BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Filem. Papar semua catatan

Khamis, Disember 05, 2019

Ejen Ali: The Movie - Misi Neo 2019 - Ulasan Filem Animasi

Ulasan Filem Ejen Ali The Movie 2019
Pengulas: Amiene Rev (C) 2019

Filem animasi tempatan kini bertambah baik. Jalan cerita, aksi sudah setanding filem antarabangsa. Nilai-nilai Malaysia masih terserlah biarpun kisah yang disampaikan adalah berkaitan dengan teknologi yang mendahului zaman, latar belakang tempat yang langsung tidak wujud di negara Malaysia.

Siri animasi televisyen Ejen Ali sudah beberapa tahun bersiaran di skrin televisyen tempatan, juga boleh ditonton menerusi Youtube.

Siri animasi Ejen Ali bermula dengan kisah seorang kanak-kanak bernama Ali yang secara tidak sengaja terguna IRIS. Disebabkan IRIS cuma boleh berfungsi kepada sesiapa yang sudah disetkan DNA buat pertama kali iaitu Ali, secara tidak langsung Ali menjadi aset kepada sebuah pertubuhan rahsia yang dipanggil MATA.

IRIS merupakan alat berteknologi tinggi ciptaan Aliyah, ibu Ali yang telah meninggal dunia semasa mempertahankan Cyberaya. Teknologi IRIS berjaya difahami oleh salah seorang ejen MATA, yang juga merupakan saintis pintar, sehingga lahirlah versi terbaru IRIS yang dipanggil IRIS NEO.

IRIS NEO dianggap lebih canggih berbanding IRIS milik Ejen Ali, di mana ia mampu menangani masalah Override yang membuatkan penggunanya hilang kawalan diri. Adakah benar IRIS NEO lebih berguna berbanding IRIS? Filem Ejen Ali membongkar jawapan ini.

Sejak wujudnya IRIS NEO, Ejen Ali dianggap sebagai beban dalam pertubuhan MATA oleh kebanyakan ejen yang di antaranya juga merupakan rakan sepasukan Ali. Pada masa yang sama, Ali bertembung dengan bekas sahabat seperjuangan ibunya, lalu Ali pun berubah haluan, daripada Ejen Mata kepada wira penduduk pinggiran. Adakah haluan baru yang menjadikan Ali sebagai Wira Pinggiran ini membawa kebaikan kepada Ali?

Ali mula sedar, selama ini, ibunya telah menolongnya secara senyap-senyap biarpun ibunya telah meninggal dunia. Kisah yang menemukan Ali dengan ibunya di dalam alam lain yang boleh diakses melalui IRIS sangat menyentuh hati.

Keikhlasan Aliyah berjuang untuk warga Pinggiran digambarkan dengan jelas, dan kekuatan ini menyebabkan filem Ejen Ali The Movie ini sebagai sebuah filem animasi tempatan yang sangat berjaya. Mesej yang disampaikan memang meninggalkan bekas yang mendalam ke dalam diri penonton. Sebuah karya adiwira yang wajar dicontohi.

Filem Ejen Ali bukan hanya memaparkan aksi dan visual yang sangat menarik, juga bijak menyampaikan nasihat dan motivasi kepada para penonton.

Satu soalan yang perlu anda tanya pada diri anda sendiri, adakah anda sekarang memiliki jiwa seperti Dato' Othman atau ibu Ali, Aliyah? Adakah anda mahu berubah menjadi seorang perwira? Apa yang sanggup anda korbankan untuk menjadi seorang perwira?

Penamatan filem Ejen Ali The Movie juga merupakan satu Easter Egg untuk siri animasi Ejen Ali yang seterusnya. Apakah yang berlaku di pengakhiran cerita ini? Adakah Ejen Ali akan memiliki IRIS NEO, atau terus menggunakan IRIS milik ibunya, atau dilarang daripada menggunakan kedua-duanya?

Saksikan Ejen Ali The Movie untuk menemui jawapannya.

Sabtu, September 08, 2018

Formula Filem Menguntungkan VS Formula Filem Berisiko Tidak Untung


Salah satu cabaran bagi penerbit filem tempatan ialah bagaimana menarik penonton ke panggung. Filem yang berjaya menerima anugerah atau memenangi hadiah filem terbaik tidak semestinya akan berjaya menarik penonton di panggung wayang. Ada cara untuk penerbit filem kekal bertahan dalam industri perfileman. Banyak filem yang tidak menang anugerah, tetapi kutipan tiketnya jauh mengatasi filem-filem yang menang anugerah.

