BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Karya Eksperimentasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Eksperimentasi. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 21, 2012

Cerpen: Monolog Tong Sampah - Karya Amiene Rev 21.12.2012

Monolog Tong Sampah
Penulis: Amiene Rev (C) 21.12.2012  : 1.20AM

Malam. Malam yang dingin ini lagi. Seolah-olah, tidak ada lagi malam yang hangat. Oh, langsung tidak bersyukur aku ini. Kalau benar malam dingin ini ada gunanya, kenapa pak cik tua itu keseorangan di situ? Tidak sejukkah dia? Ini, satu soalan pembohongan yang paling teruk pernah aku utarakan jika aku katakan pak cik tua itu tidak pernah kesejukan. Di luar rumah, di tepi jalan berdebu, dengan serbuk-serbuk pasir menemani benang-benang kain yang dipakainya, serta degungan nyamuk yang sesekali bermain di telinganya, menggigit kulit lengannya dan betisnya hingga gatal-gatal bukanlah satu pengalaman yang indah. Itu semua sengsara!

Pak cik Tua, andainya pak cik tahu, betapa sayunya hati aku ini melihat pak cik sendirian di jalanan. Di mana rumah pak cik? Boleh aku hantarkan. Aduh. Bagaimana mampu aku berjalan sedangkan aku ini cuma seunit tong sampah hitam di tepi jalan.

Pak cik, kita senasib. Barangkali, kita ditakdirkan untuk berteman. Tetapi pak cik, tahukah pak cik, tong sampah seperti aku ini tetap ada nasib malangnya. Pak cik lihat bekas-bekas calar balar pada badan aku ini. Aku dilayan begitu kasar oleh lelaki-lelaki berpakaian seragam dengan lori busuknya itu. Pak cik, sehingga kini, parut-parut calar itu kelihatan di badanku. Bagaimana pula dengan pak cik?

Oh, ya. Pak cik juga ada parut. Parut luka yang dalam. Tak nampak dengan mata kasar. Cuma boleh dilihat dengan mata batin.  Mata batin yang rabun.

Pak cik, aku ini boleh dikatakan beruntung kerana memiliki jiwa. Namun, jangan pula pak cik berbicara dengan aku kerana nanti pak cik dianggap gila. Sudah pasti reputasi pak cik sebagai orang tua semakin jatuh dan orang-orang akan mula memandang hina kepada pak cik.

Pak cik, kenapa termenung begini. Pandanglah aku. Oh, aku lupa lagi. Aku ini cuma seunit tong sampah. Aku tidak dipandang sangat oleh manusia. Kadangkala manusia yang lalu-lalang di jalan ini langsung tidak pedulikan aku. Mereka menghina aku. Mereka menjatuhkan maruah aku sebagai tong sampah. Mereka jadikan muka-muka jalanan ini sebagai medan pembuangan sampah mereka. Aku ada di tepi jalan ini! Mereka tidak menghargai aku. Barangkali mereka rasa terhina untuk membuka tudung di kepalaku. Mereka tahu tangan mereka akan tercemar apabila mereka memegang tudungku.

Aduh, kenapalah aku bertudung? Ah, yang mencipta aku pun manusia juga. Manusia ini cukup tidak adil. Sesetengah kaumku dicipta tanpa tudung dan sesetengahnya bertudung. Ada pula yang mempunyai ruang berpasir untuk memadamkan api rokok. Kasihan, kawanku di hujung sana itu. Badannya penuh dengan parut-parut terbakar. Manusia yang menjadikan aku, tetapi manusia juga yang mendera aku. Mereka mencucuh puntung rokok yang masih membara ke badan kawan aku itu. Apa gunanya tempat berpasir itu?

Namun, aku pernah terdengar seorang manusia yang mengemis. Ya, dia dipanggil pengemis, berdoa dan membaca sesuatu yang sangat indah. Kemudian apabila ada manusia lain yang dermawan menitip syiling atau wang kertas ke dalam bekas kecil yang diperbuat daripada plastik itu, dia akan berkata sesuatu seperti, “Terima kasih. Semoga Tuhan berkati tuan.”

Aku percaya, manusia ini ada penciptanya. Sama seperti aku. Aku dicipta oleh manusia. Manusia pula dicipta oleh siapa? Aku pasti Tuhan itulah yang mencipta manusia.

Apabila bercakap tentang manusia yang sering menjadikan aku sebagai mangsa buli, aku mula teringat bahawa bukan manusia sahaja yang sering menyakiti aku. Sesekali, ada juga seekor dua kucing nakal dan ada juga anjing-anjing. Kadangkala, anjing-anjing yang membuli aku itu bukan anjing yang comel, tetapi anjing kurap yang menjijikkan.

Ah! Aku pun menjijikkan juga. Bau badanku busuk. Sama sahaja aku dengan anjing. Oh, ya. Manusia ada pencipta. Aku ada pencipta. Anjing dan kucing pun pasti ada pencipta juga. Siapakah pencipta anjing dan kucing? Adakah tuhan anjing dan tuhan kucing sama seperti tuhan manusia?

Aku tidak pernah mendengar anjing berbicara seperti manusia. Seingat aku, begitulah keadaan anjing dan kucing. Kadang-kadang aku melihat anjing dan kucing bergaduh. Sang kucing yang kecil, kadangkala berani melawan sang anjing. Sama juga seperti manusia. Aku pernah lihat sekumpulan anak-anak manusia yang masih agak kecil membuli pak cik tua itu. Oh, tetapi aku tak boleh samakan anjing yang lebih besar itu sebagai pak cik tua itu, dan kucing itu sebagai budak-budak itu. Jika budak-budak itu anak manusia, pasti pakcik pun mungkin ada anak-anak juga. Di mana anak-anak pakcik?

Pakcik, sudikah pakcik bertukar tempat dengan aku ini. Biar aku menjadi manusia dan pakcik menjadi tong sampah. Sekurang-kurangnya dapat juga aku menghayati perasaan pak cik sebagai manusia terbuang. Oh, terbuang. Terbuang. Kalau begitu, pak cik ini sampah dan aku ini tong sampah. Takkanlah pak cik ini lebih hina berbanding aku.

Tiba-tiba aku teringat lagi. Aku pernah melihat seorang manusia dewasa, seorang manusia yang sudah berusia dan dua kanak-kanak  yang sering lalu-lalang di sini. Aku ingat lagi si anak itu memanggil manusia dewasa itu sebagai ayah, dan lelaki yang sudah berusia itu sebagai atuk. Jadi,  dengan usia pakcik yang sudah tua ini, pakcik sudah pasti bergelar atuk. Dan pakcik pasti memiliki anak yang sudah bergelar ayah dan kanak-kanak yang dipanggil apa itu? Oh, ya, “Cucu.”

Pakcik, aku ingin tanya pakcik satu soalan yang aku tidak pasti apa reaksi pakcik apabila aku mengemukakannya. Boleh tak pakcik? Bolehkah aku tahu di mana anak-anak pakcik? Di mana cucu-cucu pakcik? Kenapa, pakcik berada di sini? Kenapa pakcik bagaikan manusia terbuang di sini? Kenapa pakcik seolah-olah lebih hina dari aku ini yang cuma seunit tong sampah?

Ya, pakcik. Aku ini belum boleh dianggap sehina pakcik. Aku ini tidak dibuang. Aku ini diletakkan di sini. Kemudian, akan ada orang-orang lelaki yang akan mengangkat aku, mencurahkan kotoran dan sampah di dalam badanku ke dalam lori busuk itu. Aku kira lori itu adalah tong sampah beroda. Raja segala tong sampah. Setiap sampah yang masuk ke dalamnya akan lumat. Ngeri sekali aku meneliti ke dalamnya.

