BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Perubatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perubatan. Papar semua catatan

Ahad, Julai 29, 2012

PENAWAR HIV DITEMUI - MANUSIA PERTAMA SEMBUH AIDS - HIV

Penyakit AIDS atau jangkitan HIV kini boleh disembuhkan dengan cara memindahkan sumsum tulang daripada individu yang kebal terhadap virus HIV kepada pesakit AIDS. Berita ini pasti membuka ruang baru dan harapan bagi pesakit-pesakit AIDS. Artikel di bawah ini akan membincangkan tentang teknik-teknik menyembuhkan penyakit AIDS dan juga mengenai pesakit HIV yang pertama sembuh daripada jangkitan HIV.

Pencarian penawar mutlak HIV
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
Sumber: Kosmo!

TIMOTHY RAY BROWN, 47, menjadi satu-satunya manusia dalam sejarah yang sembuh daripada jangkitan HIV selepas menjalani pembedahan pemindahan sumsum tulang daripada individu yang kebal terhadap virus itu.

Dia disahkan menghidap HIV sekitar tahun 1995 ketika menuntut di Berlin, Jerman dan diberitahu hanya mampu hidup selama dua tahun lagi.

Brown yang terkenal dengan jolokan ‘Berlin Patient’ berasal dari bandar raya Seattle, Washington, Amerika Syarikat (AS). Dia menjadi popular selepas beberapa doktor cuba mengaplikasikan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemia Brown.

Sejak tahun 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan sumsum selepas doktornya, Gero Huetter melakukan ujian ke atas lebih 70 penderma untuk menentukan keserasian mereka dengan Brown. Penderma itu juga menunjukkan keputusan negatif dalam ujian HIV.

“Saya disembuhkan daripada HIV. Dahulu saya mempunyai HIV, tetapi kini tidak lagi. Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati. Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV,” kata Brown.

Kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia membolehkan jangkitan HIV yang dihidap berjuta-juta penduduk dunia dirawat.

Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada tahun 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.

Gen CCR5


KIRA-KIRA 34 juta pesakit HIV/AIDS di seluruh dunia terus menanti ubat yang boleh menyembuhkan mereka secara mutlak.

Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia manakala darahnya mengandungi bakteria beracun.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Huetter, mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan sumsum tulang dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi reseptor chemokine C-C jenis 5 (CCR5).

Mereka yang ada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut.

Namun, manusia yang mempunyai gen CCR5 jarang ditemui. Dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia khususnya mereka yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.

Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu. Prosedur itu berjaya dan Brown didapati bebas daripada kuman maut itu.

Brown pada Selasa lalu mengumumkan pelancaran Yayasan Timothy Ray Brown untuk meningkatkan penyelidikan ubat-ubatan di Washington, ketika AS menjadi tuan rumah kepada mesyuarat saintifik terbesar di dunia mengenai HIV/AIDS.

“Pada dasarnya saya merancang mencari penderma bagi mendapatkan dana untuk membantu penyelidikan,” kata Brown sambil menambah bahawa dia merancang untuk mengabdikan hidupnya dalam usaha mencari penawar kepada virus maut itu untuk orang lain.

“Saya berhenti mengambil ubat HIV pada hari saya melakukan pemindahan dan sejak itu, saya tidak pernah mengambil apa-apa ubat HIV lagi. Saya hidup untuk menjadi bukti bahawa mungkin terdapat penawar untuk AIDS,” jelasnya.

Seorang pengarah perubatan bank tali pusat, StemCyte di AS, Dr. Lawrence Petz memberitahu, julat kesepadanan antara si penderma dengan orang yang ingin diderma tidak perlu terlalu rapat.

Petz berkata, pemindahan sumsum tulang yang dijalani Brown menjadi rumit kerana sel stem darah datang daripada penderma dewasa.

“Apabila melakukan pemindahan sel stem, kesepadanan yang sangat rapat diperlukan antara penderma dan penerima tetapi dengan pemindahan melalui darah tali pusat, ia tidak memerlukan kesepadanan yang sebegitu.

“Ia juga jauh lebih mudah untuk mendapatkan penderma yang sepadan,” ujar Petz.