Kebanyakan filem tempatan mengalami masalah kurang promosi. Promosi adakalanya cuba berlegar-legar di komuniti artis, penerbit dan pengkarya sahaja. Ini menyebabkan banyak karya tempatan tidak disedari kewujudannya. Golongan ini sebenarnya golongan minoriti, dan jika mereka menonton, jumlah mereka cuma sedikit berbanding bilangan sebenar rakyat Malaysia yang sudah mampu menonton. filem. Sebagai contoh, katakan jumlah artis di Malaysia ialah sekitar 9,000 orang sahaja, maka sudah pasti kutipan filem ialah sekitar 180,000 ringgit sahaja. Dibandingkan dengan modal yang berjuta-juta, sudah pasti tidak ada keuntungan.
Filem yang ditayangkan di panggung biasanya memiliki durasi sekitar 120 minit. Bukan kerja mudah untuk mengimbangi antara pengisian mesej berkualiti dengan pengisian yang menghiburkan. Jika dilihat di sekolah-sekolah pun, apabila pengajaran dan pembelajaran cuba memberatkan unsur hiburan, didapati masa untuk pengisian ilmu semakin hilang. Lebih banyak masa untuk aktiviti hiburan berbanding masa untuk menyampaikan ilmu. Belum dicampur dengan penat lelah seorang guru untuk menghasilkan rancangan pengajaran.
Kebanyakan orang Malaysia sendiri bukan jenis yang sanggup mengeluarkan duit ke panggung jika sesuatu itu tidak diyakini dapat menghiburkan mereka. Cuma golongan karyawan yang merupakan golongan minoriti berbanding seluruh rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi penonton filem itu di panggung. Pada ketika ini ternyata kehendak majoriti orang Malaysia terhadap hiburan mengatasi keperluan mereka terhadap pengisian ilmu dan kesedaran tentang isu semasa.
Filem Munafik 2 bijak menyelitkan unsur-unsur tentang hadis dan Al-Quran sebagai pengajaran di samping aksi dan drama yang dicetuskan. Filem francais Zombi Kampung Pisang juga menyuntik persoalan tentang isu-isu semasa dalam beberapa babak filemnya, tetapi lebih ringan untuk mudah dihadam oleh para penonton. Berapa banyak unsur ilmiah atau persoalan isu semasa yang dapat mereka selitkan di dalam filem tersebut?
Dukun meletup di panggung selepas beberapa tahun menanam benih tanda tanya. Ternyata genre seram merupakan elemen hiburan yang paling disukai penonton. Kesedaran ini juga merupakan faktor kenapa sesetengah panggung mula menggunakan teknologi seperti 4D, 5D dan sebagainya. Pemilik panggung wayang sedar penonton akan lebih terhibur apabila mereka berjaya ditakut-takutkan. Penggunaan kerusi yang boleh bergegar, memberi kejutan seiring dengan jalan cerita dianggap sebagai satu unsur hiburan setanding dengan rollercoaster di taman tema.
Hiburan yang berkesan dianggap sebagai jaminan kejayaan untuk menarik pelanggan atau penonton. Didapati filem dan taman tema memegang prinsip yang sama untuk terus hidup, hiburan berasaskan unsur yang dapat menimbulkan rasa panik dan seram.
Kesedihan mendatangkan kemurungan. Rakyat Malaysia sudah berada dalam keadaan stres jadi mereka tidak suka filem sedih. Mereka tidak suka berlama-lama di suatu tempat berkongsi kesedihan yang menyebabkan mereka murung. Oleh itu dalam situasi sekarang, filem drama, filem serius dan filem yang boleh menimbulkan rasa murung bukanlah filem terbaik untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia. Kita mungkin pernah dengar penonton yang keluar panggung berkata, "Aku sudah stres, tengok filem ni serius, sedih semacam lagi stres aku dibuatnya. Rugi duit aku!"
Baca sahaja status rakyat Malaysia di laman-laman sosial, kebanyakannya adalah luahan perasaan stres, sedih, kecewa, bimbang dan murung. Secara logiknya, orang yang sedang stres takkan mahu memberi tekanan dan menambah kemurungan ke dalam diri mereka. Mereka mahu buang tekanan itu. Mereka mahu sesuatu yang melapangkan dada mereka daripada perasaan sedih, murung, tertekan dan sebagainya.
Panik, seram dan mendebarkan akan mencetuskan perasaan terhibur. Mereka tidak stres kerana mereka tahu itu semua lakonan dan fiksyen semata-mata. Mereka tahu semua itu dibuat-buat, oleh itu mereka akan rasa selamat. Rakyat Malaysia tidak ada masalah dengan hantu, malah jika mereka melihat hantu, mereka suka untuk merakamnya dan diviralkan di status mereka. Suatu keseronokan jika dapat melihat hantu yang sebenar sehingga hantu pun sudah menyerah diri dengan manusia. Jika zaman dahulu manusia lari apabila nampak hantu, sekarang manusia akan merakam hantu tersebut dan mengejar untuk merakamnya jika ia lari. Dunia sudah berubah. Barangkali dunia sudah gila.
Filem hiburan yang dapat memainkan perasaan panik, takut, terkejut, melapangkan dada dan membuatkan penonton lupa tentang stres mereka, akan berjaya di panggung.
Mungkin sesebuah penerbitan boleh menggunakan formula 9 filem hiburan berkesan : 1 filem serius supaya dapat bertahan dalam industri perfileman dengan bahagia. Selepas berjaya menghasilkan 9 filem menguntungkan, mereka boleh korbankan sedikit untuk mengambil risiko menerbit 1 filem serius yang padat dengan isi dan ilmu yang biasanya akan gagal menarik ramai penonton di Malaysia.

Jumaat, Ogos 24, 2018

Ulasan Filem Crazy Rich Asians (2018)


Filem ini berdasarkan sebuah novel yang berjudul Crazy Rich Asians. Sebuah filem yang sangat baik bagi saya dan saya gembira dapat menonton filem ini di panggung premier dengan layanan kelas V.I.P. Ia tentang seorang gadis termuda yang menjadi pensyarah di sebuah universiti di New York yang tidak tahu bahawa teman lelakinya adalah anak kepada seorang hartawan yang sangat kaya di rantau Asia. Konflik cinta bermula apabila ibu kepada teman lelakinya mula masuk campur dalam hal-hal percintaan mereka atas dasar perbezaan latar Timur dan Barat. Orang Asia dan orang Barat dianggap mempunyai matlamat hidup yang berbeza dan ibu teman lelakinya bimbang faktor ini akan menjadi memusnah keluarga Young.

Filem komedi romantik yang sama genre dengan Coming To America yang pernah meletup pada tahun 1988 sehingga mempengaruhi beberapa penerbit filem di rantau Asia untuk menerbitkan filem yang lebih kurang sama ini memberi impaks yang sangat menyentuh hati para penonton.

Adakah watak-watak utamanya akan mempunyai penamat yang bahagia pada penghujung cerita atau tidak? Plotnya mungkin sama seperti kebanyakan filem cinta, tetapi seperti lagu cinta yang sanggup dimainkan berulang-ulang kali oleh pendengarnya, kekuatan filem ini terletak pada bagaimana watak-watak utamanya mampu menyentuh emosi penonton dengan lakonan mereka.

Mungkin di Malaysia, filem-filem cinta seperti Crazy Rich Asians ini terlalu biasa, tetapi di Barat, ia mungkin satu sentuhan yang sudah lama tidak diangkat. Siapa sangka, sesuatu yang begitu klise dengan karya penulis-penulis tempatan boleh mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Keyakinan diri penerbit untuk menerbitkan filem sebegini membuahkan hasil.

Rabu, Ogos 22, 2018

Ulasan Filem Mile 22 (2018)


Mile 22 adalah filem pertempuran dan aksi melibatkan beberapa buah negara. Mark Wahlberg dibantu oleh Lauren Cohann dan John Malkovich mengharungi satu misi yang sangat berbahaya untuk memindahkan Iko Uwais dari negaranya ke Amerika.

Filem ini penuh dengan aksi tembak-menembak, babak pertempuran tangan dan perkataan kesat. Sedikit dialog dalam Bahasa Indonesia diselitkan untuk menggambarkan situasi yang sedang berlangsung di Indonesia ini.

Ia adalah filem aksi dengan jalan cerita yang boleh dianggap mudah untuk dijangka kesudahannya sebelum penutupnya diputar untuk menimbulkan satu kejutan buat watak-watak utama. Sebenarnya sudah ada beberapa pembayang sudah diberikan untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku pada akhir cerita, dan ini bergantung kepada penonton itu sendiri untuk menjangka kesudahannya.

Filem Mile 22 adalah tentang aksi, kesetiaan kepada negara, sanggup mengorbankan masa depan diri sendiri demi bangsa dan negara. Ia tidak mengandungi banyak konflik yang mencabar minda, ia sebuah filem dengan jalan cerita yang sangat ringkas dengan dentam-dentum tembakan, bom, pembunuhan berdarah, pelanggaran kereta, curi dan bertukar kereta, kata-kata kesat dan kemudian satu kejutan tentang identiti sebenar salah seorang wataknya.


Sabtu, Ogos 18, 2018

Ulasan Filem Christopher Robin (2018)

Christopher Robin adalah sebuah filem tentang Christopher Robin yang sudah dewasa tetapi masih mengingati kawan-kawan ajaibnya semasa zaman kanak-kanak di Hutan 100 Ekar. Ketika Christopher Robin sedang bergelut dengan satu masalah besar yang melibatkan masa depan ramai pekerja di bawah seliaannya, dan ditindas oleh majikannya, Winnie The Pooh muncul membawa semula Christopher Robin kembali ke dunia yang penuh dengan kenangan persahabatan.

