BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Swordtail. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Swordtail. Papar semua catatan

Rabu, Disember 02, 2009

Aras Air Semakin Meningkat - Hujan Tanpa Henti

Hujan turun dan terus turun. Tanah sudah mula digenangi air. Itik-itik serati bermain-main dengan gembira. Nasib baik arnab-arnab yang berpuluh-puluh ekor itu telah selamat dialihkan ke sangkar yang lebih tinggi. Sebelum ini, arnab-arnab tersebut dibiarkan berada di permukaan tanah. Apabila ada antara mereka yang bakal melahirkan arnab, lubang akan digali dan bayi-bayi arnab akan dilahirkan di bawah tanah sebelum dikambus. Dua minggu kemudian bayi-bayi arnab itu akan keluar sendiri. Jika arnab-arnab tidak dialihkan beberapa bulan sebelum itu, pasti tragedi akan berlaku. Jadi, bersyukurlah.

Dua jenis baka baka Swordtail yang berada di rumah saya sudah pun dikenalpasti. Semalam saya mengambil sampel-sampel ikan Swordtail dari sampel sedia ada. Ikan Swordtail jantan sukar ditangkap kerana kelincahannya di dalam kolam. Namun berdasarkan sifat-sifat fizikalnya saya mengenalpasti bahawa ikan Swordtail yang ada di dalam kolam tersebut adalah dari jenis Green Swordtail dan Red Velvet Swordtail.

Ketika tulisan ini dibuat, suhu di sini adalah sekitar 28 darjah celcius.

Isnin, November 30, 2009

Swordtails Fish - Ikan Pemain Pedang, Kanser Genetik dan Bahasa Latin

Saya pulang ke kampung dan mendapati adanya spesis ikan Wild Green Swordtail yang sudah dikacukkan dengan spesis ikan Red Swordtail. Nampaknya ikan ini sudah kembali membiak dengan pantas. Spesis ikan ni memakan anaknya sendiri yang baru dilahirkan. Oleh itu, krisis populasi pernah berlaku sebelum ini.

Xiphophorus Helleri adalah nama saintifik bagi ikan Swordtail. Xiphophorus bermaksud ahli pedang, merujuk kepada bentuk pedang yang terdapat pada ekor ikan Swordtail Jantan. Helleri pula merujuk kepada nama Herr Heller, iaitu orang Jerman yang membawa pulang ikan ini ke negaranya untuk dikaji.

Sekali imbas, bahasa Latin yang mewakili nama saintifik bagi spesis hidupan sukar untuk diingati, tetapi maksudnya mengkelaskan hidupan-hidupan ini berdasarkan sifat-sifatnya. Antara istilah-istilah Latin yang popular untuk spesis ikan termasuklah:
auratus = emas
fasciatus / fasciatum = belang / jalur
ocellifer = bintik berbentuk mata
javanicus = berasal Java
belizanus = berasal Belize
mexicanus = berasal dari Mexico
Spesis Swordtail menjana minat saya kerana tahan lasak dan mudah dibiakkan. Seekor ikan Swordtail jantan bersamaan dengan dua atau tiga ekor ikan Swordtail betina. Terdapat satu baka Swordtail yang merbahaya untuk dibiakkan. Ikan Black Swordtail adalah pembawa gen tumor atau kanser. Walaupun warna hitamnya kelihatan cantik, namun sekiranya anak yang dilahirkan menerusi kacukan dengan baka warna lain, maka kemungkinan besar anaknya mudah mati.

Baka Black Swordtail juga lambat matang dan kadangkala mengambil masa sekitar 1 tahun untuk matang sepenuhnya. Ini menjadikan baka Black Swordtail jarang untuk ditemui. Jangka hayat ikan Swordtail ialah 3-5 tahun.

Ahad, November 22, 2009

Anak-anak Ikan Betta Berenang-renang dan Bicara Tentang Adab

Pernahkah sesiapa di sini pergi ke Disneyland? Saya masih ingat suatu ketika dahulu Disney banyak menerbitkan filem-filem animasi yang berkaitan dengan moral manusia. Adab sopan. Di dalam cerita-cerita fantasi bermoral Disney, watak-watak baik digambarkan sebagai beradab sopan, manakala watak-watak jahat digambarkan sebagai biadab. Ah, lupakan beberapa perenggan tentang biadab, dan saya ingin berbicara tentang ikan-ikan kajian saya terlebih dahulu.

