BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Sajak Amiene Rev. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sajak Amiene Rev. Papar semua catatan

Isnin, April 17, 2017

Kebaikan Bersarapan - Keburukan Tidak Bersarapan

Sarapan Itu Ada Baiknya

Karya: Amiene Rev

Suatu ketika aku dengar orang berkata
aku tidak suka sarapan kerana aku takut
takut jadi gemuk

Lantas kujerit, "Itu bohong."
Bersarapan tidak menjadikan engkau gemuk
Malah kau akan jadi kelaparan
lalu makan lebih banyak
dan mudah gemuk

Sedangkan dengan bersarapan itu
mampu meningkatkan kadar metabolisma badanmu
menjadi pembakar lemak
menenangkan emosi
menghindari rasa cemas atau mudah panik

Engkau sudah biasa tidak bersarapan
sekarang mindamu lemah
pemikiranmu tumpul
kerana tidak bersarapan
menyebabkan kamu hilang nutrisi penting
kalsium, potassium dan serat

Risiko mendapat penyakit jadi lebih rendah
kamu akan dapat menghindar penyakit jantung,
kencing manis, darah rendah dan juga hipoglisemia

Dengan bersarapan kau akan rasa lebih gembira
lebih bahagia kerana otakmu berjalan lancar
hidup ini kelihatan manis

Malah sarapan juga merupakan satu cara terbaik
untuk kamu berhubung dengan orang lain
memulakan perbualan dan menghindari kemurungan

Ayuh, sarapan!

AMIENE REV
17 APRIL 2017


Ahad, Mei 15, 2016

SAJAK KEMBARA BELON UDARA - AMIENE REV

KEMBARA BELON UDARA

Ketika aku dibuai laman malam
aku teringat nafas sejuk di Doha
semangat beku cair dalam bisikan motivasi
entah kenapa kelalang mindaku bercahaya
ada mancis menyala-nyala jadi petunjuk

belon udara menyambut aku dari tanah yang gersang
aku turuti jemputannya
di langit pemikiranku meluas
aku tatapi cahaya-cahaya dari bingkai bangunan-bangunan
umpama titik-titik minta disambungkan
tersembunyi jawapan

di sebuah masjid
jadi perhentian.

AMIENE REV
15 MEI 2016, 12.15 pagi
Johor Bahru

Isnin, Disember 01, 2014

Sajak Amiene Rev: Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2

Kesunyian adalah temanku yang paling rapat 2
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev
1 Disember 2014

Aku tidak peduli
aku ini kelikir di pinggiran
Aku tidak peduli
aku ini debu di buangan
Aku tidak peduli
aku ini kuman persinggahan
Aku langsung tidak peduli
bila aku tidak dipedulikan
kerana aku tinggal di langit tinggi
seorang diri memandang ke tanah sempadan
melihat segala hamba berurusan niaga
dosa dan pahala
Bingkai awan mendaulatkan bulan
senja mengundang keemasan
malam menampilkan kerlipan bintang
di situ aku berdoa
mencari jalan bahagia
meratapi dosa-dosa lama
menginginkan keberkatan pahala
Lama aku termenung
mengingatkan Kau di mana-mana
tidak terlihat dari mata kuyuku
cuma perasaan mendalam di hati
aku ingin beritahu-Mu
kesunyian itu menjadi hartaku
yang entah patut kusyukuri
atau tidak.
Berkati aku dengan rahmat-Mu
aku cuma hamba-Mu
Wahai Yang Maha Perkasa

Sajak Amiene Rev - Kesunyian Adalah Temanku Yang Paling Rapat

"Kesunyian adalah temanku yang paling rapat," 
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev 
1 Disember 2014

