BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Catatan Amiene Rev. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Amiene Rev. Papar semua catatan

Selasa, Disember 11, 2018

Seorang Hero atau Seorang Legenda?

Adakalanya kita tidak sedar ada semacam seruan memanggil kita. Seruan yang meminta kita untuk membela sesuatu. Kita tidak pernah sedar kerana fokus dan matlamat kita diatur untuk melihat apa yang orang lain lihat.


Seruan itu semakin kuat, memanggil-manggil kita, agar sedar. Kita adalah orang yang dipilih untuk melakukan sesuatu. Ada perkara yang orang tidak mampu lakukan tetapi kita memiliki pakej untuk melaksanakannya. Kita tidak sedar akan itu.

Hentikan beranggapan bahawa semua orang adalah tukang tilik nasib yang boleh menilik masa depan kita lalu menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sesetengahnya tidak mahu kita melangkau sempadan menjadi lebih baik dan lebih bagus daripada mereka. Kenaifan, adalah sifat tercela yang mengkhianati diri sendiri.

Bersangka baik kepada orang tidak bermaksud menghalalkan segala cara mereka untuk merampas apa yang menjadi hak dalam kehidupan kita. Sesuatu hak boleh dirampas dengan tiga cara, pertama dengan cara yang kasar, kedua dengan cara yang sopan, dan yang ketiga tanpa disedari atau senyap-senyap.

Cara yang kasar adalah penaklukan, penjajahan secara terang-terangan. Ugutan, serangan, peperangan dan sebagainya. Cara yang sopan adalah dengan cara yang halal, membeli, mengambil alih dan seangkatan dengannya. Cara yang ketiga, kita pun tidak tahu bagaimana ia dilakukan sehinggalah kita sedar ia bukan lagi hak kita, bukan lagi milik kita dan kita sudah hilang kuasa ekslusif, sudah hilang hak istimewa, sudah hilang pemilikan tunggal, sudah tidak bergelar tuan punya hak tersebut.

Terdapat dua jenis manusia sahaja dalam menyatakan tentang hak. Pertama sama ada mereka menentang orang yang mengambil hak kita. Kedua mereka yang tidak menentang orang yang mengambil hak kita. Mereka yang tidak menentang, terdiri daripada orang yang menyokong perbuatan orang yang merampas hak kita dan mereka yang tidak berbuat apa-apa; tidak ambil peduli, tidak masuk campur, tentang hal-hal melibatkan perampasan hak kita kepada orang lain.

Menentang dan tidak menentang. Dua ini sahaja untuk menentukan status seseorang. Cukup!

Jika kamu berfikir ada pilihan lain selain dua di atas, kamu sedang memperbodohkan diri kamu, membenarkan individu lain mencipta peluang untuk memanipulasikan pemikiran kamu, menjajah hak kamu dan membuka ruang dan peluang untuk mempermain-mainkan kamu, tidak menghormati kamu, dan menganggap kamu lemah dan rapuh kerana boleh dipermain-mainkan.

Apabila sesuatu itu melibatkan hak milik kita, kehidupan kita, kamu hanya ada dua status yang boleh dijadikan panduan sebelum kamu dipergunakan atau dipermain-mainkan.

Pertama: Mereka menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Kedua: Mereka tidak menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Cukup!

Khamis, September 01, 2016

Merdeka Itu Sudah Berlalu

Kata orang, negara kita sudah merdeka. Maka, setiap tahun pun kita sambut, kita rayakan Hari Kemerdekaan. Secara luarannya kita semua kelihatan sudah merdeka. Dalaman kita, barangkali antara satu ratus orang, cuma sepuluh orang yang benar-benar merdeka.

Kita menyambut hari kemerdekaan, kita meriahkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan. Tidak kelihatan hipokritnya di situ kerana kita semua menyambut kemerdekaan negara, bukan kemerdekaan peribadi.

Adakah diri kita merdeka, dengan hanya menjadi rakyat di sebuah negara yang telah merdeka?

Perjuangan untuk memerdekakan negara barangkali sudah selesai, namun perjuangan untuk memerdekakan kehidupan kita, barangkali belum benar-benar selesai.

Jumaat, Ogos 26, 2016

Alam Ini Bersabar Dengan Kita

Kita tidak pernah melihat, malam meninggalkan kita biarpun satu waktu. Kita juga tidak pernah melihat siang melupai kita, biarpun satu hari. Bulan tidak penat mengeliling kita, biarpun tanpa gaji. Matahari tidak pernah memarahi kita biarpun sekali sekala kita tidak menghargainya. Bumi juga tidak pernah membuang kita biarpun kita banyak kali menyakitinya. Alam ini cukup bersabar dengan tindak-tanduk kita, manusia.

Rabu, Ogos 24, 2016

Tidak Ada Pantai Yang Seindah Ini

Tidak ada pantai yang setenang pantai yang jernih airnya. Kristal biru cair, dengan warna hijau yang merebak. Retak-retak cahaya tidak tetap, berubah disapa ombak.

