BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Makanan Halal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan Halal. Papar semua catatan

Rabu, Julai 18, 2012

Hukum Makan Belangkas - Halal Atau Haram?

Adakah belangkas halal dimakan atau haram dimakan? 
Menurut Ustaz Azhar Idrus, halal makan belangkas dengan telurnya kerana ia binatang laut dan tidak boleh hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang seperti ikan. Hanya naik sekejap ke darat.
 
RUJUKAN: Soal Jawab Ustaz Azhar Idrus (Original) Facebook


Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
    
Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

RUJUKAN: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-memakan-dagingisi-belangkas-dan-telurnya

Hukum Makan Ikan Buntal - Halal atau Haram?

Apakah hukum memakan ikan buntal yang telah dibuang racunnya?
Hukum memakan ikan buntal yang dibuang racunnya adalah harus.

RUJUKAN: http://kemusykilan.islamgrid.gov.my


Fakta Penting Mengenai Hidangan Ikan Buntal
  • Chef perlu memiliki lesen khas untuk membersih dan menghidangkan ikan buntal.
  • Hati dan ovari ikan buntal merupakan antara organ yang paling berbahaya.

HUKUM MEMAKAN IKAN BUNTAL

BARU-baru ini, masyarakat nelayan di Terengganu dikejutkan dengan berita kematian seorang tekong dan keracunan teruk empat awak-awak kapal gara-gara memakan kari ikan buntal di perairan Dungun.

Pelik tetapi benar. Difahamkan, kebanyakan pelaut biasa memakan ikan buntal walaupun spesis itu beracun kerana mendakwa tahu cara untuk membuang bisanya.

Pun begitu, sedalam manakah pengetahuan mereka mengenai bisa haiwan vertebrat (bertulang belakang) kedua paling berbahaya kepada manusia selepas katak emas beracun (Phyllobates terribilis) dari Pantai Pasifik Colombia itu?

Racun pada ikan tersebut bukan sahaja mampu melumpuhkan urat saraf malah boleh membunuh jika kita tidak berhati-hati. Untuk memegangnya disaran memakai sarung tangan tebal bagi mengelak keracunan atau digigit ikan tersebut.

Ikan buntal atau nama saintifiknya, Tetraodontidae mempunyai empat gigi besar, tertanam pada 'gusi' atas dan bawah yang digunakan untuk menghancurkan cengkerang mangsanya seperti krustasia, moluska dan cacing merah.

Kulit dan organ dalamannya seperti ovari, hati, usus, tisu otot dan darah pula mengandungi neurotoksin dipanggil tetrodotoksin yang membawa maut kepada manusia. Racun tersebut melumpuhkan otot mangsa dalam keadaan sedar dan akhirnya mati akibat asfiksia.


Hidangan eksotik

Walaupun pakar mengesahkan racun yang terdapat dalam seekor ikan buntal boleh membunuh kira-kira 30 orang dewasa, ia tetap menjadi salah satu hidangan tradisi istimewa di Jepun dan Korea, masing-masing dikenali sebagai fugu serta bok-uh.

Sebagai hidangan eksotik yang bermusim (November hingga Februari), pelanggan perlu bersedia untuk membelanjakan kira-kira RM150 hingga RM1,000 bagi sepinggan fugu.

Fugu adalah perkataan Jepun bagi ikan buntal dan hidangan yang diperbuat daripada daging ikan buntal termasuk spesis Takifugu, Lagocephalus atau Sphoeroides dan ikan landak genus Diodon.

Disebabkan racun ikan buntal boleh membawa maut jika salah cara penyediaannya, fugu dianggap sebagai antara makanan Jepun yang paling terkenal dan berbahaya.

"Tukang masak fugu perlu melalui latihan ekstrem untuk mempelajari seni persediaannya tanpa membiarkan toksin berbahaya pada organ dalaman ikan terkena pada dagingnya.

