BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Kajian Geografi Tempatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajian Geografi Tempatan. Papar semua catatan

Ahad, November 12, 2006

Contoh Penulisan Folio Kajian Sejarah Tempatan

Penulisan, esei atau karangan Folio atau Kajian Sejarah Tempatan biasanya memerlukan isi-isi seperti berikut:

1. Latar belakang peristiwa:
  • Nama peristiwa
  • Nama lain (sekiranya ada)
  • Tarikh,masa dan tempat
  • Pihak yang terlibat
2. Sebab-sebab peristiwa itu berlaku.
3. Catatan peristiwa mengikut kronologi.
4. Kesan daripada peristiwa tersebut.
5. Unsur-unsur patriotisme tentang tajuk yang dikaji dan lain-lain.
6. Iktibar kepada diri,bangsa dan negara.
7. Rujukan

Folio ini juga meminta bahan-bahan rujukan seperti gambar foto, peta dan salinan dokumen sejarah.

Kali ini apa kata kita lihat contoh penulisan, esei atau karangan berkaitan dengan folio sejarah . Di bawah ini terdapat beberapa contoh esei karangan sejarah yang dikirimkan oleh beberapa orang anonymous.


Contoh Karangan Esei Sejarah: Sebab-Sebab Kemerdekaan

Salah satu sebab yang membawa kepada Kemerdekaan Tanah Melayu ialah pengenalan Sistem Ahli. Untuk membina sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan suatu perkara yang bukan mudah untuk dilakukan. Sejak sebelum merdeka lagi, pihak British telah memberi latihan untuk mentadbir negara kepada penduduk tempatan supaya mereka mampu berkerajaan sendiri.

Pembinaan sebuah negara dan bangsa yang merdeka melibatkan rundingan dan kerjasama antara pemimpin terdahulu dengan pihak tertentu untuk menentukan hala tuju negara kita. Sistem ahli dilaksanakan pada bulan Januari 1951 sehingga bulan Jun 1955, iaitu sebelum pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) yang diadakan pada bulan Julai 1955.

Tujuan Sistem Ahli ditubuhkan adalah untuk melatih penduduk tempatan dan juga kaum lain menerajui Tanah Melayu. Idea penubuhan Sistem Ahli ini telah disuarakan oleh Dato’ Onn Ja’afar dalam perbincangannya dengan Sir Henry di Kuala Lumpur. Mengikut cadangan Sir Henry, model yang telah dilaksanakan di negara Kenya dan Rhodesia Utara juga boleh dilaksanakan di Tanah Melayu.

Cadangan ini bertepatan dengan hasrat British untuk menjalankan dasar dekolonisasi, iaitu dasar pemberian bantuan ke arah berkerajaan sendiri secara beransur-ansur kepada tanah jajahan. Ahli-ahli yang dilantik untuk menganggotai Sistem Ahli diberi tugas menjana satu portfolio yang mengandungi beberapa buah jabatan kerajaan. Mereka diberi tanggungjawab menguruskan pentadbiran harian jabatan tersebut mengikut dasar-dasar yang tersedia. Mereka juga bertanggungjawab mencadangkan undang-undan yang berkaitan dengan jabatannya untuk dibentangkan dalam Majlis Perundangan Persekutuan (MPP).

Untuk menyediakan cadangan undang-undang tersebut, Ahli akan berbincang dengan pegawai kanan British untuk mendapatkan persetujuan bersama. Pesuruhjaya Tinggi juga terlibat dengan memberi arahan dan persetujuan dalam perkara-perkara yang dibincangkan. Walau bagaimanapun, pada kebiasaannya cadangan undang-undang itu merupakan pendirian pentadbiran British. Sistem Ahli merupakan tapak asas yang penting untuk melatih penduduk ke arah berkerajaan sendiri. Sistem Ahli terdiri daripada ahli-ahli gabungan pemimpin pelbagai kaum di negara ini telah memulakan proses perpaduan kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, Sistem Ahli telah memberi pendedahan yang berguna kepada penduduk tempatan untuk belajar mentadbir dan menerajui kerajaan apabila merdeka kelak.

Sebab kedua yang membawa kepada kemerdekaan negara ialah pakatan murni. Sebelum penubuhan Perikatan, terdapat beberapa usaha yang dilakukan untuk mengadakan pakatan murni di kalangan penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Pakatan ini adalah penting kerana ia akan menyatukan semua kaum yang terdapat di Tanah Melayu.

Pakatan murni merupakan suatu usaha semua di Tanah Melayu menghasilkan satu kerjasama dan tolak ansur politik melalui rundingan. Setiap kaum mempunyai tuntutan yang berbeza dan masalah yang tersendiri. Penubuhan pakatan murni merupakan suatu jalan penyelesaian untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini yang sebelum ini dipisahkan oleh ‘dasar pecah dan perintah’ oleh penjajah British.

