BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Isnin, Mei 15, 2017

ULASAN BUKU: Cikgu Kelas Sebelah - Fadli Salleh

Buku Cikgu Kelas Sebelah karya Cikgu Salleh saya beli beberapa hari lepas. Sekali imbas, buku ini semacam satu diari atau jurnal yang sarat dengan kisah-kisah kelakar dan menyentuh hati dan kesabaran seorang guru. Kalau ada anak, anda sudah boleh mula merancang senarai nasihat yang patut anda berikan kepada anak-anak anda. 


Kisah-kisah seorang guru yang berdepan dengan pelbagai budak yang tidak matang memang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan kepada pemikiran pembaca. 

Anda akan mula rasa, "Beginikah aku pada zaman kanak-kanak aku dulu?  
Mungkin juga, anda akan menafikan dengan setegas-tegasnya, "Aku dulu tak pernah pun berani macam ini dengan cikgu aku!"

Atau, anda juga boleh setenang-tenangnya melafazkan kata-kata, "Biasalah, budak-budak zaman sekarang. Sabar..."

Namun ketika anda menyelak satu demi satu halaman buku Cikgu Kelas Sebelah, anda mula dapat rasakan sesuatu. Adakalanya tanpa disangka-sangka, murid itu sendiri boleh menjadi guru kepada kita.

Hidup ini sinis.

Sabtu, Jun 02, 2012

Novel Sunan Musafir Edisi Kulit Keras Laris Di Pasaran

Novel-novel berkisarkan kehidupan Islamik Laksamana Sunan sememangnya telah lama berjaya menambat hati para peminat novel-novel tempatan. Ramlee Awang Murshid adalah tokoh novelis ternama di Malaysia. Selepas Sutera Bidadari, kini muncul pula Sunan Musafir. Novel Sunan Musafir ini dikatakan sebagai novel kisah Laksamana Sunan yang terakhir. Untuk itu, novel Sunan Musafir didatangkan dalam edisi kulit keras berharga sekitar RM35-RM38. Di dalam buku ini terdapat poskad dan penanda buku.

Walau pun Novel Sunan Musafir didatangkan dalam edisi kulit keras, novel ini tetap laris di pasaran. Novel Sunan Musafir juga telah kehabisan stok sesetengah kedai buku. Menurut staf di sebuah kedai buku, Novel Sunan Musafir yang baru datang dua hari lepas telah habis dijual kesemuanya pada hari ini. Novel Sunan Musafir habis dijual kesemuanya di kedai tersebut dalam masa dua hari sahaja. Begitulah unggulnya kisah hasil tulisan novelis Ramlee Awang Murshid. Sebuah novel yang mengangkat kedudukan pemuda yang menghayati Islam sebagai cara hidupnya yang tunggal.

Sabtu, Januari 07, 2012

Novelis Azizi Haji Abdullah Meninggal Dunia

Entah kenapa, hati saya terasa bergolak dan gementar, apabila saya membaca berita di bawah ini. Betapa naifnya diri saya kerana masih tidak peka dengan kematian penulis novel kegemaran saya, Tukya atau Azizi Haji Abdullah. Sudah agak lama saya memisahkan diri saya dari dunia penulisan, namun saya akui, saya masih tetap tidak putus-putus membeli novel Tukya atau Pak Azizi Haji Abdullah.

Di tangan saya masih ada novel Anak Belantara dan Badai Cinta yang saya beli tahun lepas di pasaran. Sememangnya saya sangat meminati karya-karya Pak Azizi Haji Abdullah. Selain karya Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani, karya Tukya adalah antara pilihan utama saya apabila singgah ke kedai buku. Buku terbaru Ramlee Awang Murshid Fiksyen 302 pun telah saya sambar baru-baru ini.

Entah kenapa hari ini, disebabkan ada kelapangan sedikit, saya membuka blog Azizi Haji Abdullah, hati saya bergentar apabila mendapati ayat pos terakhir di blog Pak Azizi Haji Abdullah yang menyatakan tentang novel terakhirnya. Bagaikan ada suara yang meraung dari lubuk hati saya, mengenangkan betapa kesalnya saya kerana tidak peka dengan berita terkini penulis yang amat saya hormati ini. Hati ini terasa amat hiba. Teramat pilu.

AL-FATIHAH.

NOVELIS AZIZI ABDULLAH MENINGGAL DUNIA

20 OGOS 2011 - Novelis terkenal, Azizi Abdullah meninggal dunia pagi ini setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas.
   
Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd Ridzuan Mohamad ketika dihubungi berkata Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital itu.
   
Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April.
   
Namun, keadaan allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.
   
Azizi, bekas guru Pendidikan Islam, terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas.

Mohd Ridzuan berkata jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor.
   
Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setelah bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.
   
Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lepas.

- Bernama

Jumaat, Disember 17, 2010

Manga Ibu Robotku Sayang - Manga Terbaik Pilihan Amiene Rev

Manga Terbaik: Menyentuh Hati
Ibu Robotku Sayang
Manga Pilihan Amiene Rev 2010

Penulis Manga: Wang Xiao Yang

Bahasa: Bahasa Malaysia - Penerbit: Anjung Taipan Sdn. Bhd.
Kategori : Josei, Fiksyen Sains, Kekeluargaan

Ibu Robotku Sayang adalah sebuah manga yang mampu membuatkan pembaca mengalirkan air mata. Filem ini berlatar belakangkan masa depan, dunia alternatif. Robot dianggap memiliki perasaan, biarpun tidak memiliki deria rasa dan deria bau.

Cerita Ibu Robotku Sayang ini jika difilemkan mungkin dapat menarik perhatian ramai, seperti filem Artificial Intelligent atau A.I, lakonan Haley Joey Osment. Berbeza dengan filem A.I di mana filem itu mengisahkan budak lelaki robot dengan ibu angkatnya seorang manusia, manga Ibu Robotku Sayang tulisan Wang Xiao Yang ini pula mengisahkan tentang ibu robot yang ditugaskan untuk menjaga setiap anak yatim piatu di dunia tersebut.

Bagi kebanyakan anak manusia, dijaga oleh ibu robot adalah sesuatu yang agak memalukan. Itulah yang dirasai oleh Sinbell, seorang budak lelaki yang kehilangan kedua-dua orang tuanya semasa dia berusia sekitar 5 tahun. Disebabkan Sinbell telah menjadi yatim piatu, Kementerian Kebajikan telah menghantar sebuah ibu robot untuk menjaganya. Ibu Robot Sinbell sangat menyayangi Sinbell seperti anak kandung, tetapi Sinbell pula bersikap sebaliknya. Sinbell sering mengherdik, memarahi dan memalukan ibu robotnya tanpa menyedari perasaan ibu robot terhadap Sinbell adalah benar. Siapakah Ibu Robot sebenarnya?

Membaca kisah Ibu Robotku Sayang kadangkala mengingatkan saya tentang cerita Si Tanggang Anak Derhaka. Kisah ibu robot yang sanggup mengembara selama dua hari untuk memberikan burger-burger goreng kepada Sinbell amat menyedihkan, di mana burger-burger itu tidak pula dimakan oleh Sinbell kerana sudah busuk. Tapi apakan daya, Ibu Robot tidak memiliki deria bau dan deria rasa, oleh itu Ibu Robot tidak menyedari burger tersebut sudah basi.

Kesungguhan Ibu Robot mempertahankan Sinbell daripada bahaya amat menyentuh hati. Siapakah Ibu Robot yang sebenarnya? Kenapa Ibu Robot Sinbell memiliki keupayaan yang luar biasa berbanding robot-robot yang lain? Manga Ibu Robotku Sayang juga turut memuatkan asal-usul kisah Ibu Robot Sinbell ini pada bahagian akhir buku manga ini.

Sebelum memiliki anak, Ibu umpama memiliki sayap untuk terbang tinggi, namun selepas memiliki anak, Ibu akan korbankan kedua-dua belah sayapnya untuk diberikan kepada Anaknya. Betapa besarnya pengorbanan ibu. Hal ini seolah-olah sama juga dengan pengorbanan seorang guru terhadap anak-anak muridnya. Kadangkala ada guru yang ingin mencapai pencapaian yang lebih tinggi, tetapi hasrat itu terbatas kerana komitmen dan rasa tanggungjawab untuk meluangkan lebih masa untuk anak-anak muridnya.

Ibu Robotku Sayang, adalah sebuah manga yang sangat baik untuk dijadikan koleksi atau dihadiahkan kepada rakan-rakan. Wang Xiao Yang pastinya seorang penulis manga yang sangat berbakat.

Ahad, April 20, 2008

Ulasan Novel: Novel Memoir Seorang Guru adalah kesinambungan Novel Beruk


Entah kenapa, air mataku bagaikan mahu menitis apabila mengetahui dugaanku selama ini benar belaka. Aku tidak tahu kenapa aku boleh tahu, tetapi selalunya begini. Selalu juga aku boleh mengagak kesudahan satu-satu cerita di dalam filem, drama atau novel.