Christopher Robin sudah dewasa dan sibuk dengan kerjaya perlahan-lahan menerima kembali dunia lamanya, dan kali ini ia turut melibatkan lebih ramai orang di dunia nyata termasuk ahli-ahli keluarganya.

Christopher Robin adalah sebuah filem dramatik yang menyentuh emosi. Ia memerihalkan tentang harapan untuk mengekalkan persahabatan. Filem ini sedikit sebanyak mengingatkan saya tentang filem The Bridge To Terabithia yang juga menceritakan tentang persahabatan. Kedua-duanya menyentuh emosi.

Watak-watak patung yang merupakan kawan-kawan Christopher Robin semasa zaman kanak-kanak banyak menimbulkan unsur komedi yang mencuit hati penonton, dan pada masa yang sama ia adalah sebuah filem yang mampu menyebabkan sesetengah orang mengalir air mata kegembiraan, terharu dan simpati.

Ulasan Filem The Darkest Mind


The Darkest Mind memang kelihatan menarik dengen efek khas dan permainan emosi antara hubungan ibu bapa dengan anak, persaudaraan, setiakawan dan cinta tiga segi, tetapi pengisahannya melibatkan banyak unsur kitar semula daripada filem-filem yang sebelumnya termasuk X-Men dan Wolverine. Boleh dikatakan filem The Darkest Mind dalah filem tentang persoalan, apa akan jadi jika Profesor Charles Xavier dalam filem X-Men adalah seorang gadis muda dengan kuasa yang lebih kurang sama. Boleh membaca fikiran, telepati, memukau, menguasai minda dan mengawal badan orang lain.

Filem ini mengisahkan tentang dunia di mana kebanyakan kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah mati kerana wabak misteri. Mereka yang terselamat pula ditakuti kerana dianugerahkan dengan kuasa luar biasa. Kuasa-kuasa itu dikategorikan kepada beberapa peringkat atau kelas. Kelas paling selamat ialah Hijau di mana kanak-kanak dan remaja dalam kategori ini akan memiliki kepintaran luar biasa. Kelas Biru adalah untuk kanak-kanak dan remaja yang memiliki kuasa telekinesis, dan mereka boleh menggerakkan objek dengan minda. Kelas Kuning atau Emas pula adalah untuk mereka yang boleh mengaktifkan kuasa elektrik. Kelas Oren pula untuk mereka yang boleh mengawal minda, kuasa telepati dan ini sangat mirip dengan watak Profesor X dalam X-Men. Kelas terakhir ialah Merah. Kanak-kanak dan remaja kelas Merah sangat ditakuti kerana berupaya menghasilkan api. Ruby Daly yang berkuasa hampir sama seperti Profesor X, akan menjadi tokoh utama yang membela nasib kanak-kanak dan remaja.

Biarpun dalam filem itu, Merah digambarkan sebagai kelas yang paling ditakuti tetapi kuasa yang paling merbahaya adalah kuasa dari kelas Oren. Kanak-kanak dan remaja dalam kelas Oren akan dibunuh terus jika dikesan kerana keupayaan mereka untuk menguasai minda orang lain termasuk mengubah memori, pukau dan lain-lain yang boleh menjadikan musuh kepada kawan atau hamba mereka. Filem ini akan membuatkan kuasa yang dimiliki oleh Profesor X sebagai kuasa yang paling menarik dan berkuasa. Ini menunjukkan kenapa Profesor X merupakan salah satu mutan terkuat dalam filem X-Men. Pendapat yang sama meletakkan Oren sebagai peringkat paling bahaya.

Biarpun kanak-kanak dan remaja lain masing-masing memiliki kuasa luar biasa tetapi di dalam filem ini mereka digambarkan sebagai tidak suka menggunakan kuasa luar biasa mereka. Kebanyakannya masih menggunakan senjata api. Disebabkan hal ini, filem adaptasi The Darkest Mind kelihatan banyak kelemahan. Ada perkara yang sepatutnya boleh menjadi tidak boleh, ada banyak perkara dikembangkan atau diperihalkan lagi tetapi sumbernya kurang, menjadikan filem ini suatu teka-teki atau misteri, penuh dengan pertanyaan yang tidak terjawab. Penonton akhirnya perlu mengandaikan diri jawapannya atau jika mereka sekadar menonton untuk hiburan, maka mereka mungkin boleh berpuas hati dengan filem ini yang mengandungi unsur kesan khas, kuasa luar biasa dan sedikit humor.

The Darkest Mind tetap menghiburkan walaupun ia bukan kisah segar. Filem adaptasi novel ini turut menyinggungkan perasaan penulis novelnya apabila watak Charles atau Chubs yang sepatutnya berada dalam kelas Biru ditukar menjadi kelas Hijau. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat novelnya apabila menonton filem ini. Namun ada juga pembaca novel yang suka dengan perubahan kelas tersebut kerana Chubs terlalu pintar untuk berada dalam kategori kelas Biru dan lebih sesuai berada dalam kelas Hijau.


Ahad, Ogos 12, 2018

Ulasan Filem Hantu Kak Limah (2018)


Bukan sekali dua pelakon yang pernah mengisi ruang dalam babak-babak filem Mamat Khalid meninggal dunia. Kali ini Yeh Sekupang (Khalid Samsuri atau Rab Khalid) pula meninggal sebelum filem ini ditayangkan. Al-Fatihah.

Seperti biasa, filem francais komedi seram Kampung Pisang akan sentiasa padat dengan teguran dan sindiran tersirat dalam kisah-kisahnya. Tema utama adalah tentang fitnah atau khabar angin, diselangi dengan dialog-dialog tersirat berkaitan situasi politik semasa di negara ini.

Filem Hantu Kak Limah masih mengekalkan kebanyakan watak seperti Husin, Kak Limah, Anak Si Mamat dan lain-lain watak. Setiap watak ada ceritanya. Setiap cerita akan kembali semula dengan kewujudan Hantu Kak Limah yang dikatakan mengganggu kampung. Adakah benar Kak Limah sudah meninggal dunia? Jika benar Kak Limah sudah meninggal dunia, siapa pula yang menjadi Hantu Kak Limah?

Bukan mudah untuk mendapatkan tiket Hantu Kak Limah. Panggung sentiasa penuh. Filem arahan Mamat Khalid ini sentiasa padat dengan lawak jenaka dalam setiap babaknya. Sememangnya pengarah filem telah memaklumkan bahawa tujuan filem Hantu Kak Limah ini dihasilkan adalah untuk menghiburkan penonton dengan lawak jenaka.

Penonton tidak berhenti-henti ketawa, termasuk anak kecil yang ketawa tidak berhenti-henti selepas menyaksikan beberapa babak dalam filem ini. Jika anda ingin ketawa, filem Hantu Kak Limah boleh membantu anda untuk ketawa.