Langkah pertama yang diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) pada bulan Januari 1949 di Pulau Pinang. CLC pada peringkat permulaan hanya dianggotai oleh dua kaum terbesar iaitu Melayu dan Cina. Orang Melayu bernaung di bawah UMNO yang diketuai oleh Dato’ Onn bin Ja’afar dan MCA diterajui oleh Tan Cheng lock, Penubuhan CLC adalah titik permulaan kerjasama kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Menurut Dato’ Onn bin Ja’afar, perpaduan antara kaum menjadi asas kemerdekaan Tanah Melayu.

Langkah kedua ialah pembukaan keahlian UMNO kepada bukan Melayu pada tahun 1951 yang dicadangkan oleh Dato’ Onn bin Ja’afar. Walau bagaimanapun, tindakan beliau dikecam hebat oleh masyarakat Melayu kerana mereka enggan berkompromi.

Langkah ketiga ialah penubuhan Parti Kemerdekaan Malaya oleh Dato’ Onn bin Ja’afar. Beliau menggunakan konsep kerjasama kaum dalam sebuah parti dan IMP terbuka kepada semua kaum. IMP gagal mendapat sambutan masyarakat Tanah Melayu masih mengasingkan diri mereka sebagai orang Melayu, Cina dan India.

Langkah seterusnya penubuhan Persidangan Nasional yang bertujuan untuk mencapai kerjasama politik bagi mengurangkan perasaan perkauman. Kerjasama UMNO-MIC terbentuk apabila British menyuarakan akan mengadakan Pilihan Raya Perbadanan Kuala Lumpur pada bulan Februari 1952. Kerjasama antara UMNO Kuala Lumpur dengan MCA Selangor telah diusahakan oleh Dato’ Yahya Abdul Razak dan Ong Yoke Lin. Dalam pilihan raya tersebut, gabungan UMNO-MIC telah memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Gabungan UMNO-MIC juga telah memenangi 26 kerusi daripada 37 kerusi yang dipertandingkan di beberapa Bandar utama.

Pada pilihan raya negeri tahun 1954, Parti Perikatan telah memenangi 226 daripada 268 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini membuktikan permuafakatan kaum dalam pelbagai parti dapat diterima oleh penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Kerjasama ini akhirnya membawa kepada penubuhan Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1955. pada tahun 1954, British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Raya dalam Majlis Perundangan Persekutuan (MPP). Jawatankuasa ini dianggotai oleh pemimpin parti politik seperti Parti Negara, UMNO, MCA, MIC dan beberapa orang pegawai tinggi British.

Jawatankuasa ini telah mencadangkan 52 kerusi dipilih melalui pilihan raya dan 48 ahli MPP dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) tekah diadakan pada 27 Julai 1955 dan Parti Perikatan telah menyertai pilihan raya tersebut.

Manifesto yang digunakan oleh Parti Perikatan ialah untuk mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun. Mewajibkan pendidikan. Menjadikan perkhidmatan awam bercorak tempatan. Menjaga hak asasi manusia. Melindungi hak Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan. Keputusan pilihan raya 1955 ialah, Parti Perikatan telah memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan Parti Persatuan Islam Se-Tanah Malaya (PAS) telah memenangi satu kerusi.

Kemenangan yang amat cemerlang oleh Parti Perikatan telah membolehkan Tunku Abdul Rahman, Ketua Parti Perikatan menjadi Ketua Menteri dan membentuk kabinet. Anggota kabinet yang ditubuhkan terdiri daripada pelbagai kaum dan berfungsi sehingga kemerdekaan dicapai.

Dengan kemenangan besar yang diperolehi oleh Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955, maka Pemuda UMNO telah mendesak Tunku Abdul Rahman supaya menuntu kemerdekaan dari kerajaan British. Tarikh 31 Ogos 1957 dicadangkan sebagai hari pengisytiharan. Apabila setiausaha Tanah Jajahan Inggeris, iaitu Alan Lennox Boyd dating ke Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1955, Tunku telah menyampaikan hasrat rakyat negara ini untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British. Alen Lennox Boyd memberi jaminan bahawa beliau sanggup merundingkan tentang perkara tersebut di London pada awal tahun 1956.

Apabila Majlis Raja-raja mengadakan persidangannya pada September 1955, Tunku Abdul Rahman telah memaklumkan perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja. Semua raja-raja bersetuju supaya satu perundingan diadakan dengan pihak British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.



Contoh Karangan Esei Sejarah: Latar Belakang Peristiwa Kemerdekaan

Detik yang paling bermakna dan amat penting kepada Persekutuan Tanah Melayu ialah pemasyhuran kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dengan pemasyhuran kemerdekaan ini,bererti persekutuan tanah melayu telah dibebaskan daripada penjajahan British untuk selama-lamanya.pemashyuran kemerdekaan dibuat tepat pada pukul 12 tengah malam pada 31 Ogos 1957 di hadapan Padang Kelab Selangor,Kuala Lumpur.Bendera Union Jack telah diturunkan dan sejurus kemudian,Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh beberapa orang pemuda UMNO. Peristiwa menurunkan bendera Union Jack yang penuh bersejarah ini disaksikan oleh ribuan rakyat negara ini.