Selepas 16 Belas Tahun Menunggu, Akhirnya Kesinambungan Novel Beruk Sudah Muncul

Aku pernah mengulas novel tulisan Pak Azizi Haji Abdullah yang berjudul Beruk. Novel itu masih diam di rumah, di kampung halamanku. Oh, ya, bukan lagi kampung tetapi sudah menjadi mukim. Jika ada sesiapa yang mahu mengetahui mengenai lanjut novel Beruk itu, bolehlah klik di sini.

Bagaimana aku boleh mengagak bahawa novel Memoir Seorang Guru adalah kesinambungan novel Beruk? Ulasanku mengenai novel Beruk itu ada memuatkan sebabnya. Novel Beruk boleh dikatakan novel pertama yang mampu membuatkan air mataku menitis. Novel pertama yang aku baca sekitar usiaku 8 atau 9 tahun. Pembelian novel itu juga sebenarnya merupakan suatu penyampaian mesej ironi oleh salah seorang saudara kandungku. Bukankah semasa kecil, aku lebih cenderung berada di hutan dan bertemankan binatang-binatang?

Ah, apa kata jika aku mengulas novel ini sekarang. Aku perlu menukar perkataan 'aku' kepada 'saya' menerusi ulasan ini.


Ulasan Ringkas Novel Memoir Seorang Guru:

Siapakah watak utama kali ini? Cikgu Sunan. Cikgu Sunan adalah watak bapa kepada Kamariah. Cikgu Sunan ialah cikgu kepada Alias. Cikgu Sunan pada masa mudanya sangat garang dan mulutnya sangat pedas. Cikgu Sunan jugalah yang dahulunya pernah menampar telinga Alias sehingga bengkak dan bernanah. Cikgu Sunan jugalah yang dahulunya pernah digigit oleh Pon, beruk Alias. Pon mati di hujung lembing. Pon dibunuh oleh tuan tersayang. Alias yang membunuh Pon kerana terpaksa.

Cikgu Sunan masih ingat itu semua. Cikgu Sunan seolah-olah sudah kesal. Trauma terhadap kehidupannya sebagai seorang guru. Namun, novel Memoir Seorang Guru ini menyingkap sebab-sebab kenapa Cikgu Sunan menjadi begitu. Sebab-sebab Cikgu Sunan sangat garang dan bencikan budak-budak pada usia mudanya. Saya menitis air mata lagi.


Aura Novel Beruk Masih Ada Pada Novel Memoir Seorang Guru

Sebenarnya ketika saya sedang mengulas novel ini, saya belum lagi habis membaca novel Memoir Seorang Guru. Hari ini, petang ini, saya tergerak hati untuk merehatkan minda dengan membaca novel penuh teladan ini. Garapan jalan cerita novel Beruk sangat kuat dalam ingatan saya. Setiap kali saya membaca karya-karya Pak Azizi Abdullah, maka bayang-bayang watak-watak di dalam novel Beruk akan kuat terpancar dari lubuk ingatan saya. Sebab itu, saya dengan mudah dapat menduga siapakah watak bapa di dalam novel ini.

Dahulu saya pernah mengatakan Sifu PTS, Puan Ainon Mohd. itu telah menjadi guru saya sejak saya masih kanak-kanak secara tidak langsung. Saya telah membaca artikel-artikel Puan Ainon di dalam surat khabar ketika masih kanak-kanak. Novel Beruk karya Pak Azizi Abdullah pun begitu juga. Novel ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap diri saya, sehingga semasa kanak-kanak saya pernah berkata kepada seekor kucing kesayangan saya supaya menunggu saya di universiti.

Inilah yang menyebabkan saya mengalir air mata. Saya telah memiliki novel Beruk lebih berbelas tahun dahulu, dan sekarang saya dapat membaca kesinambungannya pula. Saya ingin tahu apa yang terjadi kepada Alias selepas kematian beruknya. Ah, sekarang minggu peperiksaan. Saya pasti agak lambat menghabiskan novel Memoir Seorang Guru ini.

Sambil menunggu makan malam disiapkan oleh tukang masak di kafe, saya boleh membaca novel ini untuk menenangkan fikiran. Pada waktu petang, barangkali saya akan ada kesempatan untuk membelek novel ini. Ini novel kesayangan saya juga!

Ini ulasan yang tidak lengkap mengenai novel Memoir Seorang Guru. Saya belum selesai membaca novel ini tetapi saya berasa sangat teruja untuk mengulasnya secara ringkas.