"Di Jepun, kerajaan mengeluarkan lesen khas kepada tukang masak serta restoran yang menyediakan hidangan berkenaan,'' kata Master Chef, Ricky Kamiishi, Chef Eksekutif Jepun di Restoran Iketeru, Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Mempunyai pengalaman hampir 15 tahun dalam seni penyediaan fugu, Kamiishi cukup berkemahiran dalam memastikan setiap ikan yang disiang 100 peratus bebas racun untuk hidangan para pelanggan.

Namun, terdapat sesetengah chef tidak bertanggung jawab sengaja meninggalkan sedikit toksin pada daging ikan untuk memberi 'kejutan' kepada pelanggan tanpa membunuh mereka.

Kamiishi menjelaskan, cara menyiang fugu perlu dibuat dengan teliti mengikut bahagian ikan tersebut yang akan dimasak secara berasingan.

Kebanyakan isinya boleh dimakan, kecuali insang, kepala, gigi, pipi dan permukaan kulit fugu yang mesti dikikis dengan alat khas.

"Apabila fugu dipotong dan dibersihkan dengan selamat, ia dipotong halus (2 atau 3 milimeter) menggunakan pisau khas dipanggil 'hiki' untuk menyediakan fugu sashimi atau tessa.

"Tessa dihidang seperti lukisan blok kayu yang indah berbentuk bunga kekwa, iaitu bunga kematian masyarakat Jepun,'' ujarnya.

Ia dihidang bersama kulit fugu yang dihiris halus bersama sashimi atau kepingan fugu mentah. Isi selebihnya dimasak dalam periuk panas di buat sup menggunakan daging fugu, tauhu, cendawan shitake dan sayuran mentah.

Sup berkenaan akan dimasak sehingga pekat dengan menambah bahan-bahan baru dan digunakan untuk menyediakan hidangan zousui atau bubur nasi.


Haram atau halal?

Dalam pada itu, menilai dari sudut agama, Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir, berkata, secara umumnya, ikan dianggap sebagai bangkai laut dan hukumnya harus dimakan.

Pun begitu, hukum agama jelas mengkategorikan ikan buntal sebagai binatang beracun yang haram dimakan sekiranya masih mempunyai sifat beracun yang membawa mudarat kepada manusia.

"Ikan buntal haram dimakan bukan kerana zatnya ( contoh: haiwan berpenyakit) tetapi disebabkan sifatnya yang berbahaya kepada manusia.

"Tetapi jika sifatnya yang kotor dan berbisa itu dibuang, hukumnya harus atau halal dimakan, sama seperti kebanyakan bangkai laut (hidupan marin) lain,'' jelas beliau.


Penangan ikan beracun fugu. Ikan buntal di Jepun biasanya disediakan dalam hidang sashimi.
Sumber: KOSMO!

RASA berdenyut pada bibir selepas menjamah merupakan keistimewaan makanan laut itu. Penggemar ikan bertoksik fugu atau dikenali juga sebagai buntal itu menyatakan kesan tersebut disebabkan oleh kandungan neurotoksin yang tinggi dalam ikan 'pembunuh' kegemaran ramai tersebut.

Kekebasan yang dialami individu selepas menjamu juadah eksotik itu bagaimanapun berpotensi mengakibatkan lumpuh dan masalah pernafasan.

Berdasarkan laporan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS), ikan tersebut boleh mendorong kematian dalam tempoh empat hingga enam jam.

Walaupun 'mangsa' lumpuh sepenuhnya, mereka mungkin berada dalam keadaan sedar dan dalam kebanyakan kes mereka tahu apa yang sedang berlaku sebelum mati.

Biarpun penyebaran berita kematian akibat fugu kian meluas, pelanggan di Restoran Torafugu-tei di Tokyo tidak perlu khuatir.

Tukang masak restoran itu, Shigekazu Suzuki adalah antara tukang masak yang telah menjalani latihan khas dan mempunyai lesen bagi menghidangkan ikan pengundang maut itu.

"Tidak mudah bagi orang yang tiada lesen membersihkan buntal," kata Suzuki ketika ditemui di salah satu cawangan Torafugu-tei di bandar Ginza yang sedang sibuk mengeluarkan organ dalaman ikan itu yang bertoksik menggunakan pisau yang tajam.