Setelah bendera Union Jack mencecah bumi, orang ramai bersorak dengan tepukan gemuruh dan penuh kegembiraan. Rakyat dengan nada bergema melaungkan ‘merdeka’ yang menandakan kemenangan rakyat terlepas daripada belenggu penjajah. Bendera Persekutuan Tanah Melayu kemudian berkibar megah di puncak tiang. Rakyat berasa bangga menyaksikan peristiwa ini. Pada jam 9.30 pagi, 31 Ogos,1957 bermula dengan nama Allah dan segala pujian bagiNya serta selawat dan salam ke atas para Rasul, Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah membacakan Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, di hadapan dua puluh ribu rakyat. Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari tiga puluh negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya.

Stadium Merdeka adalah bangunan negara yang dibina khas untuk melahirkan identiti kebangsaan kepada negara yang merdeka. Orang ramai memenuhi setiap tempat duduk di stadium itu yang menyaksikan peristiwa pemasyhuran tersebut. Raja-raja Melayu pula yang berpakaian songket berkilau, berseri-seri, dipayungi dengan paying diraja. Mereka duduk berbaris bersemayam di pentas khas. Wakil Ratu Elizabeth, Duke of Wellington telah bersedia dengan Dokumen Penyerahan Kuasa tersebut. Upacara dimulakan dengan ucapan wakil Baginda Ratu England. Kemudian, beliau menyerahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan kepada Yang di Pertuan Agong, ketua negara Persekutuan Tanah Melayu.

Dengan penyerahan dokumen pengisytiharan kemerdekaan tersebut, ini menandakan pemulangan semula kuasa politik negara kepada pemerintah tempatan setelah dikuasai oleh penjajah hampir selama 446 tahun. Pemulangan kuasa ini dilakukan dengan penuh tertib. Ketua Kerajaan Perikatan yang bakal menjadi Perdana Menteri pertama negara, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra telah membaca pengisytiharan kemerdekaan itu dengan lantang sekali. Beliau dengan penuh bersemangat melaungkan seruan ‘merdeka’ ! Sebanyak tujuh kali. Laungan ini disambut dengan laungan ‘merdeka’ oleh para hadirin. Laungan keramat ini bergema memenuhi ruang stadium. Rakyat Tanah Melayu sungguh bersemangat dan gembira setelah berjaya melepaskan diri daripada penjajahan kuasa asing


Contoh Esei Karangan Sejarah Elemen 3

Sebagai rakyat Malaysia, harus menghargai kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al – Haj. Hal ini boleh disaksikan melalui pengamalan nilai – nilai murni. Hal ini, boleh melahirkan warganegara yang berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Saya menghormati raja dan pemimpin negara serta menghargai jasa dan perjuangan tokoh – tokoh negara. Saya juga menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara dengan cara menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa kita. Saya amat berbangga dengan sejarah negara kita.

Saya juga bersemangat setia negara supaya peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara. Saya bersyukur kerana menjadi warganegara Malaysia ,sebuah negara yang aman damai. Selain itu, rasa cinta akan bangsa,negara dan taat serta setia kepada raja dan pemimpin negara haruslah ada dalam diri kita. Kita wajar mempamerkan sikap bertanggungjawab kepada bangsa dan negara di samping berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.

Kita mestilah bersemangat kekitaan mengamalkan sikap bersatu padu dan berharmoni serta bertolak ansur selain bertolerasi sesama sendiri. Kita haruslah bekerjasama dan tolong – menolong serta hormat – menghormati antara satu sama lain. Selain itu, kita mestilah bersefahaman dan bermuafakat. Muhibah dan semangat bermasyarakat mesti ada pada diri kita.

Saya berdisiplin berakhlak dan dan berbudi pekerti mulia serta mempertahankan dan menjunjung Perlembangaan Negara, selalu mematuhi peraturan dan undang – undang negara yang disediakan oleh pemimpin dan kerajaan. Saya juga selalu berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi serta bertindak dengan sewajarnya. Saya juga mesti bersifat amanah dan jujur dan berlaku adil dan bertimbang rasa terhadap orang lain.

Selain itu, saya juga harus berusaha dan produktif seperti rajin dan gigih dalam sesuatu pekerjaan. Saya juga mesti berdikari, tabah menghadapi cabaran dan menyokong dan serta melibatkan diri dalam usaha pembangunan negara.

