BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Jabatan Penerangan Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jabatan Penerangan Malaysia. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 01, 2011

Harga Telur Ayam Naik 2 Sen

Harga telur ayam bagi semua gred dinaikkan sebanyak dua sen sebiji di seluruh Semenanjung mulai semalam atas alasan kekurangan bekalan. Pengerusi Unit Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Yap Hoong Chai ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia menjadikan peningkatan RM2 untuk setiap 30 biji telur dari peringkat ladang, borong serta runcit.

Khamis, Ogos 04, 2011

Anjung Singgah - Rumah Sementara Untuk Golongan Merempat dan TIdak Ada Rumah

‘Anjung Singgah’, Tiada Lagi Yang Merempat
Anjung Singgah - Rumah Sementara Untuk Golongan Merempat
dan Tidak Ada Rumah


Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mengambil inisiatif menyediakan rumah bagi golongan gelandangan yang dikenali sebagai Anjung Singgah.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Anjung Singgah diwujudkan selepas mengambil kira pelbagai maklum balas daripada orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan rumah sementara supaya golongan itu mendapat perlindungan sewajarnya.

“Anjung Singgah menyediakan perkhidmatan secara holistik yang dapat membantu golongan ini daripada segi pendaftaran, penyediaan khidmat bantuan untuk mendapat peluang pekerjaan, kemudahan perumahan, kaunseling dan bantuan kebajikan kepada mereka yang layak.

“Bagi memantapkan proses intervensi, kemudahan tempat penginapan untuk tempoh seminggu hingga dua minggu disediakan dalam usaha untuk membantu mereka berdikari dan mencari pekerjaan serta mendapatkan tempat penginapan sesuai,” katanya pada sidang media penubuhan Anjung Singgah, Pusat Sehenti Intervensi bagi menangani isu gelandangan di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Timbalan Ketua Setiausaha KPWKM, Harjeet Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd.

Pusat Sehenti yang bertempat di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu ditadbir YKN di bawah Projek Kemasyarakatan KPWKM di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi isi rumah berpendapatan rendah (NKRA-LIH).

Ia turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti bilik kaunseling dan bilik penginapan lelaki serta wanita yang boleh menempatkan 76 orang gelandangan pada satu-satu masa dan mula beroperasi 7 April ini.

Shahrizat berkata, bagi penempatan pekerjaan untuk orang gelandangan yang berdaftar di Anjung Singgah, KPWKM turut bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan sesuai. Bagaimanapun, beliau juga tidak menafikan terdapat segelintir golongan gelandangan yang kembali ke kehidupan asal selepas dibantu kerajaan.

No. Telefon Anjung Singgah :
03-2616 5600.

Alamat dan Cara Pergi Anjung Singgah :
Bangunan Ehsan,
Jalan Hang Lekiu ,
Kuala Lumpur

Anjung Singgah mula beroperasi : 9 April 2011

Rabu, Julai 13, 2011

Tiada Kopitiam Halal Di Selangor – JAKIM

Tiada Kopitiam Halal Di Selangor – JAKIM

SERDANG – Tidak ada satu pun daripada kira-kira 180 buah premis kopitiam di Selangor mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus atau 18 premis kopitiam sahaja dari negeri itu yang memohon pensijilan halal daripada JAIS dan Jakim.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis kopitiam di Selangor.

“Selangor belum ada kopitiam yang dapat sijil halal daripada JAIS walaupun kita ada buat pengumuman supaya mereka (pengusaha kopitiam) memohon untuk mendapatkannya.

“Sehingga kini, permohonannya ada tapi kurang iaitu kurang daripada 10 peratus sahaja yang memohon sijil halal daripada JAIS atau Jakim,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar kesedaran dan kepenggunaan halal Negeri Selangor di sini semalam.

Sumber: Kosmo

Ahad, Julai 03, 2011

Kenaikan Gaji Pekerja Berkemahiran 15-20 Peratus

Permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran nampaknya semakin meningkat. Ini satu petanda yang baik untuk rakyat-rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) meramalkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran akan terus meningkat dalam sektor-sektor pertumbuhan dengan kenaikan gaji antara 15 hingga 20 peratus pada tahun ini dan tahun depan.

