BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Kaunseling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kaunseling. Papar semua catatan

Jumaat, April 08, 2016

Kenapa Anak Anda Bermasalah?

PERINGATAN UNTUK IBU BAPA: KENAPA ANAK ANDA BERMASALAH?

1. Jika anak anda suka menipu, maka itu adalah salah ibu bapa kerana bertindak balas melampau terhadap anak anda sebelum ini apabila mereka melakukan kesalahan.

2. Jika anak anda kurang keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri, ini kerana anda lebih kerap menasihati mereka berbanding memberi galakan atau motivasi kepada mereka.

3. Jika anak anda mudah dibuli, tidak pandai membela diri mereka, ini kerana sejak dari kecil anda telah mendisiplinkan mereka di depan orang ramai.

4. Jika anda membeli semua benda untuk anak anda tetapi anak anda masih mengambil atau mencuri barang daripada orang lain, ini kerana anda tidak memberi peluang kepada anak anda memilih barang yang mereka inginkan.

5. Jika anak anda seorang penakut, ini kerana anda kerap menolong mereka terlalu cepat. Anda sepatutnya memberikan mereka peluang meneroka sesuatu halangan, memahaminya sendiri.

6. Jika anak anda kuat cemburu atau berhasad dengki, kemungkinan besar kerana sikap anda sendiri yang suka membanding-bandingkan anak anda dengan orang lain.

7. Jika anak anda seorang yang cepat marah, kemungkinan besar disebabkan sikap anda yang tidak suka memberi penghargaan kepada mereka, lalu mereka bertindak melakukan masalah untuk menarik perhatian anda.

8. Jika anak anda tidak tahu menghormati orang lain, sebabnya mungkin disebabkan anda selalu memberi arahan kepada mereka tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak yang tidak mendapat layanan 'perasaan', 'hormat' atau 'penghargaan' daripada ibu bapa mereka cenderung untuk menjadi seorang yang tidak tahu menghormati orang lain.

9. Jika anak anda suka berahsia, ini mungkin disebabkan sikap anda yang terlalu suka bercerita atau menyebarkan cerita tentang anak anda. Adakalanya anda tidak sedar, sikap anda yang suka bermegah-megah tentang anak anda akan mencetuskan kebimbangan terhadap anak anda. Dia risau dia mungkin menjadi mangsa buli akibat cemburu dan hasad dengki, hilang kawan dan sebagainya.

10. Jika anak anda seorang yang biadab atau kasar, anda patut cermin diri anda sendiri dan persekitaran tempat tinggal anda. Anak anda belajar menjadi biadab dan kasar menerusi ibu bapanya, adik beradiknya atau orang-orang yang tinggal berdekatan dengannya; jiran terdekat anda.

Ahad, Januari 04, 2009

Selamat Kembali Ke Sekolah

Alam persekolahan bermula lagi. Bagi sesetengah pelajar, tahun ini merupakan tahun penting buat mereka. Peperiksaan SPM semakin hampir, tidak ada masa untuk leka. Zaman persekolahan akan jadi lebih bermakna apabila setiap pelajar menjadikannya zaman ini sebagai zaman perjuangan. Para pelajar begitu tekun belajar, mewujudkan perikatan antara rakan-rakan seperjuangan, untuk sama-sama mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, dan memburu matlamat hidup masing-masing.

Kebanyakan pelajar yang pandai menghargai 5 tahun terakhir di sekolah, akan mencatat kejayaan yang lebih cemerlang pada kemudian hari. Namun segala perancangan itu akan musnah jika para pelajar tidak membuat persediaan untuk menghadapi halangan dan cabaran yang akan mereka hadapi pada kemudian hari. Manusia harus memiliki keazaman yang kuat.

Apakah cabaran dan rintangan yang perlu mereka hadapi pada kemudian hari? Konflik cita-cita. Pernah tengok video klip Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura? Gadis kecil yang bercita-cita untuk jadi seorang penyanyi, tetapi cita-citanya tidak mendapat restu bapanya. Si gadis itu berjaya menjadi penyanyi, berjaya mencapai cita-citanya, tetapi dia tetap berasa sedih kerana hubungannya dengan bapanya sudah retak. Awan Yang Terpilu, membawa maksud, cita-cita yang menyebabkan kesedihan yang paling tragis dalam hidupnya.