Filem Hantu Kak Limah adalah filem yang rapat di hati rakyat Malaysia. Jenakanya adalah jenaka yang sesuai dengan jiwa tempatan. Permainan visual dan teknik perfileman untuk menggambarkan satu-satu suasana dimainkan dengan baik.

Nayan, lakonan Ropie, adalah antara watak yang paling disukai penonton. Setiap kata-katanya mampu menggeletek para penonton. Beliau juga ada datang ke TGV Cinema AEON Tebrau pada 11 Ogos 2018 lepas. Jika bukan beliau yang datang, siapakah pula yang datang? Suasana akan menjadi cukup seram jika itu bukan Ropie.

Ulasan Filem The Meg (2018)


Megalodon adalah haiwan prasejarah, mamalia laut yang sangat besar. Rahangnya sangat kuat sehingga mampu menggigit seekor ikan paus sehingga terputus dua. Dalam filem The Meg, haiwan raksasa ini mengganas selepas manusia menceroboh habitatnya. The Meg yang terkepung di dasar lautan dalamyang dipisahkan dengan lapisan sejuk, berjaya mencari jalan keluar selepas kapal selam ciptaan manusia sendiri yang menyebabkan lapisan itu bocor seketika.

Sedikit elemen Fast & Furious disuntik ke dalam babak-babak aksi dalam filem ini, perlumbaan antara Megalodon dengan manusia. Ramai orang suka menonton filem raksasa ganas. Barisan pelakon mahal yang membintangi filem ini menaikkan lagi daya tarikan filem The Meg ini.

Mesej yang disampaikan dalam filem ini adalah tentang manusia sebagai hidupan yang suka melakukan aktiviti teroka dan musnah (discovery and destroy). Berbaloikah manusia mencipta teknologi yang canggih untuk meneroka alam sekitar dan kemudian memusnahkannya kerana ancaman yang dihadapi selepas pertembungan dengan penghuni habitat tersebut?

Rabu, Ogos 08, 2018

Ulasan Filem The Presence (Thailand-2018)


Filem The Presence (2018) adalah filem seram romantik dari Thailand dengan sedikit suntikan komedi. Judul filem ini sama dengan sebuah filem seram Barat yang pernah ditayangkan di layar perak sekitar tahun 2010. Filem ini mengangkat satu budaya misteri tentang kewujudan hantu yang dianggap Tuhan, Phaya Than.

Filem ini adalah berdasarkan kisah benar, inspirasi daripada kisah penyembahan Tai Choi dan  Phaya Phaya Dun. Phaya bermaksud Tuhan. Setiap generasi akan ada satu anggota keluarganya, mewarisi sesuatu daripada generasi terdahulu. Konsep yang mirip pewarisan saka atau hantu raya dalam budaya Melayu di Malaysia.

Dalam konsep pewarisan hantu, selagi tidak ada pewaris, selagi itulah jasad perumah akan hidup. Disebabkan hal ini, watak utama, iaitu Om, sering diseru menerusi mimpi-mimpi ngeri supaya kembali menemui neneknya di Dong Luang Mukdahan. Ini adalah cara syaitan memancing dan menggoda mangsanya untuk dirasuk, menjadi perumah yang baru.

Mengapa Phaya Tan dianggap sebagai tuhan? Kisah yang dikatakan bermula dari Vietnam ini, mengubah konsep hantu kepada tuhan apabila hantu mampu mengubati orang sakit. Dahulunya roh nenek moyang, yang dipuja selama beberapa generasi sebagai tuhan kerana memberi kebaikan dan perlindungan kepada anak cucunya.

Dengan elemen-elemen lawak yang meredakan keseraman dan pengejut jantung dalam cerita ini, cerita The Presence cuba menimbulkan persoalan demi persoalan kepada para penonton. Tawa penonton bertukar menjadi hening, apabila penonton mula memikirkan cerita ini sebenarnya tentang apa dan tentang siapa?

Kejutan dalam filem ini sebenarnya adalah kisah yang biasa kita dengar, tetapi ia lebih kepada roh-roh yang menanti pewaris Phaya Than. Selama lebih belasan tahun, satu misteri yang berkaitan dengan tragedi sebuah keluarga akan dibongkar pada penghujung cerita.

Ia adalah filem tentang cinta sejati yang dilangsungkan dengan perpisahan sepasang kekasih. Lagu pada pengakhiran membayangkan tentang harapan bahawa cinta itu boleh dilanjutkan dalam kehidupan yang akan datang.

Babak tarian pemujaan yang dipaparkan pada pengakhiran cerita, menjelaskan tujuan sebenar filem ini dihasilkan. Filem yang juga bertujuan mempromosikan kebudayaan dan pelancongan di Thailand ini bermula dengan babak romantik antara dua kekasih yang akan memberi jawapan, dipulas seratus lapan puluh darjah daripada janji-janji yang diharapkan.

Ia bermula dengan babak romantik, seram dan komedi. Ia berakhir dengan tragedi.

Ahad, Ogos 05, 2018

Ulasan Filem The Spy Who Dumped Me (2018)


The Spy Who Dumped Me barangkali alternatif untuk filem The First Purge sekiranya anda tidak sempat membeli tiket pada hari tersebut. Ia sebuah filem aksi berdarah tetapi pada masa yang sama mengandungi unsur komedi yang boleh buat anda ketawa di sepanjang cerita. Barangkali boleh disamakan dengan filem Kingsman.

Dua orang wanita secara tidak sedar menjadi orang penting dalam perebutan antara beberapa pihak yang ingin merebut sebuah pemacu data yang disembunyikan di dalam trofi. Ada data penting di dalam trofi tersebut yang boleh menyebabkan keselamatan orang ramai terancam.

Disebabkan satu misi yang diarahkan oleh teman lelakinya, kedua-duanya semakin terjebak dan menjadi buruan beberapa pembunuh upahan. Maka bermulalah sebuah filem aksi dengan dua orang wanita menjadi hero.

Dilabelkan sebagai filem 18 tahun ke atas kerana unsur-unsur lucah yang ketara, yang disampaikan sebagai satu bentuk komedi di sepanjang cerita. Ya benar, ini filem lawak lucah dan lawak berdarah. Kate McKinnon, pernah beberapa kali menjadi pemenang anugerah pelakon komedi sememangnya berjaya mencuit hati para penonton.

Jika seorang pemenang anugerah komedi berlakon dalam filem komedi aksi, filem itu tentu filem yang menarik dan mencuit hati.

Sabtu, Ogos 04, 2018

Ulasan Filem The First Purge (2018)


The First Purge adalah satu lagi filem genre pembasmian dalam siri Purge. Filem tentang idealogi mengurangkan populasi manusia dengan cara membenarkan manusia membunuh sesama mereka. The Purge dianggap sebagai satu cara membasmi masalah pengangguran, kemiskinan dan kebuluran di dunia. Dalam filem The Purge, Amerika menjadikan pembasmian manusia ini sebagai satu budaya, satu aktiviti tahunan di mana manusia di satu-satu lokasi dibenarkan membunuh secara bebas dengan kelas-kelas senjata tertentu selama 12 jam.

