Mawes-PL yang menggunakan teknik
pemanasan pantas berulangan membolehkan sisa-sisa makanan diproses
menjadi baja atau makanan ikan dan seterusnya menghindari kehadiran
makhluk perosak seperti tikus dan lipas selain dapat menghindari bau
busuk. Sesuai digunakan di kantin-kantin dan juga di restoran. Menurut
kajian, 60% atau tiga perlima daripada jumlah sampah yang dibuang di
Malaysia ialah sisa makanan. Dengan menggunakan alat Mawes-PL untuk
memproses semula sisa makanan, maka kebersihan di Malaysia boleh
ditingkatkan sebanyak 60%.
Proses sendiri sisa organik anda
Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: KOSMO!
SELAMA ini, Abdullah Hassan yang bekerja sebagai chef di Kelab Danau
Golf, Bangi, Selangor perlu menyimpan sisa makanan sehingga menjangkau
dua hari sebelum pihak berwajib datang untuk mengutip sampah tersebut.
Hasilnya, bau yang tidak menyenangkan daripada makanan yang bertindak
balas dengan persekitaran mula menusuk hidung. Makhluk perosak seperti
semut dan tikus berkeliaran umpama berpesta makanan.
Masalah boleh menjadi lebih parah apabila tiba musim cuti umum atau hari
perayaan. Kehadiran ahli kelab yang ramai dan kontraktor mengutip
sampah yang bercuti menyumbang masalah tersebut menjadi lebih kritikal.
Namun, itu semua sudah berlalu. Hal ini kerana setiap malam makanan yang
dikumpul akan diproses dalam sebuah mesin menjadikan kuantiti sampah
menjadi lebih sedikit, manakala bau busuk dan kotor sudah tiada lagi.
Selepas kerja pembersihan dapur dilakukan, saki-baki makanan yang
dikumpul dibuang ke dalam sebuah kotak besi berukuran panjang 1.2 meter,
kelebaran satu meter dan mempunyai ketinggian 1.1 meter.
“Cara menggunakannya mudah, hanya memerlukan empat langkah iaitu
masukkan sampah, tekan butang mula, tunggu dan apabila siap, hasilnya
dikeluarkan,” kata Abdullah yang bertanggungjawab menguruskan kotak besi
itu.
Baru tiga bulan diperkenalkan di kelab golf itu, kotak besi yang
dikenali sebagai Mawes-PL menggunakan teknologi dari Korea Selatan dalam
memproses sisa makanan menjadi sejenis bahan yang boleh dijadikan baja
atau makanan ikan.
Cara penggunaannya berdasarkan konsep ‘plug dan pergi’ iaitu pengguna
hanya perlu menekan suis untuk memulakan proses dan ia dibiarkan sahaja
sehingga selesai.
Bahan yang terhasil adalah dalam bentuk seakan-akan hampas kayu lembap
berwarna hitam atau hitam kemerahan. Baunya pula seperti makanan proses
yang baru lepas dimasak.
Bahan hasil tersebut digunakan oleh pihak kelab Danau-Golf menjadi baja
organik di persekitaran padang golf tersebut. Mesin tersebut telah dapat
menjimatkan kos pengambilan sampah dan kos membeli baja untuk pokok
hiasan sekali gus menyelesaikan masalah sampah makanan berlonggok tidak
dikutip.
Kata Pengarah Eksekutif Waste Engineering Solutions (Mawes), Noor
Asmaraini Megat Hussain, Mawe-PL menggunakan konsep Rapid Heating
(sistem pemanasan pantas) dalam proses kitar semula sisa makanan itu.
ASMARAINI menjelaskan Mawes-PL tidak melepaskan karbon, menjimatkan ruang penyimpanan dan sisa makanan boleh dijadikan baja.
Saki-baki makanan yang dimasukkan ke dalam mesin tersebut akan diproses
dengan kaedah putaran bagi menyamarata bahan sambil dipanaskan sehingga
suhu 100 darjah celsius.
Proses mengitar semula akan berhenti secara automatik apabila kuantiti
air pada bahan buangan mencapai bacaan isipadu lima peratus atau
mengikut masa yang ditetapkan pada jumlah masa tertentu.
Jika hasil bahan kitar semula tersebut mahu dijadikan makanan
penternakan, ia sudah tentu tidak akan mendatangkan bahaya kepada haiwan
kerana ia diproses pada suhu yang diperlukan supaya kuman dan bakteria
jahat mati.