Saat ini, tidak ada teman nyata untuk berbicara.
Adakah ini dipanggil kesunyian?
Sensitiviti seorang jurnalis, bisa membunuh! 
Aku seorang diri ini, terpinggir di jalan sepi.
Tidak ada ribut, tidak ada debu atau embun yang sejuk.
Namun, aku tetap terasa disapa kedinginan, dalam makna tersendiri.
Saat ini tidak ada lagi teman buat berbicara.
Kesunyian adalah temanku yang paling rapat.
Tanah Selatan ini, selalu saja meninggalkan kesayuan.
Di mana teman-temanmu?
Di mana suara-suara tawa itu?
Di mana sendu-sendu tangisan itu?
Aku menemani diriku, tanpa sepasang sayap buat menyelimuti diri, memanaskan diri dari dingin sunyi itu.
Kedengaran suara anak-anak kecil bergurau senda.
Dan jeritan ibu memanggil pulang.
Padang rumput menghijau, dan sebiji bola biru, terbiar begitu.
Lalu badai pun menyambar, memutuskan simpulan.
Lalang-lalang terbiar memanjang.
Ranting-ranting reput kepatahan.
Daun-daun kering, rapuh, hancur dilanggar taufan.
Jiwa pun bergelora, memberontak.
Api mula marak membara.
Jantung merebut darah.
Paru menghembuskan nafas.
Roma memercikkan peluh.
Urat menggetarkan jasad.
Lalu bangkit azam baru.
Lalu retak tembok itu.
Lalu kutendang pintu itu.
Lalu kurempuh pagar waja, mara, terus mara!
Langkahku laju, menuntut kemeriahan,
mengatur damai itu,
menguliti kesedihan
yang terukir oleh kesunyian.

Rabu, Mei 29, 2013

Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu VS Bahasa SMS
Luahan rasa: Amiene Rev, 29 MEI 2013

Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan
Bahasa SMS, menyebar di alam siber
Bahasa kebangsaan masih meniti di bibir
Biarpun ejaannya sudah berubah
Hati yang membaca kekal menyebut yang benar

Begitulah tokoh jiwa-jiwa muda
mengagungkan Bahasa SMS
Mempertahankan Melayu
tidak salah katanya menggunakan Bahasa SMS
Ratusan ribu sudah mengguna Bahasa SMS
Bahasa baru generasi muda

Kemudian penularan berlaku
Bahasa SMS lekat di bangku
peperiksaan
Kertas kajang dan karangan
satu demi satu dijajah Bahasa SMS
Bahasa baru generasi muda
yang tidak salah digunakan
katanya

Biar Melayu pupus pada bahasanya
Biar Melayu mudah berbicara
Warisan lama hilang musnah
Kurangnya pak sanggup pemikul beban
memikul beban bahasa ibunda

Biar jahanam semua bahasa ibunda
tak perlu diwariskan jika sukar dibela
Adakah di atas prinsip anak-anak muda?
Di mana mahu kuletak rasa kecewa
Di mana layak kusimpan gundah gulana
Bahasa kebangsaan tergolek ke longkang
Umpama kucing berlari ke tepi jalan
mahu mengelakkan diri dari sebuah kereta
yang memecut laju

Begitulah bahasa kebangsaanku kini
Mungkin sudah tua usia Bahasa Melayu
Mungkin sudah sampai ajalnya
Maka, adakah lagi kelak, bangsa Melayu?

Selasa, Disember 11, 2012

Sebuah Piala Seekor Kambing

 Sebuah Piala Seekor Kambing
Oleh: Amiene Rev

Seekor kambing, sebuah piala.
Sebuah piala, seekor kambing.
Kambing panggang.

Sebuah piala, seekor kambing.
Kari kambing.
Sedap.

Sebuah piala, seekor kambing.
Sup kambing.
Enak.

Seekor kambing, sebuah piala.
Sate kambing.
Harum.

Seekor kambing, sebuah piala.
Sudah dapat, belum?

Selasa, November 13, 2012

AMIENE REV - Jaga Badan

AMIENE REV - Jaga Badan

Kita hidup di dunia ini tidak lama
Kita hidup di dunia ini untuk apa?
Kita hidup di dunia ini bersinggah-singgah

Apabila lilitan pinggang makin panjang
Jaga jangan biar lemak tumbuh bertapak
Apabila nenek tua mengaku muda
Itu maksudnya hidupnya tidak lama

Sabtu, November 10, 2012

AMIENE REV - Air Terjun Itu Gatallah

AMIENE REV - Air Terjun Itu Gatallah

Dingin sungguh bulan November
Air sungai bagaikan ais
Deras sungguh keruh sungguh
Air terjun Kota Tinggi
hilang keindahan kekal kekaguman

Air terjun Kota Tinggi
Menghembus ganas
Dibawanya sisa-sisa pokok mati
Dan pasir-pasir gatal
serta sejuk dingin
mengenal sumsum

AMIENE REV - Bila Mentari Terbit Dari Barat

AMIENE REV - Bila Mentari Terbit Dari Barat

Bila mentari terbit
sesungguhnya dari Barat
Tidak ada perkataan EXIT
Dosa jangan biarkan melarat