Kadangkala kita memikirkan setiap pokok kelapa yang condong akan tumbang dek pasir lembut yang menggenggamnya. Tanggapan kita selalunya tidak benar. Setiap derapan tapak kaki kita di atas butir-butir pasir ini, menenggelamkan kita lebih kurang setengah inci mendekati pusat bumi. Tidak pernah kita mengeluh biarpun seperti magnet, langkah-langkah kita diperlahankan oleh pasir pantai yang tidak pernah berdosa.

Bunyi ombak bergeser dengan tepian pantai, biarpun sekali-sekala tetap mampu menenangkan jiwa kita. Keindahan pantai itu sendiri adalah gabungan rupa, rasa dan bunyi.

Kehidupan Telah Berubah

Kehidupan telah mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Aku tidak lagi sekadar menulis di mana perlu. Sebaris tulisanku menghasilkan angka dan nilai. Sepatah perkataanku, mampu mengubah masa depan. Aku jarang-jarang sekali menulis di sini, lantaran dunia siber telah bergolak dengan perubahan yang konkrit. Zahirnya kita manusia tidak mampu menyentuh alam ini dengan kulit kita. Jari cuma pengantara antara papan kekunci, tetikus dan skrin sesentuh dengan dunia maya yang tidak terjangkau luasnya. Alam yang bersifat universal, pintunya cuma gajet-gajet pelbagai bentuk dan jenama.

Ahad, September 16, 2012

Sistem Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan dan Kesannya Terhadap Evolusi Pemikiran Manusia

Sistem Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan dan  
Kesannya Terhadap Evolusi Pemikiran Manusia
Satu Tinjauan dan Kajian oleh Dr. Amiene Rev

Di bawah ini adalah log catatan jurnal Amiene Rev pada 15 SEPTEMBER 2012-16 SEPTEMBER 2012. Hasil tinjauan yang dibuat sepanjang malam hingga ke pagi oleh Amiene Rev ini mendapati bahawa sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap evolusi pemikiran dan tingkah laku manusia. Evolusi pemikiran yang berfaktorkan keperluan dan kepentingan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa menyebabkan wujudnya budaya baru manusia yang berciri negatif.
15 SEPTEMBER 2012: Dapatan kajian yang sangat mengerikan. Sistem peperiksaan, menyebabkan kelas tambahan, tuisyen dan pengajaran di dalam kelas bagi sesetengah pihak lebih berfokus pada kemahiran menjawab soalan peperiksaan semata-mata dan bukannya kemahiran berfikir. Nilai-nilai murni juga diabaikan. Mengerikan, kerana sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan menyebabkan wujudnya manusia umpama zombie yang cemerlang dalam akademik dari segi pencapaian dan gred tetapi tidak dari segi sifat-sifat kemanusiaan yang sepatutnya.

Ini menjawab persoalan kenapa ada pelajar yang boleh menjawab soalan peperiksaan atau pandai mengira atau mencongak tetapi biadab. Ini juga menjawab persoalan kenapa rata-rata pelajar biadab biasanya memiliki kemahiran mengira Matematik. Pelajar-pelajar ini walau bagaimana pun gagal dalam PBS.

Ini kerana mereka telah didedahkan dan dilatih dengan kemahiran menjawab soalan Matematik. Ini kerana PBS lebih memfokus kepada amalan nilai-nilai murni serta kemahiran berfikir. Pelajar-pelajar biadab lebih cenderung kepada kemahiran menjawab soalan. Mereka boleh menjawab soalan dengan menggunakan kemahiran biarpun soalan itu pada aras yang sangat susah, tetapi mereka gagal dan lembab apabila diminta berfikir, bersikap prihatin, kesedaran siviks dan sebagainya.

Secara jujur, pendidikan yang diamalkan pada zaman kegemilangan Tamadun Islam dahulu kala lebih menekankan aspek nilai-nilai murni dan falsafah dalam menuntut ilmu dan bukannya berorientasikan peperiksaan. Ini jelas menunjukkan sistem peperiksaan bukan salah satu cara pembelajaran dalam Islam. Kajian diteruskan lagi.

15 SEPTEMBER 2012: Daripada kajian terdahulu (dipos sebelum pos ini) - Kesimpulan yang boleh dibuat, "Pada masa kini, jangan terlebih dahulu bangga jika anak anda mudah mendapat Straight A atau berada di kelas depan. Mereka mungkin cuma memiliki kemahiran menjawab soalan tetapi tidak kemahiran berfikir secara humanistik.

Mereka mendapat kemahiran menjawab soalan ini menerusi tuisyen, kelas tambahan atau pun teknik mengajar yang berorientasikan peperiksaan. Gred A diutamakan, nilai-nilai murni diabaikan. Ini adalah antara kesan evolusi akibat sistem peperiksaan.

Sistem peperiksaan mengubah cara berfikir dari generasi ke satu generasi, dari bentuk pemikiran manusia yang humanistik kepada bentuk pemikiran mesin yang bermatlamatkan gred A dan pencapaian semata-mata.