Menurut Pengarah Urusan Singapura dan Malaysia Kelly Malaysia, Melissa Norman, sektor-sektor terlibat adalah perbankan dan kewangan, teknologi maklumat, kejuruteraan, perkhidmatan, digital, telekomunikasi, bioteknologi dan sains hayat.

“Kami melihat terdapat aliran keluar pekerja-pekerja berkemahiran ke negara-negara serantau, namun demikian, mobiliti bakat juga berlaku di dalam negara dengan para pekerja berkemahiran ini sanggup berubah tempat kerja.

“Di samping itu, majikan juga dilihat sanggup membayar gaji yang lebih tinggi bagi pekerja yang mampu bergerak sendiri dan memerlukan latihan yang minimum dalam organisasi mereka,” katanya pada majlis pelancaran buku Pandangan Pengambilan Pekerja dan Panduan Gaji 2011/12 atau dikenali sebagai Panduan Gaji Kelly di sini semalam.

Sumber: Kosmo

Rabu, Jun 29, 2011

Punca Kemalangan Jalan Raya

Cara-cara untuk mengelakkan kemalangan jalan raya ialah dengan menenangkan diri semasa memandu kenderaan. Memberi lampu isyarat kiri atau kanan sebelum hendak membelok. Tunggu satu saat atau tinjau kiri dan kanan sebelum menekan pedal minyak ketika lampu sudah hijau bagi memastikan tidak ada kenderaan terlajak lampu merah melintas dari kiri atau kanan jalan. Apa kata kita baca petikan artikel di bawah ini.

Apakah Punca Kemalangan Jalan Raya?
Fikiran Kusut Antara Punca Kemalangan Ke Tempat Kerja

SEPANG, 28 Jun (Bernama) — Fikiran kusut, mengejar kad perakam waktu atau tergesa-gesa ke tempat kerja dikatakan antara punca kemalangan semasa pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu pagi antaranya kerana fikiran kusut memikirkan pelbagai tanggungjawab untuk dilaksanakan hari itu, mengejar kad perakam waktu atau lambat bertolak dari rumah,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau melancarkan Kempen Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja Kebangsaan 2011.

Beliau berkata jumlah kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja meningkat 38 peratus dengan 22,036 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 20,810 kes pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 63 pekerja meninggal setiap bulan kerana kemalangan semasa berulang-alik ke tempat kerja, katanya.

Maznah turut berkata kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 80 peratus mangsa kemalangan adalah pekerja lelaki yang melibatkan pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata Perkeso mengeluarkan RM1.8 bilion pampasan kepada pekerja yang mengalami kemalangan sewaktu di tempat kerja atau pun sewaktu berulang-alik ke tempat kerja berbanding RM1.3 bilion pada tahun 2009.

Sasaran pengurangan sebanyak 30 peratus kes kemalangan pergi dan pulang dari tempat kerja diharap dapat dicapai tahun ini sempena kempen yang dilancarkan yang bermula hari ini, katanya.

“Saya harap kempen ini akan dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran betapa tingginya risiko berulang-alik ke tempat kerja. Ia tertumpu kepada 100 majikan yang pekerjanya paling tinggi terlibat kemalangan ke tempat kerja,” katanya.

Maznah berkata kempen juga akan tertumpu kepada kawasan kemalangan berisiko tinggi di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Ipoh.

Sumber: BERNAMA

Khamis, Jun 16, 2011

Petrol RON 97 turun 10 sen - Kini RM2.80 seliter

Petrol RON 97 turun 10 sen

KUALA LUMPUR: Harga petrol RON 97 turun 10 sen, daripada RM2.90 seliter kepada RM2.80 seliter berkuat kuasa tengah malam tadi. Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman, berkata penurunan itu seiring harga semasa pasaran minyak mentah dunia. Bagaimanapun, harga petrol RON 95 dan diesel masing-masing kekal RM1.90 dan RM1.80 seliter. Kali terakhir harga petrol RON 97 disemak adalah pada bulan lalu, yang menyaksikan ia meningkat 20 sen kepada RM2.90 seliter.

