BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Surat Pembaca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Surat Pembaca. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 21, 2015

SURAT PEMBACA: Mengatasi Penyakit Rasa Dibenci Semua Orang

SURAT PEMBACA: Mengubati Penyakit Rasa Dibenci Oleh Semua Orang

"Tangkap, teliti dan tukar." - Amiene Rev

Saya mempunyai masalah rendah diri yang kompleks. Sehingga pada satu tahap, saya fikir semua orang di sekeliling membenci saya. Apa perlu saya lakukan?

J.o.h.n


MAKLUM BALAS AMIENE REV:

Salam bahagia buat John,

Masalah rendah diri dan rasa dibenci oleh orang lain adakalanya berkaitan dengan trauma semasa kecil. Ia menyebabkan rasa ingin menyalahkan diri sendiri.

Soalan saya kepada John: Jika diberi pilihan, antara menyalahkan diri sendiri dengan memperbaiki diri sendiri, mana lebih baik untuk diamalkan? Ya, sudah tentu memperbaiki diri sendiri itu lebih baik. John, berhenti menyalahkan diri sendiri dan tukarkan kepada sikap mahu memperbaiki diri sendiri. Tidak ada orang yang sempurna di dunia ini, John.

Di sini ada beberapa saranan atau cadangan yang boleh saya berikan untuk mengatasi penyakit rendah diri dan rasa dibenci oleh semua orang:

1. Apabila bercakap dengan diri sendiri, bayangkan bagaimana caranya kita mahu bercakap dengan orang yang kita sayang. Adakah kita berani menyakiti hatinya? Tidak. Sudah tentu kita mahu menjaga hatinya. Begitulah cara yang patut kita lakukan kepada diri sendiri.

2. Ada satu cara lagi untuk mengatasi masalah suka merendah-rendahkan diri sendiri atau menyalahkan diri sendiri. Cara ini dipanggil tangkap, teliti dan tukar. Kita tangkap mana-mana pemikiran negatif dalam minda kita yang suka bersangka buruk atau berfikir negatif terhadap diri kita sendiri. Kita teliti sama ada sangkaan itu benar atau salah. Jika benar, tukar kepada lebih baik. Sebagai contoh, orang kata kita malas. Kita teliti dan nilai diri sendiri sama ada kita ini benar-benar malas atau tidak. Jika benar kita tidak rajin, kita tukar pemikiran kita bahawa kita rajin dan kita akan buktikan bahawa kita benar-benar rajin. Buat!

3. Dekatkan diri dengan agama, dan fahami konsep ketuhanan. Tuhan itu sangat pemaaf walaupun dia memiliki kuasa untuk melakukan apa sahaja ke atas kita. Dia boleh sahaja menghapuskan kita jika dia membenci kita, tetapi kenapa kita dibiarkan terus hidup? Hidup itu peluang. Peluang untuk menebus apa-apa kesalahan dan memperbaiki apa-apa kekurangan dalam diri kita. Hargai peluang ini.

Ingat, John. Di dunia ini, sentiasa ada peluang dan kemaafan. Kita mesti memaafkan diri kita dan berjanji untuk memperbaiki diri kita. Sebab, kita semua manusia. Hanya Tuhan yang sempurna dalam semua segi. Kita cuma manusia, kita tidak sempurna, tetapi kita diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan diri.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Tangkap, teliti dan tukar. Jadi lebih baik!

NOTA: Dalam novel IBRIM & TOWA, Towa digambarkan sebagai seorang remaja yang sering dianggap menyusahkan dan dibenci oleh beberapa orang rakan sekampungnya. Dia bagaimana pun tidak pernah berputus asa, dan sentiasa percaya dia boleh menyumbang sesuatu untuk masyarakatnya. Towa berubah daripada seorang yang dianggap menyusahkan, kepada seorang wira yang disanjung.

Jumaat, April 03, 2015

SURAT PEMBACA: Kekalkan Persahabatan Ini?


Kali ini saya pilih satu lagi e-mel daripada pembaca Blog Duke Amiene Rev untuk ruangan Pos Masalah anda. Penghantar e-mel ini nampaknya risau akan hubungan persahabatannya disebabkan faktor yang tersebut di dalam tulisannya.

Masalah Anda: Perbezaan Cara Pemakaian Pengaruhi  Persahabatan?
Assalamualaikum. Tahun lepas saya berkawan dengan salah seorang rakan sekelas saya. Kami pun jadi kawan baik. Tapi walaupun hubungan kami sangat baik, saya berasa janggal kerana perbezaan kami adalah saya bertudung labuh dan dia biasa-biasa. Masalahnya, kakak dia berpakaian ketat. Dan dia pasti pelik kerana orang yang bertudung labuh merupakan kawan baik adiknya. Sebab itu saya rasa janggal. Adakah persahabatan ini akan terus kekal?

Lili

JAWAPAN AMIENE REV: Waalaikum salam. Persahabatan itu akan kekal bergantung pada niat dan tujuan kita memulakannya. Pernah dengar mengenai 7 jenis persahabatan dan hanya 1 yang akan kekal. Di sini, biarlah saya kongsikan dengan Cik Lili. Semoga berguna dijadikan panduan mencari sahabat.

1. TA'ARUFFAN
Persahabatan yang terjalin secara kebetulan, seperti pernah bertemu di stesyen kereta api, hotel, hospital, pejabat pos, ATM, dan lainnya.

2. TAARIIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah, misalnya teman sekampung, satu kelas, satu sekolah, satu asrama, dan sebagainya.

3. AHAMMIYYATAN
Persahabatan yang terjalin karana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes, politik dan sebagainya.

4. FAARIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi, seperti teman futsal, badminton, memancing, dan sebagainya.

5. AMALAN
Persahabatan yang terjalin kerana kerjaya, misalnya sama-sama guru, doktor, arkitek dan sebagainya.

6. ADUWWAN
Sahabat tetapi musuh: di depan kita bukan main dia baik lagi tetapi apabila belakang kita ... Allah! Pijak semut pun tak mati! Talam dua muka. Seperti firman Allah SWT : "Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati mereka, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati ..." (Surah Ali Imran : 120)

Rasulullah SAW mengajarkan doa : "Allahumma Ya Allah ... selamatkanlah aku daripada sahabat yang bila melihat kebaikanku dia sembunyikan tetapi apabila dia melihat keburukanku dia sebarkan."

7. HUBBAN LIMAANAN
Sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta dan sayang kerana ALLAH Azza wa jalla, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam pada penghujung malam, dia mendoakan sahabatnya. Boleh jadi dia tidak bertemu tetapi dia cinta sahabatnya kerana Allah Ta'ala.

Daripada 7  jenis persahabatan di atas, 1 hingga 6 akan LENYAP di akhirat. Yang tinggal hanya 1 ikatan persahabatan iaitu persahabatan yang ke-7. Persahabatan yang terjalin kerana Allah Taala seperti firman Allah SWT : "Pada hari itu (Kiamat) sahabat - sahabat karib akan menjadi musuh bagi yang lain kecuali persahabatan kerana ketaqwaan" (Surah Az-Zukhruf :67)

Rabu, Mac 25, 2015

Surat Pembaca Amiene Rev - Keliru Dengan Pilihan

Salam terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya. Saya berkenalan dengan seorang lelaki pada tahun 2010 hubungan kami banyak kali terputus dan sambung balik. Dia bukan seorang lelaki yang caring sehingga membuat saya merana sehingga saya diserang migrain berhari lamanya.  Sehingga kesabaran saya hilang saya membuka pintu hati kepada orang lain pada tahun 2012 dia boleh dikatakan baik dan banyak mendengar masalah saya, tetapi dia tinggal jauh di utara sedangkan saya di kuala lumpur. Kami hanya berjumpa sekali sekala apabila saya pulang ke kampung di perak. Namun berlaku gaduh besar dalam hubungan kami dan saya memberikan syarat jika dia tidak melamar saya, saya mintak dia lupakan saya. Kerana takut kehilangan saya kami bertunang pada hari merdeka yang lepas. Dan menetapkan tarikh perkahwinan pada bulan 5. 

