BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Kebangsaan. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 25, 2012

Isu Bahasa - Sikap Tidak Kisah Kikis Identiti Bangsa

Sikap tak kisah kikis identiti bangsa
Oleh Ruhaiza Rusmin (sumber: HMetro)

BIARPUN dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara.

Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.
sebelum   selepas
SUSAH... pelajar pasti kerugian andai kata tidak mampu menguasai bahasa Melayu standard kerana akan menyebabkan markah peperiksaan terjejas.
RINGKAS... biarpun tidak dilarang, penggunaan perkataan yang bercampur-baur boleh mencacatkan nilai bahasa.
Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard.

Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?

Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan.

Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu.

“Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.

“Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.

Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu bangsa.

“Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.

“Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan.

“Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya.

Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat tunggang-langgang.

Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara.

Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya.

“Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.

“Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan.

“Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.

Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.

“Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima.

“Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.

Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa.

Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis.

“Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud.

“Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.

“Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.

Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa rojak.

“Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan.

“Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi.

“Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.

Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul.

“Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan.

“Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta dipraktikkan.

“Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard.

“Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.

Jumaat, Mei 18, 2012

Sekolah Aliran Inggeris Senjata Memecah-Belahkan Bangsa


Halang Bahasa Asing Dari Membina Kubu Pengaruh  Di Sekolah-Sekolah Tempatan. Kegagalan Menghalangnya Akan Menyebabkan Perpecahan Bangsa Pada Kemudian Hari.

"Ada orang yang rupa Melayu Berkulit Melayu dan segalanya Melayu tetapi dukacitanya, Hatinya bukan hati Melayu." - Dato Onn.

Begitulah kata-kata Dato Onn pada suatu ketika dahulu, merujuk kepada sikap segelintir orang Melayu yang tidak berbangga dan yakin dengan kebolehan bangsanya sendiri. Kewujudan sekolah jenis kebangsaan didapati lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Malah, berdasarkan pemerhatian, didapati pelajar-pelajar dari sekolah jenis kebangsaan tidak tahu berbahasa Melayu. Jika di China, bahasa Mandarin dijadikan bangsa untuk menyatukan bangsa, tetapi sayangnya di Malaysia, bahasa Melayu kelihatannya telah diperduakan statusnya, sehingga dapat dikongsi dengan bahasa-bahasa lain. 

Kerana sikap kurang tegas segelintir pemimpin yang membenarkan kewujudan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, maka berlakulah perpecahan pendapat di kalangan rakyat Malaysia. Jati diri Melayu semakin luntur di kalangan sesetengah Melayu itu sendiri apabila mereka mahu menyenangkan keadaan dengan tidak mahu memahami satu-satu perkara dalam bahasa ibunda sendiri kerana sudah terbiasa dengan bahasa Inggeris.

Ini kerana sikap lembut hati membenarkan bahasa Inggeris menapak dalam subjek Matematik dan Sains itu sendiri telah membuka ruang bagi bahasa Inggeris untuk membina kubu pengaruhnya sendiri terhadap orang-orang Melayu. Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan apatah lagi sebagai bahasa Nusantara semakin banyak cabarannya.

Cuba fikirkan kembali, kenapa Sultan Melaka tidak membenarkan Portugis membina kubu di Melaka? Sebabnya adalah sama, jika Portugis dapat membina kubu Portugis di Melaka, maka mudahlah bagi Portugis untuk menakluki Melaka dan meranapkan kerajaan Melayu, sama seperti apabila bahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain dibenarkan berkubu di sekolah-sekolah, maka usaha untuk meranapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berpengaruh akan semakin mudah.

Jika hari ini, bukan hanya Sultan dan Raja-raja Melayu, tetapi juga orang-orang Melayu bersatu-padu mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menyingkir bahasa Inggeris dari senarai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tempatan, maka pasti bertahun-tahun lagi perpaduan kaum akan dapat dieratkan kerana tidak ada orang lagi yang sanggup mempersoalkan mengenai kedudukan tunggal bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tempatan. Tidak ada orang lagi akan memikirkan akan kepentingan memperjuangkan bahasa-bahasa asing. Tidak akan ada lagi kubu bahasa asing yang dapat mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar.

