BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Percutian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Percutian. Papar semua catatan

Ahad, Jun 10, 2012

Gunakan Google Untuk Merancang Percutian Anda

Saya terbaca satu artikel menarik mengenai aplikasi-aplikasi web yang dapat membantu saya dan keluarga untuk merancang percutian dengan mudah dan menarik menerusi Google. Berikut adalah lampiran artikel tersebut.

Rancang cuti dengan Google
Sumber: Berita Harian, Oleh Alzahrin Alias, 2012/06/02

SEMPENA cuti sekolah yang masih berbaki, pasti anda merancang bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan tetapi tidak pasti destinasi yang hendak dituju.

Jika sudah mempunyai destinasi yang ingin dijejaki, anda tentu hilang panduan dalam pelbagai perkara. Antaranya tempat menarik yang ingin dilawati, restoran hebat atau petunjuk jalan akibat tidak pernah menjejakkan kaki di lokasi terbabit.

Usah khuatir - semua jawapan ada di hujung jari. Dengan berpaling kepada pelayar internet anda, ia akan menjadi pemandu pelancong terbaik pernah anda temui dan secara percuma!

Inilah perkhidmatan diberi pelayar sistem maklumat Google yang memberi pengalaman baru dalam mengakses aplikasi web. Tidak hanya laman web yang mengandungi maklumat boleh diakses, malah aplikasi web Google mengambil arahan daripada pengguna untuk menawarkan pengalaman pelayaran peribadi termasuk ketika merancang perjalanan.

Pelayar Chrome Google akan berfungsi dengan aplikasi ini untuk mewujudkan web terpantas - suatu pengalaman paling intuitif di web. Pelancong boleh mencari beberapa aplikasi web yang unik untuk membantu semua pelan daripada tempahan penerbangan, hotel hinggalah belajar bagaimana hendak berkhemah dalam hutan dengan selamat.

Apabila anda menggunakan Chrome untuk mengakses Peta Google, anda boleh meneroka dunia dengan pantas. Hanya dengan ‘klik’, ia akan menyerlahkan alamat dan info perjalanan sama ada anda sedang berjalan, memandu atau mengambil pengangkutan awam.

Kekangan bahasa kini bukan lagi penghalang kerana ia secara automatik menterjemah laman web ke dalam bahasa anda. Sama juga keadaannya ketika anda berada di negara asing, melalui aplikasi ini anda boleh menterjemah bahasa tidak difahami dalam laman web bahasa asing kepada bahasa pilihan.
Store Web Chrome adalah pasaran di mana anda boleh menyemak imbas, menemui dan membeli aplikasi dan lanjutan terbaik di web.

Pengumpulan perjalanan dalam Store Web Chrome menghimpunkan berpuluh aplikasi dan alat yang direka untuk menjadikan perancangan perjalanan anda mudah dan menyeronokkan. Berikut adalah hanya beberapa contoh aplikasi yang memudahkan perjalanan anda:

TouristEye Planner
Permudahkan perancangan perjalanan dengan membina jadual perjalanan menggunakan daya seret yang mudah dan antara muka. Simpan dalam telefon pintar anda untuk akses yang mudah jika tiada sambungan internet.

Hipmunk
Kunci kepada aplikasi yang memudahkan anda mencari penerbangan dari aspek harga, jadual perjalanan dan tempoh penerbangan.

Wanderfly
Rancang perjalanan yang sepadan dengan bajet dan minat anda. Mencari sesuatu yang lasak dan bersifat pengembaraan, romantik atau mewah? Hanya klik butang dan cari apa yang sesuai dengan keperluan anda.

DayzippingMahukan percutian yang cepat? Dayzipping membantu anda mencari perjalanan sehari di 15 buah negara berbeza.

CardFed
Aplikasi ini membantu menghantar gambar anda umpama poskad di mana-mana lokasi di dunia. Anda tidak perlu risau jika terlepas peluang membeli poskad sebagai kenangan ketika bercuti.

wikiHow Survival Kit
Bersedia untuk apa-apa situasi dengan aplikasi web ini. Diserang binatang buas, tersesat di huan atau mengalami masalah ketika bercuti - semuanya ada penyelesaian!

Amazebuy Hotels
Pilih tawaran pakej penginapan menarik hotel di seluruh dunia.

Weather Window
Ambil sedikit masa untuk melihat secara maya cuaca bandar yang dirancang dilawati. Sehubungan itu, anda boleh bersedia dengan pakaian yang sesuai seperti seorang pakar.

Flight Status
Sentiasa bersedia untuk penerbangan anda. Ini aplikasi mudah membolehkan anda menaip kod penerbangan dan memeriksa statusnya.

Khamis, Jun 11, 2009

Cara Mengelak Rasa Bosan Semasa Cuti Sekolah Dengan Merancang Percutian Anda

Panduan Merancang Percutian Yang Menyeronokkan
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Cuti sekolah atau cuti semester akan menjadi sesuatu yang bermakna bagi pelajar sekolah atau pelajar universiti yang pandai menguruskan masa. Jika pelajar kaya, mereka tentu tidak ada masalah untuk bercuti. Namun begitu bagaimana pula dengan pelajar yang tidak berduit?