Masa kami bertunang bekas teman lelaki yang banyak menyeksa saya dahulu kembali dan mengatakan dia telah putus tunang dan tidak boleh melupakan saya dan sanggup menunggu sehingga saya berkahwin kerana dia menyesal dengan apa yang telah dia lakukan pada saya dahulu. Dia dah bayak berubah rajin ke masjid. Tidak tinggal solat. Saya ada rasa ingin kembali kepadanya dengan perubahan yang berlaku tetapi saya buang perasaan itu kerana saya telah bertunang. Pada suatu hari hidup saya diuji saya benar-benar tertekan. Dengan kerja yang terpaksa saya berhenti walaupun belum mendapat pekerjaan lain. Dengan hubungan dengan tunang saya yang ada masalah berpunca dari dia. Saya telah menghubungi bekas teman lelaki untuk menghilangkan rasa tertekan. Bila hubungan saya dan tunang telah kembali pulih saya masih teringatkan bekas teman lelaki saya. 

Apa yang harus saya lakukan? Pernah saya terfikir untuk memutuskan hubungan tunang saya untuk kembali kepada bekas kekasih saya. Sejak kami berjumpa kembali saya tidak boleh melupakannya. Saya tidak mahu menghancurkan perasaan tunang saya dengan alasan bekas kekasih saya lebih sayang saya, dengan jarak kami yang dekat dan saya tidak perlu pindah ke Penang setelah berkahwin. Apa jalan terbaik yang boleh saya lakukan. Perlukah saya menyerahkan semuanya pada takdir.

Keliru dengan pilihan

MAKLUM BALAS AMIENE REV: Salam kembali. Dua perkara yang boleh saya katakan kepada saudari ialah:

Pertama, lakukan solat istikharah dan minta kepada Allah petunjuk yang terbaik tentang keputusan saudari.

Kedua, tunggu keputusan solat istikharah tersebut. Jika pihak yang lain mendesak, katakan saudari sedang berikhtiar, dan sedang menanti keputusan solat istikharah tersebut.

Apa pun keputusan yang saudari perolehi, maka yakin dan percayalah, bahawa Allah sedang mengatur jodoh yang terbaik untuk saudari.

Semoga saudari sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera, dan dapat menghadapi kehidupan ini dengan tenang dan bahagia.

Salam hormat daripada Amiene Rev.

Jumaat, Disember 23, 2011

Surat Pembaca - Anak 6 Tahun Alami Masalah Pembelajaran Di Tadika

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.


Surat Pembaca: Anak Lemah Dalam Pembelajaran
Salam. Saya ada seorang anak yang berumur 6 tahun. Dia sangat lemah dalam perbelajaran. Dia belajar di tadika dekat rumah. Menurut cikgunya, dia tidak seperti kawan-kawannya yang lain. Dia tak boleh ikut apa yang diajar oleh gurunya. Saya nak tanya, apakah sebabnya dan bagaimana untuk mengatasinya? Sekian, terima kasih.

Hadi Zainal


Jawapan Amiene Rev: Perlu Jumpa Pakar Kanak-kanak
Salam kembali. Saya pernah ditemukan dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah dalam pembelajaran seperti ini. Ada beberapa kes yang mungkin berkaitan dengan anak saudara, antaranya:

Masalah pembelajaran khusus
Keadaan ini selalu dipanggil 'dyslexia ' dalam bahasa Inggeris. Ini dapat dikenali sebagai satu keadaan di mana kanak - kanak yang tidak mengalami kecacatan akal atau kurang minat mengalami kesukaran sama ada membaca , menulis atau mengira.

Keadaan ini selalu tidak dikenali dan ini menyebabkan kanak - kanak ini meneruskan persekolahan mereka tampa mendapat bimbingann yang sesuai . Akibatnya timbul perasaan konsep diri yang negetif atau kelakuan yang mungkin menimbulkan masalah disiplin di sekolah. Kanak - kanak yang mendapati sukar membaca memerlukan orang untuk membaca kepadanya atau diajar melalui rakaman pita. Masalah pembelajaran khusus ini memang sudah lama dikenali tetapi hanya sedikit sahaja bilangan kanak - kanak yang berjaya dikenalpasti dan diberi kurikulum pembelajaran khas oleh kerana kekurangan pakar - pakar dalam bidang Psikologi pembelajaran.

Kekurangan pendengaran dan / atau penglihatan
Kanak - kanak yang pekak lazimnya tidak boleh bertutur dengan jelas walaupun dia boleh memahami percakapan orang lain sama dengan cara bacaan bibir atau cara - cara lain. Oleh kerana pendengaran merupakan deria yang paling mustahak untuk pembelajaran , kanak - kanak yang pekak akan kebelakang didalam kelasnya. Kanak - kanak ini memerlukan cara pengajaran yang khas.

Kanak - kanak yang kurang jelas penglihatannya akan kurang mampu menangkap maklumat yang ditulis di papan hitam. Jika dia tidak menyatakan masalah kepada guru dan gurunya pun tidak mengetahui , keadaan ini akan berterusan sehingga akan menjejaskan pembelajarannya. Kebanyakkan daripada kanak - kanak ini boleh dan mesti dipulihkan dengan memberi kaca mata yang sesuai.

Perkembangan yang lambat
Ada pula kanak - kanak yang menempuhi proses perkembangan mental yang lambat tampa apa - apa kecacatan jasmani.Walaupun umurnya sudah enam tahuin umpamanya , pengalaman dan pemikirannya mungkin seperti kanak - kanak yang berumur lima tahun. Kanak - kanak ini perlu diberi galakkan dan bimbingan yang sewajarnya untuk membolehkan perkembangan kognitifnya berterusan . Walaupun ada baiknya jika pendaftaran persekolahan dilambatkan ini selalunya tidak dapat dilakukan pada masa kini. kanak - kanak seperti ini bukanlah mengalami kecacatan akal dan jika tidak dikenalpasti dan diberi bimbingan yang sewajarnya mungkin ada menyerap konsep diri yang tidak sihat. Kanak - kanak ini akan mendapat manafaat jika dirancang.

Masalah bahasa dan pertuturan
Kefahaman bahasa serta pertuturan  adalah mustahak bagi seseorang itu berinteraksi dengan orang lain. Jika seseorang itu tidak boleh memahami bahasa atau mengunakan bahasa kerana sesuatu gangguan pada urat sarafnya , ini akan menjejaskan pembelajarannya. Keadaan ini tidak selalu berlaku tetapi perlu dikenal pasti supaya dapat diberi cara pemulihan yang sesuai untuknya.


Saya cadangkan saudara Hadi Zainal membawa anak saudara bertemu pakar kanak-kanak atau doktor. Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran sebenarnya boleh berjaya dalam hidup, malah telah dibuktikan ramai tokoh ternama di dunia pernah mengalami masalah pembelajaran. Sekiranya anak saudara benar-benar ada masalah pembelajaran, anak saudara memerlukan pendidikan khas. Jalan terbaik buat masa ini adalah dengan membawa anak saudara bertemu pakar kanak-kanak. Di sana, saudara akan mendapat prosedur yang betul untuk membantu anak saudara.

Yang benar,
AMIENE REV

Terdapat bahan yang dirujuk dari sumber:

Ahad, Disember 18, 2011

Surat Pembaca - Gadis Comel Sering Dikecewakan Lelaki Kerana Gagal Ubah Tabiat Bercakap Kasar

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

SURAT PEMBACA: GADIS CANTIK SERING DITINGGALKAN LELAKI KERANA TABIAT BERCAKAP KASAR
Salam. Saya berumur 24 tahun, bekerjaya, mempunyai rupa paras yang menarik, berkulit cerah,baik,bergaya, dan berwajah comel. Ramai rakan lelaki mengatakan saya mempunyai cukup pakej. Tetapi kisah cinta saya selalu tidak berkekalan. Seringkali orang yang saya suka hanya suka saya sementara sahaja.