Sehingga kini, jika aku melihat sampah-sampah yang lumat di dalamnya, aku akan dilanda mimpi ngeri pada malamnya. Akan lebih ngeri jika pak cik yang dimasukkan ke dalam mulut yang besar itu. Atau, apa akan berlaku jika lelaki-lelaki yang sering memperlakukan aku dengan kasar itu, menghentak-hentak aku ke mulut besar yang berbau busuk itu, agar terkeluar semua isi di dalam badanku, dan kemudian terlepas tangannya sehingga aku terjatuh ke dalam mulut besar itu. Oh, tidak!!!  Ngeri sekali.

Ya, pakcik. Aku ini masih ada nilai. Aku ini masih ada peranan. Pak cik pula? Apa peranan pakcik? Apa peranan pakcik berada di tepi-tepi jalan ini? Setiap hari pakcik tidur di sini. Sesekali, pakcik menghilang dan merayau entah ke mana dan pada waktu malam hari, pakcik akan kembali ke sini.

Pernah sekali, aku melihat pakcik berlumuran darah. Kenapa sampai begitu sekali pakcik? Pernah sekali, aku melihat wajah pakcik lebam-lebam. Kenapa boleh jadi begini, pakcik? Ketika itu, aku masih ingat, pakcik mengalirkan air mata. Pakcik cuba menahan sedih, dengan muka yang mencebik, menampakkan bibir pakcik yang kering, pecah dan mengelupas. Air mata pakcik yang mengalir, membasahi pipi pakcik yang kering dan mencuci debu di wajah pakcik. Sesekali, keluar hingus yang menjijikkan dari lubang hidung pakcik. Mata pakcik merah, ada urat-urat yang tegang pada leher pakcik yang berkedut, dan kulit pakcik yang bergelebeh tanpa lemak. Kurus keding badan pakcik. Seksa aku melihat pakcik sebegitu rupa.

Diam.

“Diam!”

Ya? Aku terdengar sesuatu. Suara, pakcikkah itu?

“Diam!”

“Diam!!!”

Pakcik?

“Jangan bercakap!”

Wah? Pakcikkah yang bersuara itu?

“Aku kata jangan bercakap. Tolonglah!”

Wah, pakcik dapat dengar suara aku? Akhirnya?

Bam!!! Tiba-tiba aku melayang. Aku melihat pakcik sekejap kepalanya di atas dan sekejap kakinya di atas. Tanah tar pun begitu. Langit pun begitu, sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Aku melihat sepasang manusia, lelaki dan perempuan bergaduh tidak jauh dari tempat yang sepatutnya aku diletakkan.

“Abang! Itu ayah Abang!”

“Bukan! Itu bukan ayah aku!”

Aku ini tong sampah. Bukan senang aku mahu melihat ke sekitarku. Juga, bukan senang untuk aku menangkap suara-suara manusia. Rupa-rupanya semasa aku sedang sibuk memberi perhatian kepada pakcik itu, ada sepasang manusia yang bergaduh. Jerit suara lelaki yang kuat itu, menyebabkan aku dapat mendengar. Kenapa? Kenapa?

Selama ini, cuma sampah sahaja yang mampu berbicara sedemikian rupa. Aku tidak pernah mendengar suara pakcik itu. Kali ini, buat pertama kali, seorang lelaki yang aku tidak pernah kenal, suaranya terakam. Dan, suara perempuan itu juga, buat pertama kali aku dengar.

“Dia ayah Abang, jangan Abang tinggalkan dia lagi. Kita mesti bawa dia pulang, Bang.” Begitulah suara teriakan perempuan tersebut. Aku dapat mengesan nada sedih dan kecewa dalam intonasi suara perempuan itu.

“Kau datang ke sini, kau bawa aku ke mari, semata-mata nak bawa jumpa dengan orang tua ni. Kau dah lupa, apa orang tua ni buat dekat aku?”  Aku melihat lelaki itu begitu marah sekali terhadap pasangannya.

“Aku ini anak pungut, kau tahu tak? Anak pungut!!!”  Lelaki itu menjerit semahu-mahunya.

Aku ini tong sampah. Aku tidak faham masalah manusia. Aku sendiri tidak faham kenapa manusia ini pelbagai jenis peranannya. Apa yang aku tahu, aku ini tong sampah, dan perananku cuma menunggu badanku diisi penuh dengan sampah, kemudian lelaki-lelaki berpakaian seragam akan mengasariku, menghentak-hentak badan aku ke bibir mulut lori sampah itu, sebelum meletakkan aku ke tempat aku selalu diletakkan sehingga kini. Aku juga tahu, kucing, kerjanya membuli aku sama seperti anjing. Kadang-kadang kucing dan anjing akan memanjat badan aku sehingga aku terbalik, sehingga tercabut tudungku dan berselerak sampah di dalam badanku.

Namun, aku belum pernah melihat manusia menendang aku. Apakah salah satu peranan lelaki ini ialah menendang aku? Sesungguhnya lelaki ini lebih kasar daripada lelaki-lelaki berpakaian seragam yang sering datang mencari aku beberapa kali dalam seminggu. Aku tahu perkataan seminggu ini daripada lelaki-lelaki berpakaian seragam itu juga. Mereka ada tentang menyebutnya.

Lelaki ini betul-betul buat aku bingung.

“Letakkan aku balik ke tempat aku!” Aku menengking.

Selalunya, akan ada lelaki yang memegang penyapu atau perempuan yang memegang penyapu, bertopi besar yang bersimpati denganku. Jika aku didapati terlentang atau tergolek, dia akan mengangkatku kembali. Sungguh mulia lelaki dan perempuan yang memegang penyapu itu. Aku rasa, antara banyak-banyak manusia, lelaki dan perempuan yang dipanggil tukang sapu itulah yang paling mulia dan bijak kerana tahu menghargai perananku.

“Abang, walaupun siapa pun dia, dia tetap ayah Abang.” Suara perempuan itu seakan-akan merayu lagi.

Aku ini cuma seunit tong sampah. Sejujurnya, aku langsung tidak faham apa yang sedang berlaku antara manusia-manusia di depan mata aku ini.

“Kau tahu tak, dahulu, orang yang dipanggil Ayah ini, layan aku macam sampah! Aku dibuang  macam sampah! Sekarang, biar dia rasa, apa yang dia pernah buat kepada aku dulu!” Lelaki itu bercakap dalam nada suara yang berat dan marah.

“Abang, tak baik Abang.” Perempuan itu menangis teresak-esak.

Pakcik tua itu pula aku lihat terpinga-pinga dalam sugul. Oh, pakcik. Jika pakcik boleh bercerita kepada aku apa yang sedang berlaku sekarang, alangkah baiknya.

“Tak baik apa?  Orang ini bukan kenal aku lagi pun. Dah nyanyuk!” Jerit lelaki itu lagi.

Agaknya ini yang dipanggil drama. Sebagai seunit tong sampah, aku bukannya faham kehidupan manusia. Aku tidak faham kehidupan pencipta aku ini. Aku rasa mungkin manusia juga tidak faham akan kehidupan Penciptanya. Setahu aku, aku dijadikan manusia sebagai tempat untuk menyimpan sampah daripada dibuang di merata-rata tempat.