Pautan berkaitan: Novel Beruk - Haji Azizi Haji Abdullah - 1991


Fakta Novel:

Judul : Memoir Seorang Guru
Pengarang : Azizi Haji Abdullah
Penerbit : Alaf 21
Genre : Novel Dewasa
Mukasurat : 299 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9789831243152

Khamis, Mac 06, 2008

Teknik Membuat Ulasan Atau Kritikan Dari Sudut Pandangan Amiene Rev

Adakah anda takut dikritik? Adakah anda mahu memperbaiki diri? Macam iklan pula entri ini. Pada pandangan saya, tidak ada salahnya komen atau kritikan daripada orang lain, asalkan setiap komen dan kritikan itu disertakan dengan sebab-sebab kenapa individu itu mengkritik demikian. Lebih baik, sekiranya diberikan juga cadangan sebagai alternatif penyelesaian untuk menjadikan sesuatu karya itu lebih baik.

Dahulu saya berkesempatan mengkritik dan mengulas blog. Ramai blogger dan jurnalis datang meminta saya mengkritik karya-karya mereka. Sayangnya kerja ini bukan kerja mudah, dan masa pula tidak begitu mengizinkan. Hari ini saya terlintas untuk berbicara mengenai cara memberi kritikan. Ini pandangan peribadi, berdasarkan logik fikiran saya.

Dalam soal ini, kita mengkritik dan mencadang bukan untuk menunjukkan kita lebih pandai (walau pun kadangkala timbul tanggapan salah sedemikian) atau kawan kita itu lebih pandai, tetapi, secara jujur untuk membantu menjadikan sesuatu hasil karya itu lebih baik. Tidak kira apa pun status, sama ada pelajar atau profesor, semua manusia mengalami proses pembelajaran seumur hidup.

Pada pandangan saya, apabila memberi komen atau ulasan atau kritikan, maka komen atau ulasan atau kritikan itu terdiri daripada dua bahagian:

Pertama, membantu dari segi memperbaiki sesuatu karya (maklum balas atau feedback).

Kedua, dengan tujuan mempromosikan.

Dalam perkara pertama, ulasan atau kritikan itu boleh diberikan selagi difikirkan tidak menjatuhkan rating sesebuah produk. Contohnya komen seperti buku ini muak dibaca, buku ini membosankan. Buku ini TERLALU BANYAK kesalahan tulisan.

Ini kerana, apabila membicarakan mengenai produk buku, selalunya memfokuskan kepada tulisan atau cerita di dalamnya. Maka komen atau kritikan untuk sesebuah karya komersial itu berada dalam konteks awam, maka perkara-perkara yang dikritik itu perlu ditulis secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan jualan. Komen-komen yang pedas itu boleh dihantar secara peribadi.

Dari segi karya komik pula, perkara yang perlu difokuskan semasa memberi ulasan atau kritikan pula ialah ilustrasi dalaman, grafik, caption dan dialog. Oleh itu dari sudut komersial, grafik, caption dan dialog mesti diulas atau dikritik dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan hasil jualannya.

Namun had mengkritik atau mengulas itu tidak terhad bagi sesuatu karya yang terang-terang merosakkan minda dan akhlak, menghasut, menghina, bersifat perkauman dan seumpamanya. Kritikan atau ulasan dari segi ini memerlukan sumber intelektual, fakta dan bahan rujukan yang sahih kerana pengkritik atau pengulas harus mendebatkan kenapa dia memberi kritikan atau ulasan negatif/pedas kepada sesuatu karya tersebut.

Karya komersial berbeza dengan karya tidak komersial. Teknik mengulas atau mengkritik perlulah berbeza. Kita mungkin boleh menghentam blog jika blog itu tidak elok atau tidak cantik, atau tidak sedap dibaca, tetapi untuk buku, novel, komik, majalah dan seumpamanya yang bersifat komersial, perlu diulas atau dikritik secara berhati-hati.

Bak peribahasa, tepuk dada tanya selera. Mungkin apa yang kita rasakan tidak sedap, tidak cantik dan tidak baik itu, baik di mata orang lain. Oleh sebab itu, bagi setiap perkara yang tidak cantik, perlu diterangkan dengan jelas kenapa tidak cantik, sekiranya tidak sesuai, terangkan dengan jelas kenapa tidak sesuai.

Contohnya Cloverfield. Saya sukakan filem ini. Kita pernah dengar Blair Witch Project, filem budget sangat rendah yang mencatat keuntungan yang sangat tinggi, dan pernah memenangi anugerah. Cara rakaman video untuk filem Cloverfield ini seakan-akan Blair Witch Project.

