BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Filem Inggeris. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem Inggeris. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 24, 2018

Ulasan Filem Crazy Rich Asians (2018)


Filem ini berdasarkan sebuah novel yang berjudul Crazy Rich Asians. Sebuah filem yang sangat baik bagi saya dan saya gembira dapat menonton filem ini di panggung premier dengan layanan kelas V.I.P. Ia tentang seorang gadis termuda yang menjadi pensyarah di sebuah universiti di New York yang tidak tahu bahawa teman lelakinya adalah anak kepada seorang hartawan yang sangat kaya di rantau Asia. Konflik cinta bermula apabila ibu kepada teman lelakinya mula masuk campur dalam hal-hal percintaan mereka atas dasar perbezaan latar Timur dan Barat. Orang Asia dan orang Barat dianggap mempunyai matlamat hidup yang berbeza dan ibu teman lelakinya bimbang faktor ini akan menjadi memusnah keluarga Young.

Filem komedi romantik yang sama genre dengan Coming To America yang pernah meletup pada tahun 1988 sehingga mempengaruhi beberapa penerbit filem di rantau Asia untuk menerbitkan filem yang lebih kurang sama ini memberi impaks yang sangat menyentuh hati para penonton.

Adakah watak-watak utamanya akan mempunyai penamat yang bahagia pada penghujung cerita atau tidak? Plotnya mungkin sama seperti kebanyakan filem cinta, tetapi seperti lagu cinta yang sanggup dimainkan berulang-ulang kali oleh pendengarnya, kekuatan filem ini terletak pada bagaimana watak-watak utamanya mampu menyentuh emosi penonton dengan lakonan mereka.

Mungkin di Malaysia, filem-filem cinta seperti Crazy Rich Asians ini terlalu biasa, tetapi di Barat, ia mungkin satu sentuhan yang sudah lama tidak diangkat. Siapa sangka, sesuatu yang begitu klise dengan karya penulis-penulis tempatan boleh mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Keyakinan diri penerbit untuk menerbitkan filem sebegini membuahkan hasil.

Ulasan Filem Down A Dark Hall (2018)


Down A Dark Hall bermula dengan kisah seorang gadis remaja yang panas baran dan menimbulkan banyak masalah di sekolahnya. Kemudian, datang seorang profesor menjemput pelajar tersebut berpindah ke sebuah sekolah swasta di Blackwood, dengan jaminan untuk mampu meningkatkan potensi para pelajarnya untuk menjadi seorang genius. Tanpa disedari, mereka semua adalah mangsa, tubuh badan mereka menjadi tumpangan bagi roh-roh tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang yang berbeza untuk menyempurnakan karya dan hasil kerja mereka yang belum siap kerana semua tokoh tersebut meninggal dunia dalam usia yang masih muda.

Tidak seperti kebanyakan filem seram, filem ini bermula dengan drama dan kisah yang sangat biasa, tanpa unsur-unsur untuk membayangkan keseramannya. Boleh dikatakan ia satu genre baru dan boleh dikatakan tahun ini kita menyaksikan karyawan-karyawan Barat banyak bereksperimen untuk menayangkan filem genre baru. Filem genre baru yang diangkat dari novel-novel klasik.

Permulaan cerita boleh membuatkan seseorang itu tertidur dan tertanya-tanya adakah ini filem seram atau pun bukan, sehinggalah sedikit demi sedikit, watak-watak mula menemui sesuatu yang pelik dan kecurigaan mereka meningkat. Sampai ke satu tahap, bermula dari sekadar usikan atau ketakutan, ia bertukar menjadi pelik, jelik, tidak siuman dan akhirnya keganasan pun bermula.

Ia bukan tentang keseraman yang biasa penonton lihat, ia adalah keseraman tentang perubahan tingkah laku watak-watak, peningkatan bakat secara mendadak dan cara pengisahannya sekali-sekala ia mengingatkan saya tentang manga Junji Ito (doktor gigi yang bertukar profesion menjadi pelukis manga).