Oleh kerana rakyat di negara ini dibenarkan memilih pendirian sama ada menyokong bahasa Melayu atau menyokong bahasa lain, maka berlakulah perpecahan. Perpecahan yang boleh mengundang konflik dan peperangan serta kehancuran tamadun Malaysia itu sendiri.

Orang-orang Malaysia, khususnya orang-orang Melayu boleh mempelajari apa jua bahasa pun tetapi mereka harus memiliki identiti bangsa yang tegas, iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sebarang urusan. Menguasai bahasa asing adalah sebagai cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada bangsa asing, manakala menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan tempatan sebagai satu cara memartabatkan bahasa Melayu. Ini yang sepatutnya berlaku, bukannya dengan membenarkan bahasa asing mendapat tempat sebagai bahasa pengantar dalam urusan tempatan. Ini kesilapan yang orang buta pun seharusnya boleh nampak.

Malah, jika mereka rasa satu-satu istilah atau perkataan Bahasa Inggeris itu ada kepentingannya dan merupakan perkara baru yang tidak ada dalam kamus Melayu, maka apa salahnya jika istilah atau perkataan Inggeris itu diMelayukan agar tidak ada peluang lagi untuk bahasa Inggeris berkuasa sebagai bahasa pengantar.

"Jika hari ini sekolah aliran Inggeris ditubuhkan, maka esok lusa bangsa kita akan berpecah-belah. Jika hari ini bahasa Melayu dipertahankan sebagai bahasa pengantar yang tunggal di seluruh sekolah dan urusan kerja di Malaysia, maka selamanya bangsa kita bersatu-padu dan kuat. Bahasa penyatu bangsa. Bahasa adalah sumber kekuatan dan inspirasi kesatuan bangsa." - Amiene Rev


Sekolah aliran Inggeris - Agenda kelompok tertentu diteruskan dalam Dialog Pendidikan Nasional
SUMBER: BERITA HARIAN

ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada usaha memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu beragama Islam.

“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta boleh memilih apa juga bahasa.

Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan bawahan.

“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguhkan dasar bahasa kebangsaan.

“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.

Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.

“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita kembali ke era penjajahan.

“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.

Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.

“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.

Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut martabatnya.

“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.

“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia ketiga,” katanya.

Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik ke belakang.

“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.

“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa Melayu,” katanya.

Selasa, Januari 31, 2012

Negara Yang Paling Kuat Menyanjungi Bahasa Kebangsaannya

Negara yang paling kuat menyanjungi bahasa kebangsaannya. Negara yang memiliki rakyat yang berani memperduakan bahasa kebangsaannya adalah negara yang lemah. Lemah, lantaran bangsanya tidak kuat, tidak memiliki jati diri yang utuh, dalam memastikan kekuatan semangat kebangsaan dipadukan.

Malaysia masih dianggap sebagai sebuah negara yang aneh, apabila masih membenarkan bahasa asing memperlekehkan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris didapati mendapat kedudukan yang lebih istimewa di hati segelintir rakyat Malaysia. Bukti kegagalan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa sangat malu, melihat bahasa kebangsaan diperduakan dalam sektor pendidikan. Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa sangat kecewa apabila melihat kegagalan Malaysia menjadikan bahasa kebangsaan itu begitu berpengaruh sehingga semua rakyat Malaysia mempunyai perasaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan harian mereka.

Saya masih belum melihat perkara ini di Malaysia. Masih ada rakyat Malaysia yang menidakkan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa penyampai ilmu kepada rakyat Malaysia.

