BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Tips Juara AF. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tips Juara AF. Papar semua catatan

Ahad, April 05, 2009

Zizi Ratu Rock Akademi Fantasia 7 - Tersingkir Sebagai Juara

Zizi AF7 - Ratu Rock Akademi Fantasia 7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Malam tadi saya tidak sempat menonton Akademi Fantasia 7, maka saya meluangkan masa untuk menyaksikan siaran ulangan Akademi Fantasia 7 sekitar tengah hari tadi.

Penyingkiran Zizi AF7 pada malam tadi merupakan satu kejutan besar buat tenaga pengajar. Zizi AF7 sebelum ini banyak membantu pelajar-pelajar Akademi Fantasia 7 yang lain untuk menghayati lenggok lagu. Dalam erti kata lain, sebelum Zizi AF7 meninggalkan Akademi Fantasia bersama Rubisa AF7, beliau telah memberikan satu sumbangan yang baik kepada para peserta Akademi Fantasia 7 yang lain. Kejayaan kebanyakan pelajar AF7 yang lain untuk Konsert Akademi Fantasia Ke-4 ini bukan sahaja dibantu oleh tenaga para pengajar, tetapi juga Isma AF7 dan Zizi AF7.

Biarpun Zizi AF7 tersingkir, namun Zizi AF7 telah terbukti seorang Ratu Rock yang berjaya dilahirkan di Akademi Fantasia. Malah kita ketahui sebelum ini, tidak semua peserta yang gagal ke konsert terakhir Akademi Fantasia Ke-7, akan gagal di persada seni yang sebenar. Contohnya Aizat yang berjaya muncul di peringkat akhir Juara Lagu, dan muncul dengan lagu-lagu yang mendapat sambutan hangat.

Saya cukup suka dengan kata-kata optimis Zizi AF7 kepada para penyokongnya, "Penyokong-penyokong saya masih boleh jumpa saya di luar sana!"

Memang tepat apabila saya memilih Zizi AF7 sebagai salah satu daripada peserta Akademi Fantasia 7 pilihan saya. Beliau memiliki sikap optimis yang perlu ada dalam diri seorang penanding, dan beliau telah buktikannya di depan kaca televisyen secara realiti. Sekarang saya mahu lihat Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7 dan Aril AF7 beraksi di pentas seterusnya.

Selain Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 saya juga ingin mengulas peserta-peserta lain menerusi entri ini.

Isma AF7 - Berkeyakinan, berbakat dalam nyanyian, serba boleh, personaliti yang menarik, mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan masalah, ada kebolehan memimpin, matang dan bijaksana.

Hafiz AF7 - Seorang lagi pelajar yang memiliki kecerdasan muzikal yang sangat tinggi. Potensi Hafiz AF7 masih belum ditonjolkan sepenuhnya. Barangkali beliau merupakan peserta Akademi Fantasia terunggul pernah wujud dalam sejarah Akademi Fantasia.

Claudia AF7 - Salah seorang peserta berbakat dan mempunyai suara yang menarik dalam Akademi Fantasia 7. Beliau memiliki identiti dan tingkah laku yang unik. Namun, apabila menyanyi, beliau boleh menjadi seorang penghibur yang amat baik.

Zizi AF7 - Memiliki sikap yang ceria sebagai seorang penghibur, dan merupakan penyanyi berbakat dalam bidang rock yang sejati.

Aril AF7 - Kualiti Aril dari segi nyanyian biasa sahaja, tetapi suaranya agak menarik. Kelebihan utama Aril adalah dari segi persembahannya secara fizikal yang memaparkan dirinya sebagai seorang penghibur yang memang menghiburkan. Aril mempunyai keyakinan terhadap apa yang dilakukannya. Dia selamba tetapi persembahannya menjadi. Kelebihan Aril dari segi persembahan fizikal adalah antara yang terunggul di Akademi Fantasia 7.