Selepas 5-6 bulan, selalunya mereka akan berubah hati kepada orang lain padahal saya sangat sayang pada mereka. Bila saya tanya apa salah saya, mereka akan cakap saya tidak salah apa-apa malah mengatakan saya amat baik. Kadang kala saya menjadi bingung. Salahkah kalau kita menjadi baik, tidakkah mereka mahu pasangan yang baik dan cukup pakej?

Saya sering berfikir-fikir apa silap saya dalam perhubungan yang mungkin saya boleh perbaiki. Adakah kerana cara saya bercakap kasar membuatkan mereka berubah hati? Saya cuba untuk mengubah cara cakap saya, tetapi susah sebab saya dah hidup 24 tahun dengan cara bercakap macam tu dan ianya mengambil masa kalau kita nak berubah. Orang tua saya sudah bertanya adakah saya mempunyai teman istimewa sekarang memandangkan ramai kawan-kawan saya sudah berkahwin dan bertunang.

Saya selalu perasan ramai lelaki selalu memandang saya tapi jarang sekali untuk bertegur dengan saya, maksud saya untuk berkenalan. Rakan saya pernah cakap kalau orang tidak mengenal saya, mereka akan ingat saya sombong dan mempunyai kelas tersendiri berbeza dengan saya yang sebenarnya.

Saya risau tahun depan saya akan 25 tahun dan saya masih tiada teman istimewa. Kadang-kadang timbul perasaan cemburu melihat orang lain bahagia sedangkan saya masih bersendirian padahal boleh dikira cukup pakej. Saya bingung, buntu tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Adakah kerana saya terlalu baik menyebabkan saya sering dipermainkan? Bagaimana harus saya buat untuk orang tertarik untuk berkenalan dengan saya?

Eira Sofia


JAWAPAN AMIENE REV: BUDI BAHASA DAN SOPAN SANTUN ADALAH KECANTIKAN DALAMAN
Salam kembali. Saya bersimpati dengan saudari Eira Sofia kerana sering dikecewakan lelaki. Kecantikan, mempunyai dua makna bagi lelaki. Pertama, kecantikan luaran, iaitu rupa paras. Kedua kecantikan dalaman, iaitu budi bahasa. Saudari tentu bergred A+ dari segi kecantikan luaran, tetapi dari aspek kecantikan dalaman, mungkin banyak lagi yang perlu saudari perbaiki.

Tempoh 5-6 bulan pertama dalam hubungan mungkin boleh dianggap sebagai tempoh percubaan. Lelaki-lelaki ini menggunakan tempoh itu untuk mengenali saudari dari aspek dalaman. Jarang ada lelaki yang mudah menerima wanita yang bercakap kasar. Pepatah Melayu ada mengatakan, kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa.

Mulut dan lidah adakalanya lebih tajam daripada pedang, boleh menikam terus ke hati dan emosi tanpa perlu melukai kulit dan daging. Lelaki lebih tertarik dengan wanita yang lembut budi bahasanya walaupun wanita itu berkulit hitam, atau berwajah biasa-biasa. Bayangkan sehelai pakaian berjenama mahal tetapi tercalit lumpur dan sampah. Adakah saudari sangup memakainya? Bayangkan pula sebuah radio yang cantik rekaannya, tetapi bunyinya bingit dan menyakitkan telinga. Sanggup saudari simpan atau gunakan radio itu?

Kata-kata kasar itu akan terngiang-ngiang di telinga lelaki, dan seterusnya menimbulkan rasa tidak suka, benci, geram, tersinggung, tercabar dan dendam, walaupun saudari tidak berniat jahat. Akhirnya saudari pun ditinggalkan.

Bercakap kasar juga tidak dianjurkan di dalam agama. Selain menyakiti dan menyinggung perasaan orang, bercakap kasar juga boleh mendatangkan dosa. Dapat dosa, ditinggalkan lelaki. Kan, tidak bagus tu?

Budi bahasa adalah kecantikan dalaman bagi semua insan. Berfikir sebelum bercakap adalah latihan terbaik untuk saudari. Semoga saudari akan dapat memperbaiki kecantikan dalaman, dan menjadi lebih cantik lagi di mata dan di hati lelaki pada masa akan datang.

Yang benar,
AMIENE REV

Sabtu, Disember 17, 2011

Surat Pembaca - Menghilangkan Rasa Sunyi

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

SURAT PEMBACA - SERING KESUNYIAN

Saya sentiasa berasa kesunyian dan kesepian setiap hari. Pelbagai perkara telah saya cuba lakukan untuk menghapuskan perasaan tersebut selain dengan menyiapkan assigment, saya juga melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan dan memenuhi masa terluang dengan membaca buku cerita atau sebarang bahan bacaan. Namun, perasaan tersebut akan hadir juga beberapa ketika kemudian. Saya tidak tahu apa lagi tindakan yang patut saya ambil. Saya kurang gemar berada bersama kawan-kawan yang ramai dan menghabiskan masa berborak kosong dan melepaskan hilai tawa yang keterlaluan. Saya sentiasa merasakan ingin berteman dengan seseorang yang memahami saya. Kadang-kadang kesunyian dan kesepian yang melanda jiwa saya menjadikan saya agak tertekan kerana sudah buntu.

Apa lagi yang harus saya lakukan bagi menghilangkan perasaan sebegini. Kerap kali juga uga saya menangisi kesunyian dan kesepian yang dialami. Saya harap masalah saya ini dapat diberi penawarnya agar saya gembira dan kesunyian itu diganti dengan kebahagiaan.

Miss Lonely



JAWAPAN AMIENE REV : LIHAT KELEBIHAN DIRI DAN PENDERITAAN ORANG LAIN, KITA AKAN MAKIN BERSYUKUR.

Daripada apa yang saya faham mengenai masalah saudari Miss Lonely ini, bukanlah kesunyian, tetapi kemurungan. Saya yakin, Miss Lonely adalah seorang pelajar di peringkat pengajian tinggi. Saudari berasa tidak mendapat kepuasan dalam hidup, lantaran tidak ada teman yang betul-betul dapat memahami keperluan saudari.

Kadangkala tidak semua perkara dapat memenuhi kehendak atau ikut kemahuan kita. Saudari harus belajar untuk menerima rakan-rakan lain. Mungkin saudari berasa sunyi kerana kawan-kawan lain suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, sedangkan saudari pula dari jenis yang suka melakukan sesuatu yang berfaedah.

Saudari mungkin seorang yang bercita-cita tinggi. Jika saudari ada matlamat yang boleh dicapai, cubalah isu ruang masa saudari dengan mencapai matlamat tersebut. Mungkin saudari boleh cuba tuliskan apa masalah saudari di dalam jurnal atau hasil pembacaan saudari di dalam jurnal dan berkongsi idea dengan penulis-penulis intelek yang lain? Atau, sertai mana-mana kelab atau persatuan kebajikan supaya saudari dapat mengenali lebih ramai aktivis kemanusiaan yang suka melakukan perkara-perkara berfaedah.

Mungkin, dengan melakukan kerja-kerja kebajikan di dalam kelab atau persatuan, seperti ke rumah orang-orang tua, akan membuka pandangan saudari tentang erti kesunyian. Orang-orang tua, atau pesakit-pesakit kanser di wad kritikal mungkin melalui tempoh kesunyian yang lebih teruk. Jika ini benar, saudari akan dapati bahawa saudari lebih beruntung daripada mereka.

Bersyukurlah. Bersyukur adalah kunci penghapus kesunyian.

Yang benar,
AMIENE REV

Jumaat, Disember 16, 2011

Surat Pembaca - Emak Pilih Kasih

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.


Mama Pilih Kasih - Ibu Pilih Kasih

Asalamualaikum Amiene Rev, saya ada masalah. Mama saya sentiasa menangkan abang saya. Walaupun mama tidak pernah membuat apa-apa yang keterlaluan kepada saya, tetapi mama selalu lebihkan abang daripada saya. Apa kemahuan abang semua dituruti, jika saya. Memang tidak boleh. Saya sentiasa hormat dan patuh kepada mama tetapi kadangkala semuanya abang sahaja yang betul saya sahaja yang salah. Tolonglah saya, saya sentiasa bersabar menghadapinya. Dalam masa yang sama saya perlukan motivasi.