Filem ini menyampaikan mesej tentang anak-anak yang terbiar, tanpa didikan sempurna daripada ibu bapa, kemudian mereka membesar menjadi remaja memberontak dan hal ini disentuh dalam babak-babak akhir filem ini. Sentuhan akhir yang dramatik adalah penamat bagi kisah watak utama dalam filem ini yang saya jangka akan mengundang percampuran antara maklum balas positif dengan maklum balas negatif daripada para penonton.

Sabtu, Ogos 18, 2018

Ulasan Filem The Darkest Mind


The Darkest Mind memang kelihatan menarik dengen efek khas dan permainan emosi antara hubungan ibu bapa dengan anak, persaudaraan, setiakawan dan cinta tiga segi, tetapi pengisahannya melibatkan banyak unsur kitar semula daripada filem-filem yang sebelumnya termasuk X-Men dan Wolverine. Boleh dikatakan filem The Darkest Mind dalah filem tentang persoalan, apa akan jadi jika Profesor Charles Xavier dalam filem X-Men adalah seorang gadis muda dengan kuasa yang lebih kurang sama. Boleh membaca fikiran, telepati, memukau, menguasai minda dan mengawal badan orang lain.

Filem ini mengisahkan tentang dunia di mana kebanyakan kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah mati kerana wabak misteri. Mereka yang terselamat pula ditakuti kerana dianugerahkan dengan kuasa luar biasa. Kuasa-kuasa itu dikategorikan kepada beberapa peringkat atau kelas. Kelas paling selamat ialah Hijau di mana kanak-kanak dan remaja dalam kategori ini akan memiliki kepintaran luar biasa. Kelas Biru adalah untuk kanak-kanak dan remaja yang memiliki kuasa telekinesis, dan mereka boleh menggerakkan objek dengan minda. Kelas Kuning atau Emas pula adalah untuk mereka yang boleh mengaktifkan kuasa elektrik. Kelas Oren pula untuk mereka yang boleh mengawal minda, kuasa telepati dan ini sangat mirip dengan watak Profesor X dalam X-Men. Kelas terakhir ialah Merah. Kanak-kanak dan remaja kelas Merah sangat ditakuti kerana berupaya menghasilkan api. Ruby Daly yang berkuasa hampir sama seperti Profesor X, akan menjadi tokoh utama yang membela nasib kanak-kanak dan remaja.

Biarpun dalam filem itu, Merah digambarkan sebagai kelas yang paling ditakuti tetapi kuasa yang paling merbahaya adalah kuasa dari kelas Oren. Kanak-kanak dan remaja dalam kelas Oren akan dibunuh terus jika dikesan kerana keupayaan mereka untuk menguasai minda orang lain termasuk mengubah memori, pukau dan lain-lain yang boleh menjadikan musuh kepada kawan atau hamba mereka. Filem ini akan membuatkan kuasa yang dimiliki oleh Profesor X sebagai kuasa yang paling menarik dan berkuasa. Ini menunjukkan kenapa Profesor X merupakan salah satu mutan terkuat dalam filem X-Men. Pendapat yang sama meletakkan Oren sebagai peringkat paling bahaya.

Biarpun kanak-kanak dan remaja lain masing-masing memiliki kuasa luar biasa tetapi di dalam filem ini mereka digambarkan sebagai tidak suka menggunakan kuasa luar biasa mereka. Kebanyakannya masih menggunakan senjata api. Disebabkan hal ini, filem adaptasi The Darkest Mind kelihatan banyak kelemahan. Ada perkara yang sepatutnya boleh menjadi tidak boleh, ada banyak perkara dikembangkan atau diperihalkan lagi tetapi sumbernya kurang, menjadikan filem ini suatu teka-teki atau misteri, penuh dengan pertanyaan yang tidak terjawab. Penonton akhirnya perlu mengandaikan diri jawapannya atau jika mereka sekadar menonton untuk hiburan, maka mereka mungkin boleh berpuas hati dengan filem ini yang mengandungi unsur kesan khas, kuasa luar biasa dan sedikit humor.