Habis, apa pula peranan manusia sehingga manusia ini dicipta oleh Penciptanya? Apakah peranan pakcik ini sebagai seorang ayah? Apakah peranan lelaki yang garang di depan aku ini sebagai seorang anak? Apakah pula peranan perempuan yang sedang menangis dan memujuk rayu itu sebagai seorang, seorang apa ya? Oh, pakcik, aku tidak tahu langsung jawapannya. Aku ini cuma seunit tong sampah. Apakan dayaku?

* * *

Malam. Dingin. Sesekali angin bertiup menerbangkan debu-debu pasir ke arahku. Kering. Kering sekali udara malam ini. Aku kini sudah berada semula di tempat asalku. Di tepi tiang lampu itu. Bersebelahan tempat menunggu bas itu. Tempat pakcik tua selalu mendiamkan diri.

Tempat itu kini gelap gelita. Lampu malap berwarna jingga tidak mampu menembusi atap tempat menunggu bas itu. Pakcik tua itu tidak ada lagi. Seingat aku, siang tadi, tiba-tiba datang satu van putih berhenti di sebelahku. Seorang. Kemudian seorang lagi lelaki berkopiah putih, berpakaian kemas dan bersih memimpin pakcik tua itu ke dalam van. Sebelum itu, aku lihat pakcik tua itu menunjuk ke arahku dan menggerakkan bibirnya sambil memandang ke arah salah seorang lelaki berkopiah putih itu.

Lelaki berkopiah itu itu mengangkat aku.  Entah kenapa, tiba-tiba aku terkenangkan lelaki dan perempuan tukang sapu yang bertopi besar. Bertopi mengkuang itu.

Pada mulanya aku ingat, aku juga akan dibawa masuk ke van itu, tetapi tidak. Oh, ya. Siapalah aku ini selain cuma seunit tong sampah. Namun, dulu, bertahun-tahun dahulu, aku masih ingat aku pernah dibawa berjalan-jalan dengan sebuah lori sebelum ditinggalkan di sini. Sebelum pakcik tua itu datang dan menjadi penemanku.


Lelaki itu meletakkan aku dengan sopan ke tempat asalku. Di bawah tiang lampu. Bersebelahan tempat menunggu bas. Kemudian, lelaki itu mengambil barang-barang pakcik tua itu. Tikar buruk. Beg lusuh berwarna hitam yang agak kotor dan sedikit kain. Kemudian, lelaki itu naik semula ke dalam van.

Van itu dihidupkan enjinnya. Van itu bergegar-gegar sedikit. Aku lihat pakcik tua menjenguk dari tingkap van. Pakcik itu memandang tempat menunggu bas itu. Agak hiba wajahnya. Kemudian lelaki berkopiah yang berada di sebelahnya seperti memujuknya, berbicara sesuatu.

Van itu berlalu pergi.

Aku tiba-tiba diserang seakan-akan satu perasaan sunyi. Aku rasa seperti telah ditinggalkan. Aku teringat dahulu, aku pun pernah berada bersama-sama dengan saudara-saudara yang serupa dengan aku. Entah bagaimana, aku tiba-tiba ada di muka bumi ini. Kemudian, aku dibawa berjalan-jalan dan ditinggalkan di sini.

Itulah kali pertama aku berasa ditinggalkan. Kini, aku merasainya sekali lagi.

Sehari. Dua hari. Seminggu. Dua minggu. Sebulan. Dua bulan. Tidak ada lagi kelibat pakcik tua itu. Adakah van putih itu sama seperti lori sampah itu? Jika lori sampah itu mengutip sampah, dan lelaki-lelaki berseragam itu pengutip sampah, maka adakah van putih itu mengutip pakcik tua dan lelaki-lelaki berkopiah itu pengutip pakcik tua? Siapalah aku ini, sekadar seunit tong sampah yang tidak tahu apa-apa tentang kehidupan manusia.

Bezanya, sampah-sampah itu dilumatkan, tetapi pakcik itu seolah-olah diberi layanan istimewa sepanjang dia menaiki van putih itu. Adakah ini perbezaan antara manusia dengan sampah?

Pakcik, andai pakcik masih mengingati aku. Sesungguhnya, aku ini sangat sunyi kini. Aku tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas pakcik. Aku juga tidak tahu, apa yang akan berlaku ke atas aku selepas ini. Aku cuma tahu, sebagaimana aku, pakcik juga ada pencipta.

Apa yang aku terfikir kini, pernahkah pakcik berbicara dengan pencipta? Kini, setelah pakcik tidak ada lagi di sini. Aku betul-betul ingin berbicara dengan penciptaku. Aku rasa di dunia ini ada sesuatu yang mampu melindungi aku. Aku tidak tahu siapa dia, tetapi aku rasa di dunia ini pasti ada sesuatu yang mencipta aku dan pakcik. Siapa dia? Dan apa tujuan dia mencipta kita?

Pakcik, andainya kau masih mendengar.

Malam terus berlalu. Embun sulung mula menitik pada tudung dan badanku. Tiba-tiba guruh berdentum. Aku lihat ada cahaya memancar. Titis air berjatuhan dari langit. Makin lama, makin banyak. Hujan.  Sejuk. Hujan turun dan jatuh ke tanah, blok simen dan jalan tar kelabu, dan kemudian menakung di atasnya. Membentuk lopak-lopak air. Makin lama, makin berkembang lopak air itu. Makin lama air pun makin naik. Naik memenuhi jalan. Melimpah. Di bawah pancaran  lampu jingga itu, aku lihat sampah-sampah mula dibawa oleh arus air hujan melalui longkang-longkang. Tidak ada lagi sampah-sampah. Jalan-jalan menjadi bersih.

Hujan yang membawa sampah-sampah pergi. Selepas bertahun-tahun, kini baru aku tersedar, selain lori sampah, masih ada kuasa lain yang dapat membawa sampah-sampah itu pergi. Bukan manusia sahaja yang mampu mengutip sampah. Mungkin, bukan manusia sahaja yang mampu mengutip pakcik tua.

Satu soalan terpacul di fikiranku. Siapa yang menjadikan hujan? Aku pasti suatu hari nanti, aku akan dapat jawapannya. Jawapan untuk semua persoalan ini. Kenapa manusia dijadikan? Aku menunggu. Aku pasti setia menunggu.

Entah bagaimana, tiba-tiba aku rasa ada satu kuasa yang selalu memerhatikan aku. Aku tersenyum. Aku tersenyum kerana aku rasa lapang hati. Aku sudah tidak sunyi lagi. Barangkali, pencipta sedang memerhatikan aku. Pencipta manusia. Pencipta kucing. Pencipta anjing, dan pasti juga, pencipta Pakcik Tua itu.

PENAFIAN: Karya ini merupakan karya kreatif. Karya ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan, maka itu cuma kebetulan.

Khamis, Disember 20, 2012

Cerpen: Penulis Pontianak - Karya Amiene Rev 20.12.2012

Penulis Pontianak
Sebuah Karya Amiene Rev (C) 20.12.2012 12:12AM

Kata orang, pengalaman menulis cerpen ini adalah sesuatu yang menyakitkan. Aku kurang arif. Barangkali, kesakitan yang aku terima tidak jauh lebih menyakitkan sehingga aku begitu sakit untuk menulis. Setiap kali mahu menulis, ada-ada sahaja kepeningan, pitam, lemah, menggigil dan simptom-simptom pelik yang tidak sepatutnya berlaku. Ini barangkali adalah penyakit menulis yang menimpa bukan semua orang tetapi jarang. Barangkali, cuma aku sahaja yang mengalaminya. Perasan!

