BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Bahasa SMS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa SMS. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 14, 2012

Jawab periksa guna bahasa SMS

Teknologi mula mempengaruhi minda manusia. Itulah mimpi ngeri yang pernah digambarkan oleh Albert Einstein bertahun-tahun dahulu. Kini, mimpi ngeri yang dikatakan oleh Albert Einstein mula menjadi kenyataan. Bahasa SMS merupakan bahasa yang terhasil daripada teknologi komunikasi moden masa kini, yang digunakan oleh generasi muda hari ini. Bahasa yang digunakan sebagai pemusnah identiti bangsa, oleh sesetengah manusia yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga kedaulatan bahasa bangsanya sendiri. Sesetengah manusia yang bendul, mula menggunakan bahasa SMS dalam hal-hal intelektual dan rasmi seperti dalam peperiksaan awam dan peperiksaan di peringkat institut pengajian tinggi. Kebendulan yang mesti dihalang, sebelum orang-orang bendul ini tidak sedar merekalah perintis dalam membentuk perosak bahasa bangsa pada kemudian hari.

DBP anggap petanda bahaya apabila pelajar guna dalam peperiksaan awam, IPT
2012-12-13 Disediakan oleh Berita Harian


Kota Bharu: Penggunaan bahasa ringkas atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kini semakin membimbangkan apabila ia turut digunakan oleh pelajar dalam peperiksaan rasmi, termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi.

Penemuan itu hasil kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung penggunaan bahasa ringkas yang memfokuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar universiti.

Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju gila’ dan sebagainya," Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan (kanan), berkata isu itu sudah menjadi petanda bahaya kepada pelajar kerana menjawab peperiksaan dengan perkataan singkatan sehingga sukar difahami pemeriksa.

Bahasa ringkas Katanya, kebanyakan pelajar tidak serius dalam penggunaan bahasa dan mereka tidak mementingkan susunan ayat yang betul kerana sudah biasa menggunakan bahasa ringkas dalam perbualan harian, termasuk SMS dan Facebook.

Banyak singkatan tidak difahami, makna berubah

“Justeru, penggunaan bahasa SMS ini memainkan satu bibit atau ragam bahasa bukan saja penggunaan bahasa sangat santai, tetapi banyak singkatan yang tidak difahami dan perubahan makna sangat ketara.

“Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju gila’ dan sebagainya,” katanya di Majlis Perasmian Simposium Tun Syed Nasir Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kelantan, di sini, semalam.

Masih terkawal

Awang bagaimanapun berkata, penggunaan bahasa SMS itu masih lagi terkawal, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih serius kerana hal begitu sebenarnya mengganggu dan menjejaskan bahasa kebangsaan.

“Menghalang bahasa ringkas menular dalam urusan harian bukanlah mudah kerana dalam percakapan harian pun kita sudah menggunakan bahasa pasar dan sebagainya yang sedikit sebanyak mencalarkan imej bahasa ibunda.

“Kalau kita nak gunakan bahasa ringkas, tiada masalah, tetapi mesti digunakan dalam konteks yang sangat kecil. Jika kita menulis atau berhubung dalam konteks yang lebih umum, maknanya bahasa digunakan bersama orang awam hendaklah teratur dan terkawal,” katanya.

Awang berkata, dalam memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai benteng peradaban bangsa, semua peringkat masyarakat seharusnya berganding bahu supaya mutu penggunaan bahasa sentiasa terkawal.

Ahad, Disember 04, 2011

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?
Bahasa SMS, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
Hadir rasa Amiene Rev (C) 2011

Pada permulaannya Malaysia ini merupakan tanah agung untuk Bahasa Melayu, yang juga diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan - Bahasa Malaysia. Malaysia wujud selepas era penjajahan British berakhir, dan pada ketika itu orang-orang Melayu di serata negara, di seluruh pelusuk negeri, bahagia menuturkan bahasa ibunda mereka. Hal ini walau bagaimana pun, cuma mampu berlanjutan selama hampir setengah abad sahaja.