Khamis, Jun 02, 2011

Tempoh Kursus Diploma Bukan Teknikal Di Politeknik Dipendekkan

Tempoh Kursus Diploma Bukan Teknikal Di Politeknik Dipendekkan

Mulai tahun ini, tempoh pengajian bagi kursus diploma bukan teknikal seperti perdagangan dan hospitaliti di politeknik di seluruh negara akan dipendekkan kepada dua hingga dua tahun setengah berbanding tiga tahun sekarang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai salah satu tarikan kepada golongan pelajar untuk memilih institusi berkenaan sebagai alternatif melanjutkan pengajian di mana ia akan dapat menjimatkan masa dan wang mereka.

“Misalnya seperti kursus menjahit, kita berpendapat tak ada keperluan nak belajar menjahit sehingga tiga tahun. Lagi lama lagi banyak pelajar itu kena berhutang (untuk menampung kos pengajian). Kita mahu masa itu benar-benar dimanfaatkan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu dijangka akan dapat meningkatkan jumlah pelajar politeknik dalam bidang-bidang tersebut, sekaligus dapat membantu kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan mencapai sasaran politeknik bagi melahirkan 490,000 tenaga mahir berdiploma menjelang 2020.

Selain itu beliau berkata, bagi mengarusperdanakan pengajian di politeknik, pihak itu diharap dapat menjalankan kerjasama artikulasi dengan institusi pengajian tinggi swasta dalam negara, serta pusat-pusat pengajian di luar negara bagi membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian ke pusat-pusat tersebut.

Setakat ini katanya program artikulasi itu hanya dilaksanakan dengan empat Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Kerajaan juga akan mengekalkan yuran politeknik yang juga merupakan antara yang termurah iaitu RM400 setahun, selain menawarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang layak bagi memastikan institusi itu terus menjadi pilihan, katanya.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pengajian Politeknik dengan pihak industri dan badan profesional iaitu Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia, Ericsson (M) Sdn Bhd, Islamic Banking and Finance Institute of Malaysia (IBFIM) dan Mesiniaga Berhad.

Beliau berkata program kolaborasi itu akan meliputi beberapa aktiviti termasuk kerjasama bagi program akademik, latihan industri bagi pelajar dan sangkutan pensyarah serta pembangunan kurikulum dalam bidang perdagangan dan elektronik yang merupakan teras kepada sistem politeknik.

“Saya berharap kerjasama ini akan dapat dilakukan secara lestari dan mapan. Pihak politeknik juga telah meningkatkan kekuatan mereka dengan menubuhkan pusat-pusat teknologi yang bertunjangkan bidang tujahan seperti Kejuruteraan Marin, Kejuruteraan Elektronik Perubatan dan Reka Bentuk Kreatif dan Industri dan saya berharap pihak industri akan dapat bekerjasama dengan politeknik untuk menjayakan pusat-pusat teknologi ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Rabu, Jun 01, 2011

Elektrik Masih Percuma Bagi Bil Bulanan Kurang Dari RM20

Elektrik Masih Percuma Bagi Bil Bulanan Kurang Dari RM20

Kerajaan telah mengambil kira kepentingan rakyat serta mereka yang berpendapatan rendah dalam usaha merasionalisasi subsidi dan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun ini, tidak akan memberi kesan kepada 75 peratus pengguna domestik.

Sebagai contoh, elektrik masih percuma bagi mereka yang bil bulanannya kurang daripada RM20.

Di samping itu, seramai 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kilowatt sebulan atau kurang.

Ini bermakna mereka yang menggunakan lebih banyak elektrik perlu membayar lebih, bagaimanapun kenaikannya beransur-ansur.

Yang pasti, langkah ini akan memberikan kesan kepada orang ramai secara langsung dan tidak langsung.

Tetapi akan yang lebih penting ialah kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang dalam persekitaran kenaikan kos tenaga dan harga makanan.

Ini juga merupakan mesej jelas kepada pengguna dan rakyat supaya menjimatkan tenaga dengan kos yang meningkat dan subsidi yang bertambah.

Bagi pengguna domestik yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan terus membantu dengan memberikan bekalan elektrik secara percuma kepada pengguna-pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Dis 2011.

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk menyemak semula harga gas di Semenanjung Malaysia daripada RM10.70 setiap mmBtu (juta unit termal British) kepada RM13.70 per mmBtu, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 2.23 sen/kilowat sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen/kwj berbanding kadar purata semasa 31.31 sen/kwj.