Adakah ini adalah permulaan menulis bagiku. Menulis dalam keadaan aku sendiri tidak pasti apa pengakhirannya. Ketika aku menulis teks ini, pelbagai pemikiran pengkritik muncul dan menghalang setiap satu abjad yang hendak aku taip.

Kini, fahamlah aku. Gara-gara terlalu banyak teori yang menyerang enjin kenderaan menulisku, maka aku sering gagal dalam memulakan perjalanan sesuatu penulisan. Selama ini, aku  sekadar menghidupkan enjin, memanasnya seketika sebelum enjin itu tersedut-sedut dan mati.  Dalam set minda penulisanku sudah ada teknik penulisan dan gaya penulisanku yang tersendiri tetapi dimatikan dengan satu bentuk beban teori-teori penulisan yang gagal diterima semangat penulisanku.

Asalkan aku mampu kembali ke corak penulisan asalku, maka nadi penulisanku akan pulih semula denyutannya. Selama ini, terlalu banyak teori yang meresap ke nadi-nadi penulisanku, dan bertentangan dengan cara dan kaedah penulisanku yang asal.

Tidak semua orang sanggup mengikut teori penulisan ciptaan orang lain. Aku juga begitu. Jika dahulu, aku begitu lancar menaip satu demi satu cerita, tetapi kini sejak setengah dekad yang lalu, corak penulisanku mula hilang rentak. Teori-teori penulisan yang kuterima tidak dapat menyerap dan bersatu dengan semangat penulisanku. Semuanya hancur. Semuanya berkecai. Lalu selepas itu, langsung tidak ada satu manuskrip pun kuhantar ke syarikat penerbitan tersebut.

Benar sekali, pemikiran kreatif dan pemikiran pengkritik adalah dua perkara yang berlainan. Teori penulisan baru yang disarankan oleh penerbit telah menjana pemikiran-pemikiran pengkritik yang tidak sepatutnya ada, dan menyerang pemikiran-pemikiran kreatifku. Ketika itu, aku mula sedar kenapa ada penulis-penulis yang memberontak, tidak mahu menerima teori penulisan itu. Teori penulisan yang bertentangan dan mewujudkan satu keadaan yang desktruktif terhadap semangat penulis.

Bertahun-tahun lamanya aku mula mencari di manakah kelemahanku sehingga aku gagal terus untuk menulis. Aku kini jelas akan puncanya. Pemikiran pengkritik. Pemikiran pengkritik yang cenderung ke arah teori penulisan baru itu dan melawan, menentang, mengkritik serta membantah teknik penulisanku yang lahiriah, yang asal, yang wujud sebelum aku didedahkan dengan teori penulisan tersebut.

Kini, aku seolah-olah tersedar. Namun, bisa dan toksik yang merupakan kesan sampingan pertembungan kedua-dua pemikiran itu menyebabkan aku kini menjadi seorang penulis pontianak. Aku cenderung menyedut darah dari karya-karya penulis lain untuk membentuk karya-karya baru. Aku haus dan semakin haus. Untuk memperoleh tenaga menulis, aku perlu mencari mangsa. Setiap kali pun, aku mencari mangsa.

Kerjaku kini memburu karya-karya penulis. Aku tidak perlu mengumpan wanita-wanita cantik sebagaimana pontianak-pontianak orang putih mencari mangsanya. Aku tidak perlu berkata-kata romantis dan berpakaian kemas serta bermantel sebagaimana Count Drakula. Aku tidak perlu menyebut perkataan ‘pulangkan’ beberapa kali seperti Pontianak Harum Sundal Malam. Aku juga tidak perlu memakai losen anti sinaran ultra-violet kerana aku tidak ada penyakit alahan terhadap sinar sang suria. Aku cuma perlu memburu buku-buku, majalah, artikel dan apa-apa sahaja karya penulisan yang aku kira menarik pada pembacaanku.

Oh, Tuhan, halalkan setiap darah yang aku hisap! Aku kecewa kerana nadi penulisan asalku telah terbunuh. Terbunuh kerana alergik yang aku hadapi terhadap teori penulisan baru itu. Malang sekali diriku ini. Malang sekali kerana aku langsung tidak berpeluang untuk memulihkan diriku. Kata peribahasa, nasi sudah menjadi bubur.

Diminta Encik Pontianak untuk menerima Anugerah Sasterawan Negara. Oh, tidak, maaf. Sasterawan Antarabangsa! Ya, ini dia Hadiah Nobel untuk tuan. Lalu, aku pun menyeringai dan taring-taring penghisap darahku mula kelihatan. Para hadirin ketakutan. Para hadirin lari lintang pukang. Pengacara majlis terketar-ketar melihat penulis pontianak yang sering diperkatakan itu kini telah muncul. Bukan lagi khabar angin, bukan lagi mitos!

Trofi Anugerah jatuh dan pecah berderai di atas lantai. Dari seorang penulis yang disanjung, aku kini menjadi penulis yang paling ditakuti. Setiap kali hasil penulisanku siap dan disiarkan, maka begitu ramai penulis dan sasterawan berdegup-degup kencang jantungnya. Takut. Takut sampai begitu sekali jika karya-karya mereka menjadi mangsaku yang terbaru.

Aku ini penulis pontianak. Siapa berani menghapuskan aku? Setiap malam, selepas jam 12 malam, aku pun mula terbang seperti kelawar dan adakalanya dengan rambut yang mengerbang, aku menghilai di tengah malam. Karya! Karya! Karya! Aku kehausan karya! Aku ini penulis pontianak! Aku mula mendapat ilham baru. Bersajak. Ya, bersajak:
Aku ini penulis pontianak
Kerjaku menghisap karya
Penulis-penulis mapan menjadi mangsa
Tanpa karya mereka
Aku kehausan dan kelaparan
Aku ini penulis pontianak
Kerjaku menghisap karya
Penulis dan sasterawan
Ha! Ha! Ha! Hi! Hi! Hi!
Aku mengilai sepuas-puasnya. Aku ini penulis pontianak. Mendengar namaku, meremang bulu romamu. Menyebut namaku, berdegup kencang jantungmu. Guruh mula menghembus bunyi. Kilat mencakar tunggul-tunggul besi. Dalam kegelapan malam dan langit mendung itu, kelihatan aku Sang Penulis Pontianak, dengan mata merah tersembul, dan seular bibir tersenyum pahit sedang menanti karya-karya baru untuk dihisap.

Adakah hayatku di dunia ini begitu lama? Adakah aku akan kekal abadi dengan cara ini? Aku mula menyebarkan falsafahku. Aku mula menabur benih-benih idealogiku. Aku mengatakan, bahawa asalkan masih ada penulis-penulis baru mengikut jejakku, maka aku akan sentiasa hidup sebagai Penulis Pontianak. Penulis Pontianak bukan lagi satu nama individu, tetapi satu jenama yang paling ditakuti. Aku mewujudkan ketakutan dalam diri para penulis yang menjadi mangsaku dan karya-karya mereka merupakan gelen-gelen darah yang bakal aku hirup dengan nikmatnya.

Jika pontianak menyebar virusnya menerusi gigitannya, aku pula menyebar virusku menerusi idealogiku. Falsafah-falsafah penulis pontianak mula menggigit penulis-penulis yang kehausan dan ketandusan karya, yang terdesak untuk terus hidup dengan berkarya. Jika mereka tidak berkarya, maka mereka akan kelaparan, menggigil, kurus keding dan pucat tak berdarah. Untuk terus hidup, mereka mesti berkarya, dan untuk berkarya, mereka mesti menagih karya-karya penulis-penulis lain. Semakin hebat karya yang berjaya dihisap, semakin hebatlah penulis pontianak itu.