Pada 5 tahun terakhir ini, saya sarankan para pelajar agar lebih dekat dengan guru-guru kaunselor sekolah. Banyak panduan yang anda perlukan untuk mengatur strategi anda pada masa akan datang. Sekiranya ibu bapa anda sendiri adalah seorang kaunselor atau mereka yang berpengetahuan dalam selok belok kerjaya dan dunia pendidikan, anda adalah bertuah. Namun, sekiranya ibu bapa anda bukan kaunselor, jangan malu atau jadi penyegan untuk berbincang mengenai soal masa depan. Jika tidak, anda mungkin akan terjerat dan menjadi mangsa kepada keghairahan, kebimbangan dan ego orang-orang yang menjaga dan membesarkan anda.

Sekiranya fikiran anda kusut, bertemulah kaunselor. Itu adalah langkah yang bijak, demi menghilangkan kekusutan fikiran anda. Akal kita tidak begitu sempurna. Jangan ego, jangan segan. Jumpalah kaunselor.

Selasa, Disember 30, 2008

Keputusan PMR 2008 dan Panduan Pemilihan Bidang Pengajian Di Tingkatan 4

Ini merupakan nota peribadi saya (Amiene Rev) untuk para pelajar yang telah mengambil peperiksaan PMR dan bakal masuk ke Tingkatan 4. Pelajar yang mahu mengikuti panduan ini digalakkan meminta bimbingan daripada kaunselor sekolah. Pelajar juga boleh mencuba mengikuti beberapa subjek tertentu selama beberapa bulan di Tingkatan 4 dan kemudian memutuskan untuk meneruskan pengambilan subjek tersebut atau menggugurkannya dari senarai subjek yang hendak diambil untuk peperiksaan SPM sekiranya mata pelajaran atau subjek tersebut sukar untuk diikuti.

Secara amnya, para pelajar akan mengambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Kemahiran Hidup, Geografi, Sejarah dan Pendidikan Islam/Moral untuk didaftarkan dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

Setiap satu subjek akan dinilai dan diberi gred seperti berikut:
A - Cemerlang
B - Kepujian
C - Baik
D - Mencapai tahap penguasaan minimum
E - Tidak mencapai tahap penguasaan minimum

Berdasarkan subjek-subjek tersebut terdapat beberapa perkara penting yang perlu dinilai secara individu dan menerusi bimbingan kaunselor sekolah, sebelum seseorang pelajar itu membuat keputusan untuk memilih bidang yang sesuai dengan dirinya semasa di tingkatan 4. Para pelajar dinasihatkan supaya meminta bimbingan kaunselor untuk membuat keputusan dalam soal pemilihan bidang pengajian di tingkatan 4.

Sekiranya pelajar mendapat gred A dalam subjek-subjek berikut bagi keputusan PMR, maka peluang pelajar tersebut untuk membuat pilihan dalam pelbagai bidang pengajian adalah cerah. Namun sekiranya pelajar terbabit mendapat gred B dan ke bawah, maka anda perlu meminta bimbingan daripada kaunselor. Kenapa dengan Gred B? Hal ini tidak dapat saya terangkan dalam entri kali ini tetapi akan diterangkan dalam entri yang lain atau mungkin kaunselor-kaunselor sekolah boleh menjelaskannya kepada para pelajar.

PERINGATAN: Cadangan subjek untuk diambil adalah sekiranya pelajar tersebut mendapat A bagi subjek yang dinyatakan.

