk mempunyai kesedaran berfikir seperti ini.

Bagi saya, kewujudan golongan yang berkesedaran terhadap kebajikan dan keperluan manusia adalah penyumbang kepada pembangunan rohani, intelektual, jasmani dan emosi yang amat baik. Golongan berkesedaran tinggi seperti ini mudah rapat dan menjalinkan hubungan baik dengan saya. Dalam hati mereka tidak ada iri hati, hasad dengki, tamak, prejudis, pembenci dan seumpamanya. Mereka lebih suka bersenang hati melihat pencapaian, kejayaan dan kebahagiaan orang lain. Golongan berkesedaran seperti ini memiliki haluan yang sama, dan mudah mencapai kesefahaman apabila bergaul dengan saya.

Sayang sekali, bilangan manusia seperti ini mungkin cuma 1 dalam 100, atau 1 dalam 1000. Katakan terdapat sekitar 2500 orang manusia. Mungkin cuma 3 hingga ke 25 orang sahaja yang memiliki kesedaran seperti ini. Saya berasa sunyi melihat betapa kurangnya bilangan manusia seperti ini. Seharusnya, apabila saya menemui golongan ini, maka adalah sesuatu yang sangat bermakna apabila mereka menjadi kawan karib, saudara atau sesuatu yang rapat dengan kita. Mewujudkan satu perjuangan yang sama. Tidak kira sebagai sahabat seperjuangan, perantis atau sebahagian daripada legasi sendiri.

Apabila Islam itu mengatakan semua umat Islam adalah bersaudara, pada pandangan saya, itu sebenarnya merujuk kepada matlamat perjuangan yang sama. Konsep perjuangan yang sama bermaksud, pemikiran, sikap dan perbuatan yang mendorong ke arah mencapai matlamat tersebut. Jadi, apabila seorang individu itu mempunyai percanggahan matlamat dengan seorang individu yang lain, maka adakah mereka bersaudara?

Pernyataan seperti "Musuh kepada sahabat saya ialah musuh saya. Musuh kepada musuh saya ialah sahabat saya." boleh dianggap ada kebenarannya.

Apa yang saya lihat, kebanyakan manusia pada hari ini lebih suka membuat perbandingan antara kekurangan dalam diri mereka dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Hal ini mencetus rasa keperluan diri, dan mendorong ke arah kepentingan diri yang ada di dalamnya rasa iri hati, benci dan tamak.

Memalukan: Generasi Muda Kini Kurang Aktif Menonjolkan Diri
Satu perkataan yang semakin popular pada hari ini, iaitu 'poyo' umpama racun yang menyekat kebanyakan generasi muda daripada menonjolkan diri. Mana-mana generasi muda yang cuba melontarkan buah pemikiran secara terbuka dan memberi sumbangan secara terbuka dilabelkan sebagai 'poyo'. Saya sendiri tidak pasti betapa banyak ' dosa' yang dihimpun oleh pencipta perkataan 'poyo' kerana perkataan yang diciptanya ini telah banyak membantutkan usaha remaja untuk memberi sumbangan secara kebajikan. Justeru, generasi muda hari ini lebih gemar mengutamakan pencapaian dan kejayaan untuk diri sendiri, berbanding pencapaian untuk membantu masyarakat. Justeru takut dilabel atau dianggap sebagai 'poyo', kebanyakan generasi muda lebih cenderung melakukan sesuatu secara diam-diam untuk keperluan diri sendiri sahaja.

Cuba kita lihat pada hari ini, berapa ramaikah anak muda yang sanggup tampil ke hadapan menonjol diri, untuk membimbing masyarakat, atau sekurang-kurangnya golongan muda yang lain untuk melakukan sesuatu. Kita ambil satu contoh yang mudah, sebelum melakukan satu-satu aktiviti sukan, seorang pengacara meminta seorang wakil dari kalangan kelompok ahli sukan itu untuk tampil ke hadapan untuk menguasai aktiviti memanaskan badan dan meregangkan otot dan urat saraf badan, adakah ada sesiapa yang akan bersikap aktif, untuk tampil ke hadapan, dan mengetuai ahli-ahli sukan tersebut?