Walau bagaimanapun, daripada 17,000 sampel darah tali pusat, hanya 102 daripadanya membawa gen yang kebal terhadap penyakit HIV. Untuk itu, Petz berkata, bank darah tali pusat perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Pemindahan

“Buat masa ini, tiada cara lain yang dapat menyembuhkan beberapa pesakit selain menggunakan darah tali pusat,” beritahu Petz kepada Fox News.

Pemindahan darah tali pusat pertama ke atas pesakit HIV dari Belanda telah dijalankan beberapa minggu lalu dan pasukan Petz mempunyai satu lagi pemindahan yang telah diatur untuk seorang pesakit di Sepanyol akhir bulan ini.

“Ia akan mengambil masa yang lama sebelum penyelidik dapat mengenal pasti sama ada rawatan itu memberikan perbezaan kepada pesakit HIV.

“Setakat ini tiada keputusan muktamad lagi, tetapi kami yakin proses ini bakal memberi faedah kepada pesakit,” beritahu Petz.

Sementara itu, dua cara utama dikenal pasti untuk mengubati penyakit AIDS berdasarkan kisah-kisah menakjubkan daripada sekumpulan kecil orang di seluruh dunia yang mendakwa telah berjaya mengatasi penyakit itu.

PENGAMBILAN ubat antiretroviral membantu pesakit HIV untuk terus hidup.

Walaupun terdapat kemajuan dalam merawat berjuta-juta orang dengan menggunakan ubat antiretroviral, pakar mengatakan penyembuhan adalah lebih penting.

Ini kerana kadar jangkitan HIV mengatasi keupayaan pakar untuk mengubati pesakit berkenaan.

“Bagi setiap seorang yang memulakan terapi antiretroviral, dua individu baharu pula akan dijangkiti HIV,” ujar penyelidik daripada Institut Penyelidikan AIDS (IrsiCaixa) di Sepanyol, Javier Martinez-Picado pada Persidangan Antarabangsa AIDS di Washington, Selasa lalu.

Kira-kira 34 juta orang di seluruh dunia hidup dengan HIV dan telah menyebabkan kira-kira 30 juta kematian akibat AIDS sejak penyakit itu dikesan pada tahun 1980-an.

Dengan pengambilan ubat antiretroviral, ia membantu lebih ramai pesakit untuk terus menjalani kehidupan biasa berbanding sebelum ini, tetapi dadah jenis itu sangat mahal dan perlu diambil seumur hidup.

“Saintis kini boleh membayangkan penawar daripada dua perspektif yang berbeza, sama ada dengan cara membasmi virus itu daripada badan seseorang atau membentuk badan pesakit untuk mengawal virus itu.

“Ini mungkin menjadi pesakit pertama yang pernah didokumenkan sembuh daripada jangkitan HIV,” rujuk Javier kepada Brown, pesakit HIV pertama yang sembuh daripada virus pembunuh itu.

Isnin, April 02, 2012

Bahaya Cium Telinga - Boleh Jadi Pekak

Cium Telinga Punca Hilang Pendengaran

Biasanya orang mencium pipi atau dahi, tetapi ada satu budaya di Barat di mana orang mencium telinga sebagai tanda kasih sayang. Budaya ini walau bagaimana pun didapati berbahaya terhadap deria dengar manusia. Budaya mencium telinga seharusnya digantikan dengan mencium pipi atau dahi.
NEW YORK: Seorang profesor audiologi mengenal pasti lebih 30 orang hilang pendengaran selepas dicium di telinga dan jumlah itu berkemungkinan lebih ramai.

Penyelidik dari Universiti Hofstra di Hemstead, New York, Dr Levi Reiter berkata seorang wanita menemuinya kerana kehilangan pendengaran selepas anaknya berusia lima tahun menciumnya di telinga, lapor MSNBC.com yang dipetik akhbar Korean Herald. Reiter berkata beliau menyangkakan pada ketika itu kes wanita itu sangat unik tetapi kemudian beliau mendapati kes yang sama pernah berlaku sekitar 1950 an. Selepas akhbar Long Island melaporkan penemuannya, beliau turut menerima maklum balas daripada orang ramai yang mengalami masalah sama.

Reiter berkata sedutan kuat pada gegendang daripada ciuman menarik rantaian tiga tulang kecil dalam telinga yang mengakibatkan gegaran di dalam cecair koklea atau di dalam telinga.