Rosza Zaza


Jawapan Amiene Rev - Berdoa Kepada Allah Agar Lembutkan Hati Mama


Waalaikumussalam, Rosza. Pilih kasih kadangkala berlaku dalam keluarga. Dalam keadaan ini, anak yang sering dipinggirkan pasti akan merasa sedih. Sekiranya Rosza masih seorang pelajar, mungkin Rosza boleh mendapat perhatian yang Rosza tidak dapat daripada emak Rosza itu melalui guru-guru. Guru-guru di sekolah kaya dengan nasihat, kaya dengan ilmu, mungkin mereka boleh membantu Rosza untuk maju dalam pelajaran, mencipta fokus di sekolah dan seterusnya mengalihkan tumpuan Rosza daripada masalah emak Rosza yang suka melebihkan abang Rosza.

Saya tidak pasti apa yang Rosza minta, dan apa pula yang abang Rosza minta sehingga mudah dipenuhi. Adakah kerana permintaan Rosza itu terlalu berat untuk dipenuhi berbanding permintaan abang Rosza. Apa pun, saya nasihatkan Rosza agar sentiasa berdoa kepada Allah, agar hati emak Rosza dapat dilembutkan, dan berlaku adil kepada anak-anaknya.

Salam maju jaya Rosza. Semoga kebahagiaan semakin menghampiri.

Yang benar,
AMIENE REV

ANDA ADA MASALAH? Duke Amiene Rev: Pos Masalah Anda - Borang 

Khamis, Disember 15, 2011

Surat Pembaca - Ingin Kembali Ke Sekolah

Isi kandungan surat ini telah diubah ke bentuk Bahasa Melayu TInggi kerana Blog Amiene Rev mengutamakan ejaan Bahasa Melayu Tinggi. Ejaan singkatan SMS tidak diterima kerana e-mel tidak ada batas bilangan teks atau huruf.


Soalan: Pembaca Mahu Kembali Sekolah Untuk Ambil SPM
Saya hendak bertanya. Saya sudah berhenti sekolah sejak saya tingkatan 1 tetapi saya mahu sekolah balik untuk ambil SPM tahun ini. Adakah sekolah akan beri peluang kepada saya?

Zamri


Jawapan Amiene Rev:

Terima kasih kepada Zamri kerana sudi menghantar e-mel kepada pihak editorial blog Duke Amiene Rev. Pertama, saya cadangkan Zamri supaya merujuk kepada pihak kaunselor sekolah mengenai cara-cara kemasukan semula ke sekolah. Sebenarnya saya kurang jelas dengan maklumat yang Zamri berikan. Apa pun untuk pengetahuan Zamri, sehingga kini, masih ada pelajar yang berusia lebih daripada 20 tahun, malah ada yang berusia 30 tahun dan masih mahu mengambil SPM. Tujuan mereka mengambil SPM pada usia 30 tahun adalah kerana sebelum ini mereka tidak memiliki sijil SPM dan tidak dapat naik pangkat.

Jika seorang ayah atau ibu yang telah bekerja dan berusia 30 tahun pun masih sanggup menduduki bangku peperiksaan SPM, apatah lagi Zamri. Peluang itu ada dan boleh diperolehi jika ada kesungguhan.

Sebarang usaha untuk masuk semula ke sekolah biasanya boleh dirujuk terus menerusi PPD berdekatan. Sekiranya berjaya, Zamri akan diberi kebenaran untuk kembali ke sekolah. Untuk maklumat lanjut tentang prosedur kemasukan semula ke sekolah, sila hubungi pihak sekolah atau pergi terus ke sekolah dan buat temu janji dengan kaunselor untuk panduan lanjut.

Semoga maklumat ringkas yang saya berikan ini dapat membantu Zamri untuk membina masa depan yang lebih gemilang. Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Sabtu, Disember 25, 2010

Menjelang Lembaran Baru 2011

Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut, saya ingin memaklumkan terlebih dahulu mengenai surat-surat pembaca atau lebih tepat, surat-surat elektronik yang telah saya terima daripada para pembaca blog Duke Amiene Rev. Terima kasih saya ucapkan di atas surat elektronik yang telah anda kirimkan kepada saya. Hari ini saya dapat melihat semuanya, dan memang saya tahu masih banyak yang belum sempat saya balas.

Kedua, saya meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi kehendak peminat-peminat blog saya, di mana identiti saya sebagai Amiene Rev adalah rahsia. Ini kerana saya tidak suka mendedahkan apa-apa tentang dunia realiti saya dan itu bermaksud diri saya juga. Malah, saya juga tidak mempromosikan blog saya kepada rakan-rakan saya di dunia realiti. Bagi saya, blog saya adalah satu dimensi yang berbeza. Tidak seronoklah menulis blog jika saya mendedahkan diri saya di sini. Lagi pun, saya bukanlah jenis yang suka mempromosikan diri, jauh sekali menginginkan populariti. Saya lebih suka mempromosikan blog saya kepada orang-orang yang jauh, yang bukan terdiri daripada mereka yang berada di persekitaran saya. Saya begitu perahsia orangnya.

Saya tidak pernah memberitahu di dalam blog saya tentang di mana saya tinggal secara jelas, apakah pekerjaan saya, dan apakah status saya yang terkini. Ini kerana saya sememangnya tidak suka dikenali. Sebagai blogger, apa yang saya utamakan ialah tulisan saya dan bukan hal-hal peribadi saya. Tulisan saya adalah ulasan saya berkenaan hal-hal di dunia dan juga di akhirat. Semoga ini menjawab pertanyaan beberapa orang peminat blog Duke Amiene Rev. Semoga anda yang bertanyakan soalan ini dapat menerima jawapan ini.

Orang yang tahu mengenai siapa diri saya cuma penerbit-penerbit akhbar, majalah dan buku-buku yang tertentu sahaja. Itu pun atas dasar urusan 'profesional' atau urusan kerjaya. Saya akui saya pernah beberapa kali dihubungi oleh pihak media, akhbar dan malah penerbit besar itu sendiri. Namun sekali lagi saya beritahu, saya adalah seorang yang low profile. Saya pernah menghadiri majlis ilmu di mana terdapat ramai orang-orang terkenal dan di situ saya masih tidak memperkenalkan identiti saya. Bagi saya, dunia blogger, dunia penulisan dan dunia realiti saya adalah dua perkara berbeza yang semakin dirahsiakan semakin bagus.

Hal di dunia nyata dan hal blogger adalah dua perkara berlainan. Ada orang pernah bertanya dan meminta alamat blog saya di dunia nyata, tidak saya layan. Ada yang berasa pelik kenapa saya tidak mahu memberikan alamat blog saya sedangkan ramai blogger suka memberikan alamat blog mereka kepada kawan-kawan mereka.

Jawapan saya cuma ini, saya mahukan privasi dan pada masa yang sama saya tidak dapat berdiam diri apabila melihat terlalu banyak isu yang kelihatan tidak terubat atau terbiar. Saya juga kasihan melihat ramai manusia dilanda masalah dan tidak berpeluang untuk menyuarakan luahan hati mereka, maka saya wujudkan ruangan tersebut di blog saya.

Asalnya, saya memiliki sebuah web forum sahaja. Temanya "Find Your Destiny Through Unity" dan "Cari Kawan dan Kaunseling" yang bertujuan membantu individu-individu yang mengalami masalah peribadi atau jiwa yang serius. Alhamdulillah, sepanjang beberapa tahun laman forum itu dihidupkan, terdapat beberapa individu yang bermasalah berjaya menemui haluan hidup mereka. Kemudian saya mendapati satu perkara berkaitan internet, yang kalau tidak dibendung boleh mendatangkan ketagihan. Lalu saya meminta semua ahli forum tersebut supaya tidak menumpukan sangat terhadap laman forum saya, dan saya menarik diri supaya ahli-ahli yang lain juga berbuat begitu. Hal ini ada saya ceritakan dalam salah satu edisi majalah elektronik Amiene Rev E-Zine saya.