Senario ekonomi semasa yang semakin mencabar kerana harga komoditi yang meningkat menyebabkan jumlah tanggungan subsidi semakin bertambah dan ini memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

Oleh itu, dasar pemberian subsidi telah dikaji semula dan penjimatan perbelanjaan subsidi ini akan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara demi kepentingan rakyat dan negara pada masa hadapan.

Namun begitu, kerajaan tetap menjaga kepentingan rakyat dengan memastikan penyelarasan subsidi dilakukan secara berperingkat dan golongan yang memerlukan akan terus dibantu.

Bagi rakyat Malaysia, penggunaan tenaga elektrik dengan bijak dan secara produktif dapat mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dan pengguna masih boleh menikmati cara hidup yang sama.

Difahamkan, tiada impak ketara akibat penyelarasan harga gas dan tarif elektrik ke atas harga barangan dan perkhidmatan.

Berdasarkan kajian, kenaikan tarif elektrik tidak sepatutnya menyumbang kepada peningkatan yang ketara pada harga barangan dan perkhidmatan kerana komponen elektrik hanya menyumbang sebanyak 2.9 peratus kepada wajaran Indeks Harga Pengguna.

Sementara itu, peralihan harga tenaga secara berperingkat sehingga mencapai harga pasaran akan memberi nilai maksimum kepada ekonomi dalam menyediakan asas untuk pembangunan sektor tenaga yang lebih mampan.

Sumber: BERNAMA

Selasa, Mei 31, 2011

Hari Belia Negara: 15,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan!

Hari Belia Negara: 15,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan!

PUTRAJAYA – Belia yang masih menganggur disaran merebut lebih 15,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 76 majikan dalam pameran pekerjaan sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 di sini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Sehubungan itu, beliau mahu golongan belia yang masih mencari pekerjaan supaya memanfaatkan Youth Jobs Fair yang diadakan selama tiga hari bermula semalam yang menawarkan gaji lumayan sehingga RM10,000.

Menurut beliau, dalam pameran itu terdapat majikan yang menawarkan sehingga 600 peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, belia perlu menggunakan peluang keemasan ini sebaik-baiknya. Setakat hari ini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan,” katanya pada majlis pelancaran Youth Jobs Fair di sini hari ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 30 tawaran pekerjaan diisi yang kebanyakannya melibatkan lepasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang baru menamatkan pengajian mereka.

“Kita amat prihatin dalam menyediakan peluang mencari pekerjaan kepada rakyat berbanding beberapa negara lain yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 470,000 permohonan pekerjaan diterima kementerian menerusi portal www.jobsmalaysia.gov.my yang terdiri daripada mereka yang pertama kali mencari pekerjaan atau yang ingin menukar pekerjaan.

Melalui pendekatan-pendekatan yang dilaksanakan kerajaan selama ini, kadar pengangguran di Malaysia masih berada di bawah paras 3.5 peratus yang diklasifikasikan sebagai negara ‘full employment’.

Sumber: MyNewsHub

Isnin, Mei 23, 2011

Masalah Miskin Bandar Punca Kakitangan Sokongan Kerajaan Bekerja Sambilan

Hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan. Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan kakitangan sokongan kerajaan terbabit terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk memandu teksi, menjadi pengawal keselamatan dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup keluarga masing-masing.

BERITA HARIAN MELAPORKAN:

20,000 penjawat awam miskin
Oleh Haika Khazi 2011/05/23

PUTRAJAYA: Hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan berkata, keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan kakitangan sokongan kerajaan terbabit terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk memandu teksi, menjadi pengawal keselamatan dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup keluarga masing-masing.

Berikutan itu, beliau berkata, UMNO Putrajaya akan bekerjasama dengan TEKUN Nasional (TEKUN) bagi membolehkan kakitangan sokongan kerajaan terbabit memohon pinjaman sebagai modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, sekali gus membantu mereka meningkatkan hasil pendapatan masing-masing setiap bulan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada TEKUN kerana meluluskan pinjaman sebanyak RM367,000 kepada 26 kakitangan kerajaan dan penduduk Putrajaya bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan.

“Ini adalah antara cara kita membantu kerajaan menangani masalah kemiskinan di kalangan kakitangan kerajaan yang tinggal di bandar besar, terutama Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar keusahawanan anjuran TEKUN dan Pejabat UMNO Putrajaya di sini.

