BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Blogger. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blogger. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 30, 2018

Cara-cara Mengembalikan Populariti Blogger - Zaman Gemilang Blogger

Suatu ketika dahulu, membina laman web adalah satu kerja sukar. Tidak ramai orang mahir dengan kod-kod HTML untuk membina laman web persendirian. Kemudian muncul Blogger, Blogdrive, Wordpress dan lain-lain perkhidmatan yang menawarkan peluang mewujudkan laman web sendiri. Mereka menjadi popular sebagai seorang blogger.

Era blog menyerlah pada awal abad ke-21 dan dikatakan semakin malap di beberapa negara selepas kewujudan Facebook, Instagram dan lain-lain aplikasi yang memudahkan manusia meluahkan perasaan dan pendapat mereka. Satu demi satu blogger hilang populariti.

Konsep blog sebagai laman informasi masih relevan. Apabila kita menulis blog, tidak semestinya orang akan datang ke blog kita. Kebanyakan orang berfikir begitu. Ini adalah kesilapan besar sebagai seorang blogger, melainkan anda menulis blog sebagai satu aktiviti suka-suka untuk meluahkan perasaan atau pendapat bagi tatapan rakan-rakan yang dekat dengan diri anda sahaja.

Bagaimana membina sebuah blog yang baik dan dikunjungi ramai?

1. Hasilkan sedikit isi kandungan blog yang berkualiti lebih baik daripada menghasilkan banyak isi kandungan yang sia-sia.

Orang tidak akan membuang masa datang ke blog anda untuk membaca apa yang anda tulis tetapi apa yang anda ingin sampaikan. Zaman sekarang zaman orang mengejar masa. Mereka datang ke blog anda bukan kerana anda tetapi kerana apa yang anda berikan.

Isi kandungan blog yang diminati ramai adalah berkenaan keperluan. Apa yang orang perlukan, anda sediakan maklumat untuk mereka. Apa yang orang lebih perlukan, anda nyatakan pandangan dan pendapat anda tentang pilihan yang terbaik bagi sesuatu keperluan untuk panduan mereka. Ada banyak telefon pintar, telefon pintar mana yang paling sesuai untuk mereka? Tuliskan pandangan anda berdasarkan pelbagai rujukan yang boleh dipercayai dan pengalaman sebenar sekiranya ada.

2. Pastikan blog anda mudah dicapai dan mudah dilayari. Mesra pengguna.

Blog yang lebih ringkas dan cepat dengan rekabentuk yang menenangkan lebih mudah untuk didekati pembaca. Kelajuan internet perlu diambil kira. Zaman kini, blog bukan lagi diakses menerusi komputer, tetapi juga menerusi telefon pintar. Ambil kira faktor fleksibiliti rekabentuk paparan supaya orang boleh mengakses blog anda dengan mudah dalam pelbagai jenis gajet.

3. Setiap blog memiliki identiti sendiri. Blog perlu ada jenama.

Blog yang ada jenama lebih mudah diingati. Blog yang ada identiti lebih mudah dipromosikan dan pengunjung tetap akan suka untuk menjadikan blog anda sebagai rujukan kepada orang lain. Pelanggan akan datang ke kedai yang sama untuk menikmati makanan yang sama. Jika ada makanan yang mereka suka, mereka mungkin akan beritahu kepada rakan-rakan yang lain atau ajak rakan-rakan mereka datang ke kedai itu. Perkara yang sama berlaku pada blog.

4. Set minda blog sebagai satu perniagaan dan penjana pendapatan.

Blog yang memiliki populariti memiliki matlamat dan misi. Ini bermaksud blog tersebut sentiasa diisi dengan tulisan-tulisan yang dihasilkan berdasarkan tugasan. Tugasan itu mungkin datang dari diri sendiri dengan tujuan menjana keuntungan menerusi pengiklanan di blog seperti surat khabar dan majalah, atau menerima tugasan daripada syarikat atau individu tertentu sebagai kerja sampingan. Apabila seorang blogger ada sifat serius sebagai blogger, mereka akan mula ada matlamat dan merancang tugasan. Apa yang akan anda tulis selepas ini di dalam blog?