The Darkest Mind tetap menghiburkan walaupun ia bukan kisah segar. Filem adaptasi novel ini turut menyinggungkan perasaan penulis novelnya apabila watak Charles atau Chubs yang sepatutnya berada dalam kelas Biru ditukar menjadi kelas Hijau. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat novelnya apabila menonton filem ini. Namun ada juga pembaca novel yang suka dengan perubahan kelas tersebut kerana Chubs terlalu pintar untuk berada dalam kategori kelas Biru dan lebih sesuai berada dalam kelas Hijau.


Ahad, Julai 29, 2018

Ulasan Filem BILLIONAIRE BOYS CLUB (2018)


Filem drama berdasarkan kisah benar Billionaire Boys Club mengingatkan kita tentang The Wolf of Wall Street yang diharamkan tayangannya di Malaysia kerana unsur-unsur bahasa kesat, lucah dan aksi bogel yang keterlaluan. Berbeza dengan The Wolf of Wall Street, Billionaire Boys Club tidak mengandungi unsur-unsur tidak senonoh yang ketara.

Ia adalah satu filem berdasarkan kisah benar yang menarik tentang sekumpulan anak muda yang cuba mencari kekayaan dengan idea yang dianggap mustahil. Watak utamanya Joe Hunt, bergabung idea dengan Dean Karney untuk mewujudkan satu skim cepat kaya yang kelihatan sangat menyakinkan. Kita mungkin pernah dengar tentang Skim Ponzi atau Permainan Ponzi. Skim ini menjadikan pelabur-pelabur sebagai mangsa, dan duit yang diperolehi daripada mangsa-mangsa terkemudian dijadikan sebagai umpan, dibayar sebagai keuntungan untuk pelabur-pelabur terawal. Selagi penipuan dapat diteruskan, selagi itu mangsa berkemungkinan gagal menghidu penipuan.

Jenayah senyap yang bermula di Beverly Hills, dengan mangsa-mangsa terawal terdiri daripada rakan-rakan dan kenalan yang terdekat. Joe Hunt dan rakannya Dean Karney terperangkap apabila mereka menjadi mangsa penipuan oleh seorang yang lebih berpengalaman dalam bidang con artist.

Billionaire Boys Club didasarkan daripada kisah benar, maka ini mungkin menjadi punca kegagalan penulis skrip untuk melakarkan kisah dengan lebih menarik. Watak Joe Hunt tenggelam dengan kebangkitan watak Dean Karney, tidak ada unsur yang begitu menyentuh emosi penonton biarpun filem ini dikelaskan sebagai filem drama.

Penonton tidak boleh begitu mengharap untuk melihat babak-babak yang mengalirkan air mata, biarpun jalan ceritanya sepatutnya mampu menimbulkan kesan sebegitu terhadap penonton. Filem Billionaire Boys Club sekadar bercerita secara neutral, memaparkan apa yang berlaku tanpa meninggalkan kesan terhadap penonton.

Filem Billionaire Boys Club biarpun gagal memberi kesan yang mendalam terhadap penonton tetapi tetap dapat menyampai mesejnya kepada penonton supaya berhati-hati dengan skim cepat kaya yang telah banyak memperdayakan ramai mangsa di seluruh dunia.

Ulasan Filem Mission Impossible – Fallout (2018)


Filem Mission: Impossible – Fallout yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Ethan Hunt, yang bekerja di bawah IMF, sekali lagi muncul dengan pelbagai aksi yang mustahil dari segi logik akal tetapi diwaraskan dengan pelbagai penyelesaian yang kreatif. Musuh akan kelihatan sentiasa diperbodohkan biar betapa bijak pun mereka menipu penonton.

Disebabkan filem aksi Mission: Impossible – Fallout ini memerlukan protagonisnya menyelesaikan masalah secara di luar kotak pemikiran yang biasa, maka dengan berfikir secara di luar kotak, maka setiap plot atau jalan ceritanya sudah dapat diramalkan. Siapakah John Lark, apakah Hunt akan bertindak mengikut arahan antagonis dan sebagainya, semuanya sudah dapat dibaca. Filem Mission: Impossible – Fallout menggunakan plot yang bodoh dan jalan ceritanya juga serba mustahil tetapi hero seperti biasa mampu menangani hukum fizik dengan baik untuk melepasi cabaran dan rintangan.