Bahasa Melayu PMR GRED A
Subjek Tingkatan 4 yang dicadangkan: Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu


Bahasa Inggeris PMR GRED A
Subjek Tingkatan 4 yang dicadangkan: Bahasa Inggeris, English for Science and Technology


Matematik GRED A
Subjek Tingkatan 4 yang dicadangkan: Additional Mathematics / Matematik Tambahan


Sains GRED A
NOTA: Untuk subjek sains, para pelajar perlu lebih berhati-hati kerana subjek sains yang dipelajari semasa di peringkat PMR adalah gabungan subjek Biologi, Fizik dan Kimia. Para pelajar boleh memutuskan untuk mengambil subjek Biologi, Fizik atau Kimia berdasarkan pengalaman (usaha pelajar) mempelajari topik-topik yang terkandung dalam subjek sains seperti berikut:

Tingkatan 1
  • Introduction to Science / Pengenalan Kepada Sains - SAINS
  • Cell As a Basic Unit of Life / Sel Sebagai Unit Asas Dalam Kehidupan - BIOLOGI
  • Matter / Jirim - FIZIK, KIMIA
  • Variety of Resources on Earth / Kepelbagaian Sumber di Bumi - KIMIA
  • The Air Around Us / Udara di Sekeliling Kita - BIOLOGI, KIMIA
  • Sources of Energy / Sumber Tenaga - FIZIK
  • Heat / Haba - FIZIK
Tingkatan 2
  • The World Through Our Senses / Dunia Melalui Deria Kita - BIOLOGI
  • Nutrition / Nutrisi - BIOLOGI
  • Biodiversity / Biokepelbagaian - BIOLOGI
  • Interdependence Among Living Organisms / Saling Kebergantungan Antara Organisma Hidup - BIOLOGI
  • Water and Solution / Air dan Larutan - KIMIA
  • Air Pressure / Tekanan Udara - FIZIK
  • Force / Daya - FIZIK
  • Support and Movement / Sokongan dan Pergerakan - BIOLOGI
  • Stability / Kestabilan - SAINS
  • Simple Machine / Mesin Ringkas - FIZIK
Tingkatan 3
  • Respiration / Respirasi - BIOLOGI
  • Blood Circulation and Transport / Peredaran dan Pengangkutan Darah - BIOLOGI
  • Excretion / Perkumuhan - BIOLOGI
  • Reproduction / Pembiakan - BIOLOGI
  • Growth / Pertumbuhan - BIOLOGI
  • Land and its Resources / Tanah dan Sumbernya - KIMIA
  • Electricity / Keelektrikan - FIZIK
  • Generation of Electricity / Penjanaan Elektrik - FIZIK
  • Stars and Galaxies / Bintang dan Galaksi - SAINS
  • Space Exploration / Penerokaan Angkasa Lepas - SAINS

Kemahiran Hidup GRED A
Begitu juga dengan subjek Kemahiran Hidup yang merupakan gabungan bagi subjek-subjek yang akan dipelajari di peringkat SPM.
  • Asas bidang mekanikal - Aliran Teknikal
  • Asas elektronik - Aliran Teknikal
  • Asas perniagaan - Subjek-subjek Aliran Perdagangan, Ikhtisas atau Sains Kemanusiaan
  • Asas ekonomi - Subjek-subjek Aliran Perdagangan, Ikhtisas atau Sains Kemanusiaan
  • Asas rumah tangga - Subjek-subjek Aliran Perdagangan, Ikhtisas atau Sains Kemanusiaan
  • Asas sosial - Subjek-subjek Aliran Perdagangan, Ikhtisas atau Sains Kemanusiaan
  • Asas pertanian - Subjek-subjek Aliran Perdagangan, Ikhtisas atau Sains Kemanusiaan


Geografi GRED A
Sesuai mengikuti subjek-subjek Aliran Sains Kemanusiaan. Subjek ini merupakan salah satu subjek penting dalam bidang ekonomi; perniagaan, perdagangan dan juga dalam bidang pertanian.


Sejarah GRED A
Memandangkan subjek Sejarah merupakan satu subjek yang sangat penting dalam menjana modal insan manusia yang bersemangat patriotik dan bertanggungawab. Maka subjek ini menjadi subjek WAJIB bagi semua aliran.


