BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 21, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 4

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 4
Penulis: Amiene Rev (c) 2010
"Di dunia ini, kadangkala ada manusia yang senasib dengan binatang, dan ada binatang yang senasib dengan manusia. Bezanya, manusia memiliki akal dan binatang tidak. Namun, seperti manusia, binatang juga memiliki perasaan. Perasaan ini membolehkan manusia dan binatang saling memahami. Juga, seperti binatang, manusia juga memiliki naluri. Lalu, dengan adanya naluri dan perasaan, manusia dan binatang saling mampu menjadi rakan". - Amiene Rev

Kisah Keko - Anak kucing yang menjadi guru mengungkap falsafah di atas, yang merujuk kepada kejadian manusia dan haiwan.
Hari berlalu hari, Keko dan Afiq semakin rapat. Namun tidak ada sesiapa pun yang tahu, jauh di dalam hati, Keko selaku seekor anak kucing, masih mahu menemui ibunya. Keko sentiasa mencari peluang untuk pergi mencari ibunya, biarpun Keko merasakan ibunya sememangnya sudah tidak ada lagi di dunia ini.

'Manusia,
jika kau memahami perasaanku,
benarkan aku pergi
menemui ibuku,
buat sekali pun,
tidak mengapa.'

Namun setiap hari pun, biarpun setiap hari pun Keko merenung Afiq, mengungkap kata-kata di atas sebagai puisi di dalam hatinya, tidak pernah Keko melihat Afiq mendengarnya. Afiq seolah-olah tidak memahami isi hati Keko.

Bagi Afiq, setiap kali dia melihat renungan Keko yang sarat dengan kesedihan, Afiq cuma menganggap Keko masih sedang bersedih tentang kematian ibunya. Seringkali Afiq mengungkap kata-kata sedemikian rupa, di dalam hatinya:

"Keko kucingku,
jangan kau bersedih
kerana kehilangan itu pasti
untuk setiap makhluk
seperti aku kehilangan ibuku,
dan kamu kehilangan ibumu.

Keko kucingku,
jangan risau,
kerana aku akan sentiasa cuba
membuat hatimu gembira
dan kehadiranmu juga
adalah hadiah buatku."

Sehingga kini, Keko terus-menerus menunggu peluang itu. Peluang untuk menemui ibunya. Setiap kali itu juga, Keko dilanda kemurungan. Dan, setiap kali itu juga Afiq akan muncul untuk menghiburkannya.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Ahad, September 19, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 3

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 3
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Entah sudah berapa lama masa berlalu. Keko tidak sedar. Keko kepenatan. Keko keliru. Kereta itu berhenti di sebuah rumah besar. Sememangnya semua rumah manusia adalah besar. Keko pernah lihat rumah manusia yang besarnya seperti gunung. Ada ramai manusia berjalan masuk ke keluar. Ada lagu-lagu yang kadangkala rancak dan kadangkala syahdu. Dan, ada manusia, selalunya wanita berjalan keluar dengan membawa begitu banyak beg plastik dan kertas yang sendat-sendat. Manusia memang aneh.

Ada pula rumah manusia yang terdapat banyak lampu berwarna-warni. Berputar-putar. Menyuluh ke lantai dan ke dinding. Terdapat dua orang lelaki berbadan besar, ada lukisan hitam di lengannya, memakai rantai leher, berambut ekor kuda menunggu di luar pintu. Kemudian, ada lelaki dan perempuan muda keluar dari rumah itu, berjalan terhuyung-hayang. Ada juga lelaki tua, rambutnya putih, berjalan keluar dengan bertemankan wanita muda, berkulit putih mulus, bermekap tebal dan bergincu merah. Pakaiannya singkat-singkat sahaja. Manusia memang pelik. Patutlah Ibu Keko tidak suka manusia.

Namun begitu, rumah yang berada di hadapan Keko ini tidak seperti rumah-rumah yang dibayangkan tadi. Rumah budak lelaki ini sunyi sepi. Seperti rumah yang telah ditinggalkan orang.

Ayah Afiq membuka pintu rumah, lalu Afiq pun berlari membawa Keko ke dalam rumah.

"Ibu! Ibu!" Afiq berlari-lari mencari ibunya.

Ayah Afiq tidak begitu menghiraukan Afiq. Dia pergi ke dapur dengan membawa beberapa barang ke satu bilik.

Tiba-tiba Afiq berhenti di satu penjuru. Afiq mendongak, memandang ke arah gambar foto di dinding. Di situ terdapat gambar seorang wanita. Terdapat juga gambar Afiq di dalam pelukan ibunya. Juga ayah Afiq.

"Ibu, Afiq sudah ada kawan. Ini kawan Afiq." Afiq mengangkat Keko tinggi-tinggi.

Keko berasa sangat takut. Keko takut kalau-kalau Afiq akan melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Keko mula bertindak mencakar tangan Afiq. Afiq tidak memberi apa-apa respon. Afiq menurunkan Keko. Afiq mendukung Keko dan mengusap-usap Keko.

"Ibu. Anak kucing ini macam Afiq. Tak ada ibu."

Keko terkedu. Rupa-rupanya Afiq, adalah seperti dirinya. Tidak ada ibu. Sama-sama telah kematian ibu.

"Afiq dah ada kawan. Afiq tak sunyi lagi."

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Rabu, September 15, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Kanak-kanak lelaki itu membuka pintu. Lalu, tanpa menghiraukan rintik-rintik hujan yang turun membasahi badannya, kanak-kanak kecil itu terus merangkul tubuh Keko dan berlari semula, masuk ke dalam keretanya. Pintu ditutup kemas.