Beliau berkata mungkin lebih banyak kes kehilangan pendengaran seumpama ini terjadi kepada bayi dan kanak-kanak bagaimanapun ibu bapa mungkin tidak mengaitkannya dengan ciuman.

Kehilangan pendengaran sehala disebabkan hembusan ke telinga, bunyi bising seperti letupan bunga api di atas kepala atau penggunaan putik kapas yang ditolak terlalu dalam, kata Reiter.

Beliau turut bercadang untuk menghantar penemuan berkenaan kepada Jurnal Audiologi Antarabangsa dan Jurnal Otorhinolaringologi Kanak-kanak Antarabangsa. – Agensi.

Rabu, Ogos 19, 2009

Penawar H1N1 - Ubat Selesema Babi - Pengganti Tamiflu (Oseltamivir Phosphate)

Penawar atau pencegah H1N1 yang telah dinyatakan sebelum ini di dalam akhbar termasuklah Habbatus Sauda dan Tujuh Ramuan Herba Pesara Guru yang terdiri daripada daun mahkota dewa, daun akar cerita, daun Afrika, daun malberi, daun mambu dan buah mengkudu hutan serta buah tunjuk langit. Berikut adalah petikan berita berkaitan dengan penawar atau pencegah H1N1

Jintan Hitam atau Habbatus Sauda atau Diamond Black Seed mampu cegah H1N1 atau Selesema Babi
Sumber: Utusan Malaysia, 14 Ogos 2009.

SHARJAH, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 13 Ogos - Jintan Hitam atau lebih dikenali sebagai Habbatus sauda dalam bahasa Arab dipercayai dapat mencegah jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menurut kajian yang disiarkan dalam sebuah majalah penyelidikan perubatan China, Jintan Hitam atau Habbatus Sauda atau Diamond Black Seed boleh digunakan dengan merendam herba tersebut dalam air suam dan airnya diminum pada waktu pagi.

Akhbar Al- Khaleej melaporkan, kajian tersebut telah menyebabkan penjualan Jintan Hitam atau Habbatus Sauda atau Diamond Black Seed meningkat sebanyak 50 peratus di beberapa negara Asia dan Arab Saudi serta Mesir.

Minuman Jintan Hitam atau Habbatus Sauda atau Diamond Black Seed tersebut turut diedarkan kepada mereka yang sedang menunaikan umarah di Mekah dan Madinah. - AGENSI


Ramuan Tujuh Herba: Daun mahkota dewa, daun akar cerita, daun Afrika, daun malberi, daun mambu dan buah mengkudu hutan serta buah tunjuk langit mampu merawat H1N1.

Pesara guru dakwa temui penawar selesema babi
Sumber: Berita Harian, 19 Ogos 2009
Oleh Ridzuan Ahmad

PENDANG: Seorang pengamal perubatan tradisional di Bukit Kuang di sini, mendakwa mampu mengubati Influenza A (H1N1) menggunakan tujuh jenis herba dan buah tempatan yang dihasilkan sendiri sejak sebulan lalu.

Pesara guru, Romli Hussin, 56, mendakwa lebih 200 pelanggan yang menggunakan herba itu termasuk lima ahli keluarganya yang mempunyai simptom seperti H1N1, iaitu demam berpanjangan, batuk, selesema, sakit tekak dan pening kepala pulih selepas beberapa hari mengambil herba berkenaan.

Katanya, kemampuan herba itu untuk mencegahnya teruji apabila anak keempatnya, Rohizati, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pulang ke kampung selepas universiti itu ditutup seminggu sebagai langkah mengawal penularan wabak H1N1.

“Dia mengalami simptom seperti demam dan sakit tekak dan keadaan itu bertambah serius apabila empat ahli keluarga saya termasuk isteri, Roshidah Ismail, 43, turut mengalami simptom hampir sama.

"Saya terus mengadun tujuh ramuan herba yang terdiri daripada daun mahkota dewa, daun akar cerita, daun Afrika, daun malberi, daun mambu dan buah mengkudu hutan serta buah tunjuk langit untuk dikapsulkan sebelum diberikan kepada Rohizati.