Filem The First Purge berjaya menarik ramai penonton ke panggung. Biarpun dikategorikan sebagai filem 18 tahun ke atas, tempat duduk sentiasa hampir penuh. Apakah yang menyebabkan manusia berminat menyaksikan The First Purge? Sudah tentu kerana idea gilanya.

Berbanding filem-filem The Purge yang sebelumnya, The First Purge paling menarik perhatian saya apabila watak Raja Dadah menjadi wira masyarakat, pada ketika pemimpin mula menjadi syaitan. Persaudaraan antara Raja Dadah, Dmitri dengan pengikut-pengikutnya, dipaparkan dengan jelas dalam cerita ini.

Watak Skeletor tenggelam sebagai villain. Pertarungan sebenar adalah antara Dmitri dengan arch-villain, seseorang yang ditugaskan untuk melakukan provokasi secara senyap bagi menggalakkan semua penduduk yang terlibat sebagai peserta untuk melakukan pembasmian.

Sebuah filem yang menarik, dengan babak-babak di mana pada mulanya ada orang yang tidak percaya bahawa manusia sanggup membunuh tanpa sebab, bertukar menjadi huru-hara. Adakah anda sanggup membunuh jika anda diberikan peluang untuk membunuh sesiapa sahaja selama 12 jam? Itulah tarikan dalam filem-filem francais The Purge.

Ulasan Filem Mamma Mia 2 - Here We Go Again (2018)


Filem Mamma Mia! Here We Go Again adalah sebuah filem tentang seorang anak gadis, Sophie yang ingin menjadikan impian mendiang ibunya, Donna, sebagai satu kenyataan. Sarat dengan imbas kembali zaman muda Donna yang baru tamat pengajian dan mengambil langkah berani memulakan kehidupan sendiri di sebuah pulau dengan tiga lelaki tampan yang merupakan ayah kepada Sophie.

Seperti Mamma Mia! yang pertama, sekuelnya ini turut mengulangi lagu-lagu ABBA dan kali ini lebih banyak dinyanyikan oleh Donna yang masih muda. Jalan ceritanya agak menyentuh hati, berkisarkan tentang kesetiaan dalam percintaan dan hubungan antara anak dengan ibu bapanya. Filem Mamma Mia! Here We Go Again melihat penyatuan keluarga besar.

Kemunculan Cher atau Ruby yang merupakan nenek kepada Sophie meningkatkan lagi keseronokan muzikal apabila Ruby menyanyikan lagu Fernando. Nyanyian Cher dan Andy Garcia memang mempesonakan. Vokal yang sangat hebat.

Secara jujurnya, pada mulanya saya rasa filem Mamma Mia! Here We Go Again ini adalah sebuah filem parodi kerana aksi lakonan dan babak-babak yang agak saya rasa agak kelakar di sepanjang cerita. Namun pada pertengahan cerita, watak-watak mula kelihatan berlakon dengan bersungguh-sungguh. Sehinggalah ke babak Ruby dan Fernando, filem ini entah kenapa menjadi sangat kelakar bagi saya. Bagaikan sebuah filem spoof.

Filem Mamma Mia! Here We Go Again, kekuatannya adalah pada lagu-lagu ABBA. Setiap jalan ceritanya dibina untuk membangunkan lagu-lagu tersebut dalam bentuk visual. Boleh dikatakan filem ini adalah didedikasikan untuk mendiang Donna, dengan seluruh ahli keluarga dan sahabat baik Donna muncul menyokong kewujudan hotel tersebut.

Tidak ada konflik yang ketara di dalam filem ini. Semua masalah diselesaikan dengan mudah pada penghujung cerita. Ia adalah filem muzikal santai, dengan latar warna biru, kuning dan putih di sepanjang cerita. Dan ya, babak Ruby dan Fernando adalah babak paling diingati sepanjang cerita ini. Tahniah Cher dan Andy Garcia kerana mempersembahkan babak tersebut dengan sangat menarik!

Ulasan Filem Siberia 2018


Keanu Reeves adalah salah seorang penerbit bagi filem Siberia. Kisah seorang pedagang berlian yang terjebak dengan dunia penjenayahan yang serba gelap. Filem ini boleh dikategorikan sebagai filem thriller romantik dengan pengakhirnya yang tragis. Saya jangkakan ramai penonton tidak menyukai bagaimana filem ini berakhir tetapi bagi mereka yang pro tentang hak-hak seorang isteri, barangkali inilah antara pengakhiran yang paling disukai.

Filem Siberia yang juga dilakonkan oleh Keanu Reeves, mengandungi unsur lucah yang agak ketara. Daripada seorang pedagang berlian, selepas terperangkap dengan penipuan dan pengkhianatan, sempat pula menjalinkan hubungan dengan seorang gadis Russia bernama Katya. Lucas membawa masuk budaya kuning dari Amerika ke Russia. Anehnya, adik-beradik lelaki Katya, yang bersifat terbuka, dapat menerima kehadiran Lucas biarpun Lucas tanpa sengaja, menyakiti hati Katya. Dialog popular Lucas terhadap Katya, "Adakah kamu sudah mula membenci saya sekarang?"

Ternyata Lucas sudah bersedia untuk dibenci. Namun Katya tidak membenci Lucas. Adik-beradik Katya sanggup memaafkan Lucas. Kedegilan Katya telah menjebakkan dirinya dalam dunia gelap pasaran berlian yang dilalui oleh Lucas. Adegan lucah bermula lagi, diselit dengan penyesalan dan perasaan tersinggung. Lucas menyesal membawa Katya ke St. Peterburg.

Sifat Lucas yang bukan seorang suami yang setia kepada yang satu, dibalas pada penghujung cerita dengan satu babak mengejut. Apakah babak yang mengejut tersebut? Ia membuatkan penonton rasa kecewa, melihat mata Lucas terbeliak besar di penghujung cerita sebelum skrin gelap dengan tulisan putih memaparkan kredit, menandakan cerita sudah berakhir.

Filem Siberia, biarpun menjadikan Keanu Reeves sebagai bintangnya, tetapi ia tidak setanding dari segi aksi dengan filem John Wick. Pada permulaan cerita, barangkali ada penonton yang mengharapkan ada aksi atau kehandalan yang akan dipaparkan oleh watak Lucas, tetapi ternyata Lucas sekadar seorang manusia biasa yang lemah dan tidak begitu pandai bertempur. Kehebatan Lucas cuma pada wajahnya yang tampan dan mampu menarik perhatian wanita untuk jatuh hati dengannya, setia dengannya dan kekal setia biarpun disakiti.