Bila kau nampak
matahari pagi bersinar
dari Barat
lupakan konflik dunia
selesaikan konflik dengan Tuhan kamu
cuma satu
satu Tuhan saja

Jangan
Jangan fikir ini dongengan
satu hari matahari akan terbit dari Barat
kenyataan itu
takdir itu
akan tiba jua

Jumaat, November 09, 2012

AMIENE REV - Emosi Kita

AMIENE REV - Emosi Kita

Emosi kita
bisa terpedaya
dengan luka-luka di wajah kenang-kenangan kita
lalu aku bersembunyi
menghindarkan diri dari kenyataan

Jangan,
Kita hidup dalam realiti
Tak perlu ikut kata-kata hati
Akal dan ajaran agama kita turuti
Biar hidup kita kekal diberkati

Sedih,
biarkan sedih sedikit cuma
jemput syukur murahkan zikrullah
agar penawar hati yang hiba
gembiralah, rianglah selalu

Jumaat, Ogos 31, 2012

Peristiwa 31 OGOS 2012

Diam-diam Sahaja
Sajak Kemerdekaan Amiene Rev

Baru sebentar tadi, merdeka telah berlalu.
Pada malam, udara sejuk, embun membeku.
Baru sebentar tadi kedengaran sorak kemerdekaan.
Pada malam, sejuk, fikiran beku.
Aku masih bisu.
Diam-diam sahaja.

Setiap hari, menuju, ke matlamat yang satu.
Sama seperti dulu, tidak selalu.
Mengharungi lopak, haru biru.
Diam-diam sahaja.

Penulis: Amiene Rev
31 OGOS 2012
Kamar tulis

Selasa, November 22, 2011

SAJAK RAKYAT MALAYSIA TERHADAP INDONESIA


Sajak: Malaysia-Indonesia
Daripada Penulis Yang Tersinggung: Amiene Rev (C) 2011

Bukan sekali Indonesia menghina Malaysia
Bukan sekali Indonesia lupa jasa Malaysia
Indonesia lupa mendidik bangsanya
erti sebenar persaudaraan dan kemanusiaan
Indonesia lupa mendidik bangsanya
erti sebenar maruah dan tuan rumah

Di Malaysia,
kami melayan anak-anak dari ibu pertiwi Indonesia seperti bangsa sendiri
kami benarkan anak-anak Indonesia mencari pekerjaan yang halal
kami benarkan anak-anak Indonesia berhibur pada waktu lapang
kami benarkan anak-anak Indonesia menuntut ilmu
kami benarkan anak-anak Indonesia menerima wang 100
kami benarkan anak-anak Indonesia melalak berkaraoke
kami benarkan anak-anak Indonesia berkawan dengan anak-anak kami
kami menatang Indonesia seperti minyak yang penuh
walaupun kadangkala ada juga seekor dua biawak terpikul


Namawee,
ciptakan satu lagu untuk Indonesia,
bagi menyedarkan mereka yang lupa,
akan jasa dan budi jiran tetangga
yang tidak serik membantu mereka
biarpun madu berbalas tuba

Indonesia
Lagu Negaraku kami langsung tidak kau hormati,
oleh para penonton dan penyokong di gelanggang persahabatan
apa maknanya bersatu dan bangkit
jika apa yang kami lihat ialah bercerai dan bedebab
moral-moral orang Indonesia
dengan sorak mengejek serta provokasi menghina
serta kartun mengejek Malaysia di akhbar
serta laungan "Malaysia Maling!"


Itu semua juadah basi yang kau hidangkan
buat tetamu

Mulia lagi Arab Jahiliah
Nama Indonesia, nama Jakarta
kian buruk di mata jurnalis
kian busuk di hati dunia


Datangnya atlit dari Malaysia ke Indonesia
bak mengunjungi tempat pembuangan sampah dan loji najis
bak masuk ke sarang lebah dan binatang buas
terpaksa menaiki kereta kebal?
dan pesawat yang ditempah khas?
di mana maruah Indonesia
sebagai tuan rumah satu temasya persahabatan Asia Tenggara?

Geleng...
gelengkan kepala beramai-ramai
mengenang sikap Indonesia
seperti tuba dan bisa

Inikah, Indonesia, jiran kami?