"Selepas beberapa jam mengambil herba ini, anak saya menunjukkan reaksi yang positif dan kembali segar daripada kelesuan. Demam panasnya juga berkurangan dan badannya mula berpeluh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sebelum itu, Romli sudah menghasilkan 13 jenis produk berasaskan herba yang dihasilkan sendiri menggunakan kepakaran diwarisi daripada ibu bapanya yang mempunyai latar belakang sebagai pengamal perubatan tradisional.

Minat yang mendalam untuk meneroka khazanah alam yang diwarisi sejak zaman berzaman, beliau sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menjalankan penyelidikan termasuk menghantar herba itu untuk dianalisis oleh agensi berkaitan.

Romli berkata, dia juga memberikan herba itu kepada ahli keluarganya dan kenalannya termasuk 60 pelajar sebuah sekolah menengah agama rakyat (SAR) di Batu 16, Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang mengalami simptom hampir sama dengan H1N1.

Beliau mendakwa selepas menggunakan herba berkenaan, mereka memberi reaksi positif dan terus mengamalkan herba itu sebagai alternatif mengawal penularan H1N1.

Sementara itu, setiausaha sekolah agama berkenaan, Mohd Najib Fahami Yahya, 54 yang dihubungi berkata, hampir 80 peratus daripada 60 pelajar sekolahnya yang mengalami simptom H1N1 sembuh selepas menggunakan herba berkenaan seminggu lalu.

Ahad, Januari 25, 2009

Pesakit Lumpuh Boleh Berjalan Semula Dengan Permainan Kesihatan Wii Fit Nintendo

Orang Lumpuh Boleh Sembuh dan Berjalan Semula Dengan Wii Fit
Permainan Nintendo - Wii Fit mengubati penyakit lumpuh
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
"I do not know why I hate to play video game. But, now, if somebody ask me what kind of video game that I would like to get as a birthday gift, it would be Wii Fit from Nintendo." - Amiene Rev
Industri permainan video mungkin dianggap sebagai satu hiburan yang kurang baik kepada golongan muda, tetapi sebenarnya setiap yang buruk itu adakalanya boleh memberi kebaikan. Pada suatu ketika dahulu, ada sekumpulan pembangun permainan video membangunkan sejenis permainan untuk membantu memotivasikan pesakit kanser. Permainan tersebut dikatakan telah membantu meningkatkan imunisasi pesakit kanser. Permainan video tersebut dikata mampu meningkatkan kepercayaan diri pesakit terhadap keupayaan mereka melawan sel-sel kanser yang menyerang sel-sel badan mereka. Dalam erti kata lain, permainan boleh menjadi satu terapi yang berguna bagi penyakit-penyakit kronik yang tertentu juga.

Apakah Wii Fit? Wii Fit adalah satu permainan yang menggabungkan keseronokan dengan kesihatan dalam satu produk permainan. Ia boleh mengubah cara anda bersenam, mengimbangi badan dan bergerak.

Nicole Cahill adalah seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang telah lumpuh sejak empat tahun lalu kerana serangan virus. Dia disahkan tidak dapat berjalan lagi. Apabila permainan Nintendo - Wii Fit keluar di pasaran sekitar Mei 2008, Nicole Cahill menggunakan permainan tersebut untuk menghilangkan kebosanannya Kerana asyiknya Nicole Cahill bermain dengan permainan tersebut, tanpa disedari Nicole Cahill didapati sudah mula mampu menggerakkan anggota badannya. Pada akhir 2008, Nicole Cahill dikatakan sudah mula mampu berjalan. Nicole Cahill dijangka akan dapat berjalan semula sepenuhnya pada penghujung tahun 2009.

Permainan Wii Fit keluaran Nintendo ini menggunakan sejenis papan permainan yang dikenali sebagai Wii Fit Balance Board atau Papan Keseimbangan Wii Fit. Pemain perlu menjejakkan kaki mereka di atas papan permainan ini. Wii Fit menyediakan beberapa pilihan seperti permainan Yoga, permainan menyeimbangkan badan, permainan melatih kekuatan fizikal dan permainan senam robik.