Kebanyakan orang yang membaca tulisan ini tidak akan melakukan apa-apa tindakan. Ini amat menyedihkan. Cuma segelintir yang akan bertindak melakukan perubahan terhadap blog mereka. Jika anda ingin mengembalikan kegemilangan dan populariti blog anda, bermulalah dari sekarang. Ia bukan kerja mudah tetapi ia boleh dilaksanakan.




Isnin, Jun 25, 2018

Zaman Blog Sudah Berakhir Namun Blogger Belum Berakhir

Zaman blogger dikatakan sudah berakhir. Kebanyakan blog mula menyepi sejak beberapa tahun lepas. Kebanyakan blogger mula beralih ke platform lain seperti YouTube, Instagram dan Facebook Page. Tahun 2015 menyaksikan para blogger mula menekan brek penulisan mereka.

Ketika ramai orang mula meninggalkan dunia blog, masih ada beberapa penulis blog yang terus menjadikan blog sebagai tempat menyebarkan pendapat dan luahan mereka. Blogger masih ada penggunanya. Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir juga masih menulis blog sehingga Mei 2018.

Menulis adalah satu cara untuk menajamkan pemikiran. Penulis belajar memulakan kata-kata, menyusun perkataan demi perkataan menjadi barisan ayat, membebani perenggan-perenggan. Pemikiran kaku dicairkan dari terus membeku.

Dalam sesetengah kes, kita tidak perlu mengikut trend. Jika blog itu masih berguna dalam menghuraikan erti kefahaman kita terhadap dunia ini, terhadap kehidupan ini... maka teruskan menulis.

Kesibukan harian mungkin merampas masa kita daripada menulis blog, tetapi dengan kecanggihan teknologi, blog kini boleh dicapai dengan mudah menerusi telefon pintar.

Isnin, Mei 14, 2012

Facebook VS Blogger 2012

Jika dahulu, ramai pengguna internet berminat untuk menulis catatan peribadi menerusi blog. Mereka berkongsi pelbagai maklumat peribadi, luahan hati, pendapat, fakta dan auta. Kemudian, muncul pula Facebook. Sejak kemunculan Facebook, didapati ramai blogger mula beralih arah dan mula memanfaatkan Facebook sebagai medan untuk bersuara. Ada beberapa sebab barangkali pengguna-pengguna blog beralih arah dengan menjadi Facebook sebagai medan penulisan baru mereka.

Pertama, faktor kenalan. Jika di blog, ada penulis tanpa nama akan memunculkan diri untuk mengirim komen-komen negatif. Namun, di Facebook, cuma orang yang dikenali sahaja boleh meninggalkan komen.  Sebab itu, jika kita sedar, Blogger juga ada memperkenalkan sistem yang hanya membolehkan pembaca yang dijemput sahaja untuk membaca blog oleh pemilik blog tersebut.

Kedua, pengguna Facebook boleh meluahkan perasaan mereka dengan lebih mudah menerusi Facebook. Mereka tidak perlu memahami banyak kod HTML. Cuma masukkan pautan sahaja dan apa-apa yang mereka mahu siarkan di status mereka atau di komen mereka akan terpapar dengan mudah.

Aku dapati, kebanyakan penulis-penulis blogger yang pernah aktif suatu ketika dahulu, kini tidak lagi menulis di blog masing-masing. Ada yang tarikh terakhirnya ialah 2009, 2010 dan 2011. Malah pautan ke laman Geng Jurnal juga telah mati. Seolah-olah tidak wujud lagi persatuan blogger di Malaysia ini.

Suatu ketika dahulu Msjbox merupakan hasil idea blogger tempatan untuk mencipta kotak komentar pertama di Malaysia. Kini, Msjbox juga terpaksa akur terhadap populariti Facebook dan Twitter. Facebook dan Twitter menawarkan perkhidmatan percuma dengan pelan perancangan perniagaan iklan yang tinggi serta kadar kepuasan pengguna yang tinggi.