Ini kerana saya tidak mahu mereka menghabiskan banyak masa di depan komputer. Lebih baik mereka tumpukan hal-hal di dunia realiti. Lalu kemudian, saya muncul kembali secara tunggal menerusi blog Duke Amiene Rev. Biarpun begitu, saya dapati masih ramai individu yang masih mahu membantu, menjadi sukarelawan. Terima kasih.

Saya tidak tahu kenapa ramai orang sudi mengikuti saya. Namun saya tahu, mereka ini semuanya ikhlas mahu membantu saya. Itu pun saya hadkan juga. Saya percaya, setiap orang berhak mencipta laluan sendiri, dan mungkin kita akan sama-sama bertemu dalam laluan tersebut. Jika haluan kita sama, mungkin, ya, mungkin itu ada baiknya. Perjuangan yang seiring.

Di sini saya ingin memaklumkan kepada semua pembaca, pada tahun 2011, saya ternyata akan lebih sibuk. Jadual saya semakin padat. Untuk membaca surat pembaca, saya selalunya akan membacanya apabila saya berada dalam keadaan damai atau tenang. Ini memudahkan saya untuk menghayati masalah atau luahan yang dikirimkan oleh pembaca. Cuma satu sahaja, saya sangat pantang apabila orang menulis surat kepada saya dengan menggunakan Bahasa SMS. Semasa zaman aktif web forum Dragonizer, kerap kali saya mengingatkan ahli-ahli supaya menggunakan Bahasa Melayu Standard dan ejaan yang betul. Alhamdulillah, ahli-ahli pada ketika itu menghormati permintaan saya.

Memang saya akui, saya banyak bersabar apabila membaca surat-surat pembaca. Pada fikiran saya, mereka ada masalah dan perlu saya bantu. Namun cara penulisan surat menggunakan tanda baca, ejaan dan Bahasa SMS menyebabkan surat tersebut susah untuk dibaca. Semoga peristiwa penulisan surat seperti itu tidak berulang lagi. Kadang kala saya lebih kagum dengan orang Barat yang apabila menulis surat, mereka menulis dengan sopan walaupun mereka menceritakan masalah mereka. Lihat sahaja blog-blog mereka. Mereka menyanjungi bahasa ibunda mereka. Kenapa tidak orang Malaysia? Semoga semua pembaca akan semakin mencintai bahasa kebangsaan.

Tahun 2011 bakal menjelma. Saya tidak pasti saya akan ada banyak masa lapang lagi selepas ini, kerana selepas ini, saya perlu banyak membuat persediaan untuk ke tahun 2011. Apa pun saya memohon maaf kepada semua pihak jika saya ada terkasar bahasa atau tersilap kata dalam penulisan saya sehingga ke hari ini, dan semoga bertemu lagi pada tulisan yang akan datang!

Salam hormat,
Amiene Rev

Jumaat, Disember 24, 2010

Kepada Para Pengunjung dan Pembaca Blog Duke Amiene Rev

Salam sejahtera buat para pembaca blog Duke Amiene Rev yang terdiri daripada pelbagai golongan kaum, agama dan usia. Sejak dari tahun pertama blog ini diperkenalkan, saya telah menggunakan Haloscan, yang mempunyai sistem mengesan lokasi pemberi komen di blog ini.

Berkenaan Haloscan
Di sini saya memaklumkan kepada anda semua, sekitar bulan Disember tahun 2009, Haloscan telah menamatkan perkhidmatan percumanya. Sejak itu ECHO telah mengambil alih pengurusan Haloscan. Pembantu saya ada memberitahu saya terdapat banyak komen yang dihantar menerusi ECHO, boleh ditemui di setiap entri atau artikel, tetapi komen-komen tersebut tidak lagi diluluskan untuk disiarkan, memandangkan saya bukan pengguna berbayar ECHO. Komen-komen tersebut walau bagaimana pun boleh dibaca oleh pembantu-pembantu sukarelawan saya. Mereka bertugas menguruskan mana-mana maklum balas yang dihantar kepada saya.

Entri berkenaan Haloscan boleh ditemui di sini:
In Memory Of Haloscan - Haloscan Meninggalkan Dunia Blogger Dengan Bermaruah


Pos Masalah Anda
Sementara itu, urusan surat-menyurat di Pos Masalah Anda pula adalah menerusi BORANG POS MASALAH ANDA yang boleh anda temui sekiranya anda merujuk pada entri atau pos terawal di ruangan Masalah Anda. Untuk pengetahuan para pembaca, sehingga kini, saya menerima ratusan surat pembaca yang belum sempat dibalas. Bayangkan setahun cuma ada 365 hari sahaja. Diminta mematuhi syarat-syarat penulisan surat kerana setiap surat akan ditapis terlebih dahulu. Mana-mana surat yang menggunakan Bahasa SMS akan lambat dilayan, dan manakala surat yang ditulis dan ditaip dengan baik, mematuhi struktur ejaan, tanda baca dan tatabahasa akan dilayan lebih awal.


Tanya Sama Amiene Rev
Sumber lain untuk menghubungi saya adalah menerusi Tanya Sama Amiene Rev. Untuk makluman anda, kebanyakan entri dan artikel yang ditulis dan disiarkan di blog ini adalah atas permintaan pembaca, dan sekiranya para pembaca ada sesuatu yang hendak ditanya, yang bukan berkenaan masalah peribadi bolehlah merujuk ke bahagian tersebut. Jenis-jenis e-mel yang cepat dilayan ialah e-mel yang berkaitan dengan kontrak penulisan atau apa-apa jemputan khusus sahaja.


Facebook Amiene Rev
Untuk lebih pantas, boleh berhubung dengan saya menerusi Facebook. Buat masa ini saya cuma memiliki satu Facebook dan satu Facebook Page untuk urusan berkenaan dengan Duke Amiene Rev.

Terima kasih kerana sudi membaca dan mengunjungi blog Duke Amiene Rev.

Rabu, Disember 22, 2010

Hadis Percintaan untuk Wanita yang dipermainkan Lelaki - Surat Pembaca

NURKASIH: Cinta tiga segi merumitkan? Istikharahlah kamu.

Surat kiriman daripada Girlz - Perlukah kuterima lagi?
Assalammualaikum. Di sini kuingin meminta pendapat tentang masalah yang kuhadapi sekarang. Saya mengenali seorang lelaki yang sama umur denganku. Aku bercinta dengan dia cukup sempurna pada mulanya tetapi selepas beberapa bulan hatiku cukup sangsi dengan cintanya dengan kesangsian dan tidak percaya kepadanya benar-benar berlaku apabila aku mendapat tahu dia mempunyai kekasih yang lain selepas dia mencuri hatiku DAN KETIKA CINTAKU KEPADANYA BAHAGIA.

Berdasarkan surat ini, ada kemungkinan dia hendak kahwin dua.

Allah ingin tunjukkan kepadaku tentang kejujuran dia dalam bercinta. Rupa-rupanya dia menduakanku selama ini. Kumendapat tahu dia dan perempuan itu baru saja bercinta dalam masa 2 hari. Hatiku hancur musnah dengan sikap dia sebenar. Aku macam tidak percaya dengan apa yang dilakukan kerana selama ini dia menasihatiku tentang kejujuran dan keikhlasan dalam hubungan tapi sebaliknya dia yang menghancurkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam perhubungan.

Selepas aku mendapat tahu dengan semua itu, dia meminta maaf dengan apa yang dilakukan, dia beritahu kepadaku bahawa dia dengan perempuan itu sudah putus dan dia memilihku untuk teruskan hubungan ini dengan perasaan sayang yang kuat aku menerimanya semula tetapi manisnya sementara apabila aku dapat mengetahui lagi tentang kejujuran dia dalam hubungan ini.

Setiap orang berhak membuat pilihan hati tetapi kuasa jodoh di tangan Allah.

Allah cukup memberikan ku petunjuk untuk aku ketahui tentang kejujurannya kepadaku kali ini. Rupa-rupanya dia masih bersama perempuan itu. Dia tidak memutuskan perhubungan. Aku jadi lemah dan hancur. Masa itu tahap kesabaranku tidak terkawal selepas ditipu untuk kedua kalinya. Hanya Allah sahaja yang tahu dengan apa kurasakan. Aku memutuskan hubunganku dengan dia.