Sudah beberapa minggu, anak-anak ikan Betta kini sudah menyerupai ikan yang sebenar. Saya kini melepaskan anak-anak ikan tersebut ke dalam tangki ikan utama. Sementara itu, ikan Swordtail saya yang betina dan merupakan satu-satunya ikan yang terselamat dalam tragedi ikan melompat tidak lama dahulu kini akan dibawa pulang ke kampung.

"Orang-orang yang berilmu dan berkemahiran tetapi biadab adalah umpama baja yang berbau busuk." - Amiene Rev
Memelihara ikan Guppy lebih mudah, tetapi saya suka dengan ikan Swordtail kerana rupanya mirip ikan Betta. Ikan-ikan Betta ini pula akan dihantar pulang ke kampung. Harga ikan-ikan Betta ini mahal, dan saya kira aset yang saya miliki dalam bentuk ikan kini adalah sekitar RM8,000.

Namun adakah nyawa seekor ikan lebih bernilai berbanding nyawa seorang manusia? Dalam dunia ini apabila orang bertanya kepada saya, "Betapa pentingkah seorang manusia yang beradab kepada kamu?"
"Jika ada satu orang yang beradab dan seribu orang yang biadab berada di dalam kebakaran. Maka saya akan menyelamatkan satu orang yang beradab itu terlebih dahulu. Ini kerana, orang yang beradab amat bernilai harganya, apa lagi jika mereka tahu mengenang budi dan jasa orang yang mendidik mereka. " - Amiene Rev
Kiasan di atas menggambarkan betapa pentingnya adab dalam kehidupan. Saya lebih suka tinggal bersama-sama orang yang beradab, dan melihat orang-orang yang tidak beradab itu sama ada insaf dan berubah menjadi orang yang beradab atau mereka lenyap dari pandangan kehidupan saya.

Sehebat mana pun seseorang itu, dinilai bukan kerana ilmu dan kemahirannya, tetapi adab. Tanpa adab, sia-sialah segala ilmu dan kemahirannya. Orang yang memiliki ilmu dan kemahiran tetapi tidak memiliki adab adalah umpama najis yang diproses menjadi baja. Ada gunanya tetapi selalunya berbau busuk dan tidak menyenangkan.

Kesimpulannya orang-orang yang berilmu dan berkemahiran tetapi biadab umpama baja yang berbau busuk. Mereka berguna dalam bidang-bidang tertentu tetapi tidak menyenangkan hati dan kehidupan orang lain.

Rabu, November 18, 2009

Blog Adalah Catatan Peribadi

Blog adalah catatan peribadi yang unik. Kita berbicara apa sahaja, sesuka hati kita sahaja, disebabkan blog adalah medan suara individu yang berkuasa pada masa kini. Kali ini saya ingin melontar lebih banyak tulisan berbentuk peribadi.

Dalam seminggu ini, saya tidak ke mana-mana. Penat untuk pergi ke panggung wayang biarpun ada yang mengajak keluar. Disebabkan saya sibuk sejak kebelakangan ini, ada pelajar-pelajar saya yang mula bertanya khabar.

Saya telah mengosongkan kolam kajian saya. Musim hujan benar-benar memberi peluang kepada saya untuk menimba air dari langit. Tanpa klorin tetapi berasid.

Ada sejenis ikan yang berbeza dengan ikan Betta. Ikan ini namanya Parrot Fish. Saya memanggilnya ikan senyum. Ikan ini sentiasa tersenyum. Warna ikan ini biasanya merah oren. Atau, kadangkala bercampur dengan warna hitam, kuning atau putih.

Struktur badan ikan ini agak unik, yang membuatkan saya pada kali pertama melihat ikan ini, menganggapnya sebagai patung ikan plastik yang berada di dalam air. Pergerakan ikan ini juga agak pantas.

Juga, ikan Parrot ini tidak boleh dicampurkan dengan spesies ikan yang lain. Ikan Parrot biarpun sentiasa kelihatan tersenyum, sebenarnya adalah sejenis ikan yang garang. Penceroboh akan diserang.

Sebenarnya saya masih mencari-cari masa untuk memulakan projek kajian Swordtails. Satu perkara yang perlu disedari berkenaan ikan Swordtails, ialah paras air di dalam kolam. Ikan Swordtails adalah jenis ikan yang lasak dan boleh dianggap sebagai spesies ikan longkang yang sama seperti Molly dan Guppy.