Contoh Kaedah Kajian Sejarah atau Geografi Tempatan

PANDUAN KAEDAH KAJIAN DAN CONTOH-CONTOH TINDAKAN / AKTIVITI YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU DAN PELAJAR SEMASA MELAKUKAN KAEDAH-KAEDAH KAJIAN

Kaedah utama kajian yang digunakan dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan ialah:
  • Temuramah
  • Lawatan dan pemerhatian
  • Analisis dokumen atau artifak


A. Kaedah Temuramah

Definisi:
Temuramah merupakan salah satu kaedah tinjauan dalam penyelidikan. Ia melibatkan pertemuan pertemuan pengkaji dengan responden (orang sumber) untuk mendapatkan maklumat. Dalam mendapatkan maklumat, Pengkaji mestilah menyediakan satu instrumen (alat kajian). Alat kajian ini terdiri daripada soalan-soalan yang disediakan oleh pengkaji dan diaju serta dijawab secara lisan.



Persediaan Awal - Sebelum Melakukan Temuramah:

Tindakan Guru:
  • Mengenal pasti orang sumber
  • Membuat temu janji dengan orang sumber
  • Membimbing pelajar membina item-item soalan diikuti dengan penerangan tentang soalan tambahan.
  • Membantu pelajar menyediakan peralatan seperti pita rakaman, pita video, kamera dan alat tulis.
  • Menyemak dan membetulkan draf soalan yang disediakan oleh pelajar.
  • Membantu pelajar membentuk kumpulan.

Tindakan Pelajar:
  • Memilih tajuk kajian.
  • Membentuk kumpulan masing-masing.
  • Mengagihkan tugas mengikut kumpulan.
  • Membina soalan temuramah.
  • Mengenal pasti bahan yang sesuai.
  • Menyediakan buku catatan aktiviti/senarai semak.
  • Membuat rujukan untuk mendapatkan maklumat awal tentang orang sumber.
  • Memperbaiki soalan temuramah selepas diperbetulakn oleh guru.



Soalan Temuramah

Temuramah hendaklah dijalankan dalam bentuk perbualan dan dalam suasana mesra, mengikut situasi dan keadaan serta orang sumber yang ditemuramah.

Soalan-soalan temuramah boleh dibina berdasarkan perkara berikut:
  • Nama penuh.
  • Tarikh dan tempat lahir.
  • Latar belakang keluarga.
  • Latar belakang pendidikan dan pengalaman.
  • Sumbangan-sumbangan penting terhadap sekolah.
  • Sumbangan-sumbangan terhadap masyarakat setempat/sekeliling sekolah.
  • Visi dan falsafah hidup.
  • Sifat-sifat istimewa.
  • Anugerah / sijil penghargaan


Proses Temuramah

Berikut adalah panduan tatacara yang boleh membantu pelajar dalam sesi temuramah:
  • Menemui orang sumber secara berkumpulan di tempat dan masa yang ditetapkan.
  • Mengemukakan soalan-soalan kepada orang sumber.
  • Mendapat maklumat dari orang sumber sama ada secara bertulis atau rakaman kaset.
  • Mengemukakan soalan-soalan susulan secara spontan jika sekiranya orang sumber tidak dapat memberi maklumat dengan tepat kepada soalan asal yang dikemukakan.
  • Merekod dan merakam dan mengambil gambar semasa sesi temuramah.
  • Mendapatkan tandatangan orang sumber bagi mengesahkan temuramah di dalam buku catatan aktiviti pelajar.
  • Menunjukkan sopan santun, budi bahasa dan mematuhi peraturan-peraturan dan tatacara ketika menjalankan temuramah.

Menyusun dan menganalisis maklumat
  • Menyusun maklumat mengikut aspek-aspek yang dikaji.
  • Membincang mengenai maklumat yang telah disusun dengan ahli kumpulan.
  • Menganalisis fakta-fakta kajian.

Menyediakan Laporan
  • Menulis draf laporan kajian yang telah dijalankan.
  • Guru menyemak draf laporan.
  • Memperbaiki hasil laporan setelah disemak oleh guru.


B. Kaedah Lawatan dan Pemerhatian

Definisi:
Lawatan dan pemerhatian adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat memberi peluang kepada pelajar memerhati dan mengkaji sesuatu secara langsung di luar bilik darjah. Dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan, pelajar boleh membuat lawatan dan pemerhatian semasa menjalankan kajian tentang asal usul nama tempat/nama jalan, bangunan dan tempat bersejarah, pertumbuhan dan perkembangan penduduk, perkembangan infrastruktur dan kemudahan asas, peristiwa bersejarah, tradisi setempat, lagenda dan cerita rakyat serta pentadbiran setempat. Sebaik-baiknya lawatan dan pemerhatian dibuat di dalam kumpulan.



Persediaan Guru
  • Guru membuat tinjauan atau penyelidikan ke tempat yang hendak dilawati untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu bagi memastikan matlamat Kajian Sejarah Tempat yang dirancang dapat dicapai.
  • Guru membantu pelajar merancang lawatan dan pemerhatian. Butir-butir yang lengkap mengenai law atan dan pemerhatian itu hendaklah diusahakan oleh guru terlebih dahulu seperti menetapkan tarikh, masa dan pengangkutan.
  • Pelajar perlu dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Pembahagian tugas kepada pelajar juga perlulah ditentukan seperti melakar, memerhati, mengumpul risalah dan membuat catatan.
  • Pelajar juga perlu dibimbing untuk membina soalan-soalan sebelum lawatan dan pemerhatian dijalankan. Soalan-soalan ini hendaklah dapat mencungkil maklumat yang akan menjurus kepada tajuk yang dikaji.