Namun begitu, Blogger masih mempunyai banyak fungsi berbanding Facebook. Blogger mempunyai daya penyimpanan maklumat infiniti yang berbeza dengan status Facebook yang akan sentiasa ditenggelami oleh status Facebook yang baru.

Selain itu, Blogger juga lebih mesra carian internet jika dibandingkan dengan Facebook. Buat masa ini, Facebook masih mengekalkan konsep asalnya di mana pengguna Facebook boleh mengesahkan pengguna Facebook yang dikehendaki sahaja (atau lebih tepat, orang yang dikenali sahaja) jika dibandingkan dengan Blogger yang mampu dicapai oleh sesiapa sahaja menerusi carian internet.

Di sini, aku melihat kekuatan Blogger secara umum. Kerana faktor ini juga, aku dapati, Blogger akan dapat terus bertahan dan menjadi salah satu komponen penting dalam kehidupan pengguna internet.

Ahad, Februari 05, 2012

Karyawan Sebagai Aset Pembangunan Ekonomi Negara

Tulisan menggabungkan pendapat ringkas Amiene Rev berkenaan kepentingan karya dan juga sebagai maklum balas menyokong tulisan Nisah Haron mengenai artikelnya yang berjudul "Sastera Lahirkan Mercu Tanda Pelancongan".

Sastera selama ini dianggap mempunyai peranan besar dalam membangunkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai jati diri sebagai warganegara Malaysia. Namun, peranan sastera sebenarnya jauh lebih hebat daripada itu. Jika diperhatikan sejak bertahun-tahun dahulu, sastera dan pelbagai bentuk karya yang lain telah lama menyokong ke arah wujudnya industri pelancongan, dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Taman Tema Disney atau Disneyland merupakan salah satu kejayaan besar dalam industri pelancongan.

Drama bersiri dari Korea, "Winter Sonata" yang merupakan pembukaan bagi 'demam drama Korea' beberapa tahun lalu turut membuka ruang bagi industri pelancongan di Korea untuk mewujudkan pakej pelancongan Winter Sonata. Menerusi pakej pelancongan khas itu, para peminat setia drama Winter Sonata kini mampu menghayati perasaan dan suasana di dalam drama tersebut menerusi pakej pelancongan Winter Sonata.

Suatu ketika dahulu, filem Finding Nemo telah mencetuskan fenomena baru apabila beribu-ribu peminat filem tersebut telah membeli dan memelihara ikan clown fish, dan juga beberapa ikan lain yang dijadikan sebagai watak utama dalam filem itu. Jelas di sini, bagaimana karyawan dapat membantu melariskan jualan satu-satu benda hanya menerusi karya.

Filem Ombak Rindu adalah hasil daripada novel popular Ombak Rindu. Kejayaan novel ini membantu memberi keuntungan besar kepada penerbit filem Ombak Rindu. Disebabkan filem Ombak Rindu mempunyai kualiti yang berjaya memikat penonton, hasilnya karya dalam bentuk filem itu turut membantu melariskan semula novel Ombak Rindu yang sudah diterbitkan bertahun-tahun dahulu. Ini adalah satu bentuk di mana dua bentuk karya, saling sokong-menyokong antara satu sama lain.

Jika orang-orang dari industri penulisan, industri perfileman dan industri pelancongan saling bekerjasama untuk menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian pembaca atau penonton untuk pergi ke satu-satu tempat, maka secara tidak langsung kerjasama ini boleh dianggap sebagai salah satu jasa besar terhadap penduduk setempat. Jika sebelum ini orang tidak kenal Kampung Gantong dan Pulau Belitung, sekarang menerusi novel dan filem Laskar Pelangi, dunia sudah mula buka mata.