PBS yang mempunyai bentuk yang universal dan lebih mengutamakan nilai-nilai murni menyebabkan pelajar-pelajar mesin ini gagal mendapat Band yang memuaskan. PBS jika dirancang dengan sempurna mampu menyelamatkan cara berfikir umat manusia, khususnya rakyat Malaysia."

16 SEPTEMBER 2012 (4.04 PAGI): Siapakah yang memperkenalkan pendidikan berorientasikan peperiksaan di Malaysia? Sistem ini menyebabkan evolusi pemikiran yang membawa kemusnahan pada cara KEBANYAKAN rakyat Malaysia berfikir. Daripada pendidikan berorientasikan peperiksaan ini, lahirnya para pelajar yang mengabaikan kemahiran berfikir secara humanistik, dan mengutamakan kemahiran menjawab soalan peperiksaan semata-mata. Mereka mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sukar tetapi mereka tidak mampu berfikir secara humanistik. Antara kemahiran yang mampu dikuasai dengan baik adalah Matematik. Mereka memiliki kemahiran mengira tetapi tidak kemahiran berfikir. Mereka mengutamakan apa yang menguntungkan mereka tanpa mempedulikan nasib yang lain. Daya pemikiran yang lemah. Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan pada akhirnya cuma mampu melahirkan manusia kelas DUA dan kelas TIGA. Manusia yang mementingkan diri sendiri dan tahu mengambil kesempatan ke atas orang lain. Manusia yang hidup dengan menjadikan orang-orang lain sebagai mesin untuk kepentingan diri sendiri. Manusia tanpa sifat-sifat kemanusiaan, sekadar 'mesin' yang hidup untuk kepuasan diri sendiri. Mesin yang tidak endah akan masa depan negara. Mesin yang tidak endah akan masa depan bangsa. Mesin yang tidak peduli apa pun selain daripada kepuasan diri sendiri. Soalnya, siapakah yang merancang sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan di Malaysia? Kenapa sistem ini menjadi pilihannya?

16 SEPTEMBER 2012 (5.30 PAGI): Berdasarkan beberapa jurnal dan tesis yang dibaca, aku mula mengesan beberapa individu yang bertanggungjawab mewujudkan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan di Malaysia.

Sebelum ini pendidikan di Malaysia lebih kepada Sekolah Agama dan Madrasah dan penekanan utamanya adalah untuk menghasilkan insan bermoral tinggi. Kelahiran sekolah vernakular menyebabkan penekanan pendidikan beralih lebih kepada subjek-subjek dengan unsur duniawi ditekankan lebih tinggi berbanding unsur-unsur moral. Secara beransur-ansur nilai-nilai moral itu akan terhakis kerana struktur binaan model sistem pendidikan berorientasi peperiksaan itu sendiri adalah kunci kepada pembunuhan nilai-nilai kemanusiaan secara perlahan-lahan.

Pelaburan jangka panjang 'BARAT' kini membuahkan hasil. Perlahan-lahan MALAYSIA kini semakin mudah untuk dikawal mereka. Pendidikan adalah satu proses pembentukan manusia. 'BARAT' sedar akan kepentingan pendidikan ini, jadi mereka menggunakan pendidikan supaya MALAYSIA dapat kembali ke tangan mereka tanpa mereka perlu menjajah negara ini secara zahir. Selama beberapa tahun ini, apakah makna PENUBUHAN MALAYSIA? Kita belum bebas. 'BARAT' pandai melabur. Mereka telah berjaya mencipta aspek sekularisme dan pemikiran mesin dalam jiwa orang-orang Malaysia. Dalam keadaan begini, lambat-laun, Malaysia akan kembali dimiliki 'BARAT'.

Apa gunanya tangisan kemerdekaan yang penuh kegembiraan selama ini? Kita cuma bebas daripada penderitaan fizikal dan mental, tetapi pemikiran orang-orang kita belum bebas.

Sabtu, Disember 03, 2011

THANK TO GOD - AMIENE REV

Thank To God
from Amiene Rev to God

Thank to God,
God that made me brilliant,
God that made me rich,
God that made me smart,
God that made me healthy
God that made me wealthy,
God that made me happy,
God that made me wise,
God that made me powerful,
God that made me... a good leader,
God that made me strong,
God that protect me everywhere,
God that put the light inside my heart,

Thank to God.

NOW THAT I AM A MILLIONAIRE.

Rabu, November 16, 2011

Anti-Islam, Perkauman dan Bahasa SMS

Kelibat anti-Islam dan perkauman semakin jelas dan berani kini. Di kebanyakan tempat, generasi hari ini jelas lebih suka bergaul mengikut kaum mereka sendiri. Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia hilang tempat dalam jiwa generasi muda. Generasi muda hari ini rata-rata seronok menggunakan bahasa SMS yang dianggap kreatif. Perjuangan sasterawan, wartawan, guru-guru, kakitangan kerajaan, aktivis bahasa semakin dilupakan. Anak-anak muda lebih tertarik dengan dunia hiburan. Budaya yang dipanggil 'slacker' yang membawa maksud remaja masa kini yang tidak peduli dengan isu-isu penting di dunia, dan cuma bernafsu terhadap hiburan semata-mata, individualistik, dan cuma memikirkan keseronokan dan kepuasan diri sendiri sahaja, kini menular bagaikan ular-ular berbisa yang bersedia memagut dan melumpuhkan bangsa. Bangsa Malaysia pada kemudian hari akan menjadi mangsa budaya individualistik jika tidak ada langkah pencegahan segera dibuat dengan peka dan jelas.

