BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Sahabat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sahabat. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 20, 2012

Ciri-Ciri Sahabat Yang Baik Menurut Islam

CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK

Mempunyai Akhlak Yang Baik
Sahabat yang baik sudah pasti memiliki akhlah yang baik. Orang yang berakhlak baik adalah orang yang baik, justeru apabila kita bersahabat dengannya maka kita telah memiliki sahabat yang baik.

Menutup Keburukan Sahabat
Sahabat yang baik tidak akan memceritakan keburukan kita kepada orang lain. Jika dia pernah memburuk-burukkan kita maka dia bukanlah sahabat yang baik. Bagaimaan seseorang itu layak digelar sahabat jika dia sanggup memburuk-burukkan kita?

Menghebah Kebaikan Sahabat
Seorang sahabat yang baik akan sentiasa menghebahkan perkara baik yang kita lakukan. Jika dia mendiamkan diri sahaja, ada kemungkinan kita ini bukan sahabatnya, tetapi pesaingnya. Dia mendiamkan kebaikan yang kita lakukan agar kita tidak jadi berpengaruh, disokong oleh orang lain atau mendapat keuntungan atau populariti. Apakah orang seperti ini layak digelar sahabat?

Mengalah Untuk Mengelak Sengketa
Sahabat yang baik akan mengalah dan akan mendengar pendapat kita untuk diteliti. Sahabat yang baik juga akan menggunakan pendekatan rohani seperti berdoa ke atas diri kita agar diberi petunjuk apabila berlaku sesuatu perselisihan pendapat.

Memberi Dorongan Kepada Sahabat Agar Berjaya Di Dunia Dan Di Akhirat
Sahabat yang baik adalah orang yang ingin melihat masa depan kita cerah. Sahabat yang baik suka melihat kebahagiaan hidup kita. Sahabat yang baik sangat-sangat berharap agar kita berjaya dalam hidup sebagai seorang yang cemerlang.

Sejuk Hati Bila Mendengar Namanya
Sahabat yang baik adalah orang mempunyai makna yang hebat kepada diri kita.

Bila Mendengar Kata-katanya Ketaatan Kita Kepada Allah Bertambah
Sahabat yang baik apabila mengeluarkan sesuatu percakapan adalah kerana Allah, lalu setiap perkataannya akan menyebabkan kita sentiasa mengingati Allah, dalam apa jua keadaan.

Sentiasa Berdoa Dan Memaafkan Sahabat
Sahabat yang baik akan sentiasa berdoa dan memaafkan kita demi menjaga hubungan persahabatan sesama Islam.

Akan Mempertahankan Maruah Sahabat Bila Ada Yang Cuba Memburukkannya

Sahabat yang baik akan menepis segala kata-kata buruk ke atas diri kita biarpun keburukan itu benar. Ini kerana dia berpendapat biarlah Allah sahaja yang mengetahuinya dan bukan manusia lain. Ini memudahkan kita bertaubat jika kita ada melakukan dosa-dosa tertentu.

Selasa, Januari 27, 2009

Perbezaan Maksud Antara Sahabat, Kawan, Rakan dan Kenalan

Definisi kawan dan sahabat kadangkala dianggap mengelirukan bagi sesetengah individu. Berikut adalah definisi atau maksud bagi istilah sahabat, kawan, rakan dan kenalan. Saya menggunakan istilah seperti 'sahabat saya', 'kawan saya', 'rakan saya' dan 'kenalan saya' bagi menerangkan perbezaan maksud antara istilah-istilah tersebut.


Sahabat Saya
Sahabat saya adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri saya, tetapi tidak memiliki hubungan darah. Dalam erti kata lain, sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik saya tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan antara adik-beradik. Sahabat saya adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada saya, dan saya juga begitu.

Sahabat saya adalah seorang yang setiakawan, dia boleh membantu saya apabila saya berada di dalam kesusahan, meredakan kesedihan saya, menghilangkan kebimbangan saya dan sanggup berjuang demi kebaikan saya. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban saya. Mereka akan sentiasa melindungi saya.

Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan saya, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila saya memerlukannya. Sahabat adalah orang yang membuatkan saya berasa selamat apabila mereka ada bersama-sama saya, sebab mereka adalah orang yang sangat setiakawan. Sahabat adalah orang-orang yang sangat menyayangi saya.

Sahabat kadangkala adalah penjaga saya, pelindung saya dan semangat mereka akan sentiasa ada bersama saya.


Kawan Saya
Kawan saya ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan dari organisasi yang sama. Kawan ialah orang yang selalu berinteraksi dengan saya dan saya mengenali beberapa fakta peribadi mengenainya.

Kami selalu memiliki masa untuk bersama, bergembira, berseronok dan sebagainya. Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu yang lain, yang memiliki persamaan seperti hobi, minat, sikap, tabiat dan pemikiran yang sama dengan dirinya. Saya selalunya berasa seronok dan terhibur apabila berada bersama-sama kawan saya.

Kawan mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan, tetapi mereka selalunya tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak sependapat, hubungan kawan mungkin boleh terputus.


Rakan Saya
Rakan saya ialah perantaraan antara kawan daan kenalan. Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya. Contohnya, saya ada rakan satu tingkatan, rakan satu sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.

Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya saya boleh belajar bersama-sama dengan rakan sekelas saya, saya boleh membuat tugasan berkumpulan bersama-sama rakan satu tingkatan saya, saya bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan untuk menewaskan pihak lawan dalam pertandingan bola sepak, saya dan rakan-rakan sekerja mengadakan mesyuarat untuk syarikat kami dan sebagainya.

Ada rakan yang rapat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai kawan, dan ada pula rakan yang hanya boleh dianggap sebagai kenalan.


Kenalan Saya
Kenalan saya mungkin wujud sebagai rakan. Contohnya rakan chatting, rakan siber dan rakan blogger. Apabila saya mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti tertentu, maka dia adalah kenalan. Kenalan saya adalah orang yang pernah berinteraksi dengan saya tetapi saya tidak dapat mengesahkan identiti atau kewujudan sebenarnya. Saya perlu berwaspada dengan kenalan-kenalan siber saya kerana, di luar alam siber, mereka tidak semestinya orang yang sama seperti yang saya pernah kenal di internet.

Kenalan saya boleh meluahkan perasaan mereka, masalah mereka kepada saya menerusi ruangan komen, e-mel dan kemudahan-kemudahan interaksi yang lain di internet, tetapi tidak 100% boleh dipercayai. Kenalan kadangkala wujud sebagai satu hiburan, tetapi kadangkala tidak mustahil mereka boleh memberi kebaikan kepada saya menerusi perkongsian pendapat, idea dan penyelesaian masalah.

Ahad, November 02, 2008

Ah! Seronoknya Hidup Ini!

Pada suatu ketika dahulu, semasa mula-mula menjejakkan kaki ke universiti, saya bukanlah seorang yang sentiasa gembira. Namun sebagai pakar menyembunyikan perasaan diri, saya kelihatan gembira dan ceria di mata ramai kawan-kawan sekelas. Tak sampai beberapa hari, minggu pengkuliahan pertama bermula, nama saya sudah mula dikenali terutama di kalangan siswi.

Saya tidak tahu kenapa saya sering menjadi perhatian dan disukai ramai, tetapi perkara ini sudah bermula seusai saya berusia 3-4 tahun. Pada usia sebegitu kecil, saya sudah menjadi perhatian ramai orang. Semasa di sekolah tadika, guru tadika suka mengambil gambar saya. Semasa di sekolah rendah, kawan-kawan perempuan suka berbisik-bisik apabila saya lalu di hadapan mereka.

Apabila saya mewakili sekolah dalam pertandingan-pertandingan tertentu, kakak-kakak yang lebih tua daripada saya akan menegur saya. Mereka sebenarnya adalah pesaing-pesaing saya yang akan bertanding dengan saya. Apabila mereka telah dikalahkan, mereka datang kepada saya untuk berkenalan dan memberi semangat kepada saya untuk mengalahkan pihak lawan yang di peringkat separuh akhir dan seterusnya.