Pada majlis sama, Tengku Adnan turut menyampaikan cek keseluruhan bernilai RM367,000 kepada 26 usahawan termasuk kakitangan sokongan kerajaan untuk memulakan perniagaan masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Abdul Rahim Hassan, berkata pihaknya sudah memberi pinjaman berjumlah RM1.68 bilion kepada 183,364 peminjam di seluruh negara, sejak 1998.

Katanya, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM239.90 juta diagihkan kepada 20,201 usahawan di Selangor.

Khamis, Mei 19, 2011

Projek Perumahan Mampu Milik SPNB Di Tujuh Kawasan

SPNB) mengenal pasti tujuh kawasan di Lembah Kelang bagi melaksanakan pembinaan rumah yang mampu dimiliki di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP). Kawasan terbabit ialah di Putrajaya, Cyberjaya, Rawang, Damansara, Shah Alam, Kelang dan Puchong.

"Pemaju-pemaju tersebut telah berbincang dengan SPNB untuk membangunkan tanah tersebut dalam konteks skop kerja SPNB. Maksudnya, mereka ingin membangunkan tanah tersebut secara menyeluruh dengan menggunakan bantuan SPNB untuk memudahkan proses mereka dengan agensi kerajaan.

"Ia adalah perbincangan profesional antara SPNB dan pihak pemaju," katanya pada sidang akhbar selepas SPNB memerterai perjanjian dengan 25 buah bank untuk SRP di sini, Isnin.

SRP telah diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka.

Skim ini membolehkan golongan muda untuk mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus daripada bank-bank yang terlibat untuk membeli rumah pertama mereka.

Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.

Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun.

Kerajaan, melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahulan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut.

Bank yang terlibat ialah Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Alliance Islamic Bank Malaysia Bhd, AmBank Bhd, AmIslamic Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, EON Bank Bhd, EONCAP Islamic Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd.

Maybank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, OCBC Bank Malaysia Bhd, OCBC Al Amin Bhd, Public Bank Bhd, Public Islamic Bank Bhd, RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd, United Overseas Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan Cagamas Bhd (CSC Department).

Mengenai syarat pendapatan di bawah RM3,000 kepada pemohon yang dilihat tidak relevan di Lembah Kelang, Idris berkata, kerajaan perlu bermula dari satu tahap terlebih dahulu.

"Akan terdapat banyak perubahan serta peningkatan tuntutan. Kita terbuka pada perbincangan. Moga-moga, terdapat suatu ukuran kelayakan berbeza bagi pemohon di Lembah Klang," katanya.

Jelas beliau lagi, dana untuk SRP ialah dana yang diguna semula untuk membina rumah-rumah mampu milik selepas dibayar balik oleh peminjam.

Katanya, syarat tersebut mungkin dikaji semula pada masa hadapan.

Kerajaan meluluskan sebanyak RM21.3 juta untuk Skim Rumah Pertamaku (SRP) melibatkan 143 permohonan setakat 30 April tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah berkata, secara puratanya setiap pinjaman berkenaan bernilai RM149,365 bagi setiap permohonan.

"Apa yang kerajaan sasarkan adalah menyediakan rumah di bawah RM220,000. Ini penting kerana kita sedar harga rumah di KL telah melambung naik berlipat ganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pemerteraian perjanjian antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan 25 bank untuk SRP di sini, Isnin.

Melalui MoU itu, SPNB akan bertindak sebagai one stop centre bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menepati kriteria dan syarat memiliki rumah SPNB, manakala pihak bank akan memproses permohonan yang diterima daripada SPNB untuk kelulusan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut merasmikan ibu pejabat baru SPNB di Menara Perkeso, Jalan Tun Razak yang menempatkan 413 kakitangan SPNB dari Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail.

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron.

SRP diumumkan dalam Bajet 2011 untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka.

Skim ini membolehkan golongan muda untuk mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus daripada bank-bank yang terlibat untuk membeli rumah pertama mereka.

Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.

Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun.

Kerajaan, melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahulan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut.

Bank yang terlibat ialah Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Alliance Islamic Bank Malaysia Bhd, AmBank Bhd, AmIslamic Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, EON Bank Bhd, EONCAP Islamic Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd.