Di mana-mana tempat, di tempat awam, di sekolah, di kawasan perumahan, manusia membuang sampah di merata-rata tempat. Pada hari ini, sukar untuk ditemui seorang remaja yang berhati mulia, mengutip sampah yang dilihat ke dalam tong sampah. Sebilangan besar golongan remaja hari ini rata-rata lebih tertarik untuk bergurau senda sesama mereka biarpun mengetahui ada sampah sekaki dua jaraknya dari tempat mereka bercengkerama. Inilah pelapis bangsa Malaysia pada akan datang. Tidak ada apa pun yang boleh dibanggakan dengan sikap anak-anak muda seperti ini. Kekecewaan tersebar, provokasi mekar. Terang-terang agama Islam dihina, dan kebersihan separuh daripada iman dipersenda-senda secara tidak langsung. Berduyun-duyun anak-anak remaja belasan tahun menjauhi masjid, melangkahkan kaki ke sekolah, pada ketika azan solat Jumaat dilaungkan. Tidak ada seorang pun lelaki Islam dewasa yang mahu menegur anak-anak ini. Budak-budak berusia 18 tahun masih dianggap kanak-kanak, dimanjakan, dibiar berpelukan, dibiar meluahkan apa sahaja dosa dalam bentuk perbuatan fizikal.

Berapa orang anak remaja pada hari ini yang mampu merenung dosa yang bersepah-sepah di sekeliling mereka? Berapa orang anak remaja pada hari ini yang peka, yang sensitif, yang ada rasa kecewa dan mahu berjuang untuk memulihkan kembali budaya bangsa mereka? Tidak ada. Tidak ada seorang pun yang kelihatan pada masa kini. Pincang sudah objektif kehidupan. Gugur sudah semangat jati diri dalam diri anak-anak bangsa. Inilah kekecewaan yang nyata, apabila membincangkan mengenai sikap warganegara Malaysia pada hari ini.

SEMUANYA BERSALAH JIKA TIDAK AMBIL KISAH! SEMUANYA BUTA TULI JIKA TIDAK ADA SEORANG PUN YANG AMBIL PEDULI.

Jika kamu seorang pembaca blog ini, dan kamu membaca tulisan ini. Renungkan kembali bagaimana kamu boleh membantu mengubah pemikiran masyarakat Malaysia, supaya bersatu memulihkan kembali budaya Timur yang asli.

Yang benar,
Amiene Rev


Kementerian diminta siasat guru anti Islam
SUMBER: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin meminta Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan pelajar sebuah sekolah mengenai tindakan beberapa guru yang didakwa bersikap perkauman dan anti Islam.

Ahli Parlimen Bebas itu mendakwa menerima lebih 20 aduan daripada pelajar termasuk pelajar beragama Islam dan Kristian yang tidak puas hati dengan tindakan beberapa guru bukan Melayu yang juga penyokong dan petugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor. “Saya tidak bercadang menyebut nama secara terbuka di dalam dewan ini, saya akan serah nama kepada menteri kerana aduan yang dibuat sangat serius. “Guru berkenaan mengutuk agama Islam dengan mengatakan Islam sebagai agama palsu, al-Quran ditulis oleh manusia, selain membangkitkan peristiwa 13 Mei berlaku kerana tindakan orang Melayu, sebaliknya orang Cina hanya mempertahankan diri serta menyatakan sepatutnya orang Cina menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat, malam tadi.

Ahad, November 06, 2011

Program Mencipta Pemimpin Muda Untuk Negara

"Kita perlukan pemimpin-pemimpin muda untuk melapisi barisan pemimpin sedia ada negara. Pemimpin-pemimpin muda yang sentiasa sanggup mengorbankan diri, mengabaikan kemewahan dan kesenangan hidup untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Jika kita tidak menemui golongan muda yang boleh menjadi pelapis pemimpin negara, maka kita harus 'mencipta' mereka. Ini akan menjadi salah satu daripada perjuanganku. Aku ini warganegara Malaysia, dan aku mahu negara ini sentiasa ada pelapis pemimpin yang berkaliber dan mampu membantu membuka minda rakyat Malaysia supaya menjadi bangsa yang termaju, terbaik, terkuat, paling bijak dan paling penyayang di dunia." - suara Amiene Rev kepada Perdana Menteri Malaysia.