"Saya tidak pernah makan bahagian ini kerana takut," tambahnya sambil menunjukkan ovari berwarna kuning cair yang merupakan salah satu bahagian ikan itu yang paling beracun yang kemudiannya dibuang ke dalam bekas besi berkunci.

Hati Ikan Buntal Merupakan Organ Bahaya

Menurut Suzuki, beliau mengambil masa kira-kira lima tahun untuk lulus peperiksaan lesen buntal yang melibatkan ujian bertulis dan praktikal tentang bagaimana memisahkan bahagian beracun dengan yang selamat dimakan.

Pengawalan ketat yang dijalankan telah mengurangkan jumlah kecelakaan akibat buntal. Tetapi laporan yang diterima membabitkan nelayan-nelayan yang mati selepas memakan ikan berbahaya itu terus meningkat.

Hati ikan fugu yang mesti dibuang dengan betul kerana ia sangat beracun. Malah, ada penggemar makanan laut itu, cuba melangkaui batas apabila meminta pihak restoran menghidangkan organ dalaman yang diharamkan. Terdapat tukang masak terpaksa memenuhi permintaan tersebut meskipun berisiko tinggi.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan Tokyo membatalkan lesen seorang tukang masak di sebuah restoran dua bintang di Michelin selepas beliau menyajikan hati ikan buntal kepada pelanggan yang membuat permintaan khas. Pelanggan itu bagaimanapun sembuh selepas dimasukkan ke hospital untuk beberapa hari.

"Sesetengah orang berkeras untuk merasai bahagian yang berbahaya kerana menganggap rasanya lebih sedap. Ada kalanya mereka yang makan ikan buntal jatuh sakit namun majoriti individu seperti kami tidak mahu mengambil risiko," ujar Mahiro Shin, pelanggan Torafugu-tei yang berusia 33 tahun.

Set hidangan ikan buntal yang disediakan dalam periuk panas di Torafugu-tei berharga kira-kira 5,000 yen (RM200.50) dan boleh mencecah sehingga 10,000 yen (RM401.10) di restoran-restoran eksklusif di Tokyo.

"Ia memang sedikit mahal berbanding ikan biasa, tetapi kepuasan yang diperoleh itu amat berbaloi," ujar seorang penggemar fugu, Yoheri Watanebe.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun, 17 orang jatuh sakit selepas menjamah isi ikan buntal sepanjang tahun lalu dengan salah seorang daripada mereka maut.

Rombakan peraturan

Di bawah sistem baharu, restoran-restoran di kawasan Metropolitan Tokyo yang menjadi kediaman untuk 13 juta orang hanya boleh menghidangkan buntal sekiranya mereka memiliki tukang masak yang telah menjalani latihan khas yang disediakan.

Namun, pada ketika undang-undang itu rancak dijalankan, sekumpulan pemerhati dikejutkan dengan pengumuman badan penguatkuasa awal tahun ini yang membuat keputusan untuk melonggarkan syarat tersebut.

Kesannya, mulai Oktober tahun lalu, orang ramai dibenarkan membeli ikan buntal yang telah siap disiang atau dimasak termasuk pek sejuk beku dengan syarat kerja-kerja penyediaan dilakukan tukang masak berlesen. Namun, ikan yang tidak disiang akan terus diharamkan daripada menu di kesemua restoran tanpa lesen yang sah.

Badan penguatkuasa menyatakan perubahan peraturan itu adalah bagi menyesuaikannya dengan situasi semasa.


SUZUKI antara chef terkemuka Jepun yang mempunyai lesen membersihkan ikan buntal.

Sementara itu, pengguna di Tokyo telah lama membeli daging buntal dari kawasan lain menerusi internet. Kebanyakan tempahan datang dari lingkungan selatan Kyushu yang cukup terkenal dengan makanan tersebut.

Suzuki pula menyatakan beliau tidak bimbang tentang persaingan walaupun syarat baharu telah diperkenalkan.