Kaedah Analisis Dokumen

Pelbagai dokumen boleh digunakan bagi mendapatkan maklumat dalam masa menjalankan Kajian Sejarah Tempatan. Ini termasuklah dokumen sumber pertama dan sumber kedua. Surat-surat perjanjian, sijil lahir, sijil nikah, catatan, gambar, peta, surat khabar, majalah, buku log, rekod, mata wang, risalah dan sebagainya. Guru perlu membimbing pelajar mencungkil maklumat daripada dokumen semasa menjalankan KST.

Di Tingakatan 1, pelajar akan menganalisis dokumen seperti sijil lahir, sijil mati, sijil nikah, kad pengenalan, sijil perhargaan dan sebagainya semasa pelajar dan sebagainya semasa pelajar menjalankan kajian tentang sejarah diri dan keluarga.

Bagi tajuk Sejarah Sekolah pula, pelajar perlu menganalisis fail-fail yang mengandungi rekod-rekod tentang semua perkara yang berhubung dengan sekolah seperti fail PIBG, rekod kemasukan pelajar, rekod tentang guru dan Pengetua dan kelab/persatuan yang wujud di sekolah itu.

Begitu juga dengan dokumen ini membolehkan pelajar melihat dan mengkaji sumber pertama, meyakinkan pelajar tentang ketepatan fakta yang dikemukakan, dapat memahami sesuatu peristiwa dengan lebih bermakna dan dapat meningkatkan kemahiran mentafsir, menganalisis, menilai, membuat perbandingan dan merumus fakta sejarah.

Dokumen ini diperolehi daripada Arkib Negara, Muzium Negeri, Muziun Negara dan orang perseorangan.



SUMBER: BUKU PANDUAN KAJIAN SEJARAH TEMPATAN SEKOLAH MENENGAH RENDAH PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2002

Menguji Potensi Murid Menerusi Kajian Geografi Tempatan

Menerusi Kajian Tempatan iaitu sama ada Sejarah atau Geografi, perkara yang diuji ke atas murid-murid adalah seperti berikut:

  • Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif
  • Penguasaan Pembelajaran
  • Strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran pelbagai mata pelajaran di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah
  • Pengukuran Kebolehan Intelek dan Potensi Pelajar
  • Kemahiran Generik

Folio Kajian Geografi Tempatan

Apakah Kajian Geografi Tempatan?

Ramai orang ingin tahu rahsia untuk membuat folio Kajian Geografi Tempatan (KGT) dengan baik. Bagaimana cara untuk mendapat gred A atau markah yang tinggi atau markah penuh dalam Folio Kajian Geografi Tempatan? Ikutilah panduan guru yang mengajar subjek ini.

Ramai juga yang bertanya, bagaimana dan di mana para pelajar boleh mendapatkan contoh folio Kajian Geografi Tempatan. Untuk tujuan ini, para pelajar boleh melayari laman web Dragonizer.


Keperluan Kajian Geografi Tempatan

Kajian Geografi Tempatan memerlukan murid menjalankan kajian di kawasan yang dipilih. Kajian berfokus kepada ciri-ciri geografi di kawasan kajian selaras dengan tema yang dipelajari mengikut peringkat pembelajaran atau isu-isu geografi semasa.

Huraian: Setiap tajuk mempunyai tema yang tersendiri. Contohnya tajuk Dinamik Penduduk. Adik-adik perlu mengenalpasti taburan penduduk (boleh dibuat pemetaan rumah-rumah) untuk mengetahui kepadatan penduduk di lokasi kajian.

Selain itu, adik-adik juga perlu mengetahui pergerakan atau aktiviti penduduk sebagai tindak balas terhadap faktor ekonomi, politik, sosial dan fizikal. Maksudnya, adik-adik perlu menerangkan kenapa di laut, ramai penduduk bekerja sebagai nelayan, di kawasan hutan, kenapa ramai yang bercucuk tanam dan sebagainya.

Adik-adik juga perlu menerangkan perubahan penduduk dan implikasinya terhadap keperluan penduduk. Ini berkaitan dengan soal pekerjaan juga. Apabila ramai orang mahu bekerja kilang, apakah yang berlaku terhadap aktiviti pertanian di lokasi kajian, contohnya.

Juga kesan perubahan penduduk terhadap alam sekitar. Contohnya, ramai penduduk meneroka hutan, menebang pokok balak. Apakah kesannya terhadap cuaca dan sungai? Sebab kawasan hutan sebagai tadahan hujan telah diterokai. Begitulah seterusnya.