Namun, ada juga orang yang tidak suka Cloverfield. Katakan seorang pengkritik itu hanya berkata: “Saya tidak suka Cloverfield.”

Orang akan tertanya-tanya, kenapa dia tidak suka Cloverfield? Ceritanya tidak sedapkah?

Begitu juga apabila seorang pengkritik berkata: “Cloverfield tidak bagus. Tak payah tengok pun tak apa.”

Apa sebab cerita itu tidak bagus? Kenapa jika tidak payah tengok pun tidak apa?

Pihak produksi filem Cloverfield tidak tahu. Orang yang belum menonton pun tidak tahu, dan ini boleh menimbulkan kesan negatif terhadap jualan tiket filem tersebut.

Bagaimana pun situasi akan berubah apabila pengkritik menambah ayat demikian:

“Cloverfield memeningkan mata dan kepala apabila saya menontonnya. Saya rasa hendak muntah macam naik kapal. Rakaman videonya terhuyung hayang apabila si jurukamera berjalan, berlari. Bukankah lebih elok kalau gegaran itu dikurangkan (cadangan), baru seronok hendak menontonnya. Tak perlu muntah-muntah.”

Dengan adanya penerangan sedemikian, maka pihak produksi filem boleh tahu apakah perkara yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka filem itu. Bagi penonton pula, penerangan ini boleh menimbulkan dwi pandangan.

Pertama: “Wah, mungkin macam rollercoaster! Aku suka filem macam ini. Aku mahu cuba tengok.”

Kedua: “Pening? Muntah? Gelinya. Tak nak tengoklah. Nasib baik belum tengok.”

Berbeza dengan novel (fokus: penulisan, jalan cerita, tema), komik (fokus: tema, jalan cerita, dialog, ilustrasi). Disebabkan filem merupakan gabungan teks, visual dan animasi. Maka ulasan pengkritik itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pembaca.

Dalam kes ini, bagi setiap filem yang dikritik, kontranya perlu diimbangi dengan pro atau kebaikan yang ada. Misalnya boleh ditambah:

“Biar pun terasa loya dan pening. Namun saya lihat ada juga penonton yang seronok menonton filem ini. Malah, buat pertama kali, saya mendengar tepukan penonton beramai-ramai selepas tamat menonton filem ini. Ternyata filem yang memeningkan, meloyakan saya ini turut berjaya memuaskan hati ramai penonton yang lain.

Apa pun, saya harus mengakui, menonton filem ini seperti masuk ke rumah hantu. Filem ini sangat mendebarkan, seolah-olah panggung wayang sedang kiamat!”

Ulasan di atas akan membuat pembaca berfikir semula baik buruk filem tersebut. Ini pasti membantu promosi.

Kesimpulannya, pro dan kontra, merupakan dua elemen dalam kritikan yang perlu ada untuk membantu produksi, pengkarya dan pengguna. Dengan adanya penjelasan untuk setiap kritikan dan komen, setiap pihak akan mendapat manfaatnya untuk penghasilan dan kepuasan menghayati karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Sekiranya kau berikan aku racun, kirimkan juga penawarnya.” - Amiene Rev.

Ahad, Februari 03, 2008

Al-Fatihah buat Ahmad Zafran aka Panaharjuna




Allahyarham Panaharjuna aka Ahmad Zafran Abd. Mutalib merupakan salah seorang penulis PTS Publication. Buku-buku di atas adalah antara hasil karya Allahyarham yang telah dihasilkan. Allayarham telah berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang telah tua. Allaharham menghidap penyakit jantung, dan beliau tidak mendirikan rumah tangga kerana penyakitnya ini.


Sepanjang hidupnya, Panaharjuna terkenal dengan sikapnya yang pemurah, sedia berkongsi ilmu dengan mana-mana penulis. Dia juga telah memberi galakan kepada penulis-penulis dan bakal-bakal penulis supaya bersemangat untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan.


Dapatkan buku dan novel Panaharjuna - Pendekar Merah Budiman, Sahabat Kole Kacang 1 & 2, 40 Lukisan Hati dan Tegar di kedai-kedai buku tempatan (mudah didapati di MPH dan POPULAR). Buku novel ini merupakan satu sastera yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan buat para pelajar.


Semoga hasil jualan buku-buku ini dapat dijadikan sebagai salah satu cara untuk membantu ahli-ahli keluarga Allahyarham Ahmad Zafran secara berterusan (menerusi royalti).