Ahad, Januari 30, 2011

Anak-Anak Angkatku - Kehadiran

ANAK-ANAK ANGKATKU
Kehadiran
Penulis: Amiene Rev (C) 2011

Kira-kira 4 tahun lepas, sahabat baikku dan isterinya berangkat pergi ke alam baka, lalu, di sisiku ditinggalkannya dua orang anak. Seorang dikenali sebagai Alberto Zein, dan seorang lagi dikenali sebagai Aleeka Irwin. Nama keluarga mereka tidak dapat kusebutkan di sini. Kedua-dua mereka kini berusia 6 dan 4 tahun kini. Oleh kerana pada ketika itu kedua-dua mereka ini amat kecil, maka tugas penjagaan mereka dilaksanakan oleh pihak berwajib.

Dalam tempoh tersebut, aku sering berangkat ke luar negara untuk menemui mereka. Pergerakanku adalah senyap dan sunyi, kerana aku tidak suka mendedahkan kisah yang menyedihkan ini untuk meraih simpati sesiapa pun. Lalu, hubunganku sebagai penjaga, atau lebih tepat bapa angkat kepada kedua-dua anak kecil ini menjadi rahsia antara benua.

Sahabat baikku dan isterinya adalah rakan seperjuanganku. Kami berjuang perkara yang sama. Perjuangan kami merentasi lautan, hutan-hutan, gunung-ganang dan selainnya. Namun perjuangan ini menuntut pengorbanan dan kematian. Kematian demi berbilion-bilion manusia yang lain. Kematian demi satu keamanan dan kesejagatan.

Dari jauh, aku memantau mereka. Sekali-sekala aku mengajar dan mendidik mereka. Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan diIslamkan apabila usia mereka genap 18 tahun. Sudah pasti, ini bukan perkara yang mudah bagiku.

Kedua-duanya tidak memiliki saudara-saudara jauh. Sesiapa yang melibatkan diri dalam perjuangan ini mesti bersedia untuk berputus arang dengan keluarga masing-masing, demi menjaga keselamatan keluarga. Oleh itu Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan sentiasa di dalam perlindunganku. Aku sudah bersedia untuk mengorbankan diri untuk menjaga mereka berdua.

Pihak Interpol sudah mengesahkan senarai Black Hunters dan Silverine Raiders yang kini bergerak di serata dunia demi memburu pewaris-pewaris pejuang nombor satu dunia ini. Dan aku, adalah Dewa Pelindung anak-anak kecil ini.

Baru-baru ini, dalam satu pertempuran, bahagian belakang tengkukku telah terkena tembakan peluru, dan ini menghasilkan satu lubang yang dalam. Aku tidak mati kerana tembakan itu tidak mengenai titik mautku. Tambahan pula, di negara ini, ada doktor peribadi yang telah ditugaskan untuk mengendalikan kecederaan aku, sekiranya ia melibatkan pertempuran semasa bertugas. Setiap peluru yang dilepaskan memiliki identiti yang tersendiri, dan kecederaan yang melibatkan pertempuran ini tidak boleh dirawat di hospital biasa. Sistem pangkalan data hospital di negara ini pasti akan dicerobohi oleh pihak musuh untuk mengesan identiti aku.
Sekiranya ini berlaku, pihak musuh akan dengan mudahnya mengesan kedudukanku. Mereka tidak tahu di mana aku bersembunyi, dan mereka tidak tahu, aku menyamar sebagai apa. Mereka dapat mencederakan aku, tapi buat masa ini, mereka masih gagal membunuhku. Mereka juga tidak tahu rupaku yang sebenar.

Namun proses penyembuhan itu agak lama, dan aku terpaksa berbohong kepada orang-orang yang mengenali aku bahawa itu adalah satu pembedahan biasa.
Mereka tidak tahu dalam tahun-tahun yang lalu, aku bertempur dalam senyap menangani saki-baki 419 Elites yang masih bebas di luar sana.

Mereka mahu memburu anak-anak angkat aku. Namun mereka tidak akan menemuinya, kerana anak-anak angkatku tidak tinggal bersama aku. Dan aku akan terus menjadi Dewa Pelindung mereka. Tapi aku tidak lupa, Tuhan Pelindung yang sebenar, ada di atas sana.

Kehadiran anak-anak kecil ini bukan satu beban bagiku. Mereka adalah amanah daripada sahabat baikku. Aku akan terus menjaga mereka. Suatu hari nanti mereka pasti akan membaca catatanku ini, selepas mereka berjaya menyelesaikan CODE yang kuberikan kepada mereka. CODE adalah kata kunci yang tersembunyi, yang cuma ada pada diri mereka.

BERSAMBUNG...

Ahad, Januari 23, 2011

Alberto dan Aleeka

Alberto Zein dan Aleeka Irwin adalah dua prodigi di bawah seliaan aku sejak beberapa tahun lepas. Berdasarkan CODE JED, kedua-dua prodigi telah menunjukkan pencapaian yang mengkagumkan dalam beberapa tahun terakhir ini.

Propetus, seorang pengkaji, anak didik kepada Rosemary V. memaklumkan bahawa kedua-dua anak angkat aku ini telah bersedia untuk ke fasa seterusnya. Ini adalah satu pencapaian, di mana kedua-duanya bakal memberi sumbangan yang besar kepada tamadun manusia. Legasi Amiene Rev berterusan.