Semasa berada di bangku sekolah menengah, alam remaja memang menyeronokkan. Saya mempunyai ramai kawan. Tidak terhad di sekolah saya sahaja tetapi setiap kali saya pergi ke kursus motivasi, saya akan menjadi perhatian ramai gadis. Ada yang menangkap gambar candid, seperti papparazi, dan meminta saya menulis alamat dan autograf. Ketika itu saya sedang bercakap-cakap dengan orang lain, seorang gadis menjerit nama saya, dan saya berpaling dan gambar saya ditangkap. Ini perkara biasa.

Pakcik Jeneral dan isterinya sudah menganggap saya bagaikan anak kandung mereka setiap kali saya pergi ke program motivasi. Entah kenapa suatu hari ayah saya melarang saya pergi lagi. Di rumah, panggilan telefon daripada gadis-gadis bertalu-talu. Ibu saya mula bertanya itu dan ini. Saya cuma beritahu itu kawan saya sahaja.

"Mana satulah girlfriend kamu ni Amien?" kata ibu saya pada suatu hari.

Amiene Rev dan gadis-gadis memang tidak dapat dipisahkan. Hal ini menyebabkan saya tidak ada masalah bergaul dengan wanita, kecuali dalam situasi tertentu. Misalnya di universiti, apabila seorang siswi menawarkan untuk menumpangkan keretanya kepada saya, dan di dalam kereta itu pula cuma saya seorang sahaja jejaka dan yang lainnya wanita, maka saya akan berasa kekok. Apa lagi saya tidak kenal kawan-kawan dia.

Yup. Tiba-tiba saya terkenangkan seorang lagi kawan saya yang lain. Nama dia F. Suatu hari saya duduk bersendirian mencari ilham di sebuah kerusi (padahal aku sesat kat kawasan asrama siswi masa Tahun 1).

Pin! Pin! F membunyikan hon keretanya.

"Hai, Amiene buat apa kat sini?" .

Oh, yah, kawasan kolej siswi itu sangat luas. Kebetulan itu kali pertama saya lalu di situ. Dan hari itu dia menghantar saya keluar dari kota sesat itu. F adalah seorang kawan yang baik. Namun suatu hari dia ditimpa malang. Dia terpaksa berhenti belajar.

Tetapi kini... saya sedang cuba menjejakinya semula. Kakinya sakit. Dan dia berhenti belajar. Dia bekerja di kedai-kedai fotostat di beberapa kolej. Setiap kali saya ingin membuat salinan fotokopi nota, dia akan mendahulukan kerja-kerja fotokopi untuk saya. VIP services and special price for me.

Sehingga kini saya masih mengenangkan dia yang tidak tamat pengajian. Sepanjang masa saya berasa kesal. Bagi setiap kawan saya yang tidak dapat menamatkan pengajian, akan ada hari saya berkabung untuk mereka. Bidang pengajian ini tidak senang untuk semua orang. Ada orang yang melaluinya dengan mudah dan ada yang melauinya dengan sukar. Ada yang berjaya, ada yang menderita. Kematian, adakalanya mendahului mereka.

Saya sudah saksikan beberapa kematian melibatkan beberapa orang kawan, dalam usaha mereka untuk merangkul ijazah. Kisah kawan-kawan yang berjuang di universiti. Ini kisah bertahun-tahun dahulu. Sebelum ada di antara kamu yang dapat bercakap, berjalan atau merangkak. Maksud saya jika kamu yang membaca ini adalah golongan pelajar sekolah menengah.

Ramai orang sangka SPM itu penentu masa depan. Mereka silap. Yang menentukan masa depan itu bukan keputusan SPM, tetapi sikap mereka, kepercayaan mereka kepada diri sendiri.

Itulah yang akan menentukan siapa kamu pada masa akan datang. Saya memikul nama Amiene Rev, dan ini bermakna, suatu masa nanti, saya juga akan melalui perubahan.

Pada ketika itu segala kenangan silam akan menjadi angin. Sebab saya memburu masa depan saya. Saya tinggalkan kisah silam tanpa sebarang alasan. Saya tidak mahukan alasan, tetapi pengajaran dan teladan daripada kisah lalu.

Setiap manusia pun, tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kenapa harus berpatah hati dan menjadi insan berduka?

You need to go on. Go on... Gambate!