Contoh yang lain pula, di dalam satu perhimpunan besar, seorang pengerusi meminta beberapa orang wakil untuk tampil ke hadapan untuk memberi ucapan dan idea mengenai sesuatu perkara, berapa ramaikah yang akan tampil untuk mengemukakan pandangan? Mungkin daripada satu ribu orang, cuma 1, 2 atau 5 orang sahaja.

Apa yang dapat dilihat pada hari ini, generasi muda lebih cenderung untuk bertanya tanpa berfikir atau berusaha memberi pandangan sendiri. Mereka lebih cenderung untuk meminta-minta berbanding berdikari untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu perkara. Mereka menganggap yang lebih tua atau yang lebih dewasa patut menyediakan keperluan untuk diri mereka. Mereka menganggap jika orang dewasa tidak menyediakan keperluan tersebut, maka orang dewasalah yang bersalah. Hal seperti ini telah berlaku di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

Saya dapati kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi hari ini kurang berkesedaran untuk menjaga kebajikan masyarakat. Mereka membuang sampah di merata-rata tempat. Memijak tempat duduk di tempat menunggu bas awam. Menconteng dinding lif. Mengoyak dan membakar surat pekeliling yang ditampal di papan informasi.

Bala Bencana: Generasi Muda Kini Memilih Pemimpin Berlandaskan Rupa Paras dan Bukan Lagi Faktor Kebolehan Memimpin
Dalam soal memilih pemimpin juga, saya dapati kebanyakan mahasiswa pada hari ini tidak peka akan tujuan pemilihan ketua. Sebagai contoh, saya bertanya kepada sekumpulan siswi, apakah yang menjadi kriteria utama yang mereka tetapkan untuk mengundi wakil pelajar di universiti? Siswi-siswi ini menjawab, mereka akan melihat rupa paras terlebih dahulu. Mana-mana calon yang memiliki rupa paras yang menarik, menjadi pilihan mereka. Saya menggeleng kepala.

Saya ingin menegur pihak penasihatan yang bertugas memantau pergerakan persatuan atau organisasi pelajar, tidak kira di sekolah atau pun di institusi pengajian tinggi. Anak-anak muda sepatutnya diberi peluang dan diajar untuk berkempen dan menyatakan idea sebelum mereka boleh dilantik sebagai pemimpin. Contohnya dalam pemilihan pemimpin pelajar, barisan majlis tertinggi dan jawatankuasa, sewajarnya pihak penasihat membiasakan pelajar-pelajar untuk mengenali calon-calon pemimpin mereka. Seharusnya calon-calon pemimpin ini disyaratkan supaya tampil di khalayak ramai dan menyatakan pandangan mereka, visi dan malamat mereka sebagai pemimpin. Pelajar-pelajar pula harus ditekankan untuk memilih pemimpin berdasarkan lontaran pemikiran, matlamat, penampilan kendiri dan sahsiah diri calon pemimpin tersebut. Sayang sekali, saya tidak nampak dengan jelas usaha-usaha untuk mendidik generasi muda supaya memiliki kesedaran dalam memilih ketua dibuat di kebanyakan sekolah atau institusi pengajian tinggi.

Budaya hedonis, seperti yang pernah digambarkan oleh saudara Faisal Tehrani di dalam bukunya Advencer Si Peniup Ney kini semakin jelas bertapak di negara ini. Generasi muda merupakan bilangan majoriti di Malaysia. Setiap tahun, ada bayi dilahirkan. Setiap tahun, ada kanak-kanak mencapai usia baligh dan menjadi remaja. Setiap tahun, golongan remaja akan meningkat usianya menjadi belia dan dewasa. Jika budaya hedonis sudah menyaluti usia mereka hingga ke usia dewasa, maka adalah menjadi satu mimpi ngeri apabila golongan dewasa ini memimpin generasi-generasi seterusnya dengan menerapkan budaya hedonis sebagai asasnya.

Bahaya: Budaya Hedonis Membantutkan Pemikiran dan Kesedaran Manusia
Pada pandangan peribadi saya, kesan-kesan budaya hedonis yang paling ditakuti ialah bagaimana budaya hedonis ini mempengaruhi mentaliti manusia supaya berfikir secara singkat. Manusia mula menganggap hidup ini untuk berseronok, oleh itu minda manusia tidak perlu dibebankan untuk berfikir pelbagai masalah.