Keko meronta-ronta untuk melihat ibunya. Keko mengiau-ngiau nyaring. Keko mencakar-cakar cermin tingkap kereta itu. Ia enggan berpisah dengan ibunya.

"Ayah, Afiq mahu pelihara kucing ini." Halus sekali suara anak kecil itu.

Keko tidak peduli semua itu. Keko tidak peduli apa pun niat budak lelaki yang bernama Afiq itu. Keko cuma mahu diletakkan kembali ke sisi ibunya. Keko mahu jaga ibunya. Keko masih menaruh harapan yang ibunya akan sedar kembali. Ibunya cuma pengsan. Ibunya tidak mati!

"Ayah, boleh tak? Kasihan anak kucing ini, ibunya sudah mati."

Mati? Hampir luruh jantung Keko mendengar perkataan itu. Terguris hati Keko mendengar perkataan itu. Ibunya belum mati! Ibunya cuma pengsan! Lalu, makin kuat Keko meronta-ronta. Afiq mengusap-usap lembut badan dan kepala Keko. Entah kenapa, tiba-tiba, Keko merasa tenteram seketika.

Ayah Afiq terus menekan pedal minyak. Perjalanan diteruskan lagi.

Perlahan-lahan, kereta itu bergerak meninggalkan bangkai Ibu Keko. Keko mengiau sekuat-kuat hatinya. Air matanya mengalir. Keko melihat bangkai ibunya yang terbaring di tepi jalan perlahan-lahan hilang dari pandangan matanya. Keko menyumpah-nyumpah air hujan yang mengaburi cermin tingkap. Keko meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi ia tidak berdaya lagi.

Dan Afiq, terus mengusap-usap badan dan kepala Keko. Menenangkan Keko. Tidak menghiraukan badan Keko yang sudah basah kuyup. Tidak menghiraukan kuku Keko yang belum cukup tajam untuk melukakan kulitnya. Keko masih anak kucing yang kecil.

-o-

"Suatu ketika dahulu, Ibu pernah dipelihara manusia. Bila Ibu sudah besar, manusia buang Ibu," kata Ibu Keko pada suatu hari.

"Ibu tidak tahu apa salah Ibu. Ibu sayang manusia itu. Ibu tolong tangkapkan tikus yang merosakkan barang-barang di rumah mereka, tapi ini balasan yang ibu dapat."

"Semata-mata kerana kelemahan Ibu. Ibu terpecahkan pasu mahal milik manusia itu. Ibu dihalau dari rumah itu. Semua jasa ibu padam begitu sahaja."

Keko menangis lagi. Keko menangis mengenangkan nasib ibunya. Kini, Keko sendiri telah diambil oleh seorang anak manusia. Anak manusia itu mahu memeliharanya.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010

Ahad, September 12, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 1

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 1
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Ketika itu hujan turun rintik-rintik. Awan mendung berwarna ungu sesekali disimbah cahaya kekuningan. Angin dingin bertiup sekali-sekala.

"Ibu..."

Keko menggerakkan badan Ibunya. Ibunya kaku tidak bergerak. Keko lalu duduk diam di sisi ibunya. Keko termenung. Keko tidak tahu apa nasibnya selepas ini.

Darah terus mengalir lesu dari sisi bibir ibunya. Darah ibunya terus mengalir mengikut rentak aliran air lalu menyapa lopak-lopak berhampiran. Keko tidak dapat menerima hakikat, ibunya sudah mati. Mati dilanggar kereta beberapa jam yang lalu.

-o-

"Nanti!" Jerit Ibu Keko. Keko tersentak.

"Jika mahu menangkap tikus. Bukan begitu caranya. Lihat Ibu!" Ibu Keko duduk diam memerhatikan seekor tikus kecil yang leka mencari makanan di timbunan sampah.

"Tunggu sehingga tikus itu leka." Si Ibu kian merapat ke arah tikus itu. Mata Ibu Keko membulat. Ternyata Ibu Keko memberi tumpuan penuh terhadap tikus tersebut.

"Bergerak perlahan-lahan," bisik Ibu Keko.

Ibu Keko merapat lagi. Dia menggoyang-goyangkan ekornya. Bersedia untuk menerkam.

"Apabila tikus itu mula makan, itu tandanya dia sudah mula leka," bisik Ibu Keko.

Satu, dua, terkam. Sepantas kilat, Ibu Keko menerkam ke arah tikus kecil. Tikus kecil tersedak, terbatuk-batuk seketika sebelum mencicit lari.

Skrath! Kuku tajam Ibu Keko berjaya menangkap ekor tikus kecil. Sepantas itu juga sebelah lagi cakar Ibu Keko hinggap ke badan tikus kecil. Tanpa belas kasihan, Ibu Keko menggigit tengkuk tikus kecil. Kedua-dua cakarnya kemas membelenggu badan sang tikus.

Menurut Ibu Keko, taring kucing mempunyai bisa yang mampu melumpuhkan mangsanya. Ini adalah anugerah Tuhan kepada sekalian bangsa kucing, supaya mereka mampu meratah daging, sebagai makanan asasi mereka.

-o-

Simbahan air hujan yang dingin mengenai tubuh Keko. Sinar cahaya yang terang membuatkan Keko tersedar dari lamunannya. Sinar lampu bulat berkembar tiba-tiba berhenti menyuluh jalan. Sebuah kereta kecil berhenti betul-betul di sisi mayat Ibu Keko. Keko memberanikan diri melihat ke tingkap kereta. Kelihatan seorang budak lelaki menjenguk dari arah kereta.

"Ayah, kasihan anak kucing ini!"

Suara anak kecil itu bernada simpati. Dan, dalam simpati itu ada niat keikhlasan.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010