Setiap malam, aku membelek-belek karya-karya baru yang jatuh ke tanganku. Aku seolah-olah seorang bibliomania, yang membeli dan membaca buku-buku tanpa sebab yang wajar. Ratusan buku-buku disusun di keranda-keranda tegak di ruang-ruang kediamanku. Semuanya seolah-olah berbisik, menangis, meraung, dan mungkin ada yang berdoa agar diselamatkan dari menjadi mangsaku. Buku-buku adalah anak para penulis, dan aku telah menculiknya dari kedai-kedai dan perpustakaan awam. Aku bayarlah! Jangan kata aku curi. Jika aku tidak mengeluarkan wang sekali pun, aku meminjamnya dengan kad keahlian perpustakaan awamku.

Setiap kali aku ke kedai-kedai buku dan perpustakaan, aku pasti pulang dengan memeluk di kiri dan kananku berjudul-judul buku. Sambil ketawa mengilai, dan taring yang terserigai, aku keluar dari pintu toko-toko buku sambil diperhatikan oleh pengawal kedai buku yang pelik dan seram dengan tingkah lakuku. Peduli apa aku, kerana aku inikan penulis pontianak?

Sambil menyanyi dengan nada “Hmmmm.....” aku menyusun buku-buku baru yang kaku tidak bernyawa di keranda-keranda buku. Aku merenung satu demi satu mangsa-mangsa baruku, dengan ibu jari dan jari telunjuk di bawah daguku. Aku tersenyum dengan mata merah menyalaku, lalu kusambar sebuah buku.

Buku itu menjerit, mengetahui nasibnya. Malang. Isinya akan kuhirup dan kemudian satu karya baru bakal kutulis lagi. Setiap kali pun, aku ketawa mengilai. Peduli apa aku, kerana aku inikan penulis pontianak?

Tidak lama kemudian, datang sang pemberita lalu bertanya kepadaku beberapa soalan yang sukar aku jawab. Kenapa memilih menjadi penulis pontianak? Kenapa gagal berkreatif menghasilkan idea penulisan sendiri. Aku tidak sukar menjawab persoalan-persoalan ini. Aku cuma jawab, “Tidak ada komen.”

Tidak lama selepas itu, begitu ramai pemberita membuat liputan tentang diriku. Ada juga papparazi yang curi-curi mengambil gambarku. Di medan-medan akhbar dan juga saluran berita elektronik, aku dapati namaku sering disebut-sebut. Terdapat kata-kata yang menghinaku, yang mengutuk aku, dan menyumpah-nyumpah aku. Aku tidak gentar langsung dengan semua itu. Aku cuma memenuhi kehendakku sebagai seorang penulis pontianak. Aku kehausan karya. Aku perlu berkarya untuk terus hidup.

Kemudian, tidak lama selepas itu, muncul pula gejala-gejala sosial yang baru. Telah wujud satu kumpulan ajaran sesat yang mendewa-dewakan aku setaraf Lucifer. Penulis Pontianak sanjungan kami. Kami minum darah kambing dalam upacara kami. Datanglah kepada kami roh penulis pontianak. Diseru-serunya aku. Aku belum mati lagilah! Aku, kekal abadi.

Kini, aku telah terkenal satu dunia. Aku tetap alami satu bentuk penderitaan. Aku kesunyian. Aku tidak ada teman. Rakan-rakan, kawan-kawan, kekasih, keluarga dan malah haiwan peliharaan kesayanganku juga tidak rela lagi berjuang bersama-samaku. Kata mereka, mereka telah hilang nyawa apabila bersama-sama meneruskan kehidupan ini dengan diriku. Demi maruah dan nama baik, mereka mula menjauhkan diri daripadaku. Tempiasku penulis pontianakku begitu kuat mengena pada mereka.

Aku ini penulis pontianak. Aku kini disisihkan. Populariti datang bersama kutukan. Semua karyaku dibakar begitu sahaja. Aku terkedu. Senyuman pahit pun begitu sukar untuk kubentuk, kini.

“Bakar karya penulis pontianak! Bakar! Siapa setuju, pusing tangan macam ini!”

Sehingga satu hari, ketika itu malam hari. Kelihatan begitu ramai orang di depan rumahku. Semuanya memegang sepanduk dan obor. Semuanya mahu mengerjakan aku biar lenyap terus dari muka bumi ini.

Sememangnya penulis pontianak seperti aku ini tidak ada tempat dalam dunia penulisan. Kerjaku memangsai karya-karya penulis mapan dan penulis-penulis terkenal. Malah, sesekali aku mengubah seleraku dengan meratah karya-karya penulis baru setahun jagung mahu berkarya. Memusnahkan impian mereka. Mencemari kedaulatan karya-karya sulung dan agung bagi mereka pada ketika itu dengan ketakutan terhadap penulis pontianak.

Lalu, aku pun menghilangkan diri. Falsafah dan idealogi penulis pontianak mula hapus dan lenyap. Akta-akta baru yang mengharamkan kewujudan penulis pontianak kini berkuatkuasa. Aku hilang dan lenyap begitu sahaja.

Aku ini penulis pontianak. Ini karyaku yang terakhir. Inginkah kalian tahu bagaimana kesudahanku? Jadilah pewarisku. Jadilah legasiku. Jadilah penulis pontianak. Ha! Ha! Ha! Hi! Hi! Hi!

PENAFIAN: Karya adalah sebuah karya kreatif dan apa-apa isi karya ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana individu yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika ada kesamaan, maka itu adalah secara kebetulan.

Ahad, November 07, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 6

Gambar Hiasan: The Descent - 18 SG
Seminggu Untukmu - Siri 6
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

"Emak, cantiknya rumah ini!" Fatin berteriak girang. Bayangkan betapa cantiknya sebuah rumah yang berada di tengah padang, dengan langit yang membiru di atasnya.

"Jika ada hujan, tentu ada pelangi, pasti lebih cantik ya, Mak?" tanya Fatin lagi, cuba menarik perhatian ibunya.

"Sudah tentu sayang, tetapi kalau hujan, rosaklah percutian kita nanti." jawab Puan Melissa sambil tangannya menekan butang-butang di telefon bimbitnya. Puan Melissa menunggu seketika sebelum menjawab.

"Bang, Ayang sudah ada di depan mahligai baru yang Abang beli ni."

Puan Melissa tersenyum sambil mendengar maklum balas daripada suaminya, Tuan Adnan. Sementara itu, Fatin sudah membawa keluar begnya. Sementara itu, pengasuh si Fatin turut membawa keluar beberapa buah beg lagi.

"Cantik. Terima kasih, Bang. Ayang suka." Puan Melissa menamatkan panggilan.

"Mak Sah, tolong angkat barang-barang ini ke depan dulu, ya." arah Puan Melissa kepada Mak Sah, pembantu rumah, merangkap pengasuh si Fatin.

Puan Melissa berjalan ke depan pintu rumah. Dia membuka kunci pintu rumah dan menolak daun pintu rumah besar itu. Puan Melissa terpukau seketika.

Hiasan dalaman rumah itu memang amat menarik. Perabot-perabotnya antik, begitu juga dengan permaidani berwajah harimaunya. Kebanyakan papan di rumah ini telah diganti dengan yang baru. Begitu juga dengan catnya. Ternyata rumah ini telah diubahsuai.