Sabtu, Disember 04, 2010

Surat Istimewa Dari Ireland

Sudah lama aku tidak melayari laman web sosial yang tertentu, jadi seorang individu yang amat istimewa dalam hidupku membuat keputusan untuk mengirimkan surat secara pos. Surat itu dialamatkan ke alamat rumahku di kampung, antara lain petikannya berbunyi:
"Apabila Guru membaca surat ini, ini tandanya kami sekeluarga dalam perjalanan ke Honduras. Saya memohon Guru untuk turut serta dalam ekspedisi ini. Ini kerana kami berhajat untuk mempelajari sesuatu yang baru daripada Guru. Kami akan berada di sini selama 2 minggu, namun Guru bebas untuk datang dan pergi sekiranya Guru ada urusan penting di tempat Guru. Kehadiran Guru amat kami nanti-nantikan." - M.A.
Honduras dan Ireland adalah dua tempat berbeza. Dalam erti kata lain, aku harus berangkat ke Honduras dalam masa terdekat ini. Segera, aku mencapai pakaian tebal (dari pengembaraan di Egypt) yang cuma kupakai apabila ke luar negara. Menempah tiket penerbangan, mengatur kredit dan perbelanjaan. Menyusun manual dan peta. Kemudian aku membuka peti pengembaraanku, dan di dalamnya ada sebuah alat komunikasi yang tahan lasak. Inilah telefon bimbit dengan nombor telefon antarabangsa yang aku miliki. Dan ketika surat ini disiarkan, aku pun telah berangkat pergi.

Isnin, November 29, 2010

Amiene Rev dengan Sang Atheis

Simbol Atheis: Berhati-hati dengan Simbol Ini

Bulan November, ketika ini seluruh negara dilanda hujan. Hujan tidak begitu ketara turunnya, namun di sesetengah tempat, banjir sudah melanda. Aku berdiri di satu penjuru taman, dan aku renung semula kemungkaran yang semakin berleluasa pada hari ini.

Pada akhir zaman ini, manusia lebih suka mengkritik kebaikan berbanding keburukan. Keburukan di depan mata dibiarkan, kebaikan ditafsir sebaliknya.
Simbol Atheis: Berhati-hati dengan Simbol Ini

Apabila orang kaya membantu orang miskin, itu dianggap publisiti murahan. Apabila orang kaya membantu orang kaya, itu dianggap rakan kongsi.

Apabila dua orang lelaki atau dua orang wanita bersahabat baik, mereka dituduh homoseks tetapi apabila lelaki dan perempuan bukan muhrim bebas bergaul, bersentuhan, berlaga anggota badan dan saling mendedahkan aurat sesama mereka, itu dianggap tidak mengapa.

Apabila artis-artis hiburan meninggal dunia, itu dianggap kehilangan yang besar. Apabila ustaz atau ustazah meninggal dunia, media senyap begitu sahaja.
Simbol Atheis: Berhati-hati dengan Simbol Ini

Artis-artis kerap melakukan perbuatan tidak senonoh. Media sangat suka. Ini bahan berita. Ini sumber pendapatan. Bila ada cerita tidak elok, orang cepat percaya. Orang cepat suka. Surat khabar laris. Rating di televisyen cepat naik.

Bila orang buat fitnah. Benda yang tidak ada bukti cepat-cepat orang percaya. Cepat-cepat orang sebar. Bila benda buruk ada bukti, dimaklumkan oleh orang yang mahu mencegah kemungkaran, cepat-cepat orang kata fitnah. Bukti sudah ada di depan mata. Orang lagi tidak mahu percaya.

Bila orang tua tegur anak-anak muda remaja. Jangan buat maksiat. Jangan pegang-pegang lelaki dan perempuan bukan muhrim. Anak remaja marah-marah. Maki-maki orang tua. Mereka kata mereka masih muda. Mahu enjoy. Ajal maut tak kenal usia muda atau tua. Bukan setakat bayi baru lahir boleh mati dulu, janin dalam perut pun boleh gugur.
Simbol Atheis: Berhati-hati dengan Simbol Ini

Kemudian datang seorang atheis. Tengoklah, agamamu mendatangkan masalah. Tuhanmu tidak pernah muncul bila dunia sekarang huru-hara. Tuhan tidak tolong apa pun. Tuhan kamu butakah?


Simbol Atheis Universal: Berhati-hati dengan Simbol Ini

Aku merenung si atheis. Tuhanku sedang mengujiku dan hamba-hambanya yang lain. Aku percaya bahawa Tuhan aku itu wujud.

Di mana Tuhanmu ketika ini?

Di dalam hatiku. Di dalam kepercayaanku. Pada lidahku. Pada akalku. Pada imanku.

Aku tidak nampak!

Kerana engkau buta dan aku tidak.
Simbol Atheis: Berhati-hati dengan Simbol Ini

"Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." - (Az Zumar:67)

Penulis Berehat Seketika Selepas 'Operation'

Penulis telah sembuh dengan pantas, walau bagaimana pun beliau akan berehat seketika. Tulisan-tulisan baru beliau boleh dibaca di bawah entri ini.