Filem Siberia dianggap sebagai sebuah filem yang lemah tentang tujuan pengisahannya. Tidak ada kemahuan atau matlamat yang kuat. Apa yang dapat dilihat dalam filem ini secara kesimpulannya adalah tentang seorang pedagang berlian yang bermain kayu tiga, terjerat dengan janji-janji beberapa kumpulan penjenayah dan berakhir dengan musibah yang mengejutkan tetapi dirasakan bagus bagi sesetengah pihak. Padam muka kamu, Lucas!

Ulasan Filem The Cured 2018


The Cured adalah filem drama seram, tentang seorang adik ipar yang menyimpan rasa bersalah terhadap kakak iparnya. Atas dasar kepercayaan keluarga akan dapat menerimanya kerana apa yang dilakukan terhadap suami kakak iparnya berlaku dalam keadaan di mana dia tidak dapat mengawal dirinya, Senan (watak utama) memberanikan diri untuk kembali ke rumah, selepas berjaya dipulihkan daripada sejenis penyakit yang menyebabkan penghidapnya menjadi kanibal ganas, seperti zombi.

Masyarakta dunia ternyata tidak dapat menerima kehadiran golongan The Cured, kerana dendam atas apa yang dilakukan mereka terhadap ahli-ahli keluarga mereka. Komuniti The Cured yang rasa tersisih mula merusuh, membentuk satu kumpulan pengganas dan memberontak.

The Cured barangkali adalah satu lagi genre baru yang dilihat dalam filem-filem Barat selain Hotel Artemis. Genre tentang golongan bekas zombi yang berjaya dipulihkan yang ingin membela nasib mereka daripada kecaman dan penindasan masyarakat manusia yang normal.

Filem The Cured juga tidak sesuai untuk pesakit jantung, kerana unsur-unsur mengejut dalam keheningan jalan ceritanya yang penuh sayu. Ia sesekali membuatkan anda rasa tenang atau termenung, dan sesaat kemudian kejutan yang boleh menggegarkan jantung melanda. Filem The Cured boleh dikategorikan sebagai filem drama seram thriller, kerana unsur-unsur penjenayahan, pengganas dan juga unsur-unsur seram.

The Cured sarat dengan penyesalan dan kesedihan. Ia bermula dengan kesedihan dan ia juga berakhir dengan kesedihan. Disebabkan jalan ceritanya yang sebegitu, seperti tagline 'The Cure Is Just The Beginning', ada kemungkinan filem ini ada sekuelnya, seperti filem 28 Days Later, 28 Weeks Later dan seumpamanya.


Rabu, Ogos 01, 2018

Ulasan Filem PULANG (2018)


Pulang adalah sebuah filem Kabir Bhatia. Pengarah filem yang pernah menghidupkan drama Kekasihku Seru dan Nur Kasih, dua drama bersiri yang sangat popular. Nur Kasih menjadi drama paling cemerlang dalam sejarah Malaysia apabila berjaya menarik tontonan tertinggi. Filem Nur Kasih yang ditayangkan 8 tahun kemudian turut mencatat kejayaan yang sama.

Karya Kabir Bhatia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sinematografi yang sangat indah. Setiap babak memaparkan permainan kamera. Keindahan pantai, perkampungan nelayan dan lautan dipaparkan dengan sangat cantik dan menarik.

Kemudian, muncul para pelakon yang terpilih, dengan lakonan dan dialog yang penuh menyentuh emosi. Itulah apa yang sering dijangkakan daripada karya filem Kabir Bhatia.

Misteri. Ini antara elemen yang pasti. Jawapan disimpan dan dipendam, mencetuskan konflik sebelum akhirnya diurai pada detik yang sesuai. Kenapa Othman tidak mahu pulang selepas sekian lama belayar? Persoalan ini dimainkan sepanjang kisah, dan pembongkarannya menceritakan tentang dosa, salah faham dan penderhakaan yang mungkin langsung tidak dijangka oleh penonton. Siapakah yang menderhaka? Siapakah yang salah faham? Siapakah yang merahsiakan sesuatu?

Setiakawan, persaudaraan, kekeluargaan adalah antara elemen penting dalam setiap karya Kabir Bhatia. Kali ini dua manusia berbeza keturunan, Cina dan Melayu, ditemukan dengan takdir yang akhirnya menjadi kunci yang membuka peluang untuk menyatukan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut tetapi adakah takdir membenarkannya?

Aksi. Babak pergelutan antara Othman dengan askar Jepun, dengan kelasi-kelasi asing di atas kapal dan bencana di lautan adalah antara elemen cemas yang cuba diadun dengan sinematografi bagi mempamerkan visual terindah.

Kesedihan, kesayuan dan jalan cerita yang mengharukan. Sebelumnya perlu diketahui bahawa filem ini adalah berlandaskan kisah benar sebuah keluarga nelayan Melayu. Isteri dan anak yang ditinggalkan suaminya selepas si suami bekerja di atas sebuah kapal, belayar mengelilingi dunia. Dapatkah si isteri menemui semula suaminya?

Filem Pulang memaparkan kelemahan manusia dalam pelbagai sisi kehidupan, biar sekuat mana pun cinta, sekuat mana pun kemahuan dan sekuat mana pun keazaman. Sudah naik pangkat, sudah naik gaji tetapi tidak mahu pulang?

Othman mampu pulang setiap kali ditimpa bencana tetapi kali ini, selepas jauh belayar dia tidak pulang-pulang. Menyedihkan. Ini adalah karya kisah benar, kesedihan yang dikongsikan oleh sebuah keluarga terhadap berjuta-juta keluarga yang lain. Ketika ulasan ini ditulis, barangkali filem Pulang sudah mencatat kutipan tiket sekitar tujuh angka. Filem ini mempunyai potensi ke arah itu. Sebuah karya yang cantik visual dan indah emosinya.





Ahad, Julai 29, 2018

Ulasan Filem Hotel Artemis (2018)


Hotel Artemis sebenarnya adalah sebuah hospital untuk penjenayah, dibiayai oleh seorang raja gangster yang menjadikannya sebagai satu bentuk pelaburan. Hotel Artemis ada peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Hotel Artemis bukan sebarangan hotel, ia tempat perlindungan untuk penjenayah-penjenayah yang telah membayar yuran keahliannya.

Dari mula hingga awal, berlatarkan tahun 2028, filem Hotel Artemis ini mengisahkan tentang kewujudan Hotel Artemis sejak 22 tahun lepas. Hotel Artemis dimulakan dengan kehadiran seorang jururawat yang bertugas sehingga kini (tahun semasa di dalam filem tersebut). Hotel Artemis membangun sebagai sebuah hospital untuk penjenayah yang berjaya, dengan benih dendam yang hanya bercambah 22 tahun kemudian.

Watak utama, Jean Thomas, dilakonkan oleh Jodie Foster, yang merupakan pelakon wanita yang sangat berpengalaman, dan dibantu oleh Everest, lakonan bekas ahli gusti Dave Bautista yang semakin menonjol wataknya menerusi filem-filem Marvel sebagai Drax. Jean Thomas adalah seorang wirawati dalam dunia perubatan, adalah bekas doktor. Pada mulanya beliau bertugas memberi perkhidmatan perubatan secara percuma kepada orang miskin sehinggalah anaknya ditemui mati di tepi laut, dikatakan terlebih mengambil dadah. Jean bertukar menjadi seorang yang murung dan pemabuk sehingga lesen perubatannya ditarik balik.

