BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Tidur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tidur. Papar semua catatan

Khamis, September 27, 2012

Bahaya Tidur Selepas Subuh

Bahaya Tidur Selepas Subuh
Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.

Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.

TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba semak diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :

1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar sahaja bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh

Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,

“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh. Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”

JIKA MAHU BERMUHASABAH
Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar :“Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?

Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.

MASA UNTUK BERUBAH
Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.

Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.

Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
 
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)

Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.

“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut.”

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.”

Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”

Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :

    “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Sumber: http://www.iluvislam.com/
Sumber: myibrah.com

Isnin, Ogos 27, 2012

Masalah Tidur Berdengkur - Petua Mengatasi

Petua Berhenti Berdengkur Ketika Tidur
APABILA sebut pasal tidur, kita mesti terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan lepas penat bekerja. Namun, bolehkah tidur lena kalau pasangan kita atau rakan serumah berdengkur?

Cara Atasi Masalah Berdengkur

1. Ubah posisi tidur
Punca dengkur ini bukan sebab penat terlampau yang macam kita selalu fikirkan. Dengkur terjadi disebabkan ada halangan pada saluran pernafasan, juga mungkin kerana posisi tidur yang salah, pengumpulan lemak sekitar muka atau leher dan mungkin juga faktor habuk atau alahan.

Apabila lidah, lelangit, tonsil atau otot di belakang kerongkong saling bersentuhan, ia akan menyebabkan kita berdengkur. Posisi terlentang ketika tidur menyumbang ke arah masalah ini kerana ketika kita terlentang, lidah tertarik ke belakang dan menyempitkan aliran udara. Untuk mengelakkan masalah ini, cuba tidur mengiring. Mengiring ke kanan lebih afdal.

2. Turunkan berat badan
Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) bergetar. Getaran inilah yang menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur.

Orang yang mempunyai berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal dan ini berkemungkinan menyebabkan risiko berdengkur. Langkah terbaik ialah cuba kurangkan berat badan anda supaya lemak yang terkumpul di bahagian kerongkong turut berkurangan.

3. Hndari ubat penenang atau sedatif
Apa pun jenis penenang, sama ada pil tidur dan apa saja produk ubatan bertujuan menenangkan, boleh menyebabkan dengkur kerana ia mengganggu sistem saraf, seterusnya menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong.

4.  Hidu wap air sebelum tidur
Hidung tersumbat juga satu daripada punca berdengkur. Sebelum tidur, hidu wap air panas atau letakkan tuala yang dicelup dengan air panas pada muka dan sedut wapnya. Ini adalah satu cara untuk menghilangkan lendir yang menyumbat hidung kita. Bila lendir hilang, kemungkinan untuk berdengkur berkurangan.

5. Habuk
Habuk atau alahan boleh jadi punca kita berdengkur kerana masalah sukar bernafas. Pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan hama. Untuk yang berkemampuan, pasang penapis udara supaya kita mendapat bekalan udara bersih.

Tidur Berdengkur Membawa Bahaya
Jangan anggap berdengkur masalah lazim, dapatkan nasihat pakar perubatan

BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.

Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.

Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.

Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.

Berdengkur adalah satu bunyi bising yang dikeluarkan semasa bernafas dalam tidur apabila sebahagian saluran pernafasan bahagian atas seseorang tersumbat.

Dengkur berlaku ketika terdapatnya sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang. Bunyi bising dengkuran terjadi apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain.

Kebiasaannya, gejala dengkur terjadi sejak dari kecil lagi dan bertambah kerap mengikut pertambahan umur seseorang. Malah, kajian para penyelidik di Amerika Syarikat mendapati gejala dengkur yang bermula dari usia kanak-kanak berpontensi merubah keadaan diri seseorang itu seperti menjadi hiper-aktif sejak dari kecil.

Pada 2002, pasukan penyelidik dari Universiti Michigan melaporkan, daripada 229 kanak-kanak yang ditemui, mereka yang kerap berdengkur dua kali ganda berpotensi menjadi hiper-aktif.
 
Jadi, adalah amat penting untuk mencegah dan merawat gejala dengkur daripada menjadi lebih buruk hingga boleh mengundang rasa tidak selesa dan menggangu persekitaran sewaktu tidur.

Punca-punca tidur berdengkur
Penyelidik tersebut juga ada mengeluarkan sebab-sebab terjadinya gejala dengkur. Antaranya:
  • Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak.
  • Tisu tekak yang besar dan tebal.
  • Lelangit lembut dan uvula (anak tekak) yang panjang.
  • Saluran pernafasan tersekat.
Rawatan bagi merawat berdengkur adalah bergantung kepada diagnosis yang dibuat. Pemeriksaan akan menunjukkan dengkur adalah disebabkan oleh alahan hidung, jangkitan, kecacatan atau masalah tonsil dan rawatan akan diberi mengikut sebab-sebab yang dikenal pasti.