"Disebabkan penukaran penguatkuasaan, lebih banyak restoran boleh menyediakan buntal bagi memudahkan orang ramai menikmati makanan tersebut sekali gus membentuk budaya memakan buntal dalam kalangan rakyat Jepun," ujar lelaki berusia 44 tahun itu kepada AFP.

"Sebagai tukang masak berlesen, saya akan terus menjaga keselamatan pelanggan dengan penuh cermat," tambahnya.

Khamis, Julai 28, 2011

Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum

Minuman Beralkohol Kurang 1% Harus Di Minum

PUTRAJAYA – Semua minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai kandungan alkohol kurang satu peratus adalah harus diminum.

Perkara itu diputuskan dalam muzakarah khas, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang diadakan dari 14 Julai hingga 16 Julai lalu bagi membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan.

Mesyuarat itu juga memutuskan minuman ringan yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol itu terjadi secara sampingan ketika proses membuat makanan dan minuman adalah tidak najis dan harus dimakan atau diminum.

Keputusan itu disiarkan portal rasmi jawatankuasa terbabit.

Ia dicapai selepas jawatankuasa menerima taklimat, pembentangan dan penjelasan oleh pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta berdasarkan keputusan yang dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

“Semua makanan dan minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol bagi tujuan penstabilan adalah harus digunakan dengan syarat ia tidak dihasilkan daripada proses pembuatan arak.

“Selain itu, kuantiti alkohol dalam produk akhir itu juga mestilah tidak memabukkan dan mengandungi kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Johor (JAJ) mendedahkan ada produk minuman yang terkenal dari Arab yang mengandungi kandungan alkohol 0.5 peratus, iaitu melebihi had yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, hingga mencetuskan isu mengenai ‘bir halal’.

Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghantar sampel empat jenama berlainan minuman berkarbonat diimport dari beberapa negara Asia Barat bagi menjalani ujian terperinci di Jabatan Kimia susulan kekeliruan pengguna Islam terhadap kandungannya.

Difahamkan keputusan mengenai status minuman berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, muzakarah sama turut memutuskan minuman ringan dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling dalah haram diminum.

Sumber: BERITA HARIAN 22 Julai 2011

Rabu, Julai 27, 2011

Minuman Malta Barbican Bukan Arak

Minuman Malta Barbican Bukan Arak

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan minuman malta berperisa buah-buahan jenama Barbican dibolehkan untuk diminum umat Islam di negara ini.

Keputusan tersebut diperoleh menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada pengedar minuman berkenaan selepas jawatankuasa itu bersidang pada 16 hingga 18 Jun lalu.

Kandungan surat tersebut menyatakan, minuman ringan malta seperti Barbican dan sebagainya yang diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak dan alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak dan dengan kadar yang sedikit.

Jadi, minuman itu didapati tidak memabukkan dan dibolehkan meminumnya bersesuaian dengan keputusan muzakarah sebelum ini.

Menurut surat itu lagi, muzakarah juga menasihatkan pihak pengeluar minuman tersebut tidak menggunakan label, jenama dan sebagainya yang boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna khususnya umat Islam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan minuman tersebut menimbulkan isu kerana mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.

Rabu, Mei 04, 2011

Makanan Kod E Tidak Halal? Kebenaran Di Sini

Pengguna dinasihatkan tidak percaya dengan khabar angin yang mendakwa semua produk makanan yang menggunakan bahan bermula dengan kod E adalah tidak halal. Ini kerana setiap kod bahan makanan yang bermula dengan E mewakili bahan tertentu dan sudah diklasifikasikan kepada kategori masing-masing iaitu pewarna, perasa dan pengemulsi.

Kod yang sering menimbulkan keraguan kepada pengguna adalah E471 dan E110 kerana didakwa mengandungi bahan meragukan serta tidak halal.

Sebagai contoh, bahan makanan yang bermula dengan kod E471 daripada kategori pengemulsi sering menjadi kontroversi kerana di luar negara sumber E471 datang daripada lelemak haiwan dan berkemungkinan lemak khinzir. Tetapi, di negara ini, lelemak tumbuhan digunakan untuk bahan E471 iaitu daripada kelapa sawit.