Khamis, November 10, 2011

Berikan Palestin Satu Undi Lagi

Satu Undi Lagi
Sajak oleh Amiene Rev (C) 2011

Berikan Palestin satu undi lagi,
biar tamat cerita derita
dalam hati tanpa sengketa
biar tipis air mata
cuma tinggal rindu lalu


Menteri Luar dedah masalah dapat sokongan di Majlis Keselamatan PBB 
Dipetik daripada Berita Harian 

RAMALLAH: Pemimpin Palestin buat kali pertama mengaku tidak mendapat sokongan mencukupi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengiktiraf negara Palestin yang merdeka. Kenyataan itu dikeluarkan ketika Majlis Keselamatan PBB menerima laporan menyebut belum ada kata sepakat di kalangan 15 negara anggotanya mengenai permohonan menjadikan Palestin anggota baru badan dunia itu. Sembilan undian diperlukan untuk kelulusan tetapi mana-mana lima negara anggota boleh menggunakan kuasa veto iaitu Amerika Syarikat, Russia, China, Perancis dan Britain. Amerika dan Israel menegaskan negara Palestin hanya boleh wujud menerusi rundingan. Menteri Luar Palestin, Riad Malki, memberitahu agensi berita kelmarin: “Jelas sekarang, kami tidak akan memperoleh sembilan undi kerana campur tangan Amerika.” Namun, mereka masih boleh memohon kepada Perhimpunan Agung PBB. Palestin memulakan usaha mereka di PBB September lalu, membayangkan kemarahan berhubung rundingan damai dengan Israel tergantung. Terdahulu, 15 negara anggota Majlis Keselamatan tidak mencapai kata sepakat berhubung permohonan Palestin menganggotai PBB, menurut deraf laporan diedarkan kelmarin. Laporan empat muka surat itu yang diperoleh Associated Press menyebut anggota majlis terbahagi antara mereka yang menyokong keanggotaan Palestin, mereka yang tidak dapat menyokongnya sekarang dan mereka yang menentang kerana percaya permohonan tidak memenuhi kriteria keanggotaan. Selepas menilai deraf laporan, Duta Portugal ke PBB, Jose Filipe Moraes Cabral, yang menjadi Presiden Majlis Keselamatan, merumuskan jawatankuasa kemasukan tidak dapat membuat cadangan sebulat suara kepada Majlis Keselamatan. Lima belas negara anggota itu, yang mengandungi jawatankuasa kemasukan, diberi deraf berkenaan untuk menilai dan diminta memberikan sebarang cadangan menjelang semalam. “Kami akan meneliti sama ada akan memindanya lagi,” kata Duta Perancis ke PBB, Gerard Araud. Jawatankuasa kemasukan penuh dijangka mengadakan pertemuan esok, dan diplomat berkemungkinan meluluskan deraf berkenaan dan menghantarnya kepada Majlis Keselamatan. Apa yang akan berlaku seterusnya masih samar. Salah satu penyokong Palestin dalam majlis berkenaan, berkemungkinan Lubnan atau Afrika Selatan, akan menyerahkan resolusi mencadangkan keanggotaan Palestin diundi dalam badan itu, kata diplomat yang enggan dikenali. Bagi membolehkan resolusi itu diterima majlis, ia memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan mesti mengelak veto daripada mana-mana anggota tetap iaitu Amerika, Russia, China, Britain dan Perancis. – AFP

Isnin, Oktober 03, 2011

Sajak Persahabatan I - Samori

Samori, mendendangkan lagu ini
buat sahabat
teman dari jauh

Samori, mendendangkan lagu ini
buat saudara
seperjuangan dalam perang ini

Ini cerita tentang Samori, salah seorang rakan seperjuangan Amiene Rev, selain Romantis Selatan dan Pungguk Utara. Samori menunggang kuda laut, bangkit dari buih-buih pantai, lalu mendarat di betis-betis kelapa yang tumbang di tiup Badai Kesumat .

Akhar tenggelam dalam perpaduan
langit perpisahan jauh dasarnya
Dalam diam menanti bulan
Terbit dari perut laut

Samori,
dendangkanlah lagu ini,
buat sahabat
buat teman
buat saudara
dari perang yang jauh.

Rabu, Ogos 17, 2011

Sajak Merdeka Amiene Rev 2011

Tahun Ini Merdeka Ditangguhkan (Merdeka 2011)
Sajak oleh Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) Amiene Rev 2011

Merdeka tahun ini,
lebih asyik disambut
kerana tahun ini, puasa didahulukan
Aidil Fitri diagungkan

Mana mungkin bala syaitan tergugat
jika hari kemenangan Islam
hamba-Mu, Ya Allah
tidak disambut?