Khamis, November 25, 2010

Memori Seorang Detektif

Tugas kali ini memerlukan kamu meninggalkan sementara tugas sediakala. Sekarang sudah cuti. Bagus, kalau begitu kerja kita akan berjalan dengan lancar. Perkara pertama, bermusuh dengan orang yang paling kamu sayang. Buatkan dia benci dan meninggalkan kamu. Lakukan apa sahaja supaya dia tidak menyukai kamu.

Apa? Tak ada perubahan. Arahan yang sama.

Kedua. Identiti kamu ialah seperti yang tertera pada kad ini. Ingat kesemua fakta dan musnahkan kad ini.

Masih sama.

Ketiga. Kes jenayah kali ini melibatkan nilai berpuluh-puluh ribu. Kamu diminta berpura-pura menjadi mangsa. Umpan penjenayah ke mari.

Basi. Kenapa masih ada orang tertipu.

Kod yang telah kamu sampaikan menerusi video YouTube pada tarikh beberapa minggu lepas di blog kamu sudah berjaya diterjemahkan oleh pihak ketiga.

Sudah dijangkakan.

Apa rancangan kamu?

Seperti di dalam kad ini. Hafal dan musnahkan.

Bahasa Elvish ini lagi.

Elen sila lumenn omentilmo.

Tidak ada privasi.

Rabu, November 24, 2010

Memori Hari Jadi Seorang Detektif

Hari ini aku dikehendaki menjadi detektif pada hari ini. Tugas hari ini diselesaikan dengan agak mudah. Menyamar dan memecah masuk ke sarang musuh untuk mengumpul maklumat. Aku anggap tugas "intelligent officer" yang aku lakukan hari ini agak remeh.

Cuba bayangkan, apabila kita sebagai seorang perisik, menyamar dan menyelinap masuk ke kubu musuh sambil berbual-bual dengan anggota-anggota sindiket tersebut, demi mengesan "mastermind" yang sebenar. Agak mengejutkan, apabila "mastermind" tersebut ialah "megamind" yang kini berada di zon selatan. Aku harus berangkat ke luar negara untuk meneruskan siasatan.

Jumaat, November 19, 2010

Marathon Peribadi 2010 - Mengira Detik Hari

Apabila entri ini tersiar, maka ini bermaksud persediaan peribadi untuk menyertai marathon peribadi semakin hampir. Tahun ini, misi ke Honduras untuk membantu pihak yang tidak bernasib baik di sekitar sana terpaksa ditangguhkan. Bukan kerana masalah kewangan, bukan juga kerana masalah cinta. Bukan kerana masalah peribadi, bukan juga kerana masalah kerjaya.

Semua ini adalah kerana ingin menunaikan janji. Janji yang akan mengubah masa depan. Masa depan diri sendiri, dan masa depan bangsa dan masyarakat bangsa. Memikul tanggungjawab bererti memperhambakan diri kepada kebaikan, melabur pahala dan menghindari dosa.

Kiraan detik hari, setiap detik berkurangan satu saat, sehingga tiba masanya, marathon peribadi akan dilaksanakan dengan sepenuh hati.

Ahad, Julai 04, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Dan Demikian Kisahnya

Kisah ini tidak menerima sebarang perbezaan darjat. Namun antara baik dan jahat, masih tetap ada sempadan ketidaksamaan yang melarang manusia daripada menyertainya. Berbaik dengan kejahatan bermaksud membiarkan diri terjerat.

"Amiene Rev, sepanjang malam itu, aku mengenangkan apa yang aku lakukan pada siang hari itu. Jimmy langsung tidak mengejarku. Orang-orangnya juga diam di situ. Tidak berganjak. Tergamam, mungkin."

Aku diam.

"Mulai hari itu aku hidup dalam ketakutan. Aku bimbang jika pada lain hari, Jimmy dan orang-orangnya muncul lagi. Mereka tidak pernah muncul."

"Suatu hari, sepucuk surat sampai ke laman rumahku. Aku buka sampul surat itu. Di dalamnya ada beberapa keping gambar. Gambar aku semasa kecil. Dan tertulis di dalamnya, satu perkara yang buatkan aku tersentuh hati."

-o-

Pada tahun itu, sepucuk surat misteri telah tiba. Gadis Ayu membuka surat tersebut. Sekeping gambar hitam putih terselit di dalamnya. Gadis Ayu membelek-belek gambar tersebut. Di belakangnya ada tulisan.

Tulisan itu berbunyi:

"Sehingga kini, aku masih sedang cuba mencari jawapan, kenapa Engkau menampar aku, sedangkan aku tahu engkau mahu berkawan denganku. Kenapa engkau menampar aku, ketika aku sudah menerimamu dan mahu menyelamatkanmu?"

Sabtu, Jun 26, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Rahsia Gadis Ayu

Seperti yang diceritakan sebelum ini, langit yang cerah tidak seindah yang disangka. Di satu tempat di Earlham Road, seorang gadis menangis teresak-esak. Di situlah, di hujung taman bergelar Plantation Garden, satu rahsia mula tercipta.