"Mak Sah, bawakan begnya ke atas, ya?" arah Puan Melissa lagi. "Fatin, mari masuk ke dalam."

Fatin yang sedang berjalan ke arah Adam berhenti seketika. "Nanti sekejap, Mak."

Fatin turut tertarik dengan batu besar di tengah padang itu. Dia merapati batu besar itu. Bila dia terbaca sahaja tulisan-tulisan di atas batu tersebut, air mukanya berubah ketakutan.

"Pelik!" getus Fatin. "Menakutkan orang saja!"

"Takut?" sindir Adam sambil tersenyum.

"Abang tak mahu masuk ke rumah kitakah?" Fatin mengubah topik. Dia tidak mahu bertengkar dengan abang tirinya.

"Bukan rumah kita, rumah ayah abang," Adam membetulkan kata-kata Fatin.

Fatin yang masih kecil itu diam. Dia pun berlari-lari masuk ke dalam rumah.

Adam berjalan lambat-lambat. Dia menganggap percutian kali ini tidak menarik. Selalunya dia akan diberi peluang menghabiskan masa cuti dengan kawan-kawannya.

Namun kali ini tidak. Tuan Adnan meminta Adam ikut bercuti dengan ibu dan adik tirinya. Adam tidak mahu tetapi Tuan Adnan bertegas. Adam teringatkan kembali pesan ayahnya:

"Ayah mahu Adam berbaik-baik dengan emak dan adik kamu. Sampai bila kamu hendak begini, Adam? Ayah harap, percutian kali ini, membawa makna kepada keluarga kita. Ayah mahu semua ahli keluarga kita bersatu-padu."

Adam memberontak di dalam hati. Perasaan benci terhadap ibu tirinya masih menebal. Adam merindui ibunya. Adam terkilan mengenangkan ibunya lari meninggalkan dirinya dan ayahnya. Adam berdendam dengan ibu tirinya, dan kini terhadap Fatin juga kerana menyebabkan ibunya lari. Namun adakah Fatin patut dipersalahkan juga?

BERSAMBUNG...

Seminggu Untukmu - Siri 6
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Sabtu, Oktober 30, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 5

Gambar Hiasan: The Descent - 18 SG
Seminggu Untukmu - Siri 5
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

NOTA AMIENE REV: Dalam siri kali ini, penulis akan membawa pembaca ke 23 tahun kemudian selepas peristiwa Sulaiman, Taib dan Harun menemui makhluk-makhluk ganjil. Watak utama kisah bersiri kali ini akan muncul tidak lama lagi.

Sebuah kereta mewah meluncur laju di atas tar, yang di sekelilingnya terdapat pokok-pokok hutan yang tinggi dan menghijau. Tidak lama selepas itu, sebuah kereta Proton Putra memotong laju kereta mewah itu.

"Mak, tengok! Adam memecut laju lagi!" jerit Fatin.

Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an, walau bagaimana pun kelihatan selamba sahaja.

"Biarkan." Jauh di sudut hatinya, wanita itu tidak senang dengan sikap anak lelaki tirinya itu. Langsung tidak tahu menghormati dirinya sebagai isteri baru Tuan Adnan. Dia cuma mengambil berat tentang Fatin, anak kandungnya yang baru berusia 10 tahun itu.

Wanita itu terus memandu perlahan-lahan. Hala tuju mereka adalah ke sebuah rumah besar di tengah padang yang baru dibeli oleh Tuan Adnan. Rumah tersebut merupakan rumah persinggahan mereka untuk percutian kali ini.

-o-

Adam telah tiba di depan rumah besar di tengah padang itu. Rumah itu kelihatan amat unik. Tidak ada rumah lain di sekitarnya. Rumah ini terpencil di tengah padang.

Adam berjalan-jalan di sekeliling rumah itu. Dia agak terpesona dengan pemandangan di sekitarnya. Patutlah ayahnya, Tuan Adnan berkenan untuk membeli rumah ini. Persekitarannya kelihatan amat menenangkan. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyegarkan. Tentu seronok berada di dalam rumah ini, fikir Adam.

Tiba-tiba mata Adam terhenti pada satu sudut di tengah padang. Terdapat seketul batu sebesar kereta. Terdapat tulisan-tulisan yang kurang jelas. Adam yang baru genap berusia 18 tahun terus berlari ke arah batu besar itu. Dia meneliti tulisan yang tertera di atas batu itu. Tulisan itu berbunyi:

JAGA-JAGA BILA MALAM
BINTANG TAKUT BERKELIP-KELIP
BULAN BANTU SULUH JALAN
CEPAT LARI! LARI CEPAT!

Adam tersenyum membaca baris-baris ayat yang baginya agak kelakar itu. Dia meneliti satu lagi set tulisan yang ditulis bersebelahan dengan set tulisan yang pertama itu tadi. Tulisan itu berbunyi:

SIANG INDAH MALAM SERAM
MATA HIJAU BULAT MERENUNG
LARI JANGAN TAK LARI
NANTI JADI SEPERTI MEREKA

Adam tersenyum hambar. Dia merasakan penulis yang menulis kata-kata itu sungguh kelakar. Kemudian, Adam terdengar bunyi enjin kereta yang dipandu oleh ibu tirinya, Melissa. Muka Adam lantas berubah menjadi dingin.

Adam tidak suka ibu tirinya. Adam menganggap ibu tirinya itu berkahwin dengan ayahnya semata-mata kerana harta. Akibat perkahwinan ibu tirinya dengan ayahnya, ibu Adam lari entah ke mana kerana merajuk. Ibu kandung Adam juga seorang ahli perniagaan. Kali terakhir Adam melihat ibunya ialah ketika dia berusia tujuh tahun.

BERSAMBUNG...

Seminggu Untukmu - Siri 5
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Khamis, September 30, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 4

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 4
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Gelap! Bau busuk mayat reput! Makhluk aneh yang menggigit. Semua ini bukan perkara yang menyenangkan. Ketiga-tiga lelaki itu kini terperangkap dalam keadaan yang sungguh tidak menyenangkan.

"Pedulikan bau mayat, cepat kita keluar dari sini!" Tegas Taib.

Ketiga-tiga mereka menyuluh ke arah pintu yang masih terbuka.

"Cabut!" Jerit Taib. Mereka bertiga pun berlari keluar dari rumah besar yang penuh dengan misteri itu. Harun cepat-cepat membuka pintu kereta di bahagian pemandu, diikuti dengan Taib di pintu belakang dan Sulaiman di pintu depan.

Harun menghidupkan enjin dengan tergesa-gesa, sebelum bumbung kereta mereka tiba-tiba dihempap sesuatu dengan kuat.

"Apa tu..." belum sempat Harun menghabiskan ayatnya, seekor makhluk melompat ke bahagian depan kereta dan duduk dalam keadaan mencangkung sambil menyerigai ke arah mereka yang berada di dalam kereta.

"Cepat! Hidupkan enjin!" Jerit Taib.

Harun memutarkan kunci kereta, lalu enjin kereta dihidupkan. Lampu dipasangkan, pedal kereta ditekan sekuat-kuatnya. Harun membuat pusingan 270 darjah, lalu makhluk aneh itu pun tercampak ke samping.

Harun memecut laju kereta, merentasi padang rumput dan terus ke jalan besar. Taib menoleh ke belakang. Seekor makhluk aneh kelihatan berpegang kuat di belakang bonet kereta, berusaha sedaya-upaya untuk menstabilkan dirinya.

"Harun, pecut laju lagi! Ada seekor lagi di belakang ni!"