Aishah AF7 - Memiliki personaliti yang memikat hati boleh berlakon, menjadi pelawak atau menjadi model iklan. Aishah AF7 jika diperhatikan adalah jenis wanita yang sentiasa mahu menjaga hati orang lain dan mengelakkan permusuhan. Beliau memiliki sifat yang suka kepada kedamaian. Personaliti seperti ini sangat saya suka. Aishah AF7 merupakan pilihan ke-6 saya selepas Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7.

Qhaud AF7 - Sekali imbas beliau seperti Mawi, namun jika kita memberi perhatian kepada beliau, kita akan dapati bahawa Qhaud bukan Mawi. Identiti Qhaud terletak pada keningnya yang selalu bergerak-gerak, mulutnya yang sentiasa kelihatan tertawa riang dan manis. Qhaud mempunyai lenggok suara yang menarik. Ciri-ciri istimewanya ialah sebagai penenang keadaan. Kelemahan Qhaud ialah beliau kelihatan agak kurang mesra dengan para penyokongnya.

Rubisa AF7 - Beliau boleh menyanyi dengan baik, namun aura juara seakan-akan hilang dalam diri beliau. Rubisa AF7 tetap adalah seorang penyanyi yang baik.

Rini AF7 - Mempunyai bakat lakonan terpendam. Perlu diberi peluang dalam dunia lakonan. Persembahan terakhir beliau, iaitu pada minggu ke-3 merupakan persembahan terbaik beliau. Konsep lagu sebegitu sesuai dengan Rini AF7.

Yazid AF7 - Kelebihan dan mungkin juga aspek negatif yang ada pada diri Yazid ialah rambutnya yang panjang yang menjadikan diri Yazid kelihatan agak garang. Yazid memiliki kelebihan dari segi tarian, tetapi beliau belum dapat menonjolkan kelebihan ini sepenuhnya. Adakah Yazid bercadang untuk menggunakan kelebihannya itu sebagai satu senjata rahsia untuk merebut kejuaraan di Akademi Fantasia 7 pada kemudian hari?

Akim AF7 - Beliau memiliki bakat terpendam dalam bidang nyanyian, dan masih belum menonjolkan potensi sepenuhnya.

Sidi AF7 - Peserta yang paling berprofil rendah. Kurang menonjolkan diri tetapi tetap memiliki kesungguhan dalam pembelajarannya di Akademi Fantasia 7. Mempunyai ton suara yang agak unik.

Obri AF7 - Saya kurang dapat mengenali Obri disebabkan beliau merupakan salah seorang peserta yang tersingkir di minggu terawal selain Fadila. Jadi apa yang dapat saya komen ialah, beliau seorang yang kelakar.

Adila AF7 - Beliau kelihatan amat pemalu dan suka menyendiri. Adila perlukan imej atau perwatakan yang lebih hangat dan mesra.

Pemerhatian saya terhadap konsep rancangan realiti setakat ini ialah, jika seseorang peserta itu sudah sedia popular atau mempunyai ramai kawan di dunia luar, maka apabila dia masuk ke satu-satu pertandingan realiti (di mana kuasa menentukan pemenang terletak di tangan pengundi), maka peluangnya untuk muncul juara adalah tinggi.

Kebanyakan pengundi mengundi peserta berdasarkan personaliti, diikuti dengan potensi dalam diri peserta dan persembahan semasa hari pertandingan. Sesiapa yang ingin memenangi pertandingan realiti seperti Akademi Fantasia tidak seharusnya bergantung kepada bakat semula jadi, tetapi juga perlu mengubah diri menjadi satu personaliti yang disukai ramai dan mudah didampingi. Yang penting, harus ikhlas, harus mandi supaya sentiasa wangi.

Selasa, Julai 08, 2008

Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 4


Jangan Curi 'Trademark' Orang

Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Salah satu sikap yang dibencikan orang... ialah mencuri 'trademark' orang. (Er, anak saudara saya suruh saya baca buku untuk dia. Masuk kali ni sudah dalam sepuluh buah buku saya bacakan untuk dia, untuk hari ini saja. Lepas tu dia selalu tunjukkan saya macam-macam Power Rangers yang dia ada, jadi untuk kali ini pendek sajalah saya tulis).