Apabila minda manusia sudah mula berfikir secara mudah, sudah tidak sensitif dengan isu-isu semasa, maka manusia akan mula tertumpu terhadap keperluan diri, khususnya kemahuan dan nafsu. Mereka mula membelakangi hal-hal kebajikan. Menjaga kebersihan sudah tidak menjadi satu perkara wajib. Vandalisme berleluasa. Manusia mula merasakan mereka wajar melakukan pemberontakan secara fizikal. Menconteng dinding, merosakkan harta benda awam dan sebagainya. Sebarang usaha untuk membolehkan manusia menggunakan akalnya secara mendalam, dan tingkah laku pemikiran ke arah mengutamakan kebajikan dan sumbangan mereka terhadap masyarakat dianggap sebagai satu bebanan.

Usaha menyuburkan budaya hedonis kini semakin rancak diadakan di Malaysia. Segelintir warga Malaysia sudah mula menyedari kesan buruk budaya ini terhadap mentaliti masyarakat Malaysia dan mula menentang pergerakan budaya hedonis ini. Ganjaran-ganjaran seperti wang tunai dah hadiah yang mewah disalurkan kepada pemenang-pemenang pertandingan dan peraduan berteraskan budaya hedonis. Tidak cukup dengan itu, elemen emosi seperti simpati, kasihan, perasaan kehilangan, cinta, benci, geram, sayang dan seumpamanya diterapkan dalam setiap pertandingan dan peraduan yang diadakan. Sesungguhnya umat manusia begitu mudah dilemahkan apabila emosi dan nafsu mereka diperalatkan. Maka dengan adanya permainan emosi, nafsu dan ganjaran yang lumayan, budaya hedonis semakin subur, bercambah dan berbuah. Buah inilah yang disajikan kepada generasi muda hari ini.

Kelahiran generasi yang mementingkan keseronokan berbanding kebajikan merupakan bala yang lebih serius berbanding wabak H1N1. Wabak H1N1 gelombang pertama dahulu telah mengorbankan puluhan umat manusia di negara kita. Tidak lama lagi gelombang kedua wabak H1N1 akan melanda negara. Ribuan manusia diramalkan menjadi korban. Virus H1N1 berupaya mengubah dirinya menerusi proses mutasi dan menjadi semakin kebal terhadap sebarang bentuk vaksin yang digunakan untuk mencegahnya.

Jika wabak H1N1 tidak mempunyai penyokong atau pengikut, budaya hedonis pula telah dianggap sebagai satu cara hidup, perjuangan, permainan, diikuti dan disokong oleh beribu-ribu warga Malaysia. Malah, ramai pula warga tempatan yang sanggup menyumbang wang, tenaga dan pemikiran untuk mengembangkan lagi budaya hedonis di negara ini. Ketika gelombang kedua wabak H1N1 melanda dan menyerang beribu-ribu manusia, pada masa yang sama berjuta-juta manusia sudah diracuni pemikiran hedonisme.

Budaya hedonis, yang menggalakkan manusia untuk berfikir secara singkat, membantu penularan wabak H1N1 dengan semakin mudah. Apabila manusia sudah tidak lagi sensitif dan peka terhadap persekitaran mereka, maka segala seruan dan saranan pihak kerajaan sudah pasti tidak mudah untuk mereka ikuti. Melaunglah kerajaan menyatakan bahayanya H1N1 tetapi sekiranya budaya hedonisme tidak terbendung, maka segala usaha itu akan sia-sia. Budaya hedonis tampak lebih berbahaya berbanding H1N1 dan mampu membantu penularan pelbagai jenis penyakit berbahaya yang lain pula.

Selagi hedonisme terus menjajah mentaliti anak-anak muda, maka zaman mundur, proses kemunduran dari segi rohaniah dan seterusnya intelektual akan terus berlaku. Selepas emosi, rohani dan intelektual masyarakat Malaysia musnah diracuni hedonisme, seterusnya aspek terakhir dalam ciri-ciri insan kamil akan terjejas. Aspek terakhir, iaitu jasmani akan perlahan-lahan menjadi rapuh pertahanannya. Pelbagai jenis penyakit berbahaya akan meratah jasmani manusia dan seterusnya mengancam tamadun manusia.