“Disebabkan menggunakan kaedah pemanasan, jika pengguna rajin
mengasingkan saki-baki makanan pepejal dengan membuang bahan cecair,
bahan boleh terhasil dengan lebih cepat,” terang wanita berusia 37 tahun
itu.
Bahan hasil kitar semula makanan boleh disimpan antara dua hingga tiga
bulan. Julat hasil terbahagi pada dua bahagian iaitu berkualiti tinggi
dan rendah.
Kualiti tinggi adalah untuk dijadikan makanan penternakan seperti ikan,
manakala bahan yang dikategori sebagai kualiti rendah boleh dibuat baja
atau dibuang begitu sahaja.
Ia bergantung kepada sisa makanan yang dibuang ke dalam Mawes-PL kerana
untuk menjadikan makanan ikan, hanya produk makanan sahaja boleh dibuang
tanpa dicampur dengan produk bukan organik bersama-sama.
“Setakat ini tiada masalah dijadikan baja tetapi untuk makanan ikan
perlu mendapatkan pengesahan halal dan kandungan nutrien daripada pihak
berwajib,” ujar Asmaraini lagi.
Berbanding proses membuat kompos secara tradisional yang menurut
Asmaraini mengeluarkan gas karbon dioksida, Mawes-PL tidak membebaskan
sebarang gas dan tidak menggunakan mikroorganisma.
SAMPAH organik seperti sisa makanan menyebabkan pembiakan makhluk perosak seperti tikus. - Gambar hiasan
Bahan buangan yang terhasil bagi setiap 100 kilogram yang diproses
adalah air jernih dengan isipadu lebih kurang 500 mililiter atau sebotol
air mineral berharga RM1.
Menariknya, hasil kitar semula makanan akan berkurangan sehingga 90
peratus berbanding kuantiti asal ketika dimasukkan ke dalam Mawes-PL.
Jika Mawes-PL yang berkapasiti 100 kilogram diproses pada kuantiti
maksimum, hampas yang terhasil akan seberat lebih kurang 10 kilogram.
Jadi, ruang penyimpanan sampah sebelum ini luas boleh dikecilkan dan
kawasan pembuangan sampah yang boleh bertahan 20 tahun turut dapat
dimanfaat pada tujuan lain.
Hasil yang diproses oleh Kelab Danau Golf digunakan sebagai baja organik untuk tanaman sekitar kelab golf itu.
Asmaraini menyifatkan mesin Mawes-PL ringkas dan kurang bermasalah jika kerja-kerja penyelenggaraan dibuat secara berkala.
Terdapat tiga peringkat penyelenggaraan iaitu pemeriksaan bulanan,
setiap enam bulan dan setahun sekali. Setiap bulan, pemeriksaan sistem
supaya berjalan dengan lancar dibuat.
“Bahagian yang kerap rosak ialah spring apabila pengguna tidak
mengasingkan bahan kitar semula dengan memasukkan semua jenis sampah,”
kata Asmaraini menjelaskan kesan tidak mengagihkan bahan buangan.
Setiap enam bulan sekali mekanisme dan alat ganti diteliti manakala
setahun sekali, minyak termo perlu ditambah kerana kebiasaannya kuantiti
akan berkurangan. Ia tersejat akibat proses pemanasan.
Selain itu, Mawes-PL mempunyai sistem komputer dalaman yang merakam setiap proses dan bahan yang dilakukan mesin tersebut,
Data yang dirakam digunakan untuk mendiagnosis punca masalah ketika ia
berlaku sebarang masalah jadi, kerja-kerja membaiki yang tepat dan
efisien boleh dibuat.
Pasaran mesin Mawes-PL menyasarkan tempat-tempat seperti kondominium,
pasar raya besar, hotel dan medan-medan selera. Lokasi tersebut terkenal
sebagai antara kawasan yang menghasilkan banyak sisa makanan.
Hampir 60 peratus sampah yang dibuang oleh seluruh rakyat Malaysia
terdiri daripada saki-baki makanan dan sebahagian kecil sahaja dikitar
semula.
Selain itu, ia dibuang secara terus ke kawasan lapangan sampah.
Pembuangan secara terbuka boleh memberi kesan rumah hijau dan merosakkan
sistem pembentungan.
Sampah makanan juga boleh menggalakkan pembiakan makhluk perosak, menimbulkan bau busuk dan menyakitkan mata yang melihat.