Mencuri 'trademark' (ya, Batman... kalau tak cakap ya nanti dia terus tanya saya) peserta lain oleh seseorang peserta boleh menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong atau peminat bagi peserta yang dicuri 'trademark'nya itu.

Oleh itu pastikan (ya FED merah... ya, kuning nampak, merah tak nampak, sebab dah kena koyak. Mana la aku hafal power-power Rangers ni). Ya, pastikan anda menggunakan 'trademark' yang asli.

(Alamak, dia bawa buku Ultraman Colouring Book pula. Ya, raksasa.)

Dan.. (Oh, tidak gambar kahwin kakak aku dengan abang ipar aku! Aku nak baca apa?)

Sekian sahaja untuk hari ini.

Oh, ya. Sekiranya anda berminat untuk mengikuti siri-siri sebelumnya, silalah pada entri minggu-minggu sebelumnya (klik pada Tips Juara AF) yang terdapat di bawah entri ini. Setakat ini, satu siri dipos setiap minggu untuk tatapan pembaca yang setia berkunjung ke mari.

Jangan ciplak atau plagiat ya?

Selasa, Julai 01, 2008

Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 3


Jangan Menangis Atau Berkelakuan 'Kasihan Dia'

Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Pada musim-musim terawal Akademi Fantasia dahulu, sikap tangis-menangis boleh dianggap salah satu senjata terkuat untuk mendapatkan undi simpati. Manakala komen positif dan berbahaya oleh pengkritik-pengkritik Akademi Fantasia yang seolah-olah mengesahkan kedudukan peserta yang berbakat itu terselamat juga satu bonus tidak langsung bagi pelajar dalam kategori 'Kasihan Dia'.

Saya memuji tindakan A.C Mizal apabila cepat-cepat mengeluarkan kenyataan, "Bahaya tu..." sebagai reaksi kepada komen melampau positif seorang pengkritik Akademi Fantasia terhadap pelajar Akademi Fantasia yang sememangnya berbakat, tempoh hari. Ya, mengingat peristiwa bagaimana peserta yang sentiasa mendapat komen positif dipandang sebagai tidak perlu dirisaukan menyebabkan ramai pengundi beralih arah untuk mengundi peserta 'Kasihan Dia'.

Kini, taktik 'Kasihan Dia' kadangkala boleh menimbulkan perasaan meluat kepada sesetengah pengundi. Kata-kata seperti "Kalau tak tahan, buat apa nak masuk AF? Orang lain ramai lagi nak masuk! Keluarlah kau malam ni dari AF".

Budaya tangis-menangis kadangkala dianggap sebagai suatu pengkhianatan kepada peserta berbakat. Peserta yang berasa dirinya tidak selamat, dilihat sebagai mempergunakan taktik 'Kasihan Dia' sebagai cara meraih undi simpati (sama ada sengaja atau tidak sengaja) dan seterusnya menyebabkan peserta yang layak tersingkir.

Sekiranya anda mahu bertahan di dalam Akademi Fantasia sehingga ke peringkat akhir, saya mencadangkan anda supaya tidak menunjukkan langsung kelakuan menangis sebab tidak tahan dengan suasana di Akademi Fantasia, rindukan isteri, rindukan suami, rindukan anak-anak, rindukan kampung, rindukan bantal busuk dan sebagainya. Tak mahu terima tak apa, pilihan tetap di tangan anda, saya cuma menyatakan pandangan sahaja.

Kenapa tidak boleh bersikap demikian? Kerana pengundi akan menganggap anda sudah tidak tahan lagi berada di Akademi Fantasia dan mereka akan bertindak untuk tidak mengundi anda lagi. "Saya kasihanlah tengok si Fantasha tu. Apa kata malam ni kita jangan undi dia lagi. Biar dia keluar, dia rindu dengan keluarga agaknya. Bagilah dia keluar. Kalau saya pun, saya nak keluar kalau dah menangis-nangis macam tu."