Ancaman baru kini, Bahasa SMS, perosak bahasa, parasit yang meracuni darah daging dan jati diri anak bangsa. Seluruh dunia digegarkan dengan Bahasa SMS. Seluruh dunia siber juga  turut digegarkan dengan Bahasa SMS. Teks-teks ringkas dengan ejaan-ejaan yang cuma mewakili maksud, pada akhirnya bukan sahaja telah merebak keluar dari dunia telefon bimbit ke dunia penulisan di bangku sekolah, malah kini telah mencemari tesis-tesis di peringkat universiti dan sarjana muda! Betapa kuatnya pengaruh Bahasa SMS ini.

Anak-anak generasi baru, begitu malas untuk menggunakan ejaan, begitu gopoh dan tidak sabar untuk menyatakan isi hati dan suara mereka. Mereka lantas melangkah bendul peradaban dan kehormatan, lalu melompat dan menyergah masyarakat dengan bahasa SMS. Tidak perlu tulis panjang-panjang, pedulikan susunan huruf dan ejaan, yang penting bagi mereka ini, adalah orang ramai faham apa yang mereka ingin katakan. Mereka tidak perlu faham orang lain!

Sememangnya padan sikap anak-anak generasi baru ini dengan sistem makan suap, di mana cuma guru-guru yang jauh lebih penat berusaha dan memberikan gred markah kepada mereka, tanpa perlu mereka bersusah payah untuk mendapatkan kecemerlangan akademik untuk diri mereka dan keluarga mereka.

Bahasa SMS adalah bukti nyata, bahawa anak-anak hari ini semakin malas berusaha, semakin individualistik, hanya berusaha jika sesuatu itu memberi makna keuntungan pada diri mereka sahaja.  Tidak ada lagi anak-anak generasi muda yang mahu memikul beban kemasyarakatan, tidak ada lagi anak-anak generasi muda hari ini yang mahu menjadi pejuang bangsa. Jika benar kenyataan ini, maka sudah nyata, bahawa dunia bangsa Malaysia kita ini, sudah berada di penghujung zaman.

Apakah nasib kita semua pada ketika kita telah muncul sebagai orang-orang tua, yang berdepan dengan perkhidmatan dan layanan anak-anak muda di serata ceruk pekerjaan yang gunanya untuk melayan kita, manusia, bangsa Malaysia sebagai pelanggan? Adakah pada ketika itu sistem layan diri akan mula menguasai sektor-sektor kehidupan kita? Ini satu persoalan yang sudah mula boleh dipanaskan enjinnya dalam pemikiran kita, tentang masa depan kita, tentang masa depan negara kita.

Apakah jenis bangsa Malaysia yang akan muncul pada kemudian hari? Dunia masa depan kita, mungkin akan menjadi padang pasir yang tandus. Kita ketandusan pelapis kepimpinan Kita kekurangan orang-orang muda yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan bahasa kita. Bahasa melambangkan bangsa.

Baru-baru ini satu usaha untuk meluaskan semula penggunaan bahasa Melayu kita ke seluruh Asia Tenggara. Ini satu langkah yang perlu dilaksanakan pada sekitar dasawarsa ini. Kita adalah generasi terkini, dan kitalah yang akan menentukan sama ada Bahasa Melayu merangkap Bahasa Malaysia ini, akan terus berkembang dan digunakan dengan penuh kedaulatan dan kehormatan.

Mari, berjuang demi bangsa. Mari, mulakan perjuangan ini, dengan Bahasa Ibunda kita. 