Setiap tahun, pastikan anda mendapatkan kalendar tahunan persekolahan atau pengkuliahan anda. Kalendar tahunan ini merupakan kunci untuk anda merancang percutian anda.

Teliti jumlah hari atau tempoh cuti bagi setiap cuti sekolah atau cuti semester yang terdapat di dalam kalendar tersebut. Teliti tarikh cuti, dan apa-apa peristiwa penting yang akan anda lalui. Bagi pelajar Tingkatan 3 dan 5 anda mungkin ada kelas tambahan. Anda juga mungkin hendak bekerja sambilan semasa cuti. Oleh itu, susun jadual cuti anda supaya anda dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang anda rancang dengan lancar dan bermakna.

Biasanya semasa cuti akan terdapat diskaun atau promosi percutian yang tertentu. Sekiranya anda berminat dengan promosi atau diskaun tersebut, rebutlah lebih awal.

Perlu diingatkan anda memerlukan sejumlah wang yang agak besar untuk bercuti di pusat-pusat peranginan atau sekiranya anda berminat mengikuti pakej-pakej percutian tertentu. Anda boleh menjimatkan kos perbelanjaan untuk percutian apabila anda mengikut pakej percutian berkumpulan. Oleh itu adalah baik sekiranya anda dapat merancang percutian anda bersama sekumpulan pelajar yang lain. Seelok-eloknya anda membuat kaji selidik terlebih dahulu untuk memastikan komitmen setiap peserta percutian dapat diberikan sepenuhnya.

Jika anda inginkan percutian individu, maka apa yang anda perlu lakukan adalah memastikan anda telah menetapkan tarikh percutian anda, dan tempoh masa percutian tersebut. Bermula dari awal tahun lagi, anda hendaklah menabung atau menyimpan duit supaya anda memiliki sumber kewangan yang mencukupi, melainkan anda anak manja emak ayah yang dengan mudahnya mendapat tajaan ibu bapa, atau jika anda bercadang untuk bercuti dengan ibu bapa anda.

Sebaliknya, jika anda ialah bapa atau ibu kepada budak-budak dan anda ingin membawa anak-anak anda bercuti, maka, andalah ketua perancang percutian. Jangan sampai anda menjadi dalang yang merancang percutian yang sungguh tragis, menyakitkan hati dan berterabur, bertindan-tindan isi kandungan tentatifnya.

Perlu diingatkan jadual percutian tidak seharusnya padat. Ini kerana bercuti adalah untuk merehatkan minda, anda tidak perlu memadatkan jadual aktiviti percutian anda. Ambil kira jarak dari satu lokasi ke satu destinasi yang ingin anda kunjungi dalam masa satu hari.

Sekiranya anda tidak mahu memeningkan kepala anda, anda boleh meminta khidmat perunding percutian yang pejabat-pejabatnya boleh ditemui di sekitar stesen-stesen pengangkutan awam seperti di stesen bas atau di stesen kapal terbang, atau di pusat-pusat bandar. Jika anda hendak bercuti ke taman tema seperti Genting Highland, anda digalakkan untuk menghindari hari-hari cuti umum seperti Hari Sabtu dan Ahad. Ini bagi membolehkan anda menikmati kemudahan permainan di taman tema dengan lebih kerap dan juga dapat mengelakkan kesesakan. Contohnya, saya pernah pergi ke Genting Highland pada waktu persekolahan. Dengan bertemankan rakan-rakan dari pelbagai negara seperti Hindustan, Iraq, Jepun, Korea, Finland, Kanada, Brazil dan lain-lain, kami dapat bermain pelbagai permainan di taman tema tersebut tanpa perlu beratur panjang atau menunggu giliran.

Pada kebiasaannya, perunding percutian akan menawarkan pakej individu, pakej berdua atau pakej berkumpulan dengan tawaran harga tertentu. Sesetengah perunding percutian menggalakkan anda menempah lebih awal untuk memudahkan mereka merancang dan menempah penginapan, pengangkutan dan pemandu pelancong sekiranya diperlukan. Pastikan juga anda memiliki passport yang aktif sekiranya anda bercadang melancong ke luar negara.

Percutian yang baik menurut Amiene Rev, memiliki ciri-ciri berikut:
  1. Keselamatan yang terjamin.
  2. Penginapan untuk berlindung daripada hujan dan panas.
  3. Pemakanan yang halal dan dengan gizi yang seimbang.
  4. Aktiviti harian dapat memberi nilai-nilai positif dalam kehidupan.
  5. Sumber maklumat yang tepat dan banyak bagi setiap lokasi percutian.
  6. Kemudahan pengangkutan yang fleksibel sekiranya anda tidak memiliki pengangkutan.
  7. Percutian yang memiliki tujuan dan matlamat yang berjaya dicapai.
Selamat merancang percutian dan semoga anda dapat menikmati keseronokan dan beroleh sesuatu yang bermakna dalam percutian anda.