Rakyat Malaysia sungguh penyayang. Merekalah pengundi-pengundi di Akademi Fantasia. Oleh itu, sekiranya anda tidak mahu terkeluar lebih awal, jangan kaitkan diri anda dengan sikap dan kelakuan 'Kasihan Dia'. Sikap ini boleh memberikan pelbagai tafsiran. Pertama, anda tidak berbakat jadi mempergunakan simpati pengundi untuk kekal ke peringkat akhir dan seterusnya dianggap mengkhianat peserta yang berbakat. Anda tidak tahan lagi berada di Akademi Fantasia, anda rindukan keluarga dan oleh itu pengundi-pengundi akan mengeluarkan anda dari Akademi Fantasia.

Jadi apa tindakan anda sekiranya anda menjadi pelajar di Akademi Fantasia?


Sekiranya anda ketinggalan mengikuti siri Tips Menjadi Juara Akademi Fantasia yang sebelumnya, silalah semak di carian Google blog ini atau klik pada label atau kategori Tips Juara AF di bawah entri ini.

Selasa, Jun 24, 2008

Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 2


Jangan Jadi Watak Murahan

Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Saya ingin maklumkan kepada semua pembaca bahawa artikel dalam siri Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia ini ditulis berdasarkan pemerhatian saya sendiri (Amiene Rev) mengenai Akademi Fantasia. Sebarang penciplakan atau siar semula tanpa izin tidak akan dimaafkan. Lebih-lebih lagi apabila tidak ada disertakan kredit hakcipta bagi penulis asal iaitu saya (Amiene Rev) di bahagian sumber rujukan.

Berbalik kepada topik asal artikel ini, iaitu "Jangan Jadi Watak Murahan" kalau mahu jadi Juara Akademi Fantasia.

Salah satu sifat yang boleh membuatkan seseorang pelajar Akademi Fantasia itu sering mendapat undian yang rendah biarpun dirinya berbakat, adalah dari segi pergaulan sosialnya yang boleh menimbulkan rasa meluat di kalangan para pengundi.

Sifat apakah yang menyebabkan seseorang peserta Akademi Fantasia itu dibenci atau tidak popular di kalangan pengundi. Ya, sifat 'gedik', atau menggoda. Sifat tidak setia atau mudah beralih arah kepada pelajar lain selepas kehilangan seorang pelajar.

Saya bagi gambaran berikut sebagai contoh:

Balakis adalah seorang gadis yang suka mendekati Alfian. Dia didapati sangat rapat dengan Alfian dan tidak begitu rapat atau dingin dengan peserta lain. Suatu minggu, Alfian tersingkir. Selepas ketiadaan Alfian, barulah Balakis mula bergaul dengan seorang pelajar yang lain pula. Katakan Udin. Dalam kes ini, Balakis dilihat sebagai seorang yang mendekati sesuatu kerana faktor kepentingan untuk diri sendiri.

Balakis tidak mendekati Udin sebelum ini. Selepas ketiadaan Alfian, tiba-tiba sahaja dia rapat dengan Udin. Kebanyakan pengundi tidak boleh menerima kenyataan ini, dan akan menganggap Balakis sebagai seorang yang mudah bertukar-tukar pasangan atau teman. Tidak setia.

Dalam kes ini, biarpun Balakis berbakat, tetapi kerana sikap "ada emas, kayu dilupakan, tidak ada emas, baru kayu dihargai" itulah menyebabkan api kemarahan pengundi semakin marak dan Balakis sudah pasti tidak akan menjadi juara.

Dalam dunia nyata pun, kalau anda berlaku sedemikian rupa, orang pun tak suka.