Ethan Hunt memang orang yang bertuah, sentiasa sahaja bernasib baik dalam berdepan dengan sebarang masalah. Konsep kuasa luar biasa Ethan Hunt mirip John McClane lakonan Bruce Willis dalam Die Hard atau Domino dalam Deadpool 2, sentiasa dapat terlepas daripada maut biar pun berdepan dengan pelbagai risiko bahaya.

Disebabkan watak hero Ethan Hunt dalam filem Mission: Impossible – Fallout akan sentiasa bernasib baik, maka Christopher McQuarrie sudah pasti bertindak bijak dengan menulis dan mengarahkan jalan cerita Mission: Impossible – Fallout dalam bentuk separa komedi. Komedi merupakan taktik baru yang dibudayakan dalam filem-filem Barat sebagai cara menutup 'loop hole' atau kelemahan dalam merangka jalan ceritanya. Nampaknya, dunia semakin dilanda krisis karya-karya berkualiti.

Filem Mission: Impossible – Fallout biarpun adalah sebuah filem aksi yang memiliki unsur komedi, turut diadun dengan kesedihan, kematian dan keperwiraan. Watak Ethan Hunt diulas menerusi dialog watak-watak yang lain sebagai seseorang yang tidak sanggup memilih kehidupan yang bahagia jika beliau mengetahui masih ada bahaya atau orang lain yang akan ditimpa kesusahan.

Ethan Hunt tidak akan mengorbankan satu orang demi menyelamatkan berjuta-juta orang yang lain. Ethan Hunt akan memikirkan cara untuk menyelamat semua orang. Ini sifat perwira yang menjadikan cerita ini sebagai sebuah cerita yang menarik untuk ditonton.


Isnin, Julai 16, 2018

Ulasan Filem Skyscraper (2018)


Dalam filem Skyscraper ini, Dwayne Johnson memegang watak Will Sawyer, seorang bekas FBI yang telah kudung kakinya tetapi hikmah di sebaliknya, dia bertemu isteri, mendapat dua orang anak dan hubungan keluarga yang bahagia. Skyscraper adalah kisah seorang suami dan seorang ayah yang menjadi wira dan topik yang digunakan oleh filem Skyscraper ini bukan lagi topik baru dalam filem-filem Hollywood. Kita boleh namakan pelbagai tajuk yang menggunakan tema yang serupa dengan filem Skyscraper ini. Die Hard dan Fast & Furious pernah adalah contoh terbaik. Will Sawyer seperti dalam dianggap sebagai bersubahat dengan penjahat secara paksa kerana keluarganya dijadikan tebusan sebelum dia berjaya memerangkap semula penjahat dan menyelamatkan keluarganya. Jadi jika bercakap tentang plot, filem Skyscraper cuma sebuah filem kitar semula plot yang boleh dianggap popular dan diminati penonton.

Adakah filem Skyscraper menarik? Lakonan Dwayne Johnson dalam filem ini memang antara punca tarikan utama filem ini. Perwatakan aktor yang pernah mengagumkan ramai peminatnya menerusi nyanyiannya dalam filem animasi Moana memang dinanti-nantikan oleh para penonton Skyscraper. Dwayne Johnson memang seorang pelakon yang berpengaruh. Bekas bintang ahli gusti yang tidak gentar menghiburkan ribuan penonton pada kurun yang lepas, mempersonakan para peminatnya dengan pelbagai bakat dan sifat terbukanya dalam membintangi pelbagai genre filem. Salah seorang pelakon terkaya di dunia.