Tetapi hingga kini dia mencariku untuk teruskan hubungan. Dia memujuk ku dan masih memanggil ku SAYANG walaupun aku dan dia sudah putuskan hubungan. Katannya dia betul-betul telah meninggalkan perempuan itu kerana dia terlalu sayang kepadaku dan tidak boleh kehilangan ku. HARUSKAH KU PERCAYA SEMUA KATA-KATANYA?????????????

Jika cintamu ibarat kisah dalam filem Sembilu, maka cinta itu
akan ada duka dan lara. Kembalilah ke jalan Allah.


Aku perlukan ketenangan tetapi dia kerap hadir dalam hidupku untuk teruskan lagi hubungan yang dulu. AKU BINGUNG DENGAN SEMUA NI. APA YANG PERLU KULAKUKAN??? HARUSKAH AKU TERIMA NYA KEMBALI????? HARUSKAH KULUPAKN SEMUA INI??? TOLONG BERIKAN PENDAPAT KEPADAKU.


Surat balasan daripada Amiene Rev
Waalaikumussalam. Jawapan saya sangat mudah. Buat solat istikharah seberapa segera. Itu sahaja. Kalau secara logiknya, memang saudari digalakkan untuk meninggalkan lelaki tersebut. Tetapi, kalau sikap saudari yang masih merelakan diri untuk bermain dalam api derita cinta yang sebegini, saya cadangkan buatlah solat istikharah. Sekian, terima kasih.

Jika kamu ingin menjadi madu kerana sukar untuk meninggalkan si dia,
maka peduli apa tentang kekasihmu ada perempuan lain?

Lelaki yang beriman akan mencari calon isteri berpandukan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah perempuan beragama, nescaya kamu diberkati Allah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang wanita yang apabila keliru dalam percintaannya dan kemudian dia melakukan istikharah, maka itulah wanita yang bijak. Namun, kalau wanita itu enggan melakukan istikharah biarpun sudah diberitahu maka itulah serugi-rugi wanita.

SKETSA (sekadar berhibur)
Gadis Keliru: Ah, peningnya hidup ini. Patutkah aku pilih si dia?
Ustazah: Buatlah solat istikharah, mohon petunjuk dari Allah.
Gadis Keliru: Tapi... tapi...
Ustazah: Tapi apa, itulah yang terbaik daripada pening-pening kepala tak tentu hala.
Gadis Keliru: Tapi saya tak tahu macam mana nak buat. Thee.. hee.. hee...
Ustazah: Astagfirullahalazim. Belajarlah.

Selasa, Disember 21, 2010

Suami Curiga Hukum Isteri Curang Membuat Hubungan Dengan Lelaki Lain - Surat Pembaca

Surat kiriman daripada Suami Curiga

Salam, Saya ada masalah di dalam rumah tangga baru-baru ini. Hubungan saya antara isteri saya menjadi lebih complicated apabila saya terbaca SMS di telefon bimbit isteri saya, yang dia telah membuat janji untuk bertemu dengan lelaki rakan seperjuangannya tanpa memberi tahu saya terlebih dahulu. Perkataan dan ayat yang terdapat itu sungguh mencurigakan saya kerana terdapat perkataan "dating".

Hukum Isteri Curang - Suami mesti bertindak segera!

Si isteri; "abang tingkap (nama samaran), saya nak ke kuantan esok, saya nak jumpe abang tingkap, jam 11.30 mlm sok...kita sahul sama2."

balas abang tingkap; "ok..kita dating sok mlm... abang buat 8 rakaat je trawkh, jumpe sok mlm jam 11;30 mlm."
Skandal isteri curang - Isteri adalah milik suami sepenuhnya.

Dipendekkan cerita, dia pergi tanpa meminta izin dari saya. Sedangkan yang saya sudah tahu yang dia bukan sahaja ke Kuantan untuk urusan kerja, tetapi mengambil kesempatan untuk membuat dating.

Suami harus ambil tahu setiap kegiatan isteri

Ibarat sambil menyelam sambil minum air, keesokannya isteri pulang dengan wajah penuh keletihan, kepenatan konon, sedangkan saya tahu apa yang dilakukannya di kuantan, tanpa meminta maaf daripada saya. Sedangkan dia tahu bahawa dia telah mengecewakan hati saya.

  1. Di sini saya merasa keliru dan ingin tahu, apakah hukum dan hukuman dengan peristiwa yang telah dia lakukan di dalam cerita di atas??
  2. Apakah hukumnya seorang isteri yang selalu merendahkan dan mengecewakan hati suami??
  3. Apakah yang perlu saya lakukan..??
Lelaki yang takut bertindak terhadap isteri curang adalah
lelaki dayus dan pengecut.


Maklum balas daripada Amiene Rev
Kepada Suami Curiga, memandangkan anda sudah pun mengetahui mengenai skandal isteri anda dengan lelaki lain, maka anda sebagai suami dan ketua keluarga hendaklah bertindak segera. Jangan diamkan diri apabila anda telah pun membaca mesej isteri anda. Segera soal-siasat isteri anda dan tanyalah dia kenapa dia keluar makan dengan lelaki lain tanpa meminta izin atau meninggalkan apa-apa pesanan kepada anda sebagai suaminya.

Jadilah seorang suami yang prihatin dan bertanggungjawab.

Isteri anda seharusnya memberitahu anda ke mana dia hendak keluar. Isteri anda juga harus meminta izin daripada anda sebagai suami jika dia hendak pergi ke mana-mana.

Suami harus tegas terhadap isteri. Isteri adalah kepunyaan suami.

HADIS-HADIS NABI BERKENAAN HUKUM DAN HUKUMAN ISTERI CURANG
Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A: "Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?" Baginda menjawab:”Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”. Kemudian aku bertanya lagi :”Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah S.A.W ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Riwayat al-Bukhari)

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Riwayat Muslim)

Berikut saya sertakan beberapa hadis berkenaan isteri berlaku biadab dan suka menyakiti hati suami. Semoga hadis-hadis ini dapat menjadi panduan buat Suami Curiga.

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk
Sabda Rasulullah S.A.W: ” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Puasa sunat tanpa keizinan suami
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin suami
“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

Meminta cerai daripada suami
Sabda Rasulallah S.A.W: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak, haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Isteri yang tidak menunaikan hajat suami
Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kepada Suami Curiga, hendaklah anda bersegera mengajar isteri anda tentang hadis-hadis di atas supaya isteri anda tidak mengulanginya lagi.

Rabu, Disember 15, 2010

Putera Katak Memang Wujud - Surat Pembaca

Cerita Putera Katak kini popular di kaca televisyen

Surat kiriman daripada Gadis Takut Katak tapi mahu cari Putera Katak
Hai, Tuan Amiene Rev. Saya harap kalau Putera Katak betul-betul ada dekat dunia ni, sayalah orang paling takut untuk cium katak. Tapi kalau tak cium, melepaslah. Putera Katak ni boleh jadi Putera Kacak. Adakah Putera Katak ni ada bermacam-macam jenis? Betulkah?

Pasangan katak yang rosak akhlak. Astagfirullahalazim.

Maklum balas daripada Amiene Rev
Putera katak memang wujud. Di televisyen pun ada siri drama dan cerita Putera Katak. Banyak juga sinopsis-sinopsis cerita Putera Katak yang boleh dibaca di dunia ini. Begitu juga dengan novel-novel Putera Katak, filem-filem Putera Katak malah ada juga Puteri Katak contohnya macam cerita The Frog Princess tu.

Berikut adalah gambar-gambar Putera Katak yang telah berjaya dikenal pasti. Rupa putera-putera katak ini memang hijau tetapi kalau dicium akan menjadi putera-putera yang kacak.

Putera Katak Berinai Hijau - Putera katak jenis ini suka memakai inai yang berwarna hijau. Lihatlah, betapa bahagianya katak ini memakai inai hijau. Putera katak ini juga agak suka berpolitik.