Pendidikan Islam PMR GRED A
Subjek Tingkatan 4 yang dicadangkan: Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Tasawwur Islam (Gambaran Islam), Pendidikan Moral

Sebenarnya terdapat beberapa jenis subjek lagi yang ditawarkan di peringkat SPM. Namun subjek-subjek di atas adalah subjek-subjek yang biasa diambil oleh pelajar-pelajar lepasan PMR semasa berada di tingkatan 4.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan subjek-subjek tambahan atau aliran, pengajian bidang pengajian atau pakej mata pelajaran untuk Tingkatan 4 dan peringkat SPM, sila rujuk salah satu pautan di bawah:

Sabtu, September 20, 2008

Stres: Marah, Punca Kemarahan dan Kaedah Mengatasi Rasa Marah

Stres! Stres! Stres! Atasi Perasaan Marah
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Marah mempunyai perkaitan rapat dengan stres atau tekanan perasaan. Kemarahan juga boleh mencetuskan kelakuan agresif. Ini akan mendorong manusia untuk bertindak ganas, terjebak ke kancah pergaduhan, peperangan, penganiayaan, penindasan dan pembunuhan.

Gambar Hiasan: Kemarahan Mencetuskan Pergaduhan

Ketika seseorang itu sedang marah, jantungnya akan berdegup dengan lebih cepat dan turun naik nafasnya semakin pantas. Hal ini meningkatkan metabolisma badan, menjadikan kekuatan manusia meningkat untuk seketika. Suara akan menjadi lebih kuat, mata terjegil dan wajah bertukar menjadi merah padam


Manusia ini terdapat dua jenis. Pertama, jahil, iaitu manusia yang tidak tahu atau tidak sedar bahawa dia telah menyebabkan seseorang itu berasa marah. Kedua, syaitan, iaitu manusia yang tujuannya menyebabkan orang lain berasa marah. Kategori pertama itu boleh ditegur. Kategori kedua itu, agak pelik sedikit kerana sememangnya sifat syaitan, mahu melihat manusia tidak berada di dalam keadaan bahagia.

Sekiranya seseorang itu membuatkan anda berasa marah, maka hendaklah dia ditegur terlebih dahulu. Perundingan dan perbincangan boleh dibuat pada peringkat awal. Perbincangan hendaklah fokus kepada punca kemarahan. Apakah yang membuatkan seseorang itu berasa marah terhadap seseorang yang lahir?
Bagi orang sering marah, renung dan hayatilah firman Allah bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura ayat 37).
Ada pun punca kemarahan yang sukar diubati adalah kemarahan yang dicetuskan oleh perasaan dengki. Dalam kes ini, seseorang manusia berasa marah kepada seseorang kerana diasak perasaan hasad dengki. Hasad dengki ini adalah salah satu sifat syaitan.

Dalam kes ini, sekiranya ada sesiapa yang berasa marah kerana hasad dengki, maka hendaklah kembali ke jalan yang benar. Sesungguhnya hasad dengki itu lahir kerana lemahnya hati melawan hasutan syaitan. Hati yang lemah boleh dikuatkan dengan zikir dan istighfar. Apabila kita beristighfar, maka kita memohon ampun kepada Allah. Semoga terlindung daripada hasutan dan perangkap syaitan.
Kemarahan juga boleh dipadamkan dengan wuduk atau air sembahyang. Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud).
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari).
Bagi kes berasa marah kerana perbuatan seseorang yang jahil, kemaafan adalah jalan yang terbaik. Ini kerana pesalah melakukan kesalahan tersebut secara tidak sengaja. Dengan memaafkan seseorang, tekanan perasaan atau stres akan beransur-ansur hilang.
Orang yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari)

"Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian)." - Jaafar bin Muhammad.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres, tekanan perasaan, tekanan jiwa atau tekanan mental, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan menerusi entri-entri yang dicadangkan di sini. Selain itu anda juga boleh menggunakan enjin carian Google yang terdapat di dalam blog ini. Pastikan anda menandakan bulatan pilihan dukeamienerev.blogspot.com yang terdapat di bawah kotak carian Google tersebut sebelum memulakan carian.

Khamis, Julai 31, 2008

Kaedah Menghindari Histeria dan Stres Di Kalangan Pelajar


Kenali Bunian dan Makhluk Halus
Petua Mencegah Histeria dan Stres
Menerusi Kaedah Menulis Blog
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Histeria. Satu penyakit lama, tetapi kini sudah menjadi satu budaya di kalangan warga sekolah. Baru-baru ini dilaporkan, gangguan histeria ini bukan sahaja berlaku di kalangan pelajar wanita, malah turut dialami oleh pelajar lelaki dan guru-guru wanita.