Langkah pencegahan dengkur
  • Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.
  • Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.
  • Memilih posisi tidur secara mengiring.
  • Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.
  • Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.
Gunakan bantal yang lebih tinggi
Pastikan anda meletakkan  kepala anda pada kedudukan yang lebih tinggi sedikit daripada badan ketika baring. Ini adalah untuk membuka saluran pernafasan anda dan mengelakkan saluran tekak daripada tersekat yang akan menyebabkan anda berdengkur.

Bahan pendingin
Sekiranya kesejukan atau kesesakan nafas yang menyebabkan anda berdengkur, anda boleh  menggunakan bahan pendingin seperti (vicks) sebelum tidur. Ini adalah untuk mengeringkan rongga hidung dan meningkakan aliran udara pernafasan untuk mengurangkan berdengkur. Anda juga dinasihakan untuk menyapukan vicks pada bahagian dada sebelum tidur untuk melancarkan pernafasan.

Nasal strips

Sekiranya masalah selesema atau batuk bukanlah menjadi masalah yang menyebabkan anda berdengkur, anda boleh menggunakan nasal strips. Ia berfungsi untuk membuka saluran hidung untuk menjadikannya kurang sempit dan ini dapat memberikan aliran udara yang lebih baik.

Tidur dalam keadaan mengiring
Posisi tidur dalam keadaan mengiring juga adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah berdengkur. Apitkan bantal pada bahagian belakang dan depan badan untuk membuatkan anda tidak berasa selesa tidur telentang atau meniarap. Ini adalah salah satu cara mudah untuk memastikan anda sentiasa tidur dalam keadaan mengiring sehingga keesokan paginya.

Fakta-fakta Berkenaan Tidur Berdengkur
Apakah anda salah seorang yang suka berdengkur? atau anda mempunyai pasangan atau keluarga yang suka berdengkur?

1. Satu dari lima penduduk dunia berdengkur. -Dianggarkan lebih dari satu milion orang di seluruh dunia berdengkur semasa tidur kerana pelbagai sebab.

2. Lelaki lebih banyak berdengkur. - Lebih banyak lelaki yang berdengkur dibandingkan wanita, perbandingannya adalah 80% laki-laki dan 20% perempuan.

Alasannya berkait dengan distribusi kelebihan berat badan orang lelaki yang bertumpu di bahagian dada dan leher sehingga menyebabkan penyempitan saluran udara.

Kelebihan berat badan pada wanita umumnya bertumpu di bahagian punggung. Lelaki juga mempunyai leher lebih besar daripada wanita. Ukur lilit leher 40 cm adalah lebih cenderung membuat orang berdengkur.

3. Radang amandel (tonsilitis) menyebabkan kanak-kanak berdengkur. - Salah satu ciri kanak-kanak yang terkena radang amandel (tonsilitis) adalah berdengkur semasa tidur.

4. Posisi tidur mempengaruhi seseorang berdengkur. - Tidur terlentang lebih cenderung untuk berdengkur dibandingkan tidur mengiring.

5. Kelebihan berat badan menyebabkan berdengkur. Kelebihan berat badan sangat biasa di kalangan orang yang berdengkur. Ini kerana lemak yang terbentuk di sekitar kerongkong akan menyempitkan saluran udara. Selain itu, lemak di perut dapat menyebabkan diafragma berfungsi secara tidak teratur.

6. Pil tidur dan obat penenang menambah resiko berdengkur. Ubat-Ubatan ini menyebabkan relaksasi otot dan meningkatkan peluang berdengkur.

7. Wanita berumur 50an yang berdengkur sama banyaknya dengan lelaki. Akibat proses penuaan, wanita kehilangan otot dan lemak di kawasan kerongkong. Lidah, pangkal kerongkong, dan jaringan lainnya yang berhampiran juga boleh sedikit menyusut.

Perubahan ini akan mengurangkan ukuran saluran nafas dan meningkatkan risiko berdengkur. Hanya 5% perempuan yang berdengkur semasa berumur tiga puluhan, namun pada usia di atas 50 tahun jumlahnya boleh mencapai 40%.

Pada usia ini, jumlah wanita yang berdengkur sama banyaknya dengan lelaki.