Selasa, Jun 17, 2008

Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 1


Elakkan Sifat Tunjuk Pandai

atau Rasa Diri Sudah Jadi Superstar
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sebagai seorang peserta Akademi Fantasia, anda perlu tahu Akademi Fantasia adalah sebuah rancangan realiti di mana para peserta yang terpilih bukanlah peserta yang hebat-hebat. Akademi Fantasia bukanlah seperti Malaysian Idol, Gangstarz dan seumpamanya yang sememangnya khusus untuk mereka yang sedia berbakat. Saya melihat bagaimana Ramli MS mencipta Akademi Fantasia sebagai sebuah akademi. Bakat bukan perkara utama dalam Akademi Fantasia tetapi, kegigihan, sifat hormat-menghormati, tekun belajar, jujur dan ikhlas dalam menghiburkan para pengajar, pengkritik dan penonton merupakan perkara penting yang perlu disempurnakan oleh para pelajar Akademi Fantasia.

Tips-tips yang ditulis oleh saya (Amiene Rev) ini juga barangkali sesuai untuk rancangan realiti selain Akademi Fantasia juga. Semoga apa yang saya tulis ini dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang bercadang menyertai apa-apa rancangan realiti TV. Saya juga berharap janganlah ada sesiapa yang menciplak artikel-artikel saya, tidak menyertakan sumber asal (iaitu kredit kepada saya selaku penulisnya). Saya tak tahulah sebab apa ada orang suka ciplak-menciplak ni. Hormatlah hakcipta penulisan orang lain ya? Tapi takkanlah sebab ada orang ciplak penulisan saya, saya pun merajuk tak nak menulis lagi. Itu tak patut berlaku sebab seekor penciplak, satu blog ditinggalkan terus sebab merajuk. Hormat penulis asal ya? Tak mahu ada ciplak-ciplak lagi ya?

Berbalik kepada topik asal: Anda adalah pelajar. Jika anda berbakat, tonjolkan bakat anda selaku anda seorang pelajar, selaku anda seorang murid yang berusaha gigih untuk memenuhi kehendak tugasan yang diberikan.

Keyakinan itu perlu ada, tetapi jangan tonjolkan diri anda sebagai seorang yang memandang rendah tugasan diberikan (walaupun anda memang berbakat).

Stacy, seorang pelajar Akademi Fantasia yang memiliki bakat yang hebat tetapi imejnya merendah diri. Saya rasa Stacy merupakan pelajar wanita paling menonjol dari segi bakatnya setakat ini dan saya juga tahu Stacy ada pengalaman dalam Gangstarz.

Perhatikan 'trademark' Stacy. "Wah, terlebih sudah!"

'Trademark' yang digunakan oleh Stacy ini menunjukkan dirinya sentiasa beringat-ingat supaya tidak berlebih-lebihan dalam menonjolkan diri semasa membuat persembahan. Hasilnya kita lihat semua persembahan Stacy boleh dikatakan seimbang, semula jadi dan asli. Saya tidak nampak sebarang tindakan yang dibuat-buat melainkan yang asli sahaja daripada Stacy.

Barangkali, pencipta dan penulis lirik lagu "Aku Stacy" sedar akan sifat semulajadi yang ada dalam diri Stacy semasa membuat persembahan, maka mereka mencipta lagu yang diberi judul "Aku Stacy!"

Memang tepat sekali! Lagu ini mencerminkan Stacy sebagai Stacy, seorang yang berbakat besar dalam bidang hiburan, boleh menari, boleh menyanyi, tetapi memiliki sifat sederhana dan tidak berlebih-lebihan dari segi kata-kata atau pun tindakan kelakuan.

Ini, memang ciri-ciri Juara. Tidak hairan juga kenapa Toi boleh bertahan sehingga ke pertandingan akhir, sebab Toi juga ada ciri-ciri bersahaja.

Pendek kata, bakat memungkinkan anda layak ke final, tetapi ingat, anda adalah peserta Akademi Fantasia yang perlu memenangi hati pengundi. Anda perlu ada sifat bersahaja dan bersederhana seperti Stacy, Toi dan juga Mawi.

Jumpa lagi dalam Siri ke-2 Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia pada masa akan datang!