Apa lagi ulasan yang boleh membuatkan filem Skyscraper menarik? Keberanian seorang bapa dan seorang suami untuk menyelamatkan ahli keluarganya dengan mengharungi satu demi satu cabaran yang pada bila-bila masa sahaja boleh mencabut nyawanya biarpun dengan tiga anggota badan. Sebelah lagi, anggota badannya, iaitu kaki palsu juga banyak memberi faedah dalam cerita ini. Sebagai seorang bapa dan suami, sanggupkah anda melawan kepungan polis, memanjat bangunan yang beratus-ratus meter tinggi dan melompat dari langit dengan sebelah kaki palsu, merempuh api dan menggunakan kudrat kekuatan untuk bersedia mengorbankan diri pada bila-bila masa demi keluarga anda? Para penonton dan anggota polis sendiri bertukar dari lawan menjadi penyokong, selepas mereka mula menyedari keikhlasan dan kesucian hati Will Sawyer berjuang demi keluarganya.

Kebakaran rumah akan mampu memberi jawapan tentang siapa atau apa yang tuan rumah paling sayang adalah persoalan yang dibangkitkan dalam filem ini. Dwayne Johnson bijak memilik filem untuk dilakonkan. Kebanyakan filem lakonannya adalah filem aksi untuk keluarga. Disebabkan corak pemilihan filem yang dibuat oleh Dwayne Johnson telah jelas kelihatan, kita tahu apabila ada Dwayne Johnson dalam sesebuah filem PG13 maka kita juga tahu jenis hiburan dan hala tuju filem tersebut. Kesemua filem Dwayne Johnson berakhir dengan kegembiraan. Ia filem keluarga dan hiburan untuk ahli keluarga, tidak ada sebab untuk menjadikan filem itu berakhir dengan kesedihan. Orang baik akan menang menentang orang jahat.

Jumaat, Julai 06, 2018

Ulasan Filem Ant-Man and The Wasp


Filem Ant-Man and The Wasp adalah salah satu filem dalam rangkaian filem Adiwira Marvel seperti Avenger yang berkait-kait antara satu sama lain. Dari segi aksi, dialog dan jalan cerita, tidak dinafikan filem ini mempunyai tarikannya yang mampu menghiburkan penonton.

Biarpun begitu menarik, jalan ceritanya adalah biasa dilihat dalam kebanyakan filem. Watak utama yang menghadapi masalah dengan pihak berkuasa, terpaksa membantu orang dengan secara senyap-senyap, memiliki anak perempuan yang memahami, rakan-rakan setiawan yang sanggup berkorban melibatkan diri dalam risiko berdepan masalah dengan pihak berkuasa. Watak hero yang sanggup memaafkan dan menaruh belas kepada pihak lawan atau anti-hero, atau antagonis.

Siapakah musuh dalam cerita ini? Mungkin ketamakan seorang pedagang gelap yang menjual barang-barang teknologi atau seorang gadis yang terdesak untuk menyelamatkan nyawanya sendiri dengan merompak rakan-rakan kepada hero? Mungkin juga pihak FBI yang sentiasa memberi ancaman terhadap usaha hero dan rakan-rakannya untuk menyelesaikan misi menyelamat mereka. 

Kisah-kisah dalam Ant-Man and The Wasp boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama Scott yang perlu bertahan untuk tidak keluar dari rumahnya kerana masih di dalam pengawasan pihak berkuasa namun baki tiga hari itu sangat mencabar apabila Hope meminta bantuannya dan untuk membantu Hope, Scott perlu melanggar syarat-syarat yang boleh menyebabkan dia dipenjara selama 20 tahun. Kedua, kisah Hope dan ayahnya yang ingin menyelamatkan ibunya dari alam kuantum tetapi menghadapi halangan daripada Ghost dan juga Sonny, seorang pedagang gelap yang ingin merampas dan melelong makmal berteknologi canggih mereka. Ketiga, kisah seorang profesor yang dipecat oleh Dr. Hank Pym, iaitu Bill Foster yang ingin menyelamatkan nyawa Ghost tetapi mereka perlu merampas makmal Dr. Hank Pym. Pada masa yang sama Sonny bekerjasama dengan seorang  pegawai FBI untuk menangkap Hope dan Dr. Hank Pym.