8. Berdengkur menandakan penyakit. - Bendengkur merupakan gejala obstructive sleep apnea (OSA), gangguan umum dan berpotensi serius di mana nafas berulang kali terhenti dan berlanjutan semasa tidur.
Seseorang dengan sleep apnea sering bangun malam untuk bernafas, tetapi biasanya tidak mengingatinya.
Sleep apnea seringkali tidak disedari tetapi sangat berbahaya bagi kesihatan kerana menyebabkan kurang tidur, kekurangan oksigen, depresi dan meningkatkan risiko serangan jantung dan stroke.

9. Bunyi dengkur dapat mencapai 90 desibel. - Sama dengan bunyi yang dihasilkan oleh sebuah lori truk yang laju di jalan raya.

10. Merokok menyebabkan berdengkur - Asap rokok dapat menginfeksi jaringan kerongkong yang menyebabkan bengkak. Ini menyebabkan penyempitan saluran udara dan membuat orang berdengkur.

Jumaat, Ogos 17, 2012

Gaya Tidur dan Maksudnya - Posisi Tidur dan Personaliti

Gaya Tidur dan Maksudnya - Posisi Tidur dan Personaliti
 
Anda mungkin pernah melihat pelbagai gaya dan posisi orang tidur. Sebenarnya setiap gaya tidur itu mempunyai maksud dan membawa kepada keperibadian atau personaliti tertentu. Tingkah laku manusia agak sukar untuk difahami. Ini kerana, ia umpama `topeng’ yang dipakai dan boleh berubah-ubah mengikut tempat, masa dan keadaan. Oleh itu, menerusi gaya tidur, anda boleh memahami sedikit sebanyak tentang personaliti atau keperibadian seseorang itu. Gaya tidur besar maksudnya.

Sebab itulah, ada di kalangan pasangan suami isteri, rakan pejabat atau teman rapat masih belum dapat memahami hati budi masing-masing, sekalipun telah lama kenal antara satu sama lain. Jadi selepas membaca artikel tentang gaya tidur dan maksudnya dari segi personaliti dan keperibadian ini, anda mungkin boleh mengagak sesuatu tentang diri seseorang. Gunakan ilmu memahami gaya tidur dan maksud personalitinya ini untuk tujuan kebaikan dan memperbaiki hubungan. Bukan menambahkan prasangka atau meretakkan hubungan.

Personaliti atau tingkah laku membezakan antara seseorang dengan yang lain, tetapi ciri-ciri ini stabil sekalipun pada bila-bila masa dan keadaan.

Personaliti berasal dari perkataan Latin, `persona’ yang bermaksud topeng. Topeng-topeng yang dipakai ini sebetulnya, gambaran psikologi dalaman secara keseluruhan tentang diri kita. Andai dalam pergaulan seharian agak sukar bagi anda untuk `mentafsirkan’ tingkah laku seseorang, mungkin anda boleh melihat cara tidurnya. Pengarah Khidmat Nasihat dan Penilaian Tidur, University of Surrey di selatan England, Profesor Chris Idzikowski telah mengenal pasti enam posisi tidur yang popular.

Menurut beliau, kedudukan atau cara tidur ini menceritakan tingkah laku seseorang di bawah sedar. Ini kerana, ketika dalam keadaan jaga, ramai yang berhati-hati dengan bahasa tubuh. Antara posisi tersebut ialah:
   
Posisi Tidur dan Personaliti
   

Janin dalam kandungan
   

Digambarkan sebagai seorang yang tabah dari segi luaran, tetapi begitu sensitif. Seorang yang pemalu, apabila bertemu seseorang buat kali pertama, tetapi lama-kelamaan relaks. Bilangan wanita tidur dengan cara ini dua kali ganda lebih banyak, berbanding lelaki.
   
Batang balak
   
Orang yang tidur seperti ini tergolong dalam kelompok mereka yang tidak serius dan gemar bersosial.Mereka mudah diperdayakan kerana mudah percaya pada orang yang tidak dikenali.
   
Mengiring dan tangan menghala ke depan
   
Seorang yang terbuka, tetapi sinikal dan mudah sangsi terhadap orang lain. Lambat membuat satu-satu keputusan, tetapi, sukar mengubah keputusan yang telah dibuat.
   
Tentera
   
Tergolong sebagai pendiam, tidak banyak bercakap untuk melahirkan idea atau perasaannya. Mereka juga tidak suka heboh-heboh tentang sesuatu perkara, tetapi pada masa yang sama meletakkan diri pada satu piawaian yang tinggi.
   
Jatuh bebas
   
Mudah berkawan dengan sesiapa saja dan suka bertindak melulu. Perasaan mereka mudah tegang dan cepat tersinggung. Biasanya, mereka juga tidak suka dikritik atau situasi yang ekstrem.
   