Menerusi permainan Wii Fit, anda akan dilatih oleh seorang jurulatih yang berada di dalam permainan video tersebut. Setelah itu, anda bolehlah bermain permainan-permainan Wii Fit yang tertentu. Dalam setiap permainan Wii Fit, apabila anda menggerakkan badan anda, watak permainan utama yang dikawal oleh anda akan turut bergerak. Ini bermaksud, anda tidak lagi menggunakan butang, joystik, tetikus atau papan kekunci untuk mengawal pergerakan watak permainan, sebaliknya anda menggunakan badan anda, saraf-saraf di dalam tubuh anda untuk menggerakkan watak tersebut. Jika anda membongkokkan badan anda, watak permainan tersebut turut akan membongkok. Jika anda menggerakkan tangan, watak tersebut akan turut menggerakkan tangannya, jika anda menumbuk, watak tersebut turut akan menumbuk. Maka, dengan cara inilah pesakit lumpuh itu dapat menggerakkan kembali tubuhnya semula. Saraf-saraf di dalam tubuhnya menjadi semakin kuat.

Menerusi permainan kesihatan Wii Fit ini juga, anda boleh menjadi seorang pemain ski yang meluncur di salji, seorang pemain bola sepak, seorang pendekar Yoga, seorang ahli bina badan dan sebagainya. Pihak Nintendo yang bertanggungjawab mengeluarkan permainan Wii Fit ini dijangka akan mengeluarkan lebih banyak permainan baru yang boleh digunakan dengan Wii Fit pada masa akan datang.

Nampaknya permainan video pada masa akan datang bukan lagi sekadar menggerakkan jari-jari dan pergelangan tangan, tetapi seluruh badan pemain. Apabila keseronokan dan kesihatan digabungkan, pelbagai penyakit mampu disembuhkan. Inilah perkembangan positif dalam industri permainan video.

Jika pada masa dahulu ada orang menganggap permainan video sebagai satu permainan yang kurang baik untuk kesihatan maka pada masa akan datang tidak mustahil akan kedengaran nasihat sebegini, "Kamu ni asyik tidur sahaja. Pergilah main permainan video, baik juga untuk kesihatan kamu."

Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai anda boleh pergi ke laman web Wii Fit di sini.

Rabu, November 26, 2008

Cekur Ubati Batuk Biasa - Bronkitis

Sejak kematian adik sepupu saya tempoh hari, saya semakin berminat dengan ilmu-ilmu perubatan. Tambahan pula, seorang adik sepupu saya menghidap kanser otak. Saya semakin berminat untuk mendalami ilmu perubatan, tidak kira secara tradisional, petua orang-orang tua, homeopati, perubatan Al-Quran atau pun perubatan secara moden. Hari ini saya ingin menulis mengenai penawar batuk. Terdapat beberapa jenis penyakit batuk. Dalam perubatan tradiosional, daun cekur selalu digunakan untuk merawat penyakit batuk.

Gambar di atas adalah gambar pokok cikur. Pokok Cikur atau Cekur biasa. Isinya berwarna putih dan daunnya rapat ke tanah. Mengikut petua orang-orang lama, untuk mengubati penyakit batuk, ambillah sepotong cikur sebesar ibu jari dan sedikit garam, kemudian dikunyah-kunyah dan telanlah airnya.

Amalan perubatan tradisional untuk mengubati penyakit batuk atau bronkitis seperti di atas hendaklah diamalkan 3 kali sehari. Dikatakan dalam masa 2 hari, penyakit batuk biasa akan dapat disembuhkan.

Tanda-Tanda Batuk Berterusan - Langkah-langkah Untuk Mencegah Bronkitis

Penyakit batuk bronkitis boleh dikenalpasti menerusi batuk yang berterusan dan diikuti pula dengan pengeluaran kahak. Batuk jenis ini boleh menyebabkan menyukarkan pesakit untuk bernafas. Sekiranya penyakit batuk jenis bronkitis ini dibiarkan berterusan, ia boleh mengundang penyakit lelah dan kehilangan berat badan.

Penyakit ini boleh dicegah dengan melakukan beberapa perkara seperti menghirup udara segar dan bersih. Elakkan daripada merokok atau terhidu asap rokok yang dihembuskan oleh orang lain.


