BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Kanak-kanak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kanak-kanak. Papar semua catatan

Jumaat, April 08, 2016

Kenapa Anak Anda Bermasalah?

PERINGATAN UNTUK IBU BAPA: KENAPA ANAK ANDA BERMASALAH?

1. Jika anak anda suka menipu, maka itu adalah salah ibu bapa kerana bertindak balas melampau terhadap anak anda sebelum ini apabila mereka melakukan kesalahan.

2. Jika anak anda kurang keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri, ini kerana anda lebih kerap menasihati mereka berbanding memberi galakan atau motivasi kepada mereka.

3. Jika anak anda mudah dibuli, tidak pandai membela diri mereka, ini kerana sejak dari kecil anda telah mendisiplinkan mereka di depan orang ramai.

4. Jika anda membeli semua benda untuk anak anda tetapi anak anda masih mengambil atau mencuri barang daripada orang lain, ini kerana anda tidak memberi peluang kepada anak anda memilih barang yang mereka inginkan.

5. Jika anak anda seorang penakut, ini kerana anda kerap menolong mereka terlalu cepat. Anda sepatutnya memberikan mereka peluang meneroka sesuatu halangan, memahaminya sendiri.

6. Jika anak anda kuat cemburu atau berhasad dengki, kemungkinan besar kerana sikap anda sendiri yang suka membanding-bandingkan anak anda dengan orang lain.

7. Jika anak anda seorang yang cepat marah, kemungkinan besar disebabkan sikap anda yang tidak suka memberi penghargaan kepada mereka, lalu mereka bertindak melakukan masalah untuk menarik perhatian anda.

8. Jika anak anda tidak tahu menghormati orang lain, sebabnya mungkin disebabkan anda selalu memberi arahan kepada mereka tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak yang tidak mendapat layanan 'perasaan', 'hormat' atau 'penghargaan' daripada ibu bapa mereka cenderung untuk menjadi seorang yang tidak tahu menghormati orang lain.

9. Jika anak anda suka berahsia, ini mungkin disebabkan sikap anda yang terlalu suka bercerita atau menyebarkan cerita tentang anak anda. Adakalanya anda tidak sedar, sikap anda yang suka bermegah-megah tentang anak anda akan mencetuskan kebimbangan terhadap anak anda. Dia risau dia mungkin menjadi mangsa buli akibat cemburu dan hasad dengki, hilang kawan dan sebagainya.

10. Jika anak anda seorang yang biadab atau kasar, anda patut cermin diri anda sendiri dan persekitaran tempat tinggal anda. Anak anda belajar menjadi biadab dan kasar menerusi ibu bapanya, adik beradiknya atau orang-orang yang tinggal berdekatan dengannya; jiran terdekat anda.

Rabu, Oktober 19, 2011

Televisyen tak sesuai untuk budak-budak

Televisyen dianggap sebagai punca kenapa kanak-kanak lambat bertutur. Kanak-kanak didapati berkomunikasi satu hala dengan televisyen. Dalam dunia perbualan realiti, perlu adanya perbualan antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka supaya mereka boleh belajar cara-cara berkomunikasi. Tabiat menonton televisyen memungkinkan kenapa ramai kanak-kanak pada hari ini biadab dan tidak tahu bercakap dalam nada berbudi bahasa. Mungkin mereka tidak yakin untuk bercakap dalam bahasa yang sopan kerana pengaruh negatif yang semakin merebak di televisyen.

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak. Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya. Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP

Khamis, Oktober 13, 2011

90 peratus kanak-kanak ketagih layari internet

90 Peratus Kanak-kanak Ketagih Layari Internet
BAHAYA INTERNET: 9 daripada  setiap 10 orang kanak-kanak 
terdedah kepada perkara negatif

Pelan strategik lindungi kesan negatif siber dirangka

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan pornografi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka. Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

“Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

“Jadi, kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-kanak Dalam Alam Maya (Child Online Protection) dan pelancaran buku Guide to a family friendly internet experience, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu.

“Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum kita melakukannya secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.

Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).