Tanpa masa depan, Jean ditemui dan dibentuk semula oleh Niagaria yang juga dikenali sebagai The Wolf King, yang merupakan ketua kumpulan penjenayah yang sangat kaya dan berkuasa sebagai jururawat penjenayah. Jika dunia orang baik tidak lagi menghargai bakat Jean sebagai doktor, maka biarlah Jean merawat penjenayah sahaja. Menolong orang dalam kesakitan adalah cita-cita suci Jean Thomas. Selama 22 tahun, Jean Thomas sentiasa menghidupkan harinya dengan lagu dan kata-kata positif.

Pada suatu hari Rabu, ketika California dilanda bencana rusuhan dan pertempuran, Jean Thomas tetap mengatakan ia adalah hari Rabu yang biasa. Bilangan penjenayah yang tercedera kerana mengambil kesempatan merompak meningkat. Hari Rabu tersebut mungkin bukan lagi hari Rabu yang biasa.

Apabila staf hotel melanggar peraturan, pelanggan hotel melanggar peraturan, pemilik hotel juga melanggar peraturan, maka Hotel Artemis menjadi huru-hara. Filem Artemis Hotel ini mempamerkan kehebatan Hotel Artemis sebagai sebuah kubu yang kuat untuk melindungi penjenayah tetapi kerana sifat penjenayah itu sendiri yang suka melanggar peraturan, akhirnya menenggelamkan kegemilangan Hotel Artemis.

Apakah yang akan dilakukan oleh Jean Thomas apabila mengetahui tentang pembunuh anaknya? Apakah niat-niat tersembunyi yang ada di kalangan tetamu-tetamu di Hotel Artemis? Jodie Foster menghidupkan watak Jean Thomas dengan baik.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah filem penuh dengan aksi berdarah dan babak pembedahan. Ramai orang akan mati dibunuh termasuk pihak polis. Suasana suram di Hotel Artemis menjadikan cuaca yang cerah itu suatu perkara yang mustahil melainkan ingatan imbas kembali Jean Thomas terhadap anaknya yang telah meninggal dunia.

Filem Hotel Artemis adalah sebuah karya asli dengan tema sebegini, tema tentang hotel yang menjadi tempat perlindungan dan perubatan bagi para penjenayah dengan keahlian dan peraturan-peraturan tertentu. Filem lain yang mempunyai unsur penciptaan seperti Hotel Artemis, adalah Hotel Continental dalam filem John Wick.

Ada kemungkinan konsep Hotel Artemis dalam filem ini boleh dikembangkan lagi, mewujudkan sekuel atau prekuel, atau francais bagi filem-filem berkonsepkan pusat perlindungan dan perubatan bagi penjenayah.

Ulasan Filem BILLIONAIRE BOYS CLUB (2018)


Filem drama berdasarkan kisah benar Billionaire Boys Club mengingatkan kita tentang The Wolf of Wall Street yang diharamkan tayangannya di Malaysia kerana unsur-unsur bahasa kesat, lucah dan aksi bogel yang keterlaluan. Berbeza dengan The Wolf of Wall Street, Billionaire Boys Club tidak mengandungi unsur-unsur tidak senonoh yang ketara.

Ia adalah satu filem berdasarkan kisah benar yang menarik tentang sekumpulan anak muda yang cuba mencari kekayaan dengan idea yang dianggap mustahil. Watak utamanya Joe Hunt, bergabung idea dengan Dean Karney untuk mewujudkan satu skim cepat kaya yang kelihatan sangat menyakinkan. Kita mungkin pernah dengar tentang Skim Ponzi atau Permainan Ponzi. Skim ini menjadikan pelabur-pelabur sebagai mangsa, dan duit yang diperolehi daripada mangsa-mangsa terkemudian dijadikan sebagai umpan, dibayar sebagai keuntungan untuk pelabur-pelabur terawal. Selagi penipuan dapat diteruskan, selagi itu mangsa berkemungkinan gagal menghidu penipuan.

Jenayah senyap yang bermula di Beverly Hills, dengan mangsa-mangsa terawal terdiri daripada rakan-rakan dan kenalan yang terdekat. Joe Hunt dan rakannya Dean Karney terperangkap apabila mereka menjadi mangsa penipuan oleh seorang yang lebih berpengalaman dalam bidang con artist.

Billionaire Boys Club didasarkan daripada kisah benar, maka ini mungkin menjadi punca kegagalan penulis skrip untuk melakarkan kisah dengan lebih menarik. Watak Joe Hunt tenggelam dengan kebangkitan watak Dean Karney, tidak ada unsur yang begitu menyentuh emosi penonton biarpun filem ini dikelaskan sebagai filem drama.

Penonton tidak boleh begitu mengharap untuk melihat babak-babak yang mengalirkan air mata, biarpun jalan ceritanya sepatutnya mampu menimbulkan kesan sebegitu terhadap penonton. Filem Billionaire Boys Club sekadar bercerita secara neutral, memaparkan apa yang berlaku tanpa meninggalkan kesan terhadap penonton.

Filem Billionaire Boys Club biarpun gagal memberi kesan yang mendalam terhadap penonton tetapi tetap dapat menyampai mesejnya kepada penonton supaya berhati-hati dengan skim cepat kaya yang telah banyak memperdayakan ramai mangsa di seluruh dunia.

Ulasan Filem Mission Impossible – Fallout (2018)


Filem Mission: Impossible – Fallout yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Ethan Hunt, yang bekerja di bawah IMF, sekali lagi muncul dengan pelbagai aksi yang mustahil dari segi logik akal tetapi diwaraskan dengan pelbagai penyelesaian yang kreatif. Musuh akan kelihatan sentiasa diperbodohkan biar betapa bijak pun mereka menipu penonton.

Disebabkan filem aksi Mission: Impossible – Fallout ini memerlukan protagonisnya menyelesaikan masalah secara di luar kotak pemikiran yang biasa, maka dengan berfikir secara di luar kotak, maka setiap plot atau jalan ceritanya sudah dapat diramalkan. Siapakah John Lark, apakah Hunt akan bertindak mengikut arahan antagonis dan sebagainya, semuanya sudah dapat dibaca. Filem Mission: Impossible – Fallout menggunakan plot yang bodoh dan jalan ceritanya juga serba mustahil tetapi hero seperti biasa mampu menangani hukum fizik dengan baik untuk melepasi cabaran dan rintangan.

Ethan Hunt memang orang yang bertuah, sentiasa sahaja bernasib baik dalam berdepan dengan sebarang masalah. Konsep kuasa luar biasa Ethan Hunt mirip John McClane lakonan Bruce Willis dalam Die Hard atau Domino dalam Deadpool 2, sentiasa dapat terlepas daripada maut biar pun berdepan dengan pelbagai risiko bahaya.