Batuk Berterusan Atau Batuk Rejan

Batuk rejan atau batuk yang tidak berhenti-henti yang selalu berlaku di kalangan kanak-kanak boleh diubati dengan menggunakan air perahan daun peria. Disebabkan air peria ini terlalu pahit, kahak-kahak akan keluar. Kahak adalah penyebab batuk.


Amalan Pencegah Penyakit Batuk Yang Menyerang Pada Waktu Malam Atau Ketika Cuaca Sejuk

Ada sesetengah orang yang sering diserang penyakit batuk ketika udara sejuk atau pada waktu malam. Penyakit batuk yang berlaku pada waktu sebegini boleh diubati dengan amalam pernafasan. Caranya, carilah tempat yang berudara bersih atau segar, dan tariklah nafas melalui hidung sedalam-dalamnya dan tahan udara yang disedut itu di dalam paru-paru selama yang boleh tetapi jangan dipaksa-paksa. Kemudian, hembuskanlah nafas itu perlahan-lahan menerusi hidung. Pastikan mulut sentiasa tertutup. Dikatakan, dalam masa 15 minit, gatal-gatal di tekak akan hilang.

Rabu, April 23, 2008

Teknologi Mata Bionik - Harapan Baru Untuk Orang Buta


Penulis/Penterjemah: Amiene Rev (C) 2008


Rod dan Kon: Sel Penterjemah Cahaya Daripada Solar Kepada Impuls Elektrik.

Di dalam otak manusia terdapat dua sel penting yang dipanggil rod dan kon. Rod dan kod ini juga dikenali sebagai sel solar biologi yang menukarkan cahaya kepada impuls elektrik. Impuls-impuls elektrik ini akan dihantar ke otak menerusi saraf optik untuk membentuk imej. Tanpa rod dan kon, manusia tidak akan dapat melihat. Rod dan kon telah memberi idea kepada para saintis untuk mencipta mata bionik.

Penyelidikan mengenai mata bionik ini telah dikaji di Space Vacuum Epitaxy Center (SVEC) dengan tajaan NASA. Sementara itu, sekumpulan saintis dari Universiti Johns Hopkin, MIT dan di beberapa tempat lain telah menggunakan silikon dalam proses pembuatan rod dan kon tiruan. Pun begitu, silikon adalah bahan yang toksik yang merbahaya kepada badan manusia dan akan memberi reaksi negatif terhadap cecair di dalam mata. Masalah ini walau bagaimana pun, tidak wujud pada pengesan seramik SVEC.

Menerusi eksperimen yang dijalankan di Wake Shield Facility (WSF), iaitu sebuah platform berbentuk cakera dengan diameter 12 kaki yang telah dilancarkan dari sebuah anak torak angkasa, para saintis telah menemui kaedah mencipta filem oksida nipis dengan menggunakan atom oksigen yang diperolehi di persekitaran orbit bumi. Eksperimen ini telah membantu para saintis untuk membina pengesan oksida atau seramik untuk Projek Mata Bionik.

Percubaan merealisasikan mata bionik bermula seawal tahun 2002. Pada ketika itu, seorang doktor dari Universiti Sekolah Perubatan Texas, Houston, Dr. Charles Garcia telah diamanatkan untuk menjalankan pembedahan ini.

Pada ketika itu, retina buatan yang dibuat di SVEC mengandungi 100,000 pengesan seramik mini yang setiap satunya adalah 1 per 20 daripada saiz rambut manusia.

Para saintis pada ketika itu belum dapat memastikan bagaimanakah caranya otak akan menterjemahkan voltan-voltan asing yang datang daripada rod dan kon yang dibuat. Saintis-saintis percaya, otak akan dapat mempelajari dan menerima input-input tersebut perlahan-lahan secara semulajadi.


Prototaip Mata Bionik - 16 Elektrod

Sekitar tahun 2002, sebuah syarikat di Amerika Syarikat, Second Sight telah mencipta prototaip mata bionik. Prototaip ini memiliki 16 elektrod yang disusun secara 4x4 di atas sekeping grid.

Seorang nenek, Linda Morfoot, 64 tahun yang tinggal di Long Beach, California disahkan menghidap retinitis pigmentosa pada usia 21 tahun, dan menjadi buta sepenuhnya pada usia 50 tahun. Pada tahun 2004, dia telah menggunakan mata bionik 16 elektrod.