Persoalan kepada kisah-kisah di atas adalah seperti berikut. Pertama, berjayakah Scott atau Ant-Man membantu Dr. Hank dan Hope menyelamatkan ibu mereka tanpa dikesan oleh pihak FBI? Kedua, berjayakah Dr. Hank dan Hope menyelamatkan Janet selepas diganggu oleh Sonny, Ghost dan pihak FBI? Ketiga, berjayakah Bill Foster menyelamatkan nyawa Ghost yang terancam kerana bencana kuantum? Inilah tiga plot utama yang memberi nafas kepada filem Ant-Man and The Wasp ini.

Tidak ada sesuatu yang kelihatan baru dalam filem Ant-Man and The Wasp, tetapi ia adalah tetap sebuah filem yang boleh ditonton dan tidak merugikan wang membeli tiket. Ada beberapa kelemahan dalam cerita ini seperti jika Scott mendakwa dia kepenatan dan terpaksa tidur selama tiga hari selepas menjadi gergasi tetapi kali ini selepas beberapa kali menjadi gegasi dia masih kelihatan bertenaga. Mungkin ada penjelasan dari segi saintifik atau fiksyen-saintifik oleh para peminat tegar filem ini nanti untuk menyokong perbezaan fakta visual tersebut.

Jangan terkejut jika The Wasp kelihatan lebih handal berbanding Ant-Man disebabkan latar belakang The Wasp itu sendiri yang lebih rapat dengan situasi kehidupan adiwira berbanding Ant-Man yang merupakan mangsa bidang terjun dalam profesion adiwira.

Bagi pengikut-pengikut filem adiwira Marvel, anda akan didedahkan dengan jawapan kenapa Ant-Man tidak dapat membantu Avengers dan sekutunya yang lain dalam memerangi tindakan berasaskan falsafah perjuangan Thanos dalam filem Infinity War.

Jalan cerita Ant-Man adalah mudah dihadam dan plotnya memang ditulis dengan mudah. Namun plot yang mudah biasanya memerlukan keringat dan kreativiti yang tinggi untuk dijadikan skrip filem yang mampu menarik penonton ke panggung. Aksi-aksi pertempuran dan kesan khas yang menarik akan membuatkan para penonton terhibur selain aksi komedi yang sekali-sekala menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Ya, itu adalah kecenderungan yang menjadi tabiat dalam kebanyakan filem Marvel di mana aksi komedi merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah. Komedi, aksi lucu boleh mendatangkan situasi tidak terjangka yang menyebabkan gangguan tumpuan dan menyelamatkan keadaan.

Ahad, Julai 01, 2018

Ulasan Filem Incredibles 2 (2018)


Filem Animasi Incredibles 2 mempunyai plot yang menarik, watak Helen atau Elasticgirl dikembangkan dengan bijak. Kuasa Elasticgirl dimainkan dengan sangat kreatif dan bijaksana. Pada awal cerita, Incredibles mengisahkan tentang Violet, anak gadis keluarga adiwira Incredibles, yang mengalami masalah percintaan sebelum si suami, Bob memegang tanggungjawab penuh sebagai ibu bapa, menjaga ketiga-tiga orang anaknya. Dash yang masih kanak-kanak menyinggung perasaan Bob dalam Matematik yang semakin sukar peringkat pembelajarannya. Jack-Jack, anak yang bongsu dan masih bayi pula mula mampu menggunakan pelbagai kuasa adiwira dan terlampau aktif berkeliaran di serata rumah. Ini menambahkan tekanan buat si bapa.

Sejak aktiviti adiwira diharamkan, kebanyakan adiwira menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa. Seorang hartawan yang bijak bersosial berpasukan dengan saudara perempuannya yang pintar dalam merekacipta peralatan teknologi, merancang strategi untuk membuka mata masyarakat tentang kepentingan adiwira, meneruskan legasi bapa mereka yang dibunuh oleh penjenayah. Konflik bermula dari sini, menyelit dalam diam menyembunyikan jawapan bagi misteri dan teka-teki untuk dibongkarkan oleh Helen. Brad Bird ternyata pintar mengatur plot.