Namun, sekiranya ikan ini melompat keluar dari akuarium, maka pemilik ikan harus berhati-hati. Ikan ini mungkin akan mati.

Kajian yang dijalankan mendapati spesis anak ikan Swordtail dilahirkan dan mampu terus mencari makanan, berenang dan bersembunyi daripada pemangsa. Kelemahan ikan Swordtail ialah pada air yang berasid. Maka, penggunaan garam akan menyebabkan ikan-ikan Swordtails senang hati.

Disebabkan ikan Swordtails jenis yang mudah dibiakkan pada kondisi air yang sesuai, maka pemeliharaan ikan ini adalah amat berbaloi. Cuma, satu perkara yang kurang baik tentang ikan ini ialah, najis ikan Swordtails akan mudah mengotori permukaan dasar akuarium atau kolam.

Ini adalah perbezaan antara Swordtails dan Betta, biarpun kedua-duanya mempunyai paras muka yang sama.

Ahad, November 15, 2009

Melapangkan Fikiran Buat Seketika Di Sini

Sejak akhir-akhir ini, saya diamanatkan dengan pelbagai kerja penting yang melibatkan analisis dan pengurusan. Sebagai seorang pengurus dan penyelidik, kerja-kerja saya mengurus dan menyelidik. Sebagai seorang pendidik, kerja-kerja saya ialah bersyarah dan menanda kertas-kertas peperiksaan. Orang kata kalau jadi pensyarah, kita bukan guru. Kenyataan ini palsu. Hakikatnya, seorang pensyarah juga merupakan guru atau cikgu. Tidak kira guru atau pensyarah atau ustaz, kesemuanya mengendalikan pelajar dan anak didik.

Sejak mendapat calon isteri tempoh hari, saya mula menutup pintu mencari jodoh. Kini saya sedang sibuk mencari cincin pertunangan yang sesuai. Pendapat rakan-rakan yang sudah berkahwin menjadi rujukan. Calon isteri saya adalah seorang ustazah. Sebenarnya seumur hidup saya, tidak pernah saya mengamalkan budaya 'couple' atau berkasih dan berpasang-pasangan seperti kebiasaan remaja atau muda-mudi sebaya saya. Pada pandangan saya, jodoh boleh dicari. Memandangkan kini saya rasa sudah sampai masanya untuk berkeluarga, maka sejak sebulan yang lalu saya mula mencari, dan menilai calon-calon isteri yang ada. Kini, ada satu calon yang paling menepati citarasa saya. Jika ada jodoh, maka kami akan melangsungkan perkahwinan sekitar tahun hadapan.

Dahulu, ramai kawan-kawan sekerja bertanya, dah fikir soal kahwin atau belum. Ketika itu saya mungkin belum terbuka hati untuk berkahwin, kerana terlalu memikirkan soal matlamat kerjaya dan anak-anak didik saya. Namun sejak memikirkan ramai anak didik saya yang akan meninggalkan saya selepas ini kerana memburu kerjaya masing-masing, maka, sejak sebulan lalu bermulalah pencarian saya. Kira-kira selepas satu minggu mencari, saya berkenalan dengan beberapa calon isteri, termasuklah seorang gadis forensik yang saya rasakan memiliki sifat-sifat yang saya suka, dan seorang gadis ustazah lulusan universiti. Saya lebih menyukai gadis ustazah kerana memiliki ciri-ciri seorang isteri dan ibu yang saya kehendaki untuk anak-anak saya. Lalu selepas itu saya menutup pintu pencarian jodoh untuk seketika. Jika jadi maka jadilah.

Sehingga kini, saya terasa ada perubahan dalam diri saya. Hubungan saya dengan rakan-rakan sekerja sudah semakin rapat. Mungkin kerana saya tidak lagi terlalu memberi tumpuan terhadap pelajar-pelajar saya. Musim peperiksaan sudah berada di pertengahan dan semester ini akan berakhir. Semester Disember akan bermula. Saya akan sibuk menghadiri mesyuarat dan menguruskan kerja-kerja menganalisis perkara-perkara yang berkaitan dengan akademik.

Oh, ya. Baru-baru ini saya tertarik untuk mengkaji spesies Swordtail. Spesis ini boleh beranak. Mungkin itu adalah subjek baru saya pada masa akan datang. Saya akan kembali ke United Kingdom untuk upacara penyatuan keluarga. Ini tradisi kami selaku keturunan kerabat Di-Raja.