Putera Katak Keladi - Putera katak jenis ini pula jika kita bercakap dengannya umpama mencurahkan air ke daun keladi. Ia cuma tahu senyum sahaja tapi apa yang kita cakap, semuanya dia tak dengar. Putera katak ini suka makan aiskrim keladi.

Putera Katak Naruto - Putera katak ini suka menonton cerita Naruto sehingga mahkota yang dipakainya pun seperti rambut Naruto. Nampaknya populariti animasi Naruto juga popular di kalangan katak-katak kerana adanya watak-watak katak ninja seperti Gamabunta Oyabin dan Gamakichi.


Putera Katak Pucat - Putera katak jenis ini sering berwarna pucat. Dipercayai Putera katak ini suka mengurungkan dirinya di bawah tempurung, oleh itu ia tidak mendapat input yang secukupnya tentang dunia luar. Putera katak jenis ini amat bermasalah dalam mencari calon isteri.

Putera Katak Mata Merah - Putera katak jenis ini berkemungkinan adalah seekor katak pontianak. Namun, katak jenis ini tidak berpeluang muncul di dalam filem Twilight. Mungkin Dakota Fanning atau Jane perlu mengambil langkah yang serius bagi membenarkan pembabitan Putera Katak Mata Merah di dalam filem Twilight yang akan datang. Dipercayai Putera katak ini akan menjadi saingan kepada Edward sekiranya beliau dicium oleh Bella.

Putera Katak Gembira - Putera katak jenis ini adalah tembam dipercayai kerana suka ketawa. Apabila dia ketawa, badannya jadi tembam. Putera katak jenis ini amat kelakar dan amat suka menonton filem Buli dan Buli Balik. Ini kerana filem Buli dan Buli Balik amat menyentuh hati Putera Katak Gembira.

Oleh itu, kepada Gadis Takut Katak, janganlah berasa takut dengan katak kerana terdapat pelbagai jenis putera katak di dunia ini yang boleh dijadikan calon suami. Sekian, terima kasih.

Siswi Kaunseling Kabur Tujuan Belajar - Surat Pembaca

Ikan dan sesi kaunseling.

Surat kiriman daripada Kecik yang kabur tentang tujuan pembelajarannya
Saya belum ada niat untuk belajar, tapi kehendak keluarga saya terpaksa turuti. Saya sekarang di Kolej Islam Melaka. Saya seorang yang kurang arif tentang agama, tidak tahu apa-apa di tempat saya belajar. Saya ingin berbincang dengan keluarga. Bila saya pandang raut wajah ayah dan ibu, saya tak sampai hati. Kini saya ambil bidang kaunseling, apa-apa tentang kaunseling, apa motif kaunseling, satu benda pun saya tak tahu. Apatah lagi memahami setiap subjek yang diajar.

Tanpa matlamat, jalan hidup menjadi kabur.

Maklum balas daripada Amiene Rev
Kepada Kecik. Pertama, saya ingin ucapkan tahniah kepada Kecik kerana berjaya menyambung pengajian di Kolej Islam Melaka. Bukan semua orang berpeluang untuk menyambung pengajian seperti Kecik. Masih ramai yang terkapai-kapai, tercari-cari peluang untuk menyambung pelajaran. Bersyukurlah. Alhamdulillah. Sudah berjaya dah. Semoga suatu hari nanti Kecik akan berjaya menjadi seorang kaunselor yang cemerlang dunia dan akhirat.

Kaunselor membantu orang ramai
mencari kebahagiaan hidup!

Bidang kaunseling kini merupakan satu bidang yang penting di mata masyarakat. Bayangkan betapa ramainya golongan bermasalah di negara kita. Cuba Kecik fikirkan alangkah bagusnya kalau Kecik dapat membantu orang-orang bermasalah khususnya golongan wanita seperti Kecik untuk mencari tujuan hidup, peluang belajar, peluang kerjaya, menyelesaikan masalah peribadi dan sebagainya. Tentu bagus. Saban hari, semakin ramai orang yang bermasalah dan perlu dibantu. Dengan adanya kaunselor, pelbagai masalah dapat diselesaikan.

Hidup Gaara tentu akan lebih ceria dengan adanya kaunselor.
Kecik tentu ingin membantu Gaara.

Subjek-subjek dalam bidang bimbingan dan kaunseling lebih fokus kepada kemahiran untuk memahami dan membantu memberikan bimbingan atau panduan serta melegakan tekanan seseorang dalam menghadapi masalah peribadi. Kecik boleh menggunakan ilmu kaunseling ini untu meningkatkan motivasi dan keyakinan diri orang-orang yang bermasalah. Kecik boleh membantu seseorang itu menyedari kesilapannya dan berusaha membantunya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapinya. Kecik juga boleh membantu golongan miskin untuk sambung belajar dengan membekalkan informasi atau maklumat tentang cara-cara untuk mendapatkan biasiswa, tajaan atau pun pinjaman pendidikan.

Bagaimana sekarang? Jika Kecik ada masalah dengan subjek yang dipelajari, Kecik boleh terus bertemu pensyarah, tutor atau orang yang ditugaskan untuk mengajar Kecik di Kolej Islam Melaka tersebut. Sebagai pakar dalam bidang kaunseling, pasti mereka akan dapat memberitahu Kecik tujuan memepelajari satu-satu subjek dalam bidang kaunseling.
Orang seperti Naruto sangat gembira apabila dapat dikaunselingkan oleh Kecik.
Bantulah Naruto mencapai kariernya sebagai Hokage!

Tidak perlu takut. Mereka pasti akan menyambut kehadiran Kecik dengan senyuman. Ketuk pintu, ucapkan salam, dan masuk selepas diizinkan. Dan berceritalah tentang masalah Kecik dalam subjek yang dipelajari bersama pensyarah atau pengajar tersebut. Mereka pasti suka untuk membantu. Selamat belajar. Saya doakan agar Kecik berjaya mencapai cita-cita Kecik sebagai seorang kaunselor. Semoga berjaya!

Isnin, Disember 13, 2010

Isteri Kurang Kasih Sayang Minta Pandangan - Surat Pembaca

Lagu Tema Naruto: Naruto hidup tanpa kasih sayang ibu bapa. Naruto dibenci orang ramai, tetapi akhirnya Naruto berjaya mengubah semua itu, dia menjadi pujaan ramai. Lagu tema ini akan mengiringi pembacaan surat kali ini, kerana kisah hidup Puan Ainnur ada persamaan dengan kisah hidup Naruto, Gaara dan lain-lain watak Jinchuuriki dalam cerita Naruto.

Surat kiriman daripada Puan Ainnur, Isteri Yang Bersedih:
PUAN AINNUR: Selamat sejahtera, saya Ainnur, seorang isteri yang berada berada dalam dilema yang amat payah untuk membuat keputusan. Problem saya telah bermula sewaktu saya dalam waktu bercinta lagi, saya adalah seorang umat yang kurang kasih sayang, dan telah dipinggirkan oleh ibu bapa saya dari kecil lagi disebabkan beberapa faktor yang saya sendiri tidak pasti, yang saya tahu saya telah dijaga oleh nenek saudara dari kecil.


Jawapan daripada Amiene Rev:

Jika Puan Ainnur berada di depan saya, sudah pasti saya katakan: "Berhenti, ceritalah satu persatu supaya senang orang hendak mendengarnya. Penyampaian luahan masalah yang sebegini, tanpa perenggan dan tanpa tanda noktah, cuma tanda koma yang berterusan seolah tidak berhenti menarik nafas apabila bercakap, menunjukkan bahawa surat Puan Ainnur ini mungkin ramai yang tidak sanggup membacanya. Nasib baik saya ada pembantu setia yang sudi menyunting dan menyusun semula beberapa tanda baca dan perenggan untuk surat Puan Ainnur ini. Harap dapat patuhi tatacara dan adab menulis surat pada masa akan datang. "


Untuk perenggan di atas itu, saya ingin memberitahu Puan Ainnur satu perkara. Kita tidak boleh paksa orang menyayangi kita, tetapi kita bebas menyayangi semua hamba dan makhluk Allah. Memandangkan ibu bapa Puan Ainnur sendiri entah di mana, apa kata Puan Ainnur jangan menyakiti hati Puan Ainnur dengan berfikiran negatif dan menyakitkan hati. Tidak kira di mana mereka berada sekarang, mereka tetap ibu bapa Puan Ainnur. Tak guna menyeksa diri bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri sedangkan Puan Ainnur sendiri tidak tahu kenapa Puan Ainnur dipelihara oleh nenek saudara. Menderhaka namanya tu. Fikir positif. Mereka mungkin bukan meminggirkan Puan Ainnur, tetapi kerana faktor keselamatan Puan Ainnur, mereka terpaksa buat begitu. Kita tidak tahukan? Jangan sakiti hati sendiri dengan berfikiran negatif. Tak guna semua tu. Bukan dapat selesaikan masalah pun.