Disebabkan watak hero Ethan Hunt dalam filem Mission: Impossible – Fallout akan sentiasa bernasib baik, maka Christopher McQuarrie sudah pasti bertindak bijak dengan menulis dan mengarahkan jalan cerita Mission: Impossible – Fallout dalam bentuk separa komedi. Komedi merupakan taktik baru yang dibudayakan dalam filem-filem Barat sebagai cara menutup 'loop hole' atau kelemahan dalam merangka jalan ceritanya. Nampaknya, dunia semakin dilanda krisis karya-karya berkualiti.

Filem Mission: Impossible – Fallout biarpun adalah sebuah filem aksi yang memiliki unsur komedi, turut diadun dengan kesedihan, kematian dan keperwiraan. Watak Ethan Hunt diulas menerusi dialog watak-watak yang lain sebagai seseorang yang tidak sanggup memilih kehidupan yang bahagia jika beliau mengetahui masih ada bahaya atau orang lain yang akan ditimpa kesusahan.

Ethan Hunt tidak akan mengorbankan satu orang demi menyelamatkan berjuta-juta orang yang lain. Ethan Hunt akan memikirkan cara untuk menyelamat semua orang. Ini sifat perwira yang menjadikan cerita ini sebagai sebuah cerita yang menarik untuk ditonton.


Ulasan Filem The Mermaid: Lake of the Dead (2018)


Duyung atau Mermaid juga disebut Русалка dalam Bahasa Russia. Ada sesetengah mitos mengatakan duyung adalah makhluk yang baik dan ada sesetengah mitos mengatakan duyung adalah makhluk jahat berupa separuh wanita dari kepala hingga ke pusat dan mempunyai ekor seperti ikan dari pusat ke bawah. Sesetengah mitos menggambarkan duyung sebagai makhluk yang berupa buruk dan menakutkan, kelihatan ganas dengan gigi-gigi yang tajam.

Filem The Mermaid: Lake of the Dead mengisahkan tentang tragedi seorang wanita yang dikhianati cintanya, lalu membunuh diri di sebuah tasik dan menjadi hantu duyung yang berdendam dengan sekalian manusia, khususnya lelaki. Apabila ada lelaki yang mendekati tasik tersebut, duyung itu akan muncul sebagai seorang gadis yang cantik, menggoda dan memerangkap lelaki tersebut dengan janji setia terhadap cinta. Tidak kira sama ada lelaki itu bersetuju atau tidak, hantu duyung tersebut akan terus mengganggu lelaki tersebut hinggalah dia mati jika lelaki itu tidak menerima cintanya. Jika lelaki tersebut menerima cintanya, maka lelaki itu akan terperangkap dalam penderitaan mental, dan cuma satu cara sahaja yang dibenarkan oleh hantu duyung tersebut untuk merungkai perjanjian tersebut, iaitu dengan mengorbankan orang yang paling disayanginya.

Russia mempunyai budaya dan set pemikiran yang berbeza dengan Hollywood. Justeru, kebanyakan cerita dari Russia mempunyai plot yang agak berbeza daripada plot Hollywood. Jika penonton sudah biasa menonton filem seram Hollywood, filem seram dari Rusia yang berjudul The Mermaid: Lake of the Dead  akan memberi kejutan dan babak seram yang dipaparkan dengan baik untuk mengejutkan jantung anda.

Filem seram Russia The Mermaid: Lake of the Dead telah dialih suarakan ke Bahasa Inggeris, jadi kita tidak dapat mendengar lontaran suara pelakon-pelakon yang asal. Ini sedikit mengecewakan. Namun, boleh dikatakan semua filem dari Russia yang pernah dibawa masuk ke pawagam Malaysia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris.

Dalam filem Russia, persaudaraan dianggap sebagai perkara penting tetapi pada masa yang sama persaudaraan juga boleh menyebabkan seseorang itu mengkhianati orang yang bukan sedarah sedaging dengannya.

Isnin, Julai 23, 2018

Ulasan Filem HOTEL TRANSYLVANIA 3: SUMMER VACATION (2018)


Filem animasi Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation adalah satu lagi francais filem Hotel Transylvania yang sarat dengan lawak slapstick. Seperti biasa filem ini memanfaatkan adegan aniaya, derita atau kesakitan sebagai satu bentuk lawak, boleh dikategorikan sebagai filem lawak kasar yang kadangkala tidak disukai oleh sesetengah orang.

Biarpun begitu, filem Hotel Transylvania 3- A Monster Vacation ini masih memuatkan mesej yang baik, tentang bagaimana raksasa dan manusia boleh hidup berkongsi dunia dengan aman damai. Pun begitu, mesej ini juga merupakan mesej yang dibawa menerusi filem terdahulu. Manusia bercinta dengan keluarga pontianak masih menjadi tajuk dalam cerita ini.

Keluarga Van Helsing terkenal sebagai keluarga pemburu pontianak dan segala jenis makhluk supernatural yang dianggap sebagai membawa ancaman kepada manusia. Ericka yang berketurunan Van Helsing telah diamanahkan untuk meneruskan legasi dengan memerangkap dan membunuh Dracula. Dua keluarga yang berseteru selama beratus-ratus tahun akhirnya disatukan menerusi cinta pandang pertama yang dipanggil 'zing' dalam istilah raksasa.

Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation mempunyai visual yang menarik, dengan gabungan warna yang cantik. Lontaran-lontaran dialog oleh aktor-aktor suara juga menghidupkan lagi suasana dalam filem ini.

Secara jujurnya, filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation tidak mampu menandingi The Incredibles 2 dari segi plot, konflik dan aksi. Namun jika dibandingkan dengan filem-filem Hotel Transylvania 1 dan 2, boleh dikatakan filem ini adalah yang terbaik dari aspek visual dan kesan khasnya.

Filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation akan bermula dengan lawak yang tidak berhenti-henti, dan sesetengah lawak tersebut boleh mengeletek hati penonton. Sesetengahnya pula agak keterlaluan dan mungkin sukar diterima sebagai bahan gelak.

Mitos tentang Kota Atlantis yang tenggelam serta raksasa Leviathan dijadikan sebagai penyeri dan bahan lawak, diperalatkan oleh keluarga Van Helsing sebagai senjata utama untuk menghapuskan semua raksasa.

Abraham Van Helsing juga digambarkan sebagai seorang yang lemah, tidak bijak dan mudah dijerat dan ditewaskan dengan mudah oleh Dracula. Watak antagonis yang sangat cuai, lemah dan mengecewakan dihasilkan bagi mengimbangi kedudukan filem ini sebagai sebuah filem tontonan keluarga.

Tidak ada hukum fizik yang logik di dalam filem ini. Apa lagi yang boleh anda harapkan daripada sebuah filem kartun animasi 3 dimensi? Filem Hotel Transylvania 3 - A Monster Vacation adalah sebuah filem animasil dengan visual menarik dan konflik mudah yang diselesaikan dengan cinta pandang pertama dan kebaikan hati yang mudah memaafkan serta mengakui kesilapan diri.