Penggunaan lelemak tumbuhan tidak perlu diragui kerana ia pasti halal dan kebanyakan produk menerima pengesahan daripada Jakim dan agensi halal yang diiktiraf. Bagi produk yang tidak mempunyai logo halal, boleh merujuk kepada sumber bahan itu sama ada berasaskan tumbuhan atau haiwan kerana ia tertera di setiap label produk. Selain itu, bagi bahan kod E100 hingga E173, Jakim telah mengklasifikasikan sebagai bahan pewarna, sama ada sumber semula jadi atau tiruan yang tiada kena mengena dengan penggunaan lemak atau minyak.

Pengguna perlu bijak menilai setiap maklumat dan merujuk kepada Jakim atau pihak yang berkenaan supaya tidak timbul salah faham di kalangan pengguna terhadap kandungan sesuatu produk makanan.

Pengguna boleh merujuk kepada laman sesawang Halal Jakim, www.halaljakim.gov.my dan Halal Malaysia www.halal.gov.my untuk mendapatkan keterangan lanjut atau mempunyai keraguan mengenai status halal sesuatu produk.

Sabtu, Januari 08, 2011

Tempat Makanan Percuma Malaysia

Lokasi Makanan Percuma di Malaysia
Susunan Amiene Rev

Kepada sesiapa yang tidak ada duit untuk membeli makanan, atau kepada golongan penderma atau golongan yang ingin membayar fidyah tetapi sukar mengumpulkan golongan fakir miskin, ini ada berita baik. Lokasi makanan percuma berikut telah dikesan:
  1. Seksyen 16, Shah Alam (bermula sejak tahun 2010 - juga ada tuisyen percuma)
  2. Bangunan Pejabat Agung Pas (sejak tahun 2007, setiap hari Jumaat, jam 6.00 petang)
  3. Bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru (hari Rabu)
  4. Kawasan sekitar gereja berhampiran Muzium Telekom (hari Ahad)

MAKANAN PERCUMA DI SEKSYEN 16, SHAH ALAM
Makan percuma dan basuh pinggan sendiri

Terdapat sebuah pusat makanan percuma yang kini terletak di Shah Alam, Seksyen 16. Pusat makanan percuma ini dipercayai yang pertama di negara ini. Beranggaran seramai 300-350 pengunjung sehari.Ia diwujudkan bagi membantu mereka yang kesempitan hidup, menikmati makanan berkhasiat, termasuk pelanggan bukan islam.

Menurut pengasas pertubuhan membela miskin tegar atau bela miskin, Mohamad Sauffi Hamzah, Pihaknya juga merancang membuka pusat seperti ini di luar lembah Klang. Semua kos operasi restoran diperolehi dari keuntungan perniagaan lain yang dijalankannya. Pada bulan Ramadhan, restoran ini mula dibuka jam 3 petang berbanding 10.30 pagi di bulan yang lain.

Pelbagai jenis lauk disediakan, seperti kari daging, ikan masak kicap, ayam kurma, bihun singapura, bubur nasi berlauk, laksa, mee bandung dan mee goreng. Kepada pelanggan yang makan di restoran, mereka disyaratkan untuk membasuh pinggan sendiri pinggan mangkuk yang digunakan.

Selain itu, pusat bela miskin ini turut mengadakan pusat tuisyen percuma yang dikendalikan oleh guru-guru berkaliber secara sukarela. Antara subjek yang ditawarkan adalah Bahasa inggeris, Bahasa Mandarin, Matematik dan Sains. Persatuan ini juga turut mengagihkan pakaian terpakai atau baru kepada mereka yang memerlukan. Di samping itu, bakal penerima dikehendaki mengisi borang soal selidik bagi memastikan mereka layak menerimanya.


Berita Baik : Makanan percuma setiap Jumaat bertempat di Pejabat Agung PAS
Penulis: Zailina Mahmud (sumber menerusi mail-archive, hidayat.net)

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2009: Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat. Selang 15 minit sebelum jarum jam pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni mereka.

Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'. Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu.

Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.

Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi. Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu.

Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu.

Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini. Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu.

"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily.

Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi. Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.

"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah.

Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan.

"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran.

Dua lagi lokasi makanan percuma
Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu.

Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah.

Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo' Hj. Ghazali dengan mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj. Taib, berhampiran bangunan PAS ini. Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana kepadatan jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan ini dipikul Syaripuddin yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'.

Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu.

"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni... ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini.

Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr. Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan Tuhan yang menentukan.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya.

Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini.

Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka.

"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu.

Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati...

MAKLUMAT UNTUK SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENDERMA ATAU MEMBERI SUMBANGAN:
(Bagi yang berhajat dan ingin menyumbangkan dana bagi edaran makanan percuma setiap Jumaat ini, maklumat lanjut bolehlah dimajukan kepada Pejabat Agung PAS di talian 03-26925000)


CERITA SELINGAN MAKANAN PERCUMA DI LUAR NEGARA:
Curi supaya dapat MAKANAN PERCUMA dalam penjara


TAIPEI: Seorang penganggur yang dibebaskan dari penjara kelmarin, mencuri sebuah kotak berisi kapas semata-mata kerana mahu masuk penjara semula untuk mendapatkan makanan percuma. Lelaki tidak berumah itu, Tsou Hao-lan mula ditangkap Ahad lalu kerana mencuri kasut.

Menurut laporan akhbar Liberty Times, dia bagaimanapun dibebaskan tetapi mencuri sekali lagi kerana mahu dimasukkan ke dalam penjara dan mendapat makanan percuma.

"Jika ada orang miskin datang ke sini ketika waktu makan, kami pasti memberinya makanan," kata pegawai yang hanya ingin dikenali sebagai Wang, di Balai Polis Daerah Hsinyi.

Dalam satu kes lain, seorang lelaki yang hilang pekerjaan sejak empat bulan lalu mencuri sebuah motosikal dan memandunya ke perkarangan balai polis di Taipei.

Taiwan terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi dan pakar berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk sehingga akhir tahun ini kerana penurunan dalam permintaan terhadap barangan elektronik keluaran negara itu di seberang laut. – AFP

Selasa, Jun 15, 2010

Sos Tomato Kimball - Sos Tomato Pilihan Amiene Rev

Sos Tomato Cap Kimball rasanya tiada tandingan. Saya pernah mencuba pelbagai jenis sos tomato, tetapi tidak ada yang sesedap sos tomato keluaran Kimball. Disebabkan saya tidak mahu lupa akan jenama sos tomato Kimball ini, maka saya abadikan gambar botol sos tomato berjenama Kimball ini di blog saya.

Isnin, Oktober 05, 2009

Radix Fried Chicken RFC - KFC versi Muslim - Milik Bumiputera Islam

Suatu ketika dahulu, saya sangat suka makan ayam goreng Kentucky Fried Chicken atau KFC. Namun resepi baru KFC yang terkini, tidak sesuai dengan lidah saya. Saya merindui resepi lama KFC, yang berbau tepung gandum, dengan rasa yang lebih original, sekitar tahun 1990-an dahulu. Ketika itu, ayam goreng Kentucky dihidangkan dengan sos, pisau dan garfu. Rasa lada hitam dan tepung gandumnya memang enak.

Radix Fried Chicken
www.radixfriedchicken.com.my

Dahulu saya lebih suka Kentucky Fried Chicken berbanding ayam goreng Marry Brown. Namun sekitar tahun 2009, saya mendapati ayam goreng Marry Brown jauh lebih berpotensi untuk membuka selera saya. Saya jarang dapat menghabiskan ayam KFC, tetapi saya seolah-olah ketagih untuk menikmati ayam Marry Brown sepanjang masa. Boleh dikatakan dalam satu bulan, saya mungkin akan mengunjungi restoran ayam goreng Marry Brown sekitar 3 kali atau lebih. Coleslaw Marry Brown juga lebih memikat selera saya, selain ketulan roti berserbuk keju yang hangat.