Maybank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, OCBC Bank Malaysia Bhd, OCBC Al Amin Bhd, Public Bank Bhd, Public Islamic Bank Bhd, RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd, United Overseas Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan Cagamas Bhd (CSC Department).

Husni memberitahu, SPNB diberi tanggungjawab untuk membina lebih 38,000 unit rumah di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Setakat ini, katanya, sebanyak 2,000 unit rumah siap bina sementara 26,754 unit masih sedang dibina.

"Di bawah Skim Rumah Pertamaku dengan nilai antara RM100,000 hingga RM220,000, sebanyak 4,516 unit telah siap dibina dengan CFO (Sijil Layak Menduduki) manakala 8,991 unit sedang dibina.

"Ini menjadikan jumlah unit perumahan sebanyak 13,507 unit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Husni berkata, kementerian akan mengadakan 10 mesyuarat kumpulan fokus untuk menghasilkan bajet 2012 dengan salah satu daripadanya adalah menyediakan rumah mampu dimiliki dan mengatasi kemiskinan bandar.

Lain-lain kumpulan fokus tersebut merangkumi menggalakkan pelaburan swasta; menggalakkan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan pendapatan; menangani isu sosial dan ekonomi; memperhebat penyelidikan, pengkomersialan pembangunan dan inovasi.

"Inovasi penting kerana kita dapat lihat Amerika Syarikat dan China bersaing untuk menjadi kuasa ekonomi terunggul. Sekarang kita lihat bukan lagi dari saiz ekonomi tetapi dari segi melahirkan produk inovatif. Negara tersebut akan menguasai ekonomi dunia.

"Malaysia tidak ingin ketinggalan... oleh itu, memerlukan kumpulan fokus untuk berbincang," katanya.

Tambah Husni, kementerian turut ingin meningkatkan prestasi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan memanfaatkan rangkaian bekalan global.

Katanya, lain-lain fokus mengenai IKS ialah menangani inflasi yang meningkat, mengatasi perbelanjaan rumah tangga yang tinggi, menginstitusikan pengurusan nilai dalam pembelian di sektor kerajaan serta mewujudkan sektor awam yang ideal.

Rabu, Mei 18, 2011

Penduduk Woodlands Tak Sedar Guna Air Mayat Untuk Memasak

Penduduk Woodlands Tak Sedar Guna Air Mayat Untuk Memasak
Dark Water Versi Singapura - Cerita Benar

Penduduk di beberapa buah flat di Woodlands (Singapura) tidak menyedari bahawa mereka menggunakan air termasuk untuk memasak adalah daripada sebuah tangki air yang mengandungi mayat reput seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mati, lapor akhbar Straits Times semalam.

Mereka hanya mengetahui tangki air itu mengandungi mayat wanita tersebut selepas membuat aduan kerana air paip kelihatan berwarna kekuningan dan agak berbuih.

Empat penduduk flat itu di Blok 686B, Woodlands Drive 73, menghubungi Majlis Perbandaran Sembawang untuk membuat aduan tersebut.

Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita Associated French Press, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun telah ditangkap berhubung kematian pembantu rumah tersebut yang berusia 30 tahun.

Mayat wanita itu ditemui di dalam salah satu daripada lapan tangki air di atas bumbung flat setinggi 15 tingkat itu kelmarin selepas polis menerima panggilan daripada seorang pemberi maklumat dipercayai rakan lelaki Bangladesh tersebut.

"Kejadian ini amat menjijikkan. Semua keluarga saya memakan habis seperiuk sup kacang hijau yang dimasak pada pagi ini," kata seorang penduduk flat tersebut, Choi Ah Moi.

Seorang suri rumah berusia 33 tahun, Ally Lee pula berkata, pembantu rumahnya memasak mi sup untuk anak perempuannya dengan menggunakan air mayat tersebut. "Saya fikir saya mahu membawa anak perempuan saya berjumpa dengan doktor," katanya.

Pembantu rumah itu bekerja di sebuah flat di tingkat enam dan semasa ditemui mayatnya tersebut didapati mengalami luka di belakang badan selain memakai baju-T dan seluar bermuda.