Ahad, Jun 03, 2007

Novel Beruk - Haji Azizi Haji Abdullah - 1991

Bila bercakap mengenai sekolah, mengenai anak-anak murid aku, mengenai Matematik (kerana aku mengajar subjek Matematik di sekolah ini), tiba-tiba sahaja aku teringatkan sebuah buku yang pernah aku baca sekitar tahun 1991.

Buku yang berjudul Beruk, karya Tuan Sasterawan Haji Azizi Haji Abdullah. Buku ini mengisahkan si Alias yang tinggal dengan emaknya yang sudah tua lumpuh, dan teman baiknya si gadis bernama Som dengan ayahnya yang bernama Pak Din serta Cikgu Sunan selaku watak separa antagonis.

Dalam cerita ini tidak ada sesiapa yang benar-benar bersalah, kerana cerita ini cuma mengenai budak yang baru berusia 12 tahun. Si Alias yang handal dalam Matematik, suatu hari tidak dapat tenang untuk pergi ke sekolah kerana beruknya hilang.

Bukan salah Alias, kerana gagal memberikan jawapan yang bernas untuk menyenangkan hati gurunya. Namun, sudah semestinya, apabila seorang budak berusia 12 tahun menimbulkan masalah, seorang guru itu harus menjejak ke rumahnya, kerana jawapan yang sebenar mungkin terdampar di rumah budak itu.

Alias tersilap memberi alasan kerana cuma mengatakan dia sayangkan Pon. Sekiranya Alias menerangkan peranan Pon dalam keluarganya, sudah pasti Cikgu Sunan juga tidak jadi mengirimkan penampar ke telinga Alias. Agaknya budak-budak zaman sekarang masih adakah seperti Alias? Ada... ada... di sekolah tersebut, aku mengesan seorang budak yang gagal memberikan keterangan yang benar mengenai dirinya, lalu dia pernah termakan penampar oleh seorang guru.

Budak ini sekarang dalam pemerhatian aku, kerana aku mendapati dia jadi begini kerana dia seorang anak yatim, tidak tahu siapa ibu dan bapanya. Dia menghadapi dilema antara permainan sukan tenis dengan skuash, lalu aku meminta dia mengadakan senarai semak sebelum membuat keputusan yang sebaik-baiknya.

Beruk yang bernama Pon itu adalah sumber pencarian makan, minum, pendidikan dan ubatan buat Alias sekeluarga. Jika bukan kerana itu, maka masih ada Pak Din dan Mak Cik Kiah yang agak gempal badannya itu datang membawa sejambir rezeki buat mereka sekeluarga.

Alias cuma memiliki dua helai seluar dan sehelai baju untuk dipakai buat sehari-harian. Begitulah apa yang diceritakan oleh penulisnya, Pak Haji Azizi menerusi buku yang diterbitkan oleh Penerbitan Kintan pada suatu ketika dahulu.

Suatu hari telinga Alias termakan penampar Cikgu Sunan yang garang hingga keluar menanah dan terjerit pekik bengkak merah dari telinga serta lebam bisu di lehernya. Alias makin enggan untuk hadir ke sekolah kerana risau bau busuk nanah yang sepekat susu penuh krim itu menyakitkan hidung dan menimbulkan perasaan nakal di kalangan rakan-rakan sekelas untuk mengejek dirinya sebagai beruk dan tidak selain perkataan B.E.R.U.K.

Hal ini mengundang pihak sekolah untuk menyiasat kehidupan Alias yang terpencil di pinggir hutan, untuk mengetahui kisah sebenar si Alias. Lalu, suatu ketika Cikgu Sunan datang sendiri untk menghayati keperitan hidup si Alias. Ini juga permulaan tragedi.

Ketika Cikgu Sunan menitiskan air mata memeriksa bisa tamparannya terhadap telinga Si Alias, Pon mengamuk kerana salah faham dan bimbang kerana menyalahtanggap si guru itu. Dalam mata Pon, Cikgu Sunan adalah seperti harimau yang sedang membaham isi telinga dan otak tuannya, Alias.

Lalu, Pon berusaha melepaskan diri, memutuskan tali, lalu menerkam ke arah Cikgu Sunan. Tragis, apabila Alias sendiri harus menamatkan nyawa Pon yang mengganas, dengan menggunakan lembing pengupas kulit kelapa, dan pergi, melayanglah, jiwa seekor beruk yang setia.

Saya ketika berusia 12 tahun juga terpengaruh dengan penamat cerita ini. Suatu ketika, kucing saya dibuang dari rumah, lalu saya berjanji kepada kucing saya itu.