"Ketika itu, aku melihat seorang budak lelaki keseorangan, namanya Jimmy. Anak kepada seorang hartawan yang agak ternama di Norwich." Gadis Ayu pun memulakan kisahnya.

"Aku lantas menegurnya, tetapi Jimmy berlagak sombong denganku. Aku berasa amat kecil hati, namun aku terus cuba menarik perhatiannya."

"Kemudian... tiba-tiba datang beberapa orang berpakaian serba hitam dan berambut keemasan datang berjalan perlahan-lahan. Dapatkah kau duga, apa yang berlaku selepas itu, Amiene Rev?"

-o-

Melihat kemunculan tujuh orang lelaki berpakaian serba hitam itu, Jimmy tiba-tiba melarikan diri. Si Gadis Ayu lantas mengekori Jimmy tanpa mengetahui bahaya yang bakal menimpanya.

"Tuan Muda, berhenti! Jangan lari lagi!"

Jimmy, si anak hartawan tiba-tiba berhenti.

"Tuan Muda, Tuan Besar mengarahkan kami mencari Tuan Muda. Mohon, Tuan Muda ikut kami pulang."

Jimmy menyedari dirinya telah terperangkap. Sekumpulan tujuh orang lelaki itu telah berjaya mengepungnya. Si Gadis Ayu terpinga-pinga.

"Dan siapa pula kamu ini, budak perempuan?"

Beberapa orang daripada lelaki-lelaki bertujuh itu pun terus mendekati Gadis Ayu.

"Barangkali, angkara kamu ini, menyebabkan Tuan Muda tidak mahu pulang dan menyusahkan kami."

Si Gadis Ayu berasa amat takut. Dia tidak menyangka, kini dirinya pula dipersalahkan. Si Gadis Ayu berasa amat takut, dan mula menangis teresak-esak apabila melihat lelaki-lelaki berbaju hitam berwajah garang mula mendekatinya.

"Tunggu! Jika kamu semua mempengapakan budak perempuan itu, kamu semua pasti akan dihukum oleh ayahku!"

Lelaki-lelaki bertujuh tidak berani bertindak. Budak lelaki itu pun berjalan perlahan-lahan ke arah Gadis Ayu.

"Budak perempuan ini akan mengikut aku, pulang!"

Semua lelaki berbaju hitam yang ada di situ, saling berpandangan.

"By the way, my name is, Jimmy."

Pap!

Gadis Ayu yang masih takut dan terkejut, tiba-tiba secara tidak sengaja menampar Jimmy dan terus melarikan diri. Semua lelaki berbaju hitam tersentak. Tuan Muda mereka telah disakiti oleh seorang gadis yang tidak dikenali.

Selasa, Jun 22, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Bersiar-siar Dengan Si Gadis Ayu

Langit cerah tak seindah yang disangka. Suatu hari Gadis Ayu meninggalkan rumah tamu, dan pergi ke Jalan Theater. Dia mengajak aku dan adiknya berjalan-jalan mengelilingi bandar.

Sampai saja di Royal Theater, kami menaiki bas dua tingkat berwarna merah. Kata gadis ayu, hari ini kami akan bersiar-siar melihat keindahan Norwich.

Kami berhenti di Plantation Garden, sebuah taman rahsia di Earlham Road. Menariknya di sini, tidak ada seekor pun anjing kelihatan. Gadis Ayu memberitahu aku, di sini, tidak ada sesiapa pun dibenarkan membawa anjing ke mari.

Di beberapa tempat, kelihatan beberapa pekebun yang agak berusia begitu tekun dan khusyuk menjaga bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan. Kata Gadis Ayu, kebanyakan pekerja di situ tidak dibayar upah, mereka sukarela datang menjaga keindahan alam.

Indahnya budi pekerti penduduk Norwich. Demi kecantikan alam, mereka sudi berkorban tenaga untuk memeliharanya. Jauh bezanya dengan di sesetengah tempat di Malaysia, begitu banyak sampah-sarap bertaburan, sedangkan rata-rata mereka adalah bergelar Muslim. Inikah namanya kebersihan separuh daripada iman? Renung-renungkan.

Terdapat kolam teratai dengan ikan-ikan merah. Adik Si Gadis Ayu tertarik melihat ikan-ikan tersebut. Selepas itu, Gadis Ayu mengajak aku menjamu teh di taman itu. Kebetulan hari itu hari Ahad, pengunjung boleh menikmati hidangan teh dan kek di taman itu setiap Ahad.

Sehari bersahabat dengan alam memang mengujakan. Di sini terdapat banyak warisan alam semula jadi dan ciptaan manusia. Wajah-wajah batu yang kelihatan serius dan binaan-binaan Gothic di sini mewujudkan suasana yang agak unik dan misteri.

"Di hujung taman ini, ada satu rahsia," kata Gadis Ayu.

"Sis, please..." tiba-tiba Adik Si Gadis Ayu bersuara.

Nampaknya satu kisah menarik akan diceritakan di sini.