"Bukan seekor, banyak lagi di belakang tu," ujar Sulaiman dengan nada yang agak bersahaja.

Dia dapat melihat menerusi cermin sisi, terdapat beberapa ekor lagi makhluk kelihatan berlari dengan pantas mengejar kereta mereka. Nampaknya makhluk-makhluk tersebut bersungguh-sungguh mahu menangkap mereka bertiga.

"Harun!!!"

"Ya, ya! Aku tahu!" Harun menekan pedal minyak sekuat-kuatnya. Enjin kereta mengaum dengan garau dan kuat. Kereta tersebut terus memecut laju, dan makhluk yang berada di belakang kereta tadi jatuh berguling-guling di atas jalan raya.

Kereta itu semakin menjauhi makhluk-makhluk itu. Di belakang kereta, Taib dapat melihat jelas makhluk-makhluk itu semakin jauh ke belakang, meninggalkan kesan pasangan-pasangan mata berwarna hijau di dalam kegelapan.

-o-

Kereta itu terus meluncur laju di jalan raya. Ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan terkejut. Sulaiman walau bagaimana pun kelihatan cuba mengingati sesuatu.

Tiba-tiba dia teringatkan suasana di sebuah paya. Kabus cukup tebal. Bunyi binatang-binatang hutan, cengkerik, katak dan bermacam-macam jenis serangga mencelarukan pemikiran.

Di dalam paya itu, kelihatan berbelas-belas ekor makhluk berbentuk manusia, timbul. Bermula dengan kepala, kemudian mata hijau yang membonjol keluar, dan badan yang kurus kering. Kesemua makhluk itu berjalan perlahan-lahan merentasi paya dan terus naik ke daratan.

"Teruk!" bisik Sulaiman.

"Kenapa?" tanya Taib.

"Kau sudah kena gigitkah?" tanya Sulaiman secara mendadak.

"Err... aku rasa tak. Cuma dicakar sahaja." Taib membelek-belek kesan luka pada lengannya.

"Teruk!" ujar Sulaiman.

"Kenapa?" tanya Taib lagi.

"Cuma ada seminggu untukmu, untuk kekal sebagai manusia!" jawab Sulaiman, serius.

Taib tercengang. Jantungnya berdegup pantas. Dia tidak mahu percaya, tetapi riak muka Sulaiman memberitahunya, bahawa Sulaiman tidak berniat untuk bergurau.


Bersambung

Seminggu Untukmu - Siri 4
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Jumaat, September 24, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 3

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 3
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Kegelapan yang tiba-tiba menerpa ruang di dalam rumah besar itu menyebabkan jantung ketiga-tiga orang pegawai polis itu hampir tercabut kerana terkejut. Taib yang berada di tingkat atas menyalakan lampu suluhnya. Dia memegang lampu suluh itu dengan tangan kirinya, manakala tangan kanannya memegang sepucuk pistol dengan erat.

"Sulaiman! Harun! Kamu berdua bagaimana?" Laung Taib dari tingkat atas rumah. Dengan berhati-hati dia menyusun langkah untuk keluar dari rumah itu. Dia mesti turun ke tingkat bawah dengan segera untuk menemui kedua-dua orang rakannya.

Perlahan-lahan dia menyuluh ke tangga, lalu menuruni tangga dengan berhati-hati. Tiba-tiba, kedengaran salah satu pintu di bahagian atas dibuka, dan ditutup kembali dengan pantas.

Taib menghentikan langkahnya, dia menyuluh ke bahagian atas. Tanpa disedarinya, satu bunyi nafas yang mendengus ganjil kedengaran semakin menghampirinya. Taib semakin berdebar-debar. Perasaan cemas kuat mengatakan dirinya dalam bahaya.

-o-

Sementara itu Harun yang berada di bilik bacaan di bahagian bawah, telah menemui sesuatu di atas meja. Bilik bacaan itu kelihatan berselerak. Buku-buku bertaburan di atas lantai. Namun kini kerana kegelapan, dia terpaksa menggunakan lampu suluh, dan bergegas kembali ke ruang tamu.

Lorong dari bilik bacaan ke ruang tamu agak sempit. Bilik bacaan itu terletak di tengah-tengah antara tiga buah bilik. Masih ada satu bilik yang belum diperiksa. Kegelapan membantutkan niat Harun untuk memeriksa bilik yang terakhir. Dia terus melangkah dengan berhati-hati ke ruang tamu.

Tanpa disedarinya, ada satu lembaga kecil mengekorinya perlahan-lahan, secara merangkak dari belakang.

Harun terdengar laungan Sulaiman, meminta mereka semua kembali ke ruang tamu.

-o-

Sulaiman yang berada di dapur, sebelum ini telah ternampak kelibat lembaga hitam memerhatinya dari celah-celah tingkap dapur yang berpaku. Dia pantas mencapai pisau. Keadaan yang gelap-gelita menyebabkan Sulaiman perlu pergi ke ruang tamu.

Hatinya kuat mengatakan rumah ini berbahaya. Musibah akan berlaku jika mereka bertiga tidak bergabung kembali.

"Harun! Taib! Cepat ke ruang tamu semula!" Laung Sulaiman.

Sulaiman dan Harun terus bergegas ke ruang tamu. Apa yang terlintas di fikiran Sulaiman kini adalah suis utama bekalan elektrik rumah di ruang tamu. Pasti ada seseorang telah menutupnya, fikir Sulaiman.

Belum pun sampai mereka di ruang tamu, bunyi tembakan telah kedengaran dilepaskan dari tingkat atas rumah besar itu. Satu demi satu das tembakan dilepaskan. Cahaya terang menyinari ruang tangga rumah besar buat beberapa kali bagi setiap kali tembakan dilepaskan.

"Taib!" Laung Sulaiman. Senyap. Kemudian terdengar bunyi sesuatu sedang jatuh berguling-guling dari atas tangga.

Sulaiman cepat-cepat pergi ke tangga rumah. Harun ternampak cahaya lampu suluh Sulaiman, lalu dia pun membuka langkah-langkahnya dengan luas, lalu meluru ke arah cahaya tersebut.

Dia masih belum sedar, ada satu lembaga sedang mengintipnya dari belakang.

-o-

Sulaiman menyuluh ke arah lantai berhampiran tangga. Kelihatan ada kesan cecair hitam di lantai. Kemudian dia terdengar bunyi seseorang sedang menuruni tangga dengan perlahan-lahan. Sulaiman pantas menyuluh ke arah tangga.

"Taib?"

Hatinya lega kerana mendapat Taib tidak apa-apa. Pada ketika itu juga, Harun sudah berada di situ. Mereka berdua berasa lega.

"Apa yang berlaku?" Tanya Harun.

"Ada sesuatu benda, macam manusia, tapi bukan manusia. Mungkin monyet?" Jelas Taib. Dia kelihatan agak lelah dan terkejut.

"Apa yang benda tu cuba buat?" Tanya Sulaiman pula.

"Dia cuba gigit aku!" Taib menunjukkan kesan koyak pada lengan bajunya. Ada kesan darah pada kain lengan bajunya. Nampaknya, Taib sudah dicederakan oleh sesuatu yang mereka tidak pasti.

Monyet liar? Adakah monyet liar yang memadamkan lampu rumah besar tersebut? Mereka masih tertanya-tanya.

"Mari, kita cari suis bekalan elektrik dahulu." Cadang Sulaiman.

Belum pun sempat mereka melangkah, bau busuk yang amat kuat tiba-tiba menusuk ke lubang hidung mereka. Ini bau mayat reput!