Pengurus Besar Majlis Perbandaran Sembawang, Soon Min Sin berkata, semua air di lapan tangki itu dibuang dan dibasuh dengan menggunakan bahan pembersih kuman.- Agensi

Jabatan Imigresen Malaysia Tidak Boleh Menolak Kemasukan Warga Afrika ke Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia tidak boleh menolak kemasukan warga Afrika ke Malaysia, sekiranya mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah. Selagi warga Afrika yang berada di negara ini tidak melakukan sesuatu yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan awam, pihak Imigresen menganggap kedatangan mereka ke negara ini adalah berniat baik dan boleh diterima - kata Ketua Pengarah Imigresen.

Bagaimanapun, bagi memastikan tidak wujud insiden yang tidak diingini di kalangan warga Afrika terutamanya mereka yang datang untuk melanjutkan pelajaran ke Malaysia, Alias meminta kerjasama pihak institut pengajian tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengadakan sesi penerangan tentang budaya masyarakat negara ini kepada pelajar asing.

"Saya berharap pihak kolej turut memantau pergerakan pelajar warga asing termasuk warga Afrika yang tidak hadir ke kelas dan memaklumkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk tindakan susulan," katanya dalam temuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Antara lain, beliau ditanya mengenai kedatangan warga Afrika yang dikatakan semakin meningkat ke negara ini, sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Alias berkata sepanjang tahun 2010, lima buah kolej telah dibatalkan permit operasi kerana kegagalan memantau pergerakan pelajar asing.

Beliau turut menafikan persepsi orang ramai kononnya pihak Imigresen menghadapi kesukaran mengawal kemasukan warga Afrika ke Malaysia dan menegaskan pegawai imigresen mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi situasi sedemikian. - BERNAMA

Selasa, Mei 17, 2011

Kutipan Tol Dimansuhkan Di Dua Plaza Tol

Kutipan tol di Plaza Tol Arah Cheras dan Petaling Jaya di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di sini dimansuhkan berkuat kuasa 8.30 malam semalam. Kerajaan tidak membuat sebarang bayaran pampasan kepada syarikat konsesi di atas persetujuan penutupan lebih awal plaza tol tersebut. - Utusan

Keputusan memansuhkan tol itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu yang mahu kutipan tol di lebuh raya tersebut ditamatkan lebih awal.

Kapal Bantuan Malaysia Ke Palestin Diserang Tentera Laut Israel

Sebuah kapal milik Malaysia yang membawa bantuan untuk Palestin telah dipintas dan diserang oleh tentera laut Israel pada 6.54 pagi waktu Jordan (kira-kira 11.54 pagi waktu Malaysia), menurut Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF). Berlaku tembakan, katanya. "Semua orang selamat, tiada seorang pun yang cedera."

Berikutan serangan itu, yang menurut PGPF berlaku dalam zon keselamatan Palestin, kapal itu telah dipaksa berlabuh di perairan Mesir kira-kira satu setengah batu nautika dari perairan Gaza.

Wakil PGPF, Matthias Chang berkata pasukan tentera laut Israel mengelilingi kapal bantuan itu dua kali dan melepaskan tembakan.

"Tiada seorang pun yang cedera," katanya dalam kenyataan itu.

Seorang lagi aktivis dalam kapal itu, Derek Graham berkata beliau melihat kapal Israel datang dari satu hujung penjuru dan kapal Mesir datang dari penjuru yang lain.

Kapal milik Malaysia itu berlepas dari pelabuhan Piraeus, Greece, pada Rabu.

Ia membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.

Mereka yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan itu termasuk aktivis antiperang dan wartawan terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia, dua rakyat Ireland, dua warganegara India dan seorang rakyat Kanada.

Inisiatif kemanusiaan itu dibiayai oleh PGPF yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

1 JUN 2011 - Subsidi Diesel Super Dimansuhkan

Subsidi diesel super dimansuh: Berkuatkuasa 1 Jun ini, kerajaan akan memansuhkan pemberian subsidi diesel super kepada beberapa sektor pengangkutan bagi memastikan hanya golongan sasar sahaja menerima bantuan tersebut. Bagaimanapun, pemberian subsidi kepada beberapa pengangkutan awam masih dikekalkan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana menikmatinya.

“Kategori kenderaan yang terlibat dengan pemansuhan subsidi itu ialah kenderaan penggerak utama, kargo am, luton kotak, van (panel van, semi panel dan window van), lori rigid minuman botol, lori tangki rigid-tepung, lori rigid-refrigerated, lori tangki air dan teksi limosin.