Khamis, Oktober 30, 2008

Selamat Hari Jadi Buat Sahabat Baik Saya yang sudah menjadi Ibu dan Isteri - 30 Oktober

Kenapa saya sering bercakap mengenai persahabatan sejak satu dua hari kebelakangan ini? Saya selalu mengingati hari jadi best friends saya.

Dan hari ini 30 OCTOBER... saya ucapkan Selamat Hari Jadi kepada seorang sahabat baik, yang saya anggap sebagai kakak kandung saya sendiri.

Dia telah memiliki 2 orang anak. Salah satu daripada anaknya merupakan gabungan nama dia dan suaminya. Saya jarang menegurnya tanpa sebab tertentu selepas dia sudah berkahwin.

Ini kerana saya memiliki satu prinsip, apabila sahabat baik saya, jika dia wanita, maka apabila dia sudah berkahwin, maka saya tidak akan bercakap atau berbual-bual dengannya tanpa sebab.

Ini sebagai tanda saya menghormati statusnya sebagai isteri orang, dan dengan itu saya tidak boleh bebas bergaul dengannya lagi.

Namun inner friendship tetap wujud. Tahukah anda apa itu inner friendship? Mungkin ada yang tidak pernah dengar. Saya mengilhamkan istilah ini sendiri.

Inner friendship, satu istilah yang terlintas dalam fikiran saya apabila sahabat-sahabat baik saya, yang apabila mereka ialah wanita, dan memiliki pasangan hidup, maka status friendship itu sudah berubah menjadi inner friendship.

Mereka sudah berpunya, dan oleh itu saya tidak boleh menganggu hubungan mereka. Kebahagiaan keluarga seorang sahabat adalah kebahagiaan saya juga.

Saya mendoakan kebahagiaan hidupnya.

Ini biasa, jika sahabat saya itu seorang wanita. Tak ada urusan, maka tak adalah perbualan.

Namun inner friendship itu menyatakan kepercayaan kami sebagai sahabat. Dan batas pergaulan antara sahabat itu wujud kerana saya menghormati statusnya sebagai seorang isteri.

Setiap masa, saya melihat satu persatu sahabat wanita saya menjadi isteri. Namun apa yang paling saya suka, setiap kali ada antara mereka yang ingin menikah, dalam hampir semua kes, saya merupakan antara orang pertama yang mereka beritahu mengenainya.

Dan hari ini 30 OKTOBER... saya sentiasa mengenang kisah persahabatan kami.

Terutama pada hari itu... ketika hujan turun renyai-renyai. Satu kemalangan berlaku, dan tangannya patah.

Saya bertungkus lumus menyiapkan tugasan akademik yang kini tinggal saya seorang sahaja yang dapat melakukannya, dan mendapat markah tertinggi untuk projek tersebut. Tetapi saya percaya, ini adalah kerjasama terbaik antara dua orang sahabat. Tepukan paling gemuruh oleh rakan-rakan sekelas, tidak kira Melayu, Cina atau India. Dan rakaman video tepat ke jasad saya. Saya masih ingat peristiwa itu.

Dan kemudian, ketika saya mengusungnya di atas kerusi roda, selepas saya mencuri-curi masuk ke bilik wad semata-mata kerana risau tentang statusnya selepas kemalangan itu. Dan menolak kerusi rodanya ke bilik x-ray sambil berbicara sesuatu yang peribadi.

Dan kemudian menulis berpuluh-puluh helai surat supaya dia sembuh kembali dan dapat menulis dengan dua belah tangan.

Dan menceritakan kehidupan saya di universiti sepanjang ketiadaan dia.

Ini cuma kisah saya dengan seorang sahabat.

Dan bagaimana pula kisah saya dengan sahabat-sahabat yang lain?

Terlalu banyak kenangan persahabatan yang tidak dapat diceritakan di sini, kerana jumlah mereka yang menjadi sahabat saya... adalah ramai.

Saya tidak dapat ceritakan semuanya di sini...

HAPPY BIRTHDAY TO YOU... 30 OCTOBRE 2008.

"Our friendship stay inner. Kita kini mungkin kelihatan biasa, tetapi persahabatan kita kekal luar biasa." - Amiene Rev.