BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label PMR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PMR. Papar semua catatan

Khamis, Disember 23, 2010

Keputusan PMR 2010 - 30,863 Calon PMR Dapat Semua A

30,863 calon PMR dapat semua A
23/12/2010 12:01pm
sumber: Kosmo!

PUTRAJAYA – Seramai 30,863 daripada 439,456 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini memperoleh semua A, peningkatan 0.65 peratus berbanding 28,188 calon tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini adalah 2.74 berbanding 2.78 tahun lalu, menunjukkan peningkatan pencapaian pelajar pada tahun ini.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2010 dalam 16 mata pelajaran adalah yang terbaik daripada perbandingan empat tahun,” katanya semasa membentangkan analisis keputusan PMR 2010 di sini hari ini.

Pada tahun ini, calon yang mendapat semua E menurun kepada 386 orang daripada 397 orang tahun lepas.

Abdul Ghafar berkata, bagi calon luar bandar, pencapaian mereka mencatatkan peningkatan daripada segi nilai GPN, pencapaian semua A dan pencapaian melepasi tahap minimum.

Nilai GPN calon luar bandar adalah 2.97 berbanding 2.93, manakala calon bandar mencatat nilai GPN daripada 2.68 kepada 2.65, bermakna jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin rapat, katanya. – Bernama

Selasa, Disember 30, 2008

Pengumuman Keputusan PMR 2008 Online

PUTRAJAYA 24 Dis. - Seramai 472,060 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 3,458 buah pusat peperiksaan seluruh negara akan mengetahui keputusan masing-masing pada 30 Disember ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, analisis keputusan itu akan diumumkan pada pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, di sini.

Keputusan PMR boleh diambil mulai jam 10 pagi di sekolah masing-masing.

Menurutnya, calon-calon boleh mengambil keputusan pada hari yang sama di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi manakala keputusan bagi calon persendirian akan dihantar melalui pos oleh Jabatan Pelajaran negeri.

Beliau berkata, daripada keseluruhan pelajar yang menduduki PMR, seramai 442,791 (93.8 peratus) adalah calon sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran manakala 15,430 (3.3 peratus) calon sekolah-sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu.

Selain itu, sebanyak 13,491 (2.8 peratus) orang merupakan calon swasta manakala 348 (0.1 peratus) ialah calon persendirian perseorangan.

>keputusan PMR 2008 online pengumuman keputusan peperiksaan PMR 2008 tarikh keputusan PMR 2008 online result PMR examination 2008 online PMR examination result 2008 laman web

Rabu, September 03, 2008

Demam Peperiksaan UPSR PMR SPM STPM


Karangan dan Esei
:
Demam Peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM
Kini Melanda Negara

Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Mengikut kalendar akademik di Malaysia, kini sudah sampai masanya untuk para pelajar di sekolah, tidak kira yang bakal menghadapi UPSR, PMR, SPM atau pun STPM untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan penting untuk tahun ini.

Demam peperiksaan selalunya menjangkiti para pelajar. Jika seseorang itu bukan seorang pelajar, maka kebiasaannya dia tidak akan dijangkiti demam peperiksaan. Demam peperiksaan berbeza dengan mana-mana demam sedia ada. Demam ini diakibatkan oleh beberapa jenis virus yang dipanggil kerisauan, kebimbangan, ketakutan dan kemahuan.

Pelajar risau tidak akan mencapai keputusan yang baik, maka dia diserang virus-virus tersebut. Pelajar mahu mencapai pencapaian yang baik, supaya mendapat laluan mudah ke institusi pengajian tinggi, maka pelajar juga telah diserang oleh virus kemahuan dan hasrat. Virus ini menyebabkan para pelajar berubah sikapnya, menjadi semakin rajin belajar dan mengulangkaji pelajaran.

Demam peperiksaan ini, bahangnya bukan sahaja dirasai oleh pelajar, tetapi turut dirasai oleh para guru, pakar-pakar motivasi, ibu bapa dan pemimpin-pemimpin negara. Guru bimbangkan masa depan pelajar, maka guru lebih bertungkus lumus memberikan sumbangan, bimbingan dan pengorbanan dalam bidang akademik, sedaya upaya mereka.

Pakar-pakar motivasi semakin giat mengadakan ceramah motivasi, bengkel dan kem untuk meningkatkan kemahiran pencapaian pelajar dan hala tuju selepas tamat sekolah untuk pelajar-pelajar SPM. Ibu bapa semakin giat singgah membeli buku-buku baru untuk anak-anak. Para pemimpin negara mula meneliti calon-calon pelapis untuk menggantikan tempat kesinambungan untuk terus menghidupkan negara.