Kini saya tiba-tiba mengidam ayam goreng Radix. Radix Fried Chicken atau Ayam Goreng Radix sentiasa menjelma dalam imaginasi makanan kegemaran saya. Saya cuba membandingkan ayam goreng Radix dengan Marry Brown. Bagaimana rasanya? Adakah lebih baik daripada Kentucky Fried Chicken dan Marry Brown? Atau unik? Atau ada resepi rahsia yang unik.

Jika dahulu saya terkenal sebagai pencuri resepi. Apa-apa yang saya makan, dengan mudahnya saya mengilhamkan resepi untuk makanan tersebut. Saya juga memiliki resepi yang saya rasa amat mirip dengan resepi Ayam Goreng KFC. Juga resepi-resepi rahsia daripada beberapa restoran popular yang lain yang pernah saya rasai. Resepi ini cuma boleh dinikmati dan pernah dinikmati oleh orang-orang terdekat dengan saya. Sebab saya risau apa kata restoran-restoran ini nanti jika saya dengan mudahnya menyebarkan resepi-resepi rahsia yang saya 'curi' menerusi deria rasa saya. Kini, sudah lama saya tidak memasak.

Saya teringin untuk merasai ayam goreng Radix. Saya berharap Radix Fried Chicken akan cepat-cepat membuka cawangannya di seluruh Malaysia, khususnya di Pantai Timur, Di Selatan dan di Pantai Barat. Saya mungkin akan menjadi 'regular customer' untuk Radix Fried Chicken, disebabkan restoran ayam goreng yang halal, tentu lebih membuka selera. Lebih-lebih lagi, saya tahu, ini restoran yang mempunyai hubungan rapat dengan HPA

Latar belakang Radix Fried Chicken
Radix Fried Chicken Sdn Bhd (RFC) memulakan operasinya pada 1hb Jun 2008 di Lagenda Heights, Sungai Petani. Pembukaan RFC ini adalah 100% milikan Bumiputera Islam. RFC merupakan salah sebuah syarikat subsidiari di bawah HPA Industries Sdn Bhd dan berkonsepkan restoran makanan segera berlandaskan Syari’ah Islam. Segala aspek keperluan dan kehendak Syari’ah dijamin kualitinya bermula dari bekalan bahan mentah seperti ayam yang diternak sendiri dan diawasi kualiti halal dan kebersihan. Manakala aspek pengurusan dan operasinya mengamalkan prinsip etika pekerja Islam seperti adab dan tatatertib muslimin dan muslimah serta amalan zikir dan sunat sebelum memulakan kerja seharian.

" PRODUK HALAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA "

Pada masa kini pasaran dan permintaan adalah tinggi ke atas makanan segera. Ini boleh dilihat dengan kehadiran jumlah restoran ‘bak cendawan selepas hujan’ di seluruh negara. Didapati pasaran konsep makanan segera di negara ini dimonopoli oleh masyarakat bukan Islam dan hampir 90% jenamanya berasal daripada luar negara.

Atas kesedaran dan tanggungjawab betapa pentingnya pilihan makanan halal, RFC diwujudkan bagi memberi pilihan makanan halal kepada umat Islam, khasnya umat Islam di Malaysia. Bermula dengan restoran pertama di Sungai Petani, RFC berazam mendirikan 400 buah lagi restoran yang serupa di seluruh negara.

Disamping itu, sejajar dengan slogan kumpulan perniagaan HPA, “Produk Halal Tanggungjawab Bersama”™ kewujudan RFC adalah satu jihad perniagaan dalam menyediakan makanan dan produk halal kepada umat Islam.

Apa itu Organik?
Bahan utama ayam organik adalah bebas dari bahan kimia hasil dari penggunaan konsep ternakan organik yang selamat, suci dan menyakinkan. Rahsia di sebalik Ayam Fresh organic halal:
  • Fresh
  • Organik
  • Halal
Fresh bermaksud ayam yang segar dari segi pemakanan, penjagaan serta dari segi penyembelihan. Ayam yang disembelih di ladang dan di hantar terus ke tempat permintaan. Ayam yang dah disembelih tidak akan di simpan lama dalam bentuk sejuk @ sejuk beku supaya kualiti kesegaran ayam itu tidak hilang dan tetap segar.

