BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Ibunda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Ibunda. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 25, 2012

Isu Bahasa - Sikap Tidak Kisah Kikis Identiti Bangsa

Sikap tak kisah kikis identiti bangsa
Oleh Ruhaiza Rusmin (sumber: HMetro)

BIARPUN dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara.

Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.
sebelum   selepas
SUSAH... pelajar pasti kerugian andai kata tidak mampu menguasai bahasa Melayu standard kerana akan menyebabkan markah peperiksaan terjejas.
RINGKAS... biarpun tidak dilarang, penggunaan perkataan yang bercampur-baur boleh mencacatkan nilai bahasa.
Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard.

Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?

Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan.

Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu.

“Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.

“Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.

Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu bangsa.

“Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.

“Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan.

“Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya.

Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat tunggang-langgang.

Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara.

Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya.

“Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.

“Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan.

“Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.

Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.

“Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima.

“Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.

Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa.

Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis.

“Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud.

“Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.

“Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.

Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa rojak.

“Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan.

“Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi.

“Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.

Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul.

“Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan.

“Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta dipraktikkan.

“Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard.

“Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.

Selasa, Januari 31, 2012

Negara Yang Paling Kuat Menyanjungi Bahasa Kebangsaannya

Negara yang paling kuat menyanjungi bahasa kebangsaannya. Negara yang memiliki rakyat yang berani memperduakan bahasa kebangsaannya adalah negara yang lemah. Lemah, lantaran bangsanya tidak kuat, tidak memiliki jati diri yang utuh, dalam memastikan kekuatan semangat kebangsaan dipadukan.

Malaysia masih dianggap sebagai sebuah negara yang aneh, apabila masih membenarkan bahasa asing memperlekehkan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris didapati mendapat kedudukan yang lebih istimewa di hati segelintir rakyat Malaysia. Bukti kegagalan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa sangat malu, melihat bahasa kebangsaan diperduakan dalam sektor pendidikan. Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa sangat kecewa apabila melihat kegagalan Malaysia menjadikan bahasa kebangsaan itu begitu berpengaruh sehingga semua rakyat Malaysia mempunyai perasaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan harian mereka.

Saya masih belum melihat perkara ini di Malaysia. Masih ada rakyat Malaysia yang menidakkan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa penyampai ilmu kepada rakyat Malaysia.

Bahasa Inggeris diagungkan, dijadikan bahasa asing yang masih menjajah pemikiran rakyat Malaysia. Saya amat kecewa dengan keadaan ini. Alangkah memalukan apabila melihat adanya ibu bapa yang sanggup menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampai ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kelas-kelas Matematik dan Sains.

Mengecewakan! Sepatutnya semua rakyat Malaysia diwajibkan menerima tanpa banyak soal mengenai penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Jelas sekali, ada di kalangan rakyat Malaysia yang kini khianat dan belot terhadap bahasa kebangsaan. Di manakah jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan bahasa kebangsaannya? Di manakah jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang sanggup berkorban untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam sektor pendidikan Malaysia.

Di manakah usaha untuk menjadikan sektor pendidikan sebagai sektor melahirkan warganegara Malaysia yang sangat bangga dan menyanjungi bahasa kebangsaannya. Ini sama sekali tidak jelas berlaku dalam sektor pendidikan Malaysia, di mana masih berleluasa sikap menidakkan kemampuan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa pengantar ilmu di semua institusi pendidikan di Malaysia.

Saya masih amat kecewa. Di manakah sekalian Harimau Bahasa bersembunyi? Bahasa Kebangsaan Malaysia seharusnya menjadi bahasa pengantar ilmu dan semua rakyat Malaysia wajib yakin, bangga, puas hati dan rela berkorban dalam memastikan bahasa kebangsaan ini mekar dan tersebar sebagai bahasa kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Apabila memikirkan betapa ibu bapa dibenarkan untuk memperduakan bahasa kebangsaan, dibenarkan memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu di sekolah-sekolah, ini sebenarnya sudah menidakkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jika benar bahasa kebangsaan kita bahasa berdaulat, maka tidak akan ada pendua atau alternatif yang boleh menyaingi atau duduk dalam fungsi yang sama dengan bahasa kebangsaan kita.

Sedih. Kecewa. Hampa. Kerana sehingga kini, usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan masih samar-samar, jauh dari mencapai matlamatnya. Selagi rakyat Malaysia diberi peluang menggunakan bahasa Inggeris, maka selagi itu belum wujud pengorbanan. Apakah mereka ini berbangga sebagai rakyat Malaysia atau cuma tinggal di Malaysia semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Di mana jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang bangga akan bahasa kebangsaannya?

Betapa kecewanya saya, memikirkan hal ini. Kenapa tidak ada seorang pun yang sedar? Benarkah tidak ada seorang pun yang sedar akan hal ini? Pasti ada yang sedar. Mudah-mudahan masih ada yang sedar. Kasihan negaraku yang paling saya sayang dan tempat saya mencurahkan taat setia.

Sabtu, Mac 28, 2009

We Want Malay in Google Language Tools

WE WANT MALAY / BAHASA MELAYU IN
GOOGLE LANGUAGE TOOLS
Usaha Memperkasakan Bahasa Melayu Di Peringkat Global
Penulis: Amiene Rev (C) 2009


saiz imej: 150 px persegi

Di dalam Google Language Tools setakat ini cuma ada Bahasa Indonesia atau Indonesian sebagai pilihan alternatif untuk terjemahan ke Bahasa Melayu. Namun Bahasa Melayu tidak sama sepenuhnya dengan Bahasa Indonesia. Apa kata kita dorong pihak Google dan Blogger untuk wujudkan pilihan terjemahan Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa dan sebaliknya di Language Tools? Untuk tujuan itu, saya telah mereka beberapa poster kecil berkaitan dengan sokongan terhadap usaha mewujudkan fungsi terjemahan bahasa Melayu ke bahasa asing dan sebaliknya untuk dipaparkan di blog masing-masing. Mari kita letak imej ini di blog masing-masing. Buat blogger-blogger sekalian, anda boleh salin, muat turun, simpan dan papar imej-imej yang tertera perkataan "We want Malay / Bahasa Melayu to be available for translation in Language Tools" di blog masing-masing. Kita akan cuba usulkan perkara ini kepada pihak Google.


Wujudkan Persatuan Bahasa Melayu di setiap Universiti di Luar Negara

Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai satu bahasa yang digunakan secara global. Salah satu cara untuk memperkenalkan bahasa Melayu di peringkat global ialah dengan menggalakkan pelajar-pelajar kita di luar negara untuk membuka Persatuan Bahasa Melayu di setiap universiti yang terdapat pelajar-pelajar dari Malaysia.

Topik-topik seperti sajak, pantun, gurindam, syair dan sebagainya boleh diajar kepada pelajar-pelajar asing di universiti terbabit. Asas komunikasi dalam Bahasa Melayu juga merupakan satu subjek yang boleh ditekankan dalam kelas-kelas bahasa Melayu.

Bagi memudahkan pelajar-pelajar kita di luar negara mempelajari dan memahami penggunaan Bahasa Melayu, adalah wajar jika pihak pengajar di negara kita cuba menyusun panduan dan modul pengajaran asas Bahasa Melayu yang mudah untuk digunakan oleh para pelajar kita di luar negara, dalam usaha untuk membantu mengajar pelajar-pelajar berbangsa asing untuk mempelajari bahasa Melayu.

Jangan lupa, kita juga sudah ada Kamus Dewan dalam talian. Untuk maklumat lanjut mengenai kamus berbahasa Melayu di internet sila klik di sini.



saiz imej: 165 px persegi