Kedua-dua beradik hartawan bekerjasama dengan Elasticgirl untuk membina semula reputasi adiwira dan kepercayaan masyarakat. Mereka berjaya, tetapi pada masa yang sama seseorang merancang untuk menggunakan kepercayaan pemimpin masyarakat terhadap adiwira sebagai jerat untuk menjatuhkan terus adiwira dan menggagalkan impian legasi mendiang bapa hartawan tersebut. Brad Bird selaku pengarah dan penulis cerita ini, berjaya mewujudkan sekuel yang menarik. Ketangkasan dan aksi Elasticgirl dalam filem animasi ini dijangka mampu mencipta peminat-peminat tegar terhadap watak srikandi tersebut. Jika Alice dan Lara Croft memiliki peminatnya sendiri, begitu juga potensi daya tarikan yang dimiliki oleh watak Helen ini.

Incredible 2 adalah filem animasi aksi adiwira yang menarik dan seronok untuk ditonton. Ia berjaya menarik pesona penonton terhadap watak adiwiranya, aksi yang mendebarkan, selain simpati terhadap si bapa dan gelagat adiwira comel yang mencuit hati.

Jumaat, Jun 29, 2018

Ulasan Filem Sicario: Day of the Soldado


Apabila Amerika diserang, Amerika melatah. Lalu Pentagon bertindak membalas dendam, mengatur taktik dalam diam. Musuh dikesan, mereka mula mencari jalan untuk menghapuskan musuh. Musuh berada di negara jiran, Amerika harus berjaga-jaga kerana lebih 52 juta rakyat mereka berada di negara tersebut. Sekali lagi Amerika bermain kotor, begitu asyik karyawan Barat mengkritik kerajaan mereka secara terbuka.

Amerika mula merancang melaga-lagakan musuh dengan musuh yang lain, menjadi batu api dalam diam. Menculik puteri seorang maharaja kartel di Mexico, dan membiarkan kes berkenaan menjadi punca tercetusnya peperangan antara kartel. Seorang pembunuh upahan sedar dia mungkin menjadi mangsa kambing hitam. Langkah bijak diambil, mengatur seorang pemuda yang kelihatan mentah sebagai kunci penyelamat nyawa pada kemudian hari.

Saya pernah menonton Sicario yang pertama, dan saya sukakan jalan ceritanya yang gelap dan penuh dengan kelicikan. Dalam dunia di mana undang-undang dimanipulasikan oleh politik, watak-watak utama perlu bijak mencari jalan keluar daripada jerat dan perangkap makan tuan yang dirancang oleh para pengatur kehidupan. Sicario 2 mengulangi kesan kegelapan tersebut.

Cuma yang mahir dengan seni tembakan, mampu bermain dengan muslihat nyawa. Yang hidup kelihatan mati, kemudian bangkit semula dengan anak didik yang baru. Kawan boleh menjadi lawan, tuan boleh mengkhianati dan yang diupah boleh ditelan atau dibuang begitu sahaja. Watak-watak utama perlu bijak mengatur perkataan, menjangkakan senario paling buruk yang bakal dihadapi untuk terus hidup.

Sicario 2 adalah filem aksi pertempuran berkaitan dengan sediakan payung sebelum hujan. Dendam boleh dibalas dengan budi, segala-galanya adalah di luar jangkaan. Kepentingan dan prospektus harus dinilai dengan teliti, tidak ada keputusan boleh dibuat secara mentah, atau ajal menanti dengan mudah.

Filem aksi Sicario 2 sesuai untuk mereka yang suka berfikir, dengan pemutaran plot yang senang difahami. Dalam aksi masih ada pengajaran yang boleh diserap secara logik, tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan karma, sesetengahnya memerlukan rasional dan mengutamakan pelaburan dalam kehidupan. Mari berbincang tentang masa depan, kemudian barulah mengatur perancangan.

Selasa, Jun 26, 2018

Ulasan Filem Hereditary


Hereditary adalah filem seram. Sebuah filem seram yang penuh drama, mencungkil rasa simpati, murung dan empati dalam diri anda untuk berasa belas kasihan terhadap watak-wataknya. Sukar dipastikan siapa watak utama pada permulaan cerita jika anda bukan penonton filem yang mahir.

Pada permulaan cerita, watak anak gadis dipaparkan sebagai watak utama. Seorang manusia lemah yang alergik dengan kacang dan dilanda perasaan murung selepas kematian nenek kesayangan.