Bagaimana jika pada esok hari, blog Duke Amiene Rev ini ditulis dalam Bahasa Inggeris? Seringkali apabila ada orang menulis dalam Bahasa Inggeris, mungkin akan ada orang yang bukan Inggeris mahu menunjuk kepandaian menegur jika ada kesilapan ejaan atau tatabahasa bagi perkataan-perkataan atau struktur ayat yang ditulis itu. Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu? Beribu-ribu dan mungkin berjuta-juta orang dengan sengaja menggunakan ejaan-ejaan yang salah dalam perkataan-perkataan Bahasa Melayu, tetapi tidak ada seorang pun cuba menunjuk pandai untuk membetulkannya? Oh, dunia. Betapa agungnya bahasa asing pada minda mereka, betapa hinanya bahasa ibunda pada mata mereka.

Adakah ini tandanya kemajuan bangsa? Bangsa maju, bahasa tergadai. Ini bukan sesuatu yang kita mahu saksikan.

Bahasa SMS digunakan di Twitter? Itu barangkali, satu cerita yang lain.

Rabu, Jun 18, 2008

Walaupun Sudah 50 Tahun Merdeka, Bahasa Melayu Masih Berperang


Bahasa Percakapan Harian
Dalam Penulisan Cereka

Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Nota Futuristik dan Realiti: Amiene Rev adalah lulusan universiti dalam bidang Sains, Sains Komputer, Multimedia, Pendidikan, Psikologi dan Matematik di sebuah universiti ternama di rantau Asia. Beliau juga menceburi bidang Muzik, Sains Sukan, Literasi Sastera, Rekabentuk, Pengurusan, Pentadbiran, Kaunseling, Kerjaya dan Motivasi. Beliau tidak gemar melibatkan diri dalam dunia politik kepartian walaupun politik itu wujud di mana-mana sahaja. Dunianya penuh dengan pemikiran pelbagai rupa dan disiplin, juga terlibat dalam aktiviti seni bela diri secara rohani, emosi dan jasmani. Seorang yang 'determine' dan ditestimoni sebagai seorang yang mampu berfikir mengikut Aras Semut dan Aras Helang oleh seorang penerbit berjaya. Dianggap sebagai Middle-Brain oleh sesetengah golongan intelek, beliau berharap untuk mengetengahkan bakat-bakatnya dalam pelbagai bidang supaya dapat memberi manfaat kepada sekalian manusia dan juga menyedarkan dirinya yang masih berstatus hamba dan masih jauh dari sempurna. Astagfirullahalazim.


Hayakallah buat sekalian manusia,

Hari ini, awak berpeluang menonton rancangan televisyen yang bertema 'Bersemuka dengan Media' yang ditayangkan di televisyen. Awak tertarik dengan komen-komen SMS yang disiarkan di bahagian 'subtitle'.

Ada idea dan pendapat yang dihasilkan dengan menggunakan Bahasa SMS, kerana faktor ruang input SMS yang kecil. Lalu awak pun mengambil sedikit masa pada malam ini untuk memperkatakan mengenai isu bahasa dan penglibatannya di dalam perbincangan intelek.

Bahasa Melayu Rendah merupakan bahasa percakapan yang masih diluluskan dalam karangan-karangan berbentuk cereka, cerpen dan drama. Contohnya, jika dalam Bahasa Melayu Tinggi kalian menggunakan perkataan 'hendak' maka dalam Bahasa Melayu Rendah pula kalian menggunakan perkataan 'nak'.

Namun awak mendapati wujudnya pesona terhadap kehidupan apabila Bahasa Melayu Rendah digabungkan dengan Bahasa Melayu Tinggi. Awak mendapati ada pesona emosi, sikap dan kepelbagaian apabila awak membaca karya-karya yang diadun dengan istilah-istilah dalam bahasa asing seperti Arab, Perancis, Amerika, United Kingdom, China dan sebagainya.

Jadi bagaimana awak boleh menafikan peranan Bahasa Melayu Rendah di dalam menghidupkan satu-satu watak. Penggunaan jenis-jenis bahasa tertentu itu sendiri menunjukkan catatan kehidupan pada masa tertentu. Pengaruh budaya dan bahasa percakapan dalam membentuk penulisan-penulisan generasi bagi satu waktu atau zaman tertentu.