"-NAMA KUCING-, TUNGGU SAYA DI UNIVERSITI..."

Khamis, Januari 11, 2007

Ulasan Buku: Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?

Anugerah Peribadi Amiene Rev 2006

Judul Buku: Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?
Kategori: Buku Psikologi Pendidikan Terbaik 2006
Sub Kategori: Pendidikan Khas

Penulis: K.A Razhiyah
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Dua hari yang lalu saya pergi mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM Bank Bumiputra. Terlalu ramai orang. Apa yang menarik perhatian saya ialah seorang kanak-kanak yang saya duga adalah seorang kanak-kanak sindrom down. Ini berdasarkan sifat fizikalnya, tingkah lakunya, cara percakapannya dan reaksinya terhadap sesuatu. Semalam, 10 Januari 2007, saya pergi ke sebuah kedai buku di universiti, dan di situ saya menemui buku yang berjudul “Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?”. Saya sangat jarang membeli buku-buku yang dibalut dengan plastik, melainkan ada sampel untuk dibelek-belek. Buku ini tidak dibalut dengan plastik, justeru saya mengambil peluang untuk membacanya. Sudah menjadi kebiasaan saya, untuk membaca separuh atau sehingga habis sesebuah buku itu sebelum membelinya. Ini untuk memastikan isi kandungannya adalah menarik, berkualiti dan sesuai untuk dijadikan koleksi. Saya tertarik dengan buku tulisan K.A Razhiyah ini, lantas saya membelinya.

Saya pernah membaca banyak buku berkaitan psikologi pendidikan. Perkara yang paling saya cari apabila membaca buku-buku sebegini ialah masalah pembelajaran dan cara untuk mengatasinya. Masalah seperti disleksia, hiperaktif dan sindrom down adalah antara jenis-jenis masalah pembelajaran yang paling menarik perhatian saya.

Apakah yang menyebabkan saya memilih untuk membeli buku ini? Apa pula yang menariknya dalam buku ini. Pertama, saya dapati gaya penyampaiannya dapat menyentuh hati saya. Setiap helaian yang saya tatap, dapat membuatkan saya mengimbas kembali kenangan saya semasa mengajar di sekolah-sekolah, di Rumah Barkat dan di tempat-tempat yang lain. Kadangkala hati saya rasa terharu, hiba dan rindu akan kenangan silam ini. Seolah-olah saya pula yang menulis buku ini, seolah-olah buku ini memahami isi hati dan luahan seorang pendidik dan anak muridnya.

Ini buku yang saya cari-cari selama ini. Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan. Saya anggap buku ini sebagai Buku Wajib Baca bagi para pendidik, para ibu bapa, Menteri Pendidikan, para pelajar dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam dunia pendidikan.

Buku ini mendedahkan banyak perkara sehingga mungkin ada yang akan bersuara di dalam hati, “Eh, yakah? Adakah budak bermasalah seperti ini? Patutlah anak aku tak pandai-pandai, rupanya dia ada masalah pembelajaran. Banyak betul jenis-jenis pembelajaran ya? Aku ingatkan kalau dia tak pandai membaca dan mengira tu, maksudnya dia tak pandai langsung tetapi rupa-rupanya dia ada bakat lain yang aku tak dapat kesan. Tak sangka aku, anak aku ni ada bakat terpendam rupanya.”

Bab yang paling saya sukai ialah Bab 6, Bab 19, 20 dan 21. Dalam bab ini ada panduan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak mereka yang mengalami masalah pembelajaran untuk mencari bantuan untuk menyokong anak-anak mereka dalam bidang akademik. Ini yang perlu didedahkan kepada semua ibu bapa dan guru.

Bagaimana pun, sebagaimana setiap anak ada kelebihan dan ada pula kekurangannya. Buku ini juga ada kelemahannya. Saya berharap penulis akan meletakkan rujukan bagi setiap fakta yang ada di dalam buku ini untuk memudahkan rujukan pembaca. Contohnya ada disebut mengenai undang-undang berkaitan pendidikan khas dalam mukasurat 43. Undang-undang apakah itu? Harap dapat dinyatakan dalam cetakan seterusnya. Begitu juga akta dan apa-apa maklumat tambahan yang boleh membantu para pembaca yang menghadapi masalah berkaitan dengan pembelajaran. Ini sahajalah kelemahan yang saya harap dapat diperbaiki. Namun begitu, kekurangan ini tidak menjejaskan minat saya untuk membeli buku ini sebab banyak panduan yang berguna, selain kisah-kisah benar mengenai bagaimana orang yang menghadapi masalah pembelajaran boleh berjaya, malah lebih cemerlang berbanding orang yang ‘biasa-biasa’.