Histeria pada asasnya dikatakan berpunca daripada tekanan perasaan. Apabila fikiran negatif menguasai mental seseorang itu, maka daya penaakulan logik seseorang insan itu akan lemah, lalu mencetuskan pelbagai persepsi yang mungkin dianggap luarbiasa, menakutkan dan aneh.

Ceramah, kursus atau bimbingan berkaitan dengan pengawalan emosi berkaitan dengan tekanan perasaan dan kemarahan perlu diwujudkan. Ini kerana, tidak mustahil ada di kalangan kita yang tidak tahu cara untuk meredakan tekanan. Akibatnya, orang lain mungkin menjadi mangsa melepas geram.

Aktiviti yang dapat menggerakkan mental dan fizikal seperti berjalan-jalan, melancong, pergi ke tempat yang baru, bermain dan sebagainya mampu meredakan tekanan. Adakalanya kita tidak perlu mengambil sesuatu perkara itu sebagai suatu yang serius. Permusuhan, hasad dengki, dendam, benci, khianat, zalim dan pelbagai lagi sikap mazmumah atau penyakit hati harus dijauhi.


Terapi Jiwa Menerusi Penulisan Blog

Budaya meluahkan perasaan perlu diwujudkan. Bukan sekadar meluahkan perasaan, tetapi juga berkongsi masalah peribadi, dan menyelesaikannya bersama orang-orang yang dipercayai. Blog atau weblog merupakan satu cara yang ajaib untuk menawar tekanan perasaan. Seseorang itu boleh menyamar atau menggunakan nama samaran untuk meluahkan segala tekanan di hati. Pendek kata, seseorang itu boleh menjadikan blog sebagai satu medan menulis bahagian kehidupan negatif atau sisi gelapnya, meluahkan segala derita, kesedihan dan rasa tidak puas hati terhadap satu-satu perkara.

Namun, seeloknya selepas meluahkan segala-galanya sisi gelap itu, si penulis blog wajar membaca semula apa yang ditulis, bermuhasabah diri dan kemudian menulis kesimpulan atau cadangan-cadangan yang dapat membantu diri sendiri. Ini kerana blog kebiasaannya dapat dibaca umum, maka segala tulisan yang pada awalnya ditulis dengan penuh perasaan dan melepas geram kemungkinan boleh mempengaruhi sesetengah pembaca.

Justeru setiap tulisan yang dibuat itu hendaklah ditambah dengan kesedaran atau kesimpulan yang baik-baik. Sekiranya penulis gagal mencari penyelesaian, maka wajarlah menulis sesuatu yang dapat membolehkan para pembaca memberikan cadangan, sokongan moral dan sebagainya.

Saya menyokong penuh usaha membuka blog beramai-ramai oleh kaunselor-kaunselor dari sekitar negeri Selangor. Semoga anda semua dapat membantu para penulis blog, dan pengguna internet untuk menghilangkan tekanan, membantu menyelesaikan masalah peribadi dan sebagainya. Siapa tahu, mungkin usaha anda itu dapat menyelamatkan satu nyawa?


Histeria kerana buatan jin dan bunian?

Sementara itu, histeria yang dialami oleh para pelajar dan guru di sebuah sekolah yang berkenaan tempoh hari dikatakan disebabkan oleh gangguan Nenek Kebayan atau bunian. Mungkin orang bandar ada yang kurang percaya dengan kisah bunian ini, tetapi bunian atau makhluk halus ini wujud.

Memandangkan kaum bunian ini mungkin sesuatu yang luar biasa dan aneh, maka tidak menghairankan apabila ada di kalangan manusia, generasi hari ini, mudah terkena histeria kerana takut. Ini sifat semula jadi kebanyaan benda hidup, akan berasa takut apabila bertemu dengan sesuatu yang pelik.