Seluruh masyarakat beragama mengamalkan kepercayaan masing-masing mengadakan ibadat, sembahyang dan berdoa memohon kejayaan untuk calon-calon peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan lain-lain peperiksaan penting di seluruh negara.

Demam peperiksaan umpama Demam Chikungunya yang kembali merebak sejak sebulan yang lalu. Ada pelajar yang tidak dapat tidur pada waktu malam, seolah-olah terkena insomnia. Ada pelajar yang semakin kurang selera makannya kerana lebih suka menghadap buku-buku teks dan buku-buku rujukan. Ada yang terkena migrain, sakit kepala dan demam panas. Ada yang terkena histeria, ada yang pengsan. Ada yang semakin kabur, tidak tahu apa yang hendak dibuatnya; segala-galanya serba tak kena. Ada yang menjadi gila sebelum sempat berjuang. Alangkah teruknya ini.

Pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan, baik yang terkena demam peperiksaan atau tidak, dianjurkan untuk mengamalkan pemakanan yang berkhasiat. Kismis, kurma dan lain-lain pemakanan yang baik untuk pembinaan sel-sel otak. Ada juga pelajar yang berpuasa semasa peperiksaan. Namun semestinya amalam pemakanan yang seimbang tidak boleh diabaikan.

Apabila tiba waktu peperiksaan, ada pelajar yang akan menghadapi tekanan perasaan. Ada yang semakin lemah keyakinannya, lalu menimbulkan rasa rendah diri. Ada pelajar yang terlampau yakin dia boleh menjawab soalan-soalan peperiksaan, lalu dia meremeh-temehkan latihan dan ulangkaji.

Semasa demam peperiksaan, para pelajar juga digalakkan untuk berdoa, bersolat hajat, membaca dan menghayati maksud Al-Quran, dan bercakap perkara-perkara yang baik-baik. Jauhi percakapan yang tidak elok atau boleh membawa kepada rasa tertekan. Hindari sikap mempersoalkan keupayaan diri. Sebaliknya yakinilah dengan kebolehan diri, dan berusahalah untuk meningkatkan kemajuan dalam subjek-subjek akademik.

Jika medan perang, syahid itu tidak dinilai semata-mata seseorang itu berjaya mengalahkan musuh, tetapi dinilai dari segi keikhlasan dan kesucian niat berperang yang dijunjungnya. Maka begitu jugalah dalam peperiksaan akademik. Kita mengambil peperiksaan atau penilaian adalah untuk mengenali kebolehan dan kelebihan yang ada pada diri kita. Apakah kekuatan kita? Apakah kekurangan kita? Peperiksaan yang kita lalui ini adalah bertujuan untuk menilai di bidang apakah kita paling layak pada masa akan datang. Hal ini baik untuk kemajuan pelajar pada masa akan datang.

Tidak semestinya seseorang pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik semasa dalam peperiksaan di sekolah itu, maka dia turut akan mendapat keputusan yang tidak baik semasa di universiti. Sekiranya pelajar itu menerima kenyataan mengenai kebolehan dan kelemahan dirinya menerusi hasil keputusan peperiksaan yang sahih, yang telah dilaluinya dengan penuh usaha dan ikhlas, maka dengan berdasarkan keputusan peperiksaan itu, pelajar boleh melanjutkan ke bidang-bidang pengajian tertentu dan mendapat keputusan yang jauh lebih baik.

Demam peperiksaan tidak akan bermakna, jika pelajar tidak mempunyai matlamat atau tujuan yang mengiringi perjuangan menghadapi peperiksaanya. Adakah demi membalas jasa ibu bapa dan guru, atau kerana mahu memberi sumbangan yang cemerlang kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang, atau kerana mahu mengenali diri dengan lebih baik dan mendekatkan diri kepada Tuhan? Dengan adanya azam dan cita-cita, semangat perjuangan pelajar untuk menghadapi peperiksaan akan semakin kuat membara. Dengan adanya matlamat hidup, pelajar akan lebih fokus dalam satu-satu perkara atau bidang subjek yang sedang diusahakan. Oleh itu, memiliki matlamat atau cita-cita, adalah satu kemestian bagi setiap pelajar.

Kesimpulannya, demam peperiksaan bukanlah sesuatu yang harus ditakuti atau mahu dielakkan. Definisi demam peperiksaan itu bermaksud perubahan tingkah laku yang semakin baik, semakin gigih berusaha kerana mahu mendapat kejayaan dalam peperiksaan. Demam peperiksaan akan menjadi semakin bermakna apabila pelajar turut menanam cita-cita murni, yang disirami dengan usaha-usaha yang bernilai positif seperti doa, latihan, lain-lain ibadat yang membawa ke arah kebaikan.