Namun awak juga berasa betapa pentingnya cereka dijadikan sebagai satu alat penting untuk mendidik dan membudayakan generasi masa kini dan akan datang supaya menghormati bahasa. Bahasa percakapan dan bahasa perbincangan intelektual nyata berbeza. Kalian tidak bercakap seperti kalian menulis. Semasa kalian menulis, tatabahasa kalian, istilah-istilah yang kalian gunakan, struktur ayat dan imbuhan digunakan dengan cara yang terhormat. Sebaliknya semasa bercakap, kalian menggunakan Bahasa Melayu Rendah.

Dua situasi yang berbeza, iaitu penggunaan Bahasa Melayu Tinggi semasa menulis dan penggunaan Bahasa Melayu Rendah semasa mengolah bahasa percakapan memungkinkan ramai penulis novel memilih Bahasa Melayu Rendah sebagai rencah utama dalam penulisan cereka mereka. Bahasa yang kelihatannya lebih hidup, sesuai dengan jiwa watak-watak yang tidak semestinya berperanan sebagai golongan intelek.

Namun, usaha sesetengah penerbit untuk merealitikan Bahasa Melayu Tinggi sebagai bahasa percakapan di dalam karya-karya cereka khususnya untuk kanak-kanak, awal remaja dan remaja adalah sesuatu yang baik juga. Karya dewasa pula bagaimana? Cereka yang berunsur intelek pula bagaimana?

Wah, perlukah ada sekatan dalam berkarya? Perlukah Bahasa Melayu Tinggi memainkan peranan seratus peratus dalam cereka? Bagaimana pula sekiranya watak utama atau antagonis atau bibi Mary di dalam satu-satu cereka itu merupakan watak yang tidak terpelajar? Perlukah mereka mengucap kata-kata di dalam Bahasa Melayu Tinggi?

Merealitikan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi di dalam karya-karya sebegini pada masa ini adalah satu peperangan. Perang, kerana kalian memaksa penulis dan pembaca untuk menerima Bahasa Melayu Tinggi sebagai realiti percakapan. Pun begitu, adakah kalian lupa bagaimana 'perang' ini wujud seawal skrip-skrip filem olahan seniman agung tanah air kalian, dan sekali lagi 'perang' ini dicetuskan dalam majalah-majalah kartun tempatan apabila pembaca didedahkan dengan bahasa 'slanga' dan sedarjah dengannya?

Perang bahasa sudah meletus. Tidak cukup dengan 'perang saudara' di dalam Bahasa Melayu, iaitu perang antara Bahasa Melayu Tinggi dengan Bahasa Melayu Rendah, dengan Bahasa SMS, dengan Bahasa Rojak, Bahasa 'Slanga', 'Manglish' dan lain-lain kalian juga dikejutkan dengan cetusan perang antara bahasa tempatan dengan bahasa asing dalam dunia pendidikan kalian.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Jumaat, Jun 06, 2008

Nilai-nilai Kreatif, Imaginatif dan Estetika dalam Bahasa SMS

Nilai-nilai Kreatif, Imaginatif dan Estetika dalam Bahasa SMS
Penulis/Pengkaji: Amiene Rev (C) 2008

Sepanjang saya mengkaji bahasa SMS, saya mendapati, bahasa SMS ini memiliki nilai-nilai yang sedemikian rupanya:

Kreatif
Saya anggap Bahasa SMS ini kreatif kerana ia merupakan satu pembaharuan dalam evolusi bahasa. Bahasa pada masa akan datang barangkali akan wujud sebagai satu simbol, di mana huruf vokal sudah boleh diabaikan dalam struktur-struktur ejaan baru.