Ayam organik adalah ayam yang di ternak bebas daripada enzim babi @ makanan yang dilarang oleh agama Islam. Ayam yang diternak secara organic adalah ayam yang diberi makan seperti, ekstrak herba yang kaya dengan bahan antioksida dan antikanser seperti halia, kunyit, pandan, habbatus sauda dan limau purut. Tanpa penggunaan antibiotic, tidak menggunakan horman, beta agonist dan salbutamol. Faktor permakanan juga adalah penyumbang utama kepada daya tahan ayam daripada serangan penyakit. Bermakna ayam organik adalah ayam yang hanya makan makanan yang organic seperti spirulina dan tidak memakan dedak.

Halal adalah bermaksud, ayam yang di sembelih secara mengikut tuntutan syariah Islam. Ayam yang hendak disembelih mestilah ayam yang masih hidup dan sihat serta diperlakukan dengan baik sebelum disembelih. Membaca kalimah Allah (bismillah) sesaat sebelum menyembelih untuk setiap ekor haiwan @ ayam yang disembelih. Memotong dengan sempurna saluran pernafasan, saluran pencernaan dan pembuluh darah nadi dengan pisau yang tajam. Tidak boleh hanya dengan menusuk leher ayam, kerana dikhuatiri tidak memotong saluran-saluran tersebut dengan sempurna. Meletakkan dan membiarkan ayam mati dengan sempurna dan darah keluar dengan tuntas sebelum di proses selanjutnya.

Tata cara penyembelihan ayam mengikut syariah Islam, khususnya untuk penyembelihan ayam secara banyak dalam satu masa.

Proses penyembelihan merupakan tahap yang sangat penting dalam kehalalan haiwan sembelihan. Oleh kerana itu tata cara penyembelihan tersebut harus dilakukan dengan benar dan baik. Beberapa tahap yang harus diperhatikan, khususnya dalam penyembelihan ayam secara banyak dalam satu masa adalah:
  • Ayam haruslah masih hidup, sihat dan berada dalam keadaan baik sebelum disembelih.
  • Ayam yang mati harus segera dipisahkan dan tidak disembelih.
  • Membaca kalimat Allah (bismillah) sesaat sebelum menyembelih untuk setiap ekor haiwan yang disembelih.
  • Memotong dengan sempurna saluran pernafasan, saluran pencernaan dan pembuluh darah nadi dengan pisau yang tajam. Untuk penyembelihan secara banyak dalam satu masa aspek ini harus diperhatikan dengan seksama, jangan sampai ada yang terlepas atau tidak terputus dengan sempurna.
  • Tidak boleh hanya dengan menusuk leher ayam, kerana dikhuatirkan tidak memotong saluran-saluran tersebut dengan sempurna.
  • Meletakkan dan membiarkan ayam mati dengan sempurna dan darah keluar dengan tuntas sebelum proses selanjutnya, seperti pencelupan ke dalam air panas, pencabutan bulu dan pembersihan,jangan sampai ayam tersebut dalam keadaan masih hidup.
Misi saya pada masa akan datang ialah, menikmati ayam goreng Radix. Kenapa di dalam hati saya seolah-olah ada bisikan suara yang mengatakan, Ayam Goreng Radix pasti lebih sedap berbanding ayam goreng jenama-jenama yang lain?

Pada masa yang sama, saya menunggu Resepi Klasik Ayam Goreng Kentucky Fried Chicken yang pernah saya rasai pada awal era 90-an dahulu untuk kembali. Kombinasi lada hitam, tepung gandum yang kuat dengan garam yang secukup rasa. Saya rasa saya sedang merindui resepi lama Kentucky Fried Chicken dan saya harus menamatkan tulisan saya kali ini sebelum saya terkena 'angau' ayam goreng.