Apa yang boleh saya sarankan kepada para pembaca sekalian, jangan berasa takut terhadap bunian. Mereka juga adalah makhluk seperti kita. Mungkin kita tertidur di masjid pada waktu pagi, sebelum subuh dan dikejutkan oleh bunian-bunian yang mahu solat berjemaah, maka jangan pula kita menjerit atau terlaung-laung. Hormati mereka kerana mereka juga adalah bangsa yang boleh berfikir seperti kita.

Kadangkala kita ternampak di sebelah bilik kita, lembaga berbentuk manusia sedang menunaikan solat, maka janganlah kita berasa takut kerana itu makhluk halus yang beragama seperti kita.

Manusia pada zaman ini harus diajar supaya dapat menerima kewujudan bunian. Kadangkala bangunan-bangunan yang kita bina di kawasan hutan yang telah diteroka itu dulunya adalah perkampungan bunian, dan kita boleh dianggap sebagai bangsa yang 'menceroboh' tapak kediaman mereka. Maka hendaklah kita berkelakuan baik dan jauhi sikap kurang ajar, biadap dan sebagainya supaya tidak menyinggung perasaan jiran-jiran ghaib kita itu.

Mungkin ramai di antara kita yang pernah melihat iklan surat khabar rekabentuk baru Berita Harian. Ya, zaman dah maju, dunia dah berubah. Manusia pada hari ini semakin biadab. Maka tidak mustahillah kita menimbulkan kemarahan jiran-jiran ghaib kita. Menurut Muhammad Isa Dawud di dalam bukunya mengenai kaum jin, dikatakan bahawa jin yang berusia 150 tahun masih dianggap remaja.

Bayangkan dalam tempoh 150 tahun itu, pelbagai perubahan yang telah dilihatnya. Perbandingan budaya dan adat antara manusia dahulu dan sekarang, pasti adakalanya boleh menyinggung perasaan. Manusia generasi dahulu tahu menghormati orang tua, tetapi manusia pada masa kini, boleh dikatakan ramai yang tidak lagi tahu cara-cara menghormati orang tua.

Bak kata, seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Seorang manusia menyinggungkan perasaan jiran bunian kita, maka semua manusia dianggap sama. Kemungkinan seperti ini boleh berlaku.

Kebiadaban kebanyakan generasi muda hari ini juga boleh menjadi punca tekanan atau stres kepada manusia hari ini. Guru stres di tempat kerja. Pelajar stres dengan sikap kawan-kawan. Semua ini boleh menjadi faktor histeria.

Maka, salah satu cara terbaik untuk menghindari stres dan histeria adalah kita berusaha untuk menghormati orang lain. Seseorang yang mahu dirinya dihormati hendaklah menghormati orang lain. Budi bahasa jambatan kedamaian.

Kesimpulannya, stres dan histeria ini boleh jadi berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Akibat perubahan budaya dan sikap yang semakin negatif, manusia kini terpaksa menanggung akibatnya melalui pelbagai penyakit mental. Stres masih boleh dihindari asalkan manusia mahu mengikuti disiplin, tahu cara meluahkan perasaan dengan betul dan saling hormat-menghormati sesama makhluk.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


NOTA: Idea dan cadangan yang terdapat di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi Amiene Rev. Sekiranya ada percanggahan pendapat, maka eloklah kiranya pandangan alternatif itu dibincangkan dengan baik di sini. Anda juga tidak dibenarkan menciplak atau menerbitkan mana-mana penulisan Amiene Rev di blog ini, untuk tujuan apa sekali pun. Seelok-eloknya anda memberikan alamat blog ini kepada teman-teman supaya mereka dapat membaca dan menerokai ilmu dan pandangan yang ada di blog ini.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres, tekanan perasaan, tekanan jiwa atau tekanan mental, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan menerusi entri-entri yang dicadangkan di sini. Selain itu anda juga boleh menggunakan enjin carian Google yang terdapat di dalam blog ini. Pastikan anda menandakan bulatan pilihan dukeamienerev.blogspot.com yang terdapat di bawah kotak carian Google tersebut sebelum memulakan carian.