Menurut Linda Morfoot, sejak menggunakan mata bionik, dia sudah boleh melontar bola keranjang, bermain dengan cucu-cucunya, berjalan-jalan dan melihat cucu perempuannya menari di atas pentas.

Nenek itu berkata, "Semasa kami pergi ke New York, saya dapat melihat betapa besarnya Patung Liberty. Di Paris, pada waktu malam, kami mendaki hingga ke puncak Menara Eiffel dan menatap keindahan cahaya lampu di sekitar bandaraya. Saya merasa lebih rapat dengan apa yang ada di sekitar saya."


Generasi kedua mata bionik - Argus II - 60 Elektrod

Generasi terkini mata bionik mengunakan 60 elektrod, yang dikenali sebagai Argus II. Semakin banyak elektrod, maka semakin jelaslah penglihatan. Professor Mark Humayun berkata, sekitar lima hingga tujuh tahun lagi, para saintis berharap mata bionik dengan 1000 elektrod akan dapat dihasilkan untuk membolehkan pengguna mengenali wajah.

Mark Humayun, Professor dalam bidang oftalmologi dari Institut Mata Doheny, Universiti California Selatan, berkata, sekiranya tidak ada apa-apa masalah, mata bionik akan mula memasuki pasaran pada tahun 2009 dengan harga sekitar £15,000 ke £30,000 (termasuk proses instalasi).


Struktur Mata Bionik: Bagaimana Mata Bionik Berfungsi?

Mata bionik terdiri daripada tiga elemen utama. Mula-mula, satu kamera miniatur yang dipasang pada cermin mata gelap, akan menghantar imej ke sebuah radio penerima yang diimplan berdekatan mata pengguna.

Kemudian, satu signal akan dihantar pada silikon kecil dan cip platinum, sekitar 4mm persegi yang terletak di retina. Elektrod yang terdapat pada cip ini akan merangsangkan sel-sel ganglion supaya maklumat visual akan dapat dihantar menerusi saraf optik terus ke otak dan pada akhirnya membentuk imej visual.

Menurut Profesor Humayun lagi, imej akan terbentuk seakan-akan mesin cetak dot-matriks, atau susunan piksels pada skrin komputer.

Teknologi ini walau bagaimana pun tidak akan dapat mengembalikan penglhatan pesakit yang buta akibat kerosakan saraf optik yang disebabkan oleh glaukoma atau stroke.

Pesakit-pesakit biasanya akan mengambil masa sekitar satu atau dua bulan untuk membiasakan diri dengan peralatan mata bionik Argus ini, sebelum otak mereka dapat menterjemahkan imej-imej. Sebelum ini, pembedahan untuk memasang peralatan mata bionik ini adalah sekitar tujuh jam, namun sekarang hanya memerlukan 90 minit.

Percubaan mata bionik ini akan diadakan di lima pusat sekitar Amerika Syarikat ke atas warganegara berusia melebihi 50 tahun. Pihak US Food and Drug Administration telah mengizinkan hanya subjek-subjek yang telah berusia sahaja layak untuk menyertai eksperimen ini kerana bimbang kesan-kesan buruk yang mungkin dihadapi pada kemudian hari. Setakat ini, beribu-ribu orang buta telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan bagi percubaan mata bionik.




Teknologi Mata Bionik - Fantasi Star Trek Menjadi Nyata

Geordi LaForge berpangkat ketua jurutera di atas kapal angkasa U.S.S Enterprise dan dia dilahirkan buta. Geordi menggunakan VISOR untuk membolehkan dia melihat menerusi input visual yang dihantar secara terus ke otaknya.

Jika diperhatikan pada peralatan mata bionik Argus II, dapat dilihat bagaimana pada suatu masa nanti teknologi VISOR boleh menjadi kenyataan.



Diterjemah dan ditulis semula oleh Amiene Rev berdasarkan sumber-sumber berikut:
  • http://science.nasa.gov/headlines/y2002/03jan_bioniceyes.htm
  • http://www.timesonline.co.uk/tol/news/uk/science/article1395798.ece
  • http://www.guardian.co.uk/science/2008/apr/22/medicalresearch.news
  • http://www.foxnews.com/story/0,2933,252600,00.html