Bahasa Inggeris diagungkan, dijadikan bahasa asing yang masih menjajah pemikiran rakyat Malaysia. Saya amat kecewa dengan keadaan ini. Alangkah memalukan apabila melihat adanya ibu bapa yang sanggup menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampai ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kelas-kelas Matematik dan Sains.

Mengecewakan! Sepatutnya semua rakyat Malaysia diwajibkan menerima tanpa banyak soal mengenai penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Jelas sekali, ada di kalangan rakyat Malaysia yang kini khianat dan belot terhadap bahasa kebangsaan. Di manakah jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan bahasa kebangsaannya? Di manakah jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang sanggup berkorban untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam sektor pendidikan Malaysia.

Di manakah usaha untuk menjadikan sektor pendidikan sebagai sektor melahirkan warganegara Malaysia yang sangat bangga dan menyanjungi bahasa kebangsaannya. Ini sama sekali tidak jelas berlaku dalam sektor pendidikan Malaysia, di mana masih berleluasa sikap menidakkan kemampuan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa pengantar ilmu di semua institusi pendidikan di Malaysia.

Saya masih amat kecewa. Di manakah sekalian Harimau Bahasa bersembunyi? Bahasa Kebangsaan Malaysia seharusnya menjadi bahasa pengantar ilmu dan semua rakyat Malaysia wajib yakin, bangga, puas hati dan rela berkorban dalam memastikan bahasa kebangsaan ini mekar dan tersebar sebagai bahasa kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Apabila memikirkan betapa ibu bapa dibenarkan untuk memperduakan bahasa kebangsaan, dibenarkan memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu di sekolah-sekolah, ini sebenarnya sudah menidakkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jika benar bahasa kebangsaan kita bahasa berdaulat, maka tidak akan ada pendua atau alternatif yang boleh menyaingi atau duduk dalam fungsi yang sama dengan bahasa kebangsaan kita.

Sedih. Kecewa. Hampa. Kerana sehingga kini, usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan masih samar-samar, jauh dari mencapai matlamatnya. Selagi rakyat Malaysia diberi peluang menggunakan bahasa Inggeris, maka selagi itu belum wujud pengorbanan. Apakah mereka ini berbangga sebagai rakyat Malaysia atau cuma tinggal di Malaysia semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Di mana jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang bangga akan bahasa kebangsaannya?

Betapa kecewanya saya, memikirkan hal ini. Kenapa tidak ada seorang pun yang sedar? Benarkah tidak ada seorang pun yang sedar akan hal ini? Pasti ada yang sedar. Mudah-mudahan masih ada yang sedar. Kasihan negaraku yang paling saya sayang dan tempat saya mencurahkan taat setia.

Ahad, Disember 04, 2011

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?
Bahasa SMS, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
Hadir rasa Amiene Rev (C) 2011

Pada permulaannya Malaysia ini merupakan tanah agung untuk Bahasa Melayu, yang juga diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan - Bahasa Malaysia. Malaysia wujud selepas era penjajahan British berakhir, dan pada ketika itu orang-orang Melayu di serata negara, di seluruh pelusuk negeri, bahagia menuturkan bahasa ibunda mereka. Hal ini walau bagaimana pun, cuma mampu berlanjutan selama hampir setengah abad sahaja.

Ancaman baru kini, Bahasa SMS, perosak bahasa, parasit yang meracuni darah daging dan jati diri anak bangsa. Seluruh dunia digegarkan dengan Bahasa SMS. Seluruh dunia siber juga  turut digegarkan dengan Bahasa SMS. Teks-teks ringkas dengan ejaan-ejaan yang cuma mewakili maksud, pada akhirnya bukan sahaja telah merebak keluar dari dunia telefon bimbit ke dunia penulisan di bangku sekolah, malah kini telah mencemari tesis-tesis di peringkat universiti dan sarjana muda! Betapa kuatnya pengaruh Bahasa SMS ini.