Khamis, Disember 27, 2007

Bicara Selepas PMR - Panduan Masuk Ke Tingkatan 4 - Panduan Memilih Bidang Yang Tepat dan Bahagia Untuk Masa Depan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada adik-adik yang baru tamat PMR. Hari ini, akan menjadi suatu hari yang bermakna dalam diri adik-adik. Keputusan PMR mungkin belum dianggap sepenting keputusan SPM, tetapi bagi adik-adik yang sudah bertungkus lumus menuntut ilmu sebelum ini, maka ketahuilah, bahawa adik-adik telah pun menjadikan PMR ini penting bagi adik-adik.

Adakah adik-adik sedar, semasa adik berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa mempelajari pelbagai subjek semasa di Tingkatan 1, 2, dan 3 dahulu, adik sudah pun mengesan potensi adik-adik. Adakah Matematik itu senang atau susah? Adakah Bahasa Inggeris itu mudah difahami? Adakah subjek sains itu mudah untuk adik-adik ikuti? Bahagian manakah yang senang itu? Fizik? Biologi? Kimia? Adakah subjek Bahasa Melayu itu seolah-olah sejiwa dengan diri adik-adik? Sejarah itu cukup untuk menimbulkan penghayatan dalam diri adik-adik? Ilmu perakaunan dalam Kemahiran Hidup menarik tumpuan adik-adik? Sukan sentiasa di jiwa adik-adik?

Jika adik-adik sedar atau sudah pun mengetahui apakah subjek yang paling mudah untuk adik-adik fahami, maka catatkan nama subjek tersebut. Kemudian, teliti pula subjek-subjek yang lain. Asingkan subjek yang mudah untuk adik-adik pelajari, dan subjek-subjek yang susah untuk adik-adik pelajari? Ada yang susah? Tiada? Alhamdulillah, adik-adik telah diberi anugerah yang istimewa.

Ada senang dan ada pula yang susah? Asingkan. Senaraikan subjek-subjek yang senang dan subjek-subjek yang susah secara berasingan.

Setelah adik-adik berjaya menyenaraikan subjek-subjek tersebut, teliti pula gred adik-adik untuk setiap satu subjek tersebut. Matematik, apakah grednya? Kemudian cuba adik-adik hayati, imbas kembali senang atau susahnya subjek tersebut bagi adik-adik. Jika mudah, jika adik-adik sekejap sahaja boleh memahami konsep Matematik, Insya-Allah, peluang adik-adik untuk bahagia dalam bidang Sains amat cerah.

Teliti pula subjek Sains, mudah atau senang? Imbas kembali pembelajaran adik-adik dalam subjek ini? Bayangkan bagaimana adik-adik bermain dengan tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang semasa eksperimen. Tubuh badan manusia. Struktur tulang. Sel, tisu, organ dan sebagainya. Minat? Senang? Suka? Itulah biologi.

Imbas pula pengalaman adik semasa bermain dengan alat-alat eletrik. Mentol. Jam randik. Graf. Rumus laju, halaju, pecutan, tenaga, daya dan sebagainya. Sudut dongak. Sudut tunduk. Pertukaran unit. Joule. Watt. Ohm. Sentimeter. Graviti. Itu fizik. Adik-adik minat? Suka? Mudah faham? Alhamdulillah, adik-adik digalakkan untk mengambil subjek ini sekiranya adik-adik tidak ada sebarang masalah untuk memahami konsep-konsep ilmu fizik.

Imbas pula bagaimana adik-adik bermain dengan perkataan Hidrogen. Oksigen. Karbon Monoksida. Etanol. Imbas kembali bau-bau bahan kimia, tabung uji, penunu bunsen, balang kaca dan sebagainya semasa melakukan eksperimen. Berat emas. Berat atom. Molekul. Itulah kimia. Senangkah adik-adik mengingati rimus-rumus kimia dan unsur-unsur kimia? Sekiranya mudah, adik-adik digalakkan mengambil subjek ini.

Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik. Inilah antara elemen penting dalam bidang Sains Tulen. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi jurutera, ahli sains, ahli biologi, ahli kimia, pakar teknologi, maka subjek-subjek ini perlulah merupakan subjek-subjek yang mudah untuk adik-adik fahami.