Kemudian, anda akan mula dirapatkan dengan watak si ibu dan anak lelakinya. Dua watak yang berkonflik kerana kisah silam, rahsia yang terbongkar kerana tekanan demi tekanan yang melanda kehidupan keluarga tersebut.

Pada akhirnya si anak lelaki dan si ibu mendominasi jalan cerita sebelum pada akhirnya anda menyangka filem ini akan kekal sebagai karya yang sangat menarik yang bakal menang anugerah sehinggalah ke babak terakhir.

Babak terakhir kurang dramatik, biarpun menjelaskan segala muslihat dan perangkap yang disengajakan pada pertengahan cerita. Tidak dapat dimaklumkan dengan lebih jelas di sini kerana dikhuatiri akan memusnahkan perasaan ingin tahu.

Filem ini diklasifikasikan sebagai untuk tonton 18 tahun ke atas kerana babak ngeri dan bogel yang dipaparkan secara nyata. Ia filem bertemakan kekeluargaan dengan watak-watak utamanya menjadi mangsa perbuatan generasi sebelumnya yang percaya kepada ajaran sesat. Ia adalah sebuah filem tentang pemujaan dan mangsa-mangsa yang khusus dijadikan korban demi menjayakan pemujaan tersebut. Pemujaan yang bertujuan membangkitkan salah satu Dewa Neraka yang dipanggil Paimon.

Filem ini mempunyai Hook yang cukup baik, dengan latar konflik yang kemas sehingga saya fikir ia mungkin berpotensi untuk memenangi anugerah, tetapi semua itu dimusnahkan dengan babak akhir yang kurang kemas. Namun begitu ini adalah filem yang sangat menyentuh emosi.

Sebuah filem seram yang mempunyai suasana seram dan dramatik, mampu membuatkan anda lupa seketika dunia nyata.


Ulasan Filem Ocean 8


Ocean 8 adalah sebuah filem di mana watak utamanya adalah seorang penjenayah wanita. Baru sahaja keluar dari penjara, dia sudah merancang untuk merompak berlian. Debbie Ocean adalah adik kepada Danny Ocean dan dia merupakan seorang pencuri profesional.

Filem ini akan memaparkan kisah lapan wanita yang memiliki latar belakang pekerjaan yang berlainan, yang bergabung untuk satu matlamat iaitu mencuri berlian.

Apa yang pasti anda sama ada dipaksa atau secara tidak sengaja akan menyokong perbuatan jenayah mereka dan mengharapkan agar pencuri-pencuri ini berjaya mencuri berlian tersebut. Malah ada yang bertepuk tangan melihat kejayaan mereka mencuri berlian-berlian tersebut.

Ini adalah sebuah karya hebat yang berjaya memanipulasi minda manusia supaya menyokong penjenayah. Dilabelkan sebagai PG13, maka filem ini boleh ditonton oleh anak-anak seawal usia 13 tahun. Sukar dipastikan sama ada anak anda akan menyokong penjenayah-penjenayah tersebut atau bertanya kepada anda kenapa ramai penonton kelihatannya seperti menyokong penjenayahan-penjenayahan tersebut/

Sebagai penonton, anda akan menghayati kesabaran, kerjasama, kepercayaan dan sifat amanah untuk saling menjaga kebajikan dan membela rakan-rakan seperjuangan untuk mencuri berlian.

Debbie tidak sekadar mahu mencuri berlian, dia juga mahu membalas dendam terhadap seorang insan yang menyebabkan dia dipenjara sebelum ini. Siapakah insan durjana tersebut? Dapatkah Debbie membalas dendamnya? Berjayakah Debbie mencuri berlian dengan selamat tanpa dikesan? Bahagiakah Debbie selepas menjadi kepala perancang aktiviti mencuri berlian tersebut?

Ocean 8 bukanlah yang pertama dalam genrenya. Sebelum ini sudah ada Ocean 13 dan Ocean 11. Cuma kali ini angkanya bertukar menjadi nombor genap dan bukan lagi nombor perdana.