Tujuan Kajian Geografi Tempatan

Kajian juga bertujuan meluaskan persepsi murid terhadap persekitaran dan penguasaan Kemahiran Geografi. Murid dapat mengaplikasi pengetahuan geografi dalam kajian yang dijalankan.


Penekanan Dibuat Semasa Melaksanakan Kajian Geografi Tempatan

Semasa merancang dan melaksanakan kajian, tumpuan perlu diberikan kepada pengembangan dan penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin kompleks.

Huraian: Sebagai seorang pelajar sekolah, kemahiran berfikir adik-adik diuji menerusi KGT ini. Galakkan kata kunci seperti apa, bila, bagaimana, kenapa dan bagaimana tercetus di minda adik-adik. Kaitkan setiap objek atau subjek yang adik kaji dengan perkara lain. Contohnya, kenapa tanah di sini subur? Kaitkan dengan faktor cuaca, lokasi, bentuk muka bumi dan sebagainya. Kemahiran belajar pula merujuk kepada teknik-teknik atau kaedah pembelajaran yang digunakan. Adakah tindakan yang diambil sesuai dan dapat meningkatkan peluang adik-adik untuk memahami sesuatu perkara yang dikaji.


Kepelbagaian kecerdasan murid perlu diambil kira bagi memperkukuh dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang peka kepada isu atau permasalahan yang berlaku dan mampu membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalkannya ke arah keharmonian dan kecemerlangan hidup.

Huraian: KGT menguji pelbagai aspek kecerdasan, antaranya:

  • Kecerdasan logik: Kemahiran berfikir secara logik. Adik-adik perlu berfikir secara logik untuk setiap perkara yang dicetuskan dan langkah-langkah penyelesaian yang diambil untuk masalah-masalah yang timbul semasa melaksanakan KGT. Juga memikirkan sebab dan punca berlakunya sesuatu perkara, secara logik.
  • Kecerdasan verbal: Kemahiran berbahasa dan menulis. Adik-adik perlu menggunakan bahasa dan karangan dengan betul semasa menulis laporan kajian. Juga bagaimana adik-adik menyusun perkataan untuk diucapkan atau ditulis bagi menyampaikan mesej dan makna bagi sesuatu perkara.
  • Kecerdasan interpersonal: Kemahiran sosial dan berinteraksi dengan orang lain. Bagaimana adik mahu berdepan, mengadakan temubual dengan masyarakat sekitar. Cara adik-adik bertanyakan soalan dan sebagainya.
  • Kecerdasan intrapersonal: Motivasi dalaman. Keyakinan diri. Ketabahan. Rajin. Kejujuran. Minat. Kesabaran dan apa-apa yang berkaitan dengan cara adik-adik mengenali diri adik-adik. Adik-adik perlu tunjukkan yang adik-adik bersemangat, rajin dan berminat untuk menjalankan KGT.
  • Kecerdasan naturalis: Adik-adik perlu bijak memahami keadaan semula jadi adik-adik. Fahami tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman. Bentuk muka bumi. Tanah-tanih. Sungai, tasik, laut, kolam dan sebagainya.
  • Kecerdasan spatial: Adik-adik perlu pandai membuat gambaran secara visual (imej) mengenai lokasi kajian adik-adik. Membuat pemetaan, pelan dan sebagainya.

Di samping itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dikuasai oleh murid supaya mereka menjadi generasi yang celik teknologi serta dapat memanfaatkanya dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan hidup bersama.

Huraian: KGT akan lebih mudah apabila adik-adik tahu dan pandai menggunakan internet. Jangan terhad kepada penggunaan yahoo.com atau google.com semata-mata. Adik-adik juga boleh menggunakan web carian yang lain seperti metacrawler.com atau savvysearch.com atau lycos.com.


Format penulisan laporan
  1. Tajuk kajian
  2. Senarai kandungan - Isi kandungan dan muka surat
  3. Penghargaan - Terima kasih kepada orang-orang yang telah membantu anda dalam melaksanakan dan menyelesaikan KGT.
  4. Pendahuluan - Pengenalan mengenai KGT dan tajuk kajian yang dibuat.
  5. Objektif kajian - Matlamat atau tujuan yang ingin dicapai menerusi kajian ini. Biasanya ada di dalam buku teks. Berkaitan dengan kaedah kajian.
  6. Kawasan kajian - Lokasi kajian dijalankan atau skop kawasan kajian. Terangkan ciri-ciri seperti bentuk muka bumi, tanah tanih, kelembapan, hujan, tanaman, cuaca, suhu, taburan penduduk dan sebagainya.
  7. Kaedah kajian - Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian, sama ada temubual, pemerhatian, soal selidik dan sebagainya.
  8. Hasil kajian - Data, maklumat, graf, peta, gambar, carta, jadual dan sebagainya.
  9. Rumusan - Kesimpulan yang dapat dibuat berkaitan dengan perkara yang telah dikaji.
  10. Lampiran - bahan-bahan tambahan yang berkaitan dengan kajian, artikel, keratan akhbar dan sebagainya.
  11. Rujukan - daripada mana bahan-bahan kajian diperolehi, namakan buku, orang perseorangan atau laman web yang digunakan.