Bagaimana pula dengan Kemahiran Hidup? Pertukangan? Perdagangan? Perakaunan? Manakah antara topik-topik dalam subjek Kemahiran Hidup yang mudah difahami? Imbas kembali pengalaman adik-adik semasa mempelajari subjek ini. Inilah kepentingan dan kelebihan bagi adik-adik yang rajin belajar. Adik-adik akan semakin mengenali diri adik-adik.

Sebab itu, semasa di sekolah, tidak kira adik-adik tidak pandai dalam sesuatu subjek. Jangan putus asa, jangan malas dan jangan pula memberontak untuk tidak mahu belajar. Cuba. Sebab dengan usaha adik-adik untuk belajar itulah yang akan menyebabkan adik-adik kenal siapa diri adik-adik dan apakah cita-cita yang paling sesuai dengan diri adik-adik. Berfikiran positif. Jangan kata cita-cita itu susah hendak dicapai kerana ada orang-orang yang di sekeliling adik-adik tidak dapat kerja kerana memilih bidang tersebut. Setiap orang berlainan potensi.

Guru-guru dan ibu bapa adik-adik menyuruh adik-adik rajin belajar bukan kerana adik-adik bodoh, tetapi kerana mahu adik-adik menemui potensi adik-adik. Oleh itu, janganlah adik-adik kata, "Saya bodoh, tak pergi sekolah pun tak apa."

Adik-adik mungkin tidak pandai dalam satu-satu perkara atau subjek, tetapi mungkin dalam subjek yang lain, adik-adik jauh lebih cemerlang berbanding kawan-kawan sekelas. Jangan kecewa dengan keputusan PMR yang tidak sebaik kawan-kawan adik. Lihat apa yang terbaik. Senaraikan gred yang terbaik dan yang paling senang untuk adik-adik pelajari. Adakah adik-adik mudah nampak jalan atau konsep ilmu bagi subjek tersebut? Jika ya, masukkan subjek tersebut dalam senarai subjek yang mahu adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti.

Bincang dengan guru, terutamanya guru kaunseling. Guru kaunseling memiliki banyak panduan berkaitan dengan pemilihan kerjaya. Mereka sudah belajar bagaimana hendak menentukan apakah kerjaya yang paling sesuai dengan personaliti dan bakat adik-adik. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi guru kaunseling atau pakar psikologi, pastikan adik-adik juga berminat dengan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam atau Moral. Beberapa elemen dalam subjek Pendidikan Moral, Sains Sukan dan Kemahiran Hidup juga ada membincangkan mengenai ilmu yang berkaitan dengan bidang psikologi dan kaunseling. Menghayati sejarah adalah penting bagi pakar psikologi.

Belajarlah bersunguh-sungguh semasa di sekolah. Kita belajar untuk mengetahui sejauh mana potensi kita dalam sesuatu bidang. Tidak semestinya kita mendapat 8A dalam PMR bermakna masa depan kita cerah. Salah memilih bidang semasa masuk ke universiti akan membawa padah dan penderitaan yang tidak terkata hebatnya.

Jadi bagi adik-adik yang sudah menghadapi PMR, bersiap sedialah. Gunakan tempoh masa yang ada ini untuk menentukan kembali apa bidang yang hendak adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti. Lihat gred, imbas kembali pengalaman belajar dan senaraikan subjek senang dan susah. Ingat panduan yang Cikgu Amien berikan ini.

Bagi adik-adik yang belum mengambil PMR, ingat pesan Cikgu, belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk semua subjek semasa di sekolah. Kita belajar kerana kita hendak tahu sejauh mana potensi kita, dan bidang apakah yang paling layak untuk kita. Kita belajar kerana kita mahu tahu potensi terpendam dalam diri kita. Usah fikiran kita pandai atau tidak pandai. Kita akan temui bakat sebenar kita apabila kita rajin belajar. Rajinkan diri menuntut ilmu, supaya kita tahu sejauh mana potensi kita dalam sesuatu subjek atau bidang. Apabila bakat-bakat dalam diri sudah temui, maka senaraikan bakat-bakat tersebut untuk dijadikan sebagai faktor penentu masa depan kita. Bakat itu adalah anugerah, hargailah bakat dengan sebaik-baiknya.

Selamat berjaya.

Salam hormat daripada,
Amiene Rev