BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Honduras. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Honduras. Papar semua catatan

Ahad, Disember 22, 2019

Honduras 2004

Nun jauh di atas langit mendung, enjin kapal terbang bergema. Umpama helang yang sedang mengibarkan sayapnya, dan kipas-kipas yang mirip cakar seekor garuda, kapal terbang yang kuat berbau enjin diesel itu mendarat. Tanah-tanah lumpur berwarna merah, berbekas dengan jaluran roda kecil kapal terbang itu. Kipas berputar, memecahkan percikan air hujan yang jatuh dari langit ke samping.

Stesen menara komunikasi kelihatan kosong. Kapal terbang mendarat dan beberapa orang bersenjata rifel mengiringi kami. Ini misi penting, demi keamanan dua benua. Tugasan rahsia, itulah yang terbayang di mataku sebaik-baik sahaja kakiku menjejak ke tanah merah itu.

Sebuah jip berwarna hitam gelap menghampiri kami, aku dan beberapa ejen yang lain dijemput menaiki jip tersebut. Tidak banyak yang kami bawa, selain identiti pengenalan diri yang berlesen universal dan beberapa dokumen penting dua benua yang hendak diselesaikan.

Kebakaran besar di San Pedro telah membunuh sekitar 100 orang dan kes pembunuhan melibatkan penumpang bas di Chamelecon menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang tidak selamat. Lebih 1000 kanak-kanak dan remaja telah dibunuh oleh skuad maut yang terkenal pada ketika itu.

Zaman itu Ricardo masih berkuasa, kecelakaan udara yang menimpanya kemudian pada tahun 2005 membuka peluang kepada Zelaya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Honduras.

Zelaya menyatakan niatnya untuk membantu warga miskin, dan pada masa yang sama mempersoalkan kehadiran tentera Amerika di rantau itu. Zelaya berjaya memperkenalkan pendidikan percuma untuk anak-anak Honduras. Para petani juga telah diberikan bantuan. Gaji-gaji dinaikkan.

Politik itu kotor. Untuk mengelakkan lebih banyak kematian, pertolongan kami diperlukan. Rakyat tidak berdosa tidak sepatutnya dijadikan mangsa.

Dan pengalaman berdarah pun bermula. Beribu nyawa manusia di hujung jari kami dan satu kesilapan boleh memberi maut. Andai kau tahu betapa berat tanggungjawab kami ketika itu.


Khamis, Disember 09, 2010

Catatan Dari Honduras - Beberapa Jam Sebelum Kembali Ke Malaysia

Ketika catatan ini ditulis, nakama-nakamaku di Malaysia barangkali ada yang sudah tidur. Di sini, Matahari sudah pun terang, hari sudah pun siang. Hatiku sayu mengenangkan hari ini, adalah hari terakhirku di sini. Catatan ini kutulis ringkas-ringkas sahaja. Seperti pengalaman-pengalaman yang lalu, 99.95% akan menjadi rahsia abadi. Belum mampu kukongsikan sepenuhnya di sini. Barangkali suatu ketika nanti, aku akan menulis catatan pengembaraanku. Ketika itu, usiaku pasti sudah setengah abad atau mungkin lebih. Dalam kehidupan ini, adakalanya keputusan harus dibuat dalam diam, begitu juga matlamat, tujuan hidup dan cita-cita. Tidak semua perkara dapat kita kongsikan dengan manusia-manusia yang lain, tetapi seratus-peratus, atau mungkin lebih, kita berkongsi dengan Tuhan. Bagi manusia yang tidak memiliki Tuhan, bagaimana mereka dapat berkongsi seratus-peratus dengan Tuhan mereka. Beruntung, kita yang memiliki Tuhan. Kerana adanya Tuhan, maka kita dapat berkongsi keseluruhan isi hati kita, sama ada yang mampu digambarkan dengan kata-kata atau yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Kerana Tuhan... mampu melihat segala imaginasi dan isi hati kita. Beruntunglah aku kerana ada Tuhan.

Jumaat, Disember 03, 2010

Mengembara Lagi: Honduras

Surat rasmi daripada seorang penguasa di sebuah negara telah sampai beberapa hari lepas. Jadi bermula hari esok, Amiene Rev akan merantau lagi. Perantauan kali ini amat singkat namun, atas kehendak sahabat lama, perjalanan ini perlu dilakukan lagi. Sahabat seperjuangan yang sama-sama berjuang sejak 8 tahun yang lalu ini akan membawaku mengelilingi Honduras, untuk mencari satu rahsia abadi. Mungkin juga aku akan menjejakkan kaki ke Nicaragua dan El Savador.

Air adalah simbolik bagi kehidupan. Bagi sesetengah negara, air umpama emas cair yang sangat bernilai. Pengembaraan kali ini, adalah untuk menegakkan keadilan bagi mangsa-mangsa melibatkan air di sana. Dan ini merupakan salah satu riwayat menarik untuk anak-anak dan cucu-cucuku pada masa akan datang.