Seorang penulis blog atau blogger juga boleh dianggap seorang karyawan. Peranan blogger dalam membantu meningkatkan ekonomi setempat menerusi tulisan-tulisan mereka juga tidak boleh dinafikan. Kerana itu kita lihat wujudnya kini pelbagai saluran iklan tempatan khusus untuk memanfaatkan hasil tulisan penulis-penulis blog sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan atau melariskan satu-satu produk seperti Google Adsense, Nuffnangs dan Innity. Tulisan positif blogger tentang sesuatu filem, novel atau apa-apa produk boleh membantu melariskan produk-produk tersebut.

Blogger mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan meningkatkan pendapatan harian penduduk setempat, bukan sekadar menghangatkan dunia hiburan dan politik semata-mata. Begitu besar sumbangan dunia penulisan dan karyawan dalam membantu memajukan negara. Bukan lagi sekadar aspek kemanusiaan, tetapi juga dari sudut material. Blogger boleh jadi seorang wira yang membantu masyarakat, dan boleh saja menjadi seorang pemusnah menerusi kritikan yang berat sebelah.

Isnin, April 14, 2008

Bagaimanakah caranya Amiene Rev mendapat RM83 dengan hanya menulis di blognya?

Gambar di atas sekadar gimik!

Sekiranya anda berkata, bahawa blogger atau menulis blog merupakan perkara yang membuang masa, anda mungkin salah. Menulis blog bukan perkara membuang masa. Sekiranya anda serius dalam menyumbangkan ilmu pengetahuan, mengangkat Bahasa Melayu Tinggi sebagai pengasah pena penulisan anda, rajin mengulas mengkritik dan mengeluarkan idea, selain suka membantu orang lain menerusi blog anda, maka tidak mustahil anda akan dapat menjana wang menerusi pekerjaan menulis blog. Blogger berpendapatan.

Bagaikan bermimpi, sekarang barulah seorang blogger yang dikenali sebagai Duke Amiene Rev mengetahui bagaimana seseorang itu boleh mendapat duit menerusi internet. Sebelum ini Amiene Rev tidak pernah pun serius dalam hal-hal membuat duit menerusi internet. Sekarang dia mula mempercayai bahawa seorang blogger juga boleh menjana wang menerusi internet.

Mengikut purata pendapatan yang telah diperolehinya sepanjang dua tahun menjadi blogger, Amiene Rev telah berjaya menjana pendapatan purata sebanyak RM125 setiap bulan pada tahun 2007, dan RM250 setiap bulan pada tahun 2008. Pada bulan ini, beliau mendapati ada saluran kewangan yang baru menerusi blognya, dan jumlah itu sudah meningkat kepada RM83.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas mengenai menjana kewangan menerusi internet kerana beliau bukanlah serius dalam hal-hal membuat duit menerusi internet. Amiene Rev percaya, lebih ramai orang yang lebih arif dan layak dalam soal ini berbanding dirinya. Amiene Rev bimbang sekiranya seorang yang tidak serius untuk membuat duit di dalam internet seperti dirinya mula bercakap mengenai kaedah menjana wang, mungkin kaedah itu diinterpretasikan secara salah dan boleh memudaratkan orang-orang yang mengikutnya.

Blogger betul-betul boleh menjadi suatu pekerjaan untuk menyara kehidupan. Amiene Rev telah mengalaminya sendiri, dan beliau sudah mula mempercayainya! Mungkin selepas berjaya mengumpul pendapatan sebanyak satu juta ringgit daripada pekerjaan menulis blog, barulah Amiene Rev berasa dirinya layak untuk bercakap mengenai cara-cara membuat duit dengan hanya menjadi blogger.

Selasa, September 18, 2007

Blogger Vacation - The University Blocked Blogger (Blogspot)

Note: All type of blogspot.com are not avaiable to be access via campus and it not an important thing for me to go outside just to hang around for blogging.

Declaration: Starting from today, I will start focus on my literatures and academic based activities. I will not be able to update this site for while.

Message: If you want to keep in touch with me, read my incoming novels. Since Blogger has been blocked by my campus, I will forget about this world of Blogger for awhile and continue on something else... writing novels.


Conclusion: It's about time to fly with freedom.... ! Like an Espada!