Baiklah, biar kita teruskan kembali dengan surat Puan Ainnur ini:
PUAN AINNUR: Oklah, pendekkan cerita. Saya seorang hamba yang mendambakan kasih sayang. Saya telah berjumpa suami saya melalui aturan kawan-kawan. Setelah bertemu saya dapat rasakan dialah yang akan mengisi kekosongan hati saya dan akan memberikan saya kasih sayang secukupnya. Alhamdulilah sangkaan saya tidak salah, suami saya amat penyayang orangnya, tetapi dalam itu saya ada seorang adik ipar di mana dia langsung tidak suka kepada saya, dari mula perkenalan kami lagi dia tidak menyukai saya kononnya saya tak tahu dari keturunan apa, baik atau buruk.

Untuk pengetahuan tuan saya berkahwin tanpa persetujuan keseluruhan keluarga, cuma ayah mentua saya sahaja yang sudi terima saya, ibu mertua dan adik ipar setuju setelah dimarah oleh bapa mertua saya, perkahwinan ini menyebabkan pentengkaran antara ibu dan adik ipar dengan ayah mertua saya, sehingga ayah mertua saya telah menghalau mereka jikalau tidak menerima saya.

Dengan itu bermulalah masalah saya hingga berlanjutan hingga ke hari ini,seandainya ada sesuatu tidak berkenan di hati adik ipar saya, dia akan mengadu terus kepada suami saya, walaupun hanya kesalahan kecil contohnya: saya termasam muka kepada ibu mertua saya, mulalah dia akan mencetuskan pentengkaran dengan saya. Katanya saya kurang ajar, perempuan tak kenal untunglah dan macam-macam lagi, pada permulaannya suami pun termakan dek kata adiknya itu sehingga kami bergaduh dan hampir bercerai, tetapi sekarang suami sudah tahu tentang perangai adiknya.


Tuan saya amat sayang akan keluarga saya tambahan pulak saya ada dua orang anak, tapi saya sudah tidak tahan akan perangai adik ipar yang selalu mencari kesalahan saya supaya kami akan bergaduh, ibu bapa mertua pun akan salahkan saya, walaupun itu semua adik ipar yang mulakan, ialah siapa tak sayang anak betul tak. Lagipun saya cuma anak menantu mereka, tapi saya telah buat yang terbaik untuk mereka, walaupun adik ipar saya buat begitu saya tak pernah nak melawan sebab saya hormatkan mereka dan suami saya.

Tapi sepanjang 7 tahun perkahwinan semua ini berlaku. Lagi pun saya hanyalah manusia biasa, dan saya sudah tidak tahan lagi, sudahlah ibu tiada bapa buang saya, mereka pula buat saya begini apalah yang patut saya buat mahu gila dibuatnya, kalau saya pilih untuk tinggalkan keluarga saya, anak-anak akan kecewa, tapi kalau saya teruskan saya akan terseksa sampai bila-bila.

Saya telah bawa berbincang tetapi cuma hanya seketika, kemudian ia akan berulang kembali. Saya mohon tolong carikan jalan peryelesaian yang terbaik untuk saya. Saya tiada sesiapa untuk backup saya. Peperangan ini macam saya hanya seorang diri, berjuang untuk menyelamatkan diri, tanpa ada bantuan dari sesiapa. Sekian, terima kasih.


JAWAPAN LANJUTAN DARIPADA AMIENE REV:
Setelah membaca keseluruhan tulisan Puan Ainnur, saya dapati Puan Ainnur sudah lupa akan sesuatu. Kenapa Puan Ainnur kata Puan Ainnur berjuang seorang diri tanpa ada sesiapa pun yang menyokong atau membela Puan Ainnur? Di mana letaknya kepercayaan Puan Ainnur terhadap Allah? Sekiranya benar Puan Ainnur teraniaya, dizalimi oleh ahli keluarga suami Puan Ainnur, lupakah Puan Ainnur bahawa doa Puan Ainnur itu amat makbul.

Astaghfirullahazim, Puan Ainnur. Kembalilah mengingati Tuhan-Mu. Barangkali dosa yang dialami oleh Puan Ainnur selama ini kerana Puan Ainnur bersangka buruk dengan ibu bapa Puan Ainnur, sehingga Allah mengurniakan ahli keluarga yang bersangka buruk pula terhadap Puan Ainnur. Berhentilah menyalahkan ibu bapa Puan Ainnur jika Puan Ainnur tidak tahu apa punca sebenarnya. Janganlah menyebut perkataan ditinggalkan, apatah lagi perkataan DIBUANG OLEH IBU BAPA SENDIRI. Memburuk-burukkan ibu bapaa sendiri itu menderhaka namanya.


Dekatkan dirimu kepada Tuhanmu, Puan Ainnur. Berkelakuan baiklah dengan ahli keluarga suami Puan Ainnur. Tak perlulah Puan Ainnur bermasam muka dengan ahli keluarga suami Puan Ainnur. Salah satu cara terbaik ialah tinggal berjauhan dengan keluarga mereka. Berdasarkan kefahaman saya, Puan Ainnur dan suami seolah-olah duduk serumah dengan ahli keluarga Puan Ainnur.

Apa pun saya tidak menyukai tindakan Puan Ainnur bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri. Cubalah mulai hari ini, ubah tanggapan Puan Ainnur terhadap ibu bapa Puan Ainnur. Sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka tidak kira mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. Cintailah kedua ibu bapa Puan Ainnur. Hentikan kata-kata dan tuduhan yang tidak berasas. Hentikan menceritakan keburukan ibu bapa sendiri. Hentikan mengaibkan ibu bapa sendiri, Puan Ainnur.

Sedih saya membaca tulisan seorang anak yang sendiri tidak pasti sebab-sebab dirinya dipelihara oleh nenek saudara dan bukan ibu bapa sendiri, tetapi sudah sanggup melontarkan tuduhan terhadap ibu bapa sendiri. Apa Puan Ainnur rasa sekiranya orang lain melakukan perkara yang sama kepada Ainnur sedangkan mereka tidak ada bukti atau kepastian yang jitu untuk menuduh Puan Ainnur? Sejujurnya, timbul rasa marah saya kepada Puan Ainnur apabila Puan Ainnur bersangka buruk sedemikian rupa kepada ibu bapa Puan Ainnur sendiri dalam keadaan Puan Ainnur sendiri tidak memahami keadaan mereka.


Ingatlah. Allah sentiasa bersama hamba-hamba-Nya. Kembalilah kepada panduan agama. Masalah Puan Ainnur ini akan selesai dengan sendiri setelah Puan Ainnur berhenti bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri. Bersangka baiklah kepada mereka berdua, dan doakan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat kepada ibu bapa sendiri. Semoga Allah akan menunjukkan jalan yang benar, dan mempermudahkan jalan hidup Puan Ainnur. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maafkan saya sekiranya saya ada terkasar bahasa atau tersilap kata sepanjang menulis pandangan saya kepada Puan Ainnur. Apa pun saya percaya, jika Puan Ainnur tekun berdoa kepada Allah dan kembali bersangka baik kepada ibu bapa Puan Ainnur, pasti perubahan yang baik akan berlaku dalam hidup Puan Ainnur.

Sekian.