Imaginatif
Saya anggap Bahasa SMS ini imaginatif kerana ada ejaan yang dicipta menggunakan simbol-simbol yang juga diilhamkan daripada huruf dan nombor. Contohnya, perkataan 'tidak' diwakili dengan tanda pangkah yang menggunakan huruf 'x'. Penggunaan emotikon yang dijelmakan daripada huruf-huruf juga merupakan satu bentuk bayangan mengenai apa yang penulis itu rasa. Gabungan satu atau dua huruf sahaja sudah boleh memberitahu apa yang penyampai mesej itu rasa. Contohnya perasaan gembira boleh diwakili oleh simbol (",) atau :D yang seolah-olah menunjukkan seseorang itu tersenyum atau suka. Perkataan-perkataan yang dieja menggunakan Bahasa SMS adalah sesuatu yang boleh diimaginasikan secara langsung daripada objek sebenar menerusi simbol-simbol dan huruf-huruf.

Estetika
Bahasa SMS juga merupakan satu seni dalam menulis atau mengeja sesuatu perkataan. Cuba teliti struktur ejaan Jawi, struktur tulisan Cina, dan Jepun. Ada perkataan yang diwakili oleh simbol-simbol tertentu. Saya teringat dalam satu novel grafik Ma Weng Seng (juga disebut Ma Wing Sing) yang terkenal iaitu Pedang Setiawan, perkataan 'Juara' itu lahir dengan menggabungkan perkataan 'Pedang' dan 'Awan'. Dua perkataan baharu, apabila digabungkan membentuk satu perkataan baru yang memberi maksud yang langsung tidak berkaitan dengan dua perkataan sedia ada. Perkara yang hampir sama juga berlaku dalam struktur bahasa SMS.

Perkataan '10sen' misalnya terdiri daripada gabungan dua perkataan iaitu 'ten' dan 'cent'. Dalam konteks ini perkataan '10sen' adalah gabungan bahasa Inggeris (ten - angka 10) dan Melayu (sen - nilai mata wang) untuk membentuk perkataan baru iaitu 'tension' .

Ini menunjukkan setiap huruf atau simbol yang digabungkan untuk membentuk satu-satu perkataan dalam Bahasa SMS memiliki nilai keindahan yang tersendiri yang barangkali dikaburi dengan imej pemberontakan terhadap struktur ejaan bahasa. Suatu pembaharuan yang mungkin memiliki nilai-nilai yang berpengaruh dan popular terhadap golongan tertentu.


Persoalan dan kebarangkalian
Adakah kemungkinan ketiga-tiga nilai di atas merupakan antara faktor-faktor yang mempengaruhi remaja untuk terus menggunakan bahasa SMS? Bahasa SMS barangkali bukan sekadar bahasa pemberontakan jiwa remaja, atau bahasa yang lahir daripada arus teknologi sistem pesanan ringkas, tetapi juga merupakan satu cara untuk remaja menggunakan kreativiti masing-masing. Adalah tidak dapat dinafikan barangkali wujud perasaan bangga di kalangan remaja itu sendiri kerana dapat menggunakan bahasa SMS.


NOTA: Jurnal kajian mengenai Bahasa SMS di atas adalah lahir daripada pengalaman dan pemerhatian saya sendiri (Amiene Rev) dan bukanlah suatu kajian yang mendalam. Saya akan menulis catatan-catatan saya mengenai bahasa SMS pada masa akan datang.

Khamis, Jun 05, 2008

Bahasa SMS Di Dalam Blog: Remaja Memberontak Menerusi Bahasa?

Bahasa SMS Di Dalam Blog: Remaja Memberontak Menerusi Bahasa?
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Bahasa SMS dan ejaan-ejaan yang melanggar struktur ejaan bahasa yang sebenar kini semakin menguasai dunia kita. Penggunaan bahasa SMS di dalam blog kadangkala menimbulkan rasa gusar di kalangan individu tertentu mengenai masa depan ejaan perkataan-perkataan di dalam Bahasa Melayu. Persoalannya adakah kewujudan bahasa SMS ini merupakan satu cara meluahkan rasa memberontak di kalangan remaja kita?