Bersambung

Seminggu Untukmu
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Jumaat, September 17, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 2

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 2
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Dengan dahi yang sudah mula berpeluh, ketiga-tiga mereka meneruskan usaha untuk membuka pintu hadapan rumah. Papan-papan yang menjadi penghalang sudah pun ditanggalkan, kini cuma tinggal pintu sahaja.

Sulaiman memutar tombol pintu. Ternyata, rumah itu telah dikunci. Dengan menggunakan pengumpil besi, mereka akhirnya berjaya membuka pintu itu.

Ketiga-tiga mereka berjalan masuk ke dalam rumah.

"Patutkah kita nyalakan lampu rumah ini?" tanya Harun, rakan setiawan Sulaiman. Selalunya, Harun akan meminta pandangan Sulaiman terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa. Ini menjadikan Harun sebagai rakan sekerja Sulaiman yang paling rapat.

Taib membuka suis lampu. Lampu rumah menyala. Nampaknya bekalan elektrik di rumah ini tidak dipotong. Ini memudahkan kerja mereka.

"Mulakan penyiasatan," Sulaiman memberi arahan.

Mereka memeriksa sekitar ruang tamu, tetapi tidak bertemu apa-apa yang mencurigakan.

"Masanya untuk kita berpecah," tambah Taib.

Ketiga-tiga mereka pun berpecah. Sulaiman berjalan ke bahagian dapur. Harun pula memeriksa salah sebuah bilik di aras bawah, manakala Taib ke bahagian atas rumah. Dia membuka lampu satu demi satu. Rumah semakin terang.

-o-

Taib kini berada di bahagian atas rumah besar itu. Terdapat lima buah bilik. Salah satu daripada pintu bilik itu terbuka luas. Taib melangkah berhati-hati ke arah bilik itu. Hatinya tiba-tiba dilanda rasa berdebar.

Degupan jantungnya bertambah pantas. Taib membuat keputusan untuk mengeluarkan pistolnya. Dia memegang kemas pistol tersebut lalu apabila dia sampai ke depan pintu bilik yang terbuka luas itu, dia pun menghala ke dalam bilik, mengacu ke depan, ke bawah, ke kiri dan ke kanan. Debaran jantungnya kali ini sangat luar biasa, seolah-olah malaikat maut kini sudah berada di sampingnya.

Taib melangkah masuk ke dalam bilik itu perlahan-lahan. Terdapat sebuah katil dengan selimut dan cadarnya berselerak. Tingkap bilik itu nampaknya telah terbuka. Ada beberapa kesan pijakan tapak kaki di atas cadar, menunjukkan ada sesuatu yang mungkin telah keluar atau masuk dari rumah itu.

Taib mendekati katil itu, memeriksa kesan tapak kaki di atas cadar itu dengan lebih lanjut. Ternyata, kesan-kesan tapak kaki itu menghala ke luar tingkap.

Ada sesuatu telah keluar dari rumah itu, tetapi apakah ia?

Lampu bilik itu tiba-tiba terpadam. Tidak! Bukan hanya lampu di dalam rumah itu, tetapi kesemua lampu di rumah itu telah terpadam. Bekalan elektrik telah terputus!

Bersambung

Seminggu Untukmu - Siri 2
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Khamis, September 16, 2010

Seminggu Untukmu - Siri 1

Gambar Hiasan: The Descent 2 - 18 SG

Seminggu Untukmu - Siri 1
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Ini sebuah karya eksperimentasi

Malam itu, bintang menghiasi siling bumi. Jika sesiapa bertanya, apakah siling bumi, maka pasti jawapannya ringkas - langit. Dan di atas bumi itu, ada sebuah rumah besar di tengah-tengah padang rumput. Suasananya cukup hening. Rumah itu diam membisu, dengan kesemua tingkap dan pintunya telah dipaku, supaya tidak ada sesiapa mampu keluar atau masuk ke dalamnya.

Tatkala itu, lampu sebuah kereta berwarna putih mula menerangi malam yang berbintang. Kereta itu berhenti betul-betul di hadapan rumah besar itu. Dari kereta itu, keluar tiga orang lelaki. Ketiga-tiga mereka menyalakan lampu suluh masing-masing lalu melangkah ke arah rumah besar itu.

"Sejak bila rumah ini ditinggalkan?" Tanya salah seorang daripada mereka.

Sulaiman Khalid, seorang pegawai polis berusia mencecah 40-an, menghampiri pintu utama rumah tersebut. Dia mengetuk pintu rumah itu beberapa kali. Kemudian dia menjenguk ke dalam rumah, dan menyuluh ke bahagian dalam beberapa kali.

"Agaknya dalam seminggu yang lalu," Sulaiman membuat andaian tersebut berdasarkan debu dan persekitaran rumah itu.

Perabot di dalam rumah itu kelihatan agak tersusun, seolah tak ada apa-apa yang berlaku. Seolah-olah rumah itu ditinggalkan dalam keadaan aman. Namun, jika diperhatikan dari luar, papan-papan yang dipaku pada setiap tingkap dan pintu rumah sudah semestinya akan menimbulkan tanda tanya kepada semua yang memerhati.

Seorang lagi lelaki, berbadan agak gempal, meronda di bahagian depan tingkap rumah. Dia menyuluh-nyuluh ke dalam rumah. Namun, papan-papan yang menutup tingkap rumah tersebut menghalang cahaya lampu daripada menerangi dengan jelas ke dalam rumah.

"Apa kita nak buat sekarang?" Tanya lelaki berbadan gempal itu.

Sulaiman Khalid memandang seorang lagi rakannya. Rakannya itu mengangguk seolah-olah memahami apa yang terlintas di fikiran Sulaiman Khalid.

"Taib, kita akan pecah masuk ke dalam rumah ini."

"Bagus juga idea tu. Harap duit kita cukup untuk bayar ganti rugi kepada tuan rumah nanti," lelaki yang berbadan gempal itu bersetuju.

Sulaiman kembali semula ke kereta dan membuka bonet kereta. Di dalam bonet itu terdapat sebatang tukul dan besi pengumpil. Dia dan seorang lagi rakannya membawa alat-alat itu ke pintu rumah.

-o-

Sulaiman dan rakan-rakannya bertungkus-lumus menanggalkan papan-papan di pintu rumah besar tersebut. Tanpa mereka sedari bunyi bising yang mereka lakukan itu telah menarik sesuatu yang menghuni di dalam rumah besar itu.

Di dalam rumah, satu lembaga turun dengan pantas dari tingkat atas rumah itu, tanpa meninggalkan jejak. Lembaga itu mengetap gigi seolah-olah marah dengan perbuatan ketiga-tiga orang lelaki itu. Lembaga itu terbongkok-bongkok meninjau-ninjau dari tangga tingkat atas ke pintu utama rumah itu.

"Berhenti sekejap," arah Sulaiman.

Sulaiman Khalid yang mempunyai intuisi hati yang luar biasa, mula menyedari kewujudan lembaga itu. Dia mencapai lampu suluh dan menyuluh. Lembaga itu pantas mengelak suluhan cahaya lampu lalu berlari naik ke atas.

"Ada apa-apa?" Tanya Taib.

"Aku nampak sesuatu tadi," jawab Sulaiman.

Ketiga-tiga mereka mula berasa seram sejuk. Cengkerik makin kuat berbunyi, seolah-olah memberi amaran kepada mereka bertiga. Cahaya bulan walau bagaimana pun, terus menyinari perut bumi.

Bersambung

Seminggu Untukmu
- Siri 1
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010