Tapak sulaiman
   
Mereka boleh dijadikan kawan kerana selalu sedia menjadi pendengar yang baik dan sentiasa membantu jika perlukan pertolongan. Secara umum, mereka tidak suka jika menjadi perhatian orang lain.

Laman web Indian.CL juga ada mengkelaskan beberapa cara tidur yang melambangkan personaliti seseorang seperti:
   
Posisi Tidur dan Personalitinya
   
Menelentang dengan kaki dan tangan yang terbuka luas

   
Anda digambarkan sebagai seorang yang suka kebebasan dan seorang kekasih yang menyenangkan hati. Tetapi, anda seorang yang boros, cuma anda bernasib baik kerana pendapatan juga lumayan. Satu lagi, sikap anda yang tidak digemari ramai orang ialah suka menjaga tepi kain orang dan seronok bergosip. Entah siapa pula selepas ini yang menjadi `mangsa’ gosip anda!
   
Menelentang dan kaki bersilang
   
Mereka yang tidur dengan gaya seperti ini adalah seorang yang memikirkan tentang dirinya dan sukar menerima perubahan.Mereka juga suka bersendirian tetapi seorang yang boleh bertolak ansur
   
Menelentang dengan kedua-dua belah tangan diletakkan di bawah kepala
   
Cara tidur seperti ini melambangkan individu tersebut mempunyai tahap kebijaksanaan yang tinggi dan bersemangat belajar tentang sesuatu. Bagaimanapun, ada kalanya anda mempunyai banyak idea yang pelik sehingga menyukarkan orang lain mengikutinya. Dari sudut yang lain, anda adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Masalahnya, anda sukar jatuh cinta dengan sesiapa. Atau, mungkin kerana anda seorang yang pemilih?
   
Tidur meniarap dan kedua-dua belah tangan di angkat dan bengkok sedikit
   
Jika anda tidur sepanjang malam dengan muka menghadap tilam, anda berkemungkinan seorang yang tidak berfikiran terbuka. Kemungkinan, anda juga tidak mempedulikan hal orang lain. Anda juga selalu memaksa orang lain supaya memenuhi keperluan anda. Selalu tidak berhati-hati dan kurang teratur. Mungkin, masanya telah tiba untuk anda merobah cara tidur?
   
Tidur dengan cara sisi

   
Melambangkan bahawa anda seorang yang berkeyakinan. Pada masa yang sama, anda dapat melihat kejayaan dalam apa juga yang anda lakukan. Ini semuanya hasil usaha tanpa henti yang anda lakukan. Mereka yang tidur pada sisi kanan, tangan kanan diregang hingga ke atas kepala dipercayai akan dikurniakan kuasa dan tuah.
   
Sisi dan badan merengkok
   
Anda digambarkan sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri, cemburu dan pendendam. Mereka yang berada di sekeliling anda harus berhati-hati, kerana anda seorang yang mudah marah.
   
Sisi, lutut sedikit bengkok dan sebelah tangan di atas tubuh
   
Berbeza dengan personaliti sebelum ini, anda adalah seorang yang lembut, ikhlas, penyayang dan berbudi bahasa. Bagaimanapun, ini bukanlah ukuran bahawa anda seorang yang sempurna. Ada baiknya, anda belajar meningkatkan keyakinan diri dan menerima kesilapan atau sesuatu yang mungkin kurang sempurna. Tetapi, kebahagiaan tetap muncul dalam perjalanan hidup anda.
   
Sisi dengan sebelah lutut bengkok
   
Anda digambarkan sebagai seorang yang cerewet dan selalu merungut. Cepat gemuruh, mudah tertekan, teruja walau hanya perkara-perkara kecil. Anda perlu belajar untuk relaks
   
Tidur seolah-olah dalam keadaan berdakap
   
Anda sebetulnya dalam kesunyian dan kemurungan kerana terlalu obses dengan kegagalan masa lampau dan masalah yang anda hadapi. Tidur dengan cara ini juga menggambarkan, bahawa anda seorang yang ragu-ragu dan sukar membuat keputusan. Ini menyebabkan ramai yang berpandangan bahawa anda hilang kasih sayang dalam kehidupan.
   
Berselubung dalam selimut
   
Jangan terkejut kalau dikatakan, anda hanya kelihatan `macho’ ketika di tempat awam, tetapi hakikatnya anda seorang yang amat pemalu dan lemah.Anda juga menyimpan banyak rahsia. Tetapi, jika anda berdepan dengan masalah, anda hanya memendam dan menderita sendirian tanpa mendapatkan nasihat atau bantuan sesiapa. Atas sebab itulah, wajah anda juga sering berkerut ketika tidur