“Diesel subsidi untuk pengangkutan awam dan bot penumpang sungai pula dikekalkan pada harga RM1.481 seliter, manakala subsidi petrol dan diesel nelayan dikekalkan pada harga RM1.25 seliter,” .

Kenyataan itu memberitahu, susulan keputusan itu setiap kategori kenderaan tersebut tidak lagi membeli diesel pada harga RM1.481 seliter.

“Namun, kenderaan-kenderaan tersebut masih lagi menikmati subsidi dengan pengambilan di stesen minyak pada harga RM1.80 seliter,” menurut kenyataan itu. - KPDNKK

Jumaat, Mei 06, 2011

SEMAKAN KEPUTUSAN KE IPTA - UPU - Tips Untuk Mudah Dapat Masuk Ke IPT

Status keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf Sesi Akademik 2011/2012 boleh diperoleh mulai pukul 12 tengah hari ini, 6 Mei.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan di sini Khamis berkata semakan boleh dibuat dengan menghubungi talian Hotline 03-88835858, Helpline 03-88835848 dan talian am 03-88835801/5802.

Calon-calon juga boleh melayari laman web http://upu.mohe.gov.my/, http://www.jpt.utm.my/ dan http://www.jpt.uum.edu.my/ atau menghantar pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) ke 15888.

Calon boleh mencetak surat tawaran mulai Sabtu ini melalui laman web rasmi IPTA berkaitan dan semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh IPTA dalam tempoh tujuh hari bekerja iaitu pada atau sebelum 14 Mei ini.

Jabatan Penerangan Malaysia Pemohon yang berjaya perlu membuat keputusan yang bijak dan tepat serta mendaftar ke program yang dipilih mengikut jadual dan tarikh yang ditetapkan. Bagi pemohon yang tidak berjaya ke IPTA tetapi menerima tawaran ke institusi lain, mereka dinasihatkan mendaftar ke program berkaitan kerana tawaran tempat ke IPTA adalah terhad.

Mereka yang gagal mendapat tawaran ke IPTA digalakkan untuk menimbang tawaran belajar ke Tingkatan 6, serta Institusi Pendidikan Teknikal & Latihan Vokasional (TEVT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seperti Diploma di Politeknik, ...sijil-jil di Kolej Komuniti dan ILKA lain, bagi mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang juga menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar lepasan SPM.

Hanya calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA boleh mengemukakan rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan, melalui Laman Web Rasmi Kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my/.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 16 Mei dan keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu kedua Jun.

Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA empat minggu selepas tarikh pendaftaran IPTA, maka rayuan mereka dianggap gagal.

UPU Online - Status e-Rayuan & Kemasukan ke IPTA
http://www.upu.my

Semakan Keputusan Permohonan Ke IPTA
http://www.jpt.uum.edu.my

Laman Web Rasmi Kemasukan Ke IPTA
http://upu.mohe.gov.m

Rabu, Mei 04, 2011

Harga Petrol RON97 naik 20 sen

Harga petrol RON97 akan naik 20sen ke RM2.90 seliter berkuatkuasa tengah malam ini, demikian menurut Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Naib presiden PDAM Datuk Zulkifli Mokti berkata, peningkatan ini disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

"Namun harga RON95 dan diesel kekal seperti sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 2 April, harga RON97, yang diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa, naik 20 sen ke RM2.70 seliter ekoran krisis Timur Tengah.

Petrol RON95 kekal RM1.90 seliter.

Duta Pelancongan Malaysia

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara diminta memainkan peranan sebagai duta pelancongan bagi mempromosikan Malaysia kepada rakyat asing. Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata bagi tujuan itu, mereka perlu faham dengan dasar pelancongan, produk pelancongan dan hala tuju industri pelancongan Malaysia.

Bahaya Pakai Topi Keledar Kura-kura

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri Sarawak melahirkan kebimbangan kerana masih ramai penunggang dan pembonceng motosikal masih menggunakan topi keledar 'kura-kura' yang hanya melindungi bahagian atas kepala sahaja. Pengarahnya, Rano Aylwino Akat sehubungan itu menyeru semua pengedar motosikal di negeri ini supaya hanya menjual topi keledar yang disahkan selamat oleh SIRIM Berhad (SIRIM).