Jika diteliti, bahasa SMS sebenarnya memiliki kebaikan dan keburukannya. Kebaikan bahasa SMS ialah dapat menyampai sesuatu maklumat dengan lebih banyak di dalam ruang kotak SMS yang terhad selain dapat menjimatkan nilai kredit telefon bimbit seseorang.

Bahasa SMS juga merupakan satu cara efektif untuk mencatat nota atau maklumat penting dengan pantas dalam satu-satu minit mesyuarat, temubual atau di dewan kuliah bagi para pelajar, wartawan dan setiausaha.

Keburukan bahasa SMS pula ialah struktur ejaannya didapati tidak menghormati ejaan sebenar dan seolah-olah memaparkan sifat memberontak, inginkan kebebasan, ingin lari daripada peraturan bagi golongan tertentu. Medan siber yang terkenal dengan kebebasannya bukan sahaja, kewujudan blog sebagai suara rakyat, di mana rakyat bebas menerbitkan pandangan sendiri, dan mencuba memaparkan sesuatu yang mungkin tidak akan diluluskan oleh media-media cetak dan elektronik yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tempatan

Bahasa SMS juga seolah-olah mencerminkan seseorang itu tidak memiliki banyak masa untuk menulis blog atau lebih teruk, malas hendak menulis tetapi mahu juga meluahkan sesuatu di dalam blog.

Penggunaan bahasa SMS juga menyukarkan pengguna internet untuk mencari atau merujuk sesuatu di dalam blog tersebut. Sekiranya penulis blog ada maklumat umum atau penting untuk disampaikan kepada umum, penulis blog digalakkan menulis dengan menggunakan ejaan yang betul. Sesetengah bahasa SMS tidak menggunakan singkatan yang seragam dan ini kadangkala boleh menimbulkan salah tafsiran di kalangan pembaca tertentu.

Penggunaan bahasa SMS di dalam blog juga menyebabkan penterjemahan Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris menerusi perisian atau laman-laman penterjemah tertentu tidak dapat dilaksanakan. Ini menyebabkan maklumat yang tertulis di dalam sesebuah blog itu lebih terfokus dan hanya untuk rujuan si penulis blog itu sahaja dan tidak bersifat mesra pengunjung; tidak bersifat universal.

Ada pendapat yang mengatakan bahasa SMS cenderung digunakan oleh golongan remaja. Ini barangkali benar. Didapati penulis-penulis blog di bawah usia 30 tahun cenderung menggunakan bahasa SMS. Golongan dewasa pula nampaknya lebih menghormati bahasa dengan menggunakan struktur ejaan yang betul semasa menulis. Barangkali faktor kematangan dan kesedaran terhadap kepentingan bahasa kepada generasi akan datang telah mengubah mereka menjadi lebih berkesedaran dalam menerbitkan satu-satu perkataan di dalam tulisan blog masing-masing.

Struktur ejaan bahasa SMS sememangya tampak serasi dengan jiwa kebudak-budakan seorang remaja. Apabila kita melihat dan membaca satu-satu perkataan yang dieja dengan menggunakan bahasa SMS seolah-olah mencerminkan sifat nakal, manja, berpusat kendiri dan kebudak-budakan si penulis. Bahasa SMS juga mencerminkan betapa rendahnya nilai menghargai bahasa dalam diri penulis tersebut. Adakah wajar kita membendung penggunaan bahasa SMS?

Adakah benar bahasa SMS merupakan satu bentuk pemberontakan remaja menerusi bahasa? Mari kita perhatikan perkembangan penulisan blog anak-anak remaja pada hari ini, tahun lalu, atau beberapa tahun yang lalu untuk dibandingkan dengan cara penggunaan bahasa di dalam blog mereka pada masa akan datang? Jawapan akan diperolehi pada masa itu.

Saya mencadangkan agar diadakan kajian yang mendalam mengenai bahasa SMS dan kaitannya dengan moral sesuatu bangsa agar pelbagai persoalan dan pernyataan yang dicetuskan dalam esei ini akan dapat dijawab pada kemudian hari.