Huraian berdasarkan sumber yang dirujuk daripada Sukatan Pelajaran KBSM Geografi PPKK KPM 2000

Sabtu, Mei 07, 2005

Jaringan Sistem Pengangkutan - Kerja Kursus Geografi

Antara kehendak tugasan bagi KERJA KURSUS GEOGRAFI 2008 adalah seperti berikut:

TUGASAN 1 : JARINGAN SISTEM PENGANGKUTAN

Calon dikehendaki menjalankan satu kajian tentang jaringan sistem pengangkutan di kawasan kajian dan membandingkannya dengan negara lain.

Kajian tersebut mesti merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Jenis-jenis sistem pengangkutan.
  • Faktor-faktor yang mempengaruhi jaringan sistem pengangkutan.
  • Kepentingan jaringan sistem pengangkutan.
  • Kesan-kesan perkembangan jaringan sistem pengangkutan terhadap alam sekitar.
  • Langkah-langkah penyelesaian.
  • Jadual data kajian.
  • Grafik.

Nota : Penerapan nilai dan unsur patriotisme dalam dapatan kajian.


-O-

Berikut adalah contoh format Kerja Kursus Sejarah bagi tajuk Jaringan Sistem Pengangkutan yang diusahakan oleh Cikgu Zuraimi bin Mokhtar.

Bagi pertanyaan Adik Lulu yang dipetik dari Forum Dragonizer, iaitu "bagaimana membuat hasil kajian?", sila rujuk pada 6.0 DAPATAN KAJIAN. Dapatan kajian dan hasil kajian adalah sama maksudnya. Semoga entri ini dapat membantu.


-O-

1.0 PENGHARGAAN

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya dalam pengumpulan maklumat sehingga terhasilnya laporan kajian ini. Ucapan terima kasih ini ditujukan khususnya kepada ibu bapa saya yang telah banyak memberi dorongan dan sokongan sepanjang kajian ini dijalankan.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Zuraimi Bin Mokhtar, guru geografi sekolah ini yang telah memberikan panduan, nasihat serta bimbingan sepanjang masa kajian ini telah dijalankan. Tidak lupa juga kepada Tuan Pengetua sekolah yang telah memberi kebenaran untuk menjalankankan kajian ini.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada responden-responden yang sudi ditemubual dan memberi maklumat serta kerjasama sepenuhnya semasa kajian ini dijalankan.

Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan sekelas saya yang telah memberi sokongan dan kerjasama yang sangat membanggakan dalam menyiapkan laporan kajian ini. Semoga kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua.

Terima kasih sekalung budi.


-O-


2.0 PENDAHULUAN

Nama saya -taipkan nama anda- . Saya adalah pelajar tingkatan -taipkan kelas anda- di SMJK Sam Tet Ipoh. Saya menjalankan Kerja Kursus Geografi bertajuk Perbandingan Sistem Jaringan Pengangkutan Di Kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- Dengan Sistem Jaringan Pengangkutan Di Negara -taipkan nama negara yang dibandingkan- untuk memenuhi keperluan dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) bagi matapelajaran geografi.

Saya memilih kawasan –taipkan nama kawasan kajian anda- sebagai kawasan kajian saya adalah kerana saya sudah biasa dengan kawasan ini dan ia dapat memudahkan saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan penduduk di sini. Keluarga saya telah tinggal di kawasan ini selama –taipkan nombor- tahun. Kesemua adik beradik saya telah dilahirkan dan dibesarkan di sini. Saya memilih negara –taipkan nama negara yang dibandingkan- sebagai perbandingan pula kerana saya mempunyai banyak maklumat tentang negara ini yang saya perolehi daripada pembacaan buku serta pencarian maklumat di internet.

Saya telah mengambil masa selama 8 minggu untuk menyiapkan kajian ini. Menerusi kajian ini, saya telah mendapat banyak maklumat yang berguna tentang kegiatan ekonomi yang dijalankan di kawasan tempat tinggal saya serta di negara lain yang menjadi perbandingan. Ini merupakan suatu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan terutama semasa mengumpul dan mendapatkan data serta maklumat untuk kajian ini.


-O-

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Objektif kajian ini dijalankan adalah untuk:

3.1.1 mengenalpasti sekurang-kurangnya 3 jenis pengangkutan yang terdapat di kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- dan di negara -taipkan nama negara yang dibandingkan-

3.1.2 menerangkan sekurang-kurangnya 2 faktor yang mempengaruhi sistem jaringan pengangkutan di kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- dan di negara -taipkan nama negara yang dibandingkan-.

3.1.3 menerangkan sekurang-kurangnya 2 kepentingan sistem jaringan pengangkutan di kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- dan di negara -taipkan nama negara yang dibandingkan-.