Seterusnya pada Bab 21, saya hampir-hampir menitiskan air mata apabila membaca contoh kejayaan seorang anak yang dikatakan memiliki IQ rendah, tetapi berjaya meraih banyak kejayaan selain mendapat kepercayaan dan pujian daripada majikannya. Kenapa saya rasa terharu sehingga mahu menitiskan air mata, hanya mereka yang bergelar pendidik, pasti faham perasaan ini. Apa lagi yang seorang pendidik mahukan daripada anak didik mereka, selain melihat anak-anak ini keluar dari cangkerang keras, seperti rama-rama yang bersusah payah untuk keluar dari kepompongnya, kemudian menjadi serangga yang sangat cantik, berterbangan bebas di udara. Ini adalah Buku Wajib Baca yang sangat sesuai dijadikan koleksi. Terima kasih, K.A Razhiyah kerana menulis buku ini. Buku ini akan menjadi rujukan peribadi saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah dalam pembelajarannya. Apa yang dinyatakan dalam buku ini selari dengan pendirian saya, tidak ada anak yang dilahirkan bodoh kerana semua anak di dunia ini mempunyai bakat yang terpendam. Asalkan bakat itu berjaya dicungkil, maka ramai genius dan tokoh dalam pelbagai bidang akan dilahirkan untuk membangunkan negara. Semua pihak harus buka mata. Di sini ingin saya petik salah satu tulisan yang menyentuh hati saya dan elok dijadikan sebagai pulang paku buah keras terhadap mereka yang sering mengejek dan memandang rendah golongan bermasalah pembelajaran ini:

“Jangan sesekali beranggapan apabila anda bermasalah pembelajaran, anda adalah seorang yang bodoh. Anda silap! Sesiapa yang mengatakan anda bodoh, sebenarnya mereka sendiri yang bodoh. Bodoh kerana mereka tidak mengenali, tidak memahami dan tidak pernah berusaha mengenal siapa diri anda. Lebih-lebih lagi, bodoh kerana mereka tidak mempunyai ilmu bagaimana hendak berurusan dengan anda.”

Maafkan saya, sudah menjadi identiti, untuk tidak menulis kekurangan buku atau filem di dalam blog sebab saya takut hasil tulisan saya ini akan menjatuhkan hasil jualan sesebuah produk karya. Namun bagi, blog, saya akan kritik terang-terangan, terutama bagi blog yang banyak merosakkan Bahasa Ibunda. Sebab itu setakat ini, bagi karya-karya komersil seperti filem Bilut dan Rempit, cuma kebaikannya sahaja banyak saya ulaskan. Jika mahu saya kritik filem-filem tersebut, tunggulah sehingga tamat tayangannya di panggung. Ketika itu saya boleh mengkritik filem tersebut daripada aspek seorang penonton filem jika filem itu benar-benar menjengkelkan atau mengecewakan. Bagi produk buku pula, jika ada kelemahan yang ketara, saya akan poskan kepada tuan punya karya apabila diminta. Namun untuk buku ini, tidak ada kelemahan yang ketara. Itulah sebabnya buku ini berjaya memenangi Anugerah Peribadi Amiene Rev bagi Kategori Buku Psikologi Pendidikan Terbaik 2006. Sekian sahaja ulasan saya mengenai buku “Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?” tintaan K.A Razhiyah dari PTS Profesional Publication Sdn. Bhd. Akhir kata, ingatlah, kalau anda kata anak anda bodoh, andalah si bodoh yang sebenar-benarnya, bukan anak anda.

Pada masa akan datang, jika masa mengizinkan, saya berharap dapat mengulas dua lagi filem yang berjaya menambat hati saya untuk tahun 2006, iaitu filem Cinta dan Cicakman. Saya menonton kedua-dua filem ini bersama keluarga dan kedua-dua filem ini adalah filem perintis yang akan membawa kegemilangan baru dalam dunia karyawan filem Malaysia. Ada sesuatu dalam filem Cinta yang buat saya ingin kirimkan terima kasih kepada penulis skripnya, pengarahnya dan para pelakonnya. Sesuatu yang berkaitan dengan realiti kehidupan, hubungan yang bertambah baik antara dua insan yang termotivasi selepas menonton filem Cinta. Siapa sangka, filem Cinta ada kuasa yang sedemikian istimewa. Ini tidak mustahil apabila suatu karya itu didalangi ilmu yang berguna dan teknik penceritaan yang berkesan. Inilah kehebatan filem.