Jika dahulunya,
semua orang melihat bunga api bertebaran
di langit di angkasa kelam

Jika dahulunya pasangan kekasih bercumbu-cumbuan
berpelukan melihat cahaya dan asap
syaitanik! syaitanirrojin!

Hari ini maksudnya,
harus insaf semuanya
dari pembaziran api dan maksiat
durjana peragut merdeka yang benar

Tahun ini,
hari kemerdekaan kita tangguhkan
kerana kita sekalian umat Islam,
mahu merebut Hari Kemenangan!

14 Ogos 2011
(C) Amiene Rev 2011

Selasa, Ogos 16, 2011

SAJAK MERDEKA: Maximus Sang Jeneral - Amiene Rev

MAXIMUS SANG JENERAL
Bersempena kematian Maximus Decimus Meridius
Sajak oleh Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2011

Bertahun-tahun lamanya ini
aku Markus, tidak rakus!
tidak menikus!
tidak mampus!
memberi sumbangan
tanpa berlaku sumbang
dengan ikhlas hati
tidak mengharap balas budi

Kemudian satu hari
Sang Maharaja diberi racun
oleh anakandanya sendiri
sang putera
rakus merampas harta
membunuhku seperti tikus
menggigit hidung sang jeneral
yang tertidur, koma!

Mahu melihatku mampus,
lenyap dari tabir matanya!

Tetapi aku ini Maximus
aku kembali sebagai hamba
memburumu di medan pertarungan
disaksikan ribuan rakyat jelata
betapa zalim
betapa angkuh
semua itu pasti hapus
olehku

kuasa senat dikembalikan
Gracchus hidup semula
tiada lagi hamba abdi
isteri dan anakku
sentiasa di sampingku

Maximus Sang Jeneral

14 Ogos 2011
(c) Amiene Rev 2011

Ahad, Ogos 14, 2011

Sijil Hanya Sekeping Kertas - Sajak Amiene Rev

SIJIL HANYA SEKEPING KERTAS
Sebuah karya Amiene Rev (C) 2011

Sijil hanya sekeping kertas
pasti terbang ditiup angin

Andai kata tertumpah air
bisa koyak dan luntur
tandatangan pengesahnya

Andai kata dikutis anai-anai
maka hancur binasalah ia
Begitu juga apabila disapa api
akan hanguslah ia
menghilang segala kemegahan

Namun, pengalaman dan pendidikan
yang bertahun-tahun telah kita lalui
mampu kekal kukuh di dalam diri

Apa lagi yang mampu menjadi tandingan
antara ilmu dan sekeping kertas?

Sijil hanya sekeping kertas
pasti terbang ditiup angin

7 Ogos 2011
Amiene Rev

Sabtu, Ogos 13, 2011

Sang Pemandu - Sajak Amiene Rev

Sang Pemandu
Sebuah karya Amiene Rev (C) 2011

Sang Pemandu
jangan pecut sampai roda-roda
berputar laju menggila di jalanan

laju rodamu berputar
laju lagi degup jantung
para penumpang tidak berdosa
atas perbuatanmu

Sang Pemandu
kepada siapa
mahumu sampaikan
ucapan maafmu
pada ketika sudah sedu sedan
menangisi mayat-mayat
bergelimpangan

Angin akan berlalu
bukan angin dari laju pecutanmu
angin yang membawa khabar
busuk namamu
Sang Pemandu

7 Ogos 2011
Amiene Rev

Ahad, Oktober 24, 2010

Sajak Cinta - Cinta Setulus Hati

Cinta Setulus Hati
Penulis: Amiene Rev

Cinta setulus hati
bukan pada insan
tapi pada agama
pada Tuhan

Cinta setulus hati
bukan pada nikmat
tapi seikhlas hati
kerana mahu bersyukur
kepada Tuhan
kerana jika cinta
hanya kerana nikmat
jika kau susah
adakah kau tetap suka
dengan musibah yang melanda?

Selasa, Oktober 19, 2010

Membantu kawan ketika kesempitan

Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Siri Sajak Pendek - Sadek
Cukup Rindu - Bahagian 5
Penulis: Amiene Rev

ketika kesusahan melanda
siapa lagi
yang lebih menyayangiku
selain-Mu?