3.1.4 menerangkan sekurang-kurangnya 2 kesan perkembangan sistem jaringan pengangkutan terhadap kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- dan di negara -taipkan nama negara yang dibandingkan-.

3.1.5 menerangkan sekurang-kurangnya 2 langkah untuk mengatasi masalah yang timbul akibat perkembangan sistem jaringan pengangkutan terhadap kawasan -taipkan nama kawasan kajian anda- dan di negara -taipkan nama negara yang dibandingkan-.



-O-

6.0 DAPATAN KAJIAN



6.1 PERBANDINGAN JENIS-JENIS PENGANGKUTAN DI KAWASAN ................................ DENGAN KAWASAN DI NEGARA ................................

  • Lukis/Sisipkan peta jaringan pengangkutan di kawasan kajian. (Contohnya peta sistem jaringan jalan raya / lebuh raya / jalan keretapi) dan terangkan tentang sistem jaringan pengangkutan ini.
  • Dapatkan data melalui kaedah pemerhatian atau soal selidik.

v Kaedah pemerhatian : kira berapa jenis pengangkutan yang melalui sebatang jalan di kawasan kajian selama 30 minit dan tulis dalam bentuk jadual dan lukis graf.

atau

v Kaedah soal selidik : Buat borang soal selidik dan berikan kepada 20 orang responden yang tinggal di kawasan kajian untuk mengenalpasti jenis pengangkutan yang mereka ada. Bina jadual dan lukis graf.

Buat perbandingan dengan negara lain yang dipilih. Tuliskan penerapan nilai nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian.



-O-

6.2 FAKTOR - FAKTOR YANG MEMPENGARUHI SISTEM JARINGAN PENGANGKUTAN DI KAWASAN -TAIPKAN NAMA KAWASAN KAJIAN ANDA- DAN DI NEGARA -TAIPKAN NAMA NEGARA YANG DIBANDINGKAN

Pilih dan huraikan 2 daripada faktor-faktor berikut :

  • bentuk muka bumi
  • kegiatan ekonomi
  • kemajuan teknologi
  • keselesaan pengguna
  • governan
  • Dasar Pembangunan Negara (DPN)

Buat perbandingan dengan negara lain yang dipilih. Tuliskan penerapan nilai nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian.



-O-

6.3 KEPENTINGAN SISTEM JARINGAN PENGANGKUTAN DI KAWASAN -TAIPKAN NAMA KAWASAN KAJIAN ANDA- DAN DI NEGARA -TAIPKAN NAMA NEGARA YANG DIBANDINGKAN-.

Pilih dan huraikan 2 daripada kepentingan berikut :

· Ketersampaian

· Perkembangan ekonomi

· mobiliti penduduk

· peningkatan taraf hidup

· keselesaan pengguna

· mengangkut barangan dan bahan mentah

· memajukan pelancongan

Buat perbandingan dengan negara lain yang dipilih. Tuliskan penerapan nilai nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian.


-O-

6.4 KESAN - KESAN PERKEMBANGAN SISTEM JARINGAN PENGANGKUTAN TERHADAP KAWASAN -TAIPKAN NAMA KAWASAN KAJIAN ANDA- DAN DI NEGARA -TAIPKAN NAMA NEGARA YANG DIBANDINGKAN-.

Pilih dan huraikan 2 daripada kesan-kesan berikut :

  • Kesan positif:

- mengurangkan kesesakan lalu lintas

- membantu mengawal alam sekitar

- membantu memelihara alam sekitar

- mewujudkan lanskap yang menarik

- lain-lain

  • Kesan negatif:

- kemalangan

- pencemaran

- kesesakan lalu lintas

- kepupusan flora dan fauna

- tanah runtuh

- lain-lain

Buat perbandingan dengan negara lain yang dipilih. Tuliskan penerapan nilai nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian.



-O-


6.5 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH YANG TIMBUL AKIBAT PERKEMBANGAN SISTEM JARINGAN PENGANGKUTAN TERHADAP KAWASAN -TAIPKAN NAMA KAWASAN KAJIAN ANDA- DAN DI NEGARA -TAIPKAN NAMA NEGARA YANG DIBANDINGKAN-.

Pilih dan huraikan 2 daripada langkah-langkah berikut :

  • Penggunaan alat catalytic converter
  • Penggunaan petrol tanpa plumbum
  • Penggunaan NGV (Neutral Gas Vehicle)
  • Penghijauan bandar
  • Kempen
  • Kenderaan solar / elektrik
  • lain-lain

* Anda boleh menggunakan borang soal selidik untuk mendapat data tentang pendapat penduduk di kawasan kajian anda tentang langkah-langkah tersebut. Data tersebut ditulis dalam bentuk jadual dan graf.

Buat perbandingan dengan negara lain yang dipilih. Tuliskan penerapan nilai nilai dan unsur patriotisme terhadap kawasan kajian.