Anak-anak generasi baru, begitu malas untuk menggunakan ejaan, begitu gopoh dan tidak sabar untuk menyatakan isi hati dan suara mereka. Mereka lantas melangkah bendul peradaban dan kehormatan, lalu melompat dan menyergah masyarakat dengan bahasa SMS. Tidak perlu tulis panjang-panjang, pedulikan susunan huruf dan ejaan, yang penting bagi mereka ini, adalah orang ramai faham apa yang mereka ingin katakan. Mereka tidak perlu faham orang lain!

Sememangnya padan sikap anak-anak generasi baru ini dengan sistem makan suap, di mana cuma guru-guru yang jauh lebih penat berusaha dan memberikan gred markah kepada mereka, tanpa perlu mereka bersusah payah untuk mendapatkan kecemerlangan akademik untuk diri mereka dan keluarga mereka.

Bahasa SMS adalah bukti nyata, bahawa anak-anak hari ini semakin malas berusaha, semakin individualistik, hanya berusaha jika sesuatu itu memberi makna keuntungan pada diri mereka sahaja.  Tidak ada lagi anak-anak generasi muda yang mahu memikul beban kemasyarakatan, tidak ada lagi anak-anak generasi muda hari ini yang mahu menjadi pejuang bangsa. Jika benar kenyataan ini, maka sudah nyata, bahawa dunia bangsa Malaysia kita ini, sudah berada di penghujung zaman.

Apakah nasib kita semua pada ketika kita telah muncul sebagai orang-orang tua, yang berdepan dengan perkhidmatan dan layanan anak-anak muda di serata ceruk pekerjaan yang gunanya untuk melayan kita, manusia, bangsa Malaysia sebagai pelanggan? Adakah pada ketika itu sistem layan diri akan mula menguasai sektor-sektor kehidupan kita? Ini satu persoalan yang sudah mula boleh dipanaskan enjinnya dalam pemikiran kita, tentang masa depan kita, tentang masa depan negara kita.

Apakah jenis bangsa Malaysia yang akan muncul pada kemudian hari? Dunia masa depan kita, mungkin akan menjadi padang pasir yang tandus. Kita ketandusan pelapis kepimpinan Kita kekurangan orang-orang muda yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan bahasa kita. Bahasa melambangkan bangsa.

Baru-baru ini satu usaha untuk meluaskan semula penggunaan bahasa Melayu kita ke seluruh Asia Tenggara. Ini satu langkah yang perlu dilaksanakan pada sekitar dasawarsa ini. Kita adalah generasi terkini, dan kitalah yang akan menentukan sama ada Bahasa Melayu merangkap Bahasa Malaysia ini, akan terus berkembang dan digunakan dengan penuh kedaulatan dan kehormatan.

Mari, berjuang demi bangsa. Mari, mulakan perjuangan ini, dengan Bahasa Ibunda kita. 

Bagaimana jika pada esok hari, blog Duke Amiene Rev ini ditulis dalam Bahasa Inggeris? Seringkali apabila ada orang menulis dalam Bahasa Inggeris, mungkin akan ada orang yang bukan Inggeris mahu menunjuk kepandaian menegur jika ada kesilapan ejaan atau tatabahasa bagi perkataan-perkataan atau struktur ayat yang ditulis itu. Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu? Beribu-ribu dan mungkin berjuta-juta orang dengan sengaja menggunakan ejaan-ejaan yang salah dalam perkataan-perkataan Bahasa Melayu, tetapi tidak ada seorang pun cuba menunjuk pandai untuk membetulkannya? Oh, dunia. Betapa agungnya bahasa asing pada minda mereka, betapa hinanya bahasa ibunda pada mata mereka.

Adakah ini tandanya kemajuan bangsa? Bangsa maju, bahasa tergadai. Ini bukan sesuatu yang kita mahu saksikan.

Bahasa SMS digunakan